Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-73 hingga Ke-75

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-73 hingga Ke-75

181
0
Iklan

Tafsir Surah Al-An’am

Tafsir Ayat Ke-73

Dalil Aqli tentang kewujudan Allah ‎ﷻ.

وَهُوَ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۖ وَيَومَ يَقولُ كُن فَيَكونُ ۚ قَولُهُ الحَقُّ ۚ وَلَهُ المُلكُ يَومَ يُنفَخُ فِي الصّورِ ۚ عٰلِمُ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ الخَبيرُ

Dan Dia lah yang menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, dan (Dia lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: “Jadilah”, lalu terjadilah ia. Firman-Nya itu adalah benar. Dan bagi-Nyalah kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala. Dia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya.

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ

Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar.

Allah ‎ﷻ menciptakan alam ini untuk menzahirkan ‘kebenaran’. Inilah tujuan alam dijadikan. ‘Kebenaran’ itu bermaksud bahawa Allah ‎ﷻlah yang mencipta semua sekali. Mana mungkin alam yang sebegini indah, tidak ada Penciptanya? Maka kenalah cari siapakah Sang Pencipta itu.

Sesiapa yang mencari kebenaran akan jumpa Allah ‎ﷻlah Tuhan yang mencipta alam semesta ini. Oleh itu, kenalah puja Dia sahaja, lakukan ibadah kepada Dia sahaja. Dan pastikan kita berdoa kepada Dia sahaja.

Namun begitu, alam ini tidak kekal abadi.

وَيَوْمَ يَقُولُ كُن فَيَكُونُ

di hari Dia mengatakan: “Jadilah, lalu terjadilah”,

Kalimah يَوْمَ bermaksud ‘hari’ dan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘hari kebangkitan’. Pada hari itu alam ini akan dihancurkan. Kemudian Allah ‎ﷻ akan buat alam baru dan Allah ‎ﷻ akan memerintahkan semua makhluk untuk bangun dan semuanya akan bangun. Dan dari waktu itu bermulalah hari kebangkitan.

قَوْلُهُ الْحَقُّ

benarlah perkataan-Nya

Bermaksud apabila Allah ‎ﷻ memberikan arahan untuk memulakan hari Kiamat, ia akan pasti berlaku kerana perkataan Allah ‎ﷻ adalah perkataan yang haq. Kalimah Allah ‎ﷻ pasti akan memberi kesan. Ia pasti akan terjadi. Tidak ada ragu-ragu lagi bahawa ia pasti akan berlaku. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menolak arahan Allah‎ ﷻ itu. Kalau kita yang beri arahan, belum tentu akan jadi lagi.

وَلَهُ الْمُلْكُ

dan di tangan-Nya-lah segala kekuasaan

Segala kehendak Allah ‎ﷻ akan dipenuhi kerana Dialah yang memiliki segala kerajaan dan segala kekuasaan. Kalimah al-Mulk bermaksud kerajaan. Dalam dunia, ada manusia yang menguasai kerajaan, sesebuah negara, negeri dan sebagainya. Namun, kekuasaan mereka itu tidaklah mutlak.

Kekuasaan Allah ‎ﷻlah yang mutlak. Dan ia akan terzahir di akhirat kelak. Waktu itu, semua makhluk akan mengakui kekuasaan Allah‎ ﷻ tanpa ragu-ragu lagi.

يَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ

di waktu sangkakala ditiup.

Bila hari kiamat telah berlaku, maka akan jelaslah bahawa kekuasaan hanya berada di tangan Allah ‎ﷻ sahaja. Jika dalam dunia sekarang, ada manusia yang rasa mereka ada kuasa sedikit.

Contohnya seorang raja atau pemimpin sangka mereka ada kuasa namun pada hari Kiamat kelak mereka akan tahu bahawa mereka langsung tidak ada kuasa pada waktu itu. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang berkuasa pada hari itu.

Dari segi bahasa, potongan ayat يُنفَخُ فِي الصُّورِ ini bukanlah bermaksud ‘sangkakala ditiup’. Lebih tepat lagi, ia bermaksud ‘ditiup ke dalam sangkakala’. Kita tidak tahu apakah yang akan ditiup itu. Tidak ada dalil yang sampai kepada kita untuk menceritakannya. Maka, kita terima dengan seadanya.

عٰلِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهٰدَةِ

Dia mengetahui yang ghaib dan yang boleh dinampak.

Kita tidak tahu bagaimanakah Sangkakala itu kerana ia adalah perkara ghaib. Perkara ghaib hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Kalimah الشَّهَادَةِ bermaksud sesuatu yang boleh digarap dengan pancaindera. Makhluk hanya boleh melihat yang zahir sahaja. Makhluk tidak boleh mengetahui yang ghaib melainkan diizinkan oleh Allah‎ ‎ﷻ.

Maka, kalau ada yang kata mereka boleh tahu perkara yang ghaib dengan kehendak mereka, maka itu adalah salah sama sekali. Percaya makhluk tahu perkara ghaib adalah syirik.

وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ

Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Kalimah الْحَكِيمُ bermaksud terdapat hikmah dalam setiap perbuatan dan keputusan Allah ‎ﷻ termasuk di dalam keputusan Allah ‎ﷻ untuk menjadikan hari kebangkitan. Antara hikmahnya adalah setiap makhluk akan dibalas di atas perbuatan mereka selama mereka berada di dunia. Segala keadilan akan dijalankan pada hari itu.

Kalimah الْخَبِيرُ bermaksud Allah Maha Tahu tentang segala-galanya dan tentang setiap makhluk-Nya. Maka apabila Allah ‎ﷻ memberi keputusan kepada semua makhluk pada hari kiamat nanti, ia adalah keputusan yang adil. Tidaklah Allah ‎ﷻ akan menghukum makhluk di atas perkara yang mereka tidak lakukan.

Kalimah الْخَبِيرُ juga bermaksud Allah ‎ﷻ bukan hanya tahu tentang perkara yang dizahirkan oleh makhluk-Nya malah segala perkara batin yang dalam hati pun Allah‎ ﷻ tahu juga. Maka, Allah ‎ﷻ tahu siapa yang ikut kebenaran dan siapakah yang tidak mahu ikut.

Tafsir Ayat Ke-74

Sekarang masuk kepada Dalil Naqli Tafsili (Allah ‎ﷻ memberitahu secara terperinci). Ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang syirik.

Sekarang kita masuk kisah Nabi Ibrahim عليه السلام yang mengajak kaumnya kepada tauhid dan menentang syirik. Dalam ayat seterusnya ini, baginda telah berhujah kepada kaumnya bagaimana syirik itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Maka ayat ini hendak memberitahu manusia yang bukanlah Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran baru tetapi ajaran baginda sama sahaja dengan ajaran para Nabi yang terdahulu. Dan disebut banyak sekali tentang Nabi Ibrahim عليه السلام kerana baginda dikenali oleh masyarakat Mekah. Mereka pun mengaku yang mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Namun benarkah begitu?

وَإِذ قالَ إِبرٰهيمُ لِأَبيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصنامًا ءآلِهَةً ۖ إِنّي أَرٰىكَ وَقَومَكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.

وَإِذْ قَالَ إِبْرٰهِيمُ لِأَبِيهِ آزَرَ

Dan (ingatlah) di waktu Ibrahim berkata kepada bapanya, Aazar,

Terdapat khilaf dalam kalangan ulama’ tafsir sama ada ‘Aazar’ adalah nama sebenar bapa Nabi Ibrahim عليه السلام atau hanya laqab (gelaran) sahaja. Jika nama ‘Aazar’ adalah laqab sahaja, maka ada nama bapa Ibrahim عليه السلام yang lain. Tetapi kita tidak tahu dengan pasti kerana tidak disebut lagi dalam ayat lain dalam Al-Qur’an.

Terdapat juga khilaf sama ada Aazar itu adalah bapa Nabi Ibrahim عليه السلام, atau pakciknya atau datuknya. Ini kerana ada pendapat yang tidak mahu menerima bahawa bapa seorang Nabi adalah seorang yang jahat. Maka, memang terdapat kitab tafsir yang mengatakan nama bapa Nabi Ibrahim عليه السلام sebenarnya adalah Tarakh dan Aazar ini adalah pakciknya.

Oleh kerana itulah ada pendapat yang mengatakan Aazar itu bukanlah bapa sebenar Nabi Ibrahim عليه السلام. Namun begitu, kita terima apa yang Allah ‎ﷻ sebutkan dalam Al-Qur’an sendiri, iaitu Aazar adalah nama ‘bapa’ Nabi Ibrahim عليه السلام. Kita tidak mempersoalkan apa yang disampaikan. Oleh itu, jangan kita ubah-ubah melainkan terdapat dalil yang sahih.

Selalunya Al-Qur’an tidak menyebut nama seseorang melainkan ia adalah satu maklumat yang penting. Dalam sejarah Bani Israil, mereka ada nama lain bagi bapa Nabi Ibrahim عليه السلام. Maka, apabila Allah ‎ﷻ menyebut namanya dengan spesifik, ia seperti Allah ‎ﷻ hendak memperbetulkan maklumat salah yang disampaikan oleh bangsa Yahudi yang memang terkenal suka mengubah Kitab Taurat. Perangai mereka amat teruk sekali sampaikan sejarah Nabi mereka pun mereka selamba sahaja mengubahnya.

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عليه السلام telah berdakwah kepada bapanya. Ini mengajar kita bahawa dakwah dimulakan di rumah. Itulah yang mula-mula sekali yang kita kena lakukan. Ini adalah kerana kita amat sayangkan ahli keluarga kita dan kita tidak mahu mereka terjerumus ke lembah kehinaan.

Alangkah sedihnya, kalau kita berdakwah kepada orang lain, dapat memperbetulkan mereka, tetapi ahli keluarga kita sendiri ada masalah. Begitu juga, kalau kita dapat sokongan keluarga, maka akan mudah buat kerja dakwah kepada masyarakat.

Oleh itu, mulakan dakwah dengan keluarga kita. Walaupun kita terpaksa berbeza pendapat dengan bapa kita. Walaupun mereka itu bapa kita, tetapi tidak semestinya mereka itu betul. Kalau mereka salah, kita sebagai anak mereka hendaklah berusaha untuk memperbetulkan mereka.

Mengajar kepada bapa kita sendiri bukanlah mudah sepertimana yang kita boleh lihat dalam kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dan bapanya ini. Begitu juga, Nabi Muhammad ﷺ pun mempunyai masalah dengan keluarga baginda juga. Lihatlah bagaimana salah seorang penentang kuat baginda ada bapa saudara baginda sendiri, iaitu Abu Lahab.

أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا ءآلِهَةً

Patutkah bapa menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?

Hanya ayat ini sahaja dalam sepanjang Al-Qur’an ini yang menyebut kalimah ‘berhala’. Dalam ayat-ayat lain, digunakan perkataan lain untuk patung-patung yang disembah oleh masyarakat. Perkataan أَصْنَامًا  bermaksud ‘berhala’ iaitu patung yang dijadikan sebagai tempat pemujaan.

Oleh itu, perkataan ini bukanlah digunakan untuk semua jenis patung. أَصْنَامًا adalah berhala yang pemujanya sangka ia mempunyai kuasa. Penyembahnya merasakan bahawa ia mampu untuk memberi kelebihan dan kemudharatan kepada mereka. Sebab itu mereka sembah kerana mereka hendakkan sesuatu dan mereka takut kalau mereka tidak sembah, mereka akan mendapat sial atau bala.

Pertanyaan Nabi Ibrahim عليه السلام kepada bapanya itu adalah dalam bentuk kehairanan. Sebagaimana kita hairan kalau seseorang sedang buat sesuatu yang bodoh. Nabi Ibrahim عليه السلام hairan kenapa mereka bersungguh-sungguh menyembah berhala-berhala itu sedangkan berhala itu mereka sendiri yang buat?

Mereka buat sendiri, kemudian mereka sembah. Ini tidak masuk akal langsung. Ini mengajar kita bahawa salah satu cara dakwah adalah dengan menggunakan soalan yang menyebabkan mereka berfikir. Nabi Ibrahim عليه السلام banyak menggunakan pertanyaan dalam dakwahnya.

Jika kita ingin memulakan dakwah dan kalau kita tidak tahu bagaimana untuk memulakannya, maka, salah satu teknik yang boleh digunakan adalah dengan memulakan dengan pertanyaan. Tanya apa pegangan agama mereka. Tanya kenapakah mereka buat Salat Hajat berjama’ah, tanya kenapa mereka buat Majlis Tahlil dan pelbagai lagi perkara amal ibadah yang bid’ah. Tanya datang dari mana amalan itu?

Tanya supaya mereka fikir sendiri. Selalunya mereka pun tidak tahu kenapa mereka buat begitu. Melainkan mereka akan kata bahawa mereka cuma ikut perbuatan orang ramai yang buat begitu.

Ayat ini juga mengajar kita untuk menggunakan logik dalam dakwah. Bukanlah agama Islam ini lari daripada logik akal. Agama Islam ini amat sesuai dengan akal manusia yang waras. Yang tidak waras sahaja yang tidak boleh terima agama Islam ini.

Dalam kes umat Nabi Ibrahim عليه السلام ini, mereka menyembah berhala itu sebagai ‘tuhan’, bukan sebagai perantaraan lagi. Tidak sama dengan sembahan Hindu kepada patung mereka. Ini kerana jika kita tanya penganut Hindu itu, apakah patung itu tuhan mereka, mereka akan jawab tidak.

Mereka akan kata yang mereka sembah itu adalah patung dewa mereka, yang akan membawakan doa mereka kepada ‘tuhan yang satu’. Oleh itu, penganut Hindu hanya menjadikan patung mereka sebagai ‘perantaraan’ sahaja. Jadi lain dengan umat Nabi Ibrahim عليه السلام dalam ayat ini. Umat Nabi Ibrahim عليه السلام ini lagi teruk kerana mereka sudah lama menjadikan berhala mereka sebagai perantara, lama kelamaan mereka sembah sebagai tuhan.

Jika dibandingkan, umat Nabi Ibrahim عليه السلام itu adalah seperti penganut Kristian sekarang di mana mereka menyembah berhala sebagai tuhan sebagaimana umat Kristian juga menyembah Nabi Isa sebagai tuhan. Asalnya, Nabi Isa عليه السلام itu adalah perantaraan sahaja kepada Tuhan.

Mereka mengatakan yang baginda adalah ‘anak tuhan’. Namun lama kelamaan, sampai ke zaman sekarang ini, mereka sudah menganggap Nabi Isa عليه السلام itu sendiri sebagai ‘tuhan’. Begitu juga dengan penganut Buddha yang mengatakan Buddha itu sendiri sebagai tuhan.

Inilah bahayanya jika kita membiarkan manusia menggunakan ‘perantaraan’ atau tawasul dalam ibadat mereka kerana lama kelamaan, mereka akan menjadikan ‘wasilah’ itu sebagai tuhan. Adakah anda tahu bahawa ada dalam kalangan masyarakat Islam kita ini amat bodoh sampaikan mengatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah jelmaan Allah ‎ﷻ di bumi?

Dan golongan Syiah pun sudah ada yang berdoa terus kepada Husain. Asalnya mereka jadikan sebagai perantara sahaja. Tetapi lama kelamaan golongan yang telah diperbodohkan itu terus berdoa kepada Husain untuk minta apa-apa hajat mereka.

إِنِّي أَرىٰكَ وَقَوْمَكَ

Sesungguhnya aku melihat bapa dan kaum bapa ini

Bukan bapa Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja yang menyembah berhala, tapi kaumnya juga. Maknanya Nabi Ibrahim عليه السلام hidup di dalam masyarakat yang mengamalkan syirik terang-terangan. Maka, ini pun biasa sahaja, kalau kita hidup dalam masyarakat yang mengamalkan syirik.

فِي ضَلٰلٍ مُّبِينٍ

dalam kesesatan yang nyata

Mereka dalam kesesatan yang nyata kerana mereka seru selain Allah.

Ayat ini dibacakan kepada penduduk Mekah yang juga memuja dan menyembah berhala. Sudah 13 tahun mereka diberikan dakwah oleh Nabi ﷺ. Sekarang kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dibawakan kepada mereka sebagai satu contoh kebodohan yang dilakukan oleh masyarakat yang terdahulu dengan harapan semoga mereka boleh mendapat pengajaran daripada kaum itu.

Berikut adalah serba sedikit tentang Nabi Ibrahim عليه السلام:

Nabi Ibrahim عليه السلام hidup 2 ribu tahun Sebelum Masihi di satu bandar yang dikenali sebagai Urr. Ia berada di dalam kawasan Iraq sekarang. Ada banyak kasta yang ada pada waktu Nabi Ibrahim عليه السلام. Ada golongan yang elit dan golongan bawahan. Dan Nabi Ibrahim عليه السلام termasuk dalam kumpulan yang elit.

Dan seperti biasa, ada yang miskin dan lemah. Kaumnya waktu itu memuja banyak tuhan. Setiap pekan ada tuhannya sendiri. Di Urr pun ada berhalanya sendiri. Namanya Mannar. Berhala Mannar diletakkan di tempat utama bandar itu. Selain daripada berhala, mereka juga memuja bulan, bintang dan lain-lain lagi.

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عليه السلام dengan jelas menyatakan bahawa bapanya dan kaumnya itu dalam kesesatan yang nyata. Satu persoalan timbul dalam membaca ayat ini: Bolehkah kita kata sesetengah golongan sebagai sesat? Ada yang tidak dapat terima kalau kita kata ada golongan yang sesat. Kerana mereka kata, kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia. Padahal maksud sesat itu adalah tidak jumpa jalan, tersilap. Kalau orang tersilap jalan, adakah kita tidak boleh bantu membetulkannya?

Memang kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia. Tetapi, kalau apa yang mereka lakukan di hadapan mata kita memang satu perbuatan yang sesat, apakah salah kalau kita kata mereka sesat? Kerana kita hanya boleh kata berdasarkan apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka kata.

Sebagai contoh, kalau orang Hindu sembah berhala, maka tidakkah boleh kita kata mereka sesat? Takkan kita tidak boleh kata mereka sesat dan buat syirik sedangkan apa yang mereka buat itu dengan jelas adalah sesuatu yang sesat?

Bagaimana pula dengan mereka yang dengan terang-terangan menolak ayat Al-Qur’an? Memang kita tidak tahu apa dalam hati mereka. Tetapi kita boleh kata sesuatu berdasarkan daripada perbuatan dan kata-kata mereka kerana yang mereka lakukan dan kata-kata mereka itu kita boleh lihat dan kita boleh dengar. Maka, bolehlah kita menilainya.

Nabi Ibrahim عليه السلام beritahu kepada kaumnya bahawa mereka itu berada di dalam kesesatan yang nyata. Kita juga kena ikut seperti apa yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Apabila kita melihat kesyirikan yang dilakukan oleh manusia, hendaklah kita menegur dan memberitahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah perkara yang sesat. Jangan takut untuk menyatakan kebenaran.

Tetapi bukan setakat kita kata mereka sesat sahaja. Kita juga kenalah mengikut cara Nabi Ibrahim عليه السلام yang menjelaskan kepada kaumnya ‘bagaimanakah’ mereka sesat itu kerana kalau kita kata manusia melakukan sesuatu yang sesat tanpa kita berikan hujah dan dalil, tentulah mereka akan marah kepada kita. Lihatlah bagaimana dalam ayat-ayat seterusnya, Nabi Ibrahim عليه السلام telah memberikan hujah-hujah baginda.

Tafsir Ayat Ke-75

وَكَذٰلِكَ نُري إِبرٰهيمَ مَلَكوتَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَلِيَكونَ مِنَ الموقِنينَ

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

وَكَذَٰلِكَ نُرِي إِبْرٰهِيمَ

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim

Apabila perkataan كَذَٰلِكَ digunakan dalam ayat ini, ia menunjukkan ada kaitan ayat ini dengan ayat sebelumnya. Ini hendak menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام telah ditunjukkan dengan kesalahan yang dilakukan oleh kaumnya. Dan selain daripada itu, Nabi Ibrahim عليه السلام juga telah ditunjukkan dengan kehebatan Allah ‎ﷻ.

Perkataan نُرِي bermaksud Nabi Ibrahim عليه السلام telah ‘diperlihatkan’. Ru’yah (penglihatan) ada dua jenis: Satu dengan mata dan satu lagi dengan ilmu. Sebagai contoh, ada barang yang kita boleh tunjukkan kepada orang lain. Dan kadang-kadang kita boleh berikan penerangan tentang sesuatu perkara sahaja dan orang lain boleh faham walaupun dia tidak melihat pun benda itu. Sebagai contoh, kita boleh tunjukkan kawan kita atau kita boleh ceritakan bagaimana rupa kawan kita kepada orang lain. Maknanya, kita diberikan pemahaman sahaja.

Apabila perkataan نُرِي digunakan, ia bermaksud kedua-dua jenis ru’yah itu telah diberikan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini bermakna, bukan sahaja Nabi Ibrahim عليه السلام telah ditunjukkan dengan kehebatan yang ada pada alam ini, tetapi ia juga ‘diterangkan’ kepada baginda apakah maksud yang ada pada alam ini sehingga baginda faham dengan amat jelas.

Sebagai contoh, kita mempunyai sebuah mesin. Kepada satu orang, kita tunjukkan sahaja rupa bentuk mesin itu dan kepada seorang yang lain pula, bukan sahaja kita tunjukkan mesin itu kepadanya, tetapi kita tunjuk sekali apakah mesin itu boleh buat dan bagaimanakah cara untuk mengendalikannya. Tentulah orang yang ditunjukkan cara menggunakan mesin itu lebih faham daripada orang yang melihatnya sahaja.

Begitu juga dengan alam ini. Semua orang boleh nampak alam ini, bukan? Namun bukan semua orang boleh faham apakah maksud alam ini. Ini adalah kerana mereka hanya melihat, tetapi mereka tidak memikirkan tentang alam ini. Nabi Ibrahim عليه السلام telah ditunjukkan dengan kehebatan alam ini yang bermakna baginda telah diangkat (mi’raj) oleh Allah ‎ﷻ. Baginda telah menerima kedudukan sebagai Nabi dan baginda telah kenal Allah ‎ﷻ.

مَلَكُوتَ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi

Perkataan مَلَكُوتَ diambil daripada kata dasar ملك yang bermaksud ‘kekuasaan’ dan ‘kerajaan’. Tetapi apabila ditambah huruf و dan ت dalam perkataan itu, ia menunjukkan kepada isim mubalagah, iaitu ia bukanlah kerajaan yang biasa, iaitu ditunjukkan keseluruhan kerajaan Allah ‎ﷻ kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Apa sahaja yang Allah ‎ﷻ ciptakan.

Dan perkataan مَلَكُوتَ ini hanya digunakan untuk Allah ‎ﷻ sahaja kerana kerajaan segalanya adalah hanya hak milik Allah ‎ﷻ. Tidak ada lain yang memilikinya. Allah ‎ﷻ telah menjadikan alam ini supaya kita melihatnya dan dapat pemahaman bahawa alam ini menunjukkan kepada kewujudan Allah ‎ﷻ.

Namun malangnya, apabila sampai istilah ini kepada puak tarekat, maka banyaklah tafsir mereka sebut ‘Alam Malakut’, ‘Alam Jabbarut’ dan macam-macam lagi. Maka terngangalah anak-anak murid yang berguru dengan guru tarekat itu. Mereka tidak tahu pun apakah Alam Malakut itu. Mereka pandai sebut sahaja. Rupanya ia adalah kekuasaan dan kerajaan Allah ‎ﷻ.

Ada masalah pentafsiran kebanyakan orang tentang ayat ini. Ada yang kata bahawa ayat ini hendak menceritakan ‘Perjalanan Rohani’ Nabi Ibrahim عليه السلام. Mereka kata yang inilah ayat yang menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام dipertunjukkan dengan bintang, bulan dan kemudian matahari.

Apabila baginda melalui proses itu, mereka kata akhirnya Nabi Ibrahim عليه السلام berjaya menemui Tuhan. Itu adalah pentafsiran yang salah. Jangan kita terpedaya dengan pentafsiran yang sebegini. Nanti akan dibincangkan di dalam ayat-ayat yang seterusnya.

وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ

agar dia termasuk daripada golongan orang-orang yang yakin

Ditunjukkan semua kehebatan Allah ‎ﷻ kepada baginda, supaya baginda yakin bahawa entiti-entiti lain yang disembah oleh kaumnya itu adalah salah belaka.

Ini menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام telah ada iman, tetapi ditunjukkan segala kerajaan itu supaya baginda menjadi ‘yakin’. Itu adalah tingkatan yang lebih tinggi daripada ‘iman’. Sebagai contoh, ramai yang tahu bahawa Al-Qur’an itu daripada Allah ‎ﷻ. Namun apabila seseorang itu belajar Al-Qur’an, belajar tafsir, barulah dia mendapat ‘keyakinan’ yang tinggi pada kehebatan Al-Qur’an itu.

Ini kerana kebenaran yang ditulis dalam Al-Qur’an itu semakin jelas dan semakin jelas apabila kita mempelajarinya. Kita boleh lihat apa yang disebut dalam Al-Qur’an itu terjadi di hadapan mata kita. Ini adalah proses yang berpanjangan.

Apabila kita belajar tafsir Al-Qur’an dan kita melihat bagaimana segala apa yang Allah ‎ﷻ beritahu kepada kita dalam Al-Qur’an itu benar-benar terjadi di hadapan mata kita maka kita akan mendapat ‘yakin’ yang bertambah dari masa ke semasa.

Yakin itu datang selepas iman. Oleh itu, kena ada iman sebelum datangnya ‘yakin’. Apabila kita melihat alam ini, maka kita akan sampai kepada satu pemahaman tauhid yang yakin iaitu melihat kebenaran dengan betul.

Kalau seorang Nabi pun melalui proses melihat dan memikirkan tentang alam, maka kita pun kena buat juga begitu supaya kita pun sampai kepada tahap yakin itu. Ayat ini juga mengajar kita yang kita dapat yakin dengan cara melihat dan mengkaji dalil kerana kita tentunya tidak diberikan dengan isra’ dan mi’raj.

Bila dapat tahu dalil, barulah datang keyakinan itu. Maka kita lihat apa yang berlaku di alam luar dan rujuk semula ayat-ayat Al-Qur’an. Kita akan lihat ada kesamaan dan kebenarannya, maka akan datang keyakinan kepada kita. Segala yang disebut dalam Al-Qur’an ada pada alam; dan apa yang ada pada alam disebut dalam Al-Qur’an.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan