Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah An-Nisa’: Tafsir Ayat Ke-4 hingga Ke-6 (Pemberian Mahar)

Tafsir Surah An-Nisa’: Tafsir Ayat Ke-4 hingga Ke-6 (Pemberian Mahar)

10
0
Iklan

Tafsir Surah an-Nisa Ayat Ke-4 hingga Ke-6 (Pemberian Mahar) 

Tafsir Ayat Ke-4:

Ini adalah hukum ketiga tentang hukum perkahwinan. Seorang wanita yang dikahwini, walau bukan anak yatim, kena diberikan mahar (maskahwin) kepada mereka.

Ini adalah hak mereka dan Islam mengembalikan hak itu kepada mereka. Pada zaman Jahiliah banyak kezaliman yang telah dilakukan tentang hal ini:

  1. Mahr tidak diberikan kepada isteri. Walinya ambil terus daripada suami dan dibuat harta sendiri. Maka, suami diajar untuk berikan terus kepada isteri atau kalau wali yang terima bagi pihak, maka dia kena terus beri kepada wanita itu.
  2. Ada bakal suami yang rasa terpaksa beri mahar jadi dia beri juga, tetapi dengan marah-marah dan tunjukkan ketidakpuasan hatinya.
  3. Ada suami yang buat-buat tidak tahu tentang mahar yang mereka patut beri. Mereka buat-buat lupa dan paksa isterinya lupa. Maka Islam ajar ia adalah hak isteri. Kalau isteri beri sendiri, baru boleh ambil.

Ini adalah perbuatan buruk zaman jahiliah, tetapi tidak mustahil ianya masih lagi diamalkan sekarang. Maka, dengan ayat-ayat ini, kita tahulah mana yang patut dilakukan.

وَءآتُوا النِّساءَ صَدُقٰتِهِنَّ نِحلَةً ۚ فَإِن طِبنَ لَكُم عَن شَيءٍ مِّنهُ نَفسًا فَكُلوهُ هَنيئًا مَّريئًا

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang penuh kerelaan. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

وَءآتُوا النِّساءَ صَدُقٰتِهِنَّ نِحلَةً

Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian.

Lafaz صَدُقاتِهِنَّ diambil dari kalimah ص د ق yang bermaksud ‘benar’. Pemberian mahar itu menjadikan pernikahan itu benar. Menjadikan pernikahan itu sah dan halal di sisi syarak. Dalam bahasa Melayu kita, mahar itu dipanggil ‘maskahwin’.

Atau, sebagaimana sedekah itu dari keikhlasan hati, maka pemberian mahar itu juga hendaklah ikhlas dan sukarela daripada suami itu kepada isterinya.

Perkataan نِحلَةً digunakan apabila memberikan hadiah atau pemberian kepada perempuan. Ia adalah ‘hadiah kasih sayang’. Selalunya orang lelaki beri hadiah sebagai tanda kita kasih kepada mereka. Oleh kerana itu, pemberian mahar itu mestilah diberikan dengan mesra. Tidaklah diberikan dengan perasaan kedekut dan benci atau kerana terpaksa.

Ali ibnu Abu Talhah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa yang dimaksudkan dengan istilah نِحلَةً dalam ayat ini adalah mahar.
Muhammad ibnu Ishaq meriwayatkan daripada Az-Zuhri. daripada Urwah, daripada Siti Aisyah rha, bahawa نِحلَةً adalah maskahwin yang wajib.
Muqatil, Qatadah, dan Ibnu Juraij mengatakan bahawa nihlah ertinya faridah (maskahwin yang wajib), sedangkan Ibnu Juraij menambahkan bahawa maskahwin tersebut adalah maskahwin yang disebutkan.

Yang utama dalam perkataan mereka itu hendak menyatakan bahawa seorang lelaki diwajibkan membayar maskahwin kepada calon isterinya sebagai suatu keharusan. Hendaknya hal tersebut dilakukannya dengan senang hati. Sebagaimana seseorang memberikan hadiahnya secara suka rela, maka seseorang bakal suami diharuskan memberikan maskahwin kepada isterinya secara senang hati juga.

Pemberian mahar itu penting kerana ianya adalah hak seorang isteri, bukan hak wali. Ia untuk mereka gunakan, terutama jikalau perlu. Kalau apa-apa terjadi, itulah harta yang mereka boleh gunakan sebagai sara hidup mereka.

Jadi, seorang perempuan kena pandai dalam perkara ini. Janganlah ‘tidak kisah’ sangat. Kalau tidak kisah, tentulah lelaki suka. Namun, jika terjadi apa-apa, kepada siapa kamu hendak bergantung?

Malangnya orang kita letak mahar yang tinggi sangat. Selalunya ini dilakukan oleh para wali. Itu seperti hendak jual anak pula. Maka lelaki yang hendak berkahwin itu terpaksalah setuju juga. Tetapi kadang-kadang mereka beri dalam keadaan paksa rela. Maka, kita kenalah letakkan mahar yang sesuai kepada pasangan. Maknanya, kalau sudah beri tanpa kerelaan hati, tidaklah diberi dengan ‘mesra’.

Dan yang malangnya, itu bukanlah ‘mahar’, tetapi ‘belanja hangus’ iaitu wang itu digunakan untuk membayar perbelanjaan kenduri perkahwinan yang tinggi, bukannya diberikan kepada bakal isteri. Jika hendak ditegur tentang majlis perkahwinan orang kita, terlalu banyak yang hendak ditegur, dan saya rasa, sudah banyak ditulis oleh orang-orang lain.

Hasyim meriwayatkan daripada Sayyar, daripada Abu Saleh, bahawa seorang lelaki apabila menikahkan anak perempuannya, maka dialah yang menerima maskahwinnya, bukan anak perempuannya. Lalu Allah melarang mereka melakukan hal tersebut dan turunlah firman-Nya: Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kalian nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. (An-Nisa: 4)

Mahar itu sepatutnya menjadi hak seorang isteri. Oleh itu, sepatutnya wang itu disimpan oleh wanita itu sebagai hartanya. Bolehlah digunakan sebagai belanja atau digunakan sebagai kegunaan kecemasan jikalau ada apa-apa yang terjadi kepada suaminya. Tetapi kalau mahar itu 12.50 sahaja, apalah gunanya?

فَإِن طِبنَ لَكُم عَن شَيءٍ مِّنهُ نَفسًا

Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya

Jika si isteri buat keputusan untuk beri mahar itu kepada suami itu balik, itu hak dia kerana mahar itu adalah hartanya dan dia boleh buat apa yang dia suka dengan pemberian mahar itu.

Salah satunya dia boleh beri balik kepada suaminya yang asalnya telah memberikan mahar itu kepadanya. Mungkin kerana dia hendak membantu suami yang dalam kesempitan wang.  Jadi, Allah ﷻ hendak memberitahu yang seorang suami boleh ambil pemberian isterinya itu asalkan dia memberi dari kerelaan hatinya dan bukan kerana paksaan.

Tetapi yang hendak ditekankan, hendaklah isteri itu beri sendiri ikhlas dari kehendak hatinya. Bukanlah kerana dia dipaksa atau dia dihasut untuk memberikannya. Kena ada kerelaan hati dalam hal ini.

Ini juga termasuk dalam hal lain: kalau beri sumbangan atau derma, kenalah orang yang beri itu memang hendak beri secara ikhlas. Jangan dipaksa-paksa, walaupun permintaan derma itu untuk bina masjid sekali pun.

فَكُلوهُ هَنيئًا مَّريئًا

maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, senang hati

Kalau si isteri dengan rela hati hendak memberi kepada suaminya, maka seorang suami boleh ambil balik pemberiannya itu. Ini tidak dikira ‘buruk siku’ – tidak termasuk larangan mengambil balik hadiah yang telah diberi.

Kalimah هَنيئًا dikenakan untuk sesuatu yang kita dapat tanpa usaha daripada kita. Macam hadiah, ia bukanlah dari usaha kita tetapi orang hendak beri. Oleh itu terimalah hadiah pemberian si isteri itu dengan senang hati, jangan jual mahal.

Kalimah مَريئًا pula adalah rongga tenggorokan dari tekak ke perut. Selalunya digunakan untuk makanan atau minuman yang senang dimakan kerana senang sahaja turun dari tekak ke perut.

Maksudnya, ambillah pemberian itu dengan berselera dan gembira. Senang hati kerana tidak ada tegahan syariat.

Tafsir Ayat Ke-5

Ini hukum keempat. Sekarang kembali kepada pengurusan harta anak yatim.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut pemberian hak kepada anak yatim dan isteri. Maka, janganlah kita sangka semua harta perlu diberikan kepada mereka. Ini kerana kenalah ada pemeriksaan sama ada mereka layak menerimanya atau tidak.

Allah ‎ﷻ mengajar supaya jangan menyerahkan harta anak yatim kepada anak yatim itu sehingga dia boleh menguruskan hartanya sendiri. Mungkin kita diamanahkan dengan harta anak yatim yang kecil lagi atau dia sudah besar tetapi tidak pandai menguruskannya sendiri. Ini seperti orang yang apabila diberikan duit yang lebih banyak dari kebiasaannya, maka dia akan menghabiskannya begitu sahaja.

Orang sebegini tidak boleh diberikan hartanya lagi walaupun itu memang haknya. Hanya apabila dia sudah bersedia dan pandai menjaga hartanya itu, maka barulah boleh diserahkan kepadanya.

Dan semasa menyerahkan harta itu kenalah carikan saksi supaya mereka berpuas hati yang kita telah berlaku adil agar tidak ada ketidakpuasan selepas itu.

وَلا تُؤتُوا السُّفَهاءَ أَموٰلَكُمُ الَّتي جَعَلَ اللهُ لَكُم قِيٰمًا وَارزُقوهُم فيها وَاكسوهُم وَقولوا لَهُم قَولًا مَّعروفًا

Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

وَلا تُؤتُوا السُّفَهاءَ أَموٰلَكُمُ الَّتي جَعَلَ اللهُ لَكُم قِيٰمًا

Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta kamu, (harta) yang menjadi kehidupan;

Peliharalah harta yang kamu telah lantik menjadi penjaga. Selalunya penjaga anak yatim ini dilantik oleh mahkamah. Ini kerana kadang-kadang seorang anak yatim mempunyai harta yang ditinggalkan oleh walinya, tetapi oleh kerana dia tidak cukup umur dan tidak cukup akal lagi untuk menjaganya, maka mahkamah akan melantik seorang penjaga untuk menguruskan harta tersebut.

Sebagai penjaga amanah, hendaklah dijalankan amanah itu dengan sebaik mungkin. Jangan kerana sayang atau kasihankan anak yatim itu, maka terus diberikan kepada mereka. Penjaga amanah telah ditugaskan untuk menjaga harta dan kadangkala dengan tidak memberikan harta itulah yang termasuk sebagai ‘menjaga’ harta itu. Apabila Allah ‎ﷻ telah menjadikan kamu sebagai penjaga harta itu, maka jagalah sepertimana kamu menjaga harta kamu sendiri. Demikianlah Allah ‎ﷻ menggunakan kalimat أَموٰلَكُمُ (harta kamu).

Maka, walaupun harta itu adalah hak mereka, tetapi Allah ‎ﷻ sebutkan ‘harta kamu’ merujuk kepada harta semua yang terlibat. Segala harta itu merupakan pemberian daripada Allah ‎ﷻ kepada manusia untuk digunakan sebagai kelangsungan hidup dan kegunaan oleh masyarakat. Oleh sebab itulah tidak boleh diberikan begitu sahaja kepada  mereka yang tidak bertanggungjawab.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar yang harta itu bukan kepunyaan individu maka dia boleh berbuat sesuka hatinya sahaja. Harta itu telah menjadi tanggungjawabnya, tetapi dia kenalah menggunakannya dengan hemah. Kalau dia mempunyai harta dan dia tidak menggunakannya dengan baik, ada kemungkinan dia boleh merosakkan masyarakat. Berapa banyak kita tengok masyarakat yang rosak kerana dilambakkan kekayaan kepada mereka?

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar supaya jangan serahkan harta anak-anak yatim itu kalau mereka belum bersedia lagi kerana diberikan juga, tentu mereka akan menghabiskan harta itu begitu sahaja, kerana akal mereka tidak dapat menjaganya.

Harta itu mungkin habis begitu sahaja sama ada mereka ditipu kerana mereka bodoh ataupun mereka akan kehabisan harta mereka kerana mereka boros dan tidak tahu menilai harta.

Lafaz قِيامًا bermaksud ‘asas kehidupan’. Jikalau diberikan kepada yang tidak tahu menjaganya, maka harta itu akan habis dan tidak dapat digunakan untuk menyambung kehidupan.

Islam amat menjaga kepentingan harta. Harta itu sendiri bukanlah buruk kerana ia diperlukan untuk kehidupan. Yang menjadi masalah kalau harta itu digunakan untuk benda yang salah; atau kalau seseorang itu lupa diri dan lupa agama kalau diberikan dengan harta yang banyak.

Maka, tidak salah kalau ada harta yang banyak, tetapi janganlah kerana harta itu menyebabkan terkandasnya agama.

وَارزُقوهُم فيها وَاكسوهُم

dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya

Janganlah tidak diberi langsung dari harta yang ditinggalkan oleh wali mereka itu kepada mereka. Gunakanlah sedikit dari harta itu untuk makan dan pakaian mereka. Harus diberikan untuk keperluan sahaja. Mestilah bersikap amanah sebagai penjaga amanah.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah فيها (darinya). Ini bermaksud, bukan diambil dari harta itu kerana kalau diambil dari harta itu, lama-kelamaan harta tersebut akan habis dan nanti apabila anak-anak yatim itu sudah dewasa, sudah tidak ada apa yang boleh diberikan kepada mereka.

Maka, belanja yang diberikan kepada anak yatim itu diambil dari ‘keuntungan’ dari harta mereka. Maknanya harta mereka itu diniagakan atau dilaburkan supaya ia berkembang.

وَقولوا لَهُم قَولًا مَّعروفًا

dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Kita haruslah berkomunikasi dengan baik apabila bercakap dengan mereka. Jika anak itu meminta supaya diberikan hartanya kepadanya, kenalah jawab dengan ucapan yang baik yang senang untuk didengar.

Beritahulah yang harta itu sememangnya hak mereka, tetapi belum sesuai lagi untuk diberikan kepada mereka. Janganlah berkata dengan kasar pula kepada mereka.

Juga bermaksud, layanlah mereka dengan baik di dalam segenap hal. Mereka itu adalah anak yatim dan memerlukan kasih sayang seorang wali. Mereka telah kehilangan wali mereka dan memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar untuk masa hadapan mereka. Maka, gaulilah mereka dengan baik.

Kita diajar dalam ayat ini dan ayat-ayat lain supaya berkata-kata dengan baik terhadap mereka. Bukan kepada mereka sahaja akan tetapi kepada manusia lain pun kita kenalah menggunakan kata-kata yang baik. Ini kerana kata-kata yang buruk, akan menyebabkan orang pecah hati dan boleh menyebabkan kesedihan atau berkelahi. Ini kita boleh lihat dalam [ Isra’: 53 ]:

وَقُل لِعِبادي يَقولُوا الَّتي هِيَ أَحسَنُ ۚ إِنَّ الشَّيطانَ يَنزَغُ بَينَهُم ۚ إِنَّ الشَّيطانَ كانَ لِلإِنسانِ عَدُوًّا مُبينًا

Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.

Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan dalam kalangan manusia. Dan salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati.

Maka Qur’an banyak mengajar kita cara-cara berkomunikasi. Antaranya di dalam ayat ini:

  1. Qawlan Ma’roofan: kata-kata yang senang difahami.
  2. Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam [an-Nisa:9 ] bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Cakaplah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.
  3. Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam [an-Nisa:63]. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia biar sampai nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas kepada jiwa.
  4. Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam [Isra’:23]. Menegur dengan menggunakan kalimah yang sesuai. [Isra’:23] adalah tentang berkomunikasi kepada ibubapa. Kalau mereka salah, memang boleh ditegur tetapi kenalah menggunakan kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua memang mesti bersesuaian dengan caranya. Bercakaplah dengan mereka dan orang lain pun dengan adab.
  5. Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam [Isra’:28]. Menggunakan ucapan yang lembut. Ayat [Isra’:28] ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tetapi tidak mampu untuk membantu pada waktu itu. Maka, kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan jangan berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan makin terseksa.
  6. Qawlan Layyinan: seperti yang disebutkan di dalam [Taha:44]. Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutamanya kepada mereka yang telah melakukan kesalahan. Akan tetapi kita kenalah cuba kerana ayat [Taha:44] ini adalah arahan daripada  Allah ‎ﷻ kepada Nabi Musa عليه السلام untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.

Tafsir Ayat Ke-6 

Sebelum beri harta itu, kena uji mereka sama ada mereka sudah layak untuk mengurusnya.

وَابتَلُوا اليَتٰمىٰ حَتّىٰ إِذا بَلَغُوا النِّكاحَ فَإِن ءآنَستُم مِّنهُم رُشدًا فَادفَعوا إِلَيهِم أَموٰلَهُم ۖ وَلا تَأكُلوها إِسرافًا وَبِدارًا أَن يَكبَروا ۚ وَمَن كانَ غَنِيًّا فَليَستَعفِف ۖ وَمَن كانَ فَقيرًا فَليَأكُل بِالمَعروفِ ۚ فَإِذا دَفَعتُم إِلَيهِم أَموٰلَهُم فَأَشهِدوا عَلَيهِم ۚ وَكَفىٰ بِاللهِ حَسيبًا

Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah dia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).

 وَابتَلُوا اليَتٰمىٰ حَتّىٰ إِذا بَلَغُوا النِّكاحَ

Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa) sampai boleh menikah.

Anak-anak yatim itu kena diuji dulu dalam urusan harta. Cuba beri lebih sikit perbelanjaan kepada mereka dan lihat sama ada mereka habiskan atau tidak. Ini akan menunjukkan sama ada mereka boros atau tidak. Kalau dia tidak pandai lagi hendak hargai dan jaga harta, tentu apabila diberi sedikit akan habis, diberi banyak pun habis juga.

Kemudian uji sama ada mereka boleh bekerja atau tidak. Berikan sedikit tanggungjawab pekerjaan dan lihat sama ada dia boleh buat atau tidak. Ujilah dia dari semasa ke semasa sehingga cukup umur hendak kahwin. Itu adalah satu tanda umur yang seseorang itu sudah dewasa.

فَإِن ءآنَستُم مِّنهُم رُشدًا فَادفَعوا إِلَيهِم أَموٰلَهُم

Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya;

Kata آنَستُم bermaksud sesuatu perkara yang kita boleh nampak di luar sahaja kerana kita tidak tahu hati manusia. Oleh itu kita hanya boleh uji kecerdikan anak-anak yatim itu setakat yang boleh sahaja, iaitu secara luaran sahaja.

Lafaz رُشدًا maksudnya bijak, termasuklah antaranya bijak mengurus harta. Kita boleh lihat dari pengamatan kita. Islam tidak meletakkan had masa kerana ini adalah tentang akal: ada yang cepat pencapaian akalnya dan ada yang lambat.

Akan tetapi kalau umurnya sudah 25 tahun, terpaksa jugalah beri hartanya kerana ada orang yang sampai bila-bila pun tidak akan pandai hendak jaga hartanya. Maka, tidaklah diberi langsung hartanya sendiri?

وَلا تَأكُلوها إِسرافًا وَبِدارًا أَن يَكبَروا

dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa.

Jangan ambil dari harta itu lebih dari yang sepatutnya. Islam membenarkan mereka yang diamanahkan untuk menjaga harta anak yatim untuk mengambil dari harta itu kerana ada yang penjaga amanah pun miskin juga.

Kemungkinan juga apabila dia sudah diamanahkan untuk menjaga harta itu, dia sudah tidak boleh bekerja seperti biasa kerana dia kena menguruskan harta itu pula.

Maka, dalam keadaan itu Allah ﷻ izinkan untuk mengambil dari harta itu untuk keperluan hidup, tetapi berpatutan. Lebih kurang tidak apa kalau hendak ambil untuk kegunaan sendiri. Cuma jangan berlebihan (israaf). Jangan kita bermewah pula dengan harta yang asalnya bukan hak kita pun, tetapi hak anak yatim.

Ingatlah yang itu adalah harta anak yatim dan telah disebut bahawa mengambil darinya adalah dosa besar. Cuma Islam membenarkan mengambil yang sekadar patut sahaja. Maka, yang pertama jangan israaf.

Yang kedua, janganlah kamu ambil harta itu cepat-cepat sebelum serah harta itu kepada mereka. Jangan ada yang fikir mahu ambil peluang sementara boleh iaitu sebelum anak yatim itu dewasa. Ini kerana ada yang teringat yang setahun lagi anak itu akan dewasa, maka hendak cepat-cepat ambil harta itu dalam masa setahun ini. Ini adalah satu kesalahan. Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam hati kita.

وَمَن كانَ غَنِيًّا فَليَستَعفِف

Dan sesiapa yang kaya, maka hendaklah dia menahan diri

Kalau penjaga harta anak yatim itu sendiri sudah kaya, tidaklah perlu ambil dari harta anak yatim itu untuk kehidupan dia. Maknanya, biarkan supaya semua harta anak yatim itu untukya sahaja, jangan ambil sedikit pun.

Kenapa perlu ambil lagi kalau kaya, kerana sudah ada harta sendiri, bukan? Bagaimana hendak tahu sudah kaya? Iaitu dia sendiri kena keluarkan zakat. Kalau diri sendiri pun keluarkan zakat, itu sudah dikira orang kaya.

Lagi pun dia sedang melakukan tanggungjawab dia sebagai pemegang amanah. Dan kalau menjalankan tanggungjawab, tidak boleh ambil upah atas tanggungjawab itu.

وَمَن كانَ فَقيرًا فَليَأكُل بِالمَعروفِ

dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya.

Kalau penjaga amanah itu seorang yang miskin, maka bolehlah dia ambil tetapi dengan cara yang baik dan yang patut sahaja. Bukanlah dia ambil secara sembunyi tetapi dengan terbuka. Dan dia kena rekodkan berapakah yang dia ambil kerana kena bentangkan nanti semasa pulangkan balik baki harta tersebut.

Allah ﷻ tidak menyebut berapa jumlah boleh ambil. Tidak ditetapkan, cuma Allah ﷻ sebut بِالمَعروفِ – maksudnya yang telah ‘diketahui’. Maknanya, diri sendiri pun sudah tahu yang itulah jumlah yang sesuai. Mengikut keadaan tempat dan keperluan. Orang yang baik akan tahu berapa banyak yang patut-patut.

Ibnu Abu Hatim mengatakan. telah menceritakan kepada kami Abu Said Al- Asyaj, telah menceritakan kepada kami Abu Khalid Al-Ahmar, telah menceritakan kepada kami Husain Al-Mukattab, daripada Amr ibnu Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya yang telah menceritakan bahawa ada seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu lelaki itu berkata, “Sesungguhnya aku mempunyai seorang anak yatim yang mempunyai harta, sedangkan aku sendiri tidak berharta, bolehkah aku ikut makan dari sebahagian hartanya?” Rasulullah Saw. menjawab:

بِالْمَعْرُوفِ غَيْرَ مُسْرِفٍ

Makanlah dengan cara yang makruf tanpa berlebih-lebihan!

(Imam Abu Daud, Imam Nasai, dan Imam Ibnu Majah meriwayatkannya melalui hadis Husain Al-Mu’allim).

Kita sendiri kena tanya diri kita. Jika hendak ambil banyak dan terlebih, bolehkah kita jawab depan Allah ﷻ taala nanti, kenapa kita ambil banyak? Kerana tidak ada orang yang jaga dan kawal diri kita, kita yang kena kawal diri kita sendiri. Dan kita kena ingat yang kita akan menjawab di hadapan Allah ﷻ nanti.

Jadi pengertian ayat ini seperti yang disebutkan di dalam ayat lainnya. Iaitu firman-Nya:

وَلا تَقْرَبُوا مالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

Dan janganlah kalian dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga ia dewasa. [Al-An’am: 152 dan Al-Isra’: 34]

Dengan kata lain, janganlah mendekati harta anak yatim kecuali dengan maksud untuk berbuat yang bermanfaat terhadapnya; jika kamu memerlukannya, kamu boleh memakan sebahagian darinya menurut cara yang patut.

فَإِذا دَفَعتُم إِلَيهِم أَموٰلَهُم فَأَشهِدوا عَلَيهِم

Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka.

Bila tiba waktu untuk serahkan harta tersebut kepada anak yatim, hendaklah dicari dua saksi. Ini adalah sunat agar anak-anak yatim itu puas hati dan tidak ada sangka buruk terhadap penjaga harta.

Jangan nanti budak itu kata kita tidak beri harta dia pula. Boleh dibentangkan berapa banyak yang telah digunakan, berapa banyak yang tinggal, berapa banyak yang telah dilaburkan dan maklumat-maklumat lain.

وَكَفىٰ بِاللهِ حَسيبًا

Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas

Allah ﷻ melihat segala apa yang kita lakukan. Allah ﷻ sudah cukup untuk menghitung berapa yang patut dipulangkan. Allah ﷻ lah sebaik-baik saksi. Ambil saksi daripada manusia itu sebagai syarat sahaja kerana saksi itu tidak tahu sebenarnya apa yang kita lakukan, namun Allah ﷻ tahu segala-galanya, kecil dan besar.

Allah ﷻ hendak beritahu bahawa sebagai penjaga, kita kena jujur dan ikhlas kerana Allah ﷻ sentiasa mengawasi apa yang kita lakukan dengan harta itu. Allah ﷻ lebih hebat dari akauntan atau auditor kerana semua dalam pengiraan-Nya. Jangan kita sangka yang kita boleh buat apa sahaja yang kita hendak dengan harta anak-anak yatim itu.

Maka, ini adalah tugas yang amat berat. Kalau rasa tidak mampu, janganlah ambil tugas ini.  Disebut dalam kitab Sahih Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“يَا أَبَا ذَرٍّ، إِنِّي أَرَاكَ ضَعِيفًا، وَإِنِّي أُحِبُّ لَكَ مَا أُحِبُّ لِنَفْسِي، لَا تَأَمَّرَن على اثنين، ولا تَلِيَنَّ مال يتيم”

Hai Abu Zar, sesungguhnya aku melihatmu orang yang lemah, dan sesungguhnya aku menyukai bagimu sebagaimana aku menyukai buat diriku sendiri. Jangan sekali-kali kamu memerintah atas dua orang, dan jangan sekali-kali kamu menjadi wali harta anak yatim.

Allahu a’lam.

 

Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

#Ilmu#Amal#Prihatin

Komen dan Soalan