Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-145 hingga Ke-147

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-145 hingga Ke-147

11
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’Am
Tafsir Ayat Ke-145

قُل لَّآ أَجِدُ فِى مَآ أُوحِىَ إِلَىَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطعَمُهُ ۥۤ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيتَةً أَو دَمًا مَّسفُوحًا أَو لَحمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ ۥ رِجسٌ أَو فِسقًا أُهِلَّ لِغَيرِ ٱللَّهِ بِهِۦ‌ۚ فَمَنِ ٱضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana terpaksa) sedang dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ

Katakanlah: “Tiadalah aku dapati dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku,

Ayat ini hendak memberitahu kepada kita bahawa hanya ada beberapa perkara sahaja yang diharamkan untuk kita dalam pengharaman binatang ternak. Dan yang selain daripada itu semuanya dibenarkan. Ayat ini hendaklah diselarikan dengan hadith Nabi ﷺ juga kerana kalau salah faham, nanti ada yang sangka hanya yang disebut dalam ayat ini sahaja yang haram.

Kita kena baca ayat ini dengan konteks surah ini. Ayat ini dikeluarkan selepas disebut tentang bangsa Arab yang mengharamkan memakan ‘binatang ternak’ yang tertentu. Oleh itu, ayat ini berkenaan ‘binatang ternak’. Akan disebutkan nanti pengharaman berkaitan binatang ternak.

Maka, jangan kita kata yang disebut dalam ayat ini sahaja yang diharamkan. Ada lagi hadith Nabi ﷺ yang mengharamkan memakan benda-benda lain. Sebagai contoh, terdapat hadith Nabi ﷺ yang mengharamkan memakan binatang yang ada taring.

Disebabkan itu, kita kena ambil kira hadith. Itulah sebabnya Al-Qur’an perlu dibaca dengan hadith kerana Al-Qur’an menyebut hukum dengan umum sahaja. Penjelasan lebih lengkap diberikan dalam Hadith Nabi ﷺ. Sebagai contoh, Al-Qur’an menyebut arahan untuk salat, tetapi cara untuk menjalankan ibadat salat itu, perlulah dirujuk kepada hadith.

Kalimah أُوحِيَ bermaksud ‘yang diwahyukan kepadaku’ – yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kita kena ingat bahawa yang diwahyukan kepada Nabi ﷺ bukan sahaja Al-Qur’an. Hadith yang sampai kepada kita dalam bentuk hukum juga adalah wahyu daripada Allah ‎ﷻ juga namun disampaikan dalam lafaz Nabi.

Ini penting untuk kita tahu dalam konteks ayat ini kerana ada pengharaman yang ada disebut dalam Al-Quran dan ada juga yang diharamkan dalam hadith Nabi ﷺ. Bukanlah Nabi ﷺ bercakap daripada dirinya sendiri tetapi Allah ‎ﷻ juga yang memberitahu Nabi ﷺ. Ramai yang menolak hadith, kerana mereka tidak faham. Bacalah apa yang Allah ‎ﷻ sebut dalam [ Najm:3-4 ]:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ

dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemahuan hawa nafsunya.

إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ

Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).

Dalam ayat ini, menunjukkan kepada kita bahawa perkataan daripada hadith Nabi ﷺ agama adalah datang daripada wahyu yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ juga.

Ayat ini mengajar kepada kita, bahawa dalam pengharaman, ia mestilah berdasarkan kepada wahyu. Nabi ﷺ pun mengikut wahyu maka kita pun kenalah ikut juga.

مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ

sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya,

‘Memakan’ dalam ayat ini termasuk minum sekali. Jika sesuatu yang berasal daripada binatang ternak itu, maka maksudnya ada juga susu daripada binatang-binatang itu.

Ayat ini juga mengajar kita yang hukum asal makanan adalah halal, kecuali kalau ada dalil yang mengharamkannya. Oleh itu, kalau ada makanan yang ditanya kepada kita sama ada boleh makan atau tidak, maka kita hendaklah periksa sama ada ada pengharaman atau tidak. Kalau tidak ada pengharaman, maka ia boleh dimakan. Selagi ia adalah baik, tidak memudaratkan kesihatan, tiada larangan, maka ia boleh dimakan.

Sekarang kita lihat apakah makanan yang diharamkan:

إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً

kecuali kalau makanan itu bangkai,

Iaitu binatang yang mati sendiri dan dipanggil ‘bangkai’. Seperti dilanggar, mati kerana sakit dan sebagainya. Atau yang kita terjumpa di tengah jalan, sudah mati. Ia adalah haram untuk dimakan dan sepatutnya kita pun tidak lalu hendak makan.

أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا

atau darah yang mengalir

Hanya darah ‘yang mengalir’ sahaja yang diharamkan. Namun begitu, darah yang melekat dengan daging, tidaklah haram. Itulah darah yang melekat dengan daging. Kadang-kadang kalau kita makan ayam contohnya, kita perasan ada darah lagi pada daging itu. Darah itu tidak ada masalah.

Apabila ada darah pada daging, hanya lalukan air sahaja dan tidak perlu dicuci habis langsung darah itu. Ada yang teruk sangat, sampaikan daging itu menjadi putih tanpa darah. Tidak perlu sampai begitu kerana Allah ‎ﷻ kata darah yang mengalir sahaja yang tidak boleh.

Oleh itu, kita tidak boleh memakan darah yang mengalir. Kalau kita sembelih binatang, akan ada darah yang memancut keluar. Darah itu memang banyak dan bahaya pun untuk dimakan. Selain itu, terdapat juga darah pada telur. Kadang-kadang bila kita pecahkan telur, ada darah. Ini tidak ada masalah.

Kenapa disebut darah mengalir dalam ayat ini? Kerana, dalam agama lain seperti Kristian, mereka suka makan darah di mana mereka akan membekukan darah itu dan mereka memakannya. Contohnya, mereka ada satu makanan yang dinamakan ‘Blood Sausage’.

Begitu juga ada bangsa yang suka meminum darah seperti bangsa asli di Afrika contohnya. Orang Islam tidak boleh buat begitu. Untuk orang Arab pula, mereka menggunakan darah binatang itu sebagai kuah untuk makanan mereka. Binatang itu tidak dibunuh, cuma dicucuk untuk diambil darah sahaja. Islam melarang mereka melakukan begitu lagi.

أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ

atau daging babi

Maka, dalam ayat ini jelas mengatakan yang kita tidak boleh makan daging babi seperti yang semua kita sudah tahu.

Timbul banyak persoalan di antara masyarakat kenapakah kita tidak boleh memakan daging babi. Berbagai-bagai teori dikeluarkan. Ada yang mengatakan kerana ada ulat di dalam daging babi yang tidak mati walaupun daging itu dimasak. Ada pula yang mengatakan kerana babi ini adalah jenis binatang yang makan tahi. Ada pula yang mengatakan kerana babi ini mempunyai perangai yang buruk iaitu dia suka menyondol babi-babi yang lain.

Itu semua adalah teori-teori dan andaian-andaian sahaja. Kita sebenarnya tidak akan tahu dengan tepat kenapa daging babi diharamkan kita memakannya. Berhentilah kita daripada membuat andaian-andaian sebegitu.

Jika kita kata ia adalah tidak baik untuk kesihatan, lalu bagaimana dengan bangsa-bangsa lain yang selalu memakan daging babi itu tanpa masalah apa-apa? Mereka hidup sihat sahaja walaupun mereka semenjak kecil sampai ke-tua, memakan daging babi.

Dan mereka yang mengatakan yang daging babi itu diharamkan kerana ada ulat yang tidak boleh dibunuh, tanyakan kepada mereka, jikalau di masa hadapan nanti ada cara untuk membunuh ulat-ulat itu, lalu adakah waktu itu daging babi sudah halal dimakan? Tentu tidak boleh sama sekali kerana hukum pengharaman ini tetap berdiri sampai ke hari kiamat. Oleh itu kita tidak boleh kata Allah ‎ﷻ mengharamkan kerana ulat itu atau sebab-sebab lain. Yang pasti, ia telah diharamkan oleh Allah ‎ﷻ.

Maka, kalau kita ditanya kenapa daging babi diharamkan, jawapan yang tepat adalah: kerana Allah ‎ﷻ haramkan kepada kita memakannya. Kerana ini adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Tidak cukupkah dengan jawapan itu? Kita tidak memakan daging babi kerana ia adalah haram kepada kita walaupun daging babi itu sedap (orang kata). Beginilah Allah ‎ﷻ uji kita adakah kita boleh ikut larangan-Nya tanpa soal. Dan kerana itulah kita tidak makan kerana kita taat kepada suruhan dan larangan Allah ‎ﷻ.

Begitulah kebanyakan daripada arahan Allah ‎ﷻ kepada kita dalam hal-hal ibadat. Kita tidak tahu dengan tepat apakah hikmat arahan Allah ‎ﷻ itu. Tentunya ada hikmat dan kelebihan amalan itu tetapi kita tidak tahu dengan pasti. Sebagai contoh, bolehkah kita jelaskan kenapa kita disuruh tawaf keliling Ka’bah tujuh kali? Begitu juga dengan perbuatan sa’i yang dilakukan oleh kita?

Ada yang kata kita sa’i kerana ikut perbuatan Siti Hajar semasa beliau dengan Nabi Ismail عليه السلام mencari air. Sebenarnya kita buat kerana kita ikut arahan Allah ‎ﷻ. Bukan sebab tiru Siti Hajar kerana jika mahu diikut betul-betul, maka kita kena gendong anak sekali semasa bersa’i kerana pada waktu itu Siti Hajar sedang mengendong anaknya Nabi Ismail عليه السلام.

Begitu juga dengan perbuatan membaling Jamrah semasa haji. Ada yang kata perbuatan itu adalah untuk membaling kepada syaitan. Namun yang sebenarnya bukanlah itu sebabnya. Kalau kita baling syaitan, tidak mungkin syaitan masih lagi mahu duduk di situ, tentu sudah lama lari. Yang sebenarnya, ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ, maka kita ikut semata-mata kerana kita taat kepada perintah-Nya.

فَإِنَّهُ رِجْسٌ

kerana sesungguhnya semua itu kotor

Kalimah رِجْسٌ bermaksud kotor dari segi intelek dan syariat. Akal yang sihat pun akan menolaknya.

Tiga perkara yang disebut sebelum ini adalah kotor – iaitu bangkai, darah yang mengalir dan daging babi. Sebagai contoh, kalau pun kita tengok bangkai pun kita sudah rasa geli. Tidak mungkin kita sanggup untuk memakan bangkai, bukan?

Ini juga memberitahu kepada kita bahawa benda-benda kotor tidak boleh dimakan. Janganlah kita sangka hanya tiga benda yang disebut dalam ayat ini sahaja yang haram dimakan. Benda-benda lain yang kotor juga tidak boleh dimakan. Sebagai contoh, ular, tikus, kumbang, dan lain-lain. Memang ada kaum yang makan benda-benda sebegitu. Seperti bangsa Cina, mereka suka makan ular. Mereka kata ular ada kebaikan untuk kesihatan pula. Lalu bagaimana dengan ayat ini?

Itulah sebabnya kita kena lihat kepada bangsa Arab. Mereka perlu dijadikan sebagai kayu ukur. Kita kena lihat apakah yang dipandang kotor atau tidak elok oleh mereka. Kalau tidak, maka semua benda dalam dunia ini bolehlah dimakan.

Sebagai contoh, ular yang kita sebut tadi. Ada sahaja bangsa yang tidak memandangnya sebagai kotor. Begitu juga dengan burung gagak. Kalau kita gunakan hujah dengan kata ada bangsa yang tidak memandang jijik binatang-binatang itu, maka semua binatang boleh dimakanlah jawabnya.

Lihatlah kepada satu hadith Nabi ﷺ:

“Lima jenis haiwan yang harus dibunuh, baik di tanah haram mahu pun di tanah biasa, iaitu : ular, kala jengking, tikus, anjing buas dan burung rajawali”

(HR. Abu Daud) dalam riwayat lain disebutkan juga burung gagak.

Dalam hadith lain riwayat Ummu Syarik رضي الله عنها:

Bahawa Nabi ﷺ menyuruhnya untuk membunuh cicak. Dan dalam hadith Ibnu Abu Syaibah: Dia menyuruh. (Sahih Muslim No. 4152)

Daripada hadith-hadith di atas, menunjukkan bahawa haiwan-haiwan itu tidak elok, dipandang jijik, maka tentulah juga tidak boleh dimakan. Oleh itu, bangsa Arab menjadi kayu ukur kepada kita.

أَوْ فِسْقًا

atau berdosa

Memakannya adalah berdosa – perbuatan fasiq kerana Allah ‎ﷻ telah mengharamkannya.

أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah.

Satu lagi binatang yang haram dimakan adalah binatang ternak yang semasa disembelih, nama selain Allah ‎ﷻ yang disebut. Atau, jika tiada disebut nama apa-apa pun di mana binatang itu disembelih begitu sahaja. Itu pun tidak boleh.

Namun begitu, kita tidaklah disuruh untuk periksa sama ada dibaca atau tidak nama Allah ‎ﷻ. Tetapi, kalau kita tahu yang memang disebut nama selain Allah ‎ﷻ, atau tidak dibacakan nama Allah ‎ﷻ, kita tidak boleh makan daging sembelihan itu. Jika yang menyembelihnya itu adalah orang Islam, atau ahli Kitab, kita sudah boleh makan tanpa periksa lagi.

فَمَنِ اضْطُرَّ

Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa,

Kadang-kadang mungkin kita terpaksa makan benda-benda yang diharamkan itu. Terpaksa itu adalah kerana keadaan yang memaksa. Mungkin kita masuk hutan, kemudian tersesat, tidak ada makanan dan yang ada hanyalah babi hutan sahaja. Kalau tidak makan, boleh mati. Inilah yang dinamakan keadaan darurah – kalau tidak makan boleh mati.

Ataupun kita dipaksa makan oleh seseorang. Dan kalau kita tidak makan, dia akan bunuh kita. Waktu itu, sudah menjadi wajib kita makan demi menjaga nyawa kita.

غَيْرَ بَاغٍ

sedang dia tidak menginginkannya

Ada dua syarat yang perlu dipenuhi kalau seseorang itu terpaksa memakan makanan yang haram dalam keadaan terdesak. Mulanya, ia mestilah dalam keadaan terdesak dan terpaksa – kalau tidak makan, boleh mati. Dan walaupun dalam keadaan terdesak, ada dua syarat pula.

Pertama, dia tidak ada keinginan untuk memakannya. Bukanlah dia makan kerana teringin hendak makan. Bukanlah juga dia hendak melawan hukum Allah ‎ﷻ kerana ada orang yang teringin sangat hendak makan benda yang haram. Dia selalu lihat orang makan babi macam sedap sahaja, maka dia teringin hendak rasa walaupun dia tahu yang ia adalah haram.

وَلَا عَادٍ

dan tidak (pula) melampaui batas,

Perkataan عَادٍ berasap daripada ع د و yang bermaksud ‘melampau’. Iaitu makan dengan banyak sekali.

Bermaksud orang yang terpaksa makan benda yang haram itu tidaklah dia makan dengan banyak. Memang dibenarkan memakan benda yang haram itu apabila mereka terpaksa memakannya di dalam keadaan terdesak, tetapi jangan makan lebih-lebih. Maknanya, bukanlah makan sampai kenyang.

Cukup sekadar untuk mengalas perut supaya tidak mati. Sebagai contoh, semasa makan babi itu, tidaklah dia makan lebih kerana memang daging babi itu sedap. Dan memang kalau ditanya kepada mereka yang pernah makan daging babi, mereka akan kata yang daging babi itu sedap. Lebih sedap daripada daging-daging yang kita biasa makan.

Jangan gunakan peluang dalam keadaan terdesak untuk makan dengan banyak pula.

فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

Allah ‎ﷻ mengampuni mereka yang terpaksa memakan makanan yang haram. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ sayang kepada hamba-Nya. Allah ‎ﷻ tidak mahu hamba-Nya susah.

Tafsir Ayat Ke-146

Kita dilarang daripada membantah wahyu-wahyu Allah ‎ﷻ. Jangan jadi seperti orang Yahudi yang telah berbuat begitu. Atas kesalahan mereka itu, mereka telah didenda.

وَعَلَى ٱلَّذِينَ هَادُواْ حَرَّمنَا ڪُلَّ ذِى ظُفُرٍ وَمِنَ ٱلبَقَرِ وَٱلغَنَمِ حَرَّمنَا عَلَيهِم شُحُومَهُمَآ إِلَّا مَا حَمَلَت ظُهُورُهُمَآ أَوِ ٱلحَوَايَآ أَو مَا ٱختَلَطَ بِعَظمٍ ذٰلِكَ جَزَينَـٰهُم بِبَغيِہِم وَإِنَّا لَصَـٰدِقُونَ

Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku, dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya, atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka; dan sesungguhnya Kamilah yang benar.

وَعَلَى الَّذِينَ هَادُوا

Dan kepada orang-orang Yahudi,

Ini adalah hukum tentang makanan yang telah diberikan kepada orang Yahudi. Asalnya, semua makanan dihalalkan kepada mereka. Hanya kemudian baru diharamkan dan itu pun kerana kesalahan mereka sendiri. Seperti yang tersebut dalam [ Nisa: 160 ]

فَبِظُلْمٍ مِّنَ الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ طَيِّبَاتٍ أُحِلَّتْ لَهُمْ وَبِصَدِّهِمْ عَن سَبِيلِ اللَّهِ كَثِيرًا

Maka disebabkan kezaliman orang-orang Yahudi, kami haramkan atas (memakan makanan) yang baik-baik (yang dahulunya) dihalalkan bagi mereka, dan kerana mereka banyak menghalangi (manusia) dari jalan Allah.

حَرَّمْنَا كُلَّ ذِي ظُفُرٍ

Kami haramkan segala binatang yang berkuku

Kalimah ظُفُرٍ bermaksud ‘kuku’. Kuku juga ada pada manusia tetapi kepada binatang, kuku itu digunakan untuk keperluan kehidupan mereka. Kepada kita, kita kena potong kuku kita sebab tidak ada guna kuku itu untuk kita.

Kuku yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kuku yang tidak terbelah. Iaitu kuku itu satu sahaja. Kuku yang ada pada kuda, unta, arnab dan luwak. Allah ‎ﷻ tidak mengharamkan kepada mereka, tetapi mereka yang mengharamkan kepada diri mereka sendiri. Maka kemudian Allah ‎ﷻ telah menghukum mereka dengan meneruskan pengharaman itu.

وَمِنَ الْبَقَرِ وَالْغَنَمِ

dan daripada sapi dan domba,

Ada pengharaman juga kepada sapi/lembu dan domba/biri-biri. Mereka boleh makan lembu dan biri-biri itu, tetapi ada bahagian lembu dan biri-biri itu yang mereka tidak boleh makan.

حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَا

Kami haramkan ke atas mereka lemak daripada kedua binatang itu,

Bukanlah tidak boleh dimakan daging kedua binatang yang disebut di atas itu. Kena baca dengan penuh iaitu, lemak-lemak daripada binatang-binatang yang telah disebut itu yang diharamkan kepada mereka. Sebab itu kalau kita lihat mereka menyediakan makanan mereka, mereka akan buang lemak-lemak itu. Daging mereka boleh makan.

إِلَّا مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَا

selain lemak yang melekat di belakang keduanya

Lemak yang melekat di belakang kedua binatang itu, dibolehkan memakannya iaitu lemak yang melekat di tulang belakang.

أَوِ الْحَوَايَا

atau di usus kecil

Atau lemak yang ada di usus iaitu di perut kerana susah untuk dibuang.

أَوْ مَا اخْتَلَطَ بِعَظْمٍ

atau yang bercampur dengan tulang

Lemak-lemak yang dibenarkan yang telah disebut dalam ayat ini dibenarkan kerana susah untuk bersihkan. Maka, dibenarkan kepada mereka. Lemak yang selain daripada itu, tidak boleh.

ذَٰلِكَ جَزَيْنٰهُم بِبَغْيِهِمْ

Demikianlah Kami hukum mereka disebabkan kederhakaan mereka

Yahudi diharamkan memakan perkara-perkara yang disebut di atas kerana kesalahan mereka sendiri. Oleh itu, kalau kita mengharamkan sesuatu yang halal kepada diri kita, bermakna kita menyatakan bahawa kita adalah orang berdosa (seperti orang Yahudi itu). Orang Arab yang mengharamkan sesetengah makanan kepada diri mereka itu, sebenarnya seperti mereka mengatakan yang mereka orang yang bersalah pula.

Begitulah yang kita boleh lihat bagaimana pengharaman diberikan kepada mereka yang bersalah seperti yang telah dikenakan kepada bangsa Yahudi. Tentulah kita sepatutnya tidak suka meniru mereka yang tidak baik (seperti Yahudi itu). Sebagai contoh, kita tidak suka berpakaian seperti orang gay, kerana itu memalukan diri kita sendiri. Bodoh betul diri kita kalau suka mengikut mereka yang buruk perangai mereka.

Apakah kesalahan bangsa Yahudi sehinggakan mereka telah diberikan dengan pengharaman itu? Makanan yang diharamkan kepada mereka itu adalah binatang yang biasa pada waktu itu. Ini telah menyebabkan mereka kehilangan sumber makanan yang besar. Maka, ini adalah satu pengharaman yang menyusahkan mereka.

Mereka diberikan dengan hukum itu kerana mereka telah mengubah-ubah agama mengikut nafsu mereka. Mereka juga telah mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Yang buat begitu adalah pendeta-pendeta mereka dan diikuti oleh penganut mereka. Itu adalah dosa yang besar.

Antaranya yang mereka haramkan ke atas diri mereka adalah memakan unta. Pada asalnya, ia tidak haram kepada diri mereka, tetapi mereka yang memandai haramkan. Mereka haramkan kepada diri mereka kerana pernah Nabi Yaakob عليه السلام tidak boleh makan daging unta kerana suatu penyakit. Maka oleh kerana Nabi Yaakob عليه السلام tidak makan pada waktu itu, maka mereka mengharamkan kepada diri mereka pula. Padahal, yang tidak boleh makan adalah Nabi Yaakob عليه السلام sahaja sebab baginda ada penyakit. Kenapa pula mereka yang ikut?

وَإِنَّا لَصٰدِقُونَ

dan sesungguhnya Kami adalah Maha Benar

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa apa yang diberitahu ini adalah satu kebenaran kerana ia datang daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Apa yang Allah ‎ﷻ beritahu adalah benar.

Tafsir Ayat Ke-147

فَإِن ڪَذَّبُوكَ فَقُل رَّبُّڪُم ذُو رَحمَةٍ وٰسِعَةٍ وَلَا يُرَدُّ بَأسُهُ ۥ عَنِ ٱلقَومِ ٱلمُجرِمِينَ

Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: “Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah, dan azab seksa-Nya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa

Memang ada sahaja kaum yang degil. Sebagaimana masyarakat kita juga, walaupun telah diberi dengan berbagai dalil yang sahih daripada Al-Qur’an dan hadith, namun masih ramai lagi mahu menolak hujah yang sahih. Mereka hanya mahu mengikut kata guru dan ustaz mereka walaupun tidak ada dalil disertakan. Mereka masih lagi mahu mengamalkan amalan yang syirik dan bid’ah.

Cuma kalau di negara ini, mereka selalunya tidak tolak secara terang-terangan. Mereka selalunya akan berkata: “Betul dah apa yang kamu cakap ni… Tapi….” Sebenarnya, perkataan ‘tapi’ itu adalah kata penolakan. Maknanya mereka tolak dengan hati mereka cuma mereka tidak berani mengatakannya secara terus sahaja. Mereka menggunakan bahasa yang lembut dan tersirat untuk menolak hujah kita. Namun ketahuilah, bahawa itu adalah penolakan sebenarnya. Dan apa yang mereka tolak itu adalah ayat-ayat Allah ‎ﷻ dan hadith Nabi.

فَقُل رَّبُّكُمْ ذُو رَحْمَةٍ وٰسِعَةٍ

katakanlah: “Tuhanmu mempunyai rahmat yang luas

Katakan kepada mereka yang masih lagi mahu menolak itu: kenapa kamu masih mahu ingkar dengan Allah ‎ﷻ, padahal rahmat Allah ‎ﷻ itu meliputi segala sesuatu.

Antara rahmat Allah ‎ﷻ adalah melambat-lambatkan azab kepada kita semasa di dunia ini. Allah ‎ﷻ masih lagi memberikan peluang kepada kita untuk bertaubat sebelum mati. Allah ‎ﷻ tidak terus memberi azab kepada kita walaupun kita telah melakukan dosa yang banyak. Allah ‎ﷻ masih memberikan peluang kepada kita untuk bertaubat. Hanya selepas mati sahaja Allah ‎ﷻ akan beri hukuman dan azab.

Bayangkan berapa besar rahmat-Nya kepada kita. Kalaulah dibandingkan dengan kita, anak kita buat salah sahaja pun kita sudah marah. Tetapi Allah ‎ﷻ yang telah mencipta kita, telah memberikan segalanya kepada kita, namun apabila kita ingkar kepada-Nya berkali-kali, Allah ‎ﷻ masih beri peluang lagi kepada kita.

Setelah Allah ‎ﷻ memberikan rahmat yang banyak tidak terhingga itu, kenapa lagi masih berani menolak wahyu-Nya? Ini seperti seorang ayah yang mengingatkan anaknya dengan segala budi yang telah ditabur kepada anaknya. Kalau sudah banyak ayah tersebut berbudi, kenapa tidak mahu dengar cakap lagi?

Dalam ayat ini juga Allah ‎ﷻ mengingatkan yang Dia ada banyak lagi rahmat yang boleh dilimpahkan kepada mereka yang mahu beriman. Rahmat itu boleh diberi di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Maka kejarlah rahmat itu dengan melakukan ketaatan kepada-Nya.

وَلَا يُرَدُّ بَأْسُهُ

dan tidak dapat ditolak seksa-Nya

Tadi Allah ‎ﷻ memberikan peringatan tentang rahmat yang Dia telah berikan. Itu adalah sebagai satu motivasi untuk mengikut cakap. Tetapi, selain daripada memberi motivasi, Allah ‎ﷻ juga memberi peringatan dan ancaman dengan seksa yang menakutkan. Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang kalau tetap masih ingkar, seksa Allah ‎ﷻ tidak dapat ditolak. Peringatan sebegini diberikan kerana ada manusia yang lebih takut dengan ancaman dibandingkan motivasi dengan perkara yang mereka akan dapat.

Seksa yang Allah ‎ﷻ akan kenakan tidak akan dapat ditolak. Apabila seorang manusia telah mati dan dia diseksa di dalam kubur, dan kemudian di dalam neraka, dia tidak akan dapat menyelamatkan dirinya. Maknanya, dia akan diseksa dari sejak dia mati lagi dan tiada hentinya.

Begitu juga, bala daripada Allah ‎ﷻ tidak dapat ditolak kalau Allah ‎ﷻ sudah turunkan. Tetapi yang peliknya, ada guru dan ustaz di negara ini yang kata, boleh ‘tolak bala’. Siap buat amalan ‘tolak bala’ pula tu. Antaranya, mereka berakidah yang dengan memandikan kereta dan motor dengan air bacaan tertentu dan doa tertentu, bala dapat ditolak daripada kereta itu.

Ataupun apabila mereka beli kereta, mereka akan beri dulu ustaz mereka gunakan supaya kereta itu kononnya selamat daripada bahaya. Begitulah kelirunya kefahaman agama di negara ini. Ini kerana tidak belajar apakah sunnah tidak belajar tafsir Al-Qur’an.

عَنِ الْقَوْمِ الْمُجْرِمِينَ

daripada kaum yang berdosa

Kalau orang yang berdosa itu telah melakukan syirik, dia akan mendapat azab dan azab itu tidak akan diangkat walaupun anaknya yang soleh mendoakan untuknya. Walaupun anaknya itu seorang wali sekalipun kerana syarat untuk terima hasil doa orang lain walaupun daripada anak sendiri adalah seseorang itu mestilah tidak mati di dalam syirik.

Kalau dia mati dalam syirik dan tidak sempat bertaubat, maka dia akan terus berada dalam neraka dan tidak keluar sampai bila-bila. Ini kerana Allah‎ ﷻ telah kata bahawa Allah ‎ﷻ boleh untuk mengampunkan dosa yang banyak sekalipun, kecuali dosa syirik.

Maka, ini adalah amaran Allah ‎ﷻ kepada mereka yang masih menolak kata-kata Nabi dan juga pendakwah tauhid.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan