Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-114 hingga Ke-117

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-114 hingga Ke-117

104
0
Iklan

Tafsir Surat Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-113

Siapakah yang akan terpengaruh dengan bisikan jahat itu?

وَلِتَصغَىٰٓ إِلَيهِ أَفـِٔدَةُ ٱلَّذِينَ لَا يُؤمِنُونَ بِٱلأَخِرَةِ وَلِيَرضَوهُ وَلِيَقتَرِفُواْ مَا هُم مُّقتَرِفُونَ

Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu.

وَلِتَصْغَىٰ إِلَيْهِ أَفْئِدَةُ

Dan (juga) agar hati kecil cenderung kepada bisikan itu,

Kalimah تَصْغَىٰ bermaksud mereka mendengar dengan tekun. Ini bermaksud mereka cenderung kepada fahaman salah itu. Ramai sahaja yang terikut-ikut dengan fahaman yang salah dan sesat. Seperti zaman sekarang, mereka akan tulis dalam blog mereka, mereka post dalam Facebook, dalam whatsapp dan sebagainya.
Siapa yang akan terkesan dengan fahaman salah itu?

الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ

orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat

Bukan semua orang akan terpedaya dengan penipuan-penipuan syaitan dalam kalangan jin dan manusia itu. Hanya mereka yang tidak percaya kepada kehidupan akhirat sahaja yang akan percaya.

Apakah maksud ‘tidak percaya’ itu? Tidak mungkin pula orang yang mengaku Islam tidak percaya kepada hari Akhirat? Maksud tidak percaya itu adalah mereka tidak kisah tentang apa yang akan terjadi di hari akhirat nanti. Mereka tidak takut dengan balasan Allah ‎ﷻ kepada mereka. Mereka tidak tahu bahawa di akhirat nanti mereka kena jawab tentang kata-kata mereka dan amalan-amalan mereka semasa di dunia dulu. Mereka tidak terfikir bahawa nanti mereka tidak akan ada hujah untuk membenarkan amalan-amalan mereka lakukan itu.

Mereka lupa bahawa amalan mereka itu tidak ada dalil daripada Al-Qur’an dan juga daripada hadith Nabi ﷺ. Semasa di dunia, mereka boleh berhujah dengan hujah-hujah akal dan hujah-hujah yang bathil, tetapi bagaimana mungkin mereka akan berhujah begitu di hadapan Allah ‎ﷻ nanti?

Dalam dunia ini akan sentiasa ada sahaja mereka yang akan mengajar ajaran-ajaran yang salah dan sesat. Oleh itu kita kenalah pandai untuk menapis manakah ajaran yang benar dan manakah ajaran yang salah. Orang-orang yang memikirkan tentang nasib mereka di akhirat nanti akan sentiasa berhati-hati dengan amalan yang mereka lakukan.

Mereka tidak berani untuk melakukan amalan yang tidak ada dalil yang sah kerana mereka tahu bahawa mereka akan ditanya tentang amalan-amalan itu nanti di hari akhirat. Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang beriman dengan hari akhirat.

Begitu juga, ada banyak hujah-hujah yang diberikan dalam media sekarang. Ada yang menyokong dan ada yang menentang dakwah Sunnah ini. Maka hendaklah kita pandai membezakan manakah yang benar dan tidak. Bagi mereka yang berkata itu tanpa diberikan dalil sah, maka kita pun tahu bahawa mereka itu adalah musuh agama kerana mereka jauh daripada wahyu.

Maka, untuk selamat daripada kesesatan adalah dengan yakin kepada akhirat. Bagaimanakah caranya? Tidak lain dan tidak bukan adalah dengan merapatkan diri dengan wahyu kerana ia banyak disebut dalam wahyu Ilahi. Ini kerana hal akhirat tidak dapat dicapai oleh akal melainkan apa sahaja maklumat kita dapat daripada wahyu.

وَلِيَرْضَوْهُ

dan supaya mereka merasa senang kepadanya

Mula-mula, mereka akan cenderung sahaja. Dalam hati mereka berkata: “Macam elok sahaja amalan ini”. Kemudian, mereka naik kepada peringkat atas lagi di mana mereka akan suka pula kepada ajaran dan amalan salah itu. Mereka itu suka dengan amalan-amalan salah itu kerana hati mereka memang cenderung kepada kesesatan. Dan mereka tidak dapat tolak fahaman dan ajaran sesat itu kerana mereka tidak ada petunjuk wahyu sebagai penapis bagi ajaran salah itu.

Oleh sebab itu, sekiranya ada orang yang membisikkan amalan-amalan salah, maka mereka akan cenderung dan kemudian mereka suka dengan amalan-amalan itu. Mereka pun menerima dan puas hati dengan bisikan-bisikan itu.

وَلِيَقْتَرِفُوا مَا هُم مُّقْتَرِفُونَ

dan supaya mereka mengerjakan apa yang mereka (syaitan) kerjakan.

Pada peringkat seterusnya, mereka akan mengamalkan amalan yang salah itu. إقترف asalnya bermaksud melakukan sesuatu yang salah untuk mendapatkan wang. Bermaksud mereka melakukan sesuatu yang tidak elok. Sebagai contoh, mencuri, menipu, skim cepat kaya dan sebagainya.

Ayat ini bermaksud mereka melakukan sesuatu yang jahat dan buruk. Mula-mula mereka cenderung – kemudian mereka menjadi suka pula – kemudian barulah mereka akan mengamalkan. Begitulah dengan amalan salah. Ramai yang mula cenderung, kemudian suka dan kemudian mereka akan amalkan.

Tafsir Ayat Ke-114

Apabila sudah ada wahyu tetapi cari benda lain lagi, maka ini adalah kesalahan yang nyata.

أَفَغَيرَ ٱللَّهِ أَبتَغِى حَكَمًا وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنزَلَ إِلَيڪُمُ ٱلكِتَـٰبَ مُفَصَّلاً وَٱلَّذِينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَعلَمُونَ أَنَّهُ ۥ مُنَزَّلٌ مِّن رَّبِّكَ بِٱلحَقِّ‌ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلمُمتَرِينَ

(Katakanlah wahai Muhammad): “Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain daripada Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Qur’an yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?” Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Qur’an itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) daripada golongan yang ragu-ragu.

أَفَغَيْرَ اللَّهِ أَبْتَغِي حَكَمًا

Maka patutkah aku mencari hakim selain daripada Allah,

Adakah patut kita mencari hukum selain Al-Qur’an yang Allah ‎ﷻ telah turunkan? Tentulah tidak sama sekali. Oleh itu, tidaklah patut kita mengambil hukum selain yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Tidaklah boleh kita tanya pendapat guru, ustaz atau sesiapa sahaja yang bertentangan dengan Al-Qur’an dan sunnah. Hukum hendaklah didapati daripada Allah ‎ﷻ kerana agama ini adalah agama-Nya.

Adakah kita hendak mencari lagi hakim lain selain Allah ‎ﷻ yang Maha Bijaksana? Ia diturunkan dalam kitab Al-Qur’an yang lengkap 30 juzuk.

Malangnya, ada yang rasa kitab-kitab karangan manusia itu sudah cukup dan lebih penting daripada Al-Qur’an dan hadith. Mereka merasakan tidak penting belajar Al-Qur’an dan hadith. Ada juga yang dengan selamba memberikan pendapat mereka dalam agama, tanpa merujuk kepada dalil yang sahih. Dengan orang-orang sebegini pun kita tidak boleh dapatkan hukum agama daripada mereka.

وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ إِلَيْكُمُ الْكِتٰبَ مُفَصَّلًا

padahal Dialah yang telah menurunkan kitab (Al Qur’an) kepadamu yang menjelaskan dengan terperinci?

Allah ‎ﷻ telah memberikan kepada kita Al-Qur’an yang telah menjelaskan semua perkara tentang agama. Oleh itu, kenapa lagi kita masih mahu dapatkan keputusan agama selain daripadanya?

Sedangkan Al-Qur’an itu sudah jelas bagi kita. Al-Qur’an itu akan lebih jelas dan tepat kalau kita belajar sahaja tafsirnya. Malangnya ramai yang baca Al-Qur’an, tapi kalau baca sendiri tak akan dapat nak faham maksud sepenuhnya dan mungkin keliru jadinya.

Ini mengajar kita, dalam perbezaan pendapat dalam agama, maka hendaklah kita merujuk kepada apa yang Al-Qur’an kata. Janganlah kita menjadi orang yang melihat kepada individu-individu yang mereka sanjung dalam membuat keputusan. Orang yang mereka sanjung itu mungkin terkenal, mungkin ramai pengikut. Menjadi terkenal dan mempunyai ramai pengikut itu tidaklah semestinya bermaksud yang semua apa yang dia cakap itu benar belaka. Kita perlulah memeriksa sama ada apa yang dia cakap itu bertepatan dengan Al-Qur’an atau tidak. Kita sudah ada tempat rujukan, maka rujuklah di tempat yang benar.

وَالَّذِينَ ءآتَيْنٰهُمُ الْكِتٰبَ

Dan orang-orang yang telah Kami datangkan kitab kepada mereka,

Ini merujuk kepada ahli Kitab yang jujur (seperti Ibnu Salam seorang bekas pendita Yahudi). Surah ini diturunkan di Mekah, namun penglibatan ahli Kitab sudah nampak walaupun Nabi ﷺ belum berhijrah ke Madinah. Ini adalah kerana Quraish Mekah sudah pergi ke Madinah (waktu itu bernama Yathrib) untuk mendapatkan hujah-hujah baru daripada Yahudi di sana.

Bangsa Quraish sudah tidak tahu bagaimana lagi hendak berhujah dengan Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka bertanyakan kepada Yahudi yang mempunyai kedudukan tinggi di Madinah kerana mereka ada kitab.

يَعْلَمُونَ أَنَّهُ مُنَزَّلٌ مِّن رَّبِّكَ بِالْحَقِّ

mereka mengetahui bahawa Al Qur’an itu diturunkan daripada Tuhanmu dengan sebenarnya.

Mereka yang memberi maklumat kepada Musyrikin Mekah sendiri tahu bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ adalah benar. Allah ‎ﷻ buka apa yang ada dalam hati mereka dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ beritahu kita yang walaupun mereka itu menentang Nabi ﷺ, namun sebenarnya dalam hati mereka tahu kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an itu.

Al-Qur’an itu diturunkan untuk menzahirkan ‘kebenaran’, tetapi apakah sebenarnya kebenaran yang dimaksudkan itu? Ia bermaksud kebenaran bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan sekalian alam dan Allah ‎ﷻlah yang menjadikan alam ini. Oleh sebab itu kepada Allah ‎ﷻlah sahaja yang kita sembah, kepada Allah ‎ﷻlah sahaja kita lakukan ibadat dan kepada Allah ‎ﷻ sahaja yang kita berdoa.

فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

Maka janganlah kamu sekali-kali termasuk orang yang ragu-ragu.

Jangan kita ragu-ragu dengan kitab Al-Qur’an yang Allah ‎ﷻ telah turunkan sebagai rujukan untuk kita ini. Ini kita semua sudah tahu, tetapi adakah orang kita ragu-ragu dengan Al-Qur’an?

Ayat ini bunyinya seolah-olah ditujukan kepada Nabi Muhammad ‎ﷺ sahaja, namun tentunya baginda tidak meragui ayat-ayat Al-Qur’an. Maka ia sebenarnya menjadi pengajaran bagi umat Islam. Ia disampaikan kepada kita sebenarnya. Ia ditujukan kepada baginda untuk menguatkan lagi hujah ini: [Kalau Nabi ‎ﷺ pun tidak boleh ragu, apatah lagi umatnya?]

Malangnya ramai yang ragu-ragu. Salah satu yang manusia ada keraguan adalah tentang akidah orang kafir. Bila kita tidak faham bagaimanakah akidah mereka, maka kita tidak tahu bahawa ramai antara kita yang mempunyai akidah yang sama sahaja dengan orang-orang kafir. Orang kafir menjadi kafir kerana mereka menggunakan Tawassul (perantaraan) untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Bukankah orang-orang Islam kita juga ramai yang berpegangan bahawa kita memerlukan Tawassul untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ? Itulah persamaan antara orang kita dan orang-orang kafir iaitu mereka bertawasul dengan Nabi (yang sudah wafat), wali, malaikat dan jin.

Sebagai contoh, pernahkah anda bertanya kepada penganut Hindu sama ada berhala yang mereka sembah itu adalah Tuhan atau tidak? Kalau anda tanya mereka, maka anda akan dapati bahawa patung berhala yang mereka sembah itu bukanlah tuhan mereka, tetapi adalah jelmaan dewa dewi mereka. Mereka menggunakan dewa dan dewi itu untuk membodek tuhan bagi pihak mereka.

Itulah tawasul. Dan siapakah tuhan mereka? Sekiranya ditanya siapakah tuhan mereka, mereka akan memberitahu bahawa ia adalah tuhan yang satu yang jika kita tanya lagi sifatnya, tuhan itu mempunyai sifat yang sama sahaja dengan Allah ‎ﷻ. Maknanya, mereka pun menerima akidah bahawa ada satu tuhan yang menjadikan alam ini.

Dan mengapakah mereka menggunakan sami mereka itu untuk menyampaikan doa kepada dewa, dan kemudian dewa itu akan menyampaikan permintaan mereka kepada tuhan yang satu? Mereka akan kata bahawa doa mereka sendiri tidak didengari tuhan kerana mereka banyak dosa dan tidak pandai dalam agama. Namun sami itu tahu agama semenjak kecil, tidak membuat dosa, pandai membaca kitab, dan sebagainya.

Itu adalah ‘buruk sangka’ mereka dengan Tuhan. Bukankah sama sahaja fahaman mereka dengan fahaman kebanyakan daripada orang Islam yang tidak tahu akidah yang benar? Jika ditanya kenapa mereka meminta ustaz doakan untuk mereka, mereka akan kata: sebab mereka rasa Allah ‎ﷻ tidak mendengar doa mereka kerana mereka banyak dosa, tidak pandai agama dan tidak pandai bahasa Arab untuk berdoa. Kita pun rupanya ada buruk sangka dengan Allah ‎ﷻ. Kita kata Allah ‎ﷻ tidak mahu mendengar doa kita, padahal Allah ‎ﷻ tidak pernah kata begitu.

Maka, permulaan mereka kufur adalah kerana ‘buruk sangka’ dengan Tuhan iaitu mereka sangka yang Tuhan tidak akan mendengar doa mereka jikalau mereka doa sendiri. Mereka malu hendak doa sendiri. Mereka ragu-ragu untuk berdoa sendiri dengan Tuhan.

Oleh itu, mereka akan melakukan tindakan seterusnya, iaitu menggunakan tawasul di dalam doa mereka. Lama kelamaan, mereka akan beribadah terus kepada ‘perantara’ mereka itu. Sebagai contoh, asalnya, Buddha bukanlah tuhan, tetapi perantara dengan tuhan, namun lama kelamaan mereka menyembah terus Buddha itu. Sebagaimana ini telah terjadi di dalam agama lain, ia juga sudah terjadi dalam agama Islam. Sampaikan ada yang terus berdoa kepada Nabi Muhammad ﷺ, malah sehinggakan ada yang keterlaluan mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itulah Allah ‎ﷻ!

Tafsir Ayat Ke-115

Adakah kamu takut ada perubahan dalam wahyu?

وَتَمَّت كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدقًا وَعَدلاً لَّا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِهِۦ‌ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلعَلِيمُ

Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Qur’an, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatu pun dari kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.

وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ

Dan telah sempurnalah kalimat Tuhanmu

Perkataan تَمَّتْ berasal daripada katadasar ت م م yang bermaksud ‘sesuatu yang telah lengkap dan tidak memerlukan apa-apa lagi’. Kalimah daripada Allah ‎ﷻ telah sempurna dan lengkap. Kalimat كلمت ربك merujuk kepada Al-Qur’an ini. Tidak ada keraguan padanya dan betapa jujur dan adilnya wahyu Allah ‎ﷻ itu.

Agama ini telah sempurna dan sepatutnya dijadikan sebagai ikutan kita. Kenapa kita mahu mencari selain daripada yang telah lengkap ini? Kenapa perlu ditambah amalan agama ini dengan amalan-amalan bid’ah yang belum tentu benarnya itu?

صِدْقًا وَعَدْلًا

sebagai kalimat yang benar dan adil.

Kandungan Al-Qur’an boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

1. Kisah-kisah yang menjadi peringatan kepada pembacanya
2. Hukum-hukum daripada Allah ‎ﷻ.

Apabila dikatakan صدقا (benar), ia merujuk kepada kisah-kisah yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. Kisah-kisah itu semuanya benar belaka dan tidak ada kesilapan dalam penyampaiannya.

Dan apabila dikatakan عدلا (adil), ia merujuk kepada hukum-hukum Allah .‎ﷻ Ia berdasarkan keadilan. Keadilan itu pula bermaksud ia tidak memudaratkan sesiapa dan ia mampu diamalkan oleh setiap manusia untuk setiap zaman.

Surah al-An’am ini diturunkan di Mekah. Ketika itu, hukum-hukum dan undang-undang belum lagi lengkap. Sebagai contoh, hukum tutup aurat hanya turun di Madinah. Begitu juga dengan hukum zakat dan puasa dan lain-lain lagi. Walaupun begitu, konsep kebenaran dan keadilan telah lengkap seperti yang disebut dalam potongan ayat ini.

Setiap kalimah daripada Allah ‎ﷻ adalah benar. Antaranya, ia membenarkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam sejarah. Ia juga membenarkan akidah yang haq serta membenarkan amalan-amalan yang betul.

Kalimah-kalimah daripada Allah ‎ﷻ itu adalah berdasarkan kepada konsep keadilan di mana ia adalah adil kepada diri, kepada masyarakat dan kepada seluruh dunia. Sekiranya hukum dalam wahyu ini ditegakkan, maka ia dikira sebagai sesuatu yang benar dan adil.

لَّا مُبَدِّلَ لِكَلِمٰتِهِ

Tidak ada yang dapat merubah kalimat-kalimat-Nya

Tidak akan ada yang berupaya untuk mengubah kalimat-kalimat Allah ‎ﷻ. Semenjak dahulu lagi telah ada usaha-usaha untuk mengubah ayat-ayat Allah ‎ﷻ, tetapi ia tidak akan berlaku. Allah ‎ﷻ telah sebut tentang penjagaan Al-Qur’an di dalam Al-Hijr:9

إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحافِظونَ

Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Allah ‎ﷻ juga tidak akan mengubah kandungan dan hukum-hukum yang ada dalam Al-Qur’an. Ramai manusia yang menggunakan kata-kata yang salah untuk merosakkan agama. Namun begitu apa sahaja yang mereka lakukan, mereka tidak akan dapat merubah kalimah-kalimah Allah ‎ﷻ.

Hukum Allah ‎ﷻ telah tetap. Ia tidak sama dengan hukum rekaan manusia yang setelah sekian lama akan berubah. Hukum itu berubah-ubah kerana ia bukan perkara yang adil. Manusia yang kemudian akan ubah kerana mereka nampak ia tidak adil untuk zaman mereka. Sedangkan hukum yang Allah ‎ﷻ buat adalah adil sepanjang masa dan zaman.

Oleh itu, kalau ada perkara agama yang kita tidak suka, kita tidak boleh menukar agama ikut kehendak kita. Sebaliknya kita yang kena ubah diri kita mengikut ketetapan agama ini. Jangan dipusing-pusing ajaran agama ini ikut kehendak nafsu kita sampai agama pula yang kena ikut kehendak kita. Bukan agama yang kena ikut kita, tetapi kita yang kena ikut kehendak agama.

وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ Maha Mendengar isi hati kita. Allah ‎ﷻ tahu sama ada ibadat dan doa kita ikhlas atau tidak. Allah ‎ﷻ juga Maha Mendengar isi hati manusia sama ada mereka terima atau tidak akidah tauhid ini ataupun mereka menentang dalam hati mereka.

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui bagaimana hendak balas permintaan kita. Allah ‎ﷻ juga Maha mengetahui bagaimana untuk mentadbir seluruh makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui keperluan hidup kita. Maka, kepada Allah ‎ﷻ sahajalah sepatutnya kita berdoa dan bertawakal.

Tafsir Ayat Ke-116

Ini adalah ayat ancaman (zajrun). Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang kebenaran itu sudah ada di dalam wahyu, bukannya dengan melihat kepada bilangan mereka yang mengamalkannya. Kadangkala terdapat sesetengah Nabi yang tidak mempunyai pengikut langsung, ataupun mempunyai hanya sekadar seorang dua sahaja. Ini kerana bilangan pengikut bukanlah ukuran kebenaran, tetapi wahyu. Malangnya ada orang yang jahil hanya melihat kepada ramainya bilangan pengikut. Tidakkah mereka tahu ayat ini?

وَإِن تُطِع أَڪثَرَ مَن فِى ٱلأَرضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِن هُم إِلَّا يَخرُصُونَ

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.

وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الْأَرْضِ

Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang yang di muka bumi ini,

Ramai orang kita yang apabila melihat ramai orang buat sesuatu amalan, mereka akan yakin bahawa tentulah amalan itu benar. Mereka kata: “Ramai yang buat, takkan salah?” Namun hakikatnya, yang majoriti dalam dunia ini adalah orang-orang kafir, bilangan orang Islam hanya sedikit sahaja.

Malah dalam golongan orang Islam sendiri, mereka yang menerima ajaran tauhid adalah minoriti sahaja. Dan daripada golongan minoriti itu, yang mahu belajar tafsir Al-Qur’an adalah sedikit saja. Yang selain daripada golongan yang sedikit ini, berbagai-bagai akidah mereka. Oleh kerana tidak ramai yang berada dalam kebenaran, tidak mungkin kita mahu mengikut golongan yang salah hanya kerana mereka ramai?

Allah ‎ﷻ memerintahkan kita agar mengikuti Al-Qur’an dan sunnah dan bukanlah mengikut ramainya orang. Janganlah kita terpedaya dengan pendapat yang ramai kerana agama ini bukanlah agama demokrasi di mana pihak yang ramai yang akan menang. Agama Islam ini bukan begitu. Yang benar tetap benar walaupun sedikit yang menerimanya. Begitu juga, yang salah tetap salah walau seluruh dunia melakukannya.

يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ

nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah.

Sekiranya kita ikut-ikut sahaja orang lain tanpa diperiksa dengan Al-Qur’an dan Sunnah, maka kita pasti akan sesat. Bukanlah kita kata jangan berguru pula. Memang kita belajar dengan ustaz atau guru kita. Tetapi bila kita sampaikan kepada orang lain, maka jangan kita kata “Ini guru aku yang cakap”.

Sebaliknya, kita hendaklah terus menyebut apakah ayat Al-Qur’an dan hadith yang dijadikan sebagai dalil. Ini kerana ustaz kita tidak semestinya benar, tetapi Al-Qur’an dan hadith yang sahih tetap benar. Janganlah pula taksub kepada guru sehingga keluar kata-kata sesat: “Kalau Nabi ikut kanan, guru ikut kiri, kami tetap akan ikut kiri juga”.

Ingatlah yang kebanyakan manusia akan masuk neraka. Berdasarkan kepada sebuah hadith Qudsi di mana Allah ‎ﷻ berkata kepada Nabi Adam عليه السلام untuk memasukkan satu sahaja daripada 1,000 anak cucunya ke dalam syurga. Maknanya, hanya 0.1% sahaja daripada penduduk dunia yang masuk syurga. Maka, adakah kita mahu mengikut yang masuk neraka atau kita mahu mengikut yang masuk syurga?

Namun malangnya, ramai daripada kita yang bila berhujah akan mengatakan: “Tok guru aku kata begini dan guru aku kata begitu. Ramai anak murid dia tu weh…”. Akibatnya nanti, mereka tidak akan percaya kepada guru-guru dan pendapat-pendapat yang lain. Mereka akan hanya bergantung kepada guru mereka sahaja dan mereka tidak percaya dengan kata-kata orang lain.

Ini juga adalah syirik, iaitu ‘syirik tok guru’. Kita memang sayang dengan guru dan ustaz kita yang mengajar, tetapi jikalau mereka ada yang membuat salah dan silap di mana-mana, kita tidak boleh terima dan kita hendaklah menegur mereka. Ini kerana sudah tentunya mereka itu bukan Nabi yang maksum. Maka, janganlah kita taqdis (membersihkan) guru dan ustaz kita pula.

Jangan kita menjadi seperti orang-orang yang lain yang dalam apa-apa hal agama, keputusan hanya dibuat oleh guru mereka sahaja. Sebagai contoh, anak-anak murid Pondok akan hanya mendengar keputusan daripada guru Pondok mereka sahaja. Kita sebenarnya harus mengikut apa yang benar sahaja daripada guru kita. Yang tidak benar, kita tidak boleh ikut. Kita tidak anti kepada institusi Pondok, tetapi kita lebih taksub kepada kebenaran. Sekiranya Pondok mengajar ajaran salah, kita tetap akan kata ia tidak benar.

Ini kerana kita semuanya manusia sudah tentunya ada salah dan silap di dalam pendapat kita. Yang benar hanyalah Al-Qur’an dan Sunnah. Setiap pendapat guru kita boleh dirujuk dengan Al-Qur’an dan Hadith yang sahih. Kadang-kadang apa yang mereka katakan itu hanyalah pendapat mereka sahaja. Jika sekadar pendapat sahaja, maka kita boleh mengikutnya dan boleh sahaja tidak dikuti. Tidak semestinya kesemua pendapat itu kita kena ikut.

Tidak ada sesiapa yang 100% kita boleh ikut dalam dunia ini lagi kerana Rasulullah ﷺ sudah tiada. Tidak ada sesiapa pun yang boleh jamin yang Syeikh Abdul Qadir Jailani atau Imam Syafi’iy sekalipun boleh masuk syurga, malah sesiapa sahaja. Sebaliknya hanyalah Nabi Muhammad ﷺ dan sebahagian para sahabat رضي الله عنهم yang telah diberi jaminan yang mereka akan memasuki syurga. Oleh itu, seeloknya kita mengikut mereka yang telah mendapat jaminan sahaja. Selain daripada mereka, kita gunakan sebagai panduan sahaja namun bukanlah sebagai kata putus dan wajib diikut. Pendapat mereka tetap hendaklah dinilai kembali sama ada selari dengan wahyu ataupun tidak.

Malangnya orang kita ramai yang menjadikan manusia-manusia lain sebagai idola mereka tetapi mereka tidak pula mengenali para sahabat رضي الله عنهم yang telah berjuang bersama dengan Nabi ﷺ. Namun, sekiranya kisah wali itu dan wali ini, mereka tahu sangat pula, tetapi kisah sahabat رضي الله عنهم mereka tidak ambil peduli pun. Padahal kisah-kisah itu tidak boleh dipertanggungjawabkan. Terlalu banyak kisah mengarut tentang wali itu malah ada kisah yang sampai ke tahap yang boleh memalukan agama sahaja.

Kita bukanlah tidak percaya adanya wali dalam dunia ini. Akan tetapi kita kena sedar yang lantikan wali itu adalah daripada Allah ‎ﷻ, bukannya daripada manusia. Siapa kita yang hendak kata orang itu dan orang ini adalah wali? Ada majlis perlantikankah yang dibuat tetapi kita tidak tahu? Untuk golongan tarekat, mereka menggunakan hujah mimpi sahaja untuk mengatakan wali ini dan itu. Tetapi mimpi tidak boleh dijadikan sebagai pegangan langsung. Semua orang boleh bermimpi namun apakah yang boleh membuktikan bahawa mimpi itu benar?

إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ

Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka,

Mungkin timbul persoalan: “Dalam ramai-ramai yang amalkan sesuatu amalan itu, tidak adakah yang benar? Kalau ia salah, sesat, takkan ramai-ramai orang ikut?” Jangan tertipu dengan hujah ini. Banyak amalan-amalan bida’h itu direka daripada sangkaan sahaja.

Sebagai contoh, yang kata pahala boleh dihadiahkan kepada si mati itu hanya agak-agak sahaja. Mereka tidak dapat memastikan sama ada pahala itu sampai ataupun tidak. Mengikut dalil yang terdapat dalam Al-Qur’an, pahala itu tidak sampai.

Ataupun mereka agak-agak sahaja yang orang dalam mati dalam kubur itu akan mendengar bacaan talqin. Mengikut dalil dalam Al-Qur’an, jelas mengatakan yang orang yang mati tidak dapat mendengar. Mereka agak-agak sahaja: Mereka kata: “Takkan orang mati tak boleh dengar?” Atau mereka kata: “Kalau Allah nak bagi dengar, tentu mereka dengar”. Itu semua adalah sangkaan-sangkaan sahaja tanpa berdasarkan dalil yang sah. Padahal itu semua adalah perkara-perkara yang ghaib, yang memerlukan dalil daripada Allah ‎ﷻ dan Nabi. Kalaulah boleh main agak-agak dan menggunakan hujah ia ‘tidak mustahil’, maka rosaklah agama ini kerana sesiapa sahaja boleh berkata apa-apa sahaja.

وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

dan mereka tidak lain hanyalah agak-agak sahaja (terhadap Allah).

Perkataan يَخْرُصُونَ berasal daripada kata dasar خ ر ص yang bermaksud ‘agak-agak’. Asalnya, ia bermakna perbuatan menganggar bilangan buah di pokok. Ini kerana kebiasaan dahulu, apabila orang Arab hendak menjual buahan, mereka akan anggar berapa banyak buah pokok itu akan keluarkan. Maka, ada pakar yang akan buat خرص untuk menganggar berapa banyak buah yang akan dikeluarkan oleh kebun itu. Namun begitu ia tetap merupakan andaian sahaja.

Oleh sebab itu, walaupun dia pakar, tentulah dia tidak boleh menganggar secara tepat sebab dia bukannya membuat perkiraan satu persatu bilangan buah itu. Ini merupakan hal dunia, maka boleh sahaja untuk membuat anggaran. Akan tetapi di dalam hal agama dan hal ghaib tidak dibenarkan untuk menganggar dan mengagak-agak. Mesti memerlukan dalil yang menjadi dasar. Namun malangnya itulah yang kebanyakan yang terjadi sekarang ini. Kebanyakan manusia mengagak-agak sahaja dalam hal agama tanpa merujuk kepada dalil. Apabila anggar-anggar sahaja dan mengataka bahawa ia adalah tepat, maka itu sudah menjadi satu pendustaan.

Tafsir Ayat Ke-117

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعلَمُ مَن يَضِلُّ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۖ وَهُوَ أَعلَمُ بِٱلمُهتَدِينَ

Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya, dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.

إِنَّ رَبَّكَ

Sesungguhnya Tuhanmu,

Kita hendaklah mengenali Allah ‎ﷻ daripada ayat-ayat-Nya. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu lagi maklumat tentang Diri-Nya.

هُوَ أَعْلَمُ مَن يَضِلُّ عَن سَبِيلِهِ

Dialah yang lebih mengetahui tentang orang yang tersesat dari jalan-Nya

Jangan kita kata sesiapa yang sesat atau dapat hidayah kerana Allah ‎ﷻ lebih mengetahui daripada kita. Perkara dalam hati kita tidak tahu. Maka kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

dan Dia lebih mengetahui tentang orang orang yang mendapat petunjuk.

Kadang-kadang kita kata: “Orang itu nampak macam warak dan beriman”. Ini belum tentu lagi sebab anggapan sebeginilah yang membuatkan orang kita boleh tersesat kerana mereka hanya melihat luaran sahaja. Kita sangka mereka yang memakai serban dan kuat berzikir itu sudah wali, padahal belum tentu lagi. Tidaklah kita tahu akidah mereka. Tidaklah kita tahu apa yang mereka buat apabila mereka bersendirian.

Maka, tidak perlu kita hendak menghitung dan banci sesiapa yang beriman ataupun tidak. Itu semua kita tidak akan tahu, ia hanya maklumat di tangan Allah ‎ﷻ sahaja. Yang penting kita hendaklah menilai diri kita sahaja.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan