Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-43 dan Ke-44

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-43 dan Ke-44

40558
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-43:

 

لا جَرَمَ أَنَّما تَدعونَني إِلَيهِ لَيسَ لَهُ دَعوَةٌ فِي الدُّنيا وَلا فِي الآخِرَةِ وَأَنَّ مَرَدَّنا إِلَى اللهِ وَأَنَّ المُسرِفينَ هُم أَصحابُ النّارِ

“Tidak syak lagi, bahawa makhluk-makhluk yang kamu ajak aku menyembahnya itu tidak dapat menyahut sebarang seruan (atau memberikan sebarang pertolongan) sama ada di dunia atau di akhirat; dan sesungguhnya tempat kembali kita semua ialah kepada Allah SWT, dan sebenarnya orang-orang yang melampau kejahatannya itu, merekalah ahli neraka.

 

لَا جَرَمَ

“Tidak syak lagi”

 

Kalimah ini sebagai tahkik (penegasan, penguat) tentang apa yang hendak dikatakan. Maksudnya: Tidak syak lagi.

أَنَّمَا تَدْعُونَنِي إِلَيْهِ

“Sesungguhnya apa yang kamu ajak aku kepadanya”

 

Apa yang mereka ajak? Mereka mengajak sembah Firaun dan menyeru sembahan-sembahan yang lain, selain daripada Allah SWT.

لَيْسَ لَهُ دَعْوَةٌ

“tidak ada baginya suatu kuasa yang boleh terima doa kita”

 

Maknanya, yang disembah itu tidak dapat hendak menjawab doa kita. Bertepuk sebelah tangan sahaja. Yang berdoa kepada selain Allah SWT itu, sia-sia sahaja. Mereka tidak tahu pun yang ada orang berdoa kepada mereka kerana mereka tidak ada kuasa. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh mendengar doa kita.

Kalau seru kepada para Nabi pun, semuanya telah wafat dan tidak lagi mendengar permohonan mereka. Begitu juga dengan para wali, mereka juga telah mati. Jika malaikat mendengar pun, mereka tidak ditugaskan untuk mendengar doa dan menyampaikan doa kita kepada Allah SWT. Mereka hanya menjalankan tugas spesifik yang telah diberikan kepada mereka oleh Allah SWT.

Allah SWT telah sebut dalam ayat lain:

إِنْ تَدْعُوهُمْ لَا يَسْمَعُوا دُعَاءَكُمْ وَلَوْ سَمِعُوا مَا اسْتَجَابُوا لَكُمْ

“Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruan mu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaan mu.” (Fatir: 14)

 

فِي الدُّنْيَا وَلَا فِي الْآخِرَةِ

“di dunia ini dan tidak juga di akhirat”

 

Mereka tidak dapat membantu apa-apa pun, sama ada di dunia atau di akhirat kerana mereka tidak dapat mendengar doa kita semasa di dunia dan semasa di akhirat pun. Jika seseorang itu ada di hadapan kita dan kita minta tolong kepada orang itu, bolehlah dia tolong. Tetapi kalau dia di tempat lain, alam lain, bagaimana dia hendak dengar?

Banyak kisah-kisah mengarut dari golongan sufi yang menceritakan bagaimana ada wali-wali mereka yang boleh dengar permintaan manusia walaupun mereka ada di tempat yang jauh. Ini tidak benar, dan kisah-kisah itu tidak boleh dipertanggungjawabkan. Melalui pengalaman, golongan yang menggelar diri mereka ahli sufi dan ada dalam tarekat, mereka itu tidak berilmu dan senang untuk ditipu dengan kisah-kisah dongeng.

Kalau di akhirat nanti, sembahan-sembahan mereka itu tidak dapat membantu sesiapa pun. Nabi dan wali itu sendiri ada masalah masing-masing dan tidak dapat hendak bantu sesiapa. Orang yang menyeru kepada Nabi, wali dan malaikat itu sangka, kalau dulu di dunia, mereka selalu sembah dan seru, tentulah sembahan-sembahan itu akan tolong mereka semasa di akhirat. Namun, ini tidak akan berlaku seperti yang disebut dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain.

وَأَنَّ مَرَدَّنَا إِلَى اللهِ

“dan kembalian kita semua kepada Allah SWT juga”.

 

Kita semua akan kembali kepada Allah SWT selepas kita mati nanti dan akan menjawab segala amalan dan perbuatan kita. Kalau kita akan akhirnya kembali kepada Allah SWT, maka kita kena takut kepada-Nya, taat kepada-Nya, seru kepada-Nya dan sembah hanya kepada-Nya sahaja.

وَأَنَّ الْمُسْرِفِينَ هُمْ أَصْحَابُ النَّارِ

“Dan sesungguhnya orang yang melampau itu adalah ahli neraka”.

 

Melampau yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melampau dalam hal akidah. Kalau melampau dalam hal akidah, itu maknanya telah melakukan syirik. Mereka yang melakukan syirik semasa di dunia, akan kekal di dalam neraka selama-lamanya kerana mereka telah melakukan syirik dan Allah SWT telah berfirman dalam ayat yang lain, yang Dia tidak akan mengampunkan segala kesalahan syirik.

Banyak kali disebut-sebut telah mereka yang ‘melampau’. Kerana itulah yang mereka lakukan. Sebagai contoh, Firaun melampau dengan mengatakan yang dia adalah tuhan. Itu adalah melampau yang paling besar sekali, kerana sampai mengaku tuhan.

Tidaklah ramai yang ada mengaku sebagai tuhan. Tetapi yang ramai buat adalah melampau dalam hal akidah juga. ‘Melampau’ itu bermaksud, buat sesuatu yang tidak ada dalil dalam dalil yang sah. Kalau memandai-mandai buat perkara yang tidak ada dalil, itu sudah melampau namanya.

Firaun dan pengikutnya juga telah melampau dalam hal selain dari akidah, seperti dalam tindakan mereka kepada Bani Israil – mereka hambakan Bani Israil, mereka seksa dan buat macam-macam lagi kekejaman kepada Bani Israil. Itu juga adalah perkara yang melampau. Tetapi yang paling teruk adalah melampau dalam hal akidah. Kerana yang melampau dalam hal akidah, tidak akan mendapat pengampunan dari Allah SWT, dan kerana itu mereka akan kekal dalam neraka.

Mereka juga melampau dalam menentang Nabi Musa a.s. Sesiapa yang menentang Rasulullah, tidak akan selamat.

 

Tafsir Ayat Ke-44

Kata-kata terakhir Lelaki Mukmin itu.

فَسَتَذكُرونَ ما أَقولُ لَكُم ۚ وَأُفَوِّضُ أَمري إِلَى اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ بَصيرٌ بِالعِبادِ

“Kamu sudah tentu akan mengetahui kebenaran apa yang aku katakan kepada kamu; dan aku sentiasa menyerahkan urusan ku bulat-bulat kepada Allah SWT (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah SWT Maha Melihat akan keadaan hamba-hamba-Nya”.

 

فَسَتَذْكُرُونَ مَا أَقُولُ لَكُمْ

“Kamu pasti akan ingat kembali apa yang aku kata kepada kamu”

 

Sekarang kamu tidak kisah dengan apa yang aku cakap, tetapi nanti kamu akan ingat apa yang aku katakan ini. Kamu akan tahu bahawa apa yang aku katakan ini adalah benar belaka. Bila? Di akhirat nanti. Waktu itu jika baru tersedar, memang sudah terlambat.

وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللهِ

“Dan aku menyerahkan urusan ku hanya kepada Allah SWT”

 

Sekarang baru dia mengaku dia telah menganut Islam. Bukankah Muslim itu bermaksud menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT?

Lelaki Mukmin itu kata: Aku telah jalankan tugas ku menyampaikan dakwah kepada kamu, sekarang aku serah kepada Allah SWT sahaja. Dia yang akan uruskan segalanya. Hamba Mukmin ini tahu yang dia hanya boleh sampaikan sahaja, maka sama ada diterima atau tidak, terpulang kepada Allah SWT. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh beri taufik hingga mereka mahu terima Islam atau tidak.

Dia juga serahkan dirinya kepada Allah SWT. Sebab sudah boleh agak yang dia akan berada dalam keadaan bahaya atas kata-katanya itu. Mereka tentu akan cuba untuk bunuh dia nanti. Dia tahu yang Allah SWT yang akan uruskan segalanya. Inilah tawakal namanya.

إِنَّ اللهَ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ

“Sesungguhnya Allah SWT Maha Melihat keadaan hamba”

 

Allah SWT Maha Tahu mereka yang hendak berkhianat dan keadaan Lelaki Mukmin yang takut kena bunuh oleh mereka. Sebab itu dia serahkan dirinya kepada Allah SWT sahaja.

Ini adalah kata-kata doa seorang mukmin kepada Allah SWT. Sebab dia nampak mereka hendak lawan balik. Seorang yang mukmin akan berserah kepada Allah SWT sahaja, dengan berdoa kepada Allah SWT sahaja.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan