Utama Talbis Iblis Talbis Iblis: Bab Falsafah (Bahagian 3/Akhir)

Talbis Iblis: Bab Falsafah (Bahagian 3/Akhir)

179
0
Iklan

Sambungan Bab Falsafah (Bahagian Akhir)

Maka amat malang sekali kalau ada orang yang membawa Al-Qur’an dan hadith kerana hendak mencari-cari kesalahan di dalamnya. Lebih malang lagi kalau mereka itu sudah nampak kebenaran dalam wahyu, tetapi terpaksa menolak kerana keadaan semasa. Mungkin kerana dipaksa, mungkin kerana tekanan masyarakat.

Sebagai contoh, ada yang dipaksa mencari dalil oleh orang atasan untuk membenarkan amalan-amalan tertentu. Jadi orang alim itu tahu yang perbuatan itu salah dan berdosa, tetapi oleh kerana orang atasan yang suruh, terpaksalah dia cari. Maka dikorek segala kitab untuk mencari alasan untuk membenarkan.

Ini adalah kes di mana orang alim tetapi dipermainkan oleh orang jahil. Ini adalah satu penyakit yang kita boleh namakan: ABS (Asal boss senang). Dibuat apa sahaja asalkan orang atasannya suka dan terus beri kedudukan atau terus beri gaji.

Janganlah begitu. Kita kena jujur dengan diri sendiri. Kena ada sifat inaabah dalam diri (hendak kepada kebenaran). Kena simpan niat ini. Maka kena terima apa sahaja yang diajar oleh Al-Qur’an walaupun tidak kena dengan orang atau dengan diri sendiri.

Mungkin kita sudah biasa dengan sesuatu amalan yang sudah lama dalam masyarakat. Atau fahaman yang kita telah pegang sekian lama. Tiba-tiba bila kita belajar tafsir Al-Qur’an, maka barulah kita tahu bahawa amalan atau fahaman kita yang kita pegang selama ini (bukan kita sahaja, tetapi dengan masyarakat sekali) adalah salah, maka kita kena terimalah. Kenalah buang fahaman salah itu.

Jangan pula buang Al-Qur’an. Kita kena ikut Al-Qur’an, bukannya Al-Qur’an ikut kita.

Maka begitulah yang sering terjadi kalau belajar tafsir Al-Qur’an. Banyak kesalahan amalan dan fahaman yang dibongkar oleh pembelajaran tafsir Al-Qur’an. Maka bila mula belajar agama, kena bersedia untuk tolak dan buang fahaman lama. Jangan lagi hendak guna akal untuk membenarkan amalan salah.

Kena pegang ajaran wahyu dengan kemas. Pakai yang diajar sahaja, dan jangan tokok tambah. Jangan buat bid’ah dalam fahaman. Jangan reka fahaman baru pula. Kerana itulah kena belajar apakah fahaman salafussoleh (orang-orang alim zaman dahulu). Pegang apakah ajaran mereka dan jangan reka fahaman baru kerana fahaman baru ditakuti tidak benar.

🔏 Sekian bab kesesatan fahaman falsafah.

Komen dan Soalan