Utama Blog Halaman 236

51. Carilah Malam Al-Qadar Dalam 10 Malam Terakhir

0

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

51. Carilah malam Al-Qadar dalam 10 malam terakhir.

تَحَرَّوْا ليلة القدرِ في الوِتْرِ، من العشرِ الأواخرِ من رمضانَ
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 2017 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

“Carilah malam Al-Qadr pada malam-malam ganjil daripada 10 malam terakhir Ramadhan.” – Shahih Al-Bukhari, no. 2017.

التمِسوها في العشرِ الأواخرِ من رمضانَ، ليلةَ القدرِ، في تاسِعةٍ تَبقى، في سابِعةٍ تَبقى، في خامِسةٍ تَبقى
الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 2021 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

“Carilah malam Al-Qadr dalam 10 malam terakhir Ramadhan, pada 9 malam yang masih tinggal, pada 7 malam yang masih tinggal, pada 5 malam yang masih tinggal.” – Shahih Al-Bukhari, no. 2021.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Rasulullah ﷺ memberikan petunjuk tentang bilakah terjadinya malam Al-Qadr, iaitu pada malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir Ramadhan. Namun, pengiraan tersebut boleh jadi bermula dari awal bulan (bererti malam-malam ganjilnya jatuh pada malam ke-21, malam ke-23, malam ke-25, malam ke-27, atau malam ke-29), atau berdasarkan jumlah hari yang masih tinggal.

(a) Sekiranya Ramadhan pada tahun tersebut adalah 29 hari, maka malam-malam ganjil berdasarkan jumlah hari yang masih tinggal adalah malam ke-21 (9 malam terakhir), malam ke-23 (7 malam terakhir), malam ke-25 (5 malam terakhir), dan seterusnya.

(b) Sekiranya Ramadhan pada tahun tersebut adalah 30 hari, maka malam-malam ganjil berdasarkan jumlah hari yang masih tinggal adalah malam ke-22 (9 malam terakhir), malam ke-24 (7 malam terakhir), malam ke-26 (5 malam terakhir), dan seterusnya.

2. Bahkan, dalam menafsirkan hadits-hadits tentang bilakah malam Al-Qadr, Ibn Hajar Al-`Asqalani telah menyebutkan 46 pendapat dalam Fath Al-Bari, antaranya:

(a) Malam Al-Qadr hanya terjadi pada salah satu tahun di zaman Rasulullah ﷺ.

(b) Malam Al-Qadr hanya dikhususkan untuk umat ini, tidak kepada umat-umat lain.

(c) Malam Al-Qadr mungkin terjadi pada mana-mana malam sepanjang tahun.

(d) Malam Al-Qadr mungkin terjadi pada mana-mana malam sepanjang Ramadhan.

(e) Malam Al-Qadr terjadi di awal Ramadhan.

(f) Malam Al-Qadr terjadi di pertengahan Ramadhan.

(g) Malam Al-Qadr terjadi pada malam 17 Ramadhan.

(h) Malam Al-Qadr terjadi pada malam 18 Ramadhan.

(i) Malam Al-Qadr terjadi pada malam 19 Ramadhan.

(j) Malam Al-Qadr terjadi pada malam 22 Ramadhan.

(k) Malam Al-Qadr terjadi pada malam 23 Ramadhan.

(l) Malam Al-Qadr terjadi pada malam 24 Ramadhan.

(m) Malam Al-Qadr terjadi pada malam 25 Ramadhan.

(n) Malam Al-Qadr terjadi pada malam 26 Ramadhan.

(o) Malam Al-Qadr terjadi pada malam 27 Ramadhan.

(p) Malam Al-Qadr terjadi pada malam-malam ganjil 10 malam terakhir Ramadhan.

(q) Malam Al-Qadr terjadi pada 7 malam terakhir Ramadhan.

3. Adapun pendapat yang disebutkan oleh Al-Ghazali bahawa malam Al-Qadr ditentukan berdasarkan hari pertama Ramadhan, pendapat ini tidaklah didasari oleh mana-mana hadits yang shahih.

4. Bahkan menurut An-Nawawi, tarikh malam Al-Qadr akan berubah pada setiap tahun, berdasarkan hadits-hadits yang shahih. Ini kerana sebahagian hadits menyebutkan pada malam ke-27, sebahagian yang lain menyebutkan pada malam ke-23, dan sebahagian yang lain pula menyebutkan pada malam ke-21.

5. Amalan yang terbaik adalah dengan meningkatkan amal ibadah pada 10 malam terakhir, tanpa memilih untuk beribadah pada malam-malam tertentu seandainya kita ingin mendapatkan malam Al-Qadr.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

50. Malam Al-Qadar Lebih Baik Daripada Seribu Bulan

0

Ringkasan Fiqh Ramadhan:

50. Malam Al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

“Malam Al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” – Al-Qadr, ayat 3.

مَن صامَ رمضانَ إيمانًا واحتسابًا ، غُفِرَ لَهُ ما تقدَّمَ من ذنبِهِ ، ومَن قامَ ليلةَ القدرِ إيمانًا واحتِسابًا غُفِرَ لَهُ ما تقدَّمَ من ذنبِهِ
الراوي : أبو هريرة | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 2014 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa yang telah lalu. Sesiapa yang mendirikan malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa yang telah lalu.” – Shahih Al-Bukhari, no. 2014.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Maksud “lebih baik daripada seribu bulan” adalah amalan pada malam al-qadr (solat dan puasa) lebih baik daripada amalan pada 1000 bulan yang lain.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

49. Keluar Masjid Boleh Batalkan I’tikaf

0

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

49. Perkara yang membatalkan i`tikaf: Keluar dari masjid bukan kerana uzur syar`i.

وإن كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ليُدخِلُ عليَّ رأسَه، وهو في المسجدِ، فأُرَجِّلُه، وكان لا يَدخُلُ البيتَ إلا لحاجةٍ إذا كان معتكِفًا .
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 2029 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Rasulullah ﷺ pernah menghulurkan kepalanya kepadaku, sedangkan baginda di masjid, dan aku menyikat rambutnya. Baginda tidak masuk ke rumah ketika baginda beri`tikaf kecuali untuk suatu hajat. – Shahih Al-Bukhari, no. 2029.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Menurut At-Tirmidzi, inilah yang diamalkan oleh para `ulama’; seseorang yang beri`tikaf tidak boleh keluar dari tempat i`tikafnya melainkan kerana suatu keperluan manusia, misalnya untuk buang air besar dan buang air kecil. Sesiapa yang keluar bukan kerana suatu keperluan manusia, terbatallah i`tikaf mereka. Inilah pendapat Malik dan Asy-Syafi`i.

2. Ini bererti selagi mana sesuatu perkara boleh dilakukan di tempat i`tikaf, seseorang hendaklah melakukannya di tempat tersebut (tanpa keluar dari tempat i`tikaf), termasuklah:

(a) Makan dan minum.

(b) Bercakap-cakap dengan orang lain.

(c) Mandi.

(d) Tidur.

(e) Memotong kuku.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

48. Jima’ Batalkan I`tikaf

0

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

48. Perkara yang membatalkan i`tikaf: Jima`.

وَلا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عاكِفُونَ فِي الْمَساجِدِ

“Janganlah kalian menggauli mereka ketika kalian beri`tikaf di masjid-masjid.” – Surah Al-Baqarah, ayat 187.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Menurut Al-Qurthubi, telah menjadi ijma` para `ulama’ sesiapa yang menggauli isterinya ketika i`tikaf, maka terbatallah i`tikafnya. Sedangkan bercumbuan adalah makruh.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

47. Seputar Isu Wanita Beri`tikaf Di Masjid

0

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

47. Qiyam Ramadhan: Dibolehkan kepada kaum wanita untuk beri`tikaf di masjid, walaupun dalam keadaan beristihadhah.

وَلا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عاكِفُونَ فِي الْمَساجِدِ

“Janganlah kalian menggauli mereka ketika kalian beri`tikaf di masjid-masjid.” – Surah Al-Baqarah, ayat 187.

كان رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم يعتكفُ في كلِّ رمضانَ، وإذا صلى الغداةَ دخل مكانَه الذي اعتكف فيه. قال: فاستأذنَته عائشةُ أن تعتكفَ فأذن لها، فضربتْ فيه قُبَّةً، فسمعت بها حفصةُ فضربتْ قُبَّةً، وسمعت زينبُ بها فضربتْ قُبَّةً أخرى، فلما انصرف رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم من الغدِ أبصر أربعَ قبابٍ، فقال: ما هذا . فأُخبِرَ خبرهن، فقال: ما حملهن على هذا؟ آلبرُّ؟ انْزِعوها فلا أراها. فنُزِعت، فلم يعتكفْ في رمضانَ حتى اعتكفَ في آخرِ العشرِ من شوالٍ.
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 2041 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Rasulullah ﷺ beri`tikaf pada setiap bulan Ramadhan. Apabila baginda selesai solat Subuh, baginda masuk ke tempat i`tikafnya. Yahya (perawi) berkata: `A’isyah telah meminta izin untuk beri`tikaf, dan baginda mengizinkannya. Lalu `A’isyah membuat satu kubah (untuk beri`tikaf) di dalamnya. Lalu Hafsah mendengar tentangnya, dan dia membuat kubah yang lain. Lalu Zainab mendengar tentangnya, dan dia membuat kubah yang lain. Ketika Rasulullah ﷺ selesai solat Zuhur, baginda melihat 4 buah kubah, lalu baginda bertanya: “Apakah semua ini?” Lalu baginda diberitahu tentang apa yang dilakukan oleh isteri-isterinya. Baginda berkata: “Apa yang menyebabkan mereka melakukan ini? Kebaikan? Robohkan semua ini, aku tidak mahu melihatnya.” Lalu kubah-kubah tersebut dirobohkan. Baginda tidak meneruskan i`tikaf pada Ramadhan tersebut sehingga baginda beri`tikaf pada 10 hari akhir bulan Syawal. – Shahih Al-Bukhari, no. 2041.

اعتَكفت مع رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم امرأةٌ مِن أزواجِهِ ، فكانتْ تَرى الدَّمَ والصُّفرَةَ والطَّستُ تَحتَها وهي تُصلِّي.
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 310 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Salah seorang isteri Nabi ﷺ yang mengalami istihadhah beri`tikaf bersama baginda dalam keadaan masih keluar darah dan lendir kekuningan. Dia mengerjakan solat dengan meletakkan bekas di bawahnya. – Shahih Al-Bukhari, no. 310.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Para `ulama’ berbeza pendapat tentang i`tikaf para wanita di masjid; sebahagiannya berpendapat lebih baik beri`tikaf di tempat yang dikhususkan untuk i`tikaf di rumahnya, sedangkan jumhur mengatakan wanita boleh beri`tikaf di masjid. Kata Ibn Hajar Al-`Asqalani mengenai ayat 187 surah Al-Baqarah: Seandainya i`tikaf sah dilakukan di luar masjid, pasti pengharaman mubasyarah tidak akan dikhususkan di dalam masjid sahaja.

2. Para wanita dibolehkan untuk beri`tikaf di masjid sekiranya memenuhi beberapa syarat:

(a) Mesti mendapat keizinan daripada suami, sebagaimana yang dilakukan oleh Ummu Al-Mu’minin `A’isyah radhiyallahu `anha.

(b) Tidak menimbulkan fitnah atau godaan bagi kaum lelaki, seperti tidak menutup aurat dengan sempurna atau memakai wangi-wangian.

3. Wanita yang mengalami istihadhah juga dibolehkan untuk beri`tikaf di masjid sekiranya dia mampu menjaga dirinya daripada mengotori masjid. Syarat yang sama juga dikenakan kepada pesakit yang mengalami masalah salisul baul (kencing tidak lawas).

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

46. I`tikaf Tiada Batasan Minimum

0

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

46. Qiyam Ramadhan: I`tikaf tiada batasan minimum.

أنَّ عمرَ سألَ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ قالَ : كنتُ نَذَرْتُ في الجاهليَّةِ أنْ أعْتَكِفَ ليلةً في المسجدِ الحرامِ ؟ . قالَ : ( فَأَوفِ بِنَذْرِكَ ) .
الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 2032 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

`Umar bertanya kepada Nabi ﷺ: “Sewaktu jahiliyyah, aku pernah bernazar untuk beri`tikaf selama satu malam di Masjid Al-Haram.” Kata baginda: “Tunaikan nazarmu.” – Shahih Al-Bukhari, no. 2032.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Hadits ini menunjukkan bahawa:

(a) Dibolehkan untuk beri`tikaf pada malam hari sahaja. Misalnya seseorang yang beri`tikaf bermula selepas tarawih sehingga ke waktu sahur (kerana dia bekerja pada siang hari).

(b) Nazar untuk perkara ketaatan hendaklah ditunaikan.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Tanda Kiamat: Banyak Qurra’ (Mahir AQ) Sedikit Fuqaha’ dan Ulama’

0

TKK 58/131 Akan Tiba Terdapat Banyak Qurra’ (Mahir AQ) Sedikit Fuqaha’ dan Ulama’

(زمان يكثر فيه القراء ويقل الفقهاء والعلماء )

Tanda Kiamat kecil yang seterusnya ialah akan tiba suatu masa di mana terdapat banyak hafiz al-Qur’an, banyak musabaqah, banyak orang yang mahir membaca, tarannum dan tartil, namun sedikitnya ahli fiqih dan ulama’.

Dalil hadith:

سَيَأتِي على أُمَّتِي زمانٌ تَكثُرُ فيه القُرَّاءُ ، وتَقِلُّ الفُقَهاءُ ، ويُقبَضُ العِلمُ ، ويَكثُرُ الهَرْجُ ، قالوا : وَمَا الهَرْجُ يا رسولَ اللهِ ؟ قال : القتلُ بينكم ، ثم يأتي بعد ذلك زمانٌ يَقرأُ القرآنَ رجالٌ لا يُجاوزُ تَراقِيَهم ، ثم يأتي مِن بعدِ ذلك زمانٌ يُجادِلُ المُنافقُ والكافرُ المشركُ باللهِ المُؤمنَ بِمِثلِ ما يقولُ

Dari Abu Hurayra, Nabi saw bersabda:
” Akan tiba masanya pada umatku terdapat ramai qurra’, sedikit fuqaha’, tercabutnya ilmu dan banyak kejadian al-haraj. Ditanya apakah itu al-Haraj? Jawabnya, pembunuhan sesama sendiri. Kemudian akan tiba satu masa, terdapat pembaca AQ tapi bacaannya tidak melepasi kerongkong mereka. Kemudian akan tiba masanya di mana orang munafik, kafir dan musyrik membantah orang mukmin sama dengan ungkapannya.” HR al-Hakim dan Tabrani,
kata syaikh al-Arifi

( رواه الحاكم وصححه ووافقه الذهبي والطبراني في الأوساط وله شواهد في الصحيحين )

Disahihkan oleh al-Haakim dan disepakati az-Zahabi, ada penguat dalam Bukhari-Muslim)
Komen: namun hadith matan hadith ni didhaifkan oleh syaikh albani.

Ini lafaz yang menguatkan hadith ini:

ن عبد الله بن عمرو رضي الله عن أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:« إن الله عز وجل لا يقبض العلم انتزاعا ينزعه من الناس ,ولكن يقبض العلم بقبض العلماء حتى إذا لم يبق عالما اتخذ الناس رؤوسا فسئلوا فأفتوا بغير علم فضلوا وأضلوا

” Dari Abdullah bin Amru ra
“Allah mencabut ilmu bukan sekali gus tetapi dengan cara mematikan para ulamak, jika ulama sudah tiada, muslim akan mengangkat penguasa dari kalangan orang jahil yang berfatwa tanpa ilmu, hingga mereka sesat dan menyesatkan.
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

Di saudi sahaja dalam dua tahun 3 ulama wafat, syaikh Albani, Uthaimiin tahun 1999 dan Syaikh Bin Baz tahun 2000. yang terbaru ialah Dr Wahbah Zuhaili di Syria.

Rumusan: Kita sedang melalui tanda kiamat:

1. Banyak hafiz AQ dan pembaca AQ
2. Sedikit ahli fiqih yang mahir
3. Matinya para ulama’ yang tidak lagi dapat diganti

Soalan: Bacaan tidak melepasi kerongkong , macam mana maksudnya syeikh? adakah sekadar membaca tetapi tidak manfaat dari apa yg dihafaz?

THTL: Baca tapi tak faham

Soalan: al Haraj tu diantara siapa ? muslim dengan muslim ke atau dengan non muslim?

THTL:
Haraj = perang sesama muslim

36. Solat Malam Tiada Penetapan Raka’at

0

Susunan Ustaz Adli Khalim
Ringkasan Fiqh Ramadhan:

36. Qiyam Ramadhan: Solat malam tiada penetapan raka`at.

ما كان يزيدُ في رمضانَ ولا غيرِه على إحدى عشْرةَ ركعةً، يصلي أربعُ ركَعاتٍ ، فلا تَسألْ عن حُسنِهن وطولِهن، ثم يصلي أربعًا، فلا تسألْ عن حُسنِهن وطولِهن، ثم يصلي ثلاثًا، فقلتُ: يا رسولَ اللهِ تنامُ قبلَ أن تُوتِرَ؟ قال: تنامُ عيني ولا ينامُ قلبي.
الراوي : عائشة أم المؤمنين | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 3569 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Baginda tidak menambah bilangan raka`at di bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain melebihi 11 raka`at. Baginda solat 4 raka`at, dan jangan engkau tanyakan tentang bagusnya serta panjangnya setiap raka`at. Kemudian baginda solat 4 raka`at, dan jangan engkau tanyakan tentang bagusnya serta panjangnya setiap raka`at. Kemudian baginda solat 3 raka`at. Aku (`A’isyah) bertanya: “Ya Rasulullah! Adakah engkau tidur sebelum mengerjakan witir?” Jawab baginda: “Kedua-dua mataku tidur, tetapi qalbuku tidak tidur.” – Shahih Al-Bukhari, no. 3569.

صلاةُ الليلِ مَثْنى مَثْنى. فإذا رأيتَ أنَّ الصبحَ يُدركُك فأَوتِرْ بواحدةٍ. فقيل لابنِ عمرَ: ما مَثْنَى مَثْنَى؟ قال: أن تُسلِّمَ في كلِّ ركعتَينِ.
الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : مسلم | المصدر : صحيح مسلم
الصفحة أو الرقم: 749 | خلاصة حكم المحدث : صحيح

“Solat malam 2 raka`at, 2 raka`at. Apabila engkau lihat Subuh akan masuk, lakukanlah solat witir satu raka`at.” Ibn `Umar ditanya: “Apa maksud 2 raka`at, 2 raka`at?” Jawabnya: “Engkau memberi salam setiap 2 raka`at.” – Shahih Muslim, no. 749.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Sebahagian pihak berkeras dengan mengatakan jumlah raka`at tarawih adalah 11 raka`at, kerana Nabi ﷺ tidak pernah menambah lebih daripada jumlah tersebut. Hujahnya adalah hadits `A’isyah di atas.

2. Namun, mereka lupa bahawa 11 raka`at adalah suatu kebiasaan yang dilakukan oleh baginda, bukannya suatu ketetapan. Berdasarkan hadits Ibn `Umar, baginda tidak menetapkan jumlah raka`at solat malam, namun baginda cuma menyebutkan solat malam 2 raka`at, 2 raka`at.

3. Inilah juga pegangan para `ulama’ salaf, sebagaimana yang disebutkan oleh At-Tirmidzi:

(a) Para `ulama’ berbeza pendapat tentang (bilangan raka`at untuk) qiyam Ramadhan. Sebahagiannya berpendapat solat malam sebanyak 41 raka`at termasuk witir, ini adalah qaul ahli Madinah, dan diamalkan di Madinah.

(b) Kebanyakan ahli ilmu pula berpendapat seperti apa yang diriwayatkan daripada `Umar, `Ali, dan selain kedua-duanya daripada sahabat Nabi ﷺ, bahawa solat malam sebanyak 20 raka`at, dan inilah qaul Ats-Tsauri, Ibn Al-Mubarak, dan Asy-Syafi`i.

(c) Kata Asy-Syafi`i: “Ini yang aku dapati di negeri kami, di Makkah, mereka solat sebanyak 20 raka`at.”

(d) Kata Ahmad: “Diriwayatkan dalam bab ini pelbagai pendapat,” dan beliau (Ahmad) tidak menentukan pendapat yang dipilihnya.

(e) Kata Ishaq: “Bahkan, kami memilih pendapat (solat malam) 41 raka`at, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ubay bin Ka`ab.”

4. Kata Ibn Taimiyyah: “Ketika `Umar menghimpunkan orang ramai dan Ubay bin Ka`ab sebagai imam, Ubay melakukan solat sebanyak 20 raka`at, kemudian witir sebanyak tiga raka`at. Namun, ketika itu bacaan setiap raka`at menjadi lebih ringan dengan bilangan raka`at yang ditambah. Ini lebih ringan bagi ma’mum daripada melakukan satu raka`at dengan bacaan yang panjang.”

= = = = = = = = = =

Hashtag: #fiqhpuasa

Popular

Iklan

Iklan