Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-190 (Bahagian 1)

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-190 (Bahagian 1)

713
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-190

Ini ayat berkenaan Jihad fi Sabilillah (jihad di jalan Allah ‎ﷻ). Ada dua jenis jihad. Satu adalah jihad yang angkat senjata, memerangi orang kafir. Ini termasuklah Jihad Pertahanan Diri iaitu apabila kita diserang oleh orang kafir, maka wajib kita mempertahankan diri.

Satu lagi adalah jihad mulut/lisan, iaitu tabligh (menyampaikan) tentang agama Tauhid kepada manusia supaya mereka kembali kepada Islam.

Dari segi terma, perlu kita fahami apakah maksud ‘jihad’ itu. Dari segi bahasa, ‘jihad’ itu bermaksud ‘berusaha bersungguh-sungguh’ dan kerana itu, maksudnya adalah luas. Sebagai contoh, apabila kita bangun malam selepas tidur untuk salat, salat itu dinamakan Salat Tahajjud, kerana kita berusaha melawan nafsu tidur kita. Dakwah juga adalah satu jihad kerana kita berusaha untuk menyampaikan ajaran agama kepada manusia.

Sebelum Jihad Perang, kena dimulakan dengan jihad lisan terlebih dahulu kepada manusia. Adakah kita berani hendak jihad peperangan kalau jihad lisan pun kita tidak berani lagi? Hendak tegur manusia dari buat majlis bersanding pun tidak berani, bgaimana kita sangka kita mampu hendak pergi berjuang menentang orang kafir? Yang lebih menyedihkan kalau ada Muslim yang beriya-iya hendak berjihad, tetapi diri sendiri belum kemas dari segi tauhid.

Tujuan Nabi ﷺ dan pendakwah adalah seperti yang disebut dalam ayat [ Baqarah: 151 ] iaitu untuk menyucikan hati manusia daripada syirik kufur dan amalan bid’ah yang mereka amal. Guru mesti baca dan ajar ayat Al-Qur’an untuk menyucikan hati manusia. Kena beritahu apakah kesalahan yang mereka lakukan.

Bila sudah tahu manakah perbuatan salah yang mereka lakukan, barulah mereka hendak bertaubat dan buang perbuatan mereka yang salah. Kalau mereka tidak tahu mana yang salah, bagaimana mereka hendak bertaubat? Selalunya, guru agama akan mengajar apa yang kena buat sahaja, tetapi mereka tidak ajar mana yang salah. Oleh itu, anak murid tidak tahu manakah perbuatan mereka yang salah.

Selain daripada Al-Qur’an, guru agama juga kena mengajar ‘hikmah’, iaitu hadith. Ajarkan apa yang mereka sebelum itu tidak tahu. Sebelum itu anak murid tidak tahu tentang Islam, mereka hanya terima perbuatan dari nenek moyang dan apa yang diamalkan masyarakat sahaja. Jadi kena berikan ajaran yang sebenarnya kepada mereka.

Dalam [ Baqarah: 159 ], Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa sesiapa yang takut kepada orang kafir sampai menyembunyikan hukum-hukum agama kepada orang ramai. Padahal Allah ‎ﷻ telah turunkan Al-Qur’an kepada manusia dengan sejelas-jelasnya. Namun ada yang setelah belajar, mereka tidak sampaikan kepada manusia, tetapi mereka sembunyi. Mereka simpan sendiri. Mereka yang buat begitu, akan dapat laknat daripada Allah ‎ﷻ dan laknat daripada orang-orang yang melaknati.

Jadi, seorang guru itu mesti mengajar tauhid kepada manusia dalam pengajaran dia. Itu adalah satu kemestian kerana itu adalah perkara yang paling besar. Sebab kalau seorang Muslim itu masih lagi mengamalkan syirik, amal ibadat dia Allah ‎ﷻ tidak terima lagi kerana syarat untuk sesuatu amalan itu diterima, mestilah seseorang itu seorang yang beriman.

Kalau buat syirik, bermakna orang itu tidak beriman lagi – tidak beriman sempurna dan amalan yang dibuatnya itu mestilah mengikut sunnah. Maka rugilah segala salat, sedekah, puasa, umrah dan haji mereka kerana tidak diterima lagi amalan ibadah mereka itu. Ini kerana dalam mereka mengamalkan Islam, mereka ada lagi buat perkara-perkara syirik. Mereka buat amalan syirik itu kerana mereka tidak tahu pun amalan itu salah kerana tidak diberitahu oleh guru agama mereka.

Dalam [ Baqarah: 174 ], Allah ‎ﷻ juga mengutuk guru yang menyimpan pengajaran yang ada dalam Al-Qur’an. Mereka tidak menerangkan kepada manusia kerana mereka hendakkan upah. Mereka takut kalau mereka menceritakan kebenaran, mereka tidak lagi mendapat upah dalam pengajaran mereka. Ini kerana orang tidak suka mendengar perkara sebegitu dan mereka tidak lagi dijemput untuk memberi ceramah agama lagi.

Maka, apabila mereka tidak dijemput lagi beri ceramah, mereka akan hilang pendapatan mereka. Maka mereka sanggup untuk senyapkan tentang amalan salah yang diamalkan oleh masyarakat. Mereka beli kesesatan dengan jual hidayah.

Berbalik kepada ayat ini, Allah ‎ﷻ sudah masuk kepada arahan kepada umat Islam untuk memerangi orang kafir.

Jihad dan infaq bukanlah perkara yang utama tetapi ia perlu untuk melakukan perkara yang lebih besar lagi iaitu memperkenalkan Allah ‎ﷻ kepada manusia. Iaitu dakwah untuk memperkenalkan akidah tauhid kepada manusia yang belum mengetahuinya.

Ini bukan hendak kenalkan Allah ‎ﷻ sahaja kerana kalau hendak kenalkan Allah ‎ﷻ kepada manusia, Musyrikin Mekah itu memang sudah mengenali Allah ‎ﷻ tetapi mereka dipanggil ‘musyrik’. Jadi kita melakukan jihad untuk memperkenalkan akidah tauhid kepada manusia sejagat.

Ada hadith sahabat bertanya apakah maksud jihad yang sebenarnya kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kerana peperangan bukanlah maksud yang utama kerana peperangan adalah perkara biasa sahaja di mana orang kafir pun berperang juga. Maka apa bezanya antara peperangan mereka dan jihad orang Islam?

Manusia ada yang berperang untuk mendapatkan harta, meluaskan tanah jajahan mereka ataupun kerana marahkan orang lain dan bukanlah mereka berperang untuk memperkenalkan Allah ‎ﷻ dalam akidah tauhid. Kalau mereka berperang seperti mereka juga maka itu bukanlah jihad yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ. Jadi sahabat bertanya apakah maksud jihad di ‘Jalan Allah ‎ﷻ’ itu?

Nabi ﷺ menjawab:

“Barangsiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimatullah – yakni agama Allah ‎ﷻ itu menjadi tinggi-maka orang sedemikian itulah yang disebut jihad fisabilillah”. ( Muttafaqun Alaih )

Kalimah Allah‎ ﷻ itu dikira tinggi apabila ia berada dalam hati manusia. Kalau dalam hati kita masih ada fahaman syirik, maka kalimah Allah‎ ﷻ telah direndahkan.

Peperangan diizinkan kepada umat Islam apabila kita ini dizalimi. Bukannya kita terus sahaja pergi berperang dan membunuh orang-orang kafir. Ramai yang beranggapan begitu dan itu adalah fahaman yang salah. Kita hendak menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia dan kalau mereka mati sebelum mereka mendengar dakwah kita, bagaimana pula kita dianggap mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ?

Selain dari dizalimi, kita juga dibenarkan untuk memerangi orang kafir jikalau mereka menghalang kita untuk menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia. Ini berkenaan dengan pemimpin negara yang tidak membenarkan dakwah Tauhid dibenarkan dalam negara mereka. Sudahlah dia tidak kenal Allah ‎ﷻ malah dia menghalang pula orang lain untuk kenal Allah ‎ﷻ dan Tauhid, maka mereka sebegitu tidak layak untuk hidup di dunia lagi.

Kalau mereka begitu, barulah boleh kita menghantar tentera Islam ke sana untuk membebaskan rakyat negara itu. Tetapi jikalau mereka tidak menghalang, maka umat Islam tidak boleh yang mula mencetuskan peperangan.

Dari segi sejarah, peperangan hanya dibenarkan kepada umat Islam selepas hijrah ke Madinah. Semasa umat Islam di Mekah lagi para sahabat sudah meminta izin kepada Nabi ﷺ untuk memerangi puak kuffar tetapi tidak diizinkan.

Jadi keinginan untuk berperang sudah lama ada tetapi hanya dibenarkan bila sudah berhijrah ke Madinah sahaja. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ mahu fahaman agama yang ada dalam diri umat Islam kuat terlebih dahulu. Allah ‎ﷻ membenarkan peperangan hanya diturunkan selepas 70 ayat Al-Qur’an diturunkan untuk melarang mereka berperang.

Jadi sekarang kita akan belajar ayat Jihad yang pertama di dalam Surah Baqarah ini.

وَقَـٰتِلُواْ في سَبيلِ اللَّهِ الَّذينَ يُقَـٰتِلُونَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.

وَقَـٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Dan berperanglah kamu di jalan Allah;

Allah ‎ﷻ sebut dengan jelas bahawa Jihad yang dikehendaki adalah jihad di jalan Allah ‎ﷻ dan bukan peperangan yang biasa. Jadi peperangan yang dibenarkan adalah peperangan untuk menegakkan tauhid di muka bumi. Bukannya perang untuk mendapatkan harta rampasan perang, meluaskan tanah jajahan, kerana marahkan negara lain atau puak kuffar atau apa-apa sahaja sebab lain.

Ini adalah ayat yang memberi arahan kepada umat Islam untuk berjihad di atas Jalan Allah ‎ﷻ. Seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini, Allah ‎ﷻ telah beri isyarat kepada umat Islam di Madinah yang mereka akan kena pergi memerangi Musyrikin Mekah. Ayat-ayat sebelum ini adalah sebagai isyarat sahaja tetapi tidak dalam bentuk arahan lagi. Dalam ayat ini baru ada arahan yang Allah ‎ﷻ berikan.

Kenapa orang Islam kena memerangi Musyrikin Mekah? Kerana Kaabah waktu itu berada dalam tangan mereka. Kaabah di dalam tawanan mereka. Umat Islam mesti membebaskan Kaabah daripada genggaman mereka dan membersihkan Kaabah daripada unsur-unsur syirik.

Selagi mereka tidak buat begitu, orang Islam tidak akan dapat hendak mengerjakan ibadah Haji; selagi tidak dibersihkan Kaabah dari unsur syirik, selagi itulah umat Islam mengadap kepada kiblat yang penuh dengan berhala. Hati mukmin mana yang tenang begitu?

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan