Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-156 hingga Ke-159

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-156 hingga Ke-159

23
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am

Tafsir Ayat Ke-156

Asal Al-Qur’an diturunkan sebagai hujah kepada penduduk Mekah.

أَن تَقُولُوٓاْ إِنَّمَآ أُنزِلَ ٱلكِتَـٰبُ عَلَىٰ طَآٮِٕفَتَينِ مِن قَبلِنَا وَإِن كُنَّا عَن دِرَاسَتِہِم لَغَـٰفِلِينَ

Supaya kamu tidak mengatakan: “Bahawa Kitab (ugama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka”.

أَن تَقُولُوٓاْ إِنَّمَآ أُنزِلَ ٱلكِتَـٰبُ عَلَىٰ طَآٮِٕفَتَينِ مِن قَبلِنَا

(Kami turunkan al-Qur’an itu) agar kamu (tidak) mengatakan: “Bahawa kitab itu hanya diturunkan kepada dua golongan sahaja sebelum kami,

Kamu yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah kaum Musyrikin Mekah. Dan ia juga ditujukan kepada kita yang sedang membaca Al-Qur’an ini.

‘Dua golongan’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Yahudi dan Nasrani. Apabila Al-Qur’an telah diturunkan, puak Musyrikin tidak lagi mempunyai dalil untuk mengatakan mereka tidak diberikan dengan kitab seperti yang telah diberikan kepada Yahudi dan Nasrani. Maka, mereka tidak boleh memberi alasan yang mereka tidak tahu tentang agama kerana sekarang Al-Qur’an telah diturunkan dalam bahasa Arab.

وَإِن كُنَّا عَن دِرَاسَتِہِم لَغَـٰفِلِينَ

dan sesungguhnya kami tidak memperhatikan apa yang mereka belajar.

Kalimah دِرَاسَتِهِمْ berasal daripada katadasar د ر س yang bermaksud ‘belajar’; iaitu Taurat dan Injil yang dipelajari oleh Yahudi dan Nasrani

Mereka yang berbangsa Arab sudah tidak boleh kata mereka lalai dengan agama kerana kitab hanya diberikan kepada Yahudi dan Nasrani sahaja. Dan bahasa kitab Taurat dan Injil pula bukan di dalam bahasa Arab. Oleh itu, mereka tidak ada hujah untuk mengatakan mereka tidak faham dengan kitab-kitab itu kerana kitab-kitab itu di dalam bahasa yang mereka tidak faham.

Tambahan pula bangsa Yahudi dan Nasrani tidak berkongsi kitab-kitab itu dengan bangsa lain. Mereka tidak akan ajar kepada penduduk Mekah walaupun diminta. Mereka kata kitab itu hanya untuk mereka sahaja dan tidak layak untuk bangsa Arab. Pada mereka, bangsa Arab adalah bangsa yang hina.

Oleh itu sekarang Allah ‎ﷻ mengatakan yang Allah ‎ﷻ telah menurunkan kitab Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab supaya mereka memahaminya. Maka mereka tidak ada alasan lagi untuk berhujah dengan alasan: “Kami tidak tahu”.

Mereka akan menyesal kerana mereka tidak mengendahkan Al-Qur’an yang telah diturunkan kepada mereka, dalam bahasa mereka dan yang membacakannya adalah Nabi Muhammad ﷺ yang dalam kalangan mereka sendiri. Jangan kita juga menyesal seperti mereka nanti. Sekarang Al-Qur’an telah sampai kepada kita, kita sepatutnya mempelajarinya dan mengamalkannya.

Tafsir Ayat Ke-157

أَو تَقُولُواْ لَو أَنَّآ أُنزِلَ عَلَينَا ٱلكِتَـٰبُ لَكُنَّآ أَهدَىٰ مِنہُم فَقَد جَآءَڪُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّڪُم وَهُدًى وَرَحمَةٌ فَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَذَّبَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَصَدَفَ عَنہَا‌ۗ سَنَجزِى ٱلَّذِينَ يَصدِفُونَ عَن ءَايَـٰتِنَا سُوٓءَ ٱلعَذَابِ بِمَا كَانُواْ يَصدِفُونَ

Atau supaya kamu (tidak) mengatakan: “Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka”. (Kamu tidak akan dapat berdalih lagi) kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan (yang cukup) dari Tuhan kamu, dan petunjuk hidayah serta rahmatNya (yang melimpah-limpah). Oleh itu, siapakah yang lebih zalim lagi daripada orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling dari ayat-ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya).

أَو تَقُولُواْ لَو أَنَّآ أُنزِلَ عَلَينَا ٱلكِتَـٰبُ

Atau agar kamu (tidak) mengatakan: “Sesungguhnya jikalau kitab ini diturunkan kepada kami,

Allah ‎ﷻ telah turunkan Al-Qur’an kepada Musyrikin Mekah. Maka jangan nanti mereka hendak kata: “Kalaulah dulu kami dapat kitab juga macam yang diberikan kepada Yahudi dan Nasrani itu.”

لَكُنَّا أَهْدَىٰ مِنْهُمْ

tentulah kami lebih mendapat petunjuk daripada mereka”.

Mereka nanti akan kata mereka akan lebih mendapat petunjuk sebab mereka rasa mereka lebih pandai lagi. Bangsa Arab memang jenis bangsa yang berbangga dengan diri mereka dan bahasa Arab mereka. Sampaikan mereka panggil bangsa selain bangsa Arab sebagai ‘Ajam’, yang bermaksud ‘tidak tahu bercakap’.

Seperti juga sekarang ini, ramai yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an, kerana mereka kata tidaklah mereka tidak tahu Al-Qur’an daripada kita sedangkan mereka lagi sedap baca Al-Qur’an. Berlagu-lagu dan mendayu-dayu kalau mereka baca Al-Qur’an.

Mereka lupa, kalau tahu membaca sahaja Al-Qur’an itu, tetapi tidak memahami apa yang dibaca, tidak bermakna apa-apa kalau mereka tolak apa yang mereka baca itu. Sebagai contoh, ayat-ayat Al-Qur’an banyak yang melarang bertawasul, tetapi mereka buat pula tawasul itu.

فَقَدْ جَاءَكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata daripada Tuhanmu,

Sekarang Allah ‎ﷻ memberitahu mereka yang sekarang Dia telah turunkan satu kitab yang jelas ini dan ia di dalam bahasa mereka. Sudah ada hujah yang jelas dengan penurunan Al-Qur’an. Sekarang, sama ada mereka mahu terima atau tidak sahaja kerana mereka sudah tidak ada alasan lagi di hadapan Allah ‎ﷻ.

وَهُدًى وَرَحْمَةٌ

dan sebagai petunjuk dan rahmat

Taurat itu adalah petunjuk dan rahmat kepada orang beriman dalam kalangan bangsa Yahudi. Begitu juga Al-Qur’an ini akan menjadi petunjuk kepada mereka yang mahu mendapat hidayah.

Namun malangnya, ramai yang buat tidak kisah dengan Al-Qur’an ini. Mereka sendiri tahu yang mereka tidak faham apabila mereka baca Al-Qur’an, tetapi mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka sangka cukup sahaja dengan mereka baca Al-Qur’an mendayu-dayu. Alangkah ruginya.

فَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَذَّبَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ

Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah

Walaupun Al-Qur’an telah diturunkan dalam bahasa Arab, namun kebanyakan puak Musyrikin tidak mahu menerima Al-Qur’an itu. Mereka mendustakan dengan mengatakan yang Al-Qur’an itu bukanlah daripada Allah ‎ﷻ, tetapi daripada Nabi Muhammad ﷺ. Bermacam-macam lagi alasan yang mereka gunakan untuk menolak untuk beriman dengan Al-Qur’an itu.

وَصَدَفَ عَنْهَا

dan berpaling daripadanya?

Bermaksud mereka berpaling dengan serta merta. Mereka tolak untuk beriman. Dalam masyarakat kita, ‘berpaling’ itu bermaksud mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Dan apabila mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an maka mereka akan menolak dan berpaling daripada ajaran-ajaran di dalam Al-Qur’an itu walaupun mereka membaca sendiri ayat Al-Qur’an itu setiap hari.

سَنَجزِى ٱلَّذِينَ يَصدِفُونَ عَن ءَايَـٰتِنَا

Kelak Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang berpaling daripada ayat-ayat Kami

Allah‎ ﷻ tidak akan membiarkan sahaja mereka. Mereka akan dibalas di akhirat kelak.

سُوءَ الْعَذَابِ

dengan seksa yang buruk,

Mereka akan mendapat seksa yang amat buruk kerana tidak mengendahkan Al-Qur’an. Amatlah malang sekali kalau begitu.

Kenapa mereka diazab?

بِمَا كَانُوا يَصْدِفُونَ

disebabkan mereka selalu berpaling.

Bukanlah Allah ‎ﷻ sengaja hendak menyeksa mereka tetapi mereka diseksa kerana mereka tidak mahu beriman. Mereka berpaling dengan serta merta tidak mahu langsung memikirkan sama ada Al-Qur’an itu benar ataupun tidak.

Tafsir Ayat Ke-158: Ayat Takhwif Duniawi

هَل يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن تَأتِيَهُمُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ أَو يَأتِىَ رَبُّكَ أَو يَأتِىَ بَعضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ‌ۗ يَومَ يَأتِى بَعضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفسًا إِيمَـٰنُہَا لَم تَكُن ءَامَنَت مِن قَبلُ أَو كَسَبَت فِىٓ إِيمَـٰنِہَا خَيرًا‌ۗ قُلِ ٱنتَظِرُوٓاْ إِنَّا مُنتَظِرُونَ

Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: “Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)”.

هَل يَنظُرُونَ إِلَّآ أَن تَأتِيَهُمُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ

Yang mereka nanti-nanti tidak lain hanyalah kedatangan malaikat kepada mereka

Kenapa mereka masih lagi tidak mahu beriman? Adakah mereka menunggu sesuatu? Apakah yang mereka tunggu lagi? Perkara tentang iman ini mestilah diambil tindakan dengan segera. Bukannya boleh tunggu dan lihat kerana ia adalah arahan terus daripada Allah ‎ﷻ.

Adakah mereka menunggu sampai malaikat datang kepada mereka baru mereka hendak beriman? Tidak lain dan tidak bukan, mereka menunggu malaikat sahaja. Malaikat yang mana yang mereka tunggu? Yang dimaksudkan mereka tunggu itu mungkin bermaksud Malaikat Maut, iaitu apabila Malaikat Maut datang maka itu bermakna mereka mati.

Ini kerana Malaikat Maut hanya datang untuk mengambil nyawa manusia sahaja. Adakah mereka hendak tunggu sampai mereka mati baru mereka hendak beriman? Kalau begitu, sudah terlambat untuk beriman. Tidak ada guna kalau sudah hendak mati baru hendak beriman. Ini disebut di dalam sebuah hadith:

إن الله يقبل توبة العبد مالم يغرغر

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ akan menerima taubatnya seorang hamba selama belum terjadi ghargharah (nyawa/nafas sudah kerongkongan) (Sunan Tirmidzi dan disahihkan oleh Albani)

Maka jangan tunggu dan jangan tangguh. Malangnya ramai yang menangguh-nangguh. Seperti masyarakat kita sekaranglah juga. Kita ajak mereka belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak mahu. Mereka kata mereka tidak sempat hendak belajar kerana sibuk dengan perkara-perkara lain. Sibuk dengan kerja, sibuk dengan keluarga, malah macam-macam lagi.

Mereka kata kalau mereka ada kelapangan, mereka akan datang. Cuma sekarang sibuk sangat, mereka kata. Mereka tunggu punya tunggu, tidak belajar sampailah tiba-tiba sudah sampai masa untuk mati. Tidak sempat untuk taubat atau beramal. Mati dalam kejahilan dan banyak dosa yang mereka lakukan kerana tidak belajar.

أَوْ يَأْتِيَ رَبُّكَ

atau kedatangan (seksa) Tuhanmu

Atau adakah mereka menunggu kedatangan Allah ‎ﷻ sendiri? Kedatangan Allah ‎ﷻ adalah pada Hari Mahsyar seperti yang disebut dalam [ Fajr: 22 ]

وَجَاءَ رَبُّكَ وَالْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا

dan datanglah Tuhanmu; sedang malaikat berbaris-baris.

Kalau hendak tunggu Allah ‎ﷻ datang, itu bermakna sudah sampai ke Hari Perbicaraan di Padang Mahsyar. Waktu itu sudah tidak boleh hendak bertaubat atau hendak beramal lagi. Waktu itu adalah waktu untuk menerima penghakiman sahaja, bukannya waktu untuk beramal.

Bagaimana keadaan Allah ‎ﷻ apabila Dia datang? Kita tidak dapat bayangkan dan tidak perlu bayangkan. Kita hanya perlu beriman sahaja.

أَو يَأتِىَ بَعضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ‌ۗ

atau kedatangan sebahagian tanda-tanda daripada Tuhanmu.

‘Tanda-tanda’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tanda-tanda hampirnya kiamat. Daripada Hadith, telah diberitahu kepada kita bahawa apabila Kiamat sudah hampir, akan ada tanda-tandanya. Antaranya adalah: matahari akan terbit dari arah barat. Bila matahari sudah terbit dari arah barat, taubat sudah tidak diterima lagi.

Berkenaan kedatangan Kiamat, perlu rujuk kepada perbicaraan yang panjang tentang Kiamat. Terlalu panjang untuk kita masukkan dalam perbicaraan di sini.

Allah ‎ﷻ ejek mereka: Adakah mereka hendak menunggu datangnya Kiamat baru mereka hendak beriman? Jika itu yang ditunggu, maka ia sudah terlambat.

يَومَ يَأتِى بَعضُ ءَايَـٰتِ رَبِّكَ

Pada hari datangnya sebahagian tanda daripada Tuhanmu,

Tadi telah disebut tentang kedatangan ‘tanda-tanda Kiamat’. Sekarang ini disebut kedatangan Hari Kiamat itu sendiri. Apabila retak sahaja langit itu, taubat tidak diterima walaupun dia belum mati lagi.

Kalaulah sesiapa sempat nampak langit terbelah kemerahan, maka tentunya dia akan bertaubat dan percaya kepada Kiamat. Namun ketika itu, taubatnya tidak bernilai lagi.

لَا يَنفَعُ نَفسًا إِيمَـٰنُہَا لَم تَكُن ءَامَنَت مِن قَبلُ

tidaklah bermanfaat iman seseorang kepada sesiapa pun jika belum beriman sebelum itu,

Apabila datangnya kiamat, atau datangnya tanda besar kiamat, tidak berguna lagi iman mereka kalau waktu itu baru mereka hendak beriman.

Atau, apabila nyawa sudah di halqum. Katakanlah kita kemalangan, nyawa kita nyawa-nyawa ikan sahaja. Waktu itu juga taubat tidak diterima. Lihatlah bagaimana iman Firaun tidak diterima semasa hampir matinya.

Hanya mereka yang beriman sebelum keluar tanda-tanda itu baru diterima.

أَو كَسَبَت فِىٓ إِيمَـٰنِہَا خَيرًا‌ۗ

atau dia (belum) mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.

Ini bermakna amalan baik yang dilakukan hanya selepas datangnya tanda-tanda itu, tidak akan dikira. Takkan bila sudah keluar tanda Kiamat, baru hendak buat ibadat? Apa yang mereka buat selama hari ini?

Ramai orang Islam yang tidak berbuat amal kebaikan. Iman memang sudah ada, tetapi tidak ada usaha untuk beramal. Ini kerana mungkin malas hendak beramal, atau mereka tidak nampak kepentingan amal itu kepada diri mereka.

Ayat ini mengajar kita jangan berlengah dalam berbuat amal ibadah. Jangan sangka kita ada banyak masa lagi. Ingatlah yang kita boleh mati bila-bila masa sahaja. Jangan terperangkap dengan salah satu senjata syaitan yang dinamakan ‘taswif’; iaitu menunggu-nunggu untuk buat kebaikan. Dengan taswif itu ramai manusia masuk neraka kerana tertipu dengan syaitan.

قُلِ انتَظِرُوا

Katakanlah: “Tunggulah olehmu

Katakan kepada mereka: Kalau mereka hendak menunggu lagi, maka tunggulah. Teruslah kamu di dalam kesyirikan dan kekufuran itu. Kita sudah beri dakwah, sudah beri nasihat, tetapi masih lagi berdegil.

Akhirnya, ini sahaja yang kita boleh katakan kepada mereka. Seperti juga kita berkata kepada orang yang degil: “Buatlah apa yang kamu nak buat.” Sebab kita hanya boleh nasihat dan dakwah sahaja, tidak boleh hendak memaksa orang lain untuk membuat kebaikan. Tidak boleh hendak memaksa orang lain beriman.

إِنَّا مُنتَظِرُونَ

sesungguhnya kami pun menunggu (juga)

Kita semua masing-masing menunggu datangnya hari Kiamat kerana kita hendak menunggu nasib kita dan bagaimana keputusan ke atas kita: adalah balasan baik atau balasan buruk. Kita tunggu untuk mendapat balasan baik daripada amalan kita.

Tafsir Ayat Ke-159

إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَہُم وَكَانُواْ شِيَعًا لَّستَ مِنہُم فِى شَىءٍ‌ۚ إِنَّمَآ أَمرُهُم إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُہُم بِمَا كَانُواْ يَفعَلُونَ

Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan ugama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikit pun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).

إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ

Sesungguhnya orang-orang yang memecah belah agama mereka

Tidak dapat dinafikan lagi, memang sekarang ini terdapat banyak sekali perpecahan dalam agama kita. Sudahlah perpecahan antara agama, dalam agama yang sama juga terdapat perpecahan lagi. Sedangkan Allah ‎ﷻ melarang kita berpecah belah. Sepatutnya kita ini berada dalam satu jalan agama yang satu. Namun malangnya, sebaliknya yang berlaku, kita tidak begitu.

Kenapakah perpecahan ini berlaku? Ia berlaku apabila setiap puak akan berasa mereka yang benar dan mereka akan menolak puak yang lain. Mereka berkeras dengan hujah masing-masing. Lalu mana satukah yang benar? Susah untuk dipastikan tetapi bukankah kita mahu berada dalam pihak yang benar? Siapakah pihak yang benar telah diberitahu oleh Nabi ﷺ maka kenalah kita belajar dan lihat apakah kriteria orang yang benar seperti yang disebut dalam Al-Qur’an dan Sunnah. Kalau tidak, hanya mendabik dada sahaja mengaku benar.

Salah satu cara memecahkan agama ini adalah dengan membuat amalan bid’ah. Agama Islam sebenarnya sudah lengkap, tetapi ramai yang rasa ia masih tidak sempurna. Sebab itu mereka amalkan amalan bid’ah. Amalan agama ditambah-tambah mengikut nafsu dan sangkaan mereka sahaja. Maka dengan sebab mereka, agama boleh jadi berpecah. Sedangkan Nabi ﷺ telah memberitahu kita bahawa jalan yang selamat adalah jalan yang diikuti oleh baginda dan para sahabat:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيَأْتِيَنَّ عَلَى أُمَّتِيْ مَا أَتَى عَلَى بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ حَذْوَ النَّعْلِ بِالنَّعْلِ حَتَّى إِنْ كَانَ مِنْهُمْ مَنْ أَتَى أُمَّهُ عَلاَنِيَةً لَكَانَ فِيْ أُمَّتِيْ مَنْ يَصْنَعُ ذَلِكَ وَإِنَّ بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلاَّ مِلَّةً وَاحِدَةً، قَالُوْا: وَمَنْ هِيَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِيْ.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, dia berkata: “Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Sungguh akan terjadi pada umatku, apa yang telah terjadi pada umat bani Israel sedikit demi sedikit, sehingga jika ada di antara mereka (Bani Israel) yang menyetubuhi ibunya secara terang-terangan, maka nescaya akan ada pada umatku yang mengerjakan itu. Dan sesungguhnya bani Israel berpecah menjadi tujuh puluh dua millah, semuanya di Neraka kecuali satu millah saja dan ummatku akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga millah, yang semuanya di Neraka kecuali satu millah.’ (para Sahabat) bertanya, ‘Siapa mereka wahai Rasulullah?’ Baginda ﷺ menjawab, ‘Apa yang aku dan para Sahabatku berada di atasnya.’”
(Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi No. 2641, dan dia berkata: “Ini merupakan hadith penjelas yang gharib, kami tidak mengetahuinya seperti ini, kecuali dari jalan ini.”)

Memecah-belahkan juga bermaksud mereka memilih bahagian agama yang mereka suka sahaja (dan tidak buat yang selainnya). Sebagai contoh, ada yang hanya mahu menggunapakai Al-Qur’an sahaja kononnya, hadith mereka tidak mahu terima. Kemudian ada yang belajar hadith, tetapi tidak belajar lagi tafsir Al-Qur’an (sedangkan Al-Qur’an sumber hukum utama). Ada yang hal fekah mereka jaga tertib sungguh-sungguh, tetapi tidak kisah tentang ilmu tauhid. Atau ramai yang belajar tasawuf bertahun-tahun, namun tidak tahu sedikit pun berkenaan tauhid.

Itu semua adalah salah kerana tidak mengamalkan agama dengan lengkap. Ketahuilah yang agama ini satu ajaran yang lengkap, maka kena tahu dan amalkan semua sekali. Jangan sekali-kali dipecah-pecahkan agama ini.

Lihatlah bagaimana Al-Qur’an menyentuh semua perkara tentang agama. Al-Qur’an sebut tentang tauhid, tentang feqah, tasawuf dan berbagai lagi perkara termasuk bagaimana menjalani kehidupan. Penjelasan lebih terperinci hendaklah dirujuk hadith dan juga syarah para ulama’.

وَكَانُوا شِيَعًا

dan mereka menjadi bergolongan,

Natijah daripada mereka yang memecahkan agama adalah umat Islam menjadi berpuak-puak. Ada puak tarekat, ada anti-hadith, ada puak tabligh, ada ahli bid’ah, ada ahli Qasidah, ada ahli nasyid dan bermacam-macam lagi.

Ketahuilah yang jika membahagi-bahagi kumpulan sahaja, itu pun sebenarnya sudah salah kerana kita dilarang daripada berpuak-puak. Kita sebenarnya adalah sebuah kumpulan yang satu, iaitu kumpulan ‘Muslim’. Kita hendaklah menggunakan nama ‘Muslim’ sahaja. Inilah nama yang Allah ‎ﷻ pilih untuk kita guna. Lihat dalam [ Hajj: 78 ]

مِّلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ

(Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu.

Jangan kita ikut seperti perbuatan Yahudi dan Kristian. Mereka dahulu sebenarnya adalah Muslim pada asalnya, tetapi kemudian mereka telah menamakan diri mereka dengan nama yang lain – Yahudi dan Nasrani. Mereka sengaja mengeluarkan diri mereka daripada kelompok Islam. Kerana itu bahaya kalau menamakan diri kita dalam kumpulan-kumpulan tertentu.

Malangnya kita pula suka menggelarkan diri kita dengan nama-nama tertentu. Kononnya merekalah yang benar sekali. Ini termasuklah mereka yang mahu mengamalkan sunnah. Mereka pun sudah ada nama sendiri – Salafi. Itu pun salah juga. Memang kita mengikut apa yang disampaikan oleh ulama’-ulama’ salaf (ulama’-ulama’ awal) kerana mereka lebih rapat dengan Nabi ﷺ dan sahabat, tetapi bukanlah kita harus menamakan diri kita dengan satu nama lain daripada ‘Muslim’.

Memang boleh sahaja jika mahu menubuhkan persatuan untuk menegakkan agama, tetapi tetaplah di atas landasan Islam. Jangan gunakan nama yang boleh membezakan kita daripada golongan yang lain. Semuanya sepatutnya menjadi Muslim dan mengamalkan Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ dan Rasul.

لَّسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ

tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu kepada mereka.

Kita diberitahu dalam ayat ini supaya tidak ada kena mengena dengan mereka. Ini kerana Nabi ﷺ diajar sebegitu. Kita tidak perlu risaukan mereka yang berpecah-pecah itu kerana mereka hanya mengikut hawa nafsu. Jangan kita masuk campur dengan mereka. Jangan kita ikut mereka dalam perkumpulan yang mereka buat itu.

Perselisihan itu bukanlah ada kena mengena dengan Rasul iaitu berselisih tentang tauhid. Walaupun ada puak yang mengaku mereka cintakan Rasul, membuat majlis Cinta Rasul, puji dan puja Rasul, mengaku pula anak keturunan baginda, akan tetapi baginda tidak ada kena mengena dengan mereka.

إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ

Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah,

Bagaimana kesudahan mereka nanti akan ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ akan beritahu mereka nanti, apakah kesalahan mereka dan manakah kumpulan yang benar dan mana yang salah. Maka kita kena jaga diri kita dan betulkan pemahaman kita. Jangan terikut-ikut dengan kumpulan tertentu. Kumpulan itu bukannya tentu benar lagi.

Ini juga mengajar kita untuk serah sahaja urusan mereka kepada Allah ‎ﷻ. Kita bantu dan nasihat mereka setakat yang boleh, namun akhirnya nasib mereka di tangan Allah ‎ﷻ. Kita tidak jaga iman dan amal mereka.

ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat.

Allah ‎ﷻ akan beritahu semula apa yang mereka buat dahulu semasa di dunia. Dan bukan diberitahu sahaja, tetapi akan dibalas kemudiannya.

Ayat ini juga menunjukkan yang kita akan dibalas dengan apa yang kita telah buat. Oleh sebab itu, tidak ada pahala kiriman. Maka, amalan sedekah Fatihah kepada si-mati adalah sia-sia kerana itulah kita telah katakan yang Amalan majlis Tahlil adalah amalan bid’ah yang mungkar.

Kalimah يَفْعَلُونَ bermaksud mereka buat tanpa berfikir sangat pun. Mereka ikut sahaja apa yang orang lain buat. Mereka jahil tentang agama sebenarnya, tetapi sebab ramai yang buat, mereka sangka tentulah benar. Mereka sangka, kalau ramai-ramai, mana mungkin salah?

Begitulah cara mereka melihat Islam. Itu adalah cara melihat agama dengan pandangan yang amat salah. Bilangan ramainya orang melakukan sesuatu, tidaklah menunjukkan yang ia adalah benar. Yang salah tetap salah, walaupun ramai yang melakukannya.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan