Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-151 (Ayat Muhkamat – 10 Arahan daripada...

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-151 (Ayat Muhkamat – 10 Arahan daripada Allah ‎ﷻ

10
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am

Tafsir Ayat Ke-151

Ayat-ayat seterusnya selepas ini adalah jenis ayat-ayat yang Muhkamat iaitu ayat-ayat yang jelas maksudnya dan mengandungi hukum yang semestinya menjadi pegangan kita. Dari ayat ini sampai ayat ke-153, terdapat 10 arahan daripada Allah ‎ﷻ yang dikatakan sama dengan Ten Commandments di dalam Taurat.

Maknanya, perkara yang sama juga telah diberikan kepada umat-umat yang terdahulu. Walaupun syariat antara Nabi-Nabi ada yang tidak sama, tetapi ada syariat yang sama sahaja daripada Nabi yang dahulu sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Maka hendaklah kita memberi perhatian kepada ayat-ayat ini.

Oleh sebab itulah memang ada persamaan antara ayat-ayat di dalam Al-Qur’an dan juga di dalam kitab-kitab yang terdahulu kerana asas agama adalah sama. Dan ini telah dipersetujui oleh orang-orang Yahudi yang memasuki Islam kerana mereka dapati ajaran yang sama ada juga di dalam kitab mereka.

قُل تَعَالَواْ أَتلُ مَا حَرَّمَ رَبُّڪُم عَلَيڪُم أَلَّا تُشرِكُواْ بِهِۦ شَيـًٔ۬ا‌ۖ وَبِٱلوٰلِدَينِ إِحسَـٰنً۬ا‌ۖ وَلَا تَقتُلُوٓاْ أَولَـٰدَڪُم مِّن إِملَـٰقٍ نَّحنُ نَرزُقُڪُم وَإِيَّاهُم وَلَا تَقرَبُواْ ٱلفَوٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنهَا وَمَا بَطَنَ‌ۖ وَلَا تَقتُلُواْ ٱلنَّفسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلحَقِّ‌ۚ ذٰلِكُم وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُم تَعقِلُونَ

Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) berbuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) – yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ

Katakanlah: “Marilah kamu semua untuk kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu

Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk memberitahu kepada puak-puak Musyrikin itu, apakah yang sebenarnya yang telah diharamkan oleh Allah ‎ﷻ. Bukanlah yang diharamkan itu makanan-makanan yang mereka haramkan kerana itu semua bukanlah syariat daripada Allah ‎ﷻ. Maknanya, kita kena ikut syariat daripada Allah‎ ﷻ dan sekarang kita hendak dengar apa yang Allah ‎ﷻ telah wasiatkan kepada kita. Bukannya amanat dan ajaran tok sheikh tetapi daripada Allah ‎ﷻ.

Ayat-ayat ini juga ditujukan kepada kita orang Islam sebagai pegangan agama kita. Amat malang sekali jikalau kita mengaku kita orang Islam tetapi kita masih lagi melanggar larangan-larangan Allah ‎ﷻ. Puncanya kerana tidak tahu agama yang benar yang diambil daripada wahyu. Ramai yang suka agak-agak sahaja atau ambil sahaja kata-kata daripada guru mereka.

Perkataan تَعَالَوْا berasal daripada kata dasar ع ل و yang bermaksud ‘ketinggian’. Maka, perkataan تَعَالَوْا bermaksud ‘mengajak dari tempat yang tinggi’. Sebagai contoh, mungkin seorang yang ada di atas bukit, mengajak orang lain untuk naik ke bukit itu. Apabila seseorang itu berada di atas tempat yang tinggi, itu bermakna dia boleh nampak benda-benda yang orang di bawah tidak nampak.

Mengajak orang lain ke tempat yang tinggi juga boleh bermaksud mengajak kepada ketinggian dari segi fikiran iaitu mengajak mereka kepada ketinggian ajaran agama Islam yang benar. Ini dapat dicapai dengan meninggalkan pemahaman-pemahaman rendah yang salah. Oleh kerana Nabi ﷺ berada di kedudukan yang tinggi, maka Nabi ﷺ nampak apakah yang tidak diketahui oleh kaumnya.

Pemahaman-pemahaman syirik itu adalah fahaman salah yang rendah kedudukannya daripada fahaman agama Islam yang tinggi. Sebagai contoh, masih ramai lagi masyarakat kita yang walaupun mengaku Islam tetapi masih lagi mempercayai perkara-perkara karut dan khurafat yang berasal daripada pemikiran-pemikiran yang bodoh. Walaupun Gunung Jerai itu tinggi, tetapi beramal ke sana adalah perbuatan yang rendah dan bodoh.

Perkataan أَتْلُ asal daripada katadasar ت ل و yang bermaksud ‘membacakan’ tetapi bukan hanya membacakan sahaja tetapi membacakan sesuatu yang kita fahami. Bukan saja dia faham tetapi bermaksud dia juga mengikuti apa yang dia bacakan itu. Ini kerana kalau ‘membaca’ sahaja, sudah ada perkataan lain iaitu qira’ah.

Perkataan حَرَمَ yang selalu kita faham bermaksud sesuatu yang “diharamkan’ iaitu perkara yang kita tidak boleh buat. Tetapi apabila perkataan حَرَّمَ digunakan di dalam bentuk suruhan di dalam ayat ini, ia bermaksud ‘satu arahan yang mulia daripada Allah’. Seperti juga apabila kita gunakan perkataan haram kepada Masjidilharam, ia bukanlah bermaksud yang masjid itu haram untuk kita sentuh tetapi ia bermaksud satu masjid yang amat mulia.

Maka, di dalam ayat ini, perkataan حَرَّمَ bermaksud apa yang akan diberitahu selepas ini adalah arahan-arahan yang amat penting dan mulia yang perlu kita ikuti dan kita jaga.

أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا

Janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia,

Kesalahan syirik adalah satu kesalahan yang paling besar dalam agama. Dalam banyak-banyak dosa besar yang telah disebut, kesalahan syirik adalah kesalahan yang paling besar. Ini kerana dosa-dosa yang lain walaupun dosa-dosa yang besar, Allah ‎ﷻ masih ampunkan lagi, tetapi untuk dosa syirik, Allah ‎ﷻ telah beritahu kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ tidak akan ampuni.

Apabila perkataan شَيْئًا digunakan, ia bermaksud kita tidak akan mensyirikkan Allah‎ ﷻ dengan sesuatu apa pun. Sama ada dengan benda yang besar ataupun kecil. Sama ada dengan benda yang jelas nampak ataupun benda yang samar – samar. Yang zahir ataupun yang batin (jaliyy atau khafiyy). Sama ada benda itu memang ada wujud dalam alam ini, ataupun dengan benda-benda yang tidak wujud hasil daripada rekaan fikiran manusia sahaja. Oleh sebab itu, jangan syirikkan Allah ‎ﷻ dengan apa-apa sahaja.

Namun, amat menyedihkan sekali, ramai yang berbuat syirik walaupun tidak ada sesiapa pun yang paksa kita buat syirik di dunia ini. Kebanyakan yang buat syirik itu sekarang adalah kerana kejahilan mereka dalam agama sahaja. Tiada sesiapa pun yang paksa berqasidah ya hanana beramai-ramai, tetapi yang pergi itu semuanya pergi dengan sukarela dan gembira. Mereka sendiri yang bawa diri mereka ke tempat syirik. Tidak ada sesiapa yang paksa ke Gunung Jerai, tetapi diri sendiri yang hendak pergi, bukan?

Sesiapa yang mati tanpa mensyirikkan Allah ‎ﷻ, akan masuk ke dalam syurga. Cuma kalau ada dosa, kena masuk ke dalam neraka untuk dicuci dosa-dosa itu. Maka, kenalah tahu apakah itu tauhid, dan apakah itu syirik.

Ragu-ragu dengan Allah ‎ﷻ pun sudah dikira sebagai syirik. Orang-orang kafir sebenarnya tidak berharap kepada Tuhan, sebaliknya mereka berharap kepada pemuka-pemuka agama mereka seperti sami, tok cha dan paderi. Maka, kalau kita pun ragu-ragu sama ada Allah ‎ﷻ dengar doa kita atau tidak, sampai kita minta tolong orang lain seperti ustaz atau orang lain, itu bermaksud kita ada ragu-ragu dengan Tuhan. Ini kerana kita tidak percaya yang Allah Maha Mendengar.

Oleh itu, jangan buat sedikit pun dosa syirik. Jangan kata tidak apa kalau buat syirik sikit, atau kita berhujah amalan-amalan yang tidak ada dalam agama itu sebagai tidak syirik sedangkan kita tidak tahu. Jangan meringankan dosa syirik. Lihatlah bagaimana tidak ada hukum hudud untuk dosa syirik. Ini adalah kerana Allah‎ ﷻ sendiri yang akan beri hukuman syirik itu. Ini adalah kerana berat sangat dosa syirik itu.

وَبِالْوٰلِدَيْنِ إِحْسٰنًا

berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa,

Ini arahan mulia kedua yang Allah ‎ﷻ suruh kita lakukan. Kena sentiasa berlaku baik dengan kedua ibu bapa kita. Dengan kedua-duanya sekali. Jangan pula kita berbuat baik dengan ibu, tetapi dengan ayah tidak pula. Memang ada kelebihan pada ibu, tetapi berbuat baik mestilah dilakukan kepada kedua-dua sekali. Jangan kita sangka hanya ibu sahaja kita kena beri perhatian. Ini kerana perkataan والدين yang digunakan, yang bermaksud ‘dua ibu dan bapa’.

Lihatlah bagaimana selepas Allah ‎ﷻ sebut jangan syirik kepada-Nya, terus disebut kewajipan berbuat baik dengan ibubapa kita. Ini menunjukkan betapa pentingnya mereka kepada kita dan kepada Allah ‎ﷻ. Ini juga bermakna, derhaka kepada ibu bapa adalah haram. Tetapi, bukan hanya jangan derhaka kepada mereka, tetapi kita kena buat baik kepada mereka, iaitu kena ada bonus.

Lihat juga dalam [ Luqman: 14 ], bagaimana selepas disuruh kita bersyukur kepada Allah ‎ﷻ, kita disuruh berterima kasih kepada ibubapa pula,

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.

Perkataan إِحْسَانًا bermaksud ‘berbuat baik’. Lebih tepat lagi, ia bermaksud ‘berbuat baik lebih daripada apa yang perlu’. Ingatlah bahawa kita tidak akan dapat membalas segala budi ibu bapa kita. Tetapi kita disuruh juga berbuat baik lebih lagi kepada mereka. Di dalam [ Isra: 24 ] Allah ‎ﷻ sebut وَٱخفِض لَهُمَا (Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua). Ia mengandungi banyak makna yang diterangkan di dalam tafsir ayat itu.

Dan kadangkala ini mencabar sebenarnya. Kalau mereka baik dengan kita, senanglah juga. Namun katakanlah mereka sedang marah kita, atau kita sedang marah dengan mereka, waktu itu memang amat mencabar. Tetapi Allah ‎ﷻ ingatkan dalam ayat ini, yang kita kena buat ‘lebih baik’ lagi.

Ini juga ada disebutkan dalam hadith berikut:

Amal Yang Dicintai Allah

أَبَا عَمْرٍو الشَّيْبَانِيَّ يَقُولُ حَدَّثَنَا صَاحِبُ هَذِهِ الدَّارِ وَأَشَارَ إِلَى دَارِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي بِهِنَّ وَلَوْ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي

Abu Amru Asy Syaibani berkata, “Pemilik rumah ini menceritakan kepada kami – seraya menunjuk rumah Abdullah – ia berkata, “Aku pernah bertanya kepada Nabi ﷺ, “Amal apakah yang paling dicintai oleh Allah?” Baginda menjawab: “Salat pada waktunya.” Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab: “Kemudian berbakti kepada kedua orang tua.”Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Baginda menjawab: “Jihad fi sabilillah.” Abdullah berkata, “Baginda sampaikan semua itu, sekiranya aku minta tambah, nescaya baginda akan menambahkannya untukku.” (HR Bukhari No: 496)

Lihatlah, selepas salat sahaja, disebut tentang berbuat baik kepada ibu bapa dan ia lebih lagi daripada berjihad fi sabilillah! Ma sha Allah.

Perkataan إِحْسَانًا bukanlah bermaksud berbuat baik sebagai balasan daripada kebaikan. Walaupun mereka tidak berbuat baik kepada kita, kita masih lagi kena berbuat baik dengan mereka. Ini kerana ada yang sangka kalau ibu bapa mereka tidak layan mereka dengan baik, mereka boleh layan mereka tidak baik juga. Bukan begitu.

Tidak kisah bagaimana mereka melayan kita, kita kena layan mereka dengan baik juga. Bayangkan, kesusahan ibu kita menanggung kita selama 9 bulan pun kita tidak dapat balas. Bagaimana pula dengan kesakitan yang ditanggungnya semasa melahirkan kita?

Banyak sangat aspek yang perlu disentuh kalau hendak menceritakan bagaimana hendak berbuat baik kepada mereka. Secara ringkasnya, kita hendaklah melakukan perkara yang menyebabkan mereka gembira. Ketahuilah apa yang mereka suka kita lakukan. Asalkan perkara itu tidak bercanggah dengan agama, maka hendaklah kita lakukan.

Dan kita kena lakukan apa yang mereka suka semasa mereka di dunia dan selepas MEREKA TIADA. Ataupun semasa mereka tiada di depan mata kita pun. Kalau kita berbuat baik, siapa yang akan dipuji? Mereka juga yang dipuji. Mungkin ada yang berkata: “Ini anak Pak Nayan rupanya, baiknya dia…..” Begitu juga kalau kita buat benda yang buruk, siapa yang kena kecam? Mereka juga, bukan?

Kita kena berbuat baik dengan mereka walaupun ibu bapa itu kafir. Berapa banyak kisah kita dengar bagaimana mualaf yang melayan ibubapa mereka dengan baik, sampaikan ibubapa mereka terbuka hati untuk masuk Islam? Ini kerana mereka nampak anak mereka itu lebih baik lagi dari sebelum mereka masuk Islam.

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلٰدَكُم مِّنْ إِمْلٰقٍ

dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan,

Sebelum ini telah disebut hak ibu bapa. Sekarang disebut hak anak-anak pula, jangan tidak diberi hak mereka dan jangan dizalimi mereka. Dan kezaliman yang paling teruk adalah membunuh mereka kerana apa-apa sebab pun. Bangsa Arab memang ada yang membunuh anak-anak mereka atas beberapa sebab yang kita telah pernah sebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini. Dalam ayat ini, disebutkan salah satu daripada sebab-sebab itu – kerana miskin atau kerana takut jatuh miskin.

Perkataan إِمْلَاقٍ berasal daripada م ل ق yang bermaksud ‘memadam’ dan ‘membersihkan sesuatu’. Apabila sesuatu dipadamkan, bermaksud ia telah tiada. Oleh itu, إِمْلَاقٍ digunakan dalam ayat ini bermaksud apabila sesuatu telah dipadamkan atau dibersihkan. Seperti duit kita, kalau digunakan, lama-lama akan habis. إِمْلَاقٍ juga bermaksud ‘kemiskinan’ kerana sudah tiada harta.

Pada zaman jahiliyyah, mereka akan tanam anak-anak mereka terutama anak perempuan. Dan kalau zaman sekarang pula, ada ibu yang menggugurkan anak dalam kandungan atau gunakan berbagai cara untuk mengelakkan daripada tidak mendapat anak. Untuk zaman sekarang pelbagai cara yang boleh digunakan.

Dalam ayat ini disebut ‘kerana kemiskinan’ iaitu memang sudah miskin. Dalam [ Isra’: 31] disebut خَشيَةَ إِملَـٰقٍ۬‌ۖ (takut miskin). Maknanya kedua-duanya dilarang. Sama ada kerana miskin atau takut miskin (belum jatuh miskin lagi), janganlah dibunuh anak-anak itu.

Ayat ini termasuklah perbuatan ‘merancang keluarga’ kerana takut miskin. Ramai masyarakat kita merancang keluarga kerana mereka takut kalau anak mereka ramai, mereka akan jatuh miskin dan tidak dapat menikmati kehidupan yang senang. Lainlah kalau mereka merancang untuk tidak dapat anak kerana masalah kesihatan. Jika untuk masalah kesihatan, maka perancangan keluarga itu dibenarkan. Atau untuk menjarakkan kelahiran anak selama dua tahun. Ini pun dibenarkan kerana kalau lahir setiap tahun pun susah juga.

Kenapa kita takut miskin sedangkan berapa sangatlah anak itu makan? Sikit sahaja sebab perut mereka pun kecil. Mereka bukan makan banyak pun. Tambah pula kalau kita menyusukan anak itu. Dan bukan mereka pun yang beri rezeki kepada anak itu, tetapi Allah ‎ﷻ yang beri rezeki mereka. Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang takdirkan mereka dilahirkan, maka Allah ‎ﷻ akan sediakan rezeki untuk mereka pastinya.

Dalam ayat ini, perkataan إِمْلَاقٍ digunakan untuk membawa maksud ‘takut miskin’. Itulah yang mereka takuti. Padahal, mereka lupa bahawa harta dan wang datang daripada pemberian Allah‎ ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh sahaja memberi lebih lagi kepada kita.

Membunuh anak adalah satu perbuatan yang teramat buruk. Jika dibunuh orang lain, mungkin ada orang lain yang akan balas dendam dan tegakkan keadilan bagi orang itu. Akan tetapi kalau bunuh anak sendiri, siapa yang akan tegakkan? Maka kerana itu Allah ‎ﷻ sebut berkali-kali di dalam Al-Qur’an tentang hal ini.

Kita sudah sebut tentang pembunuhan secara fizikal. Ini semua boleh faham. Akan tetapi ada juga yang menyebut pembunuhan secara ma’nawi (secara makna sahaja, secara kiasan),iaitu tidak bunuh secara fizikal, tetapi tidak diberi ilmu agama kepada mereka. Ini pun dikira sebagai pembunuhan juga, tetapi tidaklah bunuh yang jenis fizikal itu kerana bukankah kalau tidak ada pemahaman agama itu dikira sebagai mati juga?

نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ

Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka,

Ini alasan Allah ‎ﷻ kenapa jangan dibunuh anak kerana miskin (atau takut miskin). Kerana Allah ‎ﷻlah yang memberi rezeki kepada kita dan juga kepada anak-anak kita. Kenapa kita perlu takut jatuh miskin kerana anak, padahal dalam ayat ini Allah ‎ﷻ sendiri memberitahu kepada kita bahawa Dia yang memberi rezeki kepada anak itu dan bukannya kita.

Maknanya setiap orang di dunia ini Allah ‎ﷻ telah sediakan rezeki untuk mereka sebelum mereka dilahirkan lagi. Apabila Allah ‎ﷻ mengizinkan anak itu lahir dan terus hidup, Allah ‎ﷻ akan memberi rezeki kepada anak itu. Sepertimana Allah ‎ﷻ juga telah memberi rezeki kepada kita.

Pernahkah kita dengar bagaimana orang yang baru dapat anak, rezeki ibu bapanya bertambah? Itu adalah kerana Allah ‎ﷻ menambah rezeki ibu bapa kerana dengan menambahkan rezeki ibu bapa, ada bahagian untuk anak itu.

Balaghah: Terdapat balaghah takdim wa ta’khir dalam ayat ini – mendahulukan dan mengkemudiankan sesuatu. Susunan dalam potongan ayat ini berlainan dalam susunan dalam [ Isra: 31 ]. Dalam surah itu, potongan ayat ini begini:

نَحنُ نَرزُقُهُم وَإِيّاكُم

Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu.

Walaupun dalam terjemahan biasa, maksudnya sama sahaja, tetapi kenapa dalam Surah Isra itu, didahulukan pemberian rezeki kepada anak-anak itu dan dalam Surah al-An’am ini, kenapa didahulukan pemberian rezeki kepada ibubapa? Sedangkan tajuk dan tujuan potongan ayat sama sahaja: jangan bunuh anak.

Dan dalam ayat Surah Isra’ ini disebut rezeki untuk anak dahulu kerana ibubapa itu takut anak itu tidak dapat makan. Maka Allah ‎ﷻ sebut Dia pasti akan beri rezeki kepada anak itu.

Akhir sekali, disebut rezeki dahulu kepada ibu bapa itu kerana Allah ‎ﷻ beri rezeki itu kepada ibu dan bapa dahulu, dan untuk diberikan kepada anak-anak mereka. Anak-anak itu tidaklah pula mendapat terus rezeki itu. Ini mengingatkan kita yang rezeki yang kita dapat ini, bukan untuk diri kita sahaja, tetapi untuk orang yang di bawah tanggungan kita juga.

وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوٰحِشَ

dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji,

Allah ‎ﷻ bukan kata ‘jangan buat’, tetapi Allah ‎ﷻ kata ‘jangan dekati’ pun. Jangan fikirkan pun hendak buat. Ini menolak pintu kepada maksiat. Jangan dekati kerana kalau dekati, berkemungkinan kita akan buat dosa itu. Maknanya ada perkara buruk dalam dunia ini, dekati pun jangan, apatah lagi untuk buat.

Kita takuti kalau zaman sekarang dan zaman akan datang akan jadi begitu juga di mana manusia sudah tidak nampak keburukan zina. Namun begitu walaupun ia dipandang biasa oleh masyarakat, ia akan tetap dipandang keji oleh agama.

Potongan ayat ini kalau dibandingkan dengan ‘Ten commandments’, ia adalah larangan berzina dengan isteri jiran. Ini pun termasuk juga dalam larangan ayat ini.

Antara yang selalu kita buat sekarang adalah lawak lucah. Kita bagaikan sudah tiada rasa bersalah kalau buat lawak yang mengandungi unsur seks. Sedangkan perkara itu akan menyebabkan kita rasa lali dengan hal-hal seks sampaikan akhirnya dengan perbuatan zina pun kita tidak kisah. Malangnya kadangkala ia keluar di meja penceramah.

Begitu juga kita tidak kisah kalau filem yang kita tonton ada elemen seks di dalamnya. Kita pandai pula kata: “Tak banyak, sikit sahaja, masih boleh tengok lagi…”

Satu lagi pendapat ulama’ tafsir, yang zahir itu adalah segala jenis dosa melainkan yang melibatkan aqidah. Yang batin itu yang melibatkan aqidah.

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ

dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya)

Tidak boleh membunuh jiwa yang Allah ‎ﷻ telah haramkan kita membunuhnya. Ini rasanya semua orang boleh terima. Kita pun tidak ada bunuh orang dan tidak tefikir pun untuk bunuh orang.

وَمَا بَطَنَ

mahupun yang tersembunyi,

Merujuk kepada الْفَوَاحِشَ yang dilakukan dalam rahsia. Kita tidak tunjuk kepada orang lain semasa melakukannya. Jenis buat dosa senyap-senyap sebab takut orang tahu kerana kita malu dengan orang lain.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu, jangan buat dosa secara nyata atau tersembunyi kerana kedua-duanya tetap berdosa dan tetap Allah ‎ﷻ tahu.

Atau merujuk kepada dosa yang dilakukan dalam hati. Sebagai contoh: memikirkan sesuatu yang buruk. Sebagai contoh, menyimpan rasa cemburu kepada orang lain; rasa putus asa dan sebagainya.

مَا ظَهَرَ مِنْهَا

sama ada yang nampak di antaranya

Ini merujuk kepada الْفَوَاحِشَ yang zahir, yang jelas kelihatan seperti lelaki dan perempuan yang bukan mahram yang duduk bersama berpegangan tangan tanpa rasa malu dan bersalah. Sekarang ini biasa sangat kita nampak di mana-mana. Kadang-kadang ibu bapa pun tidak kisah. Namun ia masih tetap berdosa walaupun kita nampak biasa sahaja.

Atau ayat ini juga merujuk kepada dosa yang dilakukan secara fizikal. Ada dosa yang kita lakukan dengan kaki dan tangan kita dan tidak disorok pun daripada orang ramai kerana kita tidak malu.

Jawapan: Ayat dalam Surah al-An’am ini ditujukan kepada ibubapa yang sudah ada kesempitan hidup. Mereka amat miskin dan untuk tanggung diri mereka pun sudah payah. Maka, mereka takut kalau ada anak, akan menyusahkan mereka nanti, takut mereka tidak boleh beri makan kepada anak itu. Sampaikan mungkin ada yang bunuh anak kerana takut tidak ada rezeki.

Allah ‎ﷻ beritahu, tidak boleh begitu. Jangan bunuh anak kerana bukan kamu yang beri rezeki, tetapi Allah ‎ﷻ yang beri rezeki. Didahulukan rezeki kepada mereka sendiri sebelum rezeki kepada anak, kerana Allah ‎ﷻ mahu tekankan, mereka yang hidup itu pun Allah ‎ﷻlah yang beri rezeki. Dan bila anak itu lahir nanti, Allah ‎ﷻ akan beri rezeki kepada anak itu juga.

Perkataan الْفَوَاحِشَ bermaksud sesuatu ‘dosa yang keji dan memalukan’ seperti zina, iaitu dosa yang melibatkan moral yang buruk. الْفَوَاحِشَ adalah dosa yang buruk dan kesannya pun buruk kepada pelaku dan juga kepada orang lain. Antaranya termasuk dosa membunuh. Tetapi selalunya perkataan الْفَوَاحِشَ digunakan untuk merujuk kepada ‘dosa zina’. Seperti yang disebut dalam [ Isra:32 ]

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

Allah ‎ﷻ memang tidak suka perbuatan yang keji. Lihatlah hadith berikut:

Diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim daripada Al-Mughirah bin Syu’bah berkata: Sa’ad bin Ubadah berkata:

لَوْ رَأَيْتُ رَجُلا مَعَ امْرَأَتِى لَضَرَبْتُهُ بِالسَّيْفِ غَيْرَ مُصْفَحٍ

Sekiranya aku melihat lelaki lain bersama isteriku, pasti aku akan menghunusnya dengan pedang tanpa ampun”.

Lalu, hal tersebut sampai kepada Rasulullah ﷺ dan Baginda bersabda:

أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ، وَاللَّهِ لأنَا أَغْيَرُ مِنْهُ، وَاللَّهُ أَغْيَرُ مِنِّى، وَمِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ اللَّهِ حَرَّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

Adakah kamu merasa kagum terhadap kecemburuan Saad? Demi Allah, aku lebih bersifat cemburu daripadanya, manakala Allah lebih bersifat cemburu daripadaku. Oleh kerana cemburunya Allah, Dia mengharamkan kekejian yang nampak dan yang tidak nampak.

وَلا أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعُذْرُ مِنَ اللَّهِ، وَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ بَعَثَ الْمُبَشِّرِينَ وَالْمُنْذِرِينَ، وَلا أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ الْمِدْحَةُ مِنَ اللَّهِ، وَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ وَعَدَ اللَّهُ الْجَنَّةَ

Sungguh, tiada seorangpun yang lebih cemburu daripada Allah ‎ﷻ. Dan, tidak ada seorangpun yang lebih menyukai uzur daripada Allah ‎ﷻ. Oleh kerana itu, Dia mengutuskan para Nabi-Nabi sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan. Juga, tidak ada seorangpun suka dipuji lebih daripada Allah ‎ﷻ. Oleh sebab itulah, Allah menjanjikan syurga”. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kalau manusia sendiri tidak suka perbuatan keji, apatah lagi Allah ‎ﷻ.

Dalam ayat ini, dimulakan sebut yang rezeki diberikan kepada ibu bapa itu kerana itulah yang mereka lebih takut. Mereka takut mereka tidak ada rezeki kalau mereka dapat anak. Mereka takut nanti mereka sendiri hendak makan pun susah. Maka Allah ‎ﷻ sebut tentang rezeki untuk mereka dahulu.

Sedangkan, dalam Surah al-Isra itu, didahulukan pemberian rezeki kepada anak, kerana ayat itu ditujukan kepada orang yang kaya. Mereka ada kesenangan hidup, tetapi mereka takut kalau mereka ada anak, anak itu akan mengurangkan rezeki mereka pula nanti. Mereka tidak risaukan diri mereka, tetapi mereka risaukan anak itu akan makan rezeki mereka. Oleh itu, Allah ‎ﷻ tekankan yang apabila anak itu dilahirkan, mereka akan diberikan rezeki.

Balaghah: Kenapa Allah ‎ﷻ tidak sebut sahaja yang Dia beri rezeki kepada semua? Kenapa Dia pecahkan rezeki ibu bapa dan rezeki anak?

Jawapan: Kerana rezeki kita tidak pernah bercampur. Ada rezeki anak dan ada rezeki ayah. Malah rezeki setiap orang pun. Allah ‎ﷻ beri rezeki masing-masing dan kita tidak pernah bergantung rezeki dengan makhluk lain. Cuma, kalau nampak ibu bapa yang beri rezeki, mereka itu sebagai penyalur/agen Pemberi Rezeki (iaitu Allah ‎ﷻ) sahaja. Bukannya mereka beri rezeki mereka kepada anak. Begitu juga kalau tauke tidak memberi rezekinya kepada pekerja bawahannya, tetapi pekerja itu mendapat rezeki dia sendiri. Cuma Allah ‎ﷻ salurkan rezeki pekerja itu melalui tauke itu.

Untuk Arab jahiliah, kebanyakan mereka tidak memandang zina sesuatu yang buruk kerana ia berlaku secara berleluasa pada zaman itu. Rumah-rumah pelacur ditandakan dengan bendera di atasnya untuk memudahkan orang untuk mencarinya. Mereka tidak ada rasa malu untuk mengiklankan kegiatan mereka secara terbuka begitu. Bagi pengembara, mereka akan cari rumah sebegitu untuk melabuhkan diri mereka. Dapat tempat tinggal pada malam itu dan teman ‘bermalam’.

Dan di rumah kediaman orang pula, adalah perkara biasa sahaja untuk mereka memberikan hamba perempuan mereka kepada tetamu untuk kepuasan seks sebagai satu cara menghormati tetamu.

Namun ini yang berlaku di negara kita. Bagaimana pula kalau di negara seperti Amerika di mana harga nyawa begitu murah sekali? Kadangkala silap masuk lorong di jalanan pun boleh melayang nyawa. Maka, peringatan ini adalah relevan. Mungkin tidak di negara kita, tetapi ada tempat yang memerlukan peringatan ini.

Termasuk dalam maksud jiwa adalah diri kita sendiri. Maka haram untuk membunuh diri kerana ia pun termasuk jiwa juga bukan? Sekarang berapa ramai sudah orang Islam yang mengambil keputusan membunuh diri kerana tidak tahan dengan dugaan hidup? Ia amat menakutkan.

إِلَّا بِالْحَقِّ

melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar”.

Ada keadaan yang memang boleh bunuh orang lain. Contohnya, apabila dibunuh kerana Qisas (Balas bunuh). Atau pembunuhan kerana menjalankan hukum Hudud. Atau pembunuhan orang kafir dalam peperangan.

Proses penghakiman Hudud perlu dijalankan dengan haq. Cuma di negara ini sekarang tidak dapat lagi dijalankan hukum Hudud. In sha Allah, apabila Islam sudah ditegakkan, hukum Allah ‎ﷻ akan ditegakkan.

Perhatikan bagaimana mula-mula telah disebut jangan membunuh anak-anak. Sekarang tentang pembunuhan lain pula. Dan di tengah-tengahnya ada sebut tentang zina. Semuanya berkaitan kerana yang dibunuh selalunya anak zina. Sekarang memang banyak kita dengar dan kita baca.

Jika tidak dibunuh pun, anak zina itu akan dibuang atau ditinggalkan di tempat sampah dan sebagainya. Hari-hari kita boleh lihat kejadian ini. Kemudian, kalau ada orang berzina dengan isteri orang lain, itu pun boleh menyebabkan pembunuhan kerana suami wanita itu tentu tidak tahan, sampai boleh membunuh.

Kita kena jaga nyawa manusia kerana darah manusia adalah mulia.

مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنِّي رَسُوْلُ اللهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ : الثَّيِّبُ الزَّانِي، وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِيْنِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ [رواه البخاري ومسلم]

Daripada Ibnu Mas’ud رضي الله عنه, beliau berkata: “Rasululllah ﷺ bersabda: “Tidak halal ditumpahkan darah seorang Muslim kecuali kerana salah satu di antara tiga alasan: orang yang telah kahwin melakukan zina, orang yang membunuh jiwa (orang muslim) dan orang yang meninggalkan agamanya memisahkan diri daripada jamaah.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, bukanlah bermaksud kita tidak boleh membunuh orang Islam sahaja. Orang kafir pun kita tidak boleh bunuh kerana perkataan النَّفْسَ dalam ayat ini berbentuk umum – untuk mana-mana manusia pun. Jika kita membunuh orang kafir pun berdosa besar juga melainkan kalau dengan sebab yang haq. Kena ada sebab kalau hendak bunuh mereka, sebagai contoh, mereka berperang dengan kita.

من قتل قتيلا من أهل الذمة لم يرح رائحة الجنة وان ريحها ليوجد من مسيرة أربعين عاما (رواه الإمام احمد

“Barang siapa membunuh seorang kafir dzimmy, tidak dapat mencium bau syurga. Dan sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dalam jarak perjalanan empat puluh tahun.” ( Hadith Riwayat Imam Ahmad).

Kafir dzimmy adalah orang kafir yang tinggal dalam wilayah Islam dan telah mendapat kerakyatan dalam negara Islam kerana telah ada persetujuan antara kafir dzimmy itu dan pemerintah Islam.

ان اول ما يحكم بين العباد فى الدماء (رواه البخارى ومسلم والنسائى وبن ماجه والترمذى

“Perkara yang pertama diadili di hadapan Allah pada hari kiamat ialah masalah darah (pembunuhan).”( Hadith Riwayat Bukhari, Muslim, An-Nasai, Ibnu Majah dan Turmudzi).

Islam menganggap dosa besar orang yang mencabut nyawa orang lain. Oleh kerana itu, Islam memberikan perumpamaan, bahawa membunuh seseorang bererti membunuh seluruh umat manusia. Untuk itu Allah ‎ﷻ berfirman dalam Al-Qur’an [ Maidah: 32 ]:

مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا ۚ وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ بَعْدَ ذَٰلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ

“Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel, bahawa: barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-Rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak diantara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi”.

ذَٰلِكُمْ وَصّٰكُم بِهِ

Demikian itu yang diperintahkan kepadamu

Telah disebut lima hukum (daripada sepuluh yang akan disebut) dan sekarang Allah ‎ﷻ mengingatkan kepentingan semua hukum itu. Kalimah وَصَّاكُم berasal daripada perkataan wasiyyah yang bermaksud ‘arahan yang penting’. Ia adalah penting kerana ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, ia adalah wasiat yang amat penting untuk dijaga.

لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

supaya kamu memahami(nya).

Allah ‎ﷻ memberikan semua ayat-ayat ini supaya kita menggunakan akal kita untuk mengikut perintah Allah ‎ﷻ. Semua yang diajar dalam Al-Qur’an dan oleh Nabi Muhammad ﷺ adalah untuk kepentingan kita. Kalau kita perhatikan dan kita tadabbur, maka kita akan nampak kepentingan dan kehebatan hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan