Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-72 dan Ke-73

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-72 dan Ke-73

320
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat Ke-72

Dan malaikat-malaikat itu akan berkata:

قيلَ ادخُلوا أَبوٰبَ جَهَنَّمَ خٰلِدينَ فيها ۖ فَبِئسَ مَثوَى المُتَكَبِّرينَ

(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: “Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam.

قِيلَ ادْخُلُوا أَبْوٰبَ جَهَنَّمَ

Akan dikatakan: Masuklah kamu melalui pintu-pintu neraka jahanam itu.

Oleh kerana mereka degil, tidak belajar wahyu, tidak ikut arahan dari wahyu itu, maka natijahnya, masuklah ke dalam neraka ini. Bukan masuk dengan senang lenang, tetapi dengan dilemparkan mereka-mereka itu dengan kasar sekali. Ada banyak jenis neraka dan mereka akan dimasukkan ikut neraka yang ditetapkan untuk mereka.

خٰلِدِينَ فِيهَا

tinggal tetaplah kamu di dalamnya

Tidak ada peluang nak keluar lagi dari neraka. Ini kalau kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan syirik, tidak beramal dengan tauhid.

Kalau mereka orang beriman, tetapi ada dosa yang banyak, maka mereka kena dimasukkan ke dalam neraka dulu namun akhirnya akan masuk ke dalam syurga juga.

فَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ

Inilah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong ini.

Sombong sebab tidak mahu belajar agama. Sombong tidak mahu belajar tafsir al-Qur’an kerana mereka sangka mereka sudah tahu tentang agama. Mereka ada guru yang mengajar mereka benda-benda lain. Mereka sangka sudah cukup apa yang mereka belajar itu. Mereka sangka mereka telah selamat. Mereka rasa mereka telah pandai.

Sebab itu bila diajak belajar tafsir al-Qur’an, mereka tidak mahu belajar. Ada yang kata, tidak perlu belajar tafsir al-Qur’an dan hadith, cukup dengan kenal Tuhan. Tetapi bagaimana hendak kenal Tuhan kalau bukan melalui al-Qur’an? Ini bermakna, mereka mengenal Tuhan dengan cara lain. Adalah cara salah yang mereka telah belajar. Allah SWT sendiri memperkenalkan Diri-Nya melalui Kalam-Nya, mereka tidk mahu terima, tetapi mereka terima kata guru-guru mereka yang salah itu.

Macam mana kita tahu mereka salah? kalau tidak pakai ayat-ayat al-Qur’an, kita sudah tahu bahawa ia mesti salah. Mereka membesarkan guru mereka daripada ayat-ayat Allah SWT. Guru-guru mereka itu mengajar agama bukan dari al-Qur’an dan Hadis.

Ajaran mereka itu tidak tepat. Maka, masyarakat pun buat perkara yang salah. Bayangkan, cara takbir pun sudah ada bermacam-macam jenis. Padahal, telah diajar cara takbir dalam hadith. Disebabkan tidak belajar hadith, mereka mereka-reka perkara agama.

Tafsir Ayat Ke-73

Tabshir Ukhrawi. Ini pula tentang orang-orang yang mukmin, iaitu ahli-ahli syurga. Bandingkan dengan cara mereka dimasukkan ke dalam syurga. Sebelum ini tentang ahli-ahli neraka.

وَسيقَ الَّذينَ اتَّقَوا رَبَّهُم إِلَى الجَنَّةِ زُمَرًا ۖ حَتّىٰ إِذا جاءوها وَفُتِحَت أَبوٰبُها وَقالَ لَهُم خَزَنَتُها سَلٰمٌ عَلَيكُم طِبتُم فَادخُلوها خٰلِدينَ

Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya” (mereka pun masuk)

وَسِيقَ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ زُمَرًا

Dan diajak orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka ke syurga dalam berkumpulan juga

Perkataan وَسِيقَ juga digunakan dalam ayat ini. Mereka akan dimasukkan dengan segera juga tetapi dengan cara yang baik, bukan macam ahli neraka. Mereka dipersilakan masuk. Ahli-ahli syurga juga dibawa dengan cepat ke syurga, supaya mempercepatkan mereka menerima nikmat syurga. Mereka tidak jalan sendiri tetapi dibawa dengan kenderaan sebagai penghormatan kepada mereka.

Mereka juga dibahagikan ikut kumpulan: ada kumpulan banyak solat, ada yang banyak puasa, ada yang pendakwah, dan sebagainya. Golongan yang pertama masuk adalah kaum Muqarribin, lalu kaum Abrar, kemudian orang-orang sesudah mereka, lalu menyusul golongan sesudah mereka lagi.

Masing-masing rombongan digabungkan bersama orang-orang yang setara kedudukannya, iaitu para nabi dengan para nabi, kaum siddiqin bersama orang-orang yang setara dengan mereka, para syuhada bersama orang yang sejenis dengan mereka, dan para ulama bersama teman-temannya; setiap golongan bersama golongan yang setingkat satu sama lainnya.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوٰبُهَا

Apabila mereka sampai, maka pintu syurga sudah terbuka.

Sebab dalam lafaz وَفُتِحَتْ ini ada huruf ‘و‘ menunjukkan pintu syurga sudah siap-siap terbuka. Dalam ayat sebelum ini tentang ahli neraka, tidak ada huruf و itu. Pintu syurga sudah terbuka menunggu mereka datang sahaja.

Sebab menunggu sesuatu adalah satu azab. Bayangkan kalau kita pergi ke satu kenduri kahwin, kita sudah sampai tetapi pintu pagar rumah kenduri itu tidak dibuka lagi. Tentulah kita tidak suka. Maka ahli syurga tidak akan dibiarkan menunggu lama.

Itu adalah satu nikmat juga. Pintu syurga itu tidak pernah ditutup dari dulu lagi, kerana menunggu ahlinya untuk masuk sahaja. Tidak macam pintu neraka yang sentiasa tertutup.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui hadis Abu Zar’ah, daripada Abu Hurairah r.a. tentang hadith syafaat yang cukup panjang, yang antara lain seperti berikut:

“فَيَقُولُ اللَّهُ يَا مُحَمَّدُ، أَدْخِلْ مَنْ لَا حِسَابَ عَلَيْهِ . مِنْ أُمَّتِكَ مِنَ الْبَابِ الْأَيْمَنِ، وَهُمْ شُرَكَاءُ النَّاسِ فِي الْأَبْوَابِ الْأُخَرِ. وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، إِنَّ مَا بَيْنَ الْمِصْرَاعَيْنِ مِنْ مَصَارِيعِ الْجَنَّةِ -مَا بَيْنَ عِضَادَتَيِ الْبَابِ-لَكُمَا بَيْنَ مَكَّةَ وَهَجَرٍ-أَوْ هَجَرٍ وَمَكَّةَ”. وَفِي رِوَايَةٍ: “مَكَّةَ وَبُصْرَى”

Maka Allah SWT berfirman, “Hai Muhammad, masukkanlah orang yang tidak ada hisab baginya dari kalangan umatmu dari pintu sebelah kanan, dan pintu lainnya dipersekutukan oleh semua orang. Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, sesungguhnya jarak di antara kedua sisi pintu dari salah satu pintu surga iaitu lebar dari kedua daun pintu (gerbang)nya benar-benar sama dengan jarak antara Mekah ke Hajar atau antara Hajar ke Mekah. Dan menurut riwayat lain disebutkan: antara Mekah dan Basra.

وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلٰمٌ عَلَيْكُمْ

Maka berkata penjaga syurga: selamat sejahtera kepada kamu

Pada pintu syurga itu ada malaikat yang jaga juga. Mereka itu adalah malaikat Ridwan. Seperti kalau kita pergi ke sesuatu majlis, tentu ada ‘usher’ yang akan menjemput kita masuk. Malaikat itu akan menyambut kita dengan muka yang amat manis. Tengok muka malaikat itu pun sudah nikmat, belum lagi bila sudah masuk dalam syurga.

Masuklah dengan sejahtera ke dalam syurga ini. Antaranya maksudnya, masuk dengan gembira, untuk menerima segala nikmat di dalamnya. Tidak ada kesusahan lagi ke atas mereka. Tidak ada kerja, tidak ada sakit, tidak ada sedih, tidak akan susah selama-lamanya.

طِبْتُمْ

Bergembiralah kamu

Pujian akan diberikan kepada ahli syurga semasa mereka masuk ke dalam syurga. Mereka diberikan dengan berita gembira. Bergembiralah kamu kerana dulu kamu telah beramal dengan amal kebaikan dan mengamalkan tauhid. Jadi ini adalah seperti lafaz syabas yang diberikan kepada ahli syurga.

فَادْخُلُوهَا خٰلِدِينَ

Masuklah kamu ke dalam syurga ini, kekal kamu di dalamnya.

Tidak ditanya kepada mereka sama ada pendakwah tidak datang kepada mereka kerana memang telah tahu yang mereka masuk syurga itu setelah mereka mendengar dakwah yang disampaikan oleh Nabi dan para pendakwah.

Ucapan yang diberikan kepada ahli syurga adalah perkara baik-baik belaka. Diberitahu yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Ia adalah nikmat yang amat besar. Kalau masuk syurga, tetapi diberitahu masuk sekejap sahaja, tentu tidak puas menikmati nikmat dalam syurga kerana ada rasa yang tidak lama lagi akan keluar, bukan?

Dalam ayat ini, Allah SWT tidak memberitahu kenapa mereka dimasukkan ke dalam syurga. Ia diberitahu dalam ayat lain iaitu kerana mereka sabar. Sabar dalam beramal dengan agama.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan