Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-102 hingga Ke-105

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-102 hingga Ke-105

160
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am

Tafsir Ayat Ke-102

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kita. Allah ‎ﷻ banyak memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an supaya kita dapat mengenali-Nya. Maka, gunakanlah maklumat tentang-Nya yang telah diberitahu dalam Al-Qur’an. Inilah ilmu Tauhid yang sebenarnya.

ذٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُم ۖ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ خٰلِقُ كُلِّ شَيءٍ فَاعبُدوهُ ۚ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ وَكيلٌ

Yang demikian (sifat-sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ

(Yang memiliki sifat-sifat yang) demikian itu ialah Allah Tuhan kamu;

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ telah menerangkan tentang Diri-Nya. Itulah Allah ‎ﷻ dengan sifat-sifat-Nya yang perlu diketahui. Hanya Dia sahaja yang mempunyai kekuasaan seperti itu.

Allah ‎ﷻlah yang memberi segala keperluan hidup kepada kita. Itulah maksud ‘Rabb’. Perkataan ‘Rabb’ bukan sahaja bermaksud ‘Tuhan’, tetapi bermaksud Tuhan yang mencipta, memelihara, menjaga dan tuan kepada seluruh makhluk.

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

tidak ada Tuhan selain Dia;

Ini adalah penolakan syirik yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan sesiapa sahaja. Dalam ayat sebelum ini, disebut bagaimana puak musyrik mengatakan Allah ‎ﷻ mempunyai anak. Anak itu pula disembah, dipuja dan diibadati. Maknanya mereka dijadikan sebagai ilah.

Oleh itu, dalam ayat ini, ditegaskan bahawa tidak ada tuhan yang disembah, dipuja dan diibadati melainkan Allah ‎ﷻ. Maknanya tidak ada ilah selain Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu penekanan akidah untuk menolak kesyirikan yang dilakukan oleh manusia.

Tidak ada tempat pergantungan dan pengharapan bagi kita melainkan Allah ‎ﷻ semata-mata. Maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Ibadah doa hanya boleh ditujukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kerana jahil perkara inilah yang menyebabkan ramai yang bertawasul kepada Nabi, wali, malaikat dan juga jin.

خٰلِقُ كُلِّ شَيْءٍ

Pencipta segala sesuatu,

Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh mencipta segala sesuatu. Jin dan makhluk lain adalah makhluk sahaja, tidak boleh menjadikan apa-apa. Allah ‎ﷻ sahaja Maha Pencipta, tidak ada yang lain.

فَاعْبُدُوهُ

maka sembahlah Dia;

Apabila Tuhan itu hanya Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ sahaja yang berkuasa penuh mencipta sesuatu, maka sembah dan doa hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Taat kepada Dialah sahaja. Kenapa mahu sembah kepada selain Allah ‎ﷻ? Sedangkan tiada sesiapapun selain Allah ‎ﷻ yang mampu untuk mencipta apa-apa walaupun seekor nyamuk.

Berhentilah daripada menggunakan tawasul dalam doa kita. Gunakanlah tawasul yang diajar oleh Nabi ﷺ. Oleh itu, berhentilah daripada membuat Salat Hajat berjama’ah kerana itu adalah salah satu cara tawasul yang salah. Gunakanlah sahaja tawasul sepertimana yang telah diajar oleh Nabi ﷺ kita.

Yang sepatutnya kita lakukan adalah salat sunat sendiri sahaja (salat sunat mutlak) kalau kita ada hajat apa-apa. Tidak perlu susah-susah: kalau ada hajat apa-apa, ada keperluan untuk bercakap dengan Allah ‎ﷻ, salat sunat sahaja dua rakaat dan selepas itu berdoa sendiri-sendiri. Itulah cara yang dibuat oleh Nabi ﷺ.

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu

Allah ‎ﷻlah yang menjaga seluruh makhluk kerana Allah ‎ﷻ Tuhan sekalian alam termasuklah tuhan kepada orang orang kafir sekalipun.

Kalimah وَكِيلٌ adalah seperti pengurus yang mengurus orang bawahannya. Allah ‎ﷻ sahaja yang mempunyai kuasa dan kebolehan untuk menjaga, sebab itu Dia sahaja layak menjadi pengurus. Allah ‎ﷻ pula adalah وَكِيلٌ kepada seluruh alam dan setiap perkara. Adakah entiti lain yang seperti Allah ‎ﷻ yang mampu buat begitu?

Oleh itu, kenapa mahu sembah kepada yang lain kalau Allah ‎ﷻ sahaja yang menguruskan segalanya? Lihatlah bagaimana kebanyakan manusia telah salah faham dan disesatkan oleh syaitan. Malangnya ada manusia yang sembah pokok kerana mereka kata pokok memberi makanan kepada mereka. Ada yang sembah matahari kerana mereka takut kalau matahari kuat sangat, maka rosak tanaman mereka, jadi mereka sembah matahari kononnya supaya matahari tidak merosakkan tanaman itu.

Ada yang sembah bulan kerana bulan yang menyebabkan air pasang surut dan mereka bergantung kepada air pasang untuk menangkap ikan. Ada yang sembah bintang kerana mereka kata bintanglah yang menyebabkan nasib mereka baik. Tidakkah mereka sedar yang itu semua adalah makhluk yang tidak mempunyai kuasa apa-apa?

Kenapa mahu sembah makhluk, sedangkan Allah ‎ﷻ satu-satunya yang menguruskan semua makhluk? Kalau kita kata makhluk itu ada kuasa untuk melakukan sesuatu, maka itu sudah syirik namanya.

Tafsir Ayat Ke-103

لّا تُدرِكُهُ الأَبصٰرُ وَهُوَ يُدرِكُ الأَبصٰرَ ۖ وَهُوَ اللَّطيفُ الخَبيرُ

Dia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.

لَّا تُدْرِكُهُ الْأَبْصٰرُ

Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata,

Allah ‎ﷻ tidak boleh dilihat dengan pandangan mata kita. Nabi Muhammad ﷺ semasa mi’raj pun tidak nampak Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ dihijab oleh cahaya. Bagaimana mungkin kita boleh melihat Allah ‎ﷻ sedangkan pandangan kita terbatas untuk melihat Allah ﷺ? Mata kita dalam dunia ini amat terhad. Bandingkan mata kita dengan kucing pun sudah lain kerana kucing boleh melihat dalam gelap, tetapi mata kita tidak boleh melihat dalam gelap.

Maka, semua manusia, termasuk Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah melihat Allah ‎ﷻ dalam dunia. Begitu juga kita boleh lihat kisah Nabi Musa عليه السلام dalam [ A’raf: 143 ] bilamana Nabi Musa عليه السلام meminta untuk melihat Allah ‎ﷻ. Baginda sudah dapat bercakap-cakap dengan Allah ‎ﷻ, maka baginda teringin juga melihat Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ jawab yang baginda tidak mampu untuk melihat-Nya.

Daripada ayat ini, dapatlah kita tahu bahawa di dunia, kita tidak dapat melihat Allah ‎ﷻ. Maka, kalau ada golongan tarekat yang kata, ada manusia yang boleh melihat Allah ‎ﷻ, boleh berjumpa Allah ‎ﷻ semasa hidup di dunia ini, itu adalah pandangan yang sesat. Dan mereka sememangnya golongan yang sesat dan senang ditipu oleh syaitan kerana kejahilan mereka.

وَلَمَّا جَاءَ مُوسَىٰ لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَن تَرَانِي وَلَٰكِنِ انظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًا فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ

Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: “Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau”. Tuhan berfirman: “Engkau sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tetapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) nescaya engkau dapat melihat-Ku”. Tatkala Tuhannya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Maka setelah Musa sedar kembali, dia berkata: “Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman”.

Kalimah تُدْرِكُهُ berasal daripada perkataan د ر ك yang bermaksud ‘mengetahui sesuatu dengan mendalam’; iaitu tahu segala-galanya. Selain itu, ia juga membawa satu lagi maksud: walaupun kita boleh nampak Allah ‎ﷻ di syurga nanti, (kalau kita masuk syurga), kita masih tidak akan dapat mengetahui segala-galanya tentang Allah ‎ﷻ.

Ini bermaksud, Allah ‎ﷻ tidak boleh digarap oleh kita, makhluk-Nya. Kita setakat boleh lihat sahaja nanti. Sama juga seperti kalau kita lihat sesuatu benda, sebagai contoh kita lihat kereta. Memang kita boleh lihat, tetapi kita tidak tahu segala-galanya tentang kereta itu hanya daripada melihatnya sahaja, bukan? Walau bagaimanapun, dapat melihat Allah ‎ﷻ itu pun merupakan suatu nikmat yang amat amat besar. Tidakkah kita mahu melihat Tuhan yang telah mencipta kita?

Oleh itu, kita tidak mungkin akan dapat mengenal Allah ‎ﷻ sepenuhnya. Akal kita tidak akan dapat menggarap-Nya. Maka, tidak perlulah kita fikirkan jauh-jauh dan dalam-dalam tentang hakikat Allah ‎ﷻ, kerana memang akal kita tidak akan dapat mencapainya. Buang masa dan gagallah mereka yang mencubanya.

Kenallah Allah ‎ﷻ melalui maklumat yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan kepada kita melalui Al-Qur’an dan hadith Nabi, dan jangan lebih daripada itu. Kita tahu, ada dalam kalangan manusia yang tidak henti-henti cuba memikirkan tentang Allah ‎ﷻ. Mereka akan tanya: “apa Allah buat, bagaimana kedudukan Allah sekarang, kenapa Allah suka marah-marah, kenapa Allah buat neraka, kenapa Allah buat begini, begitu dan sebagainya”.

Itu adalah pemikiran yang sia-sia. Soalan sebegitu Allah ‎ﷻ tidak akan jawab. Kalau soalan manusia itu sepatutnya dijawab, Allah ‎ﷻ sudah jawab sejak dahulu lagi. Maka, jangan cari perkara yang tidak perlu dicari. Kalaulah Allah ‎ﷻ menyingkap hijab-Nya kepada makhluk, maka seluruh alam ini akan hancur berkecai.

Walau bagaimanapun ahli syurga nanti boleh melihat Allah ‎ﷻ di syurga dan ahli neraka akan ditutup daripada berjumpa dan memandang Allah ‎ﷻ seperti yang diberitahu kepada kita di dalam ayat [ Mutaffifin:15 ]:

كَلَّا إِنَّهُمْ عَن رَّبِّهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّمَحْجُوبُونَ

Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar tertutup daripada melihat Tuhan mereka.

Ini adalah kerana pada waktu itu Allah ‎ﷻ telah menaiktaraf pandangan mata kita. Mata kita bukan seperti mata kita di dunia ini. Rujuk juga ayat [ Qiyamah:22-23 ]:

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ

Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri.

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Kepada Tuhannyalah mereka melihat.

Terdapat banyak hadith yang menyebut bagaimana manusia akan dapat melihat Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, ada hadith dalam Sahih Bukhari yang menyebut tentangnya:

عَنْ جَرِيرٍ، قَالَ كُنَّا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَنَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةً ـ يَعْنِي الْبَدْرَ ـ فَقَالَ ‏”‏ إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ، فَإِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ لاَ تُغْلَبُوا عَلَى صَلاَةٍ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا فَافْعَلُوا ‏”‌‏.‏ ثُمَّ قَرَأَ ‏{‏وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ الْغُرُوبِ‏}‌‏.‏ قَالَ إِسْمَاعِيلُ افْعَلُوا لاَ تَفُوتَنَّكُمْ‏.‏

Daripada Jarir bin ‘Abdullah berkata, “Pada suatu malam kami pernah bersama Nabi ﷺ, baginda melihat ke arah bulan purnama. Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya kalian akan melihat Rabb kalian sebagaimana kalian melihat bulan purnama ini. Dan kalian tidak akan mengalami kesulitan dalam melihat-Nya. Maka jika kalian mampu untuk menjaga salat sebelum terbit matahari (salat Subuh) dan sebelum terbenamnya (Salat Asar), maka jagalah.” Baginda kemudian membaca ayat: ‘(Dan bertasbihlah sambil memuji Rabbmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya) ‘ (Qaaf: 39). Isma’il menyebutkan, “Oleh itu jangan sekali-kali dua salat itu terlepas daripadamu. Jagalah keduanya dengan baik.”

Maka, ayat ini menyebut kita tidak boleh melihat Allah ‎ﷻ hanya ketika dalam dunia sahaja. Nanti di akhirat kelak ada harapan untuk melihat Allah ‎ﷻ.

Ayat ini menjawab hujah Musyrikin Mekah yang hendak melihat Allah ‎ﷻ. Mereka konon tidak mahu percaya sehinggalah mereka dapat melihat Allah ‎ﷻ dengan mata kepala mereka sendiri. Itulah juga permintaan kaum Nabi Musa عليه السلام dahulu. Dan kita pun sudah tahu apakah kesudahan mereka selepas mereka meminta untuk melihat Allah ‎ﷻ. Sila rujuk ayat [ Baqarah:55 ].

وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَىٰ لَن نُّؤْمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: “Hai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang, kerana itu kamu disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya”.

وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصٰرَ

sedang Dia dapat melihat segala penglihatan;

Allah ‎ﷻ boleh melihat segalanya. Dia bukan sahaja boleh melihat semua yang boleh dilihat oleh makhluk, tetapi Dia juga ‘melihat segala penglihatan’. Dia melihat siapa yang melihat. Dia juga tahu apa yang kita lihat, berapa lama kita lihat sesuatu itu, apa yang kita fikirkan semasa melihatnya dan sebagainya.

Bukankah ada benda yang kita tidak patut lihat, tetapi kita melihatnya juga? Ada benda yang kita lihat dengan niat yang tidak baik, dengan khianat. Ada perkara yang kita lihat dengan nafsu yang tidak sepatutnya. Ternampak wanita cantik, tetapi lama pula kita tenung, bukan? Malah macam-macam lagi. Itu semua Allah ‎ﷻ boleh nampak.

Ini mengingatkan kita bahawa Allah ‎ﷻ nampak segala pergerakan dan penglihatan mata kita. Tidak takutkah kita dengan-Nya? Tidak malukah kita dengan-Nya? Ini mengingatkan kita untuk menjaga pandangan kita.

وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ

dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Asma’ اللَّطِيفُ bukanlah bermaksud Allah ‎ﷻ yang halus, tetapi bermaksud Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya termasuk perkara-perkara yang halus sekalipun. Ia berasal daripada perkataan ل ط ف yang asalnya bermaksud ‘baik dan mesra’, ‘lembut, peramah dengan orang yang di sekeliling’.

Kita sebagai manusia yang terbatas pancaindera kita mungkin hanya boleh melihat yang kasar dan jelas sahaja. Tetapi Allah ‎ﷻ mengetahui segala-galanya termasuk yang halus.

Allah ‎ﷻ juga Maha Lembut. Dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ juga Maha Gagah. Kenapa ada dua sifat yang amat berlainan? Kerana Allah ‎ﷻ ada dua-dua sifat itu. Bayangkan kalau seorang lelaki yang kuat dan gagah, otot berketul-ketul, mungkin dia akan susah hendak memegang bayi yang kecil kerana tenaganya kuat sangat sampaikan boleh menyakitkan bayi itu.

Maknanya, dia hanya gagah, tetapi tidak lembut. Allah ‎ﷻ bukan begitu. Allah ‎ﷻ telah tunjukkan bagaimana Dia mencipta makhluk yang besar tetapi dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ boleh membelah biji benih, menumbuhkan tanaman yang halus dan sebagainya.

Kalimah الْخَبِيرُ pula bermaksud Allah ‎ﷻ tahu segala perkara dengan amat mendalam. Iaitu bukan sahaja Allah ‎ﷻ tahu yang zahir, tetapi yang batin pun Allah ‎ﷻ tahu juga.

Tafsir Ayat Ke-104:

Tugas kenabian yang pertama adalah menyampaikan.

قَد جاءَكُم بَصائِرُ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن أَبصَرَ فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن عَمِيَ فَعَلَيها ۚ وَما أَناْ عَلَيكُم بِحَفيظٍ

(Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu”.

قَدْ جَاءَكُم بَصَائِرُ مِن رَّبِّكُمْ

Sesungguhnya telah datang bukti-bukti yang terang daripada Tuhanmu;

Kalimah بَصَائِرُ adalah jamak daripada perkataan بَصِيرَة yang bermaksud ‘melihat dengan penuh faham’. Bukan melihat biasa sahaja, tetapi dengan kefahaman. Dalam ayat ini ia bermaksud bukti-bukti yang boleh dilihat, iaitu bukti-bukti yang sepatutnya sudah jelas kepada kita. Ia tidak sama dengan perkataan بَصَرَ yang hanya bermaksud ‘melihat’.

Untuk lebih memahami, perkataan بَصَرَ digunakan apabila seseorang melihat pokok, tetapi بَصِيرَة digunakan apabila orang itu melihat pokok itu dan memikirkan ‘dari manakah pokok itu datang’? Apabila dia mula memikirkan, dia akan sampai kepada hakikat bahawa pokok itu dijadikan oleh Allah ‎ﷻ.

Oleh kerana itulah Allah ‎ﷻ suruh kita lihat alam ini kerana dengan melihat alam ini, ia akan mendekatkan diri kita dengan Allah ‎ﷻ.

Perkataan ini mengingatkan kepada kita untuk menggunakan pemikiran kita dalam melihat. Janganlah kita melihat ayat-ayat Al-Qur’an dan tanda-tanda pada alam ini dengan mata yang kosong sahaja tetapi hendaklah kita memikirkan bagaimana tanda-tanda itu semuanya menunjuk kepada kewujudan dan kebesaran Allah ‎ﷻ. Hendaklah kita mentadabbur ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

Bukti-bukti yang benar itu telah Allah ‎ﷻ bawakan di dalam Al-Qur’an ini. Dan bukan hanya Al-Qur’an sahaja kerana kalimah بَصَائِرُ itu di dalam bentuk jamak. Jadi ada banyak punca untuk kita kenal agama ini dan memang salah satunya adalah dengan Al-Qur’an. Kebenaran tentang tauhid dan agama semuanya telah diberitahu di dalam Al-Qur’an. Cuma tinggal kita hendak belajar tafsir dan memahaminya sahaja.

فَمَنْ أَبْصَرَ فَلِنَفْسِهِ

maka barangsiapa melihat (kebenaran itu), maka (manfaatnya) bagi dirinya sendiri;

Beruntunglah mereka yang dapat memahami kebenaran yang telah Allah ‎ﷻ tunjukkan di dalam Al-Qur’an ini. Ia akan diberikan kepada mereka yang mahu mencari kebenaran. Beruntunglah mereka yang telah menggunakan segala kemudahan yang Allah ‎ﷻ telah berikan untuk memahami agama-Nya.

Perkataan فَلِنَفْسِهِ bermaksud bahawa mereka yang dapat melihat kebenaran di dalam Al-Qur’an itu akan mendapat balasan yang baik untuk diri mereka. Allah ‎ﷻ akan membalas kebaikan dengan kebaikan. Orang yang memahami hakikat itu akan mendapat manfaat di dunia dan akhirat.

Untuk mendapat kebenaran, maka hendaklah kita memahami ayat-ayat Al-Qur’an. Untuk memahami ayat-ayat Al-Qur’an ini maka kita hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an kerana kalau kita baca sendiri, kemungkinan besar kita tidak akan dapat faham. Untuk memahaminya, memerlukan ilmu-ilmu ‘alat’ untuk memahami ayat-ayat Al-Qur’an: seperti ilmu bahasa Arab, ilmu balaghah, nahu, saraf, ilmu hadith, asbabun nuzul ayat-ayat itu dan sebagainya.

Segala ilmu di atas itu adalah kalau kita hendak memahami sendiri ayat-ayat Al-Qur’an. Tetapi apa yang kita lakukan sekarang adalah kita hanya belajar tafsir yang telah disampaikan oleh ulama’-ulama’ yang telah mengupas tafsir ayat Al-Qur’an untuk kita. Ini amat memudahkan kita walaupun kita tidak ada ‘ilmu-ilmu alat’ itu, namun kita masih boleh faham isi kandungan Al-Qur’an itu.

Namun malangnya, ramai yang tidak faham dengan konsep ini. Mereka sangka, untuk belajar tafsir, kena tahu ilmu-ilmu alat itu terlebih dahulu. Maka, syaitan telah menyesatkan mereka dengan membisikkan kepada mereka bahawa susah sangat untuk belajar tafsir Al-Qur’an ini. Oleh itu mereka tidak belajar sampai bila-bila.

Apabila mereka tidak belajar, mereka akan menjadi jahil tentang agama. Disebabkan kejahilan itu, mereka melakukan kesalahan dalam agama, termasuklah melakukan syirik. Maka, syaitan telah berjaya menyesatkan manusia. Senanglah syaitan menipu manusia yang jahil.  Syaitan tidak suka kita belajar tafsir.

Al-Qur’an itu penuh dengan kebenaran. Namun malangnya, ramai manusia di dalam dunia ini yang tidak menemui kebenaran termasuklah mereka yang telah belajar Al-Qur’an. Jangan sangka kalau kita sudah tahu Al-Qur’an, kita terus mendapat hidayah. Belum tentu lagi.

Ini kerana Allah ‎ﷻlah yang memberikan hidayah kepada kita. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana yang terjadi kepada puak Brehlawi di Pakistan. Mereka itu belajar juga tafsir Al-Qur’an dan juga belajar hadith Nabi, tetapi mereka masih juga menyembah kubur. Ini kerana mereka menerima ajaran yang sesat. Semoga masyarakat kita selamat daripada diresapi ajaran sesat ini.

وَمَنْ عَمِيَ فَعَلَيْهَا

dan barangsiapa buta (tidak melihat kebenaran itu), maka kemudaratannya kembali kepadanya.

Ramai dalam kalangan manusia yang buta daripada melihat kebenaran. Mereka itu melihat Al-Qur’an dan mungkin juga selalu membaca Al-Qur’an. Tetapi mata hati mereka buta daripada melihat kebenaran yang ada di dalam Al-Qur’an itu. Mereka tidak mendapat manfaat daripada Al-Qur’an. Ini kerana mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Apabila tidak belajar, mereka tidak faham apa yang mereka baca.

Perkataan فَعَلَيْهَا (ke atas mereka) bermaksud mereka akan mendapat balasan yang buruk ke atas diri mereka, jikalau mereka tidak beriman dan beramal dengan Al-Qur’an. Ini kerana bila manusia tidak mahu menerima ajaran daripada Al-Qur’an, maka mereka akan melakukan perkara-perkara yang syirik kerana mereka tidak tahu bahawa itu adalah amalan syirik. Oleh kerana itu mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.

وَمَا أَنَاْ عَلَيْكُم بِحَفِيظٍ

Dan aku (Muhammad) sekali-kali bukanlah pemelihara(mu).

Nabi Muhammad ﷺ dan juga kita bukanlah penjaga dan pemelihara kepada manusia. Oleh itu, kita tidak boleh memaksa manusia untuk menerima hidayah. Kita hanya boleh menyampaikan sahaja. Bayangkan, Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun tidak dapat meyakinkan bapa saudaranya yang amat disayanginya, iaitu Abu Talib, untuk beriman.

Kadang-kadang sebagai pendakwah kita rasa berat hati jikalau dakwah yang kita sampaikan tidak diterima oleh orang. Kita ada rasa bagaikan membuang masa sahaja untuk bercerita kepada orang lain tetapi akhirnya mereka menolak. Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh memberi hidayah kepada manusia dan tidak boleh memaksa mereka untuk menerima dakwah kita.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ hanya hendak melihat usaha kita untuk menyampaikan sahaja, bukan melihat kejayaan kita. Hanya dengan menyampaikan sahaja, kita sudah mendapat pahala. Maka, jangan mengeluh kesah kalau manusia tidak menerima dakwah kita.

Tafsir Ayat Ke-105

Sekarang diberitahu sebab yang ketiga kenapa orang musyrik tidak menerima ajaran tauhid. Ini kerana mereka taksub.

Maksud ‘taksub’ adalah bela fahaman, bela puak dan bela peraturan sampai sanggup mengenepikan kebenaran. Bila kebenaran datang, kumpulan ‘taksuber’ tetap mahu memegang kepada fahaman, puak dan peraturan yang telah lama dipegang oleh kumpulan mereka. Bahaya taksub adalah ia boleh menyebabkan manusia jauh daripada Allah ‎ﷻ.

وَكَذٰلِكَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ وَلِيَقولوا دَرَستَ وَلِنُبَيِّنَهُ لِقَومٍ يَعلَمونَ

Dan demikianlah Kami menerangkan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (dengan berbagai cara, untuk menimbulkan keingkaran mereka) dan supaya mereka (yang ingkar itu menuduhmu dengan) berkata: “Engkau telah mempelajarinya (dari orang-orang lain) “, dan supaya Kami menerangkan (Al-Qur’an) itu kepada orang-orang yang (mahu) mengetahui.

وَكَذَٰلِكَ نُصَرِّفُ الْآيٰتِ

Demikianlah Kami mengulang-ulangi ayat-ayat Kami

Kalimah كَذَٰلِكَ dalam ayat ini bermaksud: dengan kesempurnaan ini iaitu bagi kesempurnaan tuntutan tauhid itu, Allah ‎ﷻ telah menghuraikan berbagai-bagai dalil dan bukti supaya manusia faham apakah tauhid itu.

Kalimah نُصَرِّفُ berasal daripada kata dasar ص ر ف yang bermaksud memberitahu tentang sesuatu perkara dengan berbagai-bagai cara. Bukan tunjuk sekali lalu sahaja.

Sebagai contoh, kalau kita hendak memperkenalkan buah epal kepada seseorang, kita akan tunjuk buah itu dari berbagai sudut. Kita beri dia pegang buah itu supaya dia dapat rasa tekstur buah epal itu. Kemudian kita akan kupas buah itu. Kemudian kita akan belah buah dan beri orang itu rasa buah tersebut. Inilah yang dinamakan dengan تَصرِف supaya orang itu kenal benar dengan buah epal.

Begitulah juga Allah ‎ﷻ lakukan dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Untuk memberitahu tentang sesuatu perkara yang penting, Allah ‎ﷻ akan memberikan berbagai-bagai ayat. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya. Berbagai-bagai cara dan berbagai-bagai ayat telah diberikan supaya kita dapat mengenali Allah ‎ﷻ.

Oleh kerana itulah apabila kita mengkaji Al-Qur’an, kita akan melihat bagaimana ada ayat-ayat yang hampir serupa. Ada ayat-ayat yang memperkatakan perkara yang sama yang diulang-ulang penerangannya. Ayat-ayat itu hampir serupa, tetapi tidak sama kerana penekanan yang berbeza pada ayat-ayat itu. Allah ‎ﷻ menerangkan sesuatu perkara itu dari berbagai sudut berbeza.

وَلِيَقُولُوا دَرَسْتَ

dan supaya mereka (orang-orang musyrik) mengatakan: “Kamu telah mempelajari ayat-ayat itu (daripada Ahli Kitab)”

Ada muqaddar (tambahan maklumat) dalam ayat itu: Dengan pemberian dalil dari wahyu, maka akan beruntunglah mereka yang menerimanya dan akan celakalah mereka yang menolaknya.

Musyrikin Mekah mendakwa yang Nabi ﷺ mendapat maklumat dari kitab-kitab agama Yahudi dan Nasrani iaitu mereka kata baginda belajar ilmu-ilmu itu dari ahli kitab dan mempersembahkannya kepada penduduk Mekah sebagai Al-Qur’an (padahal cedok dari agama lain). Maknanya, mereka tidak mahu menerima wahyu yang diterima oleh Nabi ﷺ.

Sekarang disebut apakah hujah Musyrikin Mekah untuk menolak ajakan tauhid Nabi Muhammad ﷺ. Mereka kata begitu kerana apa yang Nabi ﷺ bawa itu berlainan dengan pemahaman syirik mereka yang mereka telah pegang selama ini. Mereka taksub dengan pegangan yang mereka ada dan gunakan.

Sebelum ini, Allah ‎ﷻ telah memberitahu kita bahawa Allah ‎ﷻ telah تَصرِف ayat-ayat Al-Qur’an iaitu ayat-ayat Al-Qur’an ada yang berulang-ulang dalam berbagai-bagai cara. Tujuannya adalah untuk memberi penjelasan kepada manusia. Tetapi salah satu kesannya adalah: Musyrikin Mekah mendakwa yang Nabi ﷺ telah belajar daripada ahli Kitab.

Antaranya, mereka kata baginda belajar daripada hamba-hamba berbangsa Rom yang ada di Mekah. Mereka kata oleh kerana baginda belajar daripada ramai orang, maka sebab itulah ayat Al-Qur’an itu sekejap begini, sekejap begitu. Itulah salah faham mereka.

Daripada potongan ayat ini, tahulah kita bahawa Musyrikin Mekah tidak dapat menerima wahyu yang dibawa oleh Nabi ﷺ. Hati mereka memang tidak mahu terima dan kerana itu, mereka akan memberi berbagai-bagai alasan.

Begitulah juga yang dikatakan oleh puak-puak bid’ah di negara kita kini. Apabila ajaran-ajaran daripada Al-Qur’an ini dibawakan pada mereka, mereka akan mengatakan yang ajaran ini salah. Ini adalah kerana ajaran Al-Qur’an ini berlainan daripada apa yang diajar oleh guru-guru dan datuk moyang mereka. Maka, isunya di sini adalah taksub dengan kumpulan masing-masing.

Sebagai contoh, ada di antara mereka yang mengatakan tafsir Al-Qur’an yang kita bawa ini adalah daripada fikiran kita sendiri sahaja. Mereka kata kita sendiri sahaja yang mengatakan ayat itu bermaksud sekian, sekian. Mereka kata kita tafsir salah. Padahal, mereka pun belum pernah belajar tafsir Al-Qur’an pun.

Sebab itu, kalau kita minta kepada mereka untuk beri tafsir yang benar kalau kita salah, mereka pun tidak boleh berikan. Mereka pun tidak tahu kerana mereka tidak belajar. Sebenarnya, mereka tidak dapat terima kerana hati mereka memang condong kepada kesyirikan dan amalan bid’ah. Mereka tidak membuka hati mereka kepada kebenaran. Mereka itu golongan ‘taksuber’. Inilah bahayanya.

وَلِنُبَيِّنَهُ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

dan supaya Kami menjelaskan Al Qur’an itu kepada orang-orang yang mahu mengetahui

Tadi kita sudah tahu apakah kesan kepada Musyrikin Mekah apabila Allah ‎ﷻ ‘tasrif’ ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka. Mereka tidak dapat faham dan mereka tuduh Nabi ﷺ mengambil ajaran itu daripada orang lain. Namun begitu, lain pula kesan ‘tasrif’ kepada orang yang beriman.

Kepada orang-orang beriman itu, تَصرِف Allah ‎ﷻ akan menjelaskan lagi makna Al-Qur’an kepada mereka. Apabila ayat-ayat Al-Qur’an itu diulang-ulang dengan berbagai cara, mereka lebih faham ayat Al-Qur’an.

Itulah kesan yang kita hendak. Oleh itu, kalau kesan itu tidak kelihatan kepada kita, ia amat merisaukan kerana sepatutnya ia akan menjelaskan ayat Al-Qur’an itu kepada kita, bukannya mengelirukan. Kalau kita tidak faham dan keliru, maka, ada masalah dengan kita.

Semoga kita tidak jadi begitu. Semoga kita semakin faham dan memahami ayat Al-Qur’an ini. Mulakan dengan belajar tafsir sedikit demi sedikit. Kalau ia susah pada awalnya, percayalah lama kelamaan ia menjadi semakin mudah. Asalkan kita buka hati dan minda serta terus berusaha untuk belajar. Perkara yang penting, tentulah tidak senang. Ia memerlukan usaha yang banyak dan berterusan.

Justeru, tujuan تَصرِف adalah untuk memberikan pemahaman yang lebih mantap kepada manusia kerana tujuan Allah ‎ﷻ adalah untuk memperjelaskan agama kepada manusia. Begitulah juga kita kena memperjelaskan ayat-ayat Al-Qur’an ini kepada manusia. Kita kena berikan pengetahuan tentang syirik kepada manusia.

Antaranya, kita kena beritahu kepada manusia bahawa amalan tawasul adalah salah. Inilah tujuan tulisan ini. Banyak kita sentuh hal tawasul di sini kerana ia adalah satu perkara yang amat penting difahami (tetapi ramai yang tidak faham). Dan memang sangat banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang memperkatakan tentang tawasul kerana ia adalah perkara yang penting dan bahaya kalau kita tidak faham. Semoga anda mendapat sedikit sebanyak kefahaman tentang ayat Al-Qur’an berkenaan tawasul ini dan bahayanya.

Oleh kerana ramai manusia tidak belajar tafsir Al-Qur’an, dan tidak faham maksud syirik, maka ramailah dalam kalangan masyarakat kita yang melakukan perkara-perkara syirik tanpa mereka menyedarinya. Tentunya mereka tidak berniat melakukan syirik. Niat mereka selalunya baik. Cuma mereka kurang pengetahuan tentang syirik kerana mereka tidak belajar.

Oleh itu, saya nasihatkan anda yang sedang membaca tulisan ini, supaya mendalami dan mempelajari tafsir Al-Qur’an. Berhentilah dahulu daripada mengadap kitab-kitab karangan manusia dan carilah guru yang boleh mengajar tafsir Al-Qur’an. Ia adalah satu ilmu yang memerlukan kepada pengajian bertalaqqi (duduk bersama guru yang mengajar). Bukan boleh hanya dibaca sahaja.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan