Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-189

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-189

1876
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-189

Ayat ke-189 hingga ke-207 membincangkan tentang Jihad, Infaq dan Haji. Ayat ke-189 ini ada sangkut paut dengan puasa juga kerana melibatkan anak bulan.

۞ يَسأَلونَكَ عَنِ الأَهِلَّةِ ۖ قُل هِيَ مَواقيتُ لِلنّاسِ وَالحَجِّ ۗ وَلَيسَ البِرُّ بِأَن تَأتُوا البُيوتَ مِن ظُهورِها وَلٰكِنَّ البِرَّ مَنِ اتَّقىٰ ۗ وَأتُوا البُيوتَ مِن أَبوابِها ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ

Mereka bertanya kamu tentang anak bulan;

Ahillah bermaksud 12 anak bulan dan kalau Hilal hanya satu bulan saja. Apabila Anak Bulan sudah kelihatan, itu menandakan sudah masuk bulan yang baru. Apabila ayat tentang bulan Ramadhan dikeluarkan sebelum ini, soalan yang ditanya oleh para sahabat رضي الله عنهم adalah tentang anak bulan.

Kerana puasa Ramadhan itu dijalankan selama sebulan dan telah disebutkan dalam ayat yang lalu bahawa apabila nampak anak bulan, maka mulakan puasa. Maka mereka bertanyalah tentang anak bulan itu.

Satu lagi tafsir tentang potongan ayat ini: Orang Arab Mekah bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ kenapa bulan tidak sembah matahari kerana bulan kecil dan matahari itu besar? Bulan itu sudahlah kecil apabila ia keluar di langit, kemudian lama-lama semakin mengecil lagi. Mereka sengaja bertanya. Benda yang tidak perlu diketahui pun tetapi mereka bertanya juga.

Soalan mereka itu tidak dijawab dengan tepat oleh Allah ‎ﷻ dalam potongan ayat seterusnya kerana itu bukanlah soalan yang cerdik. Allah ‎ﷻ hanya jawab apa yang penting sahaja. Ini juga mengajar kepada kita bahawa jika ada soalan yang tidak patut maka hendaklah kita jawab dengan kebijaksanaan kerana adalah menjadi perkara biasa, kadang-kadang yang bertanya itu jahil dan tidak tahu cara bertanya atau tanya benda yang tidak perlu.

Kita hendaklah memberi jawapan yang menguntungkan kepada orang jahil yang bertanya itu. Sebab itu kalau di negara yang maju syariat, kalau bertanya kepada mufti, kena ajukan soalan dalam tulisan supaya jelas apakah yang hendak ditanya. Dan jawapan akan diberikan oleh lebih daripada seorang mufti dan dalam bentuk tulisan juga supaya jelas apakah jawapannya.

قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ

Katakanlah: anak bulan itu untuk penentuan masa kepada manusia dan mencari bulan haji;

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Anak Bulan ini memberi faedah kepada manusia untuk menentukan waktu yang boleh mereka gunakan dalam kehidupan mereka seharian. Macam kita sekarang ada kalender. Dengan Anak Bulan, maka senanglah untuk mereka membuat perkiraan ataupun membuat perjanjian untuk berjumpa dan sebagainya.

Contohnya mereka kata mereka akan datang hari ketiga selepas Anak Bulan Muharram keluar. Ini adalah kegunaan dalam kehidupan mereka yang tidak melibatkan ibadat. Macam kita gantung kalendar di dinding, Allah ‎ﷻ gantung bulan di langit untuk manusia menentukan masa. Boleh digunakan untuk menentukan masa untuk berniaga, bermusafir dan sebagainya.

Selain daripada kegunaan harian, Anak Bulan ini juga terlibat dengan perkara ibadat di mana ia digunakan untuk menentukan bilakah musim Haji. Begitu juga ketetapan bulan Ramadhan dikira dengan datangnya anak bulan. Dalam banyak-banyak masa untuk kita jaga, Allah ‎ﷻ menyebut satu yang penting – bulan Haji. Kita mungkin sangka Allah ‎ﷻ hendak sebut tentang bulan puasa, sebab baru habis tentang bulan puasa sebelum ini, tetapi Allah ‎ﷻ sebut tentang Ibadah Haji pula.

Allah ‎ﷻ sebut Haji kerana ada sebab. Waktu itu Islam masih awal lagi di Madinah. Mekah masih di tangan Musyrikin Mekah. Sahabat tertanya-tanya bagaimana mereka hendak pergi mengerjakan Haji kerana Musyrikin Mekah tidak akan membenarkan mereka. Tambahan pula Kaabah waktu itu dipenuhi dengan berhala lagi, maka takkan hendak tawaf keliling Kaabah yang penuh dengan berhala pula.

Sebenarnya Allah‎ ﷻ sedang memberi isyarat bahawa mereka perlu memfokuskan usaha mereka untuk buat Haji. Untuk melakukan ibadah Haji, mereka perlu membersihkan Kaabah daripada berhala. Untuk membersihkan Kaabah itu, bermaksud mereka perlu mengambil alih Mekah. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengisyaratkan kepada para sahabat رضي الله عنهم untuk bersedia untuk berperang dengan Musyrikin Mekah.

Itulah misi yang telah diletakkan oleh Allah ‎ﷻ. Setiap kali mereka melihat kepada bulan, mereka akan teringat tugas mereka untuk membersihkan Kaabah kerana bulan mengingatkan kepada Haji seperti yang disebut dalam ayat ini, dan Haji mengingatkan tugas mereka untuk mengambil alih Mekah dan Kaabah.

وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَنْ تَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ ظُهُورِهَا

dan bukanlah kebaikan itu dengan cara kamu masuk rumah-rumah kamu mengikut pintu belakang;

Ini adalah adat Arab Jahiliyyah dahulu, iaitu apabila mereka selesai menunaikan Haji, mereka akan masuk ke dalam rumah mereka melalui pintu belakang. Itu adalah rekaan amalan mereka sahaja. Ini kerana bila jahil ilmu wahyu, memang akan direka amalan yang pelik-pelik.

Orang kita pula, bila hendak pergi Haji, kena laungkan azan masa orang yang hendak pergi Haji itu turun tangga. Itu adalah rekaan syariat kerana tidak ada sunnah dari Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم. Sama sahaja orang kita macam Musyrikin Mekah yang sama-sama jahil wahyu. Mereka reka syariat, kita pun hendak reka syariat juga, tidak mahu kalah.

Oleh itu, dalam ayat ini terdapat teguran kepada orang Arab Mekah yang reka amalan sendiri. Apabila mereka keluar mengerjakan Haji, mereka akan keluar dari pintu depan rumah. Tetapi apabila mereka pulang dari mengerjakan Haji, mereka akan buat pintu baru dari belakang kerana mereka kata semasa mereka keluar untuk mengerjakan Haji, mereka waktu itu masih berdosa dan pintu itu adalah ‘pintu dosa’.

Apabila sudah selesai Haji, mereka tidak boleh masuk ikut pintu itu lagi kerana mereka sudah suci daripada dosa. Maka kena masuk pintu lain dari belakang. Bukan mereka masuk dari pintu dapur pun, tetapi mereka akan tebuk pintu baru. Sudah jadi satu kerja pula hendak tebuk pintu rumah yang baru.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa itu bukanlah syariat agama malahan ia adalah sesuatu yang menyusahkan diri sendiri sahaja. Ini juga sepatutnya sudah mengajar kita bahawa bid’ah dalam ibadat tidak dibenarkan. Bukan boleh dapat pahala pun kalau melakukan bid’ah, malahan akan mendapat dosa dan kemurkaan daripada Allah ‎ﷻ.

Tadi tentang orang Arab Mekah, dan orang Madinah sebelum mereka masuk Islam, mereka pun ada mengamalkan perkara khurafat juga. Mereka pun menganggap Kaabah adalah sesuatu yang mulia kerana orang Arab memang pergi mengerjakan haji ke Kaabah kerana ada saki baki ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.

Kita tahu orang Madinah pernah pergi mengerjakan Haji kerana di situlah mereka telah berjumpa Nabi Muhammad ﷺ buat pertama kali. Tetapi sudah ada adat-adat tambahan dalam agama mereka. Contohnya, apabila mereka telah memulakan perjalanan mengerjakan Haji ke Mekah, mereka tidak boleh pulang ke rumah langsung sehinggalah mereka habis mengerjakan ibadat itu.

Tetapi katakanlah mereka terpaksa juga patah balik kerana mereka tertinggal sesuatu yang penting, maka mereka akan masuk ke rumah ikut pintu belakang atau ikut tingkap. Sebab mereka kata ia adalah petanda buruk kalau masuk rumah ikut pintu hadapan. Ini ambil dari mana, mereka tidak dapat kenalpasti kerana agama telah bercampur baur dengan fahaman yang lain. Mereka sudah tidak pasti ia datang dari mana.

Tetapi mereka ikut juga sebab sudah lama amalkan. Macam orang kita jugalah, tidak tahu sesuatu amalan tambahan itu datang dari mana, tetapi mereka amalkan juga sebab sudah diamalkan dari datuk nenek dahulu. Mereka tidak bertanya pun sama ada ia betul atau tidak. Mereka sudah tidak fikir pun sama ada ia adalah kepercayaan karut atau tidak.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, bahawa perbuatan mereka itu bukanlah kebaikan. Kebaikan telah disenaraikan dalam ayat ke-177 sebelum ini dalam Ayatul Birr.

Ini terjadi kerana agama telah bercampur baur dengan amalan rekaan. Adat-adat lama telah bercampur dengan agama. Kita boleh tengok dalam amalan masyarakat kita juga. Kalau kenduri kahwin, kita sudah tidak tahu itu adalah majlis orang Islam, atau Hindu atau Kristian kerana sudah bercampur semua sekali. Kalau kubur pun kita tengok sudah jadi kubur Hindu pula sekarang.

Rekaan lain, kalau pergi Umrah atau Haji, buat Salat Hajat berjama’ah dan Majlis Doa Selamat di rumah supaya perjalanan selamat pergi dan selamat kembali. Itu semua adalah perbuatan mencipta syariat sendiri. Tidak pernah disuruh dan diamalkan oleh ulama’ salafussoleh.

وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنِ اتَّقَىٰ

Akan tetapi kebajikan itu adalah bagi sesiapa yang bertaqwa;

Iaitu yang mahu mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ melalui Nabi-Nya. Iaitu mengikut betul-betul. Maka, hendaklah belajar supaya kita tahu manakah yang betul.

وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا

Dan masuklah dari pintu-pintu masuk biasa;

Ini adalah kata-kata pepatah Arab yang bermaksud buat perkara dengan cara yang betul. Apabila dikatakan masuk ikut pintu biasa, maknanya kena buat dengan cara yang betul. Maksudnya selepas ini, kena buat amalan ibadah sebagaimana yang diajar oleh Nabi. Ikutlah cara yang betul.

Lihatlah apa yang dilakukan oleh Nabi ﷺ. Jangan memandai hendak buat benda baru. Kalau ada amalan yang kita sudah biasa buat, kenalah periksa balik sama ada ia ada dalam Islam atau tidak. Antaranya, kita sudah selalu sangat buat Majlis Tahlil untuk menyedekahkan pahala kepada orang yang sudah mati. Soalan yang kita kena tanya, adakah itu ada dalam Islam atau tidak? Jawapannya, tidak ada.

وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Bertaqwalah kamu kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan.

Masih lagi disebut tentang taqwa. Banyak ayat-ayat dari Surah Baqarah ini yang menyebut tentang taqwa. Jadi harap kita sudah semakin faham tentang apakah maksud taqwa itu.

Orang yang bertaqwalah yang sebenar-benar mendapat kejayaan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan