Utama Bilik (50) Diskusi Bersama Doktor Soal Jawab bersama Doktor — Masalah berkaitan Hidung dan Resdung

Soal Jawab bersama Doktor — Masalah berkaitan Hidung dan Resdung

1098
0
Iklan

Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk menghilangkan sinusitis tanpa memakan ubat?

Jawapan:
Sinusitis ialah jangkitan pada sinus, jika tiada makan ubat dan sistem imunisasi kita baik, in shaa Allah boleh sembuh dengan tanpa memakan ubat. Namun begitu jika sistem imunisasi kurang baik dikhuatiri boleh jadi “chronic sinusitis”.

Berikut adalah sedikit informasi mengenai sinusitis dan resdung. Harus dibezakan kerana cara rawatannya adalah berbeza.


BEZAKAN RESDUNG DAN SINUSITIS
————————————————————

Ramai masih keliru penggunaan terma resdung jadi saya akan jelaskan beza terma-terma yang doktor biasa guna ni.

RESDUNG ialah alahan dan keradangan mukosa hidung (selaput dalam hidung).

Iaitu “ALLERGIC RHINITIS”

MAKA RESDUNG = ALLERGIC RHINITIS
————————————————————–

Ia biasa dikaitkan dengan alahan keluarga iaitu atopi: Resdung, asthma, ekzema, alergi konjunktivitis (gatal-gatal mata)

Resdung atau alergi rhinitis ini juga bermusim. Mungkin menjadi lebih teruk pada musim bila debunga-debunga berterbangan. Jika di negara kita, ia sering juga berlaku apabila musim hujan namun pada pendapat saya ia biasanya berlaku apabila sekejap hujan dan sekejap panas yang menyebabkan hidung menjadi sensitif.

Hidung sensitif pada:
1) Habuk
2) Bau kuat
3) Minyak wangi sintetik (pthalates)
4) Bahan kimia iritasi (contoh bau kloroks, bau cat)
5) Panas sangat, sejuk sangat atau perubahan cuaca mendadak.
Contoh:
– Keluar dari pejabat berhawa dingin ke panas terik.
– Mandi air sejuk waktu pagi.
6) Stress dalaman meningkat dan rangsangan lain-lain deria.

Penyakit resdung ialah penyakit kronik. Maknanya berpanjangan boleh jadi bertahun-tahun. Kecenderungan genetik sesebuah keluarga meningkatkan risiko seseorang mendapat resdung.

Ia hanya menunggu masa tercetus saja dengan stress persekitaran dan dalaman.

Sedikit info di luar kotak : Resdung bukan sensitif hidung sahaja, malah saraf dan emosi, perut, dan lain-lain boleh menjadi sensitif juga. Ini berdasarkan pengalaman dan ada hujah saintifik di sebalik teori saya ini.


SINUSITIS
—————-

Ini ialah keradangan tisu RONGGA HIDUNG.
Kawasannya:

1) Dekat hidung (ethmoid, sphenoid)
2) Sebelah hidung (maxillary sinus)
3) Dahi sebelah tengah (frontal sinus)

Keradangan sinus ini:

– Biasanya berlaku pada pesakit resdung kronik.
– Alahan menyebabkan imuniti badan lemah
– Rongga sinus pesakit resdung ini mudah dijangkiti bakteria dan virus.
– Rongga menjadi gatal, dipenuhi kahak hijau/kuning, keradangan meningkat mengakibatkan demam.
– Kawasan rongga sinus seperti dahi, hidung dan pipi juga mungkin menjadi sakit kerana keradangan.

KESAN LAIN
– Demam.
– Nafas berbau.
– Hidung tersumbat.
– Sakit gigi/gusi
– Deria bau berkurang.

Nampak beza antara sinusitis dan rhinitis? Kedua-duanya biasa juga disebut bersama, rhinosinusitis kerana sinusitis ini biasa berlaku pada pesakit resdung.

Tetapi sinusitis ini sepatutnya tidak lama kerana ia merupakan biasanya disebabkan jangkitan kuman kerana imuniti lemah.

Jika puncanya bakteria, mungkin perlu ANTIBIOTIK.

Jika puncanya virus, antibiotik tidak akan berkesan. Hanya perlu sokong sahaja dengan antihistamin dan naikkan imuniti badan dengan pemakanan dan gaya hidup sihat. (Tidur berkualiti, rehat mencukupi serta kurangkan stress).

Cara ringkas saya ingat cara bezakan dua mudah sahaja:

– Resdung (Rhinitis) adalah alahan sensitif.
– Sinusitis adalah jangkitan.

Soalan:
Saya biasa mengalami kegatalan pada hidung selepas memakan makanan seperti budu, cencaluk atau ikan kering. Adakah ini tanda-tanda resdung?

Jawapan:
Ya, begitulah maksudnya.
Makanan tinggi histamin.
Makanan peram.
Makanan kering.
Makanan basi atau dipanaskan balik.
Buah-buahan tempatan terutamanya yang masak ranum.

Soalan:
Saya kurang jelas, kenapa dengan dengan buah-buahan tempatan?

Jawapan:
Ini kerana tinggi kandungan protein (amines) di dalamnya.

Buah-buahan seperti pisang, betik dan mangga, kalau masak ranum dan dibiarkan lama boleh mencetuskan resdung juga. Mungkin tidak bersin hari ini tetapi esok lusa.

Namun begitu bukanlah selama-lamanya tidak boleh makan makanan tersebut. Tunggu biar pulih dahulu. In shaa Allah selepas itu boleh makan balik.

 

Soalan:
Benarkah resdung boleh mengakibatkan hidung rosak teruk dan hilang? Benarkah ada dakwaan mengatakan terdapat cacing resdung di hidung?

Jawapan:
Setahu saya cacing resdung tidak wujud.

Soalan:
Adakah terdapat ubat untuk resdung? Bolehkah resdung menjadi kanser?

Jawapan:
Jika puan maksudkan rhinitis memang ada ubat sembur ke dalam hidung untuk mengelakkan selesema selalu. Rhinitis jika tidak dirawat boleh menyebabkan bengkak pada “turbinates” dalam hidung dan menyebabkan hidung tersumbat walaupun tiada selesema.


Soalan:
Hidung saya sudah berbulan-bulan deria bau kurang, sekarang saya langsung tidak dapat menghidu apa-apa bau. Bagaimanakah caranya untuk menghilangkan bengkak pada turbinates itu?

Jawapan:
Melalui pembedahan.


Soalan:
Apakah phantosmia? Apakah punca-punca dan simptom-simptomnya?

Jawapan:
Phantosmia ialah menghidu sesuatu yang tiada, contohnya bau wangi tetapi sebenarnya bauan itu tiada, hanya dia seorang sahaja yang menghidu. Ini merupakan halusinasi terhadap bau.


Soalan:
Jika ibu hamil mengalami resdung, adakah ia akan memberi kesan buruk kepada kandungannya? Apakah rawatan terbaik yang boleh diambil?

Jawapan:
Tidak, untuk ubat kenalah berbincang dengan doktor semasa pemeriksaan antenatal.


Soalan:
Benarkah bagi orang yang pernah mengalami asthma semasa kecil dia akan mudah terkena sakit kulit pula apabila dewasa atau tua?

Jawapan:
Benar. Asthma, resdung, ekzema dan beberapa jenis penyakit keturunan boleh dapat di kemudian hari. Penyakit atopi.

“Pathogenesis” (kaedah berlaku penyakit) bagi penyakit penyakit ini adalah sama hanya berlaku di organ yang berlainan.


Soalan:
Adakah psoriasis juga termasuk dalam kategori penyakit ini?

Jawapan:
Psoraisis tidak termasuk dalam kategori penyakit ini. Ia disebabkan oleh lapisan dermis terlalu cepat “proliferate” (berkembang biak) sehingga lapisan epidermis tidak sempat untuk matang.

Komen dan Soalan