Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-76 hingga Ke-79

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-76 hingga Ke-79

302
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am
Tafsir Ayat Ke-76

فَلَمّا جَنَّ عَلَيهِ اللَّيلُ رَءا كَوكَبًا ۖ قالَ هٰذا رَبّي ۖ فَلَمّا أَفَلَ قالَ لا أُحِبُّ الآفِلينَ

Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.

فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ

Ketika malam menutupi ke atasnya,

Iaitu apabila malam menutupi siang. Selepas Allah ‎ﷻ menunjukkan alam ini dan pemahaman tentang alam itu kepada baginda, Nabi Ibrahim عليه السلام telah memanggil kaumnya ramai-ramai. Baginda hendak menggunakan cara yang sama untuk berdakwah kepada kaumnya iaitu dengan melihat kepada alam ini dan suruh mereka memikirkan apakah maksudnya.

Baginda hendak menunjukkan kepada mereka bahawa apa yang mereka sembah itu salah. Bolehlah dibuat anggaran yang pada waktu itu mereka ramai-ramai duduk melihat langit bersama dengan Nabi Ibrahim عليه السلام.

Perkataan جَنَّ digunakan apabila sesuatu perkara itu ditutup daripada segala pancaindera manusia iaitu tidak boleh dilihat, didengari, dihidu dan sebagainya. Nama jin juga diambil daripada kata ini kerana jin itu tidak dapat dikesan dengan pancaindera kita. Janin yang di dalam perut ibu mengandung pun diambil daripada perkataan ini kerana janin itu berada dalam perut ibu. Tidak boleh dilihat dan tidak dapat dirasa oleh pancaindera.

Apabila malam datang, segalanya tidak kelihatan lagi kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan kaumnya. Melainkan bintang dan bulan sahaja.

رَءا كَوْكَبًا

dia melihat sebuah bintang

Langit itu gelap, tetapi dengan jelas bintang kelihatan. Perkataan كَوْكَبًا digunakan untuk bintang yang besar dan bersinar terang. Banyak perkataan digunakan untuk menyebut tentang bintang. Tetapi terdapat berjenis-jenis bintang. Dalam bahasa kita biasa panggil ‘bintang’ sahaja untuk apa jenis bintang, tetapi orang Arab ada banyak nama untuk bintang.

Ini adalah kerana orang Arab memang suka melihat bintang. Memang banyak bintang di langit tetapi ada satu jenis bintang yang berbeza dengan yang lain. Itulah yang dinamakan bintang jenis كَوْكَبًا. Ia lain kerana ia jelas kelihatan lebih besar daripada bintang-bintang yang lain dan bersinar terang.

قَالَ هَٰذَا رَبِّي

(lalu) dia telah berkata: “Inilah Tuhanku”,

Nabi Ibrahim عليه السلام berkata kepada kaumnya bahawa ‘bintang itulah tuhannya’. Ini kena difahami dengan belajar tafsir dan jangan terus baca terjemahan sahaja. Kerana kalau tidak, kita akan salah faham.

Kita kena ingat yang ini adalah kata-kata helah daripada Nabi Ibrahim عليه السلام. Bukanlah baginda menerima yang bintang itu sebagai tuhan pula. Jangan kita fikir sebegitu (ramai juga yang mempunyai sangkaan begini). Nabi Ibrahim عليه السلام hendak memberikan hujah kepada kaumnya bahawa apa yang mereka sembah itu adalah perbuatan yang bodoh. Baginda berpura-pura sahaja.

Tambahan pula, perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah قَالَ yang bermaksud ‘telah berkata’. Tidak digunakan perkataan ‘fikir’ kerana Nabi Ibrahim عليه السلام tidak pernah menerima yang bintang itu sebagai tuhan. Baginda cuma cakap di mulut sahaja dan tidak sampai ke hati baginda pun.

Jadi, baginda sebenarnya bukan berkata: “inilah tuhanku”, tetapi baginda sebenarnya berkata secara tersirat: “adakah ini tuhanku?”

Jadi, ini adalah satu cara Nabi Ibrahim عليه السلام hendak mempersembahkan cara memahami sifat Tuhan kepada masyarakatnya. Maka, baginda hendak menolak satu-persatu tuhan sembahan mereka kerana semuanya tidak memiliki sifat Tuhan. Sekarang baginda sedang mulakan dengan bintang.

Banyak juga yang salah faham dengan ayat ini. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka baca sendiri ayat Al-Qur’an sehingga timbul pemahaman yang amat salah. Itulah bahayanya apabila membaca dan cuba memahami sendiri ayat Al-Qur’an daripada terjemahan sahaja. Mereka kata, ayat ini hendak menceritakan bagaimana proses pencarian Nabi Ibrahim عليه السلام untuk mencari Tuhan!

Itu adalah salah dan pemahaman yang sesat! Dalam ayat sebelum ini, bukankah telah disebut bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام telah ada iman kepada Allah ‎ﷻ dan telah sampai ke tahap yakin? Tidak mungkin baginda tersalah pula?

Ada pula yang kata ayat-ayat ini menceritakan tentang Nabi Ibrahim عليه السلام semasa muda yang sedang mencari tuhan. Ini pun pandangan yang salah juga kerana dalam akidah kita, kita berpegang bahawa para Nabi sebelum menjadi Nabi pun tidak pernah melakukan syirik. Semua Nabi terpelihara daripada melakukan perkara syirik walaupun mereka belum menjadi Nabi dan belum kenal Islam pun lagi.

Sebagai contoh, walaupun Nabi Muhammad ﷺ belum lagi diperkenalkan dengan agama Islam tetapi baginda tidak pernah menyembah berhala. Baginda memang tidak suka dengan berhala kerana telah ditanam dalam diri baginda oleh Allahﷻ  untuk membenci syirik. Baginda diselamatkan oleh Allah ‎ﷻ daripada melakukan syirik. Oleh itu, walaupun baginda suka dan selalu tawaf keliling Kaabah, tetapi baginda tidak pernah menyentuh berhala-berhala yang ada di sekeliling Kaabah.

فَلَمَّا أَفَلَ

tetapi tatkala bintang itu tenggelam

Perkataan أَفَلَ digunakan untuk menerangkan apabila planet, bulan, bintang dan matahari telah hilang daripada pandangan.

Nabi Ibrahim عليه السلام adalah seorang yang dikatakan amat bijak (memang semua Nabi bersifat fatanah [bijaksana]). Cuba fikirkan: adakah perlu baginda tunggu sampai bintang itu hilang baru baginda sedar yang bintang itu akan hilang? Tentulah tidak. Kita yang tidak berapa bijak ini pun tahu yang bintang itu akan hilang juga malam itu.

Jadi kita kena faham apakah maksud Nabi Ibrahim عليه السلام menjalankan proses melihat bintang dalam ayat ini. Dan kemudian nanti dalam ayat seterusnya baginda melihat bulan dan matahari pula. Itu semua adalah helah dan lakonan baginda sahaja untuk ditunjukkan kepada kaumnya.

قَالَ لَا أُحِبُّ الْآفِلِينَ

dia berkata: “Saya tidak suka kepada yang tenggelam”.

Nabi Ibrahim عليه السلام menolak bintang sebagai tuhan dengan menyuruh kaumnya berfikir: Takkan sifat Tuhan itu timbul dan tenggelam? Datang sekejap-sekejap sahaja? Nabi Ibrahim عليه السلام berhujah bahawa baginda tidak suka tuhan yang timbul sekejap-sekejap sahaja. Tuhan itu hendaklah sentiasa ada untuk mendengar doa kita.

Kalau sekejap ada dan sekejap hilang, itu bukanlah satu sifat yang bagus. Jika kita ada kawan, kawan yang bagaimanakah yang kita suka? Yang selalu ada dengan kita atau selalu hilang? Bila sahaja kita hendak meminta tolong, dia hilang. Datang bila kita belanja makan sahaja. Adakah kita boleh berharap dengan kawan yang sebegitu?

Oleh kerana bintang itu boleh hilang, maka Nabi Ibrahim عليه السلام kata yang baginda tidak akan sembah bintang sebagai tuhan. Oleh itu, baginda sudah menolak satu contoh sembahan kaumnya, iaitu bintang.

Tafsir Ayat Ke-77

فَلَمّا رَءا القَمَرَ بازِغًا قالَ هٰذا رَبّي ۖ فَلَمّا أَفَلَ قالَ لَئِن لَّم يَهدِني رَبّي لَأَكونَنَّ مِنَ القَومِ الضّالّينَ

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.

فَلَمَّا رَءا الْقَمَرَ بَازِغًا

Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit

Kalimah بَازِغًا digunakan untuk menerangkan apabila bulan dan matahari sedang mula keluar. Waktu itu adalah waktu bulan dan matahari amat jelas sekali iaitu ketika matahari terbit di siang hari dan bulan di malam hari.

قَالَ هَٰذَا رَبِّي

dia berkata: “Inilah Tuhanku”.

Baginda berkata pula kepada kaumnya begini. Kata-kata Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah sebagai lakonan sahaja, seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini. Bukanlah benar-benar baginda mengatakan yang bulan itu adalah Tuhannya.

Boleh dikatakan bahawa kata baginda itu adalah satu cemuhan sahaja – أهَٰذَا رَبِّي – “Adakah ini tuhanku?”

فَلَمَّا أَفَلَ

Tetapi setelah bulan itu terbenam,

Tentulah setelah sekian lama, bulan itu akan hilang sinarnya dan akan tenggelam, atau hilang daripada pandangan mata apabila siang datang.

قَالَ لَئِن لَّمْ يَهْدِنِي رَبِّي

dia berkata: “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku,

Baginda membawa kembali kepada perbincangan tentang Allah ‎ﷻ. Baginda hendak mengingatkan yang Allah ‎ﷻlah Tuhan yang sebenar. Kaum baginda itu bukannya tidak kenal Allah ‎ﷻ, maka baginda hendak mengingatkan mereka kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ

pastilah aku termasuk orang yang sesat”.

Nabi Ibrahim عليه السلام mengajar kaumnya bagaimana menggunakan akal dalam memilih Tuhan. Jika Allah ‎ﷻ tidak memberikan petunjuk-Nya, kita semua akan sesat. Maka, baginda juga menunjukkan kepada mereka bagaimana berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan hidayah. Sebab itulah baginda telah membacakan doa itu di hadapan mereka. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk memberikan hidayah kepada kita.

Doa itu bukan sahaja kepada orang yang Islam, tetapi orang yang kafir pun boleh baca. Jika tidak, bagaimanakah ramai orang yang asalnya lahir dalam kekafiran namun telah mendapat jalan hidayah Islam? Itu adalah kerana mereka pernah memohon petunjuk kepada Tuhan (mereka tidak sebut pun nama Tuhan itu) untuk memberikan hidayah kepada mereka.

Mereka tidak tahu manakah Tuhan yang sebenar, maka mereka telah membaca doa mereka dengan harapan untuk mendapatkan kebenaran. Mereka boleh baca dalam bahasa mereka, dalam cara yang mereka senang. Allah Maha Mendengar apakah permintaan mereka. Tidak semestinya mereka bukan orang Islam, Allah ‎ﷻ tidak mendengar doa mereka.

Tafsir Ayat Ke-78

Namun begitu, kaumnya masih lagi tidak mahu menerima dan buat tidak faham dengan dakwah dan hujah baginda, maka baginda teruskan dengan cara yang lain. Kali ini baginda berhujah dengan menggunakan contoh matahari pula.

Ayat ini mengajar kita cara berdakwah. Jika satu cara tidak berjaya, kita sepatutnya mencuba cara yang lain. Gunakan teknik yang berbeza pula. Maka, kenalah menjadi lebih kreatif dalam hal ini. Hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ agar diberikan ilham kepada kita.

Ayat-ayat ini juga mengajar kita dalam berhujah supaya menggunakan peningkatan dari segi contoh-contoh yang digunakan. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام pada permulaannya menggunakan contoh bintang, kemudian bulan dan kemudian barulah digunakan contoh matahari. Ini penting kerana kita mahu orang yang didakwah itu faham dengan apa yang kita hendak sampaikan.

فَلَمّا رَأَى الشَّمسَ بازِغَةً قالَ هٰذا رَبّي هٰذا أَكبَرُ ۖ فَلَمّا أَفَلَت قالَ يٰقَومِ إِنّي بَريءٌ مِّمّا تُشرِكونَ

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً

Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit,

Sekarang Nabi Ibrahim عليه السلام menarik perhatian kaum baginda kepada matahari pula. Dan kejadian ini adalah pada waktu awal pagi, apabila matahari sudah keluar. Tentulah kelihatan matahari itu hebat sekali.

قَالَ هَٰذَا رَبِّي

dia berkata: “Inilah Tuhanku,

Ini adalah helah Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja. Tidaklah benar-benar baginda berkata matahari itu Tuhan pula. Baginda ingin berhujah dengan kaum baginda sahaja dan baginda hanya berlakon seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

هَٰذَا أَكْبَرُ

ini yang lebih besar

Tentulah matahari lebih besar daripada bintang dan bulan dan lebih cerah pula.

Lihatlah penggunaan bahasa di dalam ayat ini. Digunakan kata هَٰذَا (ini untuk lelaki) walaupun sepatutnya digunakan perkataan هذه kerana matahari bersifat feminin dalam bahasa Arab. Maknanya, ini pun sudah ada penolakan daripada Nabi Ibrahim عليه السلام tentang matahari sebagai tuhan. Baginda bukan maksudkan matahari itu sebagai tuhan.

Oleh itu boleh juga kita katakan bahawa yang dimaksudkan ‘Tuhan’ oleh Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat ini bukanlah matahari itu tetapi Allah ‎ﷻ sendiri. Ini bermakna bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام menggunakan helah dalam penggunaan perkataannya. Baginda sebenarnya merujuk kepada Allah ‎ﷻ, bukan kepada matahari itu.

فَلَمَّا أَفَلَتْ

Maka tatkala matahari itu terbenam,

Tentulah setelah petang, matahari akan tenggelam juga, bukan? Selepas itu barulah baginda berhujah lagi.

قَالَ يٰقَوْمِ

dia telah berkata: “Hai kaumku,

Ayat ini menunjukkan bahawa memang Nabi Ibrahim عليه السلام sedang bercakap-cakap dengan kaumnya; iaitu mereka bermula dengan melihat bintang, kemudian bulan dan kemudian matahari.

Tidaklah Nabi Ibrahim عليه السلام meneruskan hujahnya dengan mencari pula makhluk-makhluk yang lain. Ini menunjukkan bahawa baginda hanya hendak tunjukkan beberapa contoh sahaja. Tujuan baginda adalah untuk menggerakkan otak kaumnya berfikir. Hendak menggalakkan kaumnya menggunakan sedikit akal.

Oleh itu, di sini bukanlah tujuan baginda hendak ‘mencari Tuhan’ seperti yang dikatakan oleh sesetengah kumpulan yang tidak belajar tafsir. Ini kerana jika baginda benar-benar ingin mencari Tuhan tentulah baginda akan teruskan dengan mencari bukit, pokok dan lain-lain.

إِنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ

sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu syirikkan.

Nabi Ibrahim عليه السلام beritahu kepada kaumnya bahawa apa yang mereka sembah selama itu adalah amat salah sekali. Salah satu kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Ibrahim عليه السلام itu adalah memuja bulan, bintang dan matahari. Sebab itulah sebarang objek yang luarbiasa dan yang boleh menimbulkan ketakjuban dalam diri mereka akan dijadikan sebagai sesuatu yang istimewa pula.

Oleh itu, baginda tidak mahu ada kena mengena dengan amalan sesat mereka. Baginda kata baginda hanya sembah Allah ‎ﷻ sahaja. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang kekal sentiasa ada. Walaupun terdapat makhluk yang hebat, tetapi semua makhluk tetap ada kelemahan dan kerana itu mereka bukanlah tuhan.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام kemudiannya akan meninggalkan kaumnya, seperti mana juga Nabi Muhammad ﷺ meninggalkan Mekah. Ini kita boleh faham daripada ayat ‘berlepas diri’ itu. Maknanya ada sudah ada isyarat penghijrahan Nabi Muhammad ﷺ keluar Mekah.

Ayat ini juga mengajar kita untuk melihat alam ini dan memikirkan siapakah Penciptanya. Kadang-kadang kita hanya melihat benda-benda yang besar sahaja dan kita lupa benda-benda yang kita biasa lihat seperti bulan, bintang dan juga matahari itu semua ada penciptanya.

Sebagai contoh, kejadian pertukaran siang dan malam pun adalah tanda kekuasaan Allah ‎ﷻ. Begitu juga dengan segala perkara yang seharian kita lihat dan kejadian seperti burung yang berterbangan, daun yang berguguran, angin yang bertiup malah nasi yang kita suap setiap hari ke dalam mulut kita pasti ada penciptanya. Kalau kita fikirkan tentang alam ini, ia akan memberikan kita satu pemahaman bahawa semuanya telah diberikan kepada kita dengan segala keindahannya sebagai nikmat daripada yang Allah ‎ﷻ Yang Maha Pemurah.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa kita perlu meluangkan masa untuk memikirkan tentang alam ini. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام menunggu sehingga bintang tenggelam. Kemudian baginda menunggu sehingga bulan muncul dan kemudian menunggu pula sehingga matahari muncul dan terbenam.

Bukanlah kita hanya meluangkan masa yang sekejap sahaja dan kita sangka kita boleh terus faham tentang alam ini. Dalam surah al-Mulk, telah disebut bagaimana Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk sentiasa melihat alam. Dan perkara ini hendaklah dilakukan berulangkali.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa semua makhluk sama ada kecil atau besar, semuanya tidak kekal. Mereka boleh muncul dan hilang berulangkali dan di pengakhirannya nanti semuanya akan terus lenyap termasuk seluruh alam ini apabila tiba tempohnya dan yang tinggal kekal hanyalah Allah ‎ﷻ yang maha kuasa. Maka, siapakah yang paling layak untuk disembah?

Tafsir Ayat Ke-79

Ada muqaddar (maklumat tambahan) di sini: Nabi Ibrahim عليه السلام ditanya jikalau baginda tidak menyembah bintang, bulan, matahari dan sebagainya, jadi apakah yang baginda sembah? Maka Nabi Ibrahim عليه السلام menjawab sebagaimana di dalam ayat ini.

إِنّي وَجَّهتُ وَجهِيَ لِلَّذي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ حَنيفًا ۖ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ

“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ

Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku

Kenapa digunakan perkataan ‘wajah’ dalam ayat ini? Kerana pada wajah itu merangkumi semua pancaindera seperti penglihatan, pendengaran, percakapan, minda dan juga hati. Oleh itu ia bermaksud untuk memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang kita hadapkan itu, iaitu zahir dan batin sekali sebagai hamba.

Kepada siapa Nabi Ibrahim عليه السلام hadapkan wajahnya dan dirinya?

لِلَّذِي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ

kepada yang menciptakan langit dan bumi,

Kalimah فَطَرَ bermaksud yang ‘mula-mula membuat’. Yang sebelum itu tidak dikenali lagi apa yang dibuat itu. Tidak ada benda yang sama yang ada sebelum itu, tidak ada contohnya.

Sebelum Allah ‎ﷻ mencipta langit dan bumi, tidak ada lagi makhluk seperti itu. Jadi Allah ‎ﷻ mencipta alam ini tanpa contoh. Jika dibandingkan dengan penciptaan kita, kita mungkin ada mencipta kereta jenis baru, tidaklah boleh dikatakan sebagai فَطَرَ kerana telah ada kereta yang dicipta sebelum itu. Jadi, kita cuma tiru sahaja apa yang telah ada.

Ayat ini bermaksud Nabi Ibrahim عليه السلام memberikan sepenuh perhatian kepada Allah ‎ﷻ yang telah mencipta dan menjadikan alam ini. Baginda mengingatkan semula yang Allah ‎ﷻlah yang mencipta alam ini, kerana umat baginda itu pun kenal Allah ‎ﷻ (sebagaimana Musyrikin Mekah pun kenal Allah ‎ﷻ).

حَنِيفًا

dengan keadaan lurus,

Kalimah ‘hanif’ itu bermaksud agama yang mengamalkan tauhid sahaja. Ini adalah maksud hanif yang pertama. Sememangnya Nabi Ibrahim عليه السلام adalah ikon tauhid.

Ia juga bermaksud seseorang yang fokus pada tujuannya dan tidak dialihkan oleh benda-benda lain. Maknanya Nabi Ibrahim عليه السلام fokus kepada menyembah Allah ‎ﷻ sahaja. Tentu sekali baginda tidak sembah selain dari Allah ‎ﷻ.

Ini mengajar kita bahawa dalam kita melakukan sesuatu benda yang penting, maka hendaklah kita fokus kepada apa yang kita lakukan. Jangan kita biarkan diri kita diganggu dengan perkara-perkara yang tidak penting.

Seperti juga kita kena fokus kalau kita buat kerja. Kalau kita tidak fokus, maka kita akan banyak membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak penting. Sama juga apabila kita memandu kereta. Amat bahaya jika kita tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya semasa kita memandu.

Masalah yang kita hadapi dalam zaman moden ini adalah kita senang diganggu oleh banyak perkara yang boleh menghilangkan fokus kita. Bahan hiburan terlalu banyak pada zaman sekarang jika dibandingkan dengan zaman dahulu. Dengan adanya TV, radio, Internet, YouTube dan banyak lagi.

Ia pula amat senang untuk dicari. Tidak perlu dicari pun sudah ada depan mata kita. Tidak sama dengan masyarakat zaman dahulu yang tidak dicemari dengan bahan-bahan seperti itu. Oleh kerana terlalu banyak sangat bahan hiburan, banyak masa kita terbuang dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kita kena pandai untuk menghilangkan gangguan-gangguan itu. Kita tidak akan mencapai kejayaan jika kita tidak fokus di dalam tugas dan kerja.

Kadang-kadang pula, kita mahu melakukan berbagai-bagai perkara sampaikan kita tidak fokus kepada satu perkara manakala perkara yang penting itu tidak dapat pula dilakukan dengan sempurna. Apabila kita hendak melakukan banyak sangat perkara, maka satu perkara pun tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Dan dalam beragama dan menjalani kehidupan, kita kena sentiasa fokus kepada Allah ‎ﷻ. Sebab itulah kita disuruh untuk berlatih khusyuk di dalam salat. Ia mengajar kita setiap hari untuk fokus kepada satu perkara. Kita disuruh untuk tidak memikirkan kepada benda lain melainkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja semasa kita dalam salat. Sampaikan kita disuruh untuk melihat kepada tempat sujud sahaja – supaya bukan sahaja hati kita, tetapi mata kita pun fokus kepada satu tempat sahaja. Ini kerana kalau mata kita ke sana sini, ia akan hilang fokus.

Kita diberitahu di dalam ayat ini bahawa salah satu sebab kejayaan Nabi Ibrahim عليه السلام ialah kerana baginda fokus dalam ibadahnya dan di dalam dakwahnya. Fokus kepada Allah ‎ﷻ bermaksud kita ikhlas beribadat kepada-Nya; iaitu tidak ada perkara yang akan melencongkan kita daripada Allah ‎ﷻ.

وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mensyirikkan Tuhan.

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام tidak pernah melakukan syirik. Ini adalah kerana penggunaan kata ما (bukan) dalam ayat ini. Apabila ما digunakan, ia bukan sahaja bermaksud ‘tidak’ tetapi ia juga menidakkan kata-kata orang lain tentang sesuatu.

Ini penting kerana ada agama-agama yang mengatakan Nabi Ibrahim عليه السلام pernah melakukan syirik. Sebagai contoh dalam Bible ada dikatakan yang Nabi Ibrahim عليه السلام telah melakukan syirik di hujung hayatnya. Maka, Allah ‎ﷻ hendak membersihkan nama Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat ini.

Ia juga adalah tempelak kepada Musyrikin Mekah yang mengaku mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام tetapi mereka mengamalkan syirik pula. Oleh sebab itu, ia tidak patut sekali kerana Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri tidak mengamalkan syirik. Maka, mereka sahaja perasan bahawa mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa kita perlu menjauhkan diri daripada mereka yang melakukan syirik dan amalan-amalan syirik. Tidak kisah sama ada yang melakukan syirik itu adalah kawan baik kita atau ahli keluarga kita pun. Kita jangan ikut amalan syirik mereka walaupun kita duduk satu rumah dengan mereka. Jangan kita bekerjasama dengan mereka dalam melakukan syirik itu.

Memang sekarang dalam masyarakat kita amat ramai yang melakukan syirik. Kadang-kadang kita sampai rasa hanya kita sahaja yang mengamalkan tauhid kepada Allah ‎ﷻ. Namun begitu, janganlah kita patah semangat. Teruskan mengamalkan ajaran tauhid.

Oleh itu bayangkan bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام yang berseorangan di dalam menentang kaumnya yang melakukan syirik itu. Walaupun seluruh kaumnya melakukan syirik, tetapi baginda tidak bersama dengan mereka. Maka, jangan kita menggunakan alasan terlalu ramai yang mengamalkan syirik dan bid’ah sampai kita susah untuk mengamalkan agama.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan