Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-148 hingga Ke-150

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-148 hingga Ke-150

20
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am

Tafsir Ayat Ke-148

Sekarang kita belajar beza antara iradah (kehendak Allah ‎ﷻ) dan masya’atillah (keredhaan Allah ‎ﷻ). Memang tidak akan berlaku apa-apa pun yang di luar daripada kehendak Allah ‎ﷻ, tetapi tidak semestinya Allah ‎ﷻ suka dengan perkara itu.

سَيَقُولُ ٱلَّذِينَ أَشرَكُواْ لَو شَآءَ ٱللَّهُ مَآ أَشرَڪنَا وَلَآ ءَابَآؤُنَا وَلَا حَرَّمنَا مِن شَىءٍ ڪَذٰلِكَ كَذَّبَ ٱلَّذِينَ مِن قَبلِهِم حَتَّىٰ ذَاقُواْ بَأسَنَا‌ۗ قُل هَل عِندَڪُم مِّن عِلمٍ فَتُخرِجُوهُ لَنَآ‌ۖ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِن أَنتُم إِلَّا تَخرُصُونَ

Orang-orang musyrik akan mengatakan: “Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk nenek kami tidak mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain), dan tidak pula kami haramkan sesuatu apa pun”. Demikianlah juga orang-orang yang dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-Rasul) sehingga mereka merasai azab seksa Kami. Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata, dan kamu pula tidak lain hanyalah berdusta”.

سَيَقُولُ الَّذِينَ أَشْرَكُوا

Orang-orang yang mempersekutukan Tuhan, akan mengatakan

Allah ‎ﷻ kata ‘mereka akan mengatakan’, bermakna mereka tidak cakap lagi, tetapi Allah ‎ﷻ sudah siap-siap beritahu apa yang mereka akan katakan kerana Allah ‎ﷻ sudah tahu apa yang dalam hati mereka. Inilah hebatnya Al-Qur’an yang memberitahu apa yang di dalam hati manusia.

Lihatlah apa orang-orang yang berfikiran syirik itu cakap. Tidak kira sama ada Musyrikin Mekah atau Musyrikin Malaysia, sama sahaja apa yang mereka kata.

لَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا أَشْرَكْنَا

Jika Allah menghendaki, nescaya kami tidak mempersekutukan-Nya

Mereka kata, kalau Allah ‎ﷻ tidak suka dengan apa yang mereka lakukan, tidaklah Allah ‎ﷻ benarkan mereka buat apa yang mereka buat. Maknanya, mereka hendak kata apa yang mereka buat itu tidaklah salah. Mereka kata, kalau Allah ‎ﷻ buat tidak tahu sahaja dengan apa yang mereka lakukan, tentulah benar apa yang mereka buat.

Sebagai contoh, mereka ber ya hanana satu stadium, tiada apa-apa pun berlaku, tidaklah runtuh stadium itu, bermakna tentulah Allah ‎ﷻ suka, mereka kata. Mereka tidak dapat membezakan antara iradah dan masya’atillah. Kalau Allah ‎ﷻ benarkan sesuatu benda itu terjadi, tidaklah bermakna Allah ‎ﷻ redha dengan perkara itu.

Kesesatan mereka itu ditambah lagi dengan sebab amalan mereka itu ‘menjadi’. Kadang-kadang apa yang mereka hendak itu mereka boleh dapat. Sebagai contoh, ada yang mengamalkan ‘Ilmu Penunduk’. Dengan amalan mereka itu, mereka boleh melembutkan hati orang lain. Mereka boleh bagi orang lain dengar cakap mereka. Maka, mereka pun rasa yang amalan mereka itu mujarab. Mereka beranggapan, kalau ia adalah salah, maka ia tidak akan ‘menjadi’.

Atau, kepada mereka yang mengamalkan ‘Perubatan Islam’, mereka telah ‘berjaya’ mengeluarkan jin-jin daripada badan pesakit mereka. Mereka kadang-kadang boleh ‘mengislamkan’ jin-jin itu pula. Kalau mereka baca ayat-ayat tertentu daripada amalan mereka, jin-jin itu mengerang kesakitan, minta tolong, dan sebagainya. Pesakit yang mulanya datang dalam keadaan lemah tidak bermaya, sudah boleh bercakap, sudah nampak lega.

Mereka pun rasa hebat dan sangka betullah amalan mereka. Padahal, mereka tidak tahu sama ada jin-jin itu berlakon sahaja atau tidak kerana jin itu makhluk yang ghaib. Kita tidak tahu apakah yang mereka lakukan dan apakah mereka menipu kita atau tidak.

وَلَا ءآبَاؤُنَا

dan tidak juga bapa-bapa kami

Mereka kata yang amalan yang dibuat oleh tok nenek mereka, yang sampai sekarang masih ada lagi, tentulah sebagai satu tanda yang amalan itu benar. Kalaulah ia salah, tentu Allah ‎ﷻ telah beri isyarat kepada mereka untuk meninggalkannya tetapi kalau sampai sekarang masih ada lagi, tentunya ia adalah amalan yang benar.

Dan mereka tambah, sekarang pun ramai yang amalkan juga, dan Allah ‎ﷻ biarkan sahaja, tentu Allah ‎ﷻ redha; itulah hujah-hujah akal mereka yang bukan berasaskan dalil tetapi daripada akal yang tidak beriman sahaja.

وَلَا حَرَّمْنَا مِن شَيْءٍ

dan tidak (pula) kami mengharamkan barang sesuatu apapun

Mereka kata, apa yang mereka buat itu adalah kemahuan Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ tidak suka, tentu Allah ‎ﷻ halang mereka daripada mengharamkan binatang dan makanan-makanan itu kepada diri mereka. Itulah alasan batil mereka.

Allah ‎ﷻ memang berkuasa untuk menahan manusia daripada melakukan dosa dan kesalahan. Jangan pula ada yang beranggapan yang Allah ‎ﷻ tidak boleh menghalang manusia daripada melakukan dosa. Allah ‎ﷻ boleh menahan manusia atau makhluk-Nya yang lain daripada berbuat kesalahan sampai bila-bila.

Tetapi Allah ‎ﷻ tidak mahu buat begitu. Allah ‎ﷻ beri peluang kepada manusia (dan jin) untuk melakukan apa yang mereka mahu. Tetapi tidaklah bermakna Allah ‎ﷻ redha dengan perbuatan mereka itu. Allah ‎ﷻ telah siap-siap beritahu kepada manusia apakah yang Dia suka dan apakah yang Dia benci. Maka manusialah yang perlu belajar untuk mengetahui apakah suruhan dan larangan Allah ‎ﷻ itu. Itulah sebab kita kena belajar Al-Qur’an dan Hadith untuk mengetahuinya.

كَذَٰلِكَ كَذَّبَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

Demikian pulalah orang-orang sebelum mereka telah mendustakan

Ramai sudah cakap begini dari dahulu lagi, semenjak sebelum Musyrikin Mekah lagi. Orang Islam sekarang pun ramai yang beranggapan begitu. Ramai sudah orang kita meniru alasan musyrikin. Bila kita baca ayat-ayat Al-Qur’an dan belajar tafsir, kita boleh lihat yang cara mereka serupa sahaja. Ini adalah kerana syaitan yang mengajar itu adalah syaitan yang sama sahaja.

حَتَّىٰ ذَاقُوا بَأْسَنَا

sampai mereka merasakan seksaan Kami.

Bila Allah ‎ﷻ sudah kenakan azab, barulah mereka akan menyesal. Dan kalau Allah ‎ﷻ seksa mereka, ini menunjukkan Allah ‎ﷻ tidak suka. Mereka kata tentu Allah‎ ﷻ suka kerana Allah‎ ﷻ tidak buat apa-apa. Tetapi, sekarang Allah ‎ﷻ kata yang Allah ‎ﷻ akan seksa mereka.

Ini menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ tidak redha dengan apa yang mereka lakukan itu. Tidaklah bermakna Allah‎ ﷻ tidak berbuat apa-apa sekarang, bermakna Allah ‎ﷻ redha dan suka dengan apa yang mereka lakukan itu. Nanti akan sampai masanya yang mereka akan merasai azab daripada Allah ‎ﷻ itu.

قُلْ هَلْ عِندَكُم مِّنْ عِلْمٍ

Katakanlah: “Adakah kamu mempunyai sesuatu pengetahuan”

Nabi ﷺ disuruh meminta bukti daripada mereka iaitu kalau mereka ada dalil maka bawakan dalil itu. Dan dalil itu mestilah daripada wahyu Allah ‎ﷻ. Kalau zaman sekarang, dalil itu kena sama ada daripada Al-Qur’an atau hadith

Beginilah yang kita perlu lakukan kepada ustaz-ustaz dan guru-guru kita. Kalau mereka mengatakan sesuatu hal agama, hendaklah mereka berikan dalil. Dan tidak salah kalau kita meminta dalil daripada mereka. Allah ‎ﷻ pun suruh Nabi ﷺ minta dalil daripada Musyrikin Mekah.

Ini kerana memang agama ini memerlukan dalil. Kalau tidak didasari dengan dalil, maka manusia boleh kata apa-apa sahaja. Tidaklah boleh begitu, kerana kalau kita biarkan manusia bercakap tanpa dalil, maka agama ini akan rosak jadinya.

فَتُخْرِجُوهُ لَنَا

sehingga dapat kamu mengemukakannya kepada Kami?

Kalau ada, keluarkan bukti dan dalil itu. Tidak perlulah disimpan. Apabila Allah ‎ﷻ berkata begini, jawabnya memang tidak ada dalil. Apa yang mereka lakukan itu bukan berdasarkan kepada dalil yang sah tetapi hanya daripada anggapan mereka sahaja, daripada hawa nafsu mereka sahaja.

Maka, begitulah juga golongan yang mengeluarkan perkara baru dalam agama. Mereka memang tidak ada dalil sebenarnya. Kerana itu apabila kita minta dalil daripada mereka, mereka akan mengeluarkan hujah-hujah yang batil sahaja. Antaranya hujah daripada akal mereka, daripada kata-kata manusia, daripada kitab itu dan ini hasil daripada karangan manusia dan sebagainya. Mereka tidak boleh mengeluarkan hujah daripada Al-Qur’an dan hadith kerana memang tidak ada.

Dan mereka akan marah kalau kita minta dalil kerana kalaulah mereka ada dalil, maka keluarkanlah, beritahulah kepada kita kerana kita pun hendak tahu juga. Akan tetapi, kalau mereka marah, itu adalah tanda yang mereka memang tidak ada dalil!

إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

Kamu tidak mengikuti kecuali persangkaan belaka,

Allah ‎ﷻ beritahu kita bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah berdasarkan sangkaan mereka sahaja. Memang tidak ada dalil di pihak mereka. Samalah juga dengan golongan agama di negara ini yang mengamalkan bid’ah. Perkara bid’ah dan syirik yang mereka lakukan itu adalah berdasarkan sangkaan mereka sahaja.

Persangkaan bukanlah dalil kerana persangkaan itu datang daripada akal kita yang lemah sahaja. Perkara agama bukan boleh didasari oleh akal semata-mata.

وَإِنْ أَنتُمْ إِلَّا تَخْرُصُونَ

dan kamu tidak lain hanyalah berdusta.

Apabila masih lagi memberi hujah daripada persangkaan, maka mereka dikatakan ‘berdusta’. Kalau ظن tadi adalah bentuk dalaman sahaja, tetapi apabila dikeluarkan dengan mulut, maka ia menjadi خرص. Ia sudah dikira sebagai pendustaan.

Inilah bahaya apabila tidak ada ilmu. Tambahan lagi kalau mereka dengan selamba mengatakan yang perkara bid’ah dan syirik yang mereka lakukan itu adalah disukai oleh Allah ‎ﷻ. Itu adalah satu dusta yang amat besar. Terlebih bahaya kalau berkenaan akidah. Kalau bab feqah masih boleh lagi kalau menggunakan kaedah dzan (sangkaan) kerana ia diperlukan dalam hal-hal yang baharu. Akan tetapi bab akidah sepatutnya tidak boleh dimasukkan langsung dzan ke dalamnya.

Kesimpulannya di sini, kita kenalah ada ilmu. Ini kerana syaitan akan mengambil peluang menyesatkan orang yang tidak ada ilmu. Senang sahaja syaitan menipu manusia jahil dan menyebabkan orang itu masuk neraka kerana penipuan itu.

Tafsir Ayat Ke-149

قُل فَلِلَّهِ ٱلحُجَّةُ ٱلبَـٰلِغَةُ‌ۖ فَلَو شَآءَ لَهَدَٮٰكُم أَجمَعِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad: “Kalau kamu sudah tidak ada sesuatu bukti) maka Allah mempunyai bukti yang tegas nyata. Oleh itu, jika Dia menghendaki tentulah Dia akan memberi hidayah petunjuk kepada kamu semuanya”.

قُلْ فَلِلَّهِ الْحُجَّةُ الْبٰلِغَةُ

Katakanlah: Allah sahaja yang mempunyai hujah yang jelas lagi kuat

‘Hujah’ adalah pernyataan yang jitu dan tidak boleh dikalahkan. Allah ‎ﷻ sudah beri dalil yang mantap dan sempurna. Kamu sahaja yang tidak tahu.

Kalimah الْبَالِغَةُ pula bermaksud sesuatu yang telah cukup matang atau telah masak. Dalam ayat ini, ia bermaksud hujah yang sampai kepada hati manusia. Hujah itu tidak dapat dikalahkan lagi.

Oleh itu, ayat ini bermaksud yang hujah daripada Allah ‎ﷻ adalah hujah yang tepat dan jitu dan akan mengalahkan hujah-hujah batil yang diberikan oleh puak musyrikin dan juga mereka yang tidak mengendahkan agama.

Hujah yang kuat adalah dalam Al-Qur’an dan hadith. Semua hujah sudah ada di dalamnya untuk mempertahankan agama ini. Maka ini juga mengajar kita untuk berdakwah kepada manusia dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur’an. Apabila Al-Qur’an tidak digunakan dalam berhujah, maka manusia mula menggunakan benda lain sebagai hujah dan ini tidak adalah cara yang salah. Oleh yang demikian, ramai antara kita yang menggunakan akal sahaja untuk berhujah kerana tidak mahir dan tidak faham dengan Al-Qur’an. Sumber rujukan utama kita sepatutnya ayat-ayat Al-Qur’an.

Sahabat Nabi menggunakan Al-Qur’an sebagai khutbah untuk mereka. Khutbah ialah sesuatu yang memberi nasihat kepada kita. Dalam zaman sekarang, kita biasa dengar khutbah pada hari Jumaat sahaja dan itupun hanya sekali seminggu sahaja. Tidak banyak yang disebutkan sampaikan menjadikan jemaah Jumaat kebosanan dengan topik-topik yang disampaikan.

Selalunya topik di negara ini adalah tentang mesej-mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan yang tidak menyentuh pun permasalahan masyarakat semasa. Sudahlah disampaikan dengan nada yang membosankan daripada khatib yang tidak diberi latihan bagaimana bercakap. Oleh itu, medan utama yang Allah ‎ﷻ telah sediakan untuk memberi mesej agama telah tidak digunakan sepenuhnya.

Amat berbeza sekali dengan cara para sahabat di mana mereka faham Al-Qur’an yang mereka baca. Oleh itu, setiap kali Al-Qur’an dibaca dalam salat mereka, itulah khutbah kepada diri mereka. Mereka dididik oleh Al-Qur’an. Malangnya, masyarakat kita amat jauh daripada Al-Qur’an, mereka pun tidak faham apa yang mereka baca. Maka, tidak ada kesan apa-apa dengan ayat-ayat Al-Qur’an yang mereka baca.

Ayat Al-Qur’an sepatutnya dijadikan hujah dalam perbincangan agama kita. Ia adalah kalam Allah .‎ﷻ Apabila ia kalam Allah ‎ﷻ, maka kata-kata di dalamnya menusuk terus ke dalam hati manusia. Kita pun tidak tahu bagaimana Al-Qur’an itu dapat mengetuk hati manusia. Ada kalangan manusia yang hanya dengar satu ayat sahaja, terus mengubah personaliti mereka daripada tidak endahkan agama, kepada berminat kepada agama.

Itulah mukjizat Al-Qur’an. Oleh itu, hendaklah kita berhujah dengan ayat Al-Qur’an, kerana kita tidak tahu ayat manakah nanti yang membuka hati mereka kepada Islam.

فَلَوْ شَاءَ لَهَدىٰكُمْ أَجْمَعِينَ

maka jika Dia menghendaki, pasti Dia memberi petunjuk kepada kamu semuanya”.

Allah ‎ﷻ berkuasa untuk memaksa semua makhluk-Nya menjadi beriman tetapi bukan begitu cara Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ beri pilihan kepada kita untuk menguji kita kerana Allah‎ ﷻ Maha Bijaksana. Allah ‎ﷻ memberi peluang kepada kita untuk melakukan apa yang kita mahu. Allah ‎ﷻ beri peluang kepada kita untuk memilih manakah jalan yang kita mahu ikuti, sama ada jalan yang benar atau pun jalan yang salah.

Sesiapa yang inginkan jalan yang benar, maka Allah ‎ﷻ akan beri petunjuk kepada mereka. Seperti yang kita tahu, sekarang ini ramai yang sedang keliru. Banyak sangat jenis pandangan agama sekarang. Ada jalan itu dan ini. Ustaz A kata begini, Ustaz B pula kata begitu. Seperti ada pertentangan antara ulama-ulama. Sampaikan masyarakat umum keliru mana satukah yang benar. Lalu apakah nasihat kita kepada mereka yang mengalami masalah ini?

Hendaklah kita ajar mereka untuk bermohon kepada Allah ‎ﷻ untuk menunjukkan jalan mana yang benar kepada kita. Mintalah kepada Allah ‎ﷻ dengan hati yang ikhlas, iaitu hati yang mahukan kebenaran. Kita minta Allah ‎ﷻ tunjuk manakah yang benar kerana hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh membuka hati kita kepada kebenaran dan kepada hidayah. In Sha Allah.

Tafsir Ayat Ke-150

قُل هَلُمَّ شُہَدَآءَكُمُ ٱلَّذِينَ يَشهَدُونَ أَنَّ ٱللَّهَ حَرَّمَ هَـٰذَا‌ۖ فَإِن شَہِدُواْ فَلَا تَشهَد مَعَهُم وَلَا تَتَّبِع أَهوَآءَ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا وَٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ بِٱلأَخِرَةِ وَهُم بِرَبِّهِم يَعدِلُونَ

Katakanlah: “Bawalah saksi-saksi kamu memberi keterangan bahawa Allah mengharamkan (benda-benda yang kamu haramkan) ini”. Kemudian jika mereka (tergamak) menjadi saksi (secara dusta), maka janganlah engkau turut sama membenarkan mereka; dan janganlah engkau turut hawa nafsu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, dan orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, sedang mereka pula menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka.

قُلْ هَلُمَّ شُهَدَاءَكُمُ

Katakanlah: “Bawalah ke mari saksi-saksi kamu

Bawalah saksi-saksi kamu yang boleh memberi persaksian yang boleh menyokong dakwaan kamu itu. Saksi-saksi yang dimaksudkan di sini ditafsirkan sebagai pembesar-pembesar masyarakat yang dijadikan sebagai rujukan iaitu ketua-ketua yang dikira mengasaskan ajaran; pembesar dan ketua dalam agama.

Ini kerana orang bawahan mungkin mengikut sahaja dan tidak tahu apa-apa. Maka kenalah bawa pembesar. Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ cabar mereka untuk membawakan saksi. Itu pun kalau ada, tetapi yang sebenarnya, tidak ada langsung.  Allah ‎ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ cabar mereka sebab Allah ‎ﷻ tahu yang mereka memang tidak ada saksi yang sah.

الَّذِينَ يَشْهَدُونَ أَنَّ اللَّهَ حَرَّمَ هَٰذَا

yang dapat mempersaksikan bahwasanya Allah telah mengharamkan (makanan yang kamu) haramkan ini

Kalau kamu ada saksi, maka bawakanlah saksi-saksi itu untuk mengatakan bahawa memang Allah ‎ﷻ pernah mengharamkan makanan itu dan ini kepada orang-orang tertentu. Mungkin kamu orang bawahan tidak ada dalil, tidak ada hujah; maka bawa ke mari ketua kamu.

Lihatlah bagaimana dalam hal agama ini memerlukan saksi. Bukan boleh cakap begitu sahaja. Kalau semua boleh cakap sahaja tanpa memberikan saksi atau dalil, tentulah sesiapa sahaja boleh cakap apa-apa sahaja.

فَإِن شَهِدُوا فَلَا تَشْهَدْ مَعَهُمْ

Jika mereka mempersaksikan, maka janganlah kamu ikut pula menjadi saksi bersama mereka

Kalau betul mereka bawa saksi, jangan kita ikut sekali bersaksi dengan mereka kerana mereka adalah orang-orang yang tidak boleh dipercayai. Mereka mungkin bersaksi juga, tetapi kerana degil dan sombong sahaja. Oleh kerana untuk menguatkan hujah mereka, mereka sanggup sahaja membawa saksi palsu atau hujah palsu. Disebabkan dalil memang tidak ada, maka yang dibawa pastilah dalil dan saksi yang palsu.

Seperti zaman sekarang, kalau kita minta dalil ahli bid’ah, mereka selalunya akan berhujah dengan menggunakan hadith dhaif atau palsu. Kalau kena kepada kita, jangan kita gunakan hadith sebegitu. Gunakan hadith yang sahih. Kenapa mahu menggunakan hadith yang lemah sedangkan sudah ada hadith yang kuat?

وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِئآيَاتِنَا

dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,

Apabila manusia tidak mengikut dalil–dalil yang sahih daripada Al-Qur’an dan Hadith, bermaksud mereka mengikut hawa nafsu mereka. Maka, jangan ikut fahaman dan amalan bid’ah mereka. Bid’ah itu hasil daripada ikutan hawa nafsu mereka. Mereka yang buat bid’ah itu sebenarnya mendustakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ.

Antara bid’ah yang diamalkan sekarang adalah ‘zikir berjemaah’. Tidak ada suruhan dan saranan daripada agama untuk zikir berjemaah. Memang zikir itu adalah suruhan, tetapi sepatutnya dibuat sendiri-sendiri sahaja. Yang ada disuruh berjemaah adalah dalam salat sahaja tetapi bukan semua salat boleh berjemaah.

Untuk salat fardu, memang wajib berjemaah tetapi untuk salat sunat, kena dilihat dulu jenis salat sunat. Ada yang disuruh berjemaah dan ada yang tidak. Sebagai contoh, untuk salat terawih, salat istisqa’, salat gerhana dan beberapa jenis salat lagi, boleh berjemaah sebab ada sunnah daripada Nabi ﷺ. Namun kebanyakan salat sunat adalah bersendirian.

Sebagai contoh, salat qabliah dan ba’diah, hanya dilakukan berseorangan sahaja. Bukan itu sahaja, salat sunat juga harus dilihat yang manakah yang sunnah. Jangan reka salat sunat yang baru. Banyak sangat salat rekaan manusia.

Bid’ah ini diamalkan oleh mereka yang masih tidak berpuas hati dengan syariat yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Nabi ﷺ telah ajar bagaimana bersyariat dengan lengkap, tetapi mereka masih pandang apa yang guru dan ustaz mereka ajar itu lebih baik daripada apa yang Nabi ﷺ ajar. Mereka tinggalkan apa yang Nabi ﷺ ajar dan ambil ajaran guru mereka. Mereka hendak juga tolak atau mereka tambah ajaran Nabi ﷺ.

Dalam masa yang sama, mereka memberi isyarat yang apa yang Nabi ﷺ ajar dan bawa masih tidak baik. Perbuatan itu sebenarnya satu penghinaan terhadap Nabi ﷺ. Memang mereka tidak pernah kata begitu, dan tidak berniat pun untuk kata begitu, akan tetapi daripada apa yang mereka lakukan, begitulah yang ada dalam hati mereka.

Kenapakah Nabiﷺ  dan juga kita diingatkan untuk tidak mengikut hawa nafsu mereka? Tentulah Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat sudah tahu bahawa ia adalah amat salah kalau mengikut hawa nafsu mereka. Tetapi Allah ‎ﷻ sebut juga di dalam ayat ini kerana memberi penekanan dan memberi semangat kepada kita semua untuk terus berpegang pada agama ini.

Ini kerana bukan senang untuk berpegang kepada agama yang benar dalam masyarakat yang tidak mengendahkan arahan dan larangan Allah ‎ﷻ. Kalau kebanyakan masyarakat makan makanan yang haram dan kita sahaja yang mencari-cari makanan yang halal, maka tentulah lama kelamaan kita akan rasa keseorangan dan rasa susah untuk berpegang dengan agama.

Begitulah juga dalam kehidupan kita sekarang ini. Dalam masyarakat Islam kita, amat ramai yang mengamalkan amalan syirik dan juga amalan bid’ah. Sebaliknya yang mengamalkan amalan sunnah amatlah sedikit. Dan walaupun mereka yang melakukan amal yang salah, mereka pula yang memandang pelik kepada kita, seperti kita orang yang asing; seperti kita pula yang sesat.

Oleh itu tentunya kita akan rasa keseorangan. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ memberi semangat kepada kita dan mengingatkan kita untuk tidak mengikuti hawa nafsu mereka.

Jangan ikut mereka dalam majlis Tahlil mereka. Jangan ikut mereka dalam berqasidah. Jangan ikut mereka untuk pergi jumpa ustaz untuk berbomoh. Jangan ikut mereka di dalam amalan berpantang dalam hal makanan. Jangan ikut mereka dalam meraikan Maulid Nabi. Jangan ikut serta dalam majlis ‘Doa Selamat’ mereka. Kalau ada majlis perkahwinan yang ada persandingan, jangan kita pergi.

وَٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ بِٱلأَخِرَةِ

dan orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat,

Mereka dikatakan tidak beriman dengan hari akhirat kerana mereka tidak takut dengan balasan di akhirat nanti. Mungkin mereka kata mereka percaya yang kita semuanya akan mati dan akan masuk ke syurga ataupun ke neraka. Namun jikalau perbuatan mereka itu tidak menunjukkan mereka takut masuk neraka, itu bermaksud mereka tidak beriman kepada hari akhirat.

Sebagai contoh, mereka tidak takut melakukan amalan bid’ah, walaupun amalan itu adalah berdosa dan mereka akan ditanya kenapakah mereka melakukan amalan itu nanti. Mereka tidak akan dapat menjawab kerana memang mereka tidak ada dalil.

Tidak hanya cukup beriman dengan Allah ‎ﷻ, kita juga kena beriman dengan hari akhirat. Apakah maksudnya? Maksudnya seseorang yang beriman itu tahu apakah ‘hari akhirat’ itu. Mereka tahu apa yang terjadi di Mahsyar dan mereka tahu serba sedikit tentang syurga dan neraka berdasarkan maklumat yang sampai kepada kita daripada ayat Al-Qur’an dan sabda Nabi.

Malangnya, kalau kita tanya orang: “Apa kau tahu tentang syurga”? Mereka akan jawab dengan jawapan yang umum sahaja – ia adalah tempat sedap, dapat nikmat di dalamnya. Begitu sahaja jawapan mereka. Begitu juga mereka tidak tahu tentang neraka. Mereka sebenarnya tidak mahu mengambil tahu tentang syurga dan neraka. Itu adalah kerana mereka tidak beriman betul-betul dengan akhirat. Pengetahuan mereka tentang hari akhirat amat sedikit.

Mereka memang mahu masuk syurga, tetapi mereka tidak tahu tempat tujuan yang mereka harapkan itu. Maknanya, mereka bukan minat sangat. Sebagai contoh, katakanlah tidak lama lagi kita hendak ke negara Jepun. Sebulan sebelum kita pergi, tentulah kita akan dapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang negara Jepun, bukan?

Kalau kita buat tidak endah sahaja, bermaksud kita tidak berminat pun hendak ke Jepun, betul? Lalu kalau seseorang yang tidak mengendahkan Syurga, tidakkah menunjukkan yang dia tidaklah berminat sangat hendak ke Syurga?

وَهُم بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

sedang mereka mempersekutukan Tuhan mereka.

Perkataan يَعْدِلُونَ adalah daripada kata dasar yang sama dengan perkataan ‘adil’ iaitu ‘menyama-ratakan’. Orang-orang yang ingkar telah meletakkan Allah ‎ﷻ sama rata dengan makhluk yang lain. Bermakna mereka telah melakukan syirik. Menyamakan kedudukan makhluk dengan Allah ‎ﷻ adalah syirik. Bukan kena samakan kesemua sifat Allah ‎ﷻ, kalau satu sifat sahaja pun sudah menjadi syirik.

Oleh itu kena faham yang syirik bukan sahaja terjadi kalau kita menyembah tuhan yang lain, tetapi ia juga termasuklah jikalau kita menyamakan salah satu sifat Allah ‎ﷻ dengan makhluk. Disebabkan ramai yang tidak tahu tentang hal inilah yang menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat kita melakukan syirik tanpa niat.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan