Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-154 hingga Ke-155 (Ayat Muhkamat – 10...

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-154 hingga Ke-155 (Ayat Muhkamat – 10 Perintah daripada Allah ‎ﷻ)

17
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am

Tafsir Ayat Ke-154

Ini adalah Dalil Naqli berkenaan kisah Nabi Musa عليه السلام‎.

ثُمَّ ءَاتَينَا مُوسَى ٱلكِتَـٰبَ تَمَامًا عَلَى ٱلَّذِىٓ أَحسَنَ وَتَفصِيلاً لِّكُلِّ شَىءٍ وَهُدًى وَرَحمَةً لَّعَلَّهُم بِلِقَآءِ رَبِّهِم يُؤمِنُونَ

Kemudian (ketahuilah pula bahawa) Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat untuk menyempurnakan (kemuliaan dan nikmat Kami) kepada orang yang telah berbuat baik (menjalankan ajaran Kitab itu iaitu Nabi Musa), dan untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat, supaya mereka beriman kepada pertemuan dengan Tuhan mereka (pada hari akhirat kelak).

ثُمَّ ءآتَيْنَا مُوسَى الْكِتٰبَ

Kemudian Kami telah memberikan Al Kitab (Taurat) kepada Musa

Kalimah ثُمَّ yang bermaksud ‘kemudian’ digunakan dalam ayat ini sebagai penyambung kepada ayat-ayat sebelum ini. Dalam ayat-ayat sebelum ini, telah diberikan 10 perkara utama dalam agama. Ia adalah sama seperti ’10 Commandments’ (10 Wasiat) dalam agama Yahudi juga. Ia telah diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام‎.

Maka, ayat ini hendak memberitahu kita bahawa selepas Nabi Musa‎ عليه السلام diberikan dengan 10 wasiat itu, baginda telah diberikan dengan Kitab Taurat pula.

تَمَامًا عَلَى الَّذِي أَحْسَنَ

untuk melengkapkan kepada orang yang berbuat kebaikan,

Kitab Taurat itu lengkap, di mana ‘melengkapkan’ itu bermaksud Allah ‎ﷻ melengkapkan nikmat-Nya kepada mereka. Dan nikmat yang dimaksudkan adalah ‘nikmat agama Islam’. Bermakna bukanlah Nabi Musa عليه السلام‎ hanya diberikan dengan 10 wasiat itu sahaja, tetapi kemudian baginda kemudian telah diberikan dengan Kitab Taurat untuk melengkapkan agama mereka.

Selepas Nabi Musa عليه السلام dan kaumnya menyeberangi Lautan sewaktu lari daripada Firaun dan tenteranya, Nabi Musa عليه السلام telah mendaki naik ke bukit Thur. Kemudian, baginda telah diberikan dengan Lauh (Tablet) yang mengandungi 10 wasiat ini. Waktu itulah terjadinya kisah kaumnya menyembah patung anak sapi. Waktu itu hanya diberikan dengan 10 perkara itu sahaja kerana kaumnya itu baru sahaja keluar daripada sistem perhambaan Firaun dan mereka waktu itu memerlukan arahan yang ringkas-ringkas sahaja.

10 perkara itu adalah ajaran yang utama di dalam agama. Kepada mereka yang telah menerima dan mengikuti ajaran yang utama itu, maka mereka akan diberikan dengan lebih lagi ilmu untuk melengkapkan agama.

‘Lengkap’ itu juga bermaksud Kitab Taurat itu adalah satu kitab yang lengkap untuk dijadikan sebagai panduan kepada mereka yang hendak beriman. Yang penting, mereka itu hendak beriman. Potongan ayat عَلَى الَّذِي أَحْسَنَ bermaksud Allah ‎ﷻ memberi hidayah kepada mereka yang mahu berbuat kebaikan dan mahu mencari kebenaran. Begitulah kalau kita mahu mencari kebenaran, Allah ‎ﷻ akan beri hidayah.

Sebagai contoh, Allah‎ ﷻ akan bawa kita kepada orang yang boleh mengajar agama kepada kita. Yang penting, kena mulai dengan keinginan dalam hati itu. Kalau kita memang tidak kisah dengan agama, tidak mahu tahu manakah jalan yang benar, maka Allah ‎ﷻ akan biarkan sahaja mereka duduk dalam kesesatan. Sampaikan kalau kita beritahu mereka hal-hal agama, mereka buat tidak kisah sahaja. Kalau diajak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak berminat pun.

Apabila agama itu dilengkapkan, ini bermakna ia adalah satu nikmat yang amat besar. Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ juga telah lengkap seperti yang disebut dalam [ Maidah: 3 ]

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.

Ingatlah bahawa hidup ini dikira lengkap hanya apabila kita ada agama. Jika kita kaya, anak ramai, kawan ramai, kedudukan dalam masyarakat tinggi dan disanjung, namun jika tidak ada agama, itu semua tidak bermakna langsung.

Akan tetapi jika kita tidak ada benda-benda lain, namun kita ada iman dan Islam, itu sudah cukup. Sebab yang penting adalah nasib kita di akhirat kelak, bukan di dunia. Dunia ini hanyalah tempat yang sementara sahaja. Akhirnya kita akan mati.

وَتَفْصِيلًا لِّكُلِّ شَيْءٍ

dan untuk menjelaskan segala sesuatu

Taurat menjelaskan segala sesuatu yang perlu diketahui ‘tentang agama’. Bukan tentang semua perkara dalam dunia. Entah berapa banyak kertas kalau kitab itu tentang agama dan dunia sekali. Yang dimaksudkan ‘segala sesuatu’ adalah segala sesuatu tentang agama.

Allah ‎ﷻ bukan sahaja memberi hukum-hukum yang perlu diikuti kepada manusia, buat itu dan tinggalkan ini, tetapi Allah ‎ﷻ juga ‘menjelaskan’ kepada manusia tentang hukum-hukum itu. Ia memperjelaskan tentang suruhan-suruhan dalam agama.

Begitulah juga, bila kita mengajar kepada manusia tentang agama, perlulah kita menjelaskan kepada mereka tentang ajaran Islam ini. Sebagai contoh, apabila kita mengajar anak kita tentang puasa, janganlah kita hanya memberitahu yang mereka tidak boleh makan dari pagi sampai malam sahaja tetapi hendaklah kita beritahu kepada mereka asal hukum itu, kenapa ia dilakukan, bagaimanakah cara ia dilakukan, dan apakah kelebihan-kelebihan dan hikmat yang ada di dalam amalan puasa itu.

Apabila kita faham, kita lebih mudah untuk mengamalkannya. Kebanyakan manusia pun susah untuk beramal ibadat sebab mereka tidak belajar dan mereka tidak nampak kepentingan ibadat itu. Padahal, kalau kita belajar, kita akan tahu bahawa segala amal ibadat yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat itu adalah untuk kebaikan diri kita sebenarnya.

وَهُدًى وَرَحْمَةً

dan sebagai petunjuk dan rahmat,

Taurat itu juga adalah sebagai petunjuk dan rahmat kepada bangsa Yahudi jika ia dipelajari. Ilmu itu jika diamalkan, maka ia akan menjadi rahmat. Itu jikalau diamalkan. Malangnya, bangsa Yahudi tidak mempelajari isi kandung Taurat itu. Mereka tahu yang ia adalah kalam Allah ‎ﷻ dan mereka memang membacanya, tetapi mereka tidak menggunakannya sebagai sumber hukum dalam kehidupan mereka.

Mereka baca Taurat dalam majlis agama mereka dan mereka hafal, tetapi mereka tidak mengamalkan ajaran di dalamnya. Sebaliknya, sumber hukum mereka ambil daripada pendeta-pendeta mereka dan kitab-kitab karangan pendeta-pendeta mereka. Mereka tidak tahu apakah ajaran dalam Taurat itu sebenarnya.

Tidakkah itu sama sahaja dengan perbuatan kebanyakan dalam masyarakat kita yang berlaku pada hari ini? Kita hormat Al-Qur’an, tahu ia adalah daripada Allah ‎ﷻ, kita baca setiap hari dan kita hafal, tetapi adakah kita ambil pengajaran daripadanya? Adakah kita faham dengan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu? Kebanyakan daripada kita tidak faham kerana kita tidak belajar tafsir.

Apabila tidak belajar tafsir, maka tidaklah kita tahu apakah maksud yang Allah ‎ﷻ sampaikan dalam Al-Qur’an ini. Maka tinggallah Al-Qur’an ini sebagai bacaan dan hafalan sahaja. Tidaklah ia menjadi petunjuk. Maka, berhentilah daripada mengikut ‘sunnah’ Yahudi ini. Marilah belajar tafsir Al-Qur’an.

لَّعَلَّهُم بِلِقَاءِ رَبِّهِمْ يُؤْمِنُونَ

agar mereka beriman (bahawa) mereka akan menemui Tuhan mereka.

Umat Nabi Musa عليه السلام diingatkan dalam Taurat itu dengan perjumpaan dengan Allah ‎ﷻ. Lihatlah kisah bagaimana pertama kali Nabi Musa عليه السلام bercakap-cakap dengan Allah ‎ﷻ, baginda awal-awal lagi telah diberitahu dengan hari kiamat. Ini kita boleh lihat dalam [ Taha: 15 ]:

إِنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَىٰ

Sesungguhnya hari Kiamat itu akan datang; Aku merahsiakan (waktunya) agar supaya tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang ia usahakan.

Maknanya, pertama sekali wahyu yang Nabi Musa عليه السلام dapat adalah tentang Kiamat. Untuk Nabi Muhammad ﷺ, wahyu pertama yang disampaikan adalah ‘iqra’ (baca), tetapi untuk Nabi Musa عليه السلام, pertama sekali yang diberitahu kepada mereka adalah tentang hari kiamat.

Maknanya, pertemuan dengan Allah ‎ﷻ perkara pertama yang diberitahu kepada Nabi Musa عليه السلام itu menunjukkan akan kepentingan perkara itu. Namun malangnya, inilah satu perkara yang banyak diketepikan oleh bangsa Yahudi sekarang. Kebanyakan daripada mereka sudah tidak mempercayainya. Padahal, ia adalah tonggak agama mereka, tetapi majoriti daripada mereka telah meninggalkan ilmu tentang hari kiamat. Semoga kita pun tidak menjadi seperti mereka.

Tafsir Ayat Ke-155

وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلنَـٰهُ مُبَارَكٌ فَٱتَّبِعُوهُ وَٱتَّقُواْ لَعَلَّكُم تُرحَمُونَ

Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلنَـٰهُ

Dan Al-Qur’an itu adalah kitab yang Kami turunkannya

Selepas memberitahu tentang Taurat, sekarang Allah ‎ﷻ menyebut tentang Al-Qur’an pula. Allah ‎ﷻ mengingatkan kita bahawa Dialah yang telah menurunkan Al-Qur’an itu. Sebagaimana Taurat diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام pada zamannya, sekarang diberikan Al-Qur’an pula kepada Nabi Muhammad ﷺ dengan lengkap.

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang ia adalah daripada Allah ‎ﷻ. Dan apabila ia daripada Allah ‎ﷻ, maka hendaklah kita beri sepenuh perhatian dan jangan diambil lewa dengan Al-Qur’an ini. Malangnya ramai dalam kalangan umat kita tidak menghiraukan untuk memahami kandungan kitab ini.

مُبَارَكٌ

yang diberkati,

Sebelum ini telah disebut dengan ciri-ciri kitab Taurat. Untuk Al-Qur’an pula, Allah ‎ﷻ tambah dengan mengatakan yang ‘diberkati’. Maknanya Al-Qur’an ini lebih tinggi nilainya berbanding dengan kitab-kitab terdahulu kerana ajaran dalam Al-Qur’an ini mengumpulkan segala ajaran-ajaran di dalam kitab-kitab yang terdahulu.

Banyaklah lagi kelebihan Al-Qur’an ini jika dibandingkan dengan kitab-kitab yang lain. Ajaran dalam Al-Qur’an mempunyai banyak keberkatan. Jikalau kita mengikuti ajarannya, maka hidup kita pun akan diberkati.

Namun ada yang salah faham dalam perkara ini di mana mereka salah faham maksud ‘keberkatan Al-Qur’an’. Maka, mereka pun ada berdoa: “Ya Allah, dengan keberkatan Al-Qur’an, kau sempurnakanlah hajat kami”. Itu adalah cara berdoa yang salah. Kerana ini sudah bertawasul dengan sesuatu. Tawasul sebegini adalah dilarang. Bukan begitu maksud ‘keberkatan Al-Qur’an’ yang hendak disampaikan. Lihatlah bagaimana jika lari sikit sahaja daripada faham yang sebenar, kita sudah tergelincir ke jalan yang salah.

Kerana salah faham dengan maksud ‘keberkatan Al-Qur’an’ juga menyebabkan manusia ramai yang menggantung ayat-ayat Al-Qur’an di rumah, kedai, kereta dan merata-rata tempat lagi. Termasuklah ramai yang menggantungnya di masjid-masjid dan surau-surau. Padahal, tidak ada hadith yang mengatakan yang ada amalan menggantung ayat Al-Qur’an pada zaman Nabi.

Yang ada sekarang, termasuk di Masjidilharam dan Masjid Nabi, adalah hasil daripada perbuatan pemimpin-pemimpin yang terkemudian, bukanlah daripada Nabi ﷺ. Ini kerana salah faham dengan Al-Qur’an. Kita kena faham yang ayat-ayat Al-Qur’an adalah sebagai pedoman hidup kita, bukanlah sebagai perhiasan untuk digantung.

Bukan begitu cara untuk mendapat keberkatan daripada Al-Qur’an. Keberkatan daripada Al-Qur’an akan didapati apabila kita membacanya, kemudian memahaminya dengan belajar tafsir, dan kemudian mestilah mengamalkannya.

فَاتَّبِعُوهُ

maka ikutilah ia

Ini adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ untuk mengikuti ajaran-ajaran dalam Al-Qur’an. Kepada Ahli Kitab yang memang sudah ada kitab, maka mereka pun mesti mengikuti ajaran yang ada di dalam Al-Qur’an ini.

Begitu juga kita. Kita memang sudah tahu dan kenal Al-Qur’an, tetapi adakah kita sudah mengikuti segala apa ajaran di dalamnya? Sudahkah kita benar-benar faham ajaran Al-Qur’an ini? Sudahkah kita berguru kepada mereka yang boleh mengajar? Kerana kalau tidak faham, bagaimana pula hendak mengikutinya?

Oleh itu, peringkat pertama, kena faham dahulu.

Apabila sudah faham, mestilah ikut dan diamalkan.

وَاتَّقُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

dan bertaqwalah agar kamu diberi rahmat.

Taqwa itu bermaksud kita sedar tentang Allah ‎ﷻ yang sedang memerhatikan kita. Dalam setiap perbuatan kita, kita akan berjaga-jaga supaya kita tidak melanggar hukum Allah ‎ﷻ. Kita akan bertaqwa apabila kita sudah belajar isi kandung Al-Qur’an, in sha Allah.

Allahu a’lam

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan