Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am : Tafsir Ayat Ke-99 hingga Ke-101

Tafsir Surah Al-An’am : Tafsir Ayat Ke-99 hingga Ke-101

171
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am

Tafsir Ayat Ke-99

وَهُوَ الَّذي أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَأَخرَجنا بِهِ نَباتَ كُلِّ شَيءٍ فَأَخرَجنا مِنهُ خَضِرًا نُّخرِجُ مِنهُ حَبًّا مُّتَراكِبًا وَمِنَ النَّخلِ مِن طَلعِها قِنوانٌ دانِيَةٌ وَجَنّٰتٍ مِّن أَعنابٍ وَالزَّيتونَ وَالرُّمّانَ مُشتَبِهًا وَغَيرَ مُتَشٰبِهٍ ۗ انظُروا إِلىٰ ثَمَرِهِ إِذا أَثمَرَ وَيَنعِهِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكُم لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.

وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit

Air turun dari langit dalam berbagai-bagai cara. Ada yang turun dalam bentuk hujan dan ada yang turun dalam bentuk salji. Namun yang pasti, Allah ‎ﷻ yang menurunkannya. Ini adalah nikmat Allah ‎ﷻ yang sentiasa disebut di dalam Al-Qur’an kerana ia merupakan jenis nikmat yang kita selalu nampak dan dapat rasa.

فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ

lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan

Kalimah نَبَاتَ bermaksud semua hidupan yang tumbuh daripada tanah. Lalang, pokok, bunga dan sebagainya. Daripada air yang sama, tetapi menjadi berbagai-bagai jenis tanaman. Begitu hebatnya Allah ‎ﷻ jadikan alam ini, semuanya dapat hidup daripada air yang satu jenis sahaja dan daripadanya pelbagai jenis tumbuhan boleh hidup.

Bandingkan dengan kita: untuk menciptakan minyak untuk kereta, pelbagai jenis minyak pula perlu dibuat. Ada minyak untuk menggerakkan kereta, ada minyak untuk brek, minyak untuk enjin dan sebagainya.

فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا

maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau.

Dengan tumbuhan itu, maka menghijaulah alam ini. Kehijauan alam ini adalah sesuatu yang amat indah. Manusia suka kepada tumbuh-tumbuhan yang hijau. Ada ramai yang rajin berkhemah dalam hutan, “hiking” (mendaki) dalam kawasan hutan, malah ada yang tinggal dalam hutan kerana mereka berasa tenang.

Manusia memang suka kepada tumbuh-tumbuhan yang hijau. Maka apabila kita lihat kehidupan yang menghijau itu, ingatlah yang Allah ‎ﷻlah yang menjadikannya.

نُّخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُّتَرَاكِبًا

Kami keluarkan daripada tanaman yang hijau itu butir yang tersusun;

Tanaman itu ada jenis berbentuk butiran yang bersusun di tangkai seperti yang terdapat pada beras dan juga gandum. Bijian itu berkumpul dan bersusun di atas satu sama lain. Juga ada yang bergugus-gugus seperti biji-biji jagung dan sebagainya. Allah ‎ﷻ yang melakukan perkara ini.

وَمِنَ النَّخْلِ مِن طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ

dan daripada mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai,

Kalimah طَلْعِهَا bermaksud yang mula tumbuh daripada dahan, iaitu dahan itu belum tumbuh tanaman lagi tetapi sudah mulai tumbuh. Mulanya kelihatan bunga dahulu sebelum tumbuhnya buah.

Kalimah قِنْوَانٌ bermaksud gugusan.

Kalimah دَانِيَةٌ bermaksud ‘menjulai rendah’. Semakin masak, ia akan menjadi semakin rendah kerana buahan itu apabila semakin banyak ia akan menjadi semakin berat. Maka, buah-buahan itu semakin rendah dan dekat dengan tanah dan ia menjadi mudah untuk dipetik. Ia berdekatan di antara satu sama lain. Bayangkan kalau kita lihat pokok rambutan: duduk berdekatan, sekali kita potong satu gugus, berbiji-biji buah rambutan kita boleh dapat.

وَجَنّٰتٍ مِّنْ أَعْنَابٍ

dan dari kebun-kebun anggur,

Buah anggur adalah jenis makanan yang istimewa di Tanah Arab. Selalu disebut dalam Al-Qur’an bagi mengingatkan manusia tentang kelebihannya kepada mereka. Ini kerana mereka yang mula menerima Al-Qur’an maka disebut contoh tanaman dan makanan yang berkenaan dengan mereka. Tidaklah disebut contoh buah durian pula.

وَالزَّيْتُونَ

dan zaitun

Buah dan minyak zaitun ada banyak kegunaan dan kerana itu disebut banyak kali dalam Al-Qur’an. Kita pun selalu menggunakan zaitun dan minyak zaitun dalam kehidupan kita. Ia juga mengandungi elemen ubat seperti Extra Virgin Oil (EVO) yang molek diminum pagi-pagi ketika perut kosong.

وَالرُّمَّانَ

dan delima

Buah delima adalah sesuatu yang menjadi kesukaan masyarakat Arab. Ia juga mengandungi elemen ubat di dalamnya. Terutama sekali bagi ibu-ibu yang mengandung.

مُشْتَبِهًا

yang serupa

Ada persamaan antara buah buah-buah itu. Sebagaimana buah zaitun ada berjenis-jenis yang nampak sama tetapi lain rasanya. Kualiti buah zaitun dari satu tempat ke tempat yang lain pun tidak sama. Allah ‎ﷻ menjadikan banyak pilihan. Ada yang rasa manis, ada yang pahit dan sebagainya. Tetapi ada persamaan dari segi rupanya.

وَغَيْرَ مُتَشٰبِهٍ

dan yang tidak serupa

Buah yang sama pun ada jenisnya yang berlainan. Seperti buah anggur, ada berbagai-bagai jenis.

Atau ia bermaksud, tiga jenis buah yang disebut di atas, nampak rupanya seperti sama, tetapi rasanya tidak sama.

انظُرُوا إِلَىٰ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ

Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) ketika ia masak.

Allah ‎ﷻ mengajar kita supaya jangan makan sahaja segala tanaman-tanaman itu, tetapi lihatlah buahan itu. Lihatlah masa ia berbuah. Fikirkan tentang yang menjadikannya, iaitu Allah‎ﷻ .

Mula ia berbuah, berwarna hijau, rasa tidak sedap dan kelat kalau dimakan tetapi bila sudah masak, ia menjadi manis untuk dimakan. Maka Allah ‎ﷻ suruh lihat nikmat kejadian yang Dia telah lakukan untuk kita. Melihat kejadian yang dijadikan Allah ‎ﷻ juga adalah ibadah kerana ia adalah arahan daripada-Nya.

Apakah kaitan buah-buahan dengan diri kita? Kenapa Allah ‎ﷻ suruh kita lihat? Kerana kita pun melalui proses yang hampir sama. Apabila buah sudah masak, ia akan dipetik dan akan dibuang kulitnya. Begitu juga kita, apabila kita sudah sampai ajal, kita akan dimatikan dan jasad kita akan dibuang daripada roh kita.

إِنَّ فِي ذَٰلِكُمْ لَآيٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Kita boleh fikirkan tentang kuasa Allah ‎ﷻ yang boleh buat belaka. Orang yang memerhatikan dengan teliti, akan mendapat kebaikan dan mengenang kehebatan Allah ‎ﷻ dan nikmat-Nya kepada kita. Mereka akan semakin kenal Allah ‎ﷻ. Iman mereka semakin bertambah. Mereka akan lebih menghargai Allah ‎ﷻ kerana semua ini Allah ‎ﷻ beri percuma sahaja kepada kita untuk dinikmati.

Tafsir Ayat Ke-100

Dalam ayat-ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memperkenalkan Diri-Nya dan sedarlah kita sekarang betapa tinggi-Nya Dia. Namun begitu, manusia masih lagi berbuat syirik. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyentuh tentang mereka yang bersifat begitu.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyebut tentang jin kerana manusia memang ada masalah dengan jin. Masyarakat kita ramai yang menggunakan jin untuk berbomoh, mencari barang, sebagai khadam dan sebagainya. Yang semakin pelik, yang hendak berkahwin dengan jin pun ada!

Nanti akan disebut dengan panjang lebar dalam Surah Jin, tetapi dalam surah ini sudah disebut sedikit.

وَجَعَلوا لِلَّهِ شُرَكاءَ الجِنَّ وَخَلَقَهُم ۖ وَخَرَقوا لَهُ بَنينَ وَبَنٰتٍ بِغَيرِ عِلمٍ ۚ سُبحٰنَهُ وَتَعالىٰ عَمّا يَصِفونَ

Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagi-Nya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Dia dari apa yang mereka sifatkan!

وَجَعَلُوا لِلَّهِ شُرَكَاءَ الْجِنَّ

Dan mereka (orang-orang musyrik) menjadikan jin itu sekutu bagi Allah,

Kalimah شُرَكَاءَ itu yang menyamakan sesuatu dengan Allah .‎ﷻ Salah satu yang manusia samakan kedudukan dengan Allah ‎ﷻ adalah jin. Allah ‎ﷻ itu tinggi daripada segala makhluk, lalu bagaimana mereka boleh kata yang Allah ‎ﷻ memerlukan jin? Atau jin ada kuasa seperti Allah ‎ﷻ pula? Ini memang terlalu mengarut!

Ada yang memuja jin dan meminta pertolongan dengan jin untuk menyelesaikan masalah mereka. Sedangkan kita kena minta tolong terus kepada Allah ‎ﷻ untuk menyelesaikan masalah kita, tetapi ada yang minta tolong dengan jin kerana jahil.

Ingatlah bahawa jin itu makhluk yang lebih hina daripada manusia. Namun semenjak dahulu sehingga kini, ramai yang memandang tinggi kepada mereka dan meminta tolong kepada mereka. Ini adalah kerana tidak kenal siapakah jin itu.

Selain daripada itu, ada juga yang takut dengan jin. Seolah-olah jin itu ada kuasa pula. Ini kerana mereka tidak belajar tentang jin melalui cara sunnah, tetapi ramai pula yang terkesan dengan filem-filem yang memberi maklumat yang tidak benar tentang jin. Ditambah pula dengan golongan ustaz kita (yang bukan sunnah) yang memberitahu hal yang pelik-pelik tentang jin.

Pada zaman Nabi Sulaiman عليه السلام, jin-jin itu dibahagi kepada tiga jenis. Ada yang ditugaskan menjadi buruh kasar, ada tinggal di lautan dan juga hutan, dan ada dirantai jika tidak mendengar cakap. Nabi Sulaiman عليه السلام sahaja mempunyai kuasa yang diberi Allah ‎ﷻ untuk mengawal jin-jin.

Mereka juga tidak tahu yang Nabi Sulaiman ‎ﷻ sudah wafat ketika mereka diarahkan untuk membina BaitulMaqdis. Selama setahun Nabi Sulaiman ‎ﷻ telah wafat dalam keadaan duduk tetapi jin-jin itu tidak tahu. Hanya apabila tongkat baginda dimakan anai-anai, barulah mereka tahu. Mereka kata kalau mereka tahu, tidaklah mereka buat kerja yang hina itu. Maknanya, jin itu tidaklah ada kuasa mengetahui perkara ghaib.

Jin itu ada yang baik dan ada yang tidak, seperti manusia juga. Yang jahat itulah yang dinamakan ‘syaitan’. Yang gila pula menjadi hantu mengacau manusia yang memang sudah takut dengan jin. Hantu tidak ada, tetapi jin yang berupa sebagai hantu itu ada. Mereka cuma kacau orang yang memang sudah asalnya takut dengan mereka sahaja.

Bagaimana manusia yang melakukan syirik itu sembah jin? Mereka melakukannya dengan tawasul. Setiap kali melakukan tawasul, mereka sembah jin. Dan setiap kali mereka buat begitu, ada jin yang akan mendampingi dengan mereka. Sebagai contoh, setiap kali menghadiahkan Fatihah kepada Nabi dan sesiapa sahaja, mereka akan mendapat satu jin. Dalilnya ada dalam ayat [ Saba’:40 ].

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ يَقُولُ لِلْمَلَائِكَةِ أَهَٰؤُلَاءِ إِيَّاكُمْ كَانُوا يَعْبُدُونَ

Dan (ingatlah) hari (yang di waktu itu) Allah mengumpulkan mereka semuanya kemudian Allah berfirman kepada malaikat: “Apakah mereka ini dahulu menyembah kamu?”.

قَالُوا سُبْحَانَكَ أَنْتَ وَلِيُّنَا مِنْ دُونِهِمْ ۖ بَلْ كَانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ ۖ أَكْثَرُهُمْ بِهِمْ مُؤْمِنُونَ

Malaikat-malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau. Engkaulah pelindung kami, bukan mereka; bahkan mereka telah menyembah jin; kebanyakan mereka beriman kepada jin itu”.

Malaikat disebut sebagai contoh dalam ayat ini kerana mereka adalah antara yang diberi salam pada malam hari. Mereka juga telah dipuja oleh ramai manusia. Maka, oleh kerana itu, mereka telah disoal oleh Allah ‎ﷻ. Malaikat jawab bukan mereka yang disembah, bahkan yang disembah oleh manusia itu adalah jin.

Tawasul yang salah memang diamalkan oleh masyarakat kita. Selalu kita dengar apabila dimulakan majlis bid’ah seperti maulid, majlis tahlil dan sebagainya, kita dengar tekong akan kata: “Al-Fatihah!” Begitulah amalan mereka – mereka pun tidak tahu dari mana amalan itu datang.

Soalan kita sekarang kepada mereka yang buat begitu, apakah Fatihah yang dihantar itu sampai atau tidak? Untuk tahu sama ada sampai atau tidak, sila rujuk [ Yunus: 28 ]:

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا مَكَانَكُمْ أَنْتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ ۚ فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ ۖ وَقَالَ شُرَكَاؤُهُمْ مَا كُنْتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ

(Ingatlah) suatu hari (ketika itu). Kami mengumpulkan mereka semuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan): “Tetaplah kamu dan sekutu-sekutumu di tempatmu itu”. Lalu Kami pisahkan mereka dan berkatalah sekutu-sekutu mereka: “Kamu sekali-kali tidak pernah menyembah kami.

فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ إِنْ كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغَافِلِينَ

Dan cukuplah Allah menjadi saksi antara kami dengan kamu, bahawa kami tidak tahu-menahu tentang penyembahan kamu (kepada kami).

Dalam ayat itu sendiri dikatakan bagaimana mereka yang diberi Fatihah, diseru, diberi salam itu, tidak tahu pun sedekah Fatihah dan salam itu telah diberikan kepada mereka itu. Ibadat seperti salam dan sedekah Fatihah itu mereka tidak tahu pun dihantar kepada mereka kerana mereka telah mati dan tidak ada sesiapa pun yang menyampaikan salam dan sedekah Fatihah itu kepada mereka.

Bayangkan, kalau kepada Nabi pun tidak sampai, lalu bagaimana pula kalau diberikan kepada ibubapa kita, kepada orang lain? Oleh itu, amalan sedekah-sedekah Fatihah itu adalah perbuatan yang sia-sia, yang bid’ah dan syirik sahaja.

Oleh kerana perkataan الْجِنَّ itu adalah bermaksud ‘makhluk yang tidak dapat dilihat’, maka ia boleh digunakan untuk malaikat selain daripada jin. Ini adalah kerana, selain daripada menyembah Allah ‎ﷻ, Musyrikin Mekah juga menyembah malaikat. Mereka kata berhala yang mereka sembah itu adalah malaikat, yang mereka anggap anak Allah ‎ﷻ.

Terlalu banyak kesyirikan yang dilakukan manusia yang melibatkan jin. Sebagai contoh, apabila Musyrikin Mekah pergi ke sesuatu tempat, mereka akan meminta keselamatan daripada jin yang menjaga tempat itu. Perkara sedemikian tidak jauh bezanya dengan masyarakat Melayu kita yang biasa sahaja yang meminta kebenaran lalu daripada penunggu sesuatu kawasan jika melalui suatu kawasan yang menakutkan. Ia merupakan satu kesalahan khurafat dan sesat.

وَخَلَقَهُمْ

padahal Allah-lah yang menciptakan jin-jin itu,

Bagaimana mereka boleh mensyirikkan makhluk dengan Allah ‎ﷻ, padahal Allah ‎ﷻ yang menjadikan mereka? Tidak sama kedudukan Allah ‎ﷻ yang khaliq dan jin yang makhluk.

وَخَرَقُوا لَهُ بَنِينَ وَبَنٰتٍ

dan mereka membohongi untuk-Nya (dengan mengatakan): “Bahawasanya Allah mempunyai anak laki-laki dan perempuan”,

Perkataan خَرَقُوا berasal daripada perkataan خ ر ق yang maksudnya berlawanan dengan makna perkataan خلق yang bermaksud ‘menjadikan’. خرق bermaksud ‘mengoyak’ atau merosakkan sesuatu. خلق pula bermaksud mencipta sesuatu dengan keadaan baik yang kita boleh lihat pada segala makhluk yang Allah ‎ﷻ lakukan. Segala penciptaan Allah ‎ﷻ itu baik untuk kita.

Sebagai contoh, lihatlah bagaimana binatang yang telah dijadikan sebagai makanan untuk kita itu, senang ditangkap. Bayangkan kalau makanan kita adalah binatang sebesar gajah? Tentu susah kita hendak menangkap dan memakannya!

Kalimah خرق juga digunakan untuk bermaksud ‘mereka-reka sesuatu’. Dan rekaan itu dilakukan tanpa memikirkan logik. Sebagai contoh manusia yang berbohong tetapi bohong yang tidak ada logik.

Mereka خرق dengan kata yang “Allah ada anak”. Kalimah بَنِينَ untuk ‘anak lelaki’ iaitu nisbah kepada ‘jin’ dan kalimah وَبَنٰتٍ adalah ‘anak perempuan’ dan nisbah kepada ‘malaikat’. Ini adalah kerana Musyrikin Mekah kata malaikat adalah anak perempuan Allah ‎ﷻ. Dan Kristian kata Allah ‎ﷻ ada anak lelaki. Dan Yahudi pula kata Nabi Uzair itu anak Allah ‎ﷻ.

Semua itu adalah kerana ingin bertawasul kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka meletakkan pangkat, kemudian mereka meminta pertolongan kepada mereka kononnya sebagai anak Tuhan, kerana mereka kata anak minta mesti ayah akan bagi, bukan? Ini hujah yang mengarut.

بِغَيْرِ عِلْمٍ

tanpa (berdasar) ilmu pengetahuan

Mereka reka-reka sahaja daripada akal mereka yang syirik tanpa berdasarkan dalil dari mana-mana nas yang sahih.

Sebagaimana juga sebahagian masyarakat kita yang mengamalkan perbuatan bid’ah dan sesat. Mereka bukan ada dalil yang sah. Melainkan dalil yang bathil sahaja. Atau, dalil yang tiada kena mengena. Ataupun mereka jenis yang mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh orang lain dan orang sebelum mereka, tanpa usul periksa. Malangnya, apabila kita minta dalil daripada mereka, mereka akan marah. Ini adalah kerana mereka jahil wahyu dan jahil agama.

سُبْحٰنَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يَصِفُونَ

Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari sifat-sifat yang mereka berikan

Allah ‎ﷻ Maha Suci dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka katakan itu. Allah ‎ﷻ tidak ada anak lelaki mahu pun anak perempuan kerana Allah ‎ﷻ tidak memerlukan anak seperti makhluk.

Manusia yang musyrik telah memberikan sifat-sifat kepada tuhan-tuhan sembahan mereka itu. Apabila perkataan يَصِفُونَ digunakan, ia bermaksud mereka menyifatkan tuhan mereka itu dengan berbagai-bagai sifat. Tuhan-tuhan itu ada diberi nama, ada keluarga, ada perangai, ada tugas dan sebagainya.

Lihatlah bagaimana dewa-dewa Greek kuno yang ada berbagai jenis perangai. Dan dewa-dewa Hindu yang ada pelbagai kisah mereka. Begitulah juga dengan berhala-berhala dan tuhan-tuhan Musyrikin Mekah.

Maknanya, mereka bukan main-main sahaja dengan tuhan-tuhan mereka. Pelbagai maklumat direka sampaikan susah untuk faham tuhan mereka itu.

Tafsir Ayat Ke-101: Dalil Aqli Ke-13

بَديعُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ أَنّىٰ يَكونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَم تَكُن لَّهُ صٰحِبَةٌ ۖ وَخَلَقَ كُلَّ شَيءٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

(Dia lah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Dia mempunyai anak sedang Dia tidak mempunyai isteri? Dia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.

بَدِيعُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Dia Pencipta langit dan bumi

Kalimah بَدِيعُ diambil daripada kata dasar  ب د ع yang bermaksud ‘mula-mula buat’. Daripada kata dasar yang sama itulah kalimah ‘bid’ah’. Bid’ah itu bermaksud perkara yang dibuat tidak ada dasarnya yang dilakukan oleh Nabi. Tetapi, ia hanya berkenaan agama sahaja. Maka, jika dibuat bid’ah dalam hal kehidupan seperti kenderaan dan makanan, itu bukanlah bid’ah yang dilarang.

Allah ‎ﷻlah yang mula-mula menjadikan langit dan bumi. Ia bermaksud, sebelum Allah ‎ﷻ menjadikan langit dan bumi, tidak ada langit dan bumi sepertinya. Allah ‎ﷻ tidak mencipta langit dan bumi ini daripada contoh mana-mana pun.

أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَمْ تَكُن لَّهُ صٰحِبَةٌ

Bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri.

Untuk mempunyai anak, kenalah ada isteri, bukan? Bagaimana Allah ‎ﷻ boleh ada isteri, kerana selain daripada-Nya, semuanya adalah makhluk. Tidak ada yang sama dan setaraf dengan Allah ‎ﷻ kerana kalau kita kahwin, tentulah kita kahwin dengan spesis yang sama dengan kita. Lalu, bagaimana Allah ‎ﷻ mempunyai pasangan sedangkan Dia hanya satu sahaja?

Musyrikin Mekah hingga mengatakan yang pasangan Allah ‎ﷻ iaitu jin dan malaikat adalah anak perempuan mereka. Subhanallah! Teruk sekali dakwaan mereka. Tidak mungkin Allah ‎ﷻ akan berpasangan dengan Jin! Itulah sebabnya dalam ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ tekankan Dia yang menciptakan jin itu.

Maka konsep ‘anak Tuhan’ itu tidak masuk akal. Ini adalah satu dakwaan yang sangat berat sampaikan langit hampir terpecah, bumi terbelah dan gunung ganang hancur. Inilah yang tersebut dalam ayat [ Maryam:88-90 ]:

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَٰنُ وَلَدًا

Dan mereka berkata: “Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak”.

لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا

Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar,

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا

hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh,

Puak Musyrikin Mekah mengatakan yang anak-anak perempuan Allah ‎ﷻ adalah malaikat-malaikat; Orang Kristian kata Nabi Isa adalah anak Allah ‎ﷻ; Orang Yahudi pula mengatakan yang Uzair adalah anak Allah ‎ﷻ.

Itu semua adalah kata-kata mungkar yang amat dibenci oleh Allah ‎ﷻ dan alam. Sebab itulah langit hampir pecah, bumi hampir terbelah dan gunung ganang hampir runtuh disebabkan oleh kata-kata mungkar itu.

Mereka mengatakan Allah ‎ﷻ ada anak kerana mereka hendak bertawasul dengan anak itu. Mereka berhujah logik sebagaimana dalam dunia ini, anak seseorang tentunya rapat dengan ayahnya. Jika kita ingin membodek ayahnya, kita mulakan dengan bodek anaknya, bukan? Begitulah yang mereka anggap sifat Allah ‎ﷻ. Oleh kerana Allah ‎ﷻ tidak pernah kata Dia ada anak, mereka reka sendiri siapakah anak Allah ‎ﷻ.

وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ

dan Dia menciptakan segala sesuatu;

Allah ‎ﷻ menciptakan segala-galanya. Lalu bagaimana Allah ‎ﷻ boleh mempunyai pasangan sedangkan Dia yang mencipta dan menjadikan segala-galanya? Jin dan malaikat Allah ‎ﷻ juga yang cipta, lalu bagaimana mereka boleh dikaitkan berhubungan kekeluargaan pula dengan Allah ‎ﷻ?

وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

dan Dia maha mengetahui segala sesuatu

Apabila Allah ‎ﷻ telah mencipta semua perkara, maka tentulah Allah ‎ﷻ tahu semua perkara. Ia tidak sama seperti kilang yang mencipta kereta. Setelah kereta itu keluar dari kilang, pembuat kereta itu tidak tahu pun apa yang terjadi dengan kereta itu. Namun ini berbeza dengan penciptaan Allah ‎ﷻ dengan makhluk-Nya. Setelah Allah ‎ﷻ menjadikan makhluk, Allah ‎ﷻ tahu setiap perkara yang terjadi dengan makhluk itu.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan