Utama Bilik (01) Fiqh As Sunnah Marhaban Ya Ramadhan: Ya Allah, temukan kami dengan bulan Ramadhan

Marhaban Ya Ramadhan: Ya Allah, temukan kami dengan bulan Ramadhan

250
0
Iklan

Apa tanda masuk bulan Ramadhan?

Penentuan masuknya Ramadhan ini adalah dengan dua cara:

1. Dengan nampaknya (ru’yah) anak bulan (Hilal) oleh seorang lelaki yang adil. atau,

2. Dengan menyempurnakan bulan Sya’ban menjadi 30 hari.

Jadi, berdasarkan kepada salah satu cara di atas, tidak boleh pakai dua-dua kaedah. Mesti lihat dahulu hilal sebelum menggunakan kiraan bulan Sya’ban. Kalau tidak nampak hilal barulah digunakan kaedah kiraan.

Waktu-waktu ibadah di dalam Islam ikut aturan peradaran bulan (Kalendar Qamariah). JIka ikut matahari itu dipanggil Kalendar Syamsiah (seperti bulan Januari, Februari dan seterusnya). Jadi kalau kita ikut bulan, maka tanda masuk bulan baru adalah dengan keluarnya ‘anak bulan’ itu. Setiap bulan memang akan keluar, tetapi yang selalu kita kisahkan adalah bulan Ramadhan, Syawal dan juga Dzulhijjah kerana bulan-bulan inilah yang melibatkan ibadah di dalam Islam.

Maka, tanda masuk bulan Ramadhan dan jatuhnya kewajiban puasa adalah dengan nampaknya hilal. Dasar daripada hal ini adalah firman

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

”barangsiapa di antara kamu menyaksikan (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan tersebut.” [ Al Baqarah: 185 ]

Juga disebut dalam hadith:

َعَنِ اِبْنِ عُمَرَ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا [ قَالَ ]: سَمِعْتُ رَسُولَ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَقُولُ: – إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا, وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا, فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ – مُتَّفَقٌ عَلَيْه ِ-

Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jika kalian melihat hilal, maka berpuasalah. Jika kalian melihatnya lagi, maka berhari rayalah. Jika hilal tertutup, maka genapkanlah (bulan Sya’ban menjadi 30 hari).”(Muttafaqun ‘alaih).

Faedah Hadith

1. Kewajiban berpuasa Ramadhan itu tergantung pada penglihatan manusia atau sebagian daripada mereka terhadap hilal (tanggal 1 Ramadhan).

2. Begitu juga berbuka (Idul Fitri atau hari raya) berkaitan erat dengan hilal (1 Syawal).

3. Jika hilal (1 Ramadhan) tidak terlihat, maka tidak boleh berpuasa kecuali setelah menggenapkan bulan Sya’ban menjadi 30 hari, begitu juga tidak boleh berhenti puasa Ramadhan (berhari raya) kecuali setelah menggenapkan Ramadhan menjadi 30 hari.

4. Tidak diperkenankan berpuasa pada hari ke-30 di bulan Sya’ban meskipun ada mendung atau sejenisnya.

Menurut majoriti ulama, jika seorang yang ‘adl (orang yang soleh) dan terpercaya melihat hilal Ramadhan, beritanya diterima. Dalilnya adalah hadith Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma,

تَرَاءَى النَّاسُ الْهِلاَلَ فَأَخْبَرْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنِّى رَأَيْتُهُ فَصَامَهُ وَأَمَرَ النَّاسَ بِصِيَامِهِ

“Orang-orang berusaha untuk melihat hilal, kemudian aku beritahukan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa aku telah melihatnya. Kemudian baginda berpuasa dan memerintahkan orang-orang agar berpuasa.”(Riwayat Abu Dawud, disahihkan oleh Albani)

Jadi, kalau seorang sahaja nampak hilal Ramadhan pun sudah boleh diterima persaksiannya. Inilah pendapat Imam Syafie dan Imam Ahmad sedangkan untuk hilal Syawal mesti dengan dua orang saksi. Inilah pendapat majoriti ulama berdasarkan hadith:

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ وَانْسُكُوا لَهَا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا ثَلَاثِينَ فَإِنْ شَهِدَ شَاهِدَانِ فَصُومُوا وَأَفْطِرُوا

“Berpuasalah kalian kerana melihatnya, berbukalah kalian kerana melihatnya dan sembelihlah kurban kerana melihatnya pula. Jika -hilal itu tertutup daripada pandangan kalian, sempurnakanlah menjadi tiga puluh hari, jika ada dua orang saksi, berpuasa dan berbukalah kalian.” (Riwayat An Nasai No. 2116. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadith ini sahih)

Syarah: Kalau dibaca dalam hadith ini dipersyaratkan dua orang saksi ketika melihat hilal Ramadhan dan Syawal. Namun untuk hilal Ramadhan cukup dengan satu saksi kerana hadith ini dikhususkan dengan hadith Ibnu ‘Umar yang telah diberikan sebelum ini.

Cara melihat hilal (iaitu cara ru’yah) adalah cara yang terbaik kerana itu negara kita sentiasa sahaja akan diadakan proses melihat anak bulan di setiap negeri. Walaupun ilmu falak sudah semakin hebat, tetapi tetap juga kita kena menggunakan cara ru’yah ini.

Apabila pada malam ke-30 Sya’ban belum juga terlihat hilal kerana terhalangi oleh awan atau mendung, maka bulan Sya’ban disempurnakan menjadi 30 hari. Inilah bilangan hari dalam sebulan yang maksima dan tidak ada hari ke-31 dalam kalendar Qamariah.

Salah seorang ulama Syafi’i, Al Mawardi rahimahullah mengatakan, “Allah ﷻ memerintahkan kita untuk berpuasa ketika diketahui telah masuk awal bulan. Untuk mengetahuinya adalah dengan salah satu dari dua perkara. Boleh jadi dengan ru’yah hilal untuk menunjukkan masuknya awal Ramadhan atau boleh jadi pula dengan menggenapkan bulan Sya’ban menjadi 30 hari kerana Allah ﷻ menetapkan bulan tidak pernah lebih dari 30 hari dan tidak pernah kurang dari 29 hari. Jika terjadi keraguan pada hari ke-29, maka berpeganglah dengan yakin iaitu hari ke-30 dan buang jauh-jauh keraguan yang ada.”

Mudah bagi kita di negara ini kerana kita hanya perlu terima maklumat dari kerajaan yang telah menjalankan tugas yang bagus menentukan bilakah masuk Ramadhan dan Syawal. Setiap negeri ada jawatankuasa yang akan keluar untuk melihat anak bulan dan kemudian akan diuruskan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Jika penduduk suatu negara melihat hilal, apakah negara-negara yang lain harus mengikuti mereka?

Bolehkah kita mula berpuasa dan menyambut hari raya mengikut ru’yah hilal di negara lain seperti di negara Arab Saudi?

Persoalan ini sering berlegar dalam kalangan masyarakat yang keliru tentang perkara ini dan mempersoalkan mengapa kita tidak bersama dengan negara-negara lain dalam penentuan tarikh masuk dan keluarnya bulan-bulan Islam, terutamanya bulan Ramadhan dan bulan Syawal. Kadang-kadang kita tidak puasa, tetapi di negara Arab Saudi sudah mula puasa pula. Ini memang agak menghairankan kepada sesetengah orang.

Asas kepada perkara ini adalah berdasarkan sabda Nabi ﷺ :

ومُوا لِرُؤْيَتِهِ وأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ

 “Berpuasalah jika kamu melihatnya (anak bulan), dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya (anak bulan)”(Riwayat al-Bukhari (1909) dan Muslim (1081)

Hadith yang lain:

إِذَا رَأَيْتُمْ الْهِلالَ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا

“Jika kamu melihat anak bulan, maka berpuasalah, dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya.”(Riwayat Muslim (1081)

Dalam hal ini, ulama’ terbahagi kepada beberapa pendapat:

Pendapat Pertama:

Ru’yah satu negara hanya berlaku bagi negara itu sahaja.

Pendapat Kedua:

Ru’yah satu negara hanya untuk negara itu, kecuali kalau ditetapkan oleh imam besar negara itu (untuk ikut ru’yah negara lain). Ini kerana satu negara itu kesatuan yang utuh, dan hukumnya berlaku untuk rakyatnya.

Pendapat Ketiga:

Jika negara-negara itu duduknya berdekatan, ia dikira sebagai satu wilayah. Ini antara lain pendapat mazhab Syafie.

Dalam mazhab Imam asy-Syafi’e Rahimahullah, penentuan masuknya bulan Ramadhan atau bulan Syawal adalah berdasarkan anak bulan yang kelihatan di negara yang mempunyai matla’ yang sama. Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh asy-Syafi’e (2/161).

Matla’ bermaksud kawasan yang berada pada jangka masa waktu terbit dan terbenam matahari serta bulan yang hampir sama, atau lebih mudah difahami, ia bermaksud negara yang berkongsi waktu siang dan malam mereka. Negara Malaysia adalah terletak dalam matla’ Asia Tenggara.

Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah telah menjelaskan perkara ini dengan berkata: “Dan apabila dilihat anak bulan di sesebuah negara, maka hukumnya adalah sama seperti negara yang berhampiran dengannya, sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah kerana kedua-duanya seolah-olah seperti satu negeri, bukannya (hukum yang berbeza) bagi negeri yang jauh seperti Hijaz dan ‘Iraq pada pendapat yang lebih tepat”. Rujuk Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Alfaz al-Minhaj (2/144-145).

Pandangan ini adalah bersandarkan kepada hadith sahih yang telah diriwayatkan daripada Kuraib:

رَأَيْتُ الْهِلَالَ بِالشَّامِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: مَتَى رَأَيْتُمْ الْهِلَالَ؟ قُلْتُ: لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، قَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ؟ قُلْتُ: نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا، وَصَامَ مُعَاوِيَةُ فَقَالَ: لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ الْعِدَّةَ. فَقُلْتُ: أَوَلَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ قَالَ: لَا، هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 “Aku melihat anak bulan di Syam pada malam Jumaat, kemudian aku pulang ke Madinah, lalu ibn ‘Abbas bertanya kepadaku: ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab: ‘Kami melihat pada malam Jumaat’, ibn ‘Abbas bertanya lagi: ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’, Aku menjawab: ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka juga berpuasa, Mu’awiyah turut berpuasa.’ Ibn ‘Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa sehingga kami sempurnakan 30 hari Ramadhan’, Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan anak bulan yang dilihat oleh Mu’awiyah dan puasanya?’ Ibn ‘Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah menyuruh kami berbuat demikian.” (Riwayat Muslim (1087), at-Tirmizi (693), Abu Daud (2332), an-Nasai’e (2110)

Pendapat Keempat:

Ru’yah satu negara terpakai bagi negara lain kerana tidak mungkin satu negara nampak, tetapi negara lain tidak nampak kecuali jika ada halangan.

Pendapat Kelima:

Ru’yah satu negara lain tidak dikira berlaku jikalau terdapat perbezaan kondisi geografi seperti antara dataran tinggi dan rendah.

Kesimpulan

Matla’ negara Malaysia adalah berbeza dengan matla’ Arab Saudi kerana kedudukan kedua-dua negara ini adalah berbeza. Jarak antara Malaysia dan Arab Saudi adalah dianggarkan dalam 7000 kilometer dan jarak masa antara kedua negara ini adalah lebih kurang 5 jam.

Kedudukan Arab Saudi yang berada pada kedudukan yang lebih barat berbanding negara kita menyebabkan peluang untuk anak bulan kelihatan di negara berkenaan adalah lebih tinggi berbanding di negara kita. Justeru, ketika anak bulan dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan anak bulan tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Oleh itu, kemungkinan peluang untuk anak bulan dapat dilihat adalah lebih tinggi di Arab Saudi berbanding di negara kita.

Kita wajib mengikut hasil cerapan anak bulan di negara kita bagi menentukan masuknya bulan Ramadhan dan bulan Syawal, bukan mengikut hasil cerapan anak bulan di negara Arab Saudi kerana faktor perbezaan matla’ di antara dua negara yang boleh menyebabkan perbezaan hasil cerapan anak bulan.

Jika hilal bulan Syawal tidak terlihat maka tetap berpuasa pada pagi harinya

Jikalau tidak terlihat hilal Syawal, maka umat Islam hendaklah terus mengerjakan puasa. Telah diriwayatkan daripada sekumpulan sahabat Ansar:

غُمَّ عَلَيْنَا هِلَالُ شَوَّالٍ فَأَصْبَحْنَا صِيَامًا فَجَاءَ رَكْبٌ مِنْ آخِرِ النَّهَارِ فَشَهِدُوا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ رَأَوْا الْهِلَالَ بِالْأَمْسِ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُفْطِرُوا مِنْ يَوْمِهِمْ وَأَنْ يَخْرُجُوا لِعِيدِهِمْ مِنْ الْغَدِ

“Hilal bulan Syawal tertutup oleh mendung bagi kami sehinggakan kami tetap berpuasa pada keesokan harinya. Menjelang petang datanglah beberapa musafir dari Mekah ke Madinah. Mereka memberikan kesaksian di hadapan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa mereka telah melihat hilal semalam (petang). Maka Rasulullah memerintahkan mereka (kaum Muslimin) untuk segera berbuka dan melaksanakan solat ’Eid pada keesokan harinya”. (HR Ahmad disahihkan oleh Ibnu Mundir dan Ibnu Hazm).

Apakah orang yang melihat hilal boleh berpuasa dan berhari raya sendiri?

Bagaimana kalau seorang nampak anak bulan tetapi tidak diisytiharkan puasa di negeri itu? Bolehkah dia berhari raya sendiri?

Ulama’ khilaf di dalam hal ini. Bagi yang mengatakan dia boleh berhari raya sendiri, berpegang kepada hadis yang telah lalu:

إِذَا رَأَيْتُمْ الْهِلالَ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا

“Jika kamu melihat anak bulan, maka berpuasalah, dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya.”(Riwayat Muslim (1081)

Syarah: Maka, jika dia sudah nampak hilal, maka bolehlah dia berhari raya walaupun sendirian.

Akan tetapi pendapat yang lebih kuat adalah tidak boleh dia berhari raya sendiri kerana dia kena berhari raya dengan masyarakat yang lain. Dalilnya adalah hadith ini:

عن أبي هريرة أن النبي صلى الله عليه وسلم قال الصوم يوم تصومون والفطر يوم تفطرون والأضحى يوم تضحون

Daripada Abu Hurairah bahawasanya Nabi bersabda, ” Berpuasa itu pada hari kalian berpuasa dan berbuka itu pada hari di mana kalian semua berbuka, demikian juga dengan Idul Adha, iaitu pada hari kalian semuanya berkurban.” (Sunan Tirmizi no. 633. Sahih).

Syarah:

Kalimah ‘kalian’ dalam hadis ini adalah masyarakat setempat. Islam menitik beratkan perpaduan dalam masyarakat, maka jangan buat hal sendiri. Penetapan Puasa dan Hari Raya adalah bidang kuasa kerajaan dan kita sebagai rakyat kena ikut.

Melainkan kalau orang itu duduk seorang diri di dalam hutan, maka bolehlah dia hendak berpuasa sendiri. Ini pendapat Ibnu Taimiyyah.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan