Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-6 dan Ke-7

Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-6 dan Ke-7

448
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat Ke-6

Inilah Dakwa/Maksud Surah ini. ‘Dakwa Surah’ adalah hujah utama atau kunci utama dalam sesuatu surah. Bukan keseluruhan ayat ke 6 ini, tetapi dalam bahagian kedua ayat ini.

رَحمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ العَليمُ

(Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhan-Mu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hamba-Nya).

رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ

Rahmat dari Tuhan-mu;

Hanya rahmat Allah SWTlah yang menurunkan para rasul untuk menyampaikan peringatan dan amaran kepada manusia.

Kalau Allah SWT tidak berbuat begitu, tidak tahu apa akan terjadi kepada kita semua. Maka, Nabi Muhammad ﷺ itu adalah rahmat buat kita sebenarnya. Dengan rahmat-Nya itu, manusia dapat mengenal Allah SWT, mengetahui tentang agama dan dapat menjalankan perintah Allah SWT.

Bayangkan kalau Allah SWT tidak menurunkan para Rasul, bagaimana kita hendak kenal Allah SWT? Tentunya kita tidak akan dapat mengenal Allah SWT dengan usaha sendiri kerana akal kita tentu tidak mampu mencapai pengetahuan itu.

Oleh itu, ingatlah rahmat Allah SWT yang Maha Besar ini. Dia sayangkan makhluk-Nya, maka Dia telah memperkenalkan Diri-Nya dan agama Islam kepada manusia.

Keputusan Allah SWT tidak boleh diubah dan ini juga adalah rahmat Allah SWT. Bayangkan kalau ada yang boleh mengubah keputusan Allah SWT setelah ditetapkan oleh-Nya? Tentulah itu tidak adil.

إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui

Inilah potongan ayat yang menjadi ‘Dakwa’ surah ini. Ayat ini mengajar kita bahawa hanya Allah SWT sahaja yang tahu segala perkara dan apakah penyelesaian kepada masalah kita.

Hanya Allah SWT yang mendengar doa manusia kepada-Nya. Allah SWT memberitahu kepada kita di dalam ayat ini bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar.

Pendengaran manusia memang ada, tetapi terhad. Kalau orang yang kita hendak bercakap tiada di hadapan kita, maka dia tidak dapat mendengar. Jika bunyi terlalu bising dan orang yang bercakap itu pula berbisik perlahan, kita juga tidak dapat mendengar. Malah kalau dia sudah mati, dia tidak dapat mendengar lagi.

Jadi, ada banyak kekangan dalam pendengaran kita. Namun tidak dengan Allah SWT kerana Allah Maha Mendengar. Bukan sahaja Dia boleh mendengar tetapi boleh memenuhi permintaan hamba.

Kemungkinan ada yang berkata, kita sebagai manusia turut boleh mendengar juga, bukan? Kita perlu menyedari bahawa Allah SWT boleh mendengar cara biasa dan juga luar biasa.

Kalau salah faham tentang perkara ini, boleh menyebabkan syirik. Memang ramai dari kalangan orang kita yang melakukan syirik sebegini. Ia dinamakan Syirik fis sam’ie (syirik dalam hal mendengar). Ini kerana mereka tidak faham tauhid, telah pergi menyeru roh yang telah mati.

Keadaan sebegini memang banyak berlaku dalam masyarakat kita dan ia boleh berlaku kepada mereka yang tidak ada asas wahyu Allah SWT. Apabila ramai yang tidak mempelajari tafsir Al-Quran, maka syaitan yang mendapat untung sebab terlalu mudah sahaja hendak menipu orang yang jahil.

Ada pula yang berhujah, mungkin Allah SWT boleh memberi manusia-manusia (seperti Nabi dan wali) kebolehan mendengar dengan cara yang luar biasa.

Mereka kata Allah SWT boleh dan mampu sahaja untuk lakukan begitu kerana Dia Maha Berkuasa. Oleh itu, di dalam surah Al-Jasiyah, Allah SWT menekankan bahawa Allah SWT tidak memberi kelebihan mendengar luar biasa itu kepada manusia.

Masyarakat yang berdoa dan meminta pertolongan kepada roh-roh yang telah mati itu telah melakukan kesalahan syirik kepada Allah SWT.

Mereka beriktikad bahawa ada makhluk lain mempunyai sifat mendengar seperti Allah SWT. Apabila kita menyamakan mana-mana dari sifat Allah SWT kepada makhluk, itu juga merupakan satu kesyirikan.

Dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu kepada kita bahawa hanya Dia sahaja yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala keperluan kita.

Oleh itu kita sepatutnya hanya meminta kepada Allah SWT, tetapi ada juga yang minta kepada selain Allah SWT. Nabi dan wali itu sekarang hidup di alam yang lain dan mereka tidak boleh mendengar seruan dan permintaan manusia yang hidup di alam dunia.

Terdapat ramai orang yang salah faham hal ini. Apabila ditegur, mereka akan katakan bukan meminta kepada makhluk itu, tetapi minta kepada Allah SWT, cuma ‘melalui’ perantaraan makhluk sahaja.

Ini adalah ajaran yang salah, bertambah malang ia berleluasa dalam dunia sekarang, termasuklah masyarakat Islam kita. Itu dinamakan tawassul.

📍Tidak ada entiti lain yang dapat mendengar doa kita. Tidaklah Nabi Muhammad ﷺ itu dapat mendengar permintaan kita kerana baginda telah wafat. Malah tidak pernah Nabi ﷺ katakan baginda akan mendengar permintaan manusia selepas baginda wafat. Ada dalil di dalam Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa orang mati tidak dapat mendengar [ Fathir: 22 ].

Jadi kalau ada yang berkata orang yang mati seperti Nabi dan wali boleh mendengar, kena bawakan dalil yang qat’ie (menunjukkan sesuatu yang jelas). Tidak boleh dalil yang tidak qat’ie.

Begitu banyak dalil diberikan oleh manusia yang jahil wahyu sebagai dalil yang orang mati boleh mendengar (bunyi tapak kaki di kubur, Nabi bercakap dengan musyrikin Mekah yang mati di Perang Badar dan lain-lain), tetapi itu semua bukanlah dalil yang qat’ie.

Terdapat banyak kekeliruan dalam masyarakat tentang orang mati yang dikatakan boleh mendengar. Maka elok kiranya kita menyebut beberapa perkara mengenainya:

1. Memang terdapat perselisihan tentang permasalahan sama ada orang yang sudah mati boleh mendengar. Cuma ulama yang mengatakan orang mati boleh mendengar, hanya berpendapat boleh mendengar salam sahaja tanpa memberikan huraian.

Malah jauh sekali dari mengatakan yang orang yang mati itu boleh mendengar permintaan doa manusia. Itu adalah fahaman yang sesat. Namun begitu ada perselisihan pendapat mengatakan orang yang mati tidak boleh mendengar lebih rajih, kuat dalilnya, menetapi dan menyelamatkan akidah.

2. Saidatina Aisyah radiallahu ‘anha sendiri pernah mengatakan yang orang yang mati tidak boleh mendengar. Ini adalah pendapat yang Qat’ie dan lebih bertepatan dengan ayat-ayat Al-Quran.

3. Nabi Muhammad ﷺ memang pernah bercakap dengan Musyrikin Mekah yang mati dalam Perang Badar. Nabi ﷺ telah ditegur oleh Saidina Umar dan baginda menjawab bahawa mereka memang boleh mendengar.

Teguran Saidina Umar itu menunjukkan kepercayaan mereka bahawa orang mati memang tidak boleh mendengar dan sebab itulah Saidina Umar hairan kenapa Nabi ﷺ bercakap dengan musyrikin yang mati itu.

Qatadah mengatakan yang peristiwa ini adalah mukjizat Nabi ﷺ sahaja. Oleh kerana itulah baginda tidak melakukan di tempat-tempat yang lain kerana mukjizat berlaku sekali sahaja.

4.  Perkara akidah perlu berdasarkan Al-Quran, hadis sahih dan hadis hasan. Jikalau ada yang berlawanan dengan Al-Quran, hendaklah ditakwil supaya sesuai dengan Al-Quran.

Hadis tidak patut berlawanan dengan Al-Quran. Kalau Al-Quran memberitahu manusia di dalam kubur tidak boleh mendengar, maka tidak mungkin ada hadis yang menidakkannya pula?

5. Amalan di kubur Nabi ﷺ tidak boleh melebihi amalan para sahabat iaitu sekadar memberi salam. Nabi ﷺ tidak mendengar permintaan kita sekarang dan juga wali seperti Sheikh Abdul Qadir. Maka, mereka yang menyeru Nabi Muhammad ﷺ dan lain-lain, dengan pelbagai permintaan mereka, adalah salah sama sekali.

Termasuk juga dalam hal ini, Nabi ﷺ tidak dapat mendengar permintaan umat Islam yang meminta syafaat dari baginda. Nabi ﷺ tidak pernah menyuruh kita meminta syafaat darinya. Salah faham tentang syafaat ini telah banyak menyesatkan umat Islam sampaikan mereka melakukan perkara syirik.

Lalu bagaimana dengan acara ‘Maulid Perdana’ yang dilakukan oleh masyarakat kita yang jahil itu? Sampaikan beribu orang berkumpul di stadium, di padang besar dan sebagainya? Mereka menyeru-nyeru sambil memuji (dan memuja) baginda ﷺ dengan harapan dan iktikad yang Nabi ﷺ boleh mendengar permintaan mereka.

Antaranya mereka berkata ‘isyfa’lana‘ yang bermaksud ‘berilah syafaat kepada kami’. Adakah Nabi ﷺ boleh mendengar permintaan mereka itu? Kalau benar Nabi ﷺ boleh mendengar, mereka perlu keluarkan bukti. Jangan hanya bercakap atau agak-agak sahaja.

Jangan hanya kata ‘saya rasa’, ‘pendapat saya’, pendapat ulama itu dan ini dan berbagai lagi hujah batil yang diberikan oleh manusia. Segala perkara ghaib memerlukan bukti. Ini penting kerana manusia tidak tahu perkara ghaib. Perkara ghaib memerlukan nas naqli (nas dari Al-Quran dan Hadis) yang sahih.

Satu lagi, kalau meminta kepada selain Allah SWT, kenalah yang diminta itu juga ada kuasa untuk menolong, kalau tidak hanya buang masa sahaja minta kepada mereka.

Maka kena bawa juga dalil qat’ie yang kata mereka ada kuasa untuk menolong. Sudahlah kena bawa dalil qat’ie yang mengatakan mereka boleh mendengar, kena bawa juga dalil qat’ie yang mengatakan mereka boleh menolong.

📍Begitulah tentang perkara akidah, kena ada dalil yang kuat, kalau dalil setakat wahm atau zanni sahaja, tidak dipakai.

Tafsir Ayat Ke-7

Kenapa kita kena ikut perintah Allah SWT? Tentulah kerana Allah SWT adalah Tuhan kita. Allah SWT berikan dalil itu dalam ayat ini.

رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَينَهُما ۖ إِن كُنتُم مّوقِنينَ

Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan keadaan) langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; kalau betul kamu orang-orang yang yakin (akan hakikat itu, maka terimalah sahaja apa yang diutuskan kepada kamu).

رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi

Ilah yang ada sifat Maha Mendengar dan Maha Mengetahui itu hanyalah Tuhan kita iaitu Allah SWT yang mencipta, mentadbir dan memelihara alam ini. Kita kena puja dan sembah Allah SWT sahaja kerana Dia lah yang telah mencipta alam ini.

Bukan sahaja Dia telah mencipta, tetapi Dia juga turut mentadbir dan memelihara alam ini. Dalam setiap ketika, Allah SWT menguruskan kita dan Dia tidak pernah memberikan kuasa mengurus itu kepada selain dari-Nya.

Ini penting untuk kita ketahui kerana makna رَبِّ bukan hanya bermakna ‘Tuhan’ sahaja, tetapi ia bermaksud ‘yang mencipta, memelihara dan menjaga’. Bukan hanya mencipta sahaja alam ini dan kemudian dilepaskan begitu sahaja alam ini.

وَمَا بَيْنَهُمَا

serta segala yang ada di antara keduanya;

Bukan sahaja langit dan bumi, tetapi apa sahaja yang ada di antara keduanya. Kita tidak tahu apakah yang ada di antara langit dan bumi kerana akal kita yang terhad. Maksudnya, Allah SWT adalah Tuhan kepada segenap alam.

إِن كُنتُم مُّوقِنِينَ

Jika kamu orang-orang yang yakin

Jika kamu hendak mencari keyakinan. Keyakinan apakah yang hendak dicari?

Keyakinan bahawa mengesakan Allah SWT adalah tuntutan utama agama. Seterusnya yakin Allah SWT adalah Tuhan sekalian alam, yang menurunkan Al-Quran dan memberi hidayah.

📍Sekiranya kamu ingin meyakini apa yang diberitakan oleh Allah SWT, semua yang disampaikan ini ada di dalam Al-Quran dan sudah cukup sebagai dalil.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat Ke-6 dan Ke-7)

📍Adakah benar kalau kita ziarah kubur, maka ahli kubur itu tahu ahli keluarganya datang? Benarkah ahli kubur akan berasa sedih jika kita tidak melawat kuburnya tetapi hanya berdoa dari jauh?

🔵Ada pendapat yang kata ahli kubur tahu siapa yang lawat dia tetapi setakat itu sahaja lah. Jangan berlebihan. Perkara utama yang dia perlukan adalah doa.

📍Mengenai dalil tentang Nabi mendengar rintihan dari dalam kubur lalu Nabi meletakkan pelepah kurma untuk meringankan siksaan kubur, ini hanya untuk Nabi sahaja?

🔵Ya.

📍Adakah boleh kalau kita berdoa untuk dapatkan syafaat dari Nabi dan Al-Quran pada hari hitungan amal tetapi yang utama masih pertolongan dari Allah SWT?

🔵Boleh berdoa untuk syafaat tetapi minta kepada Allah SWT. Syafaat dari Allah SWT, bukan dari Nabi.

📍Maksudnya yang minta pada Allah SWT untuk dapatkan syafaat dari Nabi dan Al-Quran itu adalah salah sebab biasa dengar orang membaca doa begitu.

🔵Itu yang salah. Sebenarnya syafaat ini automatik sahaja. Kalau ada tauhid maka akan dapat syafaat kalau perlu. Bab syafaat ini panjang hendak dijelaskan. Ramai salah faham bab ini sebab itu ada yang minta dari Nabi Muhammad SAW.

📍Adakah benar kita boleh meminta dari Allah SWT supaya malaikat menolong kita dalam urusan di dunia?

🔵Tidak ada.

📍Bagaimana pula amalan berselawat untuk mendapat syafaat Nabi ?

🔵Selawat bukannya minta syafaat dari Nabi. Boleh banyakkan selawat.

 Allahu a’lam.

Komen dan Soalan