Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-83 hingga Ke-87

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-83 hingga Ke-87

152
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-83

وَتِلكَ حُجَّتُنا ءآتَينٰها إِبرٰهيمَ عَلىٰ قَومِهِ ۚ نَرفَعُ دَرَجٰتٍ مَّن نَّشاءُ ۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكيمٌ عَليمٌ

Dan itulah hujah (bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

وَتِلْكَ حُجَّتُنَا

Dan itulah hujah Kami

Hujah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hujah-hujah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim عليه السلام, antaranya hujah yang baginda bawa tentang bintang, bulan dan matahari dan juga kehilangan mereka. Hujah yang dimaksudkan adalah hujah tentang ‘tauhid’. Allah ‎ﷻ ajar baginda untuk menyampaikan hujah kepada kaumnya.

Selain daripada hujah itu, ada lagi hujah-hujah lain yang disampaikan oleh baginda dalam dakwah baginda kepada kaumnya. Itu semua adalah wahyu daripada Allah ‎ﷻ kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Itu semua adalah hujah yang Allah ‎ﷻ sendiri ajar kepada baginda, kerana itu Allah‎ ﷻ kata ‘hujah Kami’.

ءآتَيْنٰهَا إِبْرٰهِيمَ عَلَىٰ قَوْمِهِ

yang Kami berikan kepada Ibrahim ke atas kaumnya.

Ayat ini memberitahu kepada kita bawa hujah-hujah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim عليه السلام kepada kaum itu adalah wahyu daripada Allah ‎ﷻ kepada baginda. Dengan hujah-hujah itu Nabi Ibrahim عليه السلام membawa dalil kepada kaumnya tentang tauhid kepada Allah ‎ﷻ. Bukanlah Nabi Ibrahim عليه السلام dapat memikirkan sendiri hujah-hujah itu.

Kita memang memerlukan ‘ilham’ daripada Allah ‎ﷻ semasa kita berdakwah. Ayat ini mengajar kita bahawa apabila kita berhujah dan berdakwah, sebenarnya cara-cara berhujah dan berdakwah itu diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Dan apabila kita diberikan satu persoalan atau hujah daripada pihak lawan kita, kadang-kadang kita tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya.

Bukankah kita pernah melalui situasi begitu? Namun begitu, dalam kita kebingungan tidak tahu bercakap itu, tiba-tiba kita teringat sama ada ayat Al-Qur’an, hadith Nabi ataupun logik akal yang boleh kita gunakan ke atas lawan kita. Itu semua datangnya daripada Allah ‎ﷻ.

Jangan sangka kita yang fikirkan sendiri. Jangan sangka kita dapat jawab dan beri dakwah itu kerana akal kita pandai, atau kita selalu hafal Al-Qur’an dan hadith. Jangan kita lupa pertolongan Allah ‎ﷻ dalam keadaan sebegitu. Maka, kenalah sentiasa berdoa minta kepada Allah ‎ﷻ untuk memberikan ilham kepada kita semasa berdakwah.

نَرْفَعُ دَرَجٰتٍ مَّن نَّشَاءُ

Kami tinggikan darjat sesiapa yang Kami kehendaki

Bagaimanakah cara Allah ‎ﷻ meninggikan darjat sesiapa yang dikehendaki-Nya? Allah ‎ﷻ meninggikan darjat mereka itu dengan memberikan ilmu dan hikmah kepada mereka. Sebagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat-ayat ini telah diberikan dengan ilmu dan hikmah daripada Allah ‎ﷻ. Maka, ini menunjukkan kepentingan adanya ilmu agama terutama ilmu wahyu. Malangnya masyarakat kita kebanyakannya tidak suka belajar bab agama sehingga benar-benar faham dan keluar daripada kejahilan.

Khususnya yang disebut di dalam ayat ini tentunya adalah Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda telah ditinggikan darjatnya oleh Allah ‎ﷻ, di dunia dan di akhirat. Sampai sekarang kita menyebut-nyebut nama baginda; baginda adalah ‘bapa Tauhid’; baginda adalah bapa kepada para Nabi yang hebat-hebat; kita mengingatinya setiap hari sampaikan disebut di dalam Tahiyyat Akhir kita.

Allah ‎ﷻlah yang menentukan siapakah yang akan mendapat darjat. Bukan kita yang boleh menetapkannya. Kita pun tidak tahu siapakah yang dinaikkan darjatnya oleh Allah ‎ﷻ. Namun begitu, kita hanya boleh berharap dan berdoa supaya kita dinaikkan darjat oleh Allah ‎ﷻ.

إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui siapakah yang layak untuk diberikan dengan darjat yang tinggi.

Allah ‎ﷻ Maha Tahu apakah hujah yang kita perlukan kerana itulah kita kena minta kepada Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana. Sepandai mana pun orang kafir atau ahli bid’ah berhujah, jika Allah ‎ﷻ yang berikan kita ilham hujah melawan mereka, maka mereka tidak akan dapat melawan kita. In sha Allah.

Tafsir Ayat Ke-84

Ayat ini menceritakan tentang pemberian-pemberian yang diberikan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام setelah baginda berkorban dalam usaha dakwah baginda. Dalam ayat yang lalu, telah diceritakan bagaimana baginda terpaksa meninggalkan kaumnya yang tidak menerima tauhid itu, terutama selepas baginda memecahkan berhala mereka (diceritakan dalam ayat yang lain).

Baginda terpaksa meninggalkan negeri itu dan keluarga baginda. Itu adalah satu pengorbanan yang amat besar. Maka, atas pengorbanan baginda itu, Allah ‎ﷻ menggantikan pengorbanan baginda itu dengan sesuatu yang lebih baik.

Dari ayat ke-84 – ke-89 ini akan disebut 17 nama Rasul.

وَوَهَبنا لَهُ إِسحٰقَ وَيَعقوبَ ۚ كُلًّا هَدَينا ۚ وَنوحًا هَدَينا مِن قَبلُ ۖ وَمِن ذُرِّيَّتِهِ داوودَ وَسُلَيمٰنَ وَأَيّوبَ وَيوسُفَ وَموسىٰ وَهٰرونَ ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ

Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-Nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.

وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحٰقَ وَيَعْقُوبَ

Dan Kami telah menganugerahkan Ishak dan Ya’qub kepadanya.

Perkataan وَوَهَبْنَا berasal daripada katadasar و ه ب yang bermaksud ‘memberikan sesuatu kepada seseorang tanpa mengharapkan balasan balik’. Seperti juga perkataan ‘Hibah’ yang bermaksud memberi derma/hadiah kepada seseorang.

Ini mengajar kita dalam kita menderma, kita tidak boleh mengharapkan balasan ataupun pujian daripada orang yang menerima derma itu. Kita kena ikhlas dalam derma kita.

Perkataan وهب selalu digunakan dalam Al-Qur’an untuk bermaksud ‘pemberian anak’. Ini adalah kerana anak adalah satu anugerah yang amat besar. Mereka yang mempunyai anak akan faham perkara ini. Bila mereka lihat anak-anak mereka, mereka rasa tenang, gembira dan bangga.

Pemberian Nabi Ishak عليه السلام kepada Nabi Ibrahim عليه السلام adalah amat besar lagi kerana baginda dianugerahkan Ishak عليه السلام pada usia baginda yang lanjut. Baginda pada waktu itu memang berharap dapat anak (bagi mereka yang sudah berkahwin tetapi belum mendapat anak memang akan rasa kekurangan sesuatu).

Ini juga menunjukkan bahawa Ishak عليه السلام adalah adik kepada Nabi Ismail عليه السلام kerana dalam ayat lain, apabila Nabi Ibrahim عليه السلام diperintahkan menyembelih Nabi Ismail, baginda disebut ‘anak tunggal’. Sekarang, apabila disebut Nabi Ibrahim عليه السلام diberikan dengan Ishak عليه السلام, tentulah tidak boleh dikatakan Nabi Ishak عليه السلام sebagai anak yang tunggal kerana Nabi Ismail عليه السلام telah dikatakan sebagai anak tunggal.

Dan bukan sahaja baginda dapat melihat anaknya, malah baginda diberikan peluang untuk melihat cucunya juga. Ini juga adalah pemberian yang amat besar. Oleh itu disebut Nabi Ya’kub عليه السلام dalam ayat ini kerana Nabi Ya’kub عليه السلام adalah anak kepada Nabi Ishak عليه السلام. Ini kerana seorang ayah belum tentu dapat melihat cucunya sendiri. Ini bermakna, Nabi Ibrahim عليه السلام telah dilanjutkan usia sampai baginda dapat menimang cucunya Ya’qub.

Dua anugerah besar ini diberikan kepada baginda atas pengorbanan baginda.

كُلًّا هَدَيْنَا

Kepada semuanya, masing-masing telah Kami beri petunjuk

Bukan sahaja Nabi Ibrahim عليه السلام mendapat anak dan cucu, tetapi mereka diberikan dengan pangkat kenabian yang tinggi dan mulia. Mereka semua orang-orang yang soleh.

Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Jika anak kita menjadi anak yang baik, anak yang alim pun, kita sudah gembira sangat. Bayangkan kalau anak kita seorang Nabi, tentulah lebih lagi perasaan kegembiraan itu.

وَنُوحًا هَدَيْنَا مِن قَبْلُ

dan kepada Nuh sebelum itu (juga) telah Kami beri petunjuk,

Bukan sahaja Nabi Ibrahim عليه السلام menentang kesyirikan dalam kaumnya, sebelum baginda juga telah ada rasul-rasul yang melakukan demikian. Dalam ayat ini disebut Nabi Nuh عليه السلام. Mereka berdua melakukan dakwah dalam masyarakat yang kuat melakukan syirik. Dan mereka juga telah mendapat rahmat dan pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Disebut Nabi Nuh عليه السلام awal di sini, kerana selepas ini disebut semuanya keturunan daripada Nabi Ibrahim عليه السلام.

Ini mengingatkan dan memberi semangat kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat bagaimana mereka menentang kesyirikan yang berleluasa dalam masyarakat mereka.

Bagaimana pula dengan kita? Bukankah kesyirikan juga sedang banyak diamalkan di negara ini? Syirik diamalkan bukan sahaja oleh orang-orang kafir, tetapi oleh masyarakat Islam juga. Kita hendaklah menentang kesyirikan itu sepertimana yang dilakukan oleh Nabi-Nabi yang terdahulu. Kita kena ambil semangat daripada mereka.

وَمِن ذُرِّيَّتِهِ دَاوُودَ وَسُلَيْمٰنَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَىٰ وَهٰرُونَ

dan kepada sebahagian daripada keturunannya, iaitu Daud, Sulaiman, Ayyub, Yusuf, Musa dan Harun.

Perkataan ‘keturunannya’ boleh bermaksud keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام ataupun keturunan Nabi Nuh عليه السلام. Kedua-dua pendapat ini boleh digunakan. Nabi Ibrahim عليه السلام juga berketurunan Nabi Nuh عليه السلام. Nabi Sulaiman عليه السلام pula adalah anak Nabi Daud عليه السلام. Kedua-dua mereka itu telah dilantik menjadi raja. Nabi Ayyub, Nabi Yusuf dan Nabi Musa عليه السلام pula dikenali sebagai penyabar.

Namun begitu, yang disebut di sini adalah para Nabi yang diberikan kebaikan. Bagaimana pula kalau orang mukmin yang bukan Nabi atau Rasul? Mereka juga akan mendapat kebaikan kerana Allah ‎ﷻ tetap membalas kebaikan yang telah dilakukan oleh manusia. Ini disebut seterusnya dalam ayat ini.

وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Mereka yang melakukan kebaikan tetap diberikan dengan balasan yang baik. Nabi Ibrahim عليه السلام telah diberikan dengan berita gembira yang baginda akan mendapat anak. Baginda dikhabarkan terlebih dahulu sebelum mendapat anak dan cucu sebagai berita gembira bagi baginda.

Dan kemudian diberitahu terus yang anak dan cucunya akan dijadikan Nabi dan Rasul. Ini adalah satu berita yang amat menggembirakan kerana waktu itu, Sarah (ibu Nabi Ishak عليه السلام) dan baginda sudah tua pada waktu mereka menerima berita gembira itu. Sebab itulah, apabila malaikat datang memberitahu kepada mereka yang mereka akan mendapat anak, mereka berasa amat hairan. Kisah ini ada disebut dalam ayat yang lain.

Dan di sini bermaksud, bukan sahaja mereka para Nabi yang akan mendapat kebaikan. Bagi orang mukmin sejati, mereka juga akan mendapat kebaikan juga. Maka, lafaz وَكَذَٰلِكَ merangkumi semua orang yang baik.

Ini mengajar kita, jika kita terpaksa berkorban kerana Allah ‎ﷻ demi menyebar dan menjaga agama-Nya, maka kita akan mendapat balasan yang baik. Sebagai contoh, kadang-kadang kita ditinggalkan atau disisihkan oleh kawan kita semata-mata kerana kita mahu menjaga agama, atau kerana kita mahu memakai tudung, atau kita berazam untuk meninggalkan perkara dosa dan sebagainya. Maka, hendaklah kita yakin yang kita akan dibalas dengan kebaikan di atas pengorbanan kita itu.

Kena percaya dengan Allah ‎ﷻ tentang perkara ini. Percaya yang Allah ‎ﷻ akan balas dengan kebaikan. Mungkin kita hilang kawan sekarang, tetapi in sha Allah kita akan mendapat kawan yang lebih baik. Allah‎ ﷻ akan membalas dengan baik sesiapa yang melakukan ihsan. Ihsan itu adalah mereka yang memperbaiki agama mereka.

Tafsir Ayat Ke-85

وَزَكَرِيّا وَيَحيىٰ وَعيسىٰ وَإِلياسَ ۖ كُلٌّ مِنَ الصّٰلِحينَ

Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-Nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya daripada orang-orang yang soleh.

وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَىٰ وَعِيسَىٰ وَإِلْيَاسَ

dan Zakaria, Yahya, Isa dan Ilyas.

Nabi Zakaria عليه السلام adalah pakcik kepada Maryam. Nabi Yahya عليه السلام pula adalah anak Nabi Zakaria عليه السلام. Nabi Isa عليه السلام pula adalah anak Maryam dan sepupu kepada Nabi Yahya عليه السلام. Ilyas عليه السلام pula adalah anak saudara Nabi Harun عليه السلام. Jadi para Nabi ini semua mempunyai tali kekeluargaan.

كُلٌّ مِّنَ الصّٰلِحِينَ

Semuanya termasuk orang-orang yang soleh.

Mereka semua adalah para Nabi yang mulia yang telah diberikan kelebihan oleh Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام telah diberikan keturunan yang baik dan mulia.

Tafsir Ayat ke-86

Sambungan nama-nama Nabi daripada ayat sebelum ini.

وَإِسمٰعيلَ وَاليَسَعَ وَيونُسَ وَلوطًا ۚ وَكُلًّا فَضَّلنا عَلَى العٰلَمينَ

Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-Nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).

وَإِسْمٰعِيلَ وَالْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًا

dan Ismail, Ilyasa’, Yunus dan Luth.

Sekarang nama anak Nabi Ibrahim عليه السلام yang seorang lagi pula disebut, iaitu Nabi Ismail عليه السلام. Nabi Luth عليه السلام adalah anak saudara Nabi Ibrahim عليه السلام. Sepatutnya bukanlah ‘keturunan’ kalau hendak dikirakan, tetapi dimasukkan juga dalam senarai ini kerana anak saudara kebiasaannya dimasukkan sebagai keturunan juga.

Tidaklah semestinya kalau dimasukkan dalam senarai, bermaksud termasuk dalam keturunannya. Seperti juga Iblis bukanlah malaikat, tetapi dalam kisah penyembahan kepada Nabi Adam عليه السلام, Iblis dimasukkan dalam senarai malaikat. Tetapi bukanlah dia termasuk dalam golongan malaikat pula kerana dia adalah daripada golongan jin.

وَكُلًّا فَضَّلْنَا عَلَى الْعٰلَمِينَ

Semuanya Kami lebihkan darjatnya di atas umat (pada masanya),

Ditinggikan darjat mereka dengan diberikan pangkat kenabian kepada setiap mereka. Tidak ada darjat yang lebih tinggi bagi manusia daripada pangkat Nabi.

Apabila nama-nama Nabi ini disebut, puak Musyrikin Mekah mungkin tidak tahu pun nama-nama Nabi itu tetapi yang mengenali mereka adalah puak Yahudi. Tentulah mereka kehairanan bagaimana Nabi Muhammad ﷺ boleh tahu kerana mereka tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu berbangsa Arab dan bangsa Arab tidak ada pengetahuan tentang Nabi-Nabi terdahulu.

Maka, ayat-ayat yang menyebut tentang senarai Nabi-Nabi ini ditujukan kepada bangsa Yahudi yang hidup di zaman Nabi Muhammad ﷺ kerana mereka yang mengenali Nabi-Nabi ini. Ini bermakna, puak Yahudi telah disentuh semasa Nabi ﷺ masih lagi di Mekah.

Ini adalah kerana sudah ada perhubungan antara puak Arab Mekah dan puak Yahudi di Madinah. Apabila puak Musyrikin Mekah telah kehabisan idea untuk menentang Nabi ﷺ, mereka telah pergi bertanya kepada kaum Yahudi yang pada waktu itu sudah bermastautin di Madinah (dikenali dengan nama Yathrib waktu itu).

Maka, Allah ‎ﷻ sudah mula sentuh tentang mereka. Sudah ada ayat-ayat yang menyebabkan mereka tertanya-tanya.

Tafisr Ayat Ke-87

وَمِن ءآبائِهِم وَذُرِّيّٰتِهِم وَإِخوٰنِهِم ۖ وَاجتَبَينٰهُم وَهَدَينٰهُم إِلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka, dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus.

وَمِنْ ءآبَائِهِمْ

Dan Kami lebihkan (pula) darjat sebahagian daripada bapa-bapa mereka,

Merujuk kepada datuk-datuk Nabi-Nabi yang telah disebut sebelum ini iaitu keturunan ‘atas’ mereka. Mereka telah diberikan dengan pangkat kenabian dan dinaikkan darjat mereka.

وَذُرِّيّٰتِهِمْ

dan keturunan mereka

Iaitu keturunan selepas mereka juga diberikan dengan darjat yang tinggi dengan dinaikkan menjadi Nabi. Ada terlalu ramai sampaikan tidak cukup tempat untuk disebut dalam Al-Qur’an.

وَإِخْوٰنِهِمْ

dan saudara-saudara mereka.

Ada ramai lagi para Nabi yang tidak disebut kerana mereka terlalu ramai. Ada pertalian persaudaraan antara mereka. Malah, para Nabi itu memang dikira bersaudara.

Ayat ini merujuk kepada ayat sebelum ini yang bermaksud semua mereka itu ditinggikan darjat dengan diberikan pangkat kenabian.

وَاجْتَبَيْنٰهُمْ

Dan Kami telah memilih mereka (untuk menjadi Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul)

Allah ‎ﷻ memilih mereka kerana Allah ‎ﷻ tahu kelebihan yang ada pada mereka. Pemilihan mereka menjadi Nabi dan Rasul adalah ‘pemilihan khas’. Kalau kita ini menjadi umat Islam, ia hanyalah ‘pilihan am’ sahaja. Memang kita terpilih juga, tetapi setakat menjadi Muslim, tidaklah sampai jadi Nabi pula.

Perkataan ijtaba ini adalah satu perkataan yang unik. Kadang-kadang kita sendiri tidak tahu kelebihan diri kita. Tetapi Allah ‎ﷻ tahu kelebihan diri kita lebih daripada diri kita sendiri.

Untuk memahami maksud perkataan ijtaba ini, kita ambil satu perumpamaan. Katakanlah kita ini seorang yang mempunyai ijazah dalam bidang media. Tetapi oleh kerana tidak ada pekerjaan, kita sudah sanggup untuk bekerja apa sahaja yang mungkin di luar bidang kemahiran atau kelayakan kita. Suatu hari, kita ternampak sebuah iklan menawarkan pekerjaan sebagai “Graphic Designer” (Pereka Grafik). Kita memang tidak ada kelayakan, tetapi kita tidak ada peluang lain lagi. Maka, kita pun pergilah ke proses temuduga itu. Dalam temuduga itu, penemuduga telah menceritakan keperluan kerja sebagai seorang “Graphic Designer”. Dalam dia bercerita tugas-tugas yang perlu dilakukan, kita sudah mula rasa kita tidak sesuai kerana memang kita tidak layak disebabkan tiada kemahiran yang diperkukan. Kita mula merasakan yang kita tidak mampu melakukan tugas-tugas yang disebut itu. Di hujung temuramah itu, akhir sekali penemuduga telah menawarkan kerja “Graphic Designer” itu kepada kita. Tentulah kita kehairanan, kerana kita tahu kita tidak layak, bukan? Kita pun cakap kita tidak layak kepada penemuduga itu sendiri.

Tetapi penemuduga itu berkata: “Saya sudah lama menemuduga bakal pekerja. Walaupun anda rasa anda tidak sesuai, tetapi daripada pengalaman saya, saya tahu yang anda boleh buat kerja ini dan anda akan buat kerja ini dengan baik. Jangan takut, anda memang sesuai.”

Begitulah juga diri kita yang telah terpilih untuk membawa jalan sunnah ini. Kita pun tidak tahu bagaimana kita dipilih oleh Allah ‎ﷻ untuk menyebarkan dakwah ini. Tetapi Allah ‎ﷻ telah memilih kita. Kalau kita fikirkan kekurangan diri kita, memang kita rasa tidak layak.

Namun Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui hamba-Nya. Jika Allah ‎ﷻ telah memilih kita, maka tentunya kita sesuai untuk menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah ‎ﷻ ini. Oleh itu, kita kena teruskan tugas ini, jangan rasa kita tidak layak.

Maka, berbalik semula kepada kisah para Nabi itu. Mereka telah ditinggikan darjat menjadi Nabi. Allah ‎ﷻ sendiri yang buat pemilihan itu dan itu adalah hak Allah ‎ﷻ untuk memilih sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Bukan mereka sahaja, tetapi ahli keluarga mereka juga telah mendapat nikmat itu. Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi. Alangkah besarnya hati apabila keturunan dan waris mereka ramai yang dilantik menjadi Nabi dan sama-sama bekerja untuk agama.

Namun begitu, ingatlah mereka asalnya mula berdakwah berseorangan. Seperti kita juga kadang-kadang bersendirian sahaja atas jalan sunnah. Dan kadang-kadang kita mulakan daripada kosong kerana kita tidak ada latar belakang pendidikan sekolah agama. Kena ingatlah yang bukan semua orang terus ada ilmu agama.

Mula-mula kita seorang sahaja yang belajar dalam keluarga kita. Mungkin kitalah seorang dalam keluarga kita yang mula belajar tafsir Al-Qur’an dan mula menjalani kehidupan berdasarkan sunnah. Kemudian kita mula ajak orang lain. Lama kelamaan, semakin ramai yang kenal sunnah dan mula untuk mendalami agama seperti kita juga. Walau bagaimanapun, ia dimulakan dengan diri kita terlebih dahulu.

وَهَدَيْنٰهُمْ إِلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

dan Kami menunjuki mereka ke jalan yang lurus

Apakah jalan yang lurus? Jalan yang lurus adalah jalan yang menuju kepada syurga. Menuju ke syurga adalah harapan setiap orang Muslim kerana di situlah tempatnya untuk kita bertemu dengan Allah‎ ﷻ.

Kita sebagai seorang Muslim hendaklah menyimpan niat untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Tetapi Allah ‎ﷻ hanya mahu bertemu dengan hamba-Nya di dalam syurga. Oleh sebab itu, untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ, maka kita hendaklah masuk ke dalam syurga terlebih dahulu. Untuk masuk ke dalam syurga, maka kita kena lalui jalan yang lurus.

Apakah yang boleh dimaksudkan dengan ‘jalan yang lurus’? Seperti telah disebut di dalam ayat Yaasin:61:

وَأَنِ اعْبُدُونِي ۚ هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ

dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.

Daripada ayat ini, jelaslah kepada kita yang jalan yang lurus adalah dengan menyembah Allah ‎ﷻ sahaja. Dan hendaklah kita hanya beribadat dan hanya puja kepada Allah ‎ﷻsahaja. Kalau kita sembah Allah ‎ﷻ, tetapi dalam masa yang sama kita sembah kepada entiti yang lain, itu bermaksud kita telah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ.

Oleh itu, mereka yang sembah kepada sultan; pesilat yang sembah guru mereka, golongan Habib yang sembah kubur, bagaimana pula?

Maksud ‘sembah’ juga perlu diperluaskan. Kita memang tidak ‘sembah’ kepada entiti-entiti lain sepertimana orang Hindu sembah berhala mereka. Tetapi ‘sembah’ itu bermaksud beribadat, sayang, cinta, puja, taat kepada sesuatu perkara atau benda.

Maka, kalau kita beribadat dengan sedekah Fatihah kepada Nabi Muhammad ﷺ, itu juga dikira sebagai satu perbuatan yang syirik kerana baca Al-Qur’an adalah satu ibadah dan apabila kita lakukan ibadah kepada sesuatu yang selain Allah ‎ﷻ, itu adalah salah.

Pemahaman ini penting, kerana kalau kita sempitkan pemahaman ‘sembah’ itu kepada ‘sujud’ sahaja, maka itu adalah salah faham. Kerana salah faham inilah yang menyebabkan banyak masyarakat kita tidak rasa mereka telah membuat salah.

Apabila kita tegur mereka supaya jangan berdoa berdekatan dengan kubur untuk ambil ‘berkat’, mereka akan jawab: “Tapi kami tidak sembah kubur ini.” Memanglah mereka tidak sujud kepada kubur itu, tetapi apabila mereka merasakan di kubur seseorang itu akan menyebabkan doa mereka termakbul, itu adalah salah sama sekali.

Pemujaan hanya boleh dilakukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Maka, kalau ada pemujaan selain kepada Allah ‎ﷻ, itu adalah syirik. Sebagai contoh, ada dalam kalangan masyarakat kita yang memuja keris. Mereka mengadakan amalan-amalan tertentu untuk perasap keris itu dan juga membersihkannya dengan bahan-bahan tertentu pada hari-hari tertentu. Apa yang mereka lakukan adalah satu bentuk pemujaan yang mereka sendiri mungkin tidak sedar.

Ibadah juga hanya kepada Allah ‎ﷻ. Tidak boleh untuk beribadah kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Maka, jangan beri salam kepada makhluk yang ghaib daripada pandangan kita, seperti jin, wali, Nabi dan malaikat.

Seru kepada selain daripada Allah ‎ﷻ juga adalah kufur. Kita boleh seru mereka yang ada di hadapan kita, atau kita tahu mereka boleh dengar seruan kita. Tetapi kita tidak boleh seru yang ghaib selain Allah‎ﷻ . Sebagai contoh, kita tidak boleh seru Nabi, wali dan malaikat.

Kerana Nabi dan wali telah lama mati dan malaikat itu ghaib dengan kita. Malaikat tidak ada interaksi dengan kita. Malaikat hanya menurut perintah Allah ‎ﷻ. Berilah salam banyak mana pun, mereka tidak akan jawab salam dan tidak akan turut permintaan kita.

Begitu juga kalau kita lalu di kawasan hutan, jangan kita seru: “Datuk, minta izin, anak cucu nak lalu…” Malangnya, perbuatan syirik seperti ini masih lagi dilakukan sekarang kerana kejahilan yang masih tebal dalam kalangan orang kita.

Perkataan seru itu ialah apabila sebutan itu menggunakan perkataan ‘ya’ atau ‘wahai’ kepada yang ghaib selain Allah ‎ﷻ. Kalau kita kata “ya Allah” itu memang benar. Tetapi jika kita kata “ya Rasulullah”, itu adalah salah sama sekali.

Oleh itu seru kepada orang yang mati adalah satu perbuatan kufur. Termasuk juga sebagaimana yang terjadi pada hari ini apabila Tok-tok imam yang jahil membacakan talqin kepada si mati di kubur. Ini kerana semasa baca talqin itu, mereka menyeru orang dalam kubur sebenarnya. Perbuatan itu memang tidak pernah dibuat oleh Nabi dan para sahabat.

Ada orang yang marah bila kita kata sesuatu perbuatan itu adalah ‘kufur’. Mereka kata senang sangat kita hendak mengafirkan orang. Tidakkah mereka tahu bahawa bukannya susah untuk menjadi kufur? Sebagaimana bukannya susah untuk menjadi seorang Islam, iaitu dengan kita sebut dua kalimah syahadah sahaja?

Dan juga bukannya susah untuk seorang lelaki menjadi suami iaitu dengan kata ‘ya’ sahaja setelah diijabkabulkankan oleh wali wanita itu. Bukan perlu jawab penuh seperti apa yang dilakukan oleh pengantin-pengantin baru sekarang. Orang kita saja yang tidak berpuas hati apabila dijawab dengan jawapan pendek, maka mereka telah tambah dengan lafaz-lafaz yang tidak perlu. Bukanlah kita kata salah apa yang dilakukan sekarang ini. Cuma kalau dia jawab ‘ya’ sahaja pun sudah sah nikah itu.

Maka, kalau mudah untuk masuk Islam, mudah sahaja menjadi suami orang, maka ketahuilah, tidak susah untuk jatuh kufur. Salah fikir, salah cakap dan salah perbuatan sahaja, terus boleh menjadi kufur!

Doa pun hanya kepada Allah‎ ﷻ sahaja, tidak boleh doa kepada makhluk yang lain. Sebab itulah apabila masyarakat kita menggunakan perantaraan dalam doa mereka, bermakna mereka telah melakukan satu perkara yang amat salah. Sama sahaja dengan penganut Hindu yang menggunakan sami mereka sebagai perantaraan kepada tuhan mereka. Perantaraan ini dinamakan tawasul.

Inilah masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat kita. Kefahaman mereka yang salah tentang makna ‘sembah’ dalam Islam itu telah menyebabkan mereka melakukan perkara-perkara yang syirik kerana mereka sangka mereka tidak buat salah pun.

Kerana mereka sangka, ‘sembah’ itu adalah perbuatan rukuk atau sujud sahaja kepada berhala. Maka, apabila mereka tidak membuat perkara-perkara itu, mereka sangka mereka telah terselamat daripada melakukan syirik.

Ramai yang tidak faham apakah maksud la ilaaha illallah. Mereka hanya sangka maksudnya adalah “aku tidak sembah melainkan Allah”. Namun, sebenarnya maksud itu lebih banyak lagi. Ia boleh membawa maksud:

“Aku tidak akan puja selain Allah.”
“Aku tidak akan seru selain Allah.”
“Aku tidak akan buat ibadat kepada selain Allah.”
“Aku tidak akan berdo’a kepada selain Allah.”

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan