Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-21 hingga Ke-26

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-21 hingga Ke-26

276
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran
Tafsir Ayat Ke-21

Ini adalah ayat zajrun (ayat teguran) dan takhwif ukhrawi (penakutan azab akhirat).

Mereka yang kufur daripada Kristian Najran itu asyik bertanya kepada Nabi Muhammad SAW padahal mereka sudah ada kitab wahyu. Kedatangan mereka itu berjumpa dengan baginda adalah kerana mereka tidak puas hati bila dengar ada pula umat selain mereka yang dapat kitab, maka mereka hendak datang tanya.

Maka Allah beri ancaman kepada mereka dalam ayat ini.

إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah

Ini adalah ayat ancaman kepada mereka yang ingkar tidak mahu hendak pakai ajaran daripada wahyu. Walaupun telah diajak kepada Islam, tetapi masih ramai yang berdegil tidak mahu juga beriman. Ini adalah kerana mereka menutup telinga dan hati mereka daripada kebenaran. Maka mereka akan mendapat ancaman dalam ayat ini.

Apa lagi kesalahan yang mereka lakukan?

وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ

dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar,

Allah SWT tegur golongan Bani Israel yang banyak tanya soalan kepada Nabi Muhammad SAW itu. Allah SWT kata tidak payahlah mereka hendak tunjuk pandai. Nabi kamu sendiri pun kamu bunuh. Walaupun mereka itu keturunan Yahudi yang duduk tinggal di Madinah dan tidak pernah membunuh Nabi, tetapi saki baki perangai jahat itu masih ada lagi dalam diri mereka. Buktinya, mereka pernah ada komplot untuk membunuh Nabi Muhammad SAW sendiri.

Ya, memang benar Bani Israel banyak membunuh Nabi-Nabi daripada kalangan mereka. Contohnya, mereka telah bunuh Nabi Zakariya a.s  dan anaknya Nabi Yahya a.s. Mereka juga cuba buat komplot untuk bunuh Nabi Isa a.s sendiri, tetapi telah gagal. Kalau ada Nabi yang cakap sesuatu yang tidak kena dengan jiwa mereka, mereka akan cuba untuk bunuh.

وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ

serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil

Juga mereka bunuh guru-guru yang mengajar ajaran tauhid dengan benar. Begitulah yang terjadi sekarang kepada para pendakwah tauhid. Ramai yang tidak disukai dan ditentang dan ditohmah. Kalau ajar agama sahaja tidak mengapa, tetapi kalau sudah sentuh tentang tauhid, ramai yang akan melenting.

Sampaikan ada yang mendapat teguran daripada orang ramai, malah ada yang ditohmah sehingga dipenjarakan. Ini terjadi zaman berzaman. Sebagai contoh, lihat sejarah apa yang terjadi kepada Ibnu Taimiyyah dan juga Imam Syafie. Dan sampai zaman sekarang ini pun masih ada lagi perkara ini berlaku.

فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

maka sampaikanlah berita gembira kepada mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Sekarang Allah SWT perli mereka. Beri ‘berita gembira’ tetapi sebenarnya berita yang diberikan adalah amat menakutkan.

Tafsir Ayat Ke-22

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمالُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَما لَهُم مِن ناصِرينَ

Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمالُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat,

Gugur amalan mereka kerana kufur. Salah satu cabang kufur adalah syirik. Buat dosa besar tidak gugur amalan lagi.

Amalan yang baik ada kesannya di dunia lagi dan akan dibalas lagi di akhirat. Sebagai contoh, solat yang baik akan menenangkan hati kita; infaq akan menambah rezeki kita; itu semua adalah contoh kebaikan yang Allah SWT beri semasa di dunia lagi. Tetapi mereka langsung tidak dapat kebaikan di dunia itu dan di akhirat pun tidak ada pahala buat dijadikan bekal.

Musyrikin Mekah sangka mereka tentunya dapat banyak kebaikan kerana mereka menjaga kaabah. Namun Allah SWT jawap yang mereka langsung tidak akan dapat apa-apa kebaikan.

وَما لَهُم مِن ناصِرينَ

dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

Di akhirat nanti tidak akan ada pembantu untuk mereka. Puak Kristian sangka yang Nabi Isa yang mereka puja dan sembah itu akan membantu mereka. Tapi Allah jawap jangan harap.

Tafsir Ayat Ke-23

Ini adalah ayat teguran kepada Ahli Kitab. Mereka sudah ada kitab wahyu di tangan mereka, tetapi perangai mereka tidak seperti yang sepatutnya. Sepatutnya apabila sudah ada kitab wahyu di tangan, maka kitab itu hendaklah menjadi panduan kepada mereka. Namun itu tidak terjadi.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ يُدعَونَ إِلىٰ كِتٰبِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم وَهُم مُّعرِضونَ

Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian daripada Kitab, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak daripada mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ

Tidakkah engkau pelik memikirkan terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian daripada Kitab,

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Ahli Kitab yang diberi sedikit sebanyak maklumat tentang wahyu Allah SWT. Mereka sudah ada Kitab Taurat dan mereka tahu serba sedikit ilmu daripadanya.

Perkataan نَصيبًا (sebahagian) bermaksud bahagian yang boleh diambil manfaat daripadanya. Memang ada banyak pengajaran di dalam Kitab Taurat itu. Allah  SWT memberi isyarat dalam ayat ini yang mereka telah diberikan nikmat yang amat besar.

يُدعَونَ إِلىٰ كِتٰبِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم

mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim di antara mereka.

Patutnya apabila mereka sudah tahu serba sedikit tentang kitab, maka lembut sikitlah hati mereka untuk menerima kebenaran sepatutnya. Patutnya apabila mereka diajak untuk belajar kitab Al-Qur’an pula, biar sempurna ilmu mereka dan supaya hukum agama tertegak, mereka ikutlah. Merekalah yang sepatutnya beriya-iya untuk belajar dan belajar sampai habis.

Mereka sepatutnya menggunakan kitab itu untuk berhukum sesama mereka supaya menegakkan keadilan. Sekali lagi tentang keadilan disebut.

ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم وَهُم مُّعرِضونَ

satu puak daripada mereka berpaling ingkar terus menerus menolak

Tetapi ada yang degil berpaling. Kalimah فَريقٌ bermaksud ada puak yang buat pecahan yang baru dan buat kumpulan baru. Kalau dalam parti politik, ini mereka yang buat parti serpihan.

Mereka terus menerus degil tidak mahu ikut seluruh syariat. Mereka tahu tetapi tidak mahu ikut (hanya kerana degil sahaja). Ini sama seperti orang kita yang sudah tahu tentang kepentingan Al-Qur’an. Dan memang mereka sayang pun kepada Al-Qur’an dan kerana itu mereka selalu baca setiap hari, mahal ada yang hafal pun.

Namun, malangnya mereka tidak jadikan Al-Qur’an sebagai sumber hukum dalam kehidupan mereka. Kalau kita beritahu yang perbuatan mereka berlawanan dengan Al-Qur’an, mereka tidak terima. Ini kerana mereka hanya baca sahaja Al-Qur’an itu, tidak memahaminya.

Tafsir Ayat Ke-24

Allah beritahu kenapa mereka berdegil tidak mahu terima kebenaran yang telah disampaikan kepada mereka. Inilah punca kenapa golongan ahli kitab itu berani menolak kebenaran. .

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ ۖ وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”. Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”.

Ini akidah Puak Yahudi dan Nasara. Mereka sangka (perasan) yang mereka akan masuk neraka paling lama pun selama 40 hari sahaja. Sebab itu mereka berani buat apa sahaja kerana mereka sangka mereka kalau masuk neraka pun tidak lama.

Oleh kerana ada akidah ini, jadi mereka sampaikan tidak takut menipu dalam hal agama. Mereka tahu ada neraka, tahu mereka mungkin akan masuk tetapi mereka sangka kalau masuk pun sekejap sahaja. mereka sangka mereka itu umat terpilih. Macam seorang ayah, tidaklah hendak hukum lama sangat anak kesayangan dia, bukan?

Dalam ayat ini digunakan lafaz مَعدوداتٍ. Ianya bermaksud jumlah yang banyak tetapi tidak banyak sangat. Ini adalah salah satu daripada ilmu nahu bahasa Arab. Dalam Surah Baqarah, ayat 80, digunakan lafaz مَعدودَةً. Oleh kerana kalimah yang digunakan berlainan, ia bermaksud jumlah yang lebih banyak.

Oleh itu, مَعدوداتٍ adalah bilangan yang kurang daripada مَعدودَةً. Kenapa digunakan kalimah yang berbeza (tetapi bila diterjemahkan sama sahaja)? Ini adalah kerana dalam Surah Ali Imran ini, tidak banyak diberitahu dosa-dosa mereka. Sedangkan dalam Surah Baqarah, lafaz مَعدودَةً itu keluar selepas banyak dosa-dosa puak Yahudi disebut.

وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam agama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

Mereka diperdaya oleh fahaman sesat mereka. Mereka sendiri yang reka fahaman sesat itu. Pendeta dan ulama’ agama mereka telah memutar-belit agama dan mereka terus percaya (tanpa usul periksa lagi). Mereka tidak periksa sama sekali sama ada yang disampaikan itu ada dalil atau tidak. Ini macam masyarakat kita juga, kalau ustaz cakap begini dan begitu, masyarakat yang jahil akan terima bulat-bulat sahaja. Macam mereka tidak ada akal untuk periksa sendiri.

Begitulah akidah sesat golongan ahli kitab. Padahal tiada dalil sahih yang kata mereka akan kena azab sekejap sahaja. Inilah bahaya propaganda. Mungkin pada mulanya ada yang cakap satu idea yang tiada asas. Tetapi apabila sudah ramai yang terima, ramai yang cakap benda yang sama, ia sudah jadi macam fakta, padahal asalnya tidak.

Masyarakat kita pun ada fahaman sesat ini. Mereka kata “kalau masuk neraka, orang Muslim akhirnya akan masuk syurga juga, bukan?” Tentu anda pernah dengar kata-kata sebegini. Maka fahaman itu menyebabkan ramai Muslim yang rasa selamba sahaja, macam tidak takut kalau buat dosa. Yakin benar mereka yang mereka akan masuk neraka sekejap sahaja dan akhirnya akan masuk syurga.

Siapa yang ada bagi janji kepada mereka, begitu? Apa mereka sangka neraka itu macam kena tahan di penjara dunia sahajakah? Amat malang sekali kepada mereka yang ada fahaman sebegitu.

Tafsir Ayat Ke-25

فَكَيفَ إِذا جَمَعنٰهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang dia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

فَكَيفَ إِذا جَمَعناهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ

Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya;

Bagaimana agaknya mereka pada Hari Kiamat itu? Bahasa yang digunakan menunjukkan ketakjuban. Hari itu pasti datang dan mereka akan mendapat balasan mereka. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan mereka lalui nanti. Tidakkah mereka pernah terfikir? Tidakkah mereka takut?

Maka kita pun kena ingat selalu perkara ini. Kena kenang apalah balasan untuk kita di akhirat kelak. Jangan fikir hal dunia sahaja tetapi fikirkan juga hal-hal akhirat yang pasti datang. Mahu fikir atau tidak, ia tetap datang (kerana ia tidak syak lagi, pasti akan datang).

وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ ما كَسَبَت

dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan,

Manusia akan dapat balasan yang setimpal dengan apa yang dilakukannya di dunia. Kalau dia pernah melakukan kesalahan akidah sesat, maka dia akan kekal dalam neraka (bukan sementara sahaja).

Apa sahaja yang Allah lakukan, ianya pasti adil. Apa sahaja balasan yang Allah berikan, memang ia patut diberikan kepada orang yang menerimanya.

Ayat ini juga dalil bahawa kita hanya mendapat hasil daripada usaha kita sahaja. Maka, kalau sedekah atau hadiah pahala tidak sampai. Maka jangan berharap subsidi pahala daripada anak beranak. Kena usahakan sendiri.

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

Mereka tidak akan diberikan azab melainkan apa yang mereka buat sahaja. Tidaklah macam di dunia, kadang-kadang mahkamah kenakan hukuman kepada orang yang tidak bersalah. Allah SWT tidak zalim dan tidak pernah tersilap. Apa-apa sahaja yang Allah SWT lakukan, tidak pernah dan tidak akan zalim.

Tafsir Ayat Ke-26

Ini adalah natijah daripada fahaman yang tauhid, maka doa pun dalam bentuk tauhid juga. Ayat ini mengajar kita untuk minta kepada Allah SWT sahaja. Kalau minta kepada wali dan Nabi SAW, itu tanda orang yang ada masalah dengan tauhid.

Ini adalah salah satu daripada doa yang masyhur dalam masyarakat kita. Ayat ini selalu dibaca dalam Majlis Tahlil. Adakah mereka yang membacanya tahu maksud ayat ini agaknya? Mereka mungkin tidak tahu kerana mereka masih mengamalkan amalan bid’ah (Majlis Tahlil). Mereka hanya ikut-ikut sahaja amalan tok nenek dahulu tanpa melihat kepada dalil.

Jadi ayat ini adalah doa yang bagus untuk kita amalkan. Kalau kita lihat di dalam Al-Qur’an terdapat dua jenis doa yang disebut:

  1. Ada jenis doa yang Allah SWT pulangkan kembali kata-kata manusia untuk dijadikan sebagai contoh doa kepada kita. Maknanya kita boleh minta dengan cara kita sendiri.
  2. Tetapi ada doa yang Allah SWT sendiri ajarkan pada kita untuk menyebutnya seperti yang Allah SWT gunakan di dalam ayat ini. Allah SWT sendiri suruh kita sebut dengan cara seperti yang tertulis kerana ada perkataanقل ‏ (katakanlah) di awal ayat ini.

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ ۖ بِيَدِكَ الخَيرُ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!

Maksud اللَّهُمَّ adalah cara panggilan kepada Allah SWT. Ia diterjemahkan: “Ya Allah!”. Doa Nabi selalu menggunakan اللَّهُمَّ. Maka, elok kalau kita guna cara begitu.

Dialah Allah dan Dia sahaja yang memiliki kerajaan yang sebenar. Maksud المُلكِ adalah kerajaan yang besar.

Ada perbezaan antara maksud مالِكَ dan المُلكِ walaupun bunyinya seakan-akan sama. Maksud مالِكَ adalah ‘memiliki’. ‘Memiliki’ maksudnya ada benda yang menjadi hak kita. Macam kita miliki rumah atau pen.

Tetapi kalimah المُلكِ bermaksud kerajaan besar yang selalunya ditadbir oleh seorang Raja. Walaupun dia Raja, tidaklah dia memiliki semuanya seperti rumah dan pen. Jadi, apabila Allah SWT menggunakan perkataan المُلكِ dan مالِكَ ini, maksudnya Allah  SWT memiliki kerajaan yang besar dan apa-apa sahaja yang kecil-kecil. Allah memiliki yang makro dan mikro.

تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ

Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,

Allah SWT yang beri kuasa kerajaan di dunia. Ini adalah antara perkara yang tidak dapat dijangka. Ada orang yang tidak pernah sangka akan menjadi raja, akhirnya menjadi raja.

Sebagai contoh, dalam kerajaan Melayu dahulu, keturunan Raja-Raja telah ditetapkan. Tetapi apabila Kerajaan British campurtangan, mereka telah menukar Sultan yang tidak mahu mengikut telunjuk mereka dengan orang lain. Orang yang tidak sepatutnya menjadi raja, dia pula yang dinaikkan jadi Sultan.

Begitulah juga dengan Nabi Muhammad SAW bukanlah berdakwah mengajar agama kerana hendakkan kuasa pemerintahan. Tetapi kuasa memerintah diberikan juga kepada baginda untuk menegakkan hukum agama. Ini kerana apabila hendak menegakkan undang-undang agama Islam, maka kenalah ada kerajaan dan kuasa dahulu.

وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ

dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah SWT boleh ambil balik kerajaan yang telah diberikan-Nya. Ada kerajaan yang besar yang tidak sangka boleh diambil. Sepertimana  Allah SWT ambil kekuasaan Hosni Mubarak di Mesir tidak lama dahulu. Kerajaan di Malaysia pun begitu juga. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tetapi akhirnya jatuh juga. Itu memang tidak disangka.

Kalau beberapa tahun sebelum itu ditanya adalah Hosni Mubarak akan kehilangan kuasa dia, orang akan pandang kita dan kata: “Engkau dah gila?”. Tetapi segala-galanya dalam kekuasaan Allah SWT. Allah SWT boleh beri dan Allah SWT boleh tarik. Kalau kita sedang berada di tampuk pemerintah tertinggi mana pun, ingatlah yang kita tidak selama-lamanya ada di situ.

Ibnu Abbas ada menafsirkan lafaz al-Mulk dalam ayat ini adalah an-nubuwwah. Kerana ada kekuasaan kepimpinan dalam nubuwwah juga. Maksudnya Allah SWT boleh memberi dan menarik nubuwwah daripada mana-mana golongan sahaja dan diberikan kepada mereka yang lain. Sebagaimana dulu Allah SWT beri wahyu kepada Bani Israel, tetapi kemudian Allah SWT telah tarik dan beri kepada Bani Ismail iaitu Nabi Muhammad SAW dari Bani Ismail – bangsa Arab.

وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ

Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki,

Allah boleh muliakan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Kita pun kadang-kadang boleh lihat dalam masyarakat kita, orang yang tidak pernah dikenali sebelum itu, tiba-tiba jadi terkenal dan tersohor dalam masyarakat. Ada orang yang tidak ada harta tetapi mulia di mata orang.

Sebagai contoh, dalam sejarah banyak kali kita dengar, bagaimana ulama’ yang tinggi ilmu agama mereka, dan besar jiwa mereka dihormati oleh manusia walaupun mereka tidak ada kuasa pemerintahan. Sebagai contoh, Imam Malik amat dihormati oleh Khalifah. Dan banyak lagi kisah yang kita biasa dengar.

وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ

dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah SWT boleh malukan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Orang yang dipandang tinggi selama hari ini, tiba-tiba ada rahsia dia yang keluar dalam berita sampaikan menghinakan orang itu. Daripada pemimpin negara yang besar, boleh jatuh sampai jadi sampah masyarakat.

بِيَدِكَ الخَيرُ

di tangan-Mu kebaikan

Segala kebaikan adalah kepada Allah SWT. Maksudnya, segala apa sahaja yang Allah SWT buat adalah baik belaka. Jangan kita pertikai apa yang Allah SWT telah lakukan. Kena redha dengan apa yang Allah SWT telah rancang dan jalankan. Jangan kita gunakan akal kita yang lemah ini untuk menilai baik dan buruk apa yang Allah SWT lakukan.

إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah SWT boleh lakukan apa sahaja yang Allah SWT mahu. Keputusan Allah SWT tidak tertakluk dengan apa-apa sebab pun. Sebab? Sebab Dia Tuhan. Siapa kita untuk mempertikaikan apakah yang Allah SWT hendak lakukan?

Allah SWT hendak memberitahu yang sebelum ini tampuk agama adalah pada Bani Israel, ramai Nabi daripada kalangan mereka. Tetapi sekarang Allah SWT sudah buat keputusan untuk memberi tampuk itu kepada orang lain – Nabi Muhammad SAW daripada bangsa Arab. Lahir dari Tanah Arab yang kering kontang itu dan telah mengubah dunia.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan