Tafsir Surah an-Nisa Ayat 1 – 3 (Hak Anak Yatim)
Pengenalan:
Surah an-Nisa ini banyak mengandungi ayat-ayat Umur Munazimah. Ia tentang ayat-ayat yang mengajar bagaimana menjalani kehidupan kita dengan masyarakat. Ia adalah ayat-ayat asas tentang masyarakat Islam yang perlu dijaga.
Sepertimana Surah Baqarah berpasangan dengan Surah Ali Imran, Surah an-Nisa ini berpasangan dengan surah al-Maidah.
Ayat akhir surah Fatihah telah menyebut tentang empat golongan yang sesat. Surah Baqarah sebut tentang Yahudi, surah Ali Imran tentang Kristian dan surah Nisa ini tentang Munafiqin kerana merekalah yang merosakkan masyarakat Islam. Dan golongan musyrikin pula nanti akan disebut dalam surah An’am.
Ayat-ayat Umur Munazimah dalam Surah an-Nisa itu banyaknya tentang wanita dan kanak-kanak. Banyak nanti akan disebut tentang mereka dan penjagaan hak-hak mereka (huququl ibaad).
Ini penting kerana golongan itu selalunya tidak mendapat hak mereka sehingga mereka dijadikan barang harta yang boleh ditukar-tukar dan dipusakai. Mereka juga golongan yang paling teruk ditindas. Lebih-lebih lagi anak yatim kerana mereka kecil, lemah tubuh badan dan akal. Oleh itu, banyak ayat-ayat tentang menjaga mereka.
Haq-haq orang lain terjaga dalam perundangan agama, masyarakat dan juga mereka sendiri boleh meminta hak mereka. Namun, golongan kanak-kanak dan wanita ini lemah dan kerana itu memerlukan perlindungan. Maka, Allah sebut khusus tentang hak mereka dalam surah ini.
Dalam Surah Ali Imran sebelum ini telah disebut tentang taqwa dan sekarang disebut mereka yang bertaqwa akan jaga semua perkara-perkara yang akan dinyatakan dalam surah ini. Hanya orang bertaqwa sahaja yang akan menjaga tindak tanduk mereka mengikut kehendak Allah SWT.
Juga terdapat ayat-ayat Umur Munazimah mengenai rakyat dan pemimpin. Ini penting kerana banyak rakyat yang ditindas oleh pemimpin mereka. Maka, dalam surah ini para pemimpin diajar supaya jangan zalim dan negara mereka jangan ada kezaliman.
Maknanya mereka sendiri jangan berlaku zalim dan pastikan rakyatnya sendiri tidak menzalimi sesiapa. Barulah umat jadi baik dan boleh dakwah kepada manusia kerana kalau keamanan dan keadaan pemerintahan kita sendiri kacau bilau, tentu tidak boleh hendak menjalankan kerja dakwah dan jihad menentang negara-negara kufar untuk menyebarkan Islam.
Hebat sekali bagaimana Allah SWT menyusun ajaran-ajaran dalam surah an-Nisa ini. Ia tidak ada dalam ajaran agama lain. Maka, amat malang kalau orang Islam sendiri tidak tahu mengenainya. Sememangnya ramai yang tidak tahu menahu bagaimana Islam mempunyai hukum dan undang-undang bermasyarakat yang amat hebat. Kebanyakan umat Islam memang tahu yang agama Islam ini adil, bagus, baik, tetapi tidak tahu dengan pasti.
Mereka tidak boleh beri contoh kenapa Islam dikatakan adil. Oleh kerana tidak tahu, mereka hinggakan terpaksa ambil ilmu dari tempat lain, dan tidak rujuk Qur’an pun. Maknanya, mereka belajar dengan orang kafir pula. Ada juga yang kritik Islam dengan mengatakan Islam tidak adil sedangkan mereka tidak belajar pun apakah yang Islam kata.
Sebelum kita memulakan tafsir Surah ini, ada baiknya kita senaraikan dahulu susunan ayat-ayat dalam surah ini:
Ayat 1 – 57: menyebut 14 undang-undang Umur Munazimah tentang hak-hak asas manusia. Kebanyakannya untuk wanita dan anak yatim. Allah selit juga tentang tauhid secara ringkas.
Ayat 58 – 115: ayat-ayat Umur Munazimah juga tetapi undang-undang kepada pemerintah. Ada juga dimasukkan tentang tauhid namun lebih panjang. Ada ayat ‘Amalan Tiga Serangkai‘ untuk tolak bencana. Terdapat juga huraian tambahan hak rakyat dan pemerintah.
Ayat-ayat seterusnya pula adalah tentang Yahudi Nasara dan banyak lagi ayat tentang Munafikin.
Ringkasan dari Daurah Maulana Asri:
📚 04: Surah An-Nisa
🔸Tertib dalam Mushaf: 4
🔹Tertib diturunkan: 92
🔹Surah Madaniyyah.
🔸Bil Ayat: 176.
🔹Bil Ruku’: 24
🔸Bilangan Perenggan: 9
P1[4:1-43] MUKADIMAH. SYARIAT KEKELUARGAAN.
Syarat utk membentuk Ummat Wasato dan Khaira Ummah.
Selepas perang Uhud ramai juga umat Islam terkorban syahid hingga meninggalkan balu dan anak yatim. Maka turunlah an-Nisa menjelaskan beberapa syariat tentang:
▪️Penjagaan harta anak yatim
▪️Mas kahwin perempuan yang dinikahi
▪️Perempuan yang haram dinikahi
▪️Harta pusaka dan kiraan pembahagiannya.
P2: [4:44-57] PERINGATAN KEPADA AHLI KITAB.
Allah SWT menjawab dakwaan Ahli kitab yang mengatakan orang Arab musyrik lebih benar jalannya daripada para sahabat.
P3: [4:58-59] HAK RAKYAT DAN PENGUASA.
Berikan Amanah kepada mereka yang berhak. Tegakkan hukuman dengan adil.
P4:[4:60-104] MUNAFIK DAN JIHAD.
Sikap kaum munafik membahayakan keselamatan negara Islam. Mereka sering memberi alasan untuk tidak berjihad.
P5: [4:105-115] HIKMAH TURUNNYA AL-QURAN.
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah SWT wahyukan kepadamu, dan janganlah… [4:105]
P6:[4:116-134] Perselisihan Bani Israel dgn Bani Ismail
P7: [4:135-152] Bersihkan diri daripada Sikap Nifak dan Berlaku Adil.
P8:[153-175] KRITIKAN KEPADA AHLI KITAB.
Antara pendustaan dan kejahatan mereka:
▪️menuduh Maryam melakukan perbuatan keji
▪️mensekutukan Nabi Isa عليه السلام., Jibril عليه السلام.dengan Allah SWT
▪️membunuh Nabi-nabi terdahulu
▪️cubaan membunuh Nabi Isa عليه السلام..
▪️Orang Yahudi mengambil riba, menghalang orang daripada beriman.
▪️Menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW.
P9: 176] HUKUM TENTANG HARTA PUSAKA KALALAH.
Orang yang meninggal tetapi tidak punya anak.
Ayat Pertama: Ayat Takhwif
يٰأَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم مِّن نَفسٍ وٰحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنها زَوجَها وَبَثَّ مِنهُما رِجالًا كَثيرًا وَنِساءً ۚ وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي تَساءَلونَ بِهِ وَالأَرحامَ ۚ إِنَّ اللهَ كانَ عَلَيكُم رَقيبًا
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
يٰأَيُّهَا النّاسُ
Wahai sekalian manusia!
Allah bercakap kepada manusia seluruhnya. Maknanya, Qur’an ini adalah untuk seluruh umat manusia sama ada mereka yang dapat surah ini semasa ia diturunkan, atau pada bila-bila zaman pun selepasnya.
Namun, kita tahu orang bukan Islam bukan baca Qur’an pun. Maka ini mengajar kita bahawa sebagai orang Islam kenalah sampaikan kepada mereka. Kena jalankan kerja dakwah kepada orang bukan kerana ramai yang tidak dilahirkan dalam agama Islam dan mereka perlu ada orang untuk sampaikan dakwah kepada mereka. Kalau bukan kita yang sampaikan, siapa lagi?
اتَّقوا رَبَّكُمُ
Bertaqwalah kepada Tuhan kamu
Ini adalah suruhan pertama yang mesti disampaikan kepada manusia. Hendaklah umat manusia bertaqwa kepada Allah SWT dengan menjaga hukum-hukum yang telah diberikan-Nya. Antaranya, kenalah takut kepada Allah SWT kerana jika takut kepada Allah SWT, maka kita akan jaga hukum-hukum yang telah ditetapkan-Nya.
Antara ajaran dan hukum yang penting disebut dalam surah ini yang akan diajar nanti adalah cara berurusan dengan manusia. Cara kita berusan dengan manusia juga memerlukan taqwa. Allah akan ajar kita bagaimana untuk berurusan dengan manusia. Allah SWT sampaikan hukum-Nya kepada kita sebagai panduan hidup.
Allah SWT menggunakan nama-Nya Rabb dalam ayat ini untuk mengingatkan kita yang Dialah yang mengurus kehidupan dari kita lahir sampai bila-bila. Maka, kenalah bertaqwa kepada-Nya.
Kena taqwa kepada Rabb tetapi siapakah Rabb itu?
الَّذي خَلَقَكُم مِّن نَفسٍ وٰحِدَةٍ
yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam),
Dalil kenapa kita kena bertaqwa dengan Allah SWT adalah kerana Dia yang menjadikan kita dari tiada kepada ada. Allah SWT yang jadikan kita tetapi kita tidak taat kepada-Nya, memang tidak patut. Lebih-lebih lagi jika Allah SWT yang menjadikan kita, tetapi kita taat kepada selain daripada Allah SWT seperti syaitan dan nafsu, tentulah lagi tidak patut.
Allah SWT juga memberitahu kita bahawa asal kita semua sama sahaja, iaitu daripada Nabi Adam عليه السلام. Allah SWT hendak menceritakan tentang asal kejadian kita. Kita semua ini asalnya daripada seorang sahaja, jadi ada kaitan yang kuat antara kita semua.
Maka, bukan sahaja taqwa kepada Allah kita kena berbaik dan tidak zalim kepada orang lain, tetapi kerana kita ini asalnya satu. Memang sekarang berbangsa-bangsa dan berjenis-jenis kedudukan, tetapi asalnya satu sahaja. Kenalah ada kasih sayang sesama manusia.
وَخَلَقَ مِنها زَوجَها
dan yang menjadikan daripada (jenis Adam) itu pasangannya
Dan dari jenis Nabi Adam عليه السلامitu, dijadikan ibu kita, Hawa. Oleh itu, asal kita semuanya daripada pasangan ini.
Apabila digunakan kalimah من (dari) itu, bukanlah bermaksud Hawa dijadikan daripada Nabi Adam عليه السلام, tetapi dijadikan ‘dari jenis’ Nabi Adam iaitu golongan manusia juga. Maka, pasangan hidup kita adalah dari manusia juga. Justeru, tidaklah kita berkahwin dengan jin pula (walaupun ada juga pendapat boleh kahwin tetapi pada saya ini agak pelik).
Riwayat yang mengatakan Hawa dijadikan dari tulang rusuk Nabi Adam عليه السلام itu ada masalah sikit. Ia tidak ada dalam penulisan Islam tetapi ia ada dalam artikel Kristian dan Yahudi terutama dalam Kitab Talmud mereka. Jadi, tidak perlulah kita sibuk kata Hawa dijadikan dari tulang rusuk Nabi Adam عليه السلام pula.
Kekeliruan ini juga timbul kerana ada disebut di dalam sebuah hadis sahih berkenaan kejadian sifat wanita:
«إِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنِ اسْتَمْتَعْتَ بِهَا اسْتَمْتَعْتَ بِهَا وَفِيهَا عِوَجٌ»
Sesungguhnya wanita itu dijadikan seperti tulang rusuk, dan sesungguhnya rusuk yang paling bengkok adalah bahagian atasnya. Maka jika kamu bertindak untuk meluruskannya, nescaya kamu akan membuatnya patah. Tetapi jika kamu bersenang-senang dengannya, bererti kamu bersenang-senang dengannya, sedangkan padanya terdapat kebengkokan.
Kita kena tahu bahawa bukanlah wanita ini dijadikan ‘dari’ tulang rusuk, tetapi ‘seperti’ tulang rusuk. Ini adalah kerana kalimah من itu tidak semestinya bermaksud ‘dari’ sahaja, tetapi boleh juga bermaksud ‘seperti’.
وَبَثَّ مِنهُما رِجالًا كَثيرًا وَنِساءً
dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.
Dari dua pasangan itu, manusia berkembang biak sampailah sekarang. Kita semua asalnya sama sahaja. Maknanya semua manusia asal daripada dua ini sahaja, jadi kenapa zalim sesama sendiri? Semua kita anak beranak belaka.
Namun, manusia ada rasa benci kepada orang lain kerana bisikan syaitan. Syaitan yang membisikkan kebencian kepada golongan lain, kepada bangsa lain, keturunan lain.
Oleh itu, jangan bezakan antara kaum. Asal sahaja kita digelar ‘manusia’, kita semuanya satu. Oleh itu, jangan tengok ras dan warna kulit. Inilah masalah besar yang dihadapi oleh dunia sekarang. Ramai yang membanding-bandingkan keturunan, warna kulit, asal dari mana dan sebagainya.
Manusia selalunya akan mencari apakah perbezaan sesama mereka, tetapi tidak mahu melihat apakah persamaan antara mereka. Oleh itu kita kena ubah paradigma: bila tengok orang, carilah persamaan antara kita dan dia, bukannya cari perbezaaan.
وَاتَّقُوا اللهَ الَّذي تَساءَلونَ بِهِ
Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya,
Satu lagi dalil kenapa kita kena bertaqwa kepada Allah SWT. Allah SWT adalah tempat kita meminta segala hajat. Apa-apa hal kita minta kepada Allah SWT sama ada kecil atau besar. Tidak boleh meminta kepada selain daripada-Nya. Jika kepada Dia sahaja kamu meminta, maka taqwalah kepada-Nya, ikutlah segala hukum yang diberikan-Nya.
Tafsir lain: Ibrahim, Mujahid, dan Al-Hasan mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kalian saling meminta satu sama lain, (An-Nisa: 1) Yakni seperti dikatakan, “Aku meminta kepadamu dengan nama Allah dan hubungan silaturahmi.”
Oleh kerana itu, maka kita kenalah jaga hak orang lain. Kita selalu minta hak kita dan kata “atas ayat sekian-sekian dan hadis sekian-sekian, aku ada hak ini”. Jadi hak orang lain pun kita kenalah jaga juga. Jangan pandai ‘quote’ ayat Qur’an sebab mahu hak kita sahaja.
وَالأَرحامَ
dan rahim-rahim
Pendek sahaja potongan ayat ini. Allah SWTe merujuk kepada rahim wanita dalam ayat ini. Ia memberi isyarat kepada kita untuk menghormati emak kita. Masa kecil kita memerlukan emak, bukan? Sikit-sikit, “emak… emak…” Tetapi kenapa kita lupa bila dia sudah tua? Kenapa tidak telefon dia? Kenapa kena tunggu dia telefon kita, baru kita mahu bercakap? Kenapa kalau kita sibuk, kita tidak luangkan masa untuk bercakap dengan dia?
Dan bukan itu sahaja, kena hormati dan jaga hubungan dengan mereka yang ada kaitan dengan ‘rahim’. Maksud yang pertama adalah: jagalah dari memutuskan silaturrahim yang paling dekat sekali, iaitu keluarga adik beradik. Kena jaga kerana semuanya berasal dari rahim yang satu. Inilah maksud ‘silaturrahim’.
Oleh itu, jangan ada permusuhan sesama adik beradik, ahli keluarga yang terdekat. Ini yang penting kena jaga dahulu. Memang ada masalah yang besar dalam masyarakat. Kadang-kadang dengan orang lain boleh berbaik, cakap baik-baik, tolong menolong, tetapi dengan adik beradik sendiri sampai tidak bertegur sapa bertahun-tahun lamanya. Kita pun selalu dengar cerita begini, bukan? Ini amat buruk sekali. Ini adalah qat’al rahim (memutuskan hubungan silaturrahim).
Ini adalah perbuatan yang teruk sekali dan melawan suruhan Allah SWT dalam ayat ini. Allah SWT suruh berbaik dengan ahli keluarga, tetapi ada yang berkelahi bertahun-tahun. Kenduri kendara tidak datang, tidak jenguk kalau dia sakit, hendak hulur duit lagilah jauh sekali. Ini ikut ajaran mana?
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia menyambung tali silaturahim.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Kita sebagai manusia ada hubungan yang jauh dan ada yang dekat seperti adik beradik dan keluarga terdekat. Kalau boleh jaga hubungan yang dekat, semoga boleh jaga hubungan yang jauh sikit tetapi kalau adik beradik pun sudah tidak baik, apakah maksudnya?
Jagalah silaturrahim kerana banyak rahmat padanya:
“Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim.”(Hadis Riwayat Bukhari)
Dalam konteks yang lebih besar, kita semuanya berasal dari rahim yang satu – Hawa. Maka, hubungan dengan manusia lain pun kena jaga juga. Jangan hendak benci tidak tentu fasal dengan orang lain. Jangan menzalimi orang lain seperti kita tidak boleh menzalimi adik beradik sendiri. Kalau ini boleh difahami, tentulah aman dunia ini, bukan?
Jika sedekah pun kita tahu dianjurkan dalam Islam; tetapi tahukah anda, sedekah kepada ahli keluarga akan lebih banyak pahala lagi?
حدثنا أبو بكر بن أبي شيبة وعلي بن محمد . قالا حدثنا وكيع عن ابن عون عن حفصة بنت سيرين عن الرباب أم الرائح بنت صليع . عن سلمان بن عامر الضبي قال : – قال رسول الله صلى الله عليه و سلم ( الصدقة على المسكين صدقة وعلى ذي القرابة اثنتان صدقة وصلة )
Telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abu Syaibah, dan ‘Ali bin Muhammad, mereka berkata, telah menceritakan kepada kami waki’, daripada Ibnu ‘Aun, daripada Hafsahah bintin Sirin, daripada Rubab Ummur Raih binti Shali’, daripada Salman bin Amir Adh-Dhabbi, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, ‘Sedekah kepada orang miskin mendapatkan satu pahala sedekah, dan kepada kerabat mendapatkan dua pahala, (pahala) sedekah dan menyambung silaturahim. (HR. Ibnu Majah No. 1844 Juz 1 Halaman 591)
إِنَّ اللهَ كانَ عَلَيكُم رَقيبًا
sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
Sesungguhnya Allah Maha Mengawasi. Maksud رَقيبًا asalnya adalah ‘belakang leher’. Macam kalau kita pegang belakang leher binatang untuk mengawasi dan mengawalnya. Dan anak-anak kita pun kita buat begitu juga, terutama kalau berjalan di kedai mainan, kita pegang kepala dia supaya dia tidak nampak mainan di kedai itu kerana sedar apa yang dia sedang tengok.
Allah SWT gunakan lafaz رَقيبًا untuk memberi maksud yang Allah SWT mengawasi kita sentiasa. Dia tahu apa yang kita sedang lakukan. Dia boleh hukum kita kalau kita buat silap kerana Dia tahu sahaja apa yang kita telah lakukan. Maka, jangan sangka kita bebas. Hukum-hukum Allah ini kenalah diperhatikan dan ditaati.
Kalaulah kita dapat menyedarkan diri kita yang kita sentiasa dalam perhatian Allah SWT, tentu kita akan menjaga segala tindak tanduk kita. Bayangkan, kalau kita tahu ayah kita sedang melihat kita, tentu kita tidak berani hendak buat silap, bukan?
Begitu juga kalau kita tahu polis sedang memerhatikan kita, tentu kita tidak berani hendak mencuri, bukan? Maka cuba sedar yang Allah sedang memerhatikan kita. Di dalam sebuah hadis sahih disebutkan:
«اعْبُدِ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ، فَإِنَّهُ يَرَاكَ»
Sembahlah Tuhanmu seakan-akan kamu melihat-Nya; jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihat kamu.
Ada hukum dan undang-undang telah diberikan dalam Qur’an dan itu semua boleh dijalankan di mahkamah. Sesiapa yang haknya telah dilanggar, boleh mengadu di mahkamah. Namun, bagaimana dengan kanak-kanak dan wanita? Bagaimana dengan orang yang tertindas dan tidak ada peluang untuk mengadu kepada mahkamah? Maka, kerana itu Allah SWT ingatkan yang Dia sentiasa mengawasi segala perbuatan manusia.
Memang ahli keluarga tidak boleh mengadu kepada mahkamah kalau silaturrahim telah diputuskan, tetapi Allah SWT sentiasa melihat. Memang tidak boleh hendak mengadu kalau manusia ada yang rasis, tapi Allah sentiasa melihat.
Ayat Kedua:
Ayat pertama tadi adalah anjuran dalam bentuk umum untuk berbuat baik kepada semua manusia, kemudian kepada kaum kerabat. Sekarang kita masuk kepada lebih khusus lagi.
Undang-undang yang pertama adalah tentang anak yatim. Anak yatim adalah mereka yang hilang sokongan keluarga mereka, kerana mereka kehilangan ayah atau kehilangan ayah dan ibu.
Oleh kerana mereka telah hilang tempat bergantung, maka Islam mengajar kita untuk menjaga mereka yang hilang sokongan. Kerana itu ada ahli keluarga yang ditugaskan untuk menjaga anak yatim itu. Mungkin pakcik dia ataupun orang lain yang tidak ada kena mengena dari segi pertalian darah. Allah SWT menggalakkan perkara ini dengan memberitahu yang menjaga anak yatim ini adalah tugas yang mulia.
Namun, jangan salah gunakan kedudukan kita sebagai penjaga anak yatim itu. Ada tiga kezaliman yang biasa dikaitkan dengan anak yatim:
- pada harta mereka
- masa perkahwinan mereka
- pembahagian harta pusaka mereka
Hukum yang pertama ini memberitahu kita supaya jangan makan harta anak yatim. Memakan harta anak yatim adalah dosa yang amat besar. Sepatutnya kena jaga mereka dan harta mereka, bukannya ambil harta mereka.
وَءآتُوا اليَتٰمىٰ أَموٰلَهُم ۖ وَلا تَتَبَدَّلُوا الخَبيثَ بِالطَّيِّبِ ۖ وَلا تَأكُلوا أَموٰلَهُم إِلىٰ أَموٰلِكُم ۚ إِنَّهُ كانَ حوبًا كَبيرًا
Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.
وَءآتُوا اليَتٰمىٰ أَموٰلَهُم
Dan berikanlah kepada anak-anak yatim itu harta mereka,
Anak yatim adalah mereka yang telah kehilangan bapanya. Syaratnya mereka belum baligh lagi. Mungkin bapa kanak-kanak itu ada harta dan apabila bapa itu meninggal, ada orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga harta itu, bagi pihak anak yatim itu.
Penjaga itu mungkin dilantik oleh ayah sebelum dia meninggal, atau dipilih sendiri oleh anak yatim itu, atau dilantik oleh mahkamah.
Semasa anak yatim dalam jagaan orang yang diamanahkan untuk menjaganya, maka gunakan harta peninggalan emak ayah dia untuk membesarkan dia. Apabila hendak guna untuk makan pakai, persekolahan, boleh ambil dari peninggalan harta walinya.
Dan apabila anak yatim itu sudah cukup matang, sudah boleh jaga harta mereka sendiri, kita yang telah diamanahkan untuk menjaga harta mereka (semasa mereka kecil dan tidak mampu untuk menjaga sendiri harta itu), kena serahkan balik harta mereka yang masih berbaki. Maka, ayat ke-3 ini merujuk kepada ayat ke-5 nanti di mana apabila anak yatim itu sudah baligh dan boleh jaga harta, maka kena kembalikan hartanya.
Sebelum kita berikan harta mereka semula, kita kena ajar mereka cara jaga dan urus harta dan kalau sudah nampak mereka pandai jaga harta, kena serahkan balik harta mereka. Ini penting, kerana tentulah ada penjaga amanah yang jahat yang tidak menyerahkan balik harta anak yatim yang telah diamanahkan. Kebiasaannya manusia apabila sudah nampak harta mulalah gelap mata.
Maka, tersirat dalam ayat ini bukan sahaja penjaga amanah itu jangan makan harta anak yatim itu, tetapi dia kena berusaha sedaya mungkin untuk menjaga harta itu supaya terjaga, tidak berkurang dan tidak hilang sehinggalah anak yatim itu cukup dewasa untuk menjaganya sendiri. Jika tidak dijaga, apakah nanti yang dia akan pulangkan kepada anak itu?
وَلا تَتَبَدَّلُوا الخَبيثَ بِالطَّيِّبِ
dan janganlah kamu tukar-gantikan yang buruk dengan yang baik;
Jangan sesekali tukar harta itu. Jangan beri harta yang buruk kepada mereka dan ambil yang molek untuk kita. Semua hak mereka kena pulangkan kepada mereka. Berikan yang mana hak mereka dan jangan ditukarganti.
Sebagai contoh, janganlah sebab arwah ayah budak itu ada kereta yang cantik, kita berikan kereta yang buruk kepada budak itu, dan ambil kereta yang cantik. Jangan buat begitu kerana ada yang boleh bagi alasan: “eh.. aku bagi kereta jugalah!”.
As-Saddi mengatakan, “Seseorang di antara mereka mengambil kambing yang gemuk dari ternakan kambing milik anak yatim, lalu menggantikannya dengan kambing yang kurus, kemudian kamu katakan, ‘Kambing dengan kambing. Janganlah kamu mengambil dirham yang baik, lalu menggantikannya dengan dirham yang palsu, kemudian kamu katakan, ‘Dirham ditukar dengan dirham lagi’.”
Demikianlah semasa serahkan harta itu kepada anak yatim apabila dia dewasa, kena ada saksi supaya dia puas hati dan rasa tenang dengan pemberian kita itu. Supaya boleh dijelaskan manakah harta dia sendiri dan supaya dia boleh pastikan yang penjaga tidak ambil hak dia. Jangan ada pertelingkahan selepas itu.
Bab harta ini memang kena jaga betul-betul kerana dengan harta inilah yang menyebabkan bermasam muka, berkelahi tujuh keturunan. Malah ada yang sampai berperang kerana tidak puas hati bab harta. Justeru, untuk menjaga keharmonian masyarakat, Allah SWT telah ajar siap-siap apa yang perlu dilakukan.
Tafsir ayat ini secara umum (jika tidak berkenaan anak yatim):
Sufyan As-Sauri meriwayatkan daripada Abu Saleh, “Janganlah kamu tergesa-gesa dengan rezeki yang haram sebelum datang kepadamu rezeki halal yang telah ditakdirkan buatmu.”
Maknanya, bersabarlah berusaha dan menunggu untuk dapat rezeki yang halal. Jangan kalau ada peluang dapat rezeki cara haram, terus ambil pula. Allah SWT akan berikan rezeki yang halal nanti kepada kamu.
وَلا تَأكُلوا أَموٰلَهُم إِلىٰ أَموٰلِكُم
dan janganlah kamu makan harta mereka dengan harta kamu;
‘Makan’ dalam ayat ini, maksudnya ‘ambil’. Maksudnya, jangan campur harta anak yatim dengan harta penjaga. Ini penting kerana mungkin semasa ambil belanja untuk kegunaan sendiri, ada yang terambil sekali dengan hak anak yatim itu.
Lafaz إِلىٰ dalam ayat ini bermaksud مع (bersama). Kalau harta sendiri dan harta anak yatim dicampur sekali, ada kemungkinan boleh termakan harta anak yatim itu. Oleh itu, kita boleh halang perkara ini dari terjadi sejak awal-awal lagi. Sebagai contoh, jangan masukkan wang amanah itu ke dalam akaun kita. Nanti takut kita terambil duit dia pula. Letaklah dalam akaun yang lain.
Amat bahaya sekali kalau dicampur kerana kalau tidak berhati-hati mungkin kita terambil walaupun tidak ada niat. Kita kena cuba bezakan manakah harta dia dan harta kita supaya tidak bercampur.
إِنَّهُ كانَ حوبًا كَبيرًا
kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.
Makan harta anak yatim adalah dosa yang sangat besar. Allah SWT gunakan kalimah حوب dalam ini dan Ibn Abbas mengatakan ia diambil dari bahasa Habashah. Dan maksudnya ‘dosa besar’. Allah SWT hendak memberitahu yang harta anak yatim jika tidak dijaga, diambil, dicampurkan dengan harta penjaga, dimakan, itu semua adalah dosa yang besar.
Maka, kena jaga bersungguh-sungguh dan jaga sistem kewangan kita supaya perkara ini tidak berlaku. Kalau terambil pun sudah ada masalah, apatah lagi kalau sengaja ambil? Ini nanti akan disebut dalam ayat ke-10.
Kemudian, ada lagi penerangan dalam ayat-ayat yang lain yang menjelaskan lagi penggunaan wang amanah anak yatim itu kerana ada masanya, penjaga boleh juga ambil harta anak-anak itu. Ayat ke-2 ini berkenaan penjaga yang ada harta sendiri. Kalau sudah ada harta sendiri, janganlah makan anak yatim yang di dalam jagaannya.
Dan hukum ini amat ditakuti oleh para sahabat yang menjaga amanah anak yatim sampaikan mereka hendak makan sekali di meja makan pun tidak berani. Mereka takut termakan sekali makanan anak yatim itu. Maka, Allah SWT beri penerangan tambahan dalam ayat yang lain iaitu [ Baqarah: 220].
Tafsir Ayat Ke-3:
Undang-undang kedua masih ada kaitan tentang anak yatim. Dalam Islam, dibolehkan kahwin dengan anak yatim yang kita jaga. Ada kebaikan juga kalau berkahwin dengan mereka iaitu supaya mereka ada wali untuk menjaga mereka.
Dalam ayat sebelum ini telah disebut jangan ambil harta anak yatim. Salah satu cara yang digunakan oleh penjaga yang tidak amanah adalah dengan mengahwini anak yatim itu dan kemudian mengambil terus harta anak yatim itu. Maka Allah SWT melarang perlakuan itu dalam ayat ini.
‘Wali’ adalah mereka yang bertanggungjawab dan yang menjaga seseorang. Asalnya, wali mereka adalah ayah mereka sendiri. Tetapi, kalau mereka telah kehilangan ayah mereka, mereka tidak ada lagi wali yang sah (jika tiada adik beradik lelaki yang lain).
Kalau orang yang diberi tanggungjawab untuk menjaga anak-anak yatim (perempuan) itu rasa lebih senang untuk menjaga mereka kalau berkahwin dengan mereka, maka kahwinilah mereka. Jika mereka sudah jadi isteri, maka sudah ada kewajipan atas suami yang kena penuhi (kewajiban menjaga isteri). Maka, tujuan berkahwin dengan mereka itu adalah kerana hendak jaga mereka dengan lebih baik.
Namun, ingat, apabila hendak berkahwin dengan anak yatim, jangan abaikan hak mereka sebagai isteri pula. Kena beri mahar dan hak-hak lain. Kena beri semua itu, sekalipun wali sebenar mereka tidak ada. Jangan kita ambil kesempatan pula ke atas mereka. Oleh itu, kalau rasa tidak dapat menjaga hak mereka, maka elakkan dari berkahwin dengan anak yatim.
وَإِن خِفتُم أَلّا تُقسِطوا فِي اليَتٰمىٰ فَانكِحوا ما طابَ لَكُم مِّنَ النِّساءِ مَثنىٰ وَثُلٰثَ وَرُبٰعَ ۖ فَإِن خِفتُم أَلّا تَعدِلوا فَوٰحِدَةً أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُكُم ۚ ذٰلِكَ أَدنىٰ أَلّا تَعولوا
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
وَإِن خِفتُم أَلّا تُقسِطوا فِي اليَتٰمىٰ
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim
Orang lelaki yang diberikan amanah menjaga anak yatim perempuan boleh berkahwin dengan mereka jika mahu. Apabila berkahwin dengan mereka, kenalah jaga mereka sebagai isteri dan kena penuhi syarat-syarat sebagai suami. Maknanya ada tanggungjawab suami ke atas isteri.
Tetapi ayat ini memberitahu kita, kalau bimbang tidak boleh berlaku adil terhadap anak yatim itu, janganlah kahwini mereka. Sebaliknya, peliharalah sahaja sebagai amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Kahwinlah dengan orang lain (selain daripada anak yatim itu) yang akan disebut selepas ini nanti.
Persoalan: bukankah ‘anak yatim’ anak yang belum baligh? Bagaimana pula dia dikahwini? Maka, ada hukum di sini yang kita perlu tahu: boleh mengahwini wanita yang belum baligh.
Juga memberitahu kita yang penjaga anak yatim berkuasa untuk memberi kebenaran untuk anak yatim dikahwinkan. Maknanya mereka itu adalah wali kepada anak yatim itu tetapi mereka kenalah tengok siapakah yang akan berkahwin dengan anak yatim itu. Janganlah diberikan kepada lelaki yang tidak bertanggungjawab. Kenalah periksa kedudukan dan latar belakang lelaki itu.
Asalkan perkahwinan itu mengikut adat yang benar. Jangan gunakan cara ini untuk mengambil harta anak yatim itu pula kerana ada yang mengahwinkan anak yatim jagaannya dengan anaknya sendiri supaya harta tidak berpindah. Kadangkala anak lelakinya itu budak kecil lagi tetapi dikahwinkan dengan anak yatim yang lebih tua.
Anak yatim wanita yang telah baligh, tentulah mempunyai hak untuk menentukan siapakah pasangan hidupnya. Namun, selalunya mereka akan ikut sahaja kata-kata penjaga mereka. Maka, penjaga kenalah tengok kemaslahatan anak perempuan itu. Carilah lelaki yang baik untuknya.
فَانكِحوا ما طابَ لَكُم مِّنَ النِّساءِ
maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan
Kalau kamu takut tidak dapat berlaku adil kalau kahwin dengan anak perempuan yatim itu, janganlah kahwini mereka. Sebaliknya, boleh kahwin mana-mana wanita yang sesuai yang bukan anak yatim. Banyak lagi wanita lain di luar sana.
Kalimah طاب dari katadasar ط ي ب yang bermaksud ‘baik’, ‘suka’. Maka pilihlah mana yang berkenan di hati. Boleh kahwin lebih daripada seorang pun. Ada ulama mengatakan juga bermaksud ‘yang halal’ bagi kamu.
Jadi ada beberapa cara bagaimana mufassir memberi komentar mereka tentang ayat ini:
- Menurut Aisyah rha, pada zaman dahulu, ramai lelaki yang diamanahkan untuk menjaga anak yatim telah buat keputusan untuk mengahwini anak yatim itu kerana harta anak yatim itu, atau kerana kecantikan mereka atau kerana rasa yang mereka boleh buat apa sahaja terhadap anak-anak yatim itu kerana tidak ada wali lagi untuk memberi perlindungan kepada mereka.
Maka, mereka akan tetapkan sendiri mahar (yang rendah) dan kemudian harta anak itu mereka ambil. Mereka boleh buat begitu kerana anak yatim itu tidak ada wali lagi untuk mempertahankan haknya.
Oleh itu, Allah SWT beri peringatan dalam ayat ini: kalau tidak boleh berlaku adil, baik kahwin dengan orang lain sahaja. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan ayat ke-127 surah ini juga.
- Pendapat Ibn Abbas rh pula mengatakan yang pada zaman Jahiliah dulu, para lelaki memang berkahwin ramai, sampai ada yang kahwin sepuluh orang isteri. Dan apabila terlalu banyak isteri, maka mereka tidak dapat memberikan nafkah kepada para isteri dan kerana itu mereka makan harta anak yatim di bawah jagaan mereka.
Oleh kerana itu Allah SWT menghadkan bilangan isteri kepada 4 orang sahaja.
- Allah SWT hendak mengajar para lelaki untuk berlaku adil kepada para isteri dan kerana itu jangan berkahwin lebih kerana kalau berkahwin lebih, ada kemungkinan mereka akan berlaku zalim kepada para isteri itu. Apabila sudah ada ramai isteri, tentu tidak dapat memberi keadilan kepada semua sekali.
مَثنىٰ وَثُلٰثَ وَرُبٰعَ
dua, tiga atau empat.
Ayat ini yang ramai orang lelaki hafal. Memang ayat ini memberitahu bahawa seorang lelaki boleh kahwin sampai empat. Dan orang perempuan tidak boleh menentangnya, kerana ia memang ada dalam hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT. Kena redha sahajalah, jangan lawan ayat Qur’an pula.
Dan jangan ditafsir dengan macam-macam alasan yang lain. Memang orang lelaki boleh kahwin sampai empat, tidak syak lagi. Namun, ada penekanan di sini iaitu hanya setakat empat isteri sahaja. Bukannya campur semua. Sebab ada yang buat matematik 2+3+4+1=10. Jadi, mereka kata boleh kahwin sampai sepuluh! Dan memang ada yang buat begitu pun. Itu adalah ajaran sesat yang tafsir ayat Qur’an ikut sedap hati sendiri sahaja.
Perbincangan tentang poligami
Zaman Jahiliyah dulu memang para lelaki biasa kahwin lebih dan mereka kahwin lebih dari empat malah ada yang sampai sepuluh isteri pun ada. Tetapi apabila kahwin ramai sangat, maka tentulah tidak terjaga para isteri itu hingga tidak berlaku adil, maka Allah SWT tetapkan hanya setakat empat orang sahaja.
Perkahwinan lebih dari satu bukanlah dimulakan oleh agama Islam. Ia telah lama ada dalam tamadun Arab, India, Iran, Mesir, Babylon dan lain-lain lagi. Ia juga sudah ada dalam agama lain sebelum Islam lagi. Pengkaji Bible pun mengatakan pengkajian dari Bible mengatakan yang poligami bukan sahaja dibenarkan, tetapi ia memang molek untuk diamalkan. Malangnya, umat mereka sekarang pula yang cuba mengharamkan poligami (nak lawan teks Kitab mereka sendiri!).
Namun, ingatlah ayat ini bukanlah ayat ‘suruhan’ untuk lelaki kahwin sampai empat pula. Ia hanya ‘membenarkan’ seorang sahaja lelaki mengamalkan poligami. Dan sebenarnya, Islam telah menghadkan bilangan kepada empat sahaja kerana zaman sebelum itu, seorang lelaki tidak ada had untuk kahwin berapa ramai perempuan pun. Cuma Islam sahaja yang hadkan.
Dalam masa yang sama, ada orang yang mungkin terpengaruh dengan idea Barat yang menghalang poligami. Mereka kata sebenarnya Islam tidak suka kepada poligami dan mahu membasmi terus poligami. Oleh kerana ia sangat banyak diamalkan pada masa Qur’an diturunkan, maka Allah SWT mengambil jalan tengah dengan meletakkan had sahaja (dengan tidak mengharamkan terus).
Apabila ada tamadun yang mengharamkan poligami, maka ia menyebabkan seks bebas berleluasa. Mereka tidak benarkan perkahwinan poligami yang sah, tetapi mereka benarkan pula perempuan simpanan, bersekududukan tanpa perkahwinan. Wanita memerlukan lelaki dan apabila lelaki tidak ramai, maka begitulah yang terjadi dalam masyarakat itu.
Namun, tidaklah Islam hadkan sampai satu sahaja, kerana ada keperluan untuk lelaki kahwin lebih dari satu. Cuma Islam tidak benarkan kahwin hingga ramai sangat. Jika poligami ini dihapuskan langsung, maka tentu ada suami yang tidak cukup dengan satu isteri akan menggunakan cara lain untuk mendapatkan kehendak mereka. Maka mereka mungkin akan simpan wanita simpanan atau pergi memuaskan nafsu mereka dengan pelacur. Maka, ini tentu lebih teruk lagi kesannya.
Jadi, kalau kita lihat dari sejarah, sebenarnya Islam yang mengurangkan bilangan isteri, bukannya menambah. Jangan kita baca ayat ini sahaja, tetapi kenalah lihat kepada sejarah tamadun manusia juga. Ini kerana ramai tuduh Islam tidak menjaga hak wanita bagi kahwin sampai empat sedangkan wanita boleh kahwin satu sahaja. Mereka kata ini tidak adil. Ini adalah pandangan yang salah.
Sebagai tambahan, kita boleh lihat bagaimana kebenaran berkahwin lebih dari satu ini dapat menjadi jalan penyelesaian kepada permasalahan masyarakat sekarang. Sepertimana yang kita tahu, ramai dalam kalangan wanita yang tidak berkahwin kerana bilangan wanita sudah lebih ramai dari bilangan lelaki.
Kalau seorang lelaki hanya boleh kahwin satu wanita sahaja, tentu dari segi matematik, ramai wanita yang tidak akan ada peluang langsung untuk menikmati kehidupan berumahtangga.
Sedangkan semua wanita tentunya hendak kepada kehidupan berkeluarga, bukan? Kalau kita tolak kebenaran yang Allah SWT berikan dalam ayat ini, bagaimana lagi cara untuk menyelesaikan masalah kekurangan suami untuk menjadi suami kepada wanita? Adakah kita biarkan sahaja wanita-wanita itu tanpa suami? Ini adalah perkara yang kita perlu fikirkan dengan hati yang tenang.
فَإِن خِفتُم أَلّا تَعدِلوا فَوٰحِدَةً
Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja,
Cuma kalau bimbang tidak boleh berlaku adil, tidak dapat menyempurnakan hak yang wajib, maka pilih satu sahaja. Ini lebih baik kerana jika hendak kahwin lebih dari satu tetapi tidak tahu hendak berlaku adil, janganlah tambah isteri. Jangan pandang agama membenarkan kahwin lebih, tetapi tutup mata tentang bab ‘keadilan’ kepada para isteri itu.
Lihatlah bagaimana agama mengajar berlaku adil kepada seorang lelaki. Sebenarnya, kalau kita lihat, Islam menyuruh kita kahwin dengan seorang sahaja kerana memang payah hendak berlaku adil sebenarnya. Jika kadang-kadang dengan seorang sahaja sudah tidak mampu berlaku adil, apatah lagi kalau sampai empat!
Namun, dalam masa yang sama, kita tidak nafikan ada lelaki yang memang boleh berlaku adil kepada kesemua isteri-isteri mereka. Maka, kita kenalah ukur kehendak keadilan ini dengan diri kita dahulu. Jangan hendak sedap badan sahaja untuk merasa kahwin lebih dari satu, tetapi tidak mampu berlaku adil. Kena belajar apa yang perlu dilakukan sebagai seorang suami yang beristeri lebih dari satu. Kepada lelaki, cuba fikirkan dahulu, apakah kamu sanggup berlaku adil atau tidak?
Sikap adil yang dituntut dari seorang suami adalah adil dalam:
- jadual bermalam, iaitu giliran isteri
- adil dalam memberi nafkah makanan, minuman dan pakaian.
- tempat tinggal
Di sini yang dituntut bukanlah adil dalam kecenderungan hati, sebab manusia tidak mampu menyamakan kecenderungan hatinya. Ada isteri yang kita lebih sayang dari isteri yang lain. Sebagai contoh, Nabi Muhammad SAW pun lebih sayang kepada isterinya Aisyah rha jika dibandingkan dengan isteri-isteri yang lain. Perkara ini disentuh lagi dalam ayat Ke-129 nanti.
Lafaz عدل juga bermaksud membuat keputusan dengan betul. Malangnya, ramai para suami yang kahwin lebih dari satu isteri tidak menjaga keadilan syarak yang dituntut oleh agama. Mereka tidak ikut ketetapan syarak, sebagai contoh, mereka tinggal lebih lama di rumah isteri yang mereka suka, nafkah pun tidak diberi sama rata dan sebagainya. Ini dilarang oleh syarak. Ini yang menyebabkan para wanita marah dengan lelaki yang berpoligami.
Mereka kena ingat kepada sabda Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ
“Siapa yang memiliki dua orang isteri lalu dia cenderung kepada salah seorang di antara keduanya, maka dia datang pada hari kiamat dalam keadaan badannya miring.”
(HR. Abu Daud no. 2133, Ibnu Majah no. 1969, An Nasai no. 3394. Syaikh Al Albani menyatakan hadits tersebut shahih sebagaimana dalam Shahih At Targhib wa At Tarhib no. 1949)
Maknanya, lelaki yang tidak adil dengan isteri-isterinya, mereka akan bangkit di akhirat kelak dengan tubuh mereka senget sebelah. Kalau orang tengok ada lelaki yang sebegitu di akhirat kelak, maka tahulah yang lelaki itu tidak adil kepada isteri-isterinya.
أَو ما مَلَكَت أَيمٰنُكُم
atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.
Jika seorang isteri pun tidak mampu berlaku adil, maka tidak perlu kahwin dengan wanita merdeka, tetapi kahwinlah dengan hamba sahaya, kerana jika kahwin dengan wanita yang berstatus hamba, hukum kewajipan terhadap mereka berlainan. Tidak sama dengan kahwin dengan wanita biasa. Banyak perkara bebas sedikit. Kita akan belajar tentang perkara ini nanti dalam ayat ke-25.
Dibenarkan mengadakan hubungan seksual dengan hamba perempuan yang dimiliki dengan syarat-syarat tertentu. Hamba yang dibenarkan miliki adalah mereka yang ditangkap dalam peperangan (jihad) dan dibahagikan kepada mujahidin. Selain dari itu, seseorang tidak boleh dijadikan hamba.
Hukum berkenaan hamba tidak pernah dimansukhkan dalam agama Islam. Muslim sekarang tidak memiliki hamba kerana kita sekarang tidak lagi terlibat dalam jihad. Dan kalau berperang pun, tidak adalah kita ambil tawanan perang jadi hamba kerana orang kafir pun tidak ambil orang kita jadi hamba lagi. Perhambaan dalam dunia boleh dikatakan sudah pupus.
Namun, jika mereka mula ambil hamba kembali, maka kita pun boleh jadikan tawanan perang mereka sebagai hamba. Jadi sekarang tidak adalah lagi hamba yang boleh dijadikan sebagai isteri lagi. Oleh itu, jangan gunakan alasan bersekedudukan dengan wanita dan kata dia itu ‘hamba’ pula.
Mungkin ada yang rasa hairan kenapa ada hukum hamba dalam Islam. Kita kena sedar yang bukan agama Islam yang memulakan sistem hamba. Islam cuma mengawal dan menguruskan untuk menjaga hak-hak hamba itu sebagai manusia.
Pertamanya, tidak mudah untuk memiliki hamba dalam Islam. Kita telah sebutkan yang hanya melalui peperangan sahaja kita boleh dapat hamba. Dan bukanlah Islam juga yang memulakan perkara ini. Kalau berperang dengan agama lain dan mereka ambil orang kita sebagai hamba, kenapa kita tidak boleh lakukan perkara yang sama?
Dan kita jangan lupa yang Islam menggalakkan supaya hamba itu dibebaskan. Ada banyak keadaan di mana hamba yang dimiliki dibebaskan kerana kesalahan dalam agama. Sebagai contoh, kalau mengadakan hubungan seks semasa berpuasa, maka kafarahnya adalah membebaskan hamba. Dan ada banyak lagi hukum-hukum lain yang menyuruh membebaskan hamba.
Dan kalau seorang tuan itu mengadakan hubungan seks dengan hambanya dan hamba itu melahirkan anak, maka wanita itu secara otomatik akan dibebaskan kerana anaknya itu seorang yang bebas. Jadi ada banyak hukum yang perlu diketahui tentang hamba ini dan walaupun sistem perhambaan tidak ada lagi sekarang, ia tetap diajar kerana kita tidak tahu bila ia akan ada balik.
ذٰلِكَ أَدنىٰ أَلّا تَعولوا
Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
Kahwin seorang sahaja atau kahwin dengan wanita hamba, adalah cara paling mudah untuk tidak berlaku zalim kerana kalau kahwin lebih dari satu, telah membuka ruang untuk tidak adil. Jadi, ia menyusahkan sahaja.
Ia أَدنىٰ (lebih rapat) sahaja kepada keadilan kerana ada juga suami yang walaupun ada satu isteri sahaja, pun tidak dapat hendak berlaku adil kepada isteri itu. Jadi, janganlah kita sangka kalau satu isteri sahaja sudah selamat dari kezaliman. Seorang suami masih tetap kena berhati-hati.
Yang Allah SWT mahu adalah kita tidak zalim kepada orang lain. Kalau kahwin ramai, tetapi berlaku zalim, baik tidak payah kahwin kalau begitu. Kerana zalim itu dosa dalam keadaan mana pun.
Oleh kerana itulah ada yang berpendapat, Islam sebenarnya menjurus kepada seorang lelaki memperisterikan hanya seorang wanita sahaja. Tetapi jangan kita larang pula orang lelaki hendak kahwin lebih. Kalau mereka berani, silakan. Kita lihat para sahabat Nabi SAW pun ramai yang berkahwin lebih dari seorang.
Allahu a’lam.
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani