Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-18 hingga Ke-20

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-18 hingga Ke-20

3376
0
Iklan

Tafsir surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-18

Perkara yang akan disampaikan ini sudah ada dalam kitab-kitab sebelum Al-Qur’an. Diulang kembali dalam Al-Qur’an untuk kita pula.

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَأُولُو العِلمِ قائِمًا بِالقِسطِ ۚ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah bersaksi bahawasanya tiada ilah melainkan Dia,

Allah SWT yang hanya Dia sahaja ilah. Jadi di dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu yang Dia sendiri menjadi saksi. Dia tidak jadikan selain Dia, ilah-ilah yang lain. Tidak kira siapa pun, sama ada wali, Nabi atau malaikat malah jin.

Hanya Allah SWT sahaja ilah bagi makhluk. Tidak ada tempat menumpang harap yang lain bagi makhluk melainkan kepada Allah SWT sahaja. Hanya Allah SWT sahaja tempat kita sembah, tempat kita berdoa dan tempat kita taat sebenar-benar taat.

وَٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ

dan malaikat-malaikat

Para malaikat juga bersaksi yang hanya Allah SWT sahaja ilah. Maknanya ini adalah tamparan khusus bagi mereka yang menjadi para malaikat sebagai ilah. Ini seperti Musyrikin Mekah yang meminta kepada para malaikat kerana mereka berakidah yang para malaikat itu ‘anak perempuan Allah’.

Maka kalau kita pun berharap kepada para malaikat juga, samalah sahaja dengan Musyrikin Mekah. Maka bagaimana dengan golongan pesilat yang ada amalan seru malaikat seperti: “Jibril di depanku, Mikail di kananku……”. Ini adalah amalan minta pertolongan kepada para malaikat. Adakah mereka sangka para malaikat itu makan gaji dengan mereka boleh arah-arah pula para malaikat itu untuk jaga dia?

وَأُولُو العِلمِ

serta orang-orang yang berilmu

Para Nabi yang diberi ilmu wahyu yang sebenar, juga bersaksi perkara yang sama. Mereka telah sampaikan kepada para pengikut mereka. Kalau kita pun sudah mendapat ilmu tentang akidah ini, maka kita pun dikira orang berilmu juga dan boleh termasuk di dalam golongan ini.

Tetapi berapa ramai yang tidak ada ilmu wahyu dan amat jauh daripada wahyu? Mereka sangka mereka telah banyak belajar ilmu agama, tetapi ilmu wahyu (tafsir Al-Qur’an dan syarah hadith) belum belajar lagi. Oleh kerana itulah ada amalan-amalan mereka yang pelik-pelik dan seru sana dan sini.

قائِمًا بِالقِسطِ

menegakkan keadilan

Mereka dalam keadaan menegakkan keadilan iaitu menegakkan tauhid.

Mereka yang mempunyai akidah tauhid akan menegakkan keadilan dalam dunia. Keadilan bukan sahaja ada dalam agama Islam, tetapi ia juga dipandang tinggi dalam semua manusia sejagat walaupun bukan Muslim. Semua orang mahu adil di dalam dunia ini.

Namun ia ditekankan lebih lagi dalam agama Islam. Islamlah agama yang menekankan kesamarataan kepada semua manusia sebelum manusia Barat mengenali apa itu Human Rights. Memang mereka jaga Human Rights tetapi itu adalah perkara baru dalam sejarah dunia. sedangkan Human Rights sudah ada disebut di dalam Islam sejak diturunkan Al-Qur’an ini.

Memang hak manusia itu penting, tetapi bagaimana pula dengan hak Allah SWT ? Adakah itu tidak lebih penting daripada hak kita? Maka apakah hak Allah SWT? Hak Allah SWT adalah hanya Dia sahaja disembah, diibadati, dijadikan tempat pengharapan dan tempat kita meminta tolong.

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

tiada ilah melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Kita hanya sembah dan berdoa kepada Allah WT sahaja kerana Dia sahaja yang ada sifat ilah. Dia sahaja yang ada sifat Aziz dan Hakeem.

Sifat Aziz bermaksud Allah Maha Perkasa dan boleh hukum sesiapa yang derhaka pada bila-bila masa sahaja kalau Dia mahu.

Namun, Dia juga al-Hakim yang tangguh hukuman kepada makhluk dengan kebijaksanaan-Nya.

Allah Maha Berkuasa dan Dia boleh buat apa-apa sahaja tetapi Allah SWT menggunakan kuasa itu dengan penuh kebijaksanaan. Bandingkan kalau manusia yang ada kuasa besar, selalunya mereka akan salah guna kuasa itu. Ini kita boleh lihat dalam dunia sekarang.

Tafsir Ayat Ke-19

Ilmu tentang apakah yang dimaksudkan dengan ‘ilah’ kena dipelajari sehingga jelas bagi kita. Dan maklumat telah banyak diberikan dalam wahyu, akan tetapi ada juga berlaku banyak perselisihan dalam kalangan manusia.

Sekarang Allah SWT jelaskan kenapa ada perselisihan itu. Kita juga boleh tahu kenapa ada perselisihan dalam kalangan masyarakat Muslim kita juga.

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ ۗ وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ بَغيًا بَينَهُم ۗ وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.

إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ

Sesungguhnya ugama di sisi Allah ialah Islam

Ingatlah bahawa hanya Akidah dan cara hidup Islam sahaja yang diterima. Apabila dikatakan ‘agama’, ia terdiri daripada akidah dan cara hidup (bukan hanya bab ibadah sahaja).

Dan cara hidup pula merangkumi dua perkara – hubungan dengan Allah yang dipanggil ‘ibadat’ dan hubungan dengan makhluk yang dipanggil ‘adat’. Keduanya kena ikut cara Islam iaitu syariat. Semua ada diajar di dalam wahyu dan disampaikan oleh Rasul SAW kita.

Kalimah ‘Islam’ bermaksud menyerahkan diri bulat-bulat 100% kepada Allah SWT. Maka, agama yang dikehendaki oleh Allah SWT adalah menyerahkan diri kita kepada Allah SWT dengan sepenuhnya. Kalau setakat dalam kad pengenalan sahaja pakai nama ‘Muslim’, tetapi tidak taat kepada perintah Allah SWT, maka tidak bermakna langsung status Muslim mereka itu. Kerana yang penting adalah kita Muslim di mata Allah SWT. Jangan orang pandang kita Muslim, tetapi sebenarnya tidak di sisi Allah SWT.

وَمَا اختَلَفَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ

Dan tidaklah berselisih orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu

Kita pun tahu bahawa telah ada perselisihan dalam kalangan Yahudi dan Nasrani. Yang berselisih itu adalah di antara ulama’ dalam kalangan mereka, sebab itu digunakan lafaz ‘mereka yang diberi Kitab’. Maknanya mereka yang ada ilmu agama.

Samalah dalam masyarakat Islam pun, dalam kalangan ahli agama pun ramai yang bercakaran. Ramai yang hendak menegakkan fahaman yang mereka anuti. Kadangkala pertelingkahan mereka itu di luar norma kebiasaan manusia. Kadangkala kita pun rasa malu dengan perbuatan dan pertengkaran mereka.

Kenapa ahli agama ini berselisih? Ulama-ulama daripada kalangan Ahli Kitab itu telah merasa diri mereka berkuasa dan merekalah yang membuat agama ikut acuan mereka sendiri.

Sebagai contoh, kita pun tahu bahawa agama asal Nabi Isa a.s adalah tauhid. Tetapi ianya telah dipesongkan oleh sesetengah golongan paderi mereka. Terdapat pertentangan antara mereka yang memegang fahaman tauhid dan mereka yang memegang fahaman triniti. Tetapi kerana yang berfahaman triniti itu yang kuat dengan Raja Rom waktu itu, maka fahaman triniti yang dipegang dan dipakai dan mereka yang berfahaman tauhid telah dicari dan dibunuh selagi ada.

إِلّا مِن بَعدِ ما جاءَهُمُ العِلمُ

melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan

Maknanya mereka yang berselisih itu sebenarnya ada ilmu tentang kitab (iaitu ilmu wahyu). Maknanya mereka ini bukannya masyarakat awam. Manusia awam memang sudah selalu berselisih sebab mereka itu jahil. Tetapi sepatutnya ulamalah yang kena tahu yang mana benar dan mana yang tidak.

Malangnya ada ulama’ yang ikut syariat dan ada yang tidak. Ini biasa sahaja dari dahulu lagi. Maka kita yang orang awam ini kenalah pandai membezakan mana yang menggunakan dalil yang sahih, jangan pakai terima sahaja semua kata ulama’ dan ustaz.

Cara untuk bezakan adalah dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an kerana inilah asas agama. Apabila kita sudah ada asas, maka kita dapat bezakan mana yang benar dan mana yang tidak benar kerana kita sudah ada kayu ukur.

بَغيًا بَينَهُم

semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.

Semua perselisihan itu terjadi kerana dengki rupanya disebabkan mereka ingin memiliki kedudukan tinggi di dunia. Semua mahu tunjuk pandai kerana hendak duduk di atas. Ramai yang hendak mempertahankan kedudukan mereka kerana takut anak murid sudah tidak percaya kepada mereka.

Mereka sanggup melakukan perkara yang memalukan dalam kalangan orang awam. Pening orang awam tengok mereka yang dipanggil ulama’ melondehkan sesama sendiri. Mana satu yang benar pun mereka sudah tidak tahu. Orang awam pula banyak yang jahil yang akan ikut sahaja siapa yang memegang tampuk kekuasaan.

Contoh sekarang di negara ini, ramai yang menilai siapa yang benar, dengan melihat siapakah yang terkenal, siapakah yang masuk TV, pendapat siapa yang dipakai di dada akhbar dan sebagainya. Mereka sudah tidak mahu belajar sendiri tetapi cuma mahu taklid buta sahaja. Mereka cuma melihat mana ustaz yang popular. Tambahan pula sekarang banyak siaran realiti yang mengeluar ramai ustaz-ustaz selebriti.

وَمَن يَكفُر بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَريعُ الحِسابِ

Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi (penakutan dengan azab akhirat). Kita kena ingat yang Allah SWT cepat sahaja dalam membuat keputusan. Bukan macam mahkamah di negara kita yang bertahun-tahun pun tidak selesai kes lagi.

Allah SWT boleh segera buat keputusan kerana segala maklumat di Tangan-Nya. Dan keputusan Allah SWT itu akan adil. Allah SWT tidak kira sama ada mereka itu ulama’ atau tidak, ustaz atau orang biasa. Malahan kalau orang yang ada ilmu lagi bahaya kerana kalau mereka yang buat salah, mereka dahulu yang paling awal kena seksa.

Tafsir Ayat Ke-20

فَإِن حاجّوكَ فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ وَمَنِ اتَّبَعَنِ ۗ وَقُل لِّلَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالأُمِّيّينَ ءأَسلَمتُم ۚ فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا ۖ وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi” (orang-orang musyrik Arab): “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hamba-Nya.

فَإِن حاجّوكَ

Maka jika mereka berhujah membantahmu

Mereka yang menentang itu berbantah tentang hal tauhid, bukannya perkara lain. Ini adalah kerana perkara akidah adalah yang paling besar. Apabila selisih hal akidah inilah yang menyebabkan manusia pecah belah dengan amat teruk sekali.

فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ

maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah

Sekarang Allah SWT ajar supaya jawab sahaja begini. Jangan cakap banyak lagi dengan mereka. Ini kerana sudah banyak hujah yang diberikan kepada mereka.

Digunakan lafaz ‘wajah’ dalam ayat ini tetapi yang dimaksudkan semua sekali – jiwa, hati dan diri semua sekali. Maknanya, walaupun sebut wajah sahaja, tetapi maksudnya semua sekali. Maksudnya, serah diri kepada Allah SWT dengan ikut syariat.

وَمَنِ اتَّبَعَنِ

dan demikian juga orang-orang yang mengikutku

Maksudnya sesiapa sahaja yang ikut syariat Nabi Muhammad SAW. Kalau mereka kata mereka ikut baginda, mereka juga akan serahkan seluruh diri mereka ikut Nabi SAW dan syariat Islam. Maka, kalau kita mengaku sebagai umat baginda, maka hendaklah kita serahkan diri kita kepada Allah SWT dan taat kepada segala suruhan-Nya.

وَقُل لِّلَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالأُمِّيّينَ ءأَسلَمتُم

Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi”: “Sudahkah kamu menyerahkan diri?

Sekarang Allah SWT suruh Nabi Muhammad SAW tanya kepada Ahli Kitab dan penduduk Mekah yang tidak ada kitab: adakah kamu mahu menyerahkan diri 100% kepada Allah SWT dalam hal akidah dan amalan agama?

Tanya mereka: adakah mereka ikut ajaran Nabi-Nabi mereka sendiri yang mengaku mereka itu Muslim? Sebagai contoh, Yahudi kata mereka ikut ajaran Nabi Musa a.s ; Kristian pula kata mereka ikut ajaran Nabi Isa a.s; dan orang-orang Arab kata mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim a.s.

Sekarang tanya mereka: sudahkah mereka kaji apakah fahaman dan amalan Nabi-Nabi mereka itu? Bukankah Nabi-Nabi itu semuanya Muslim (seperti yang mereka sendiri kata)? Oleh itu, adakah kamu mahu kembali kepada ajaran Nabi-Nabi itu dan meninggalkan ajaran-ajaran daripada rabbi, daripada paderi dan daripada ulama-ulama kamu yang berlawanan dengan ajaran para Nabi?

فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا

Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk;

Sekiranya mereka mahu serah diri, barulah mereka dikira terpimpin yang sebenarnya. Barulah mereka boleh kata mereka telah menerima hidayah. Kalau tidak, mereka hanya perasan sahaja.

وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ

dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan

Kalau mereka tidak terima, maka Nabi SAW diingatkan yang tugas baginda hanya untuk sampaikan sahaja. Baginda tidak dipertanggungjawabkan sama ada mereka ikut atau tidak. Yang penting, baginda sudah sampaikan.

Begitu jugalah dengan kita. Kita hanya dipertanggungjawabkan untuk sampaikan ajaran wahyu ini kepada seramai yang boleh. Akan tetapi, malangnya ramai yang tidak akan dengar. Biarlah, janji kita sudah sampaikan. Mereka terima atau tidak, itu di luar kuasa kita.

Maka ayat ini mengajar kita tentang usaha dakwah. Kadang-kadang mungkin kita rasa kalau kita cakap pun, hanya buang masa sahaja kerana kita rasa orang yang didakwah tidak akan dengar. Atau kita rasa tidak sedap hati untuk berdakwah, sebab walaupun kita sudah dakwah tetapi orang yang didakwah tidak ikut pun. Ramai yang putus asa dalam berdakwah.

Akan tetapi Allah SWT beritahu dalam ayat ini yang tidak mengapa kalau mereka tidak ikut, kerana tugas kita adalah untuk sampaikan sahaja. Kita tetap akan dapat pahala setelah kita sampaikan. Dan kita akan meningkatkan iman kita setelah kita berdakwah. Maka jangan jemu berdakwah dan mengajar. Ini adalah tugas kita semua, kena sampaikan dakwah agama Islam kepada manusia.

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.

Allah SWT sedang melihat usaha kita  berdakwah. JIka kita tidak dakwah, Allah SWT pun lihat kita dan akan azab kita kerana tidak meneruskan tugas Nabi SAW.

Allah SWT juga sedang melihat mereka yang berpaling. Allah SWT catit dalam kitab amalan mereka bagaimana mereka telah menolak dan malah mungkin menentang para pendakwah tauhid.

Maka tidak perlulah kita risau sangat dengan apa yang terjadi. Janji Allah SWT nampak usaha kita.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan