Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-74 dan Ke-75

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-74 dan Ke-75

465
0
Iklan

Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat Ke-74

Ini adalah kata ahli-ahli syurga.

وَقالُوا الحَمدُ ِلِلهِ الَّذي صَدَقَنا وَعدَهُ وَأَورَثَنَا الأَرضَ نَتَبَوَّأُ مِنَ الجَنَّةِ حَيثُ نَشاءُ ۖ فَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

Serta mereka berkata:” Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janji-Nya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal”.

وَقَالُوا الْحَمْدُ ِللهِ

Dan berkata mereka, segala puji hanya kepada Allah,

Kita kena kata pujian hanya kepada Allah SWT kerana semua pujian akhirnya akan kembali kepada Allah SWT. Lihat perbincangan dalam surah al-Fatihah. Maka, pujian sebenar hanya untuk Allah SWT sahaja.

Kita selalu cakap الْحَمْدُ ِللهِ setiap hari. Tetapi semasa kita cakap الْحَمْدُ ِللهِ waktu ini, tidak sama langsung dengan ucapan kita semasa di dunia ini. Waktu itu kita telah berjaya masuk syurga, kita telah nampak kenikmatan syurga, maka cara kita cakap الْحَمْدُ ِللهِ waktu itu sudah lain. Kalau kita cemas hendak kena langgar dengan kereta dan Allah SWT selamatkan kita, itu pun sudah lain cara kita sebut الْحَمْدُ ِللهِ. Tambahan pula kalau dapat masuk dalam syurga nanti.

الَّذِي صَدَقَنَا وَعْدَهُ

yang telah membenarkan janji-Nya

Pujian yang istimewa kepada Allah SWT yang telah menjadikan janji-Nya realiti. Sesiapa yang buat amalan, sebar agama, buat baik dan sebagainya, akan dibayar dengan kebaikan di akhirat nanti. Allah SWT tidak memungkiri janji-Nya.

وَأَوْرَثَنَا الْأَرْضَ

dan Dia telah mewariskan kami bumi syurga ini

Kita sebenarnya mewarisi syurga itu daripada datuk kita iaitu Adam a.s. Maka, syurga itu sebenarnya hak kita. Kita sepatutnya duduk di syurga. Tetapi, ada antara kita yang buang tempat kita dalam syurga dan buat perkara yang memasukkan kita ke dalam neraka. Alangkah ruginya!

نَتَبَوَّأُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ نَشَاءُ

dan kami boleh menetap di mana sahaja yang kami kehendaki

Kita bebas untuk bergerak dan buat apa sahaja dalam syurga. Boleh ambil apa sahaja dalam syurga itu kerana apa sahaja yang kita nampak dalam syurga itu adalah hak kita, telah tersedia untuk kita. Tidak perlu tanya mana satu kita punya, kerana boleh ambil semuanya sekali.

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa ahli syurga dapat bergerak dan melawat tempat-tempat syurga yang lain. Mungkin dia dapat naik ke tingkatan yang tinggi untuk melawat para Nabi. Ada satu hadith berkenaan perkara ini:

Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah SAW dan berkata, “Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika sudah bertemu barulah hatiku menjadi tenang dan gembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati ini bertambah cemas dan takut kalau-kalau tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi. Sedangkan saya belum tentu, entah di syurga paling bawah atau yang paling mencemaskan, kemungkinan tidak dimasukkan ke syurga langsung. Jika demikian, tentu saya tidak akan bertemu denganmu lagi.” Rasulullah SAW amat terharu mendengar perkataan Tsauban. Namun beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana balasan surga atau neraka bagi setiap hamba itu hak dan urusan Allah SWT. Maka setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah SAW yang berbunyi; “Barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: nabi-nabi, para shiddiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” [ An Nisaa’:69 ]. Mendengar jaminan itu Tsauban pun tersenyum. Hatinya menjadi tenang dan gembira kembali.

Tidak ada larangan apabila telah masuk syurga. Makan apa sahaja hendak makan, tidak ada kerisauan tidak cukup makanan itu, orang lain pun hendak makan juga, adakah ia akan menyebabkan kita sakitkah atau apa-apa sahaja yang menghalang. Kita akan makan sebanyak nafsu makan seribu orang. Sebab di syurga tidak akan kenyang-kenyang. Sebab kalau kenyang, kita tidak makan banyak.

Tetapi tidaklah kita lapar sebenarnya, kerana di syurga tidak ada rasa lapar – kita makan untuk menikmati makan sahaja. Kekuatan seks pula adalah sekuat seratus kali ganda lelaki di dunia sekarang. Semuanya ini diceritakan dalam hadith.

Apa-apa sahaja kemahuan kita akan dipenuhi di syurga nanti. Ia adalah satu tempat untuk kita menikmati segala nikmat. Tubuh badan kita pun telah dinaiktaraf untuk menikmati segala nikmat di syurga nanti. Kita hendak ubah rupa pun boleh juga. Oleh itu, tidakkah kita rasa teringin untuk masuk ke dalam syurga?

Bayangkan, satu dunia akan jadi hak kita. Saiz dunia sekarang ini, akan jadi hak kita sahaja. Segala apa yang ada di syurga itu adalah hak kita.

فَنِعْمَ أَجْرُ الْعٰمِلِينَ

itulah sebaik-baik nikmat balasan kepada orang yang berbuat baik dalam amalan.

Kita tidak masuk syurga kerana amalan kita kerana kalau dikira amalan kita, tidak layak untuk mendapatkan tempat kita di syurga. Bayangkan, amalan kita paling banyak pun dalam 60 tahun sahaja, itupun bukan sepanjang hayat kita dan sepanjang hari kita buat ibadah – tetapi duduk di syurga selama-lamanya – mana cukup.

Namun, Allah SWT kata kita masuk syurga kerana amalan kita. Bagaimana pula? Begini: kita tidak layak untuk kata kita masuk syurga kerana amalan kita, tetapi Allah SWT kata kita boleh masuk syurga kerana amalan kita kerana Dia yang menetapkan syarat itu. Kalau Dia telah letak syarat kita boleh masuk syurga dengan amalan kita, maka begitulah yang Dia telah tetapkan.

Tafsir Ayat Ke-75

Ini keadaan di Mahsyar sebelum perbicaraan dimulakan. Ini adalah seperti ulang tayang keadaan di Mahsyar sebelum manusia dimasukkan ke neraka dan syurga. Allah SWT menceritakan tentang kehebatan akhirat.

وَتَرَى المَلائِكَةَ حافّينَ مِن حَولِ العَرشِ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم ۖ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَقيلَ الحَمدُ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ

Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka, serta mereka dihakimi dengan adil; dan (masing-masing bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan: “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam!”

وَتَرَى الْمَلَائِكَةَ حَافِّينَ مِنْ حَوْلِ الْعَرْشِ

Kamu akan dapat lihat malaikat-malaikat terbang keliling Arash

Pemandangan yang menyebabkan kita tidak berani hendak berkata apa-apa. Kita akan takjub melihat kehebatan para malaikat itu dengan keadaan mereka dan dengan melihat ramainya mereka.

يُسَبِّحُونَ

sambil bertasbih menyucikan Tuhan

Mereka menyucikan Allah SWT daripada perbuatan musyrikin. Mereka mengatakan perbuatan yang manusia yang sembah selain Allah SWT itu adalah salah. Mereka hendak ‘menyejukkan’ hati Tuhan. Itulah pemahaman kita setakat yang kita boleh sampaikan. Macam orang yang marah, kita cuba nak tenangkan hatinya.

بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

Dan memuji Tuhan mereka

Bukan sahaja mereka menyucikan Allah SWT, tetapi mereka memuji-Nya juga. Ini sama macam nafi dan ithbat dalam kalimah la ilaaha illallah. la ilaah adalah nafi dan illallah adalah ithbat. Begitu juga, dalam tasbih adalah nafi dan tahmid adalah ithbat.

وَقُضِيَ بَيْنَهُم بِالْحَقِّ

Maka diberi keputusan di antara mereka dengan seadil-adilnya

Antara malaikat pun ada juga keputusan yang akan diberikan. Kerana mereka pun ada perbezaan pendapat di kalangan mereka dulu. Masih ingat lagi bagaimana mereka dulu mempersoalkan kenapa Allah SWT hendak menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi? Itu pun akan diberikan keputusan oleh Allah SWT.

وَقِيلَ الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعٰلَمِينَ

dan malaikat-malaikat akan berkata: segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

Sekali lagi digunakan perkataan الْحَمْدُ لِلهِ. Itulah pujian yang amat-amat tinggi sekali kerana itulah, sepatutnya selepas kita mempelajari ayat ini, apabila kita sebut الْحَمْدُ لِلَّهِ, sepatutnya perasaan kita semasa membacanya tidak sama dengan kita lafazkan perkataan lain.

Kita akan teringat bagaimana الْحَمْدُ لِلهِ ini juga akan disebut oleh penghuni syurga dan sekarang disebut juga oleh malaikat-malaikat semasa di Arash nanti. Maknanya, itulah sebutan yang akan diulang-ulang di akhirat kelak. Maka kita sekarang hendaklah selalu menyebutnya semasa kita di dunia.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan