Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-118 hingga Ke-120

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-118 hingga Ke-120

43
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-118

Sekarang kita masuk ke dalam bahagian kedua surah al-An’am ini. Sebelum ini telah disebut tentang akidah-akidah syirik pegangan manusia. Bahagian kedua ini adalah contoh amalan-amalan syirik yang dibuat oleh manusia. Di antaranya adalah syirik tentang makanan, iaitu tentang ‘berpantang’ dalam hal makanan. Ia adalah amalan-amalan yang dianggap betul, tetapi sebenarnya salah. Ini kerana salah mengikut fatwa yang terpesong.

فَكُلُواْ مِمَّا ذُكِرَ ٱسمُ ٱللَّهِ عَلَيهِ إِن كُنتُم بِـَٔايَـٰتِهِۦ مُؤمِنِينَ

Maka makanlah daripada (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.

فَكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

Maka makanlah binatang-binatang (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya,

Walaupun ayat-ayat hukum banyak dikeluarkan dalam surah-surah Madaniah, tetapi telah ada pengharaman untuk memakan binatang yang disembelih dengan menyebut nama berhala-berhala. Orang-orang Musyrikin Mekah memang menyembelih binatang dan dikhususkan menyebut nama berhala mereka. Binatang sebegitu tidak boleh dimakan.

Sebelum pengharaman itu, orang-orang Islam dan orang-orang musyrikin tinggal serumah dan mereka makan makanan yang sama. Dan apabila telah diharamkan untuk memakan binatang yang disembelih atas nama berhala, mereka sudah tidak boleh berkongsi makanan dengan ahli keluarga mereka yang musyrik lagi.

Ini sebenarnya adalah satu hukum yang berat kepada orang-orang Islam pada waktu itu. Kita mungkin tidak terasa keberatan itu kerana kita hidup sekarang ini di dalam keadaan di mana tidak ada masalah untuk kita mencari makanan yang halal. Kita juga tinggal bersama dengan ahli keluarga kita yang semuanya beragama Islam. Tetapi bayangkan para sahabat yang pada waktu itu tidak ramai dan mereka masih tinggal bersama-sama dengan ahli keluarga mereka yang musyrik.

Dan ia juga tentulah satu amalan yang berat bagi umat Islam yang masuk Islam sedangkan keluarga mereka masih tidak masuk Islam. Atau, mereka yang duduk di negara yang majoriti non-Muslim.

Makanlah apa yang Allah ‎ﷻ telah halalkan untuk kita makan. Jangan dicari yang haram dimakan. Dan jangan haramkan makanan yang Allah ‎ﷻ telah halalkan untuk dimakan. Kalau kita haramkan makanan yang halal, itu bermaksud kita telah mengambil alih kerja Tuhan, dan ini adalah satu perkara syirik.

Ini kerana yang menghalalkan dan mengharamkan hanyalah hak Allah ‎ﷻ sahaja. Maka, kalau sembelihan itu disembelih dan disebut nama Allah ‎ﷻ semasa menyembelihnya, maka binatang sembelihan itu boleh dimakan.

Musyrikin Mekah apabila melihat orang Islam begitu, mereka ada satu hujah yang diberikan kepada orang Islam. Mereka kata kepada kaum Islam, “Kamu hanya makan binatang yang kamu bunuh, tapi kamu tak mahu makan makanan yang Allah matikan? Adakah kamu lebih baik daripada Allah?” Mereka merujuk kepada bangkai binatang yang telah mati. Mungkin mati di tengah jalan dan sebagainya.

Mereka kata binatang-binatang itu dimatikan oleh Allah ‎ﷻ. Kenapa pula tidak bolemh dimakan? Mereka mengejek kaum Muslim dengan berkata begitu. Mereka kata Muslim berlagak dengan Allah ‎ﷻ. Itu adalah buah fikiran mereka sahaja yang berasakan  mereka bijak pandai.

Sekali pandang, seolah-olah mereka ada hujah di situ. Akan tetapi, kita hendaklah membezakan di antara ‘izin’ daripada Allah ‎ﷻ dan syariat. Terdapat izin kawni, di mana Allah ‎ﷻ mengizinkan sesuatu perkara itu berlaku. Namun tidak semestinya Allah ‎ﷻ suka. Satu lagi, ialah izin syar’i, yang mana Allah ‎ﷻ sendiri yang mengarahkan kita berbuat sesuatu. Oleh sebab itu, apabila kita tidak memakan bangkai binatang kerana itu adalah larangan daripada Allah ‎ﷻ, maka itulah yang Allah ‎ﷻ mahu.

Yang berhak untuk menghalalkan dan mengharamkan adalah Allah ‎ﷻ sahaja. Ketika Nabi Adam عليه السلام tinggal di syurga, baginda boleh memakan apa sahaja makanan yang ada di syurga kecuali dengan satu syarat: tidak boleh hampiri dan makan daripada satu pokok. Begitulah Allah ‎ﷻ uji kita sebagai manusia. Apabila ada halal dimakan, Allah ‎ﷻ menjadikan yang haram sebagai ujian untuk kita kerana Allah ‎ﷻ mahu melihat sama ada kita tinggalkan apa yang Dia larang.

Namun begitu ada manusia yang mengharamkan sesuatu yang halal dimakan. Bilakah ia terjadi? Itulah yang terjadi selepas perempuan bersalin; itulah yang terjadi dalam ilmu persilatan; itulah yang terjadi dalam ajaran tarekat; itu juga terjadi dalam sesuatu puak – ada keturunan yang diajar oleh tok nenek mereka tidak boleh makan sekian-sekian ikan, kerana ada sumpahan dan sebagainya. Itu semua adalah syirik kerana mengambil kerja Allah ‎ﷻ mengharamkan makanan yang halal.

إِن كُنتُم بِـَٔايَـٰتِهِۦ مُؤمِنِينَ

jika kamu beriman kepada ayat-ayat-Nya.

Jika kamu betul-betul beriman, maka tunjukkan iman kamu dengan hanya memakan sembelihan yang disebut nama Allah ‎ﷻ. Ini adalah satu ujian. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang mengamalkan syirik pada zaman Nabi dahulu.

Pada waktu itu bilangan umat Islam adalah sedikit. Makanan pun tidak banyak. Namun sudah ada larangan sebegitu. Maka, makanan untuk mereka sudah berkurang dan amat menguji keimanan. Hanya mereka yang beriman sahaja yang boleh taat.

Pada zaman sekarang pun ada ujian juga. Makanan sekarang bermacam-macam jenis. Yang sedap-sedap terjual di merata tempat. Tetapi, sebelum makan, kita kena pastikan yang makanan itu adalah makanan yang halal. Maka, makanan kita sudah menjadi terhad sebenarnya kerana bukan semua makan di pasaran kita boleh makan. Ada makanan yang kita tahu sedap dan ramai orang makan, tetapi kerana iman, kita tahan diri kita daripada memakannya. Kita sanggup bersusah payah mencari makanan yang halal. Itulah tanda iman dalam hati.

Tafsir Ayat Ke-119

وَمَا لَكُم أَلَّا تَأڪُلُواْ مِمَّا ذُكِرَ ٱسمُ ٱللَّهِ عَلَيهِ وَقَد فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيكُم إِلَّا مَا ٱضطُرِرتُم إِلَيهِ‌ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا لَّيُضِلُّونَ بِأَهوٰٮِٕهِم بِغَيرِ عِلمٍ‌ۗ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ بِٱلمُعتَدِينَ

Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.

وَمَا لَكُمْ

Mengapa kamu

Ini adalah rungutan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ bagaikan berkata: “Kenapa dengan kamu ni?”

Apakah yang Allah ‎ﷻ rungutkan itu?

أَلَّا تَأْكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

tidak mahu memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya,

Allah ‎ﷻ marah kenapa manusia tidak mahu memakan makanan yang halal iaitu binatang ternak yang disembelih dengan disebut nama Allah ‎ﷻ padanya. Kenapa masih lagi mahu memakan makanan yang tidak disebutkan nama Allah ‎ﷻ ketika menyembelihnya?

Keduanya, Allah ‎ﷻ menegur kenapa mereka masih lagi mahu berpantang? Apakah alasan mereka untuk tidak mahu memakan makanan yang halal? Sekiranya Allah ‎ﷻ telah menghalalkan makanan, maka, kita kenalah makan. Makanlah sahaja makanan yang halal, cuma bila dimakan, janganlah diambil secara berlebih-lebihan sehingga mungkin boleh mendatangkan mudarat pula.

Pantang yang kita biasa dengar adalah pantang wanita selepas bersalin yang selalu diamalkan turun temurun dalam masyarakat kita. Namun begitu, sebenarnya orang lelaki tidak kurang juga yang ramai mengamalkan ‘pantang’. Itulah mereka yang mengamalkan ‘Wirid-wirid Keramat’. Wirid itu sendiri sudah sesat, kemudian bertambah sesat lagi dengan amalan berpantang makanan di mana mereka mesti mengikut larangan tok guru mereka ‘mengharamkan’ jenis-jenis binatang bernyawa (ataupun berdarah) sebagai syarat bagi membolehkan mereka mengamalkan amalan sesat tersebut.

Maka, dapat dilihat di sini yang mereka sebenarnya telah mengharamkan makanan ke atas diri mereka. Berbagai-bagai hujah diberikan kepada anak-anak murid mereka dan anak-anak murid mereka terima sahaja. Mereka hanya terima dan mengikut sahaja disebabkan oleh kejahilan serta jauh daripada ilmu wahyu. Pantang itu sebenarnya telah diajar dan dibisikkan oleh syaitan tetapi mereka tidak sedar.

Sebagai contohnya lagi, ada yang mengamalkan pertapaan dan semasa bertapa itu, mereka hanya dibenarkan memakan bertih sahaja. Ataupun mereka dilarang daripada memakan makanan binatang berdarah, seperti ayam dan sebagainya. Oleh itu, untuk mendapat ilmu yang mereka mahukan itu, mereka tanpa sedar telah sanggup menjadi kafir terlebih dahulu! Sudahlah amalan bertapa itu tidak ada dalam Islam, mereka tambah lagi dengan mengharamkan yang halal.

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم

padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu

Allah ‎ﷻ telah memperjelaskan kepada kita apakah yang tidak boleh dimakan. Surah Al-An’am ini adalah surah Makkiah. Bermaksud, tentu Allah ‎ﷻ sudah menjelaskan sebelum ini yang ada makanan yang diharamkan kepada orang Islam. Oleh itu, haruslah ada surah Makkiah juga yang memperkatakan tentang pengharaman makanan itu. Yang kita biasa dengar, pengharaman tentang makanan yang ada dalam surah Al-Maidah. Namun itu tiada kaitan dengan ayat ini, kerana sekiranya menggunakan dalil surah Al-Maidah, ia adalah surah Madaniah.

Sememangnya ada surah Makkiah yang menyebut tentang pengharaman makanan. Pengharaman tentang makanan telah disebut dalam [ Nahl:115 ] yang juga adalah ayat Makkiah.

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

apa yang diharamkan-Nya atasmu,

Makanan yang haram untuk dimakan oleh kita telah dijelaskan dalam ayat yang lain. Bukanlah banyak pun makanan yang tidak boleh dimakan. Ia telah disebut dengan jelas dalam Al-Qur’an. Selain daripada itu, semuanya boleh makan.

Namun begitu, ia bergantung juga dengan apa yang ulama’ fiqh telah sebutkan tentang apakah makanan yang haram dimakan. Kita tidak mahu memperpanjangkan tulisan berkenaan dengan perkara ini kerana ini adalah satu perbincangan yang amat panjang. Dalam mazhab yang empat pun, terdapat khilaf tentang hal makanan.

إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

kecuali apa yang terpaksa kamu memakannya.

Walaupun ada makanan-makanan yang tidak boleh dimakan, tetapi di dalam keadaan terdesak (darurat), kita masih boleh memakannya. Keadaan darurat yang dimaksudkan di sini adalah keadaan mendesak dan amat diperlukan. Ertinya, apabila seseorang tidak melakukan hal tersebut maka akan membahayakan keselamatan dan nyawanya. Contohnya, seseorang merasa sangat haus namun yang boleh diminum hanyalah khamr. Tujuan dia minum khamr adalah untuk menghilangkan rasa haus, maka hal ini diperbolehkan.

Para ulama’ juga memberikan contoh lain misalnya seorang Muslim diperbolehkan memakan bangkai atau daging babi jika tidak menemukan makanan lain sedangkan keadaannya sangat kelaparan, seperti di tengah peperangan atau di tengah hutan. Tentu sahaja ini diperbolehkan ketika sudah berusaha mencari makanan lain namun tidak ditemui.

Ataupun seorang pendaki yang terkandas di puncak gunung terpaksa memakan bangkai haiwan di mana sekiranya dia tidak memakannya boleh mengakibatkan nyawanya terancam. Bangkai yang haram ketika itu untuk dimakan telah bertukar menjadi ‘halal’ baginya. Malah, bukan halal lagi, tetapi telah menjadi ‘wajib’ untuknya dimakan.

Keadaan darurat ini juga bukanlah berlandaskan sangkaan belaka namun benar-benar terjadi. Makanan haram yang diambil ini juga harus secukupnya dan tidak melampaui batas.

وَإِنَّ كَثِيرًا لَّيُضِلُّونَ بِأَهْوٰئِهِم

Dan sesungguhnya kebanyakan (daripada manusia) benar-benar menyesatkan (orang lain) dengan hawa nafsu mereka

Mereka yang mengamalkan pantang itu adalah kerana mereka berkehendakkan sesuatu. Mereka mengamalkan wirid-wirid keramat itu adalah kerana mereka hendakkan ilmu dan kelebihan-kelebihan tertentu. Contohnya mereka hendakkan ilmu kebal.

Sekiranya mereka tidak sedar bahawa hawa nafsu yang mendorong mereka, maka mereka akan kalah. Mereka akan terima sahaja bahawa ada makanan yang ‘haram’ untuk mereka makan, padahal ia halal untuk dimakan di sisi Allah ‎ﷻ.

Atau, mereka makan juga makanan yang haram. Mereka akan berusaha mencari dalil bathil yang membolehkan mereka makan juga makanan yang haram itu. Sebagai contoh, mereka akan kata: “Qur’an haramkan makan daging babi sahaja, tetapi yang kita makan ini adalah sup tulang babi sahaja”. Ini kerana nafsu itu berkehendak macam-macam. Salah satunya adalah nafsu makan yang tidak terkawal.

Mereka yang mengamalkan cara pemakanan salah ini adalah kerana telah diajar oleh manusia juga. Yang mengajar itulah yang menyesatkan orang lain. Ini termasuk guru, bidan dan sesiapa sahaja yang memberikan ajaran yang salah. Oleh kerana ramainya golongan seperti ini, maka kita sebagai penganut agama Islam kenalah lebih berhati-hati.

بِغَيْرِ عِلْمٍ

tanpa pengetahuan.

Amalan pantang mereka itu bukan berdasarkan kepada dalil daripada Al-Qur’an atau Sunnah, tetapi daripada ajaran karut guru-guru mereka. Kebanyakan mereka membuat ajaran hanya berdasarkan andaian mereka sahaja tanpa menggunakan ilmu yang benar, tetapi daripada ajaran yang salah.

Namun, malang sekali ramai antara masyarakat kita yang tidak ada ilmu. Mereka mengagak-agak sahaja tentang hukum. Mereka ikut sahaja kata orang lain yang mereka hormati tanpa usul periksa.

Inilah bahayanya kalau ikut sahaja kata-kata dan pendapat orang lain. Kita biasa sahaja mendengar pendapat bagaimana seorang pemimpin jahil yang mengatakan bahawa tidak ada disebut hukum hudud dalam Islam. Senang-senang sahaja dia kata tidak ada disebut hukum hudud sedangkan telah disebut dengan terang dan jelas dalam Al-Qur’an.

Begitu juga ada orang yang dengan yakin berkata Al-Qur’an tidak pernah suruh kita menutup aurat. Yang lagi menghairan orang yang jahil begini yakin sangat dengan pendapat mereka. Ini kerana mereka sangka mereka pandai, mereka pemimpin tinggi, mereka terpelajar dalam hal dunia dan lain-lain lagi. Dan masyarakat yang jahil, terima sahaja kata-kata pemimpin mereka yang telah berkata dengan yakin! Memang bahaya kalau orang jahil yakin dengan diri sendiri.

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِالْمُعْتَدِينَ

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang melampaui batas.

Allah ‎ﷻ tahu siapakah yang melampau dalam hal agama mereka. Maknanya, Allah ﷻ beritahu yang Dia akan hukum mereka itu. Jangan mereka sangka yang mereka selamat. Allah ‎ﷻ tahu siapakah mereka dan Allah ‎ﷻ tidak akan melepaskan mereka begitu sahaja.

Maka kita kena belajar mana yang halal dan mana yang haram.

Tafsir Ayat Ke-120

وَذَرُواْ ظَـٰهِرَ ٱلإِثمِ وَبَاطِنَهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكسِبُونَ ٱلإِثمَ سَيُجزَونَ بِمَا كَانُواْ يَقتَرِفُونَ

Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.

وَذَرُوا ظٰهِرَ الْإِثْمِ

Dan tinggalkanlah dosa yang zahir

Kalimah الْإِثْمِ bermaksud ‘dosa’. Ia adalah sesuatu perbuatan yang salah yang dalam hati kita pun kita sudah tahu ia salah dan kita tidak mahu orang lain mengetahui tentangnya (sebab malu). Hati kita sendiri sudah tahu yang ia adalah satu perbuatan yang salah kerana ia telah ada dalam fitrah kita. Fitrah kita sendiri sudah tahu yang ia salah.

Allah ‎ﷻ suruh kita tinggalkan dosa yang jelas termasuk memakan sembelihan yang tidak disebut nama Allah ‎ﷻ dan disebut nama lain. Secara umumnya ini adalah jenis dosa yang dibuat terbuka di hadapan manusia tanpa ada rasa segan atau takut. Misalnya ada orang Melayu yang minum arak di khalayak ramai. Atau ada pasangan yang selamba tinggal serumah dengan bukan mahramnya. Atau tidak menutup aurat dan selamba sahaja keluar menayangkan auratnya di khalayak ramai.

Atau orang yang secara terang-terangan mengambil rasuah. Atau orang yang tidak salat dan buat tidak tahu sahaja. Atau orang yang mendengar muzik dan nyanyian secara terbuka. Mereka ini tidak kisah dengan apa pandangan orang. Allah ‎ﷻ melarang kita melakukan dosa-dosa itu di tempat terbuka.

Juga ia bermaksud ‘dosa yang jelas’ iaitu dosa-dosa yang dibuat dengan fizikal kita. Dengan tangan, dengan kaki dan sebagainya. Ia berbeza dengan dosa yang dibuat dengan hati. Dosa dalam hati seperti akidah yang salah, benci kepada orang lain, iaitu dosa yang kita tidak nampak.

Juga maksud ‘dosa yang jelas’ dikatakan bermaksud dosa yang orang tidak kisah pun kalau kita buat. Mereka yang melihatnya seperti tidak ada apa-apa kalau kita buat. Ini adalah kerana ia sudah biasa sangat dalam masyarakat sampaikan orang sudah lali. Sebagai contoh, kalau ada yang dengar muzik, kita buat tidak kisah sahaja, padahal muzik itu haram. Ataupun orang tidak memakai tudung di hadapan kita, kita tidak kisah pun, sebab sudah biasa sangat dan ramai sangat yang buat.

Ayat-ayat yang kita sedang baca ini adalah tentang pemakanan. Maka, elok sekiranya kita juruskan kepada hal makanan juga. Contoh dosa yang zahir tentang makanan adalah apabila seseorang itu memantangkan diri daripada memakan makanan yang halal. Atau yang lebih berat lagi jika mengharamkan yang sudah halal. Atau, memakan makanan yang disebut nama selain Allah ‎ﷻ semasa menyembelihnya.

Ini adalah dosa yang zahir kerana kita nampak bagaimana mereka tidak makan makanan yang sepatutnya boleh dimakan. Bila kita tanya kenapa dia tidak memakan aya contohnya, dia jawab: “Aku tak boleh makan, sebab guru aku suruh pantang makan ayam.”

Maka, untuk meninggalkan dosa yang zahir ini, mestilah mempelajari apa yang dimaksudkan dengan dosa-dosa itu. Oleh sebab itu, kenalah tahu hukum halal dan haram. Kenalah berusaha untuk mencari dan memahami ilmu yang benar.

وَبَاطِنَهُ

dan yang tersembunyi.

Yang dilarang kita melakukan bukan dosa yang jelas sahaja tetapi termasuk juga dosa yang tidak nampak, iaitu dosa-dosa batin.

Dosa batin adalah dosa yang dilakukan secara tersembunyi. Ia dilakukan juga tetapi bukan di hadapan orang. Sebagai contoh, ramai yang melihat filem lucah dalam rumah mereka secara senyap-senyap dan bersembunyi. Atau mengamalkan riba dan rasuah secara rahsia.

Atau ia bermaksud dosa-dosa hati seperti riak, munafik, cemburu dan sebagainya.

Bagaimana pula tentang makanan? Contoh dosa batin dalam makanan adalah kepercayaan dalam diri mereka bahawa dengan mengamalkan pantang itu, mereka akan mendapat sesuatu. Itu adalah kepercayaan dalam diri mereka yang kita pun tidak tahu secara zahir. Sebagai contoh, perempuan bersalin yang berpantang itu percaya bahawa dengan berpantang, mereka akan jadi ‘dara’ balik.

Atau ada golongan tarekat dan pengamal ilmu sesat seperti persilatan yang mengamalkan wirid keramat dan mereka percaya yang dengan berpantang itu, badan mereka akan menjadi ringan dan ilmu yang mereka hendak itu akan cepat masuk.

Dosa-dosa batin ini juga adalah kepercayaan-kepercayaan syirik yang ada di dalam hati mereka.

Disebut tentang dosa batin ini kerana terdapat segolongan mereka yang tidaklah mengamalkan amalan berpantang untuk tujuan hawa nafsu, tetapi sebaliknya mereka mempunyai kepercayaan khurafat yang menebal dalam diri mereka. Misalnya ada golongan Nik dan Wan dari Kelantan yang melarang keturunan mereka daripada memakan ikan kekacang dan rebung buluh betung kerana percaya jika melanggar pantang tersebut akan memudaratkan kesihatan mereka. Itu pun tidak boleh juga. Mereka mestilah menghentikan perbuatan tersebut dan hendaklah dibuang akidah sedemikian daripada diri mereka.

إِنَّ الَّذِينَ يَكْسِبُونَ الْإِثْمَ

Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa,

Ini kalau masih berdegil. Kalaulah ada yang masih lagi melakukan dosa berpantang dan dosa-dosa yang lain, sama ada zahir atau pun batin. Ini termasuk mereka yang sengaja memakan benda yang haram. Kalau tidak sengaja, tidak berdosa.

سَيُجْزَوْنَ بِمَا كَانُوا يَقْتَرِفُونَ

kelak akan diberi pembalasan (pada hari kiamat), disebabkan apa yang mereka telah kerjakan.

Inilah ancaman Allah ‎ﷻ kepada mereka yang melakukan dosa sama ada yang zahir ataupun yang batin. Allah ‎ﷻ mencatit apa sahaja dosa yang kita buat dan ia akan dibalas di akhirat nanti. Mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Seperti kita selalu sebut, surah ini adalah Surah Makkiah. Pada waktu itu tidak banyak lagi suruhan dan larangan berbentuk hukum. Yang banyak disentuh ketika itu adalah kesalahan-kesalahan akhlak.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan