Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah An’am: Tafsir Ayat Ke-95 hingga Ke-98

Tafsir Surah An’am: Tafsir Ayat Ke-95 hingga Ke-98

195
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-95

Dalam ayat ini dan seterusnya untuk beberapa ayat, Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kita. Allah ‎ﷻ menceritakan tentang kekuasaan-Nya.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana manusia ada yang tidak menghargai Allah ‎ﷻ sebagaimana Allah ‎ﷻ sepatutnya dihargai. Manusia tidak menghargai Allah ‎ﷻ itu kerana mereka tidak mengenal Allah ‎ﷻ dan sifat-sifat-Nya. Maka, di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu apakah perbuatan-Nya supaya manusia lebih mengenali Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ menceritakan apakah yang dilakukan-Nya.

إِنَّ اللَّهَ فالِقُ الحَبِّ وَالنَّوىٰ ۖ يُخرِجُ الحَيَّ مِنَ المَيِّتِ وَمُخرِجُ المَيِّتِ مِنَ الحَيِّ ۚ ذٰلِكُمُ اللَّهُ ۖ فَأَنّىٰ تُؤفَكونَ

Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembah-Nya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutu-Nya)?

إِنَّ اللَّهَ فَالِقُ الْحَبِّ

Sesungguhnya Allah menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan

Kalimah فَالِقُ berasal daripada katadasar ف ل ك yang bermaksud ‘membelah’. Ia digunakan untuk menerangkan perbuatan ‘membelah sesuatu yang tidak bernyawa’ sebagai contohnya batu. Perkataan itu bermaksud membelah dan memisahkan menjadi dua bahagian dan bukanlah bermaksud ‘memecahkan’. Surah al-Falaq itu, dinamakan begitu kerana Allah ‎ﷻ ‘membelah’ kegelapan malam, bukannya memecahkan malam.

Kalimah الْحَبِّ pula bermaksud biji-bijian yang boleh dimakan. Ini adalah jenis tumbuhan yang berbentuk bijian. Seperti contohnya, makanan kita iaitu gandum dan beras. Allah ‎ﷻlah yang membelah bijian itu dalam tanah dan menumbuhkannya. Tidak ada yang selain Allah ‎ﷻ yang melakukannya. Kita sebagai manusia hanya mampu menanamnya sahaja.

Allah ‎ﷻ jugalah yang mengajar manusia bagaimana menanam dan memasaknya di mana ilmu ini telah diajarkan kepada Nabi Adam عليه السلام semasa baginda di syurga lagi. Ilmu ini tidak dapat kita tahu kalau kita belajar sendiri. Maknanya, semua ilmu sebenarnya daripada Allah ‎ﷻ.

وَالنَّوَىٰ

dan biji buah-buahan

Ini pula adalah jenis bijian yang tidak dimakan. Seperti biji pada limau, biji pada epal dan sebagainya. Ia sejenis biji juga, tetapi kita tidak makan bijinya. Kita hanya makan isi luar yang menyaluti biji itu, sebagai contoh buah durian dan buah rambutan.

Allah ‎ﷻ menceritakan bagaimana Allah ‎ﷻ membelah biji-biji itu yang daripadanya menjadi benih dan bertambah anak pokok yang tumbuh. Maka kita tidak makan biji itu, tetapi ia boleh menumbuhkan buah yang lain. Kejadian ini semua menceritakan nikmat-nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ

Dia mengeluarkan yang hidup daripada yang mati

Sebagai contoh, daripada biji yang nampak mati itu, boleh mengeluarkan buah-buahan dan biji-bijian yang hidup di mana biji-bijian itu menjadi benih kepada tumbuhan yang baru.

Atau bermaksud benda yang mati adalah telur. Yang keluar dan hidup daripada telur itu adalah ayam, burung, ular, biawak dan sebagainya.

وَمُخْرِجُ الْمَيِّتِ مِنَ الْحَيِّ

dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup.

Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ mengeluarkan benih yang mati daripada pokok yang hidup. Sebagai contoh lagi, daripada ayam yang hidup, keluarlah telur.

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ

(Yang memiliki sifat-sifat) demikian ialah Allah,

Allah ‎ﷻ yang buat semua itu. Tidak ada sesiapa yang boleh buat seperti apa yang Allah ‎ﷻ lakukan itu. Kalau kita buat sendiri, tidak akan tumbuh pokok itu.

فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

maka mengapa kamu masih berpaling?

Perkataan تُؤْفَكُونَ berasal daripada perkataan ء ف ك yang bermaksud ‘menipu’. Atau juga bermaksud ‘mengubah arah dari arah yang sepatutnya’ – melencong. Kalau Allah ‎ﷻ yang buat semua sekali, bagaimana kamu boleh terpesong dan tertipu dengan sembah dan doa kepada selain Allah ‎ﷻ?

Lihatlah bagaimana agama lain sembah selain Allah ‎ﷻ. Untuk penganut Hindu, mereka sembah dewa mereka seperti Siva, Ganesh, Murugan dan macam-macam lagi dewa sembahan mereka. Untuk penganut Kristian pula, mereka sembah Nabi Isa عليه السلام.

Walau bagaimanapun, yang asalnya mereka sembah berhala dan sembah Nabi Isa عليه السلام itu sebagai ‘perantaraan’, bukanlah sebagai ‘tuhan’. Maka, tidak betul kalau kita katakan yang agama Hindu menganggap Murugan itu tuhan, atau Kristian menganggap yang Nabi Isa itu sebagai tuhan. Tidak sama sekali. Asalnya tidak begitu. Kalau tidak percaya, cubalah tanya penganut agama Hindu dan Kristian itu sendiri (yang ada ilmu tinggi sedikit, bukan penganut biasa). Mereka akan kata bahawa yang mereka sembah itu adalah ‘perantaraan kepada tuhan’.

Mereka tidaklah menerima berhala dan Nabi Isa عليه السلام itu sebagai tuhan. Tetapi apabila mereka telah menyembah perantaraan-perantaraan itu, mereka tidak lagi menyembah Tuhan. Mereka rasa sudah cukup dengan mereka menyembah perantara (wasilah) sahaja untuk menyampaikan doa kepada Tuhan. Maka dari sini, kita dapat faham bahawa orang kafir itu menjadi kafir kerana mereka menyembah perantara atau wasilah.

Bagaimana pula dengan kita? Ramai dalam masyarakat Islam kita sangka dengan tidak sembah berhala maka kita tidak melakukan perkara syirik. Padahal mereka tidak sedar bahawa mereka ada juga melakukan ibadat kepada perantara iaitu yang dinamakan tawasul kerana masalah tawasul inilah yang menjadikan orang kafir itu kafir.

Oleh sebab itu, jika perbuatan yang sama kita lakukan, maka, tidak banyak bezanya antara kita dengan orang-orang kafir itu. Mereka beribadat kepada tawasul dan orang kita juga ramai yang beribadat kepada tawasul kita pula. Ini tidak sepatutnya berlaku. Sepatutnya kita hanya sembah Allah ‎ﷻ sahaja tetapi malangnya ramai antara kita juga ada sembah kepada perantara. Perantara yang masyarakat Islam kita gunakan adalah Nabi, malaikat dan wali. Banyak contoh-contoh yang kita telah berikan dalam penulisan kita ini.

Alangkah sedihnya apabila kita lihat masyarakat kita tidak jauh sahaja bezanya daripada agama lain, kerana kejahilan dengan wahyu al-Qur’an. Mari kita bandingkan masyarakat kita dengan agama lain. Sebagai contoh, apabila orang Hindu hendak berdoa, mereka akan meminta sami mereka yang doakan untuk mereka. Kemudian, mereka akan beri upah kepada sami mereka.

Bagaimana pula dengan kita? Kita pula apabila hendak berdoa, ada yang akan minta ustaz-ustaz kita untuk doa bagi pihak kita. Selepas itu, kita akan beri upah kepada ustaz itu tadi. Maka, sama sahaja kita dengan penganut Hindu tadi. Maknanya akidah mereka yang mengamalkan tawasul itu sama sahaja dengan akidah orang Hindu. Ini semua terjadi kerana salah faham dengan Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-96

Dalam ayat sebelum, ini Allah ‎ﷻ menceritakan dalil kenapa Dia sahaja yang perlu disembah. Allah ‎ﷻ memberikan dalil-dalil daripada penumbuhan tanam-tanaman. Sekarang Allah ‎ﷻ hendak memberikan dalil penukaran siang dan malam pula iaitu Allah ‎ﷻ suruh kita lihat alam ini.

فالِقُ الإِصباحِ وَجَعَلَ اللَّيلَ سَكَنًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ حُسبانًا ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

فَالِقُ الْإِصْبَاحِ

Dia menyingsingkan pagi

Allah ‎ﷻlah yang mengeluarkan siang dengan membelah malam. Allah ‎ﷻ membelah malam dan kemudian mengeluarkan siang. Ketika masuk waktu pagi dan kita lihat ke arah ufuk timur, kita akan nampak belahan itu. Jika Allah ‎ﷻ tidak mentakdirkan siang itu terjadi, maka siang tidak akan terjadi.

Oleh itu, bersyukurlah apabila siang datang lagi, memberi peluang kepada kita untuk bertaubat, untuk menambah amal di dunia ini lagi. Ia juga memberi cahaya untuk kita mudah melakukan pekerjaan kita di siang hari.

وَجَعَلَ اللَّيْلَ سَكَنًا

dan dia telah menjadikan malam untuk beristirehat,

Allah ‎ﷻ menjadikan malam itu untuk istirehat kepada diri kita, tetapi dalam masa yang sama, untuk beribadat juga kepada Allah ‎ﷻ. Kalimah سكن bermaksud ‘berhenti’ yang bermaksud kita berhenti kerja (kalau dalam tajwid kita belajar tanda sukun). Ia juga bermaksud ketenangan (sakinah). Malam adalah salah satu elemen untuk mendapatkan sakinah. Kita akan berasa sakinah ketika waktu malam dan berada di rumah bersama dengan keluarga kita.

Banyak juga nikmat malam ini bagi kita. Bayangkan kalau matahari bersinar sepanjang siang dan malam, tentu susah manusia untuk berehat dan tidur. Maka lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ menggelapkan malam untuk memudahkan kita berehat di malam hari.

Oleh itu apabila Allah ‎ﷻ telah menjadikan malam sebagai masa untuk berehat, maka hendaklah kita berehat di malam hari. Kalau kita lawan ketetapan itu dengan tidak tidur, buat kerja, main game dan sebagainya, akan ada masalah dengan kesihatan kita nanti. Jangan lawan apa yang telah Allah ‎ﷻ tetapkan untuk diri kita.

Nasihat kesihatan: badan kita dan otak kita memerlukan kualiti tidur yang baik. Maka, kena jaga waktu tidur kita supaya kita dapat berfungsi dengan baik. Gunakan malam dengan sebaiknya. Antaranya adalah dengan tidur dalam gelap, jangan dipasangkan lampu kerana tujuan Allah ‎ﷻ menjadikan kegelapan supaya kita dapat tidur.

وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ حُسْبَانًا

dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan.

Perkataan حُسْبَانًا berasal daripada ح س ب yang bermaksud ‘kira’. Dalam bahasa kita dulu pun matematik dipanggil ‘Ilmu Hisab’ bukan?

Allah ‎ﷻ menjadikan matahari dan bulan itu untuk memudahkan kita mengira waktu. Untuk kira bila masuknya waktu salat dan juga untuk mengira bilakah bermulanya bulan baru dan bilakah berakhirnya bulan itu.

Allah ‎ﷻ sebut ‘bulan dan matahari’. Bulan dijadikan sebagai tanda untuk mengira waktu dalam ibadah dalam Islam. Sebagai contoh, kita memerhatikan anak bulan untuk memastikan bilakah bermulanya bulan Ramadhan dan Syawal. Bulan jenis ini dinamakan kalendar Qamariah.

Selain itu, Allah ‎ﷻ juga sebut matahari digunakan untuk pengiraan. Ini adalah bulan Syamsiah atau “Lunar Calendar”. Selalunya, orang Melayu akan panggil bulan Qamariah sebagai ‘Bulan Islam’, seolah-olah hendak mengatakan yang Bulan Syamsiah bukan Islam pula. Tetapi lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ mengatakan bahawa kedua-dua bulan dan matahari itu dijadikan oleh Allah ‎ﷻ sebagai pengira waktu. Maknanya, dua-dua adalah ‘Bulan Islam’.

Maknanya kedua-duanya boleh digunakan, tidak ada masalah. Kerajaan Islam telah menggunakan kalendar Qamariah sebagai kalendar rasmi. Tetapi kalau sekarang kita menggunakan kalendar Syamsiah pun tidak mengapa kerana majoriti dunia sekarang pun menggunapakai kalendar itu. Cuma kenalah tahu kalendar Qamariah juga kerana ibadah utama kita terkait dengannya seperti Ramadhan dan Zulhijjah.

Tidakkah kita lihat bagaimana kita memerlukan matahari juga untuk menentukan waktu salat? Keluar matahari, masuk waktu subuh; matahari tergelincir dari tegak menandakan masuk waktu zuhur dan sebagainya. Memang zaman sekarang kita banyak bergantung dengan jam untuk menentukan waktu salat. Tetapi bagaimana kalau tidak ada jam?

Oleh sebab itu, bulan dan matahari ada gunanya kepada kita dalam ibadah kita. Ia menurut perintah Allah ‎ﷻ dan adalah makhluk Allah ‎ﷻ yang taat dalam menjalankan tugasnya. Bukanlah bulan dan matahari itu Allah ‎ﷻ jadikan untuk dipuja oleh mereka yang melakukan syirik. Itu dilakukan oleh agama sesat yang menyembah bintang, matahari dan sebagainya. Tetapi ada juga masyarakat kita yang bersumpah dengan ‘matahari yang tengah naik’. Itu adalah perbuatan yang salah.

Perkataan حسب juga bermaksud ‘berenang’. Maka, dalam konteks matahari dan bulan, ia bermaksud kedua-duanya mempunyai orbit yang telah ditetapkan untuk bergerak (seolah-olah berenang dalam orbitnya). Allah ‎ﷻ yang telah menetapkan pergerakan bulan dan matahari. Matahari dan bulan bergerak mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan tidak pernah tidak mengikut arahan. Jika bulan dan matahari yang besar itu pun mengikut perintah Allah ‎ﷻ, kenapa tidak kita?

Jika kita dapat lihat hebatnya matahari dan bulan itu, tentu Allah ‎ﷻ lagi hebat! Bayangkan perjalanan matahari dan bulan itu teratur dan tidak perlu dibaiki lagi. Ia sentiasa ikut aturannya seperti disebut dalam  [ Yaasin: 40 ] bagaimana matahari tidak mendahulu bulan dan bulan tidak akan mendahului matahari.

ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

Itulah ketentuan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

Kalimah ذَٰلِكَ merujuk kepada semua perkara di atas tadi. Allah ‎ﷻ mengatakan yang Dialah yang menentukan semua pergerakan alam yang hebat itu. Bukannya matahari dan bulan bergerak sendiri dan terjadi sendiri.

Oleh itu, jangan kita merungut tentang siang dan malam kerana Allah ‎ﷻ sudah tetapkan ia terjadi pada waktunya. Sebagai contoh, mungkin kita selalu kata, “kenapalah siang ni cepat sangat, tak habis nak siapkan kerja lagi.” Kita lupa bahawa Allah ‎ﷻ yang menetapkan bila siang dan malam terjadi.

Kalimah تَقْدِيرُ berasal daripada katadasar ق د ر yang bermaksud ‘ketetapan’. Tetapi ia juga bermaksud ‘penilaian’, pengiraan nilai di mana Allah ‎ﷻ memberikan cara pengiraan kepada kita. Dengannya kita dapat menentukan masa seperti bulan dan tahun. Jika kita manusia menggantung kalendar di dinding rumah, Allah ‎ﷻ menggantungnya di langit!

Tafsir Ayat Ke-97

Ini adalah dalil ketiga yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita untuk menunjukkan bahawa hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh disembah.

وَهُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ النُّجومَ لِتَهتَدوا بِها في ظُلُمٰتِ البَرِّ وَالبَحرِ ۗ قَد فَصَّلنَا الآيٰتِ لِقَومٍ يَعلَمونَ

Dan Dia lah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ النُّجُومَ

Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu,

Lihatlah bagaimana malam yang gelap itu dicantumkan dengan keindahan bintang-bintang bergemerlapan. Apabila ada bintang, nampaklah sedikit keindahan langit itu. Kalau tidak, malam itu akan menjadi gelap-gelita sahaja.

Lihatlah bagaimana perkataan لَكُمُ digunakan. Ia bermaksud Allah ‎ﷻ menjadikan bintang itu untuk kegunaan kita. Tetapi bagaimanakah untuk kita menggunakannya? Berbeza dengan contoh pokok di mana mudah saja untuk kita nampak kebaikannya.

لِتَهْتَدُوا بِهَا

agar kamu menjadikannya sebagai petunjuk

Iaitu manusia menggunakan bintang di langit itu sebagai petunjuk dalam perjalanan. Bilakah kita gunakan bintang sebagai penunjuk?

فِي ظُلُمٰتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

dalam kegelapan di darat dan di laut.

Jangan kita katakan yang bintang itu dijadikan ‘petunjuk’ seperti Pak Nujum sekarang selalu buat. Ataupun seperti orang yang buat tilikan dengan menggunakan bintang kelahiran kita sebagaimana ada dalam kalangan mereka yang gemar menggunakan zodiac mereka melihat apa akan jadi esok, dan sebagainya. Bukan petunjuk itu yang dimaksudkan.

Lihatlah Allah ‎ﷻ menambah dengan mengatakan petunjuk yang dimaksudkan adalah ‘di dalam kegelapan darat dan lautan’ – iaitu sebagai penunjuk arah dalam perjalanan. Bintang-bintang itu Allah ‎ﷻ jadikan kepada manusia untuk mereka jadikan sebagai panduan arah semasa mengembara di malam hari. Tidak kira sama ada mereka berada di daratan atau pun di lautan.

Sebagai contoh, manusia menggunakan Bintang Utara (North Star) sebagai pedoman mereka kerana Bintang Utara itu tetap di langit tidak bergerak. Apabila ia tetap duduk di tempatnya, maka ia boleh dijadikan sebagai tanda arah pada bila-bila masa.

Mungkin ada yang kata zaman sekarang tidak menggunakan bintang lagi kerana sudah ada kompas, sudah ada GPS, peta dan sebagainya. Tetapi ingatlah yang semua benda itu boleh hilang atau rosak. Dan adakalanya ia tidak boleh digunakan kerana tidak tepat. Waktu itu hendak bergantung dengan apa pula? Yang takkan hilang adalah bintang di langit itu. Malah, orang Melayu dikatakan pengembara laut yang hebat di zaman dahulu kerana mereka pandai membaca bintang sebagai penunjuk arah.

Allah ‎ﷻ memberi isyarat kepada Al-Qur’an dalam ayat ini. Sebagaimana bintang boleh memberi pedoman kepada manusia dalam kegelapan malam, begitu juga Al-Qur’an memberi pedoman kepada manusia untuk keluar daripada kegelapan syirik.

Daripada ayat ini, jelaslah bagaimana penunjuk yang dimaksudkan adalah bentuk pedoman dalam perjalanan. Maka, bukanlah bintang itu digunakan sebagai penunjuk tentang sifat seseorang, tentang apa akan berlaku tahun ini, esok hari, sama ada tahun ini beruntung atau tidak. Itu adalah faham yang khurafat. Malangnya, berapa banyak anak-anak kita yang masih percaya lagi?

Mereka letakkan bintang kelahiran mereka dengan bangganya. Dan kadang-kadang mereka akan post ramalan bintang mereka dalam Facebook. Ramalan bintang itu pula masih banyak lagi dalam suratkhabar dan majalah-majalah bacaan mereka ini. Amat malang apabila ibubapa tidak dapat menceritakan bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah dalam Islam.

Menggunakan bintang sebagai penentu nasib kita adalah haram dan ini tidak boleh sama sekali dilakukan. Maka, kalau ada yang menganjurkannya, maka dia sudah sesat sangat. Ini adalah perkara yang asas di dalam Islam dan menghairankan sekali kalau ada orang Islam tidak tahu. Apatah lagi kalau orang itu ustaz yang mengajar masyarakat pula!

قَدْ فَصَّلْنَا الْآيٰتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mahu mengetahui.

Perkataan فَصَّلْنَا berasal daripada katadasar ف ص ل yang bermaksud ‘memisahkan’. Bermaksud Al-Qur’an itu memisahkan satu topik daripada topik yang lain supaya boleh diperjelaskan satu persatu supaya kita senang faham. Seperti kita belajar di sekolah dan universiti dulu, kita akan belajar mengikut topik supaya kita senang faham.

Seperti dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberikan contoh satu persatu bagaimana Dia telah melakukan perkara-perkara itu. Apabila digunakan perkataan يَعْلَمُونَ, ia membawa maksud ‘mahu mengetahui’ kerana ia dalam present tense. Bukanlah ia bermaksud ‘sudah mengetahui’. Ini kerana kalau ia bermaksud sudah mengetahui, perkataan علمين yang digunakan.

Tanda-tanda kebesaran Allah ‎ﷻ ini diberikan kepada semua makhluk, tetapi yang dapat mengambil pengajaran daripadanya hanyalah mereka yang ‘mahu mengetahui’ sahaja. iaitu mereka yang mahu mengetahui kebenaran.

Apakah kebenaran yang perlu diketahui itu? Iaitu mengetahui bahawa makhluk hanya boleh puja dan sembah kepada Allah ‎ﷻ sahaja; tidak boleh dipuja, disembah dan diibadati kepada entiti yang lain. Juga bermaksud mereka yang mengetahui bahawa itulah tuntutan tauhid yang perlu dipenuhi oleh semua makhluk.

Juga yang dimaksudkan dengan mengetahui itu adalah ‘mengetahui tentang Al-Qur’an’. Maknanya, untuk tahu ilmu tauhid, kena belajar tafsir Al-Qur’an. Malangnya, masyarakat Islam kita hanya suka belajar kitab itu dan kitab ini, iaitu kitab-kitab karangan manusia. Seeloknya, sebelum belajar kitab lain, sepatutnya kenalah belajar tafsir Al-Qur’an dulu. Memang boleh belajar kitab lain, tetapi bila pula hendak belajar tafsir Al-Qur’an?

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa semua benda yang Allah ‎ﷻ jadikan ada gunanya. Tidaklah apa yang Allah ‎ﷻ jadikan dalam dunia ini sia-sia. Tidak ada perkara yang sia-sia, semuanya ada hikmah. Kalau kita lihat bintang itu, ia amat jauh sekali daripada kita, namun ada juga gunanya kepada kita. Kita sahaja yang tidak nampak kegunaannya mengapa Allah ‎ﷻ menjadikan sesuatu itu kerana akal kita yang lemah.

Tafsir Ayat Ke-98

Sebelum ini tentang makhluk atas langit, sekarang Allah ‎ﷻ sentuh makhluk yang di bawah pula, iaitu kita.

وَهُوَ الَّذي أَنشَأَكُم مِّن نَّفسٍ وٰحِدَةٍ فَمُستَقَرٌّ وَمُستَودَعٌ ۗ قَد فَصَّلنَا الآيٰتِ لِقَومٍ يَفقَهونَ

Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).

وَهُوَ الَّذِي أَنشَأَكُم مِّن نَّفْسٍ وٰحِدَةٍ

Dan Dialah yang menjadikan kamu daripada satu jiwa,

Satu jiwa yang dimaksudkan adalah Nabi Adam عليه السلام. Daripada jiwa yang satu itu, dijadikan umat manusia yang lain. Ini adalah salah satu daripada iman, iaitu percaya bahawa seluruh manusia ini berasal daripada Nabi Adam عليه السلام. Maka, kalau ada yang kata kita berasal daripada monyet, itu adalah satu pendapat yang menghinakan diri kita sendiri.

Nabi Adam عليه السلام dijadikan daripada tanah. Kemudian daripada Nabi Adam عليه السلام, dijadikan isterinya Hawa. Kenapa Allah ‎ﷻ tidak jadikan Hawa daripadaa tanah juga? Allah ‎ﷻ boleh sahaja menjadikan Hawa daripada tanah juga tetapi Allah ‎ﷻ tidak buat begitu. Kenapa? Supaya umat manusia ini berasal daripada satu punca. Supaya tidaklah ada perbezaan di antara satu sama lain. Kalaulah Allah ‎ﷻ menjadikan Hawa daripada tanah juga, atau daripada bahan lain, maka kaum wanita dan lelaki akan ada perbezaan yang ketara. Mereka akan kata mereka lain daripada kaum lelaki. Oleh itu, apabila dijadikan daripada jiwa yang satu, maka tidak ada masalah itu. Memang lelaki dan wanita ada bezanya, tetapi bezanya tidaklah jauh sangat.

Oleh itu, kita hendaklah terima bahawa kita ini adalah umat yang satu, berasal daripada asal yang satu. Maka janganlah kita berkelahi dan membezakan antara satu sama lain. Kita hendaklah menghormati bangsa lain kerana kehebatan seseorang bukannya daripada bangsa mana dia berasal, tetapi daripada iman dan taqwanya.

فَمُسْتَقَرٌّ

maka (bagimu) ada tempat tetap

Semua kita ada tempat tinggal di dunia ini dan merujuk kepada masa seseorang itu tinggal. Ia adalah tempat tinggal yang pada kadar yang lama.

وَمُسْتَوْدَعٌ

dan tempat simpanan.

Asal maksud perkataan ini adalah ‘tempat simpanan amanah’. Seperti seseorang meninggalkan barangnya kepada seseorang sekejap. Sebagai contoh, seorang kawan hendak ke tandas dan minta kawannya menyimpan sekejap barangnya. Bukan untuk dipegang lama, tetapi sekejap sahaja. Apabila diminta balik, hendaklah dipulangkan semula. Maka, ia adalah tempat simpanan sementara sahaja.

Maka, kita semua ada tempat tinggal yang tetap dan tempat tinggal sementara. Ada banyak pendapat ulama’ tafsir tentang beza antara dua makna ayat ini. Kita berikan beberapa sahaja:

1. Tempat yang tetap adalah dunia ini. Dan tempat sementara adalah dalam perut ibu kita kerana kita sekejap sahaja dalam perut ibu kita. Selepas sembilan bulan, kita akan dikeluarkan.

2. Tempat yang tetap adalah akhirat dan tempat sementara adalah kubur kita. Apabila kita mati, kita dikuburkan dalam tanah dan bila kiamat, semua akan bangun dan berada di Mahsyar dan Akhirat akan bermula bagi semua orang. Akhirat itulah tempat akhir kita. Kubur itu sementara sahaja, menunggu Kiamat.

3. Tempat yang tetap itu adalah akhirat dan tempat yang sementara adalah dunia ini. Kita pun tahu kita sekejap sahaja tinggal di dunia ini. Kalau dibandingkan masa di dunia ini dengan masa di akhirat yang kekal, masa di dunia seperti tidak ada apa-apa.

Ini mengajar kita bahawa manusia itu ada mula dan ada akhirnya. Kita hidup ada peringkat-peringkat yang kita perlu lalui seperti yang disebut di dalam [ Insyiqaq:19 ]. Kita tidak kekal dalam dunia ini. Maka, hendaklah kita bersedia dengan persediaan untuk ke akhirat.

Kalau kita hendak mengembara ke Jepun, tentu kita sudah bersedia dengan maklumat-maklumat tentang negara Jepun, bukan? Kalau kita tidak ke sana, kita pun tahu hanya sedikit sahaja. Tetapi bayangkan kalau kita memang akan pergi tidak lama lagi, tentu pelbagai maklumat kita akan cari tentang Jepun, bukan? Seperti nama tempat, apa yang ada di sana, bahasa apa yang digunakan, berapa ramai orang di sana, cuacanya bagaimana, mereka jenis orang yang bagaimana dan sebagainya. Bukankah itu yang kita akan buat?

Baik, kita mungkin tidak berkesempatan untuk pergi ke Jepun, maka tidak perlu tahu sangat pasal Jepun pun tidak mengapa. Tetapi adakah kita akan pergi ke syurga atau neraka? Itu sudah tentu. Kita pasti akan pergi sama ada ke syurga atau ke neraka. Dan tentunya kita hendak pergi ke syurga, bukan? Oleh itu, tidakkah kita perlu tahu tempat tujuan kita? Kalau kita memang hendak ke syurga, tentu kita kena tahu tentang syurga bukan?

Maka, soalan: adakah kita tahu cuaca di syurga? Siapa yang tinggal di sana? Keadaan di sana? Bagaimana hendak sampai ke sana? Kalau kita tidak tahu, bermakna kita tidaklah beriya-iya hendak ke syurga. Ini adalah sesuatu yang kita kena fikir-fikirkan.

قَدْ فَصَّلْنَا الْآيٰتِ لِقَوْمٍ يَفْقَهُونَ

Sesungguhnya telah Kami jelaskan tanda-tanda kebesaran Kami kepada orang-orang yang mahu memahami.

Seperti juga perkataan يَعْلَمُونَ bermaksud ‘mahu mengetahui’, maka perkataan يَفْقَهُونَ bermaksud ‘mahu memahami’.

Apakah bezanya علم dan علم ? فقه adalah ‘ilmu pengetahuan’ dan فقه pula bermaksud ‘pemahaman’. Sebagai contoh, ada orang yang tahu membaca Al-Qur’an dengan baik. Mereka boleh membaca tetapi mereka tidak tahu ilmu tajwid. Tetapi ada orang yang tahu baca dan dalam masa yang sama dia tahu juga kenapa dia kena baca begitu dan dia tahu apakah hukum tajwid itu.

Maknanya, فقه itu bukan sahaja tahu, tetapi dia tahu ‘bagaimana’ dan ‘kenapa’ sekali. Orang yang ada فقه lebih tinggi ilmunya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan