Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’Am: Tafsir Ayat Ke-160 hingga Ke-165

Tafsir Surah Al-An’Am: Tafsir Ayat Ke-160 hingga Ke-165

87
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’Am
Tafsir Ayat Ke-160

مَن جَآءَ بِٱلحَسَنَةِ فَلَهُ ۥ عَشرُ أَمثَالِهَا‌ۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجزَىٰٓ إِلَّا مِثلَهَا وَهُم لَا يُظلَمُونَ

Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka dia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun).

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ

Barangsiapa datang membawa amal yang baik,

Iaitu apabila datang mengadap kepada Allah ‎ﷻ di hari akhirat nanti. Setiap daripada kita akan datang kepada Allah ‎ﷻ dan akan ditunjukkan apa yang kita buat semasa di dunia. Setiap daripada kita akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Apakah nanti yang kita akan tunjukkan? Apakah bekalan kita nanti?

Ada yang berpendapat yang perkataan الْحَسَنَةِ itu adalah kalimah la ilaha illallah; dan ada yang mengatakan yang ia bermaksud apa sahaja perbuatan yang baik. Semua amal baik akan dikira dan akan dibalas di akhirat kelak. Maknanya amal baik yang kita lakukan bukanlah percuma sahaja.

Amal baik itu Allah ‎ﷻ pandang penting sehinggakan Allah ‎ﷻ menggunakan ال pada perkataan الْحَسَنَةِ itu. Kadang-kadang kita tidak sangka perbuatan kita itu ada pahala. Sebagai contoh, selalu kita senyum kepada orang lain. Kita sangka ia tidak ada apa-apa kebaikan pun kerana sedikit sahaja, tetapi ia berharga bagi Allah ‎ﷻ. Ada pahala daripada senyuman itu yang akan kita bawa kepada Allah ‎ﷻ nanti.

Kenapakah digunakan kalimat جَاءَ بِالْحَسَنَةِ (datang dengan kebaikan) dan bukannya عَمِلَ بِالْحَسَنَةِ (beramal dengan kebaikan)? Ini kerana ia akan dibalas kalau kekal amalan itu. Bukan setakat amal sahaja tetapi kemudian hapus oleh kerana sebarang sebab tertentu. Sebagai contoh, perbuatan syirik akan menghapuskan semua amal kebaikan sehinggakan tidak ada pahala yang tinggal lagi. Atau, sedekah yang diikuti dengan keburukan mengungkitnya. Maka, pahala kebaikan itu tidak akan dibalas. Ini kerana apabila ia sudah hapus, tidak ada apa-apa amal kebaikan yang dibawa datang ke akhirat.

فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya;

Pahala daripada amalan baiknya itu akan digandakan bagaikan seseorang itu telah membuat amal itu sepuluh kali, padahal dia hanya buat sekali sahaja. Sepuluh kali ganda itu adalah minimum. Allah ‎ﷻ boleh berikan berkali-kali ganda lebih lagi. Allah ‎ﷻ boleh berikan 700 kali ganda, malah boleh beri lebih lagi.

Bayangkan kalau kita sudah berniat sahaja, Allah ‎ﷻ sudah suruh malaikat tuliskan pahala amalan itu. Padahal belum buat pun lagi, cuma baru berniat sahaja. Kalau kita tidak dapat melakukannya kerana sebab-sebab tertentu, kita tetap akan mendapat pahala itu. Kalau kita buat, Allah ‎ﷻ akan beri pahala berganda pula. Inilah rahmat Allah ‎ﷻ kepada kita. Buat sedikit, tetapi dibalas banyak. Ma sha Allah.

وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ

dan barangsiapa yang datang membawa perbuatan jahat

Malang sekali kalau kita bawa dosa ke hadapan Allah ‎ﷻ tetapi kita makhluk yang memang tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan dosa. Kita telah baca bagaimana Allah ‎ﷻ membalas kebaikan yang kita lakukan. Bagaimana pula dengan dosa yang kita lakukan pula?

فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا

maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya,

Kejahatannya tidak digandakan. Dibalas mengikut perbuatannya sahaja. Berbeza dengan amalan kebaikan tadi yang Allah ‎ﷻ akan gandakan.

Kalau seseorang berniat hendak melakukan kejahatan, tidak ditulis lagi dosa itu. Dan kalau dia meninggalkan niatnya itu, dia akan mendapat pahala pula kerana meninggalkan niat jahatnya. Ma sha Allah, begitu besarnya rahmat Allah ‎ﷻ kepada kita!

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan).

Kita tidak akan rugi kerana apa sahaja kebaikan yang kita lakukan, akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikit pun. Ini kerana Allah ‎ﷻ Maha Tahu dengan segala perbuatan kita. Dalam dunia ini, belum tentu kita dapat balasan daripada bos tempat kerja kita kerana mungkin bos itu tidak tahu kebaikan yang kita telah lakukan. Tetapi Allah ‎ﷻ Maha Tahu.

Selain itu juga, kita tidak akan diseksa kalau kita tidak melakukan kesalahan. Bayangkan bagaimana kadang-kadang manusia terpaksa merengkok dalam penjara walaupun dia tidak melakukan kesalahan tetapi telah ditohmah. Namun dengan Mahkamah Allah ‎ﷻ, tidak akan jadi begitu.

Allah ‎ﷻ hanya membalas dengan adil. Tidaklah ada kezaliman pada Allah ‎ﷻ. Mana tidak, sedangkan kebaikan dibalas berganda, dan kejahatan hanya dibalas sama dengan kejahatan itu sahaja. Maka di mana pula kezaliman Allah ‎ﷻ, bukan? Ini juga menyebabkan kita lebih menghargai Allah ‎ﷻ di atas segala nikmat yang telah diberikannya kepada kita.

Tafsir Ayat Ke-161

Sekarang kita sampai kepada ayat-ayat penutup surah ini.

قُل إِنَّنِى هَدَٮٰنِى رَبِّىٓ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّستَقِيمٍ دِينًا قِيَمًا مِّلَّةَ إِبرٰهِيمَ حَنِيفًا‌ۚ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah dia dari orang-orang musyrik”.

قُل إِنَّنِى هَدَٮٰنِى رَبِّىٓ

Katakanlah: Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku

Apabila kaumnya masih tidak mahu ikut, maka Nabi Muhammad ﷺ disuruh berkata begini kepada mereka iaitu beritahu yang baginda telah diberi hidayah oleh Allah ‎ﷻ. Begitu juga dengan kita boleh berkata begini. Kalau orang yang kita ajak kepada Islam yang benar tidak juga mahu ikut, maka beginilah kita katakan kepada mereka.

Bukan kita yang buat sendiri agama ini tetapi kita telah diberi petunjuk oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang mengajar kita melalui Al-Qur’an dan hadith yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ.

إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّستَقِيمٍ

kepada jalan yang lurus,

Allah ‎ﷻ membawa Rasul ke jalan yang lurus. Dan semoga Allah ‎ﷻ membawa kita juga kepada jalan yang lurus iaitu jalan ke syurga. Oleh itu, jikalau kita mahu masuk syurga, maka hendaklah kita ikut Al-Qur’an dan sunnah, tidak ada jalan lain lagi. Amat banyak jalan agama yang ada sekarang, tetapi yang selamat adalah yang berlandaskan Al-Qur’an dan Sunnah sahaja.

دِينًا قِيَمًا

(iaitu) agama yang benar,

Islam adalah agama yang tegak, yang lurus, yang benar, dan ia juga adalah agama yang mengajak manusia untuk menjadi lurus. Maka, sesiapa yang mengikut agama ini akan juga berada di atas jalan yang lurus dan jalan yang selamat. Dan inilah yang kita kehendaki, bukan?

مِّلَّةَ إِبرٰهِيمَ حَنِيفًا‌ۚ

agama Ibrahim yang lurus,

Agama yang Nabi Muhammad ﷺ bawa ini adalah seperti agama Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Baginda adalah ikon keagamaan bagi banyak agama seperti Yahudi, Nasrani dan Muslim. Malah Musyrikin Mekah juga kata mereka ikut agama peninggalan Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ pun kata baginda mengikut agama Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Tetapi kenapa ada banyak perbezaan? Siapakah sebenarnya yang mereka ikut?

Perkataan حَنِيفًا juga membawa maksud agama yang menyembah Tuhan yang satu. Memang Nabi Ibrahim عليه السلام tidak pernah melakukan syirik dengan menyembah tuhan selain Allah ‎ﷻ. Tetapi mengapa Musyrikin Mekah ada tuhan selain Allah ‎ﷻ?

وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang musyrik

Nabi Ibrahim عليه السلام tidak melakukan syirik tetapi kenapa mereka membuat syirik sedangkan mereka kata mereka mengikut peninggalan agama Nabi Ibrahim عليه السلام? Selalu apabila disebut tentang millah Nabi Ibrahim عليه السلام, Allah ‎ﷻ akan tambah yang baginda tidak termasuk orang musyrikin. Ini kerana ramai yang menyangka baginda juga ada membuat syirik, maka Allah ‎ﷻ menafikan di dalam Al-Qur’an.

Ayat ini adalah juga untuk menolak pegangan sesetengah orang dan sesetengah agama yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام pernah melakukan syirik. Sama ada dalam kalangan Yahudi, Nasrani ataupun Musyrikin Mekah. Ayat ini membersihkan nama Nabi Ibrahim عليه السلام. Bukankah ada ayat yang menceritakan bagaimana baginda mengatakan yang bintang itu tuhannya, kemudian bulan itu tuhannya dan kemudian matahari pula tuhannya? Kita telah jelaskan di dalam perbincangan ayat itu bahawa itu semua adalah helah Nabi Ibrahim عليه السلام untuk mengajar tauhid kepada kaumnya. Bukannya Nabi Ibrahim عليه السلام benar-benar percaya yang bintang, bulan dan matahari itu tuhannya.

Allah ‎ﷻ hendak membersihkan nama baginda kerana memang ada dalam pengajaran Yahudi dan Kristian yang mengatakan yang di hujung hayat baginda, baginda telah menjadi musyrik! Nauzubillah! Amat buruk apa yang mereka katakan tentang Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka Allah ‎ﷻ membersihkan nama baginda dalam ayat ini.

Tafsir Ayat Ke-162

Ini adalah ayat ‘Perjanjian’ kita dengan Allah ‎ﷻ. Yang kita selalu baca dalam doa iftitah dalam salat. Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ beritahu kesimpulan agama kepada manusia.

قُل إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ

Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي

Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku,

Sebelum ini, telah disebut tentang Nabi Ibrahim عليه السلام. Jika benar golongan Mekah itu memang mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام, maka hendaklah mereka juga mengikut apa yang Nabi Ibrahim عليه السلام lakukan. Nabi Ibrahim عليه السلام selalu melakukan salat, bahkan Musyrikin Mekah memang ada melakukan salat sebelum Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi lagi. Ini adalah kerana memang itu adalah ajaran nabi-nabi terdahulu pun, termasuklah Nabi Ibrahim عليه السلام.

Ayat ini mengingatkan kita yang salat yang kita lakukan hari-hari itu adalah kerana Allah ‎ﷻ. Ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ, dan kerana kita taat kepada Allah ‎ﷻ, maka kita melakukan ibadat salat itu.

وَنُسُكِي

dan ibadatku

Digunakan untuk bermaksud ibadat-ibadat yang kita lakukan kerana Allah ‎ﷻ. Asalnya ia bermaksud ‘sembelihan’ iaitu bermaksud apa sahaja yang kita sembelih dalam ibadah korban kita hanyalah untuk Allah ‎ﷻ dan bukan untuk selain Allah ‎ﷻ. Ini kerana kita telah belajar bagaimana surah ini menyentuh berkenaan binatang-binatang yang disembelih. Puak Musyrikin Mekah ada menyembelih binatang kerana tuhan-tuhan sembahan mereka yang lain.

Ia juga boleh diibaratkan kepada Haji (kerana itu ada perkataan ‘manasik Haji’). Korban dan Haji adalah dua jenis ibadat yang melibatkan pengeluaran harta.

Perkataan ini juga digunakan untuk merangkumi ibadat-ibadat yang lain juga dan tidak hanya untuk ibadat sembelihan sahaja. Maknanya ia telah digunakan untuk penggunaan maksud umum (merangkumi semua ibadah yang lain).

Ibadat yang kita lakukan mestilah hanya untuk Allah ‎ﷻ. Jangan ada ibadat kepada selain Allah ‎ﷻ. Maka jangan kita berzikir kepada selain Allah ‎ﷻ. Oleh kerana itu jangan hadiahkan bacaan Surah Fatihah kepada Nabi. Banyak telah kita sebutkan tentang kesalahan yang dilakukan oleh umat Islam negara ini yang dilakukan kerana mereka tidak tahu tentang agama. Mereka tidak perasan yang mereka telah melakukan syirik tanpa mereka sedari.

وَمَحْيَايَ

dan hidupku

Adakah dalam kehidupan ini kita hidup berlandaskan Islam? Sebagai manusia, tentu kita mempunyai cita-cita untuk menjadi sesuatu dalam dunia ini. Ada yang hendak menjadi kaya, ada yang hendak menjadi pandai, ada yang ingin menjadi terkenal dalam masyarakat. Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini bahawa cita-cita kita di dalam dunia ini sebenarnya adalah untuk mencari redha Allah ‎ﷻ.

Jangan kita terikut-ikut dengan cara pemikiran manusia lain yang hanya mementingkan kehidupan mereka di dunia ini. Kita hidup bukanlah hanya untuk memenuhi keinginan kita kepada dunia, kepada keluarga, kepada kesenangan dan tidak juga untuk menghabiskan masa dengan kerja-kerja di pejabat. Hidup kita ini perlu dikorbankan untuk Allah ‎ﷻ.

وَمَمَاتِي

dan matiku

Kita mahu apabila kita mati nanti kita berada di atas jalan agama Islam yang benar. Kita sanggup mati untuk memperjuangkan Islam. Semoga kita dimatikan di dalam agama Islam. Aameen.

Lihatlah sampai ke mati pun kita kena ikut suruhan daripada Allah ‎ﷻ. Bukankah selepas kita mati masih ada lagi hal-hal yang berkaitan agama? Seperti hal faraid, wasiat dan sebagainya.

لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ

untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Ini bermakna semuanya kita lakukan hanyalah untuk Allah ‎ﷻ. Inilah formula hidup kita di dunia ini, selagi mana kita hidup. Semuanya kita lakukan kerana Allah ‎ﷻ, untuk Allah ‎ﷻ. Dan apabila ia untuk Allah ‎ﷻ, maka ia hendaklah bebas daripada syirik.

Ayat ini amat berkait rapat dengan Nabi Ibrahim عليه السلام dan perjalanan hidup baginda:

1. kalimah صَلَاتِ – Nabi Ibrahim عليه السلام memang seorang yang kuat melakukan salat.

2. kalimah نُسُكِ – korban. Nabi Ibrahim عليه السلام telah diuji oleh Allah ‎ﷻ untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail عليه السلام.

3.kalimah مَحْيَا – kehidupan. Nabi Ibrahim عليه السلام pernah meminta Allah ‎ﷻ menunjukkan kepada baginda bagaimana Allah ‎ﷻ menghidupkan yang mati. Maka Allah ‎ﷻ telah memerintahkan baginda menyembelih empat ekor burung dan menceraikan bahagian tubuh burung-burung itu dan mencampur adukkan dan memecahkan kepada empat bahagian pula. Dan letakkan di empat buah bukit.

Allah ‎ﷻ telah menghidupkan keempat-keempat burung itu di hadapan mata baginda. Maka baginda telah melihat sendiri bagaimana Allah ‎ﷻ menghidupkan makhluk yang mati. Kisah ini Allah ‎ﷻ sebutkan dalam [ Baqarah: 260 ]

4. kalimah مَمَاتِي – Nabi Ibrahim عليه السلام diajar bagaimana Allah ‎ﷻlah yang mematikan. Raja Namrud telah memasukkan baginda ke dalam api yang besar untuk membunuh baginda. Walaupun baginda dimasukkan ke dalam api yang besar, tetapi kalau bukan ketentuan Allah ‎ﷻ untuk mematikannya, baginda tidak akan mati. Kisah ini disebut dalam [ Anbiya: 69 ]

Dalam ayat ini juga, kita diajar untuk menumpukan perhatian kepada Allah ‎ﷻ dalam salat kita. Kemudian Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk berkorban setiap tahun kepada Allah ‎ﷻ. Apabila sudah dilatih begitu, kita dibawa untuk menumpukan hidup kita seluruhnya untuk Allah ‎ﷻ. Kemudian sampai kepada tahap yang kita pun sanggup mati kerana Allah ‎ﷻ.

Banyak perkara kita boleh lakukan untuk Islam. Tidak semestinya semua Muslim kena mengajar, menjadi ustaz atau ulama’. Kita masing-masing ada tugas kita yang kita mampu lakukan. Kita kena pandai mencari bagaimana kita boleh berkhidmat kepada Islam.

Sebagai contoh, untuk kerja-kerja dakwah, tentunya memerlukan kewangan yang besar. Mungkin kita orang itu, yang memberi wang pada jalan dakwah. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Khadijah رضي الله عنهاlah yang telah membiayai dakwah Nabi ﷺ di awal Islam.

Tafsir Ayat Ke-163

لَا شَرِيكَ لَهُ ۥ‌ۖ وَبِذٰلِكَ أُمِرتُ وَأَنَا أَوَّلُ ٱلمُسلِمِينَ

Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama – (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”.

لَا شَرِيكَ لَهُ

Tiada sekutu bagi-Nya;

Allah ‎ﷻ tidak mempunyai sekutu dan Allah ‎ﷻ tidak memerlukan sekutu apa pun. Kalau kita buat kerja, mungkin kita memerlukan orang lain untuk menolong kita, bukan? Namun Allah ‎ﷻ tidak memerlukan sesiapa untuk menolong-Nya.

Jika kita mahu bandingkan dengan ayat sebelum ini tentang memberi kehidupan kita kepada Islam, maka ayat ini menolak kita memberikan hidup kita kepada selain Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, ada manusia yang memberikan seluruh usahanya untuk negaranya, sampaikan dia melupakan Allah ‎ﷻ, tidak berkhidmat untuk Allah ‎ﷻ. Ada juga yang mementingkan parti politiknya. Jangan kita jadi begitu.

وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ

dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku

Inilah arahan kepada Nabi daripada Allah ‎ﷻ. Itulah arahan daripada Allah ‎ﷻ kepada kita juga untuk mendedikasikan ibadat dan kehidupan kita dan kematian kita untuk Allah ‎ﷻ.

وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

dan aku adalah orang yang awal-awal menyerahkan diri (kepada Allah)

Nabi Muhammad ﷺ adalah Muslim pertama dalam umat baginda. Ini kerana setiap Nabi adalah Muslim pertama dalam umatnya. Ayat ini mengajar kita kepentingan untuk menyerahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Perkataan ‘Islam’ itu sendiri bererti ‘menyerah diri’.

Ayat ini juga mengajar kita untuk menjadi orang yang mula-mula untuk menyerahkan diri kepada Allah ‎ﷻ. Kalau tidak ada orang lain yang buat, maka kita lah yang perlu menjadi contoh kepada mereka.

Sebagai contoh, mungkin kitalah orang pertama dalam keluarga kita yang menunaikan haji atau umrah; atau kitalah orang yang pertama dalam keluarga kita yang belajar tafsir Al-Qur’an dan kemudian kita ajak mereka untuk belajar juga. Maknanya, kita jangan tunggu orang lain buat dulu. Kita kenalah mulakan dan biarlah kita yang di hadapan.

Tafsir Ayat Ke-164

قُل أَغَيرَ ٱللَّهِ أَبغِى رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَىءٍ وَلَا تَكسِبُ ڪُلُّ نَفسٍ إِلَّا عَلَيہَا‌ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزرَ أُخرَىٰ‌ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرجِعُكُم فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُم فِيهِ تَختَلِفُونَ

Katakanlah: “(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.

قُلْ أَغَيْرَ اللَّهِ أَبْغِي رَبًّا

Katakanlah: “Patutkah aku mencari Tuhan selain Allah,

Nabi Muhammad ﷺ telah disuruh oleh puak-puak musyrikin untuk menyembah juga tuhan-tuhan berhala mereka. Kalau tidak sujud pun, sentuh sahaja sudah cukup. Kalau baginda buat begitu, maka mereka bersetuju untuk ikut juga ajaran Nabi Muhammad ﷺ. Maka inilah jawapan baginda kepada mereka. Tidak mungkin sama sekali kita hendak mencari tuhan yang lain, bukan?

وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَيْءٍ

padahal Dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu.

Allah ‎ﷻlah yang mencipta dan memelihara segala sesuatu. Kenapa kita masih lagi mahu kepada yang lain sedangkan semuanya adalah makhluk kepada Allah ‎ﷻ.

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri;

Sekiranya kita berbuat dosa, sebenarnya kita yang akan merugikan diri kita sendiri. Kita akan dibalas dengan azab di neraka kelak. Maka, kena ingat perkara ini. Jangan kita sendiri menyusahkan diri kita.

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

dan seorang penanggung tidak akan memikul untuk orang lain.

Kita akan memikul dosa kita sendiri. Kita tidak boleh berikan dosa kita kepada orang lain. Orang lain juga tidak boleh mengambil dosa kita.

Ini juga mengajar kita supaya jangan salahkan orang lain di atas kesalahan diri kita atau kekurangan diri kita. Kita kena bertanggungjawab di atas kesalahan kita. Jangan nanti di akhirat hendak salahkan tok guru yang sesat kita ikut itu, tetapi kita juga bersalah kerana mengikutnya.

Memang kita tidak tanggung dosa orang lain. Akan tetapi kalau kita ajar ajaran salah kepada manusia, maka kita juga akan memikul dosa orang yang belajar dengan kita itu. Tidaklah dipikul semua dosa, tetapi kita pun akan ada saham juga. Maknanya sudahlah memikul dosa sendiri, ditambah lagi dengan dosa anak-anak murid. Maka, ini merupakan peringatan kepada golongan tok guru supaya berhati-hati dengan ajaran yang disampaikan. Jangan hanya sedap berkata: “Saya sampaikan sahaja….”.

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ

Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali,

Di hujung-hujung surah ini, Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa kita semuanya akan mati. Kita semuanya akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ nanti untuk menjawab perbuatan kita di dunia. Kita tidak akan hidup di dunia ini selama-lamanya – mati itu pasti. Oleh itu, sentiasa beringatlah dan berhati-hatilah dengan fahaman dan amalan kita semasa di dunia ini kerana kita tidak akan kekal selamanya di dunia.

فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan

Terdapat banyak perselisihan dalam dunia sekarang. Antaranya yang terbesar adalah perselisihan dalam agama. Perselisihan di dunia tentang agama akan diselesaikan di akhirat kelak. Di sana nanti, semua akan mengetahui dengan jelas manakah yang benar, manakah yang salah.

Di negara ini sekarang, kita boleh lihat bagaimana perselisihan agama ini berleluasa sekali. Ada yang salaf, ada yang khalaf, ada puak Habib, ada puak tarekat, ada puak Sufi, ada puak mengubat dan banyak lagi. Semuanya sangka dan yakin yang merekalah yang betul. Tidak benar pandangan begitu. Yang betul adalah mereka yang berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah kerana itulah neraca agama. Itulah jalan yang selamat.

Mula-mula perpecahan akan dimulakan dengan perselisihan. Mulanya perselisihan itu mungkin sedikit, tetapi itulah nanti yang membawa kepada perpecahan ummah yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini.

Perselisihan memang akan sentiasa ada. Tidak semua perkara akan menemui satu penyelesaian, satu pendapat. Antara puak yang Sunnah pun ada perbezaan pendapat. Namun apa yang dimaksudkan adalah perselisihan dalam perkara dasar dalam agama. Bukanlah seperti perselisihan tentang feqah atau perkara perkara kecil.

Kita mungkin ada perbezaan dalam perkara feqah, tetapi dalam perkara tauhid, sepatutnya kita semua bersatu hati. Sebagai contoh, walaupun Imam-Imam mazhab itu berbeza pandangan dan hukum tentang feqah, namun dalam perkara tauhid, mereka semuanya sama.

Tafsir Ayat Ke-165

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَڪُم خَلَـٰٓٮِٕفَ ٱلأَرضِ وَرَفَعَ بَعضَكُم فَوقَ بَعضٍ دَرَجَـٰتٍ لِّيَبلُوَكُم فِى مَآ ءَاتَٮٰكُم إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ ٱلعِقَابِ وَإِنَّهُ ۥ لَغَفُورٌ رَّحِيمُۢ

Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَڪُم خَلَـٰٓٮِٕفَ ٱلأَرضِ

Dan Dialah yang menjadikan kamu pengganti-pengganti di bumi

‘Khalifah’ bermaksud pengganti-pengganti yang silih berganti. Kita sebenarnya menggantikan orang yang terdahulu dan kita akan digantikan dengan orang yang kemudian. Kita bukan tinggal di dunia ini untuk selama-lamanya. Ini adalah peringatan kepada Musyrikin Mekah.

Memang waktu itu mereka adalah penjaga Kaabah, mereka berkuasa, tetapi mereka tidak akan kekal hidup di dunia ini. Mereka akan mati dan mereka akan digantikan dengan orang lain. Tidak ada gunanya mereka berlagak sombong dengan kedudukan mereka di dunia kerana apabila mereka mati kelak, lama kelamaan, orang tidak kenal dan tidak ingat pun lagi kepada mereka.

وَرَفَعَ بَعضَكُم فَوقَ بَعضٍ دَرَجَـٰتٍ

dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat,

Kedudukan kita dalam dunia ini berbeza-beza. Ada yang lebih pandai daripada orang lain, ada yang lebih cantik, ada yang daripada keturunan yang lebih mulia, ada yang banyak harta daripada orang lain, dan sebagainya. Allah ‎ﷻlah yang meletakkan manusia dalam berbagai-bagai kedudukan dan darjat itu.

Darjat yang berbeza juga adalah satu nikmat sebenarnya. Sekiranya semua kita kaya, huru hara dunia ini, kerana tidak ada orang sanggup buat kerja buang sampah. Tiada orang yang akan bekerja sediakan makanan untuk kita, dan sebagainya. Maknanya, apa yang Allah ‎ﷻ buat itu sudah elok dan molek sangat. Jangan kita persoalkan.

لِّيَبلُوَكُم فِى مَآ ءَاتَٮٰكُم

untuk mengujimu tentang apa yang diberikan kepadamu.

Kenapakah Allah ‎ﷻ meletakkan manusia dalam darjat-darjat yang berlainan? Allah ‎ﷻ yang menentukan semua ini dan ia adalah sebagai ujian kepada mereka. Untuk melihat bagaimana kita menjalani kehidupan kita dalam kedudukan kita itu.

Ingatlah, bahawa segala rahmat dan kesusahan adalah ujian daripada Allah ‎ﷻ. Jika kedudukan kita tinggi pun, itu adalah ujian juga sebenarnya. Bagi yang kaya, diberi ujian untuk mengeluarkan sedekah. Kepada yang miskin pula, ujian yang diberikan adalah ujian kesabaran. Untuk orang kaya, ujian berlainan daripada orang yang miskin. Namun tentunya semua ada ujiannya masing-masing. Tidak ada manusia yang hidup tanpa ujian.

Ujian-ujian yang diberikan kepada manusia semasa di dunia ini adalah untuk melihat sama ada mereka layak untuk masuk ke syurga ataupun tidak. Allah ‎ﷻ mahu lihat sama ada kita lulus ujian itu ataupun tidak. Barulah bernilai balasan yang Allah ‎ﷻ berikan jika kita telah melepasi ujian itu.

Ujian-ujian itu adalah untuk melihat sama ada kita sabar atau tidak, pemurah atau tidak, rajin atau tidak, dan bermacam-macam lagi ujian.

إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ

Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksaan-Nya

Apabila Allah ‎ﷻ memulakan perbicaraan di Mahsyar kelak, ia hanya mengambil masa setengah hari sahaja. Makhluk yang mula dilahirkan sampailah kepada mereka yang akhir sekali mati waktu Kiamat nanti, semuanya akan dibicarakan dalam masa setengah hari sahaja. Kemudian, mereka yang ahli neraka akan segera dimasukkan ke dalam neraka untuk menerima seksaan.

وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Kepada mereka yang beriman dan beramal ibadat, mereka akan diberi pengampunan oleh Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ bersifat Maha Penyayang kepada hamba-Nya yang beriman.

Berakhirlah sudah tafsir Surah al-An’am ini. Alhamdulillah – segala puji bagi Allah ‎ﷻ yang telah memberikan kekuatan dan taufiq untuk meneruskan usaha tafsir ini.

Ingatlah bahawa surah ini adalah surah yang terakhir yang diturunkan sebelum Nabi ﷺ berhijrah ke Madinah. Perkara utama yang disentuh di dalam surah ini adalah tentang tauhid. Surah ini banyak menceritakan tentang siapakah Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur-an juga. Ini bertujuan supaya kita lebih beriman kepada-Nya.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan