Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-171 hingga Ke-173

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-171 hingga Ke-173

1843
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-171

Sekarang Allah ‎ﷻ memberi perumpamaan mereka itu seperti binatang. Kalau kita cakap dengan mereka, mereka tidak faham. Begitulah orang yang tidak faham agama. Mereka boleh dengar suara sahaja tetapi mereka tidak faham apakah yang dikatakan.

وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ كَمَثَلِ ٱلَّذِى يَنعِقُ بِمَا لَا يَسمَعُ إِلَّا دُعَآءً وَنِدَآءً صُمُّ بُكمٌ عُمىٌ فَهُم لَا يَعقِلُونَ


Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا

Perumpamaan orang yang kafir ingkar itu,

Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang hanya mahu mengikut apa-apa amalan yang telah diamalkan oleh tok nenek mereka sahaja iaitu kafir degil. Sudah diberikan dengan dalil yang sahih, mereka masih menolak juga. Masih tetap hendak menegakkan amalan bid’ah mereka itu  memberikan dalil-dalil yang tidak kena, dan dengan hujah-hujah bathil.

كَمَثَلِ الَّذِي يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ


seperti orang yang melaung kepada binatang yang tidak mendengar;

Macam kucing, kalau kita panggil mereka, adakah mereka dengar? Mereka memang dengar, tetapi kucing itu tidak faham apa yang kita katakan.

Bayangkan Allah ‎ﷻ menyamakan mereka dengan binatang. Ini adalah satu perumpamaan yang berat. Bukan kita yang berikan perumpaan ini tetapi Allah ‎ﷻ sendiri. Jadi jangan marahlah kalau kita kata begitu juga kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang berkata begitu.


إِلَّا دُعَاءً وَنِدَاءً

melainkan panggilan itu sebagai laungan;

Mereka hanya dengar bunyi yang mengejutkan seperti contoh kalau kita dengar kereta berlanggar. Mereka akan perasan bunyi itu dan mereka akan menoleh untuk melihat.

Bayangkan juga pengembala lembu memanggil-manggil lembu mereka. Lembu itu tidak faham apakah yang dikatakan oleh pengembala itu. Namun bezanya, sekurang-kurangnya lembu itu, walaupun tidak faham pengembala, lembu akhirnya akan mengikut juga pengembala itu, akhirnya ikut juga pengembala lembu untuk balik ke kandang mereka.


Malangnya manusia lagi teruk, sebab mereka tidak ikut langsung. Mereka lagi teruk daripada lembu itu. Dilawannya pula kita dengan kata-kata kasar dan kesat.

Kalimah دُعَاءً bermaksud panggilan dalam suara yang perlahan sedikit

Kalimah نِدَاءً pula bermaksud laungan yang kuat.


صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ

Mereka jenis pekak, jenis bisu, jenis buta

Apabila ketiga-tiga pancaindera ini telah tiada, bermakna mereka tidak ada cara untuk mendapatkan ilmu lagi. Mereka tidak akan mendapat hidayah lagi. Bayangkan seseorang sedang berjalan. Dia sudah buta, oleh itu dia tidak nampak jalan. Bagaimana lagi kita hendak memberikan panduan kepadanya?


Kalau kita jeritkan bahawa di hadapannya ada gaung, dia pun tidak dengar sebab dia sudah pekak. Dia sendiri pun tidak boleh meminta pertolongan lagi kerana dia sudah bisu.

Maka, ini adalah jenis orang yang tidak dapat ditolong lagi kerana mereka sudah tidak mampu untuk faham. Oleh itu jika kita berikan ayat-ayat Al-Qur’an dan juga hujah-hujah lain, mereka tidak akan dapat terima. Kita lihat mereka pun seperti orang yang bengong, dengan Al-Qur’an dan hadis pun mereka tidak mahu dengar dan ambil sebagai pegangan.


فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

mereka itu tidak faham apa yang diberitahu;

Mereka macam binatang yang dengar laungan, tetapi mereka tidak faham apa yang hendak disampaikan kepada mereka.

Sudahlah mereka pekak dan buta daripada mendapat hidayah dalam bentuk kalam Allah ‎ﷻ, mereka tidak menggunakan akal pula. Ini kerana hidayah Allah ‎ﷻ hanya hadir sama ada dalam bentuk Kalam-Nya (ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith) atau daripada alam ini (rujuk kembali ayat [ Baqarah: 164 ].


Untuk mendapat hidayah dari alam ini, mereka perlu menggunakan akal. Namun dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ kata mereka tidak menggunakan akal mereka untuk memahami hidayah.


Tafsir Ayat Ke-172

Pengulangan tentang pemakanan.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ڪُلُواْ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقنَـٰكُم وَٱشكُرُواْ لِلَّهِ إِن ڪُنتُم إِيَّاهُ تَعبُدُونَ


Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ
Wahai orang-orang yang beriman;

Dalam ayat berkenaan pemakanan sebelum ini, ia ditujukan kepada semua manusia. Kali ini ditujukan khas kepada orang-orang beriman sahaja.


كُلُوا مِنْ طَيِّبَـٰتِ
Makanlah dari apa yang baik-baik itu;

Allah ‎ﷻ suruh kita makan rezeki yang Dia telah berikan, iaitu yang baik-baik sahaja (yang halal). Oleh itu, jangan makan makanan yang tidak halal.

Satu lagi, jangan mengharamkan apa-apa makanan tanpa sebab. Kalau ia halal, jangan halang manusia makan. Makan berpantang tanpa sebab yang munasabah.


مَا رَزَقنَـٰكُم
yang Kami beri rezeki kepada kamu;

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan bahawa Dia yang memberi rezeki itu kepada kita. Jangan lupa Siapa yang beri rezeki kepada kita. Maka kenalah kita bersyukur kepada-Nya.

Dan Allah ﷻ ingatkan, kalau Dia sudah beri maka kenalah kita terima. Jangan pula kita hendak halang-halang dari dimakan atau digunakan oleh manusia.


وَاشْكُرُوا لِلَّهِ
Dan bersyukurlah kalian kepada Allah


Bersyukurlah dengan rezeki halal yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Jangan kita makan rezeki daripada Allah ﷻ tetapi kita tidak berterima kasih.

Kalau kita bersyukur dan rasa cukup dengan segala barang yang kita dapat dari hasil dan perkara yang halal, kita tidak akan mencari yang haram. Yang mencari yang haram itu adalah kerana mereka tidak bersyukur dengan apa yang ada, tidak rasa cukup dengan barang halal yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Mereka masih lagi hendak mencari benda yang lain.


Lagi satu, syarat kita dikira bersyukur adalah: kita ucapkan syukur kepada Allah ‎ﷻ dan kedua, kita kena gunakan segala perkara halal yang Allah ‎ﷻ berikan itu dengan cara yang Allah ‎ﷻ ajar kita. Jangan disalahgunakan.

Dan yang ketiga, kita kena taat kepada Allah ﷻ dalam segala suruhan dan larangan-Nya.


إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
sekiranya kamu kepada-Nya sahaja kamu menghambakan diri.

Kalau kita rasa yang kita ini hamba kepada Allah ﷻ, maka kenalah kita taat kepada-Nya, bersyukur di atas segala rezeki daripada-Nya.

Mencari rezeki yang halal adalah satu ibadah juga. Ini adalah kerana kita lakukannya dalam rangka taat kepada Allah ‎ﷻ kerana kita ikut arahan Allah ﷻ untuk mencari rezeki dan memakan harta yang halal.

Apabila kita ikut arahan Allah ﷻ, maka itu tanda kita menghambakan diri kepada-Nya dan ia juga termasuk dalam perkara ibadah (ibadah umum).


Banyak manusia yang buat ibadah yang khusus seperti salat, puasa dan sebagainya, tetapi mereka tidak menjaga halal haram dalam urusan mencari rezeki kerana mereka tidak faham bahawa memakan perkara yang halal juga adalah ibadah.

Daripada ayat ini juga, kita dapat tahu bahawa kita hanya boleh taat untuk makan yang halal hanya jikalau kita hanya menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau kita ada masalah untuk melihat diri kita sebagai hamba yang taat, maka kita akan ada masalah untuk memakan yang halal-halal sahaja.


Tafsir Ayat Ke-173

Ayat tentang perkara halal dan haram. Ayat ini bukan hendak kata ini sahaja yang diharamkan. Ada yang keliru dengan ayat ini. Mereka kata: “ayat Al-Qur’an kata ini sahaja yang haram”.


Oleh itu, kita kena faham yang ayat ini cuma hendak mengatakan tentang barang yang Musyrikin Mekah kata halal (maka Allah ﷻ tolak salah faham mereka itu dalam ayat ini). Allah ‎ﷻ hendak beritahu kesilapan mereka dan menidakkan perkara-perkara yang mereka kata halal (tetapi sebenarnya haram). Kena faham konteks ayat ini baru tidak salah faham.


إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيڪُمُ ٱلمَيتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحمَ ٱلخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِ لِغَيرِ ٱللَّهِ‌ۖ فَمَنِ ٱضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ۬ فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ

Sesungguhnya apa yang diharamkan kepada kamu

Ada makna pada perkataan إِنَّمَا itu. Perkataan itu bermaksud Allah ‎ﷻ *hanya* mengharamkan perkara-perkara ini sahaja.

Tidak banyak yang Allah ‎ﷻ haramkan. Sedikit sangat kalau dibandingkan dengan apa yang Allah ‎ﷻ telah halalkan.

Tetapi sebelum kita pergi jauh, kita kena faham konteks ayat ini – Allah ‎ﷻ sebenarnya hendak membetulkan salahfaham Musyrikin Mekah yang mengatakan benda-benda yang disebut dalam ayat ini adalah halal. Jadi, Allah ‎ﷻ hendak betulkan fahaman mereka.


Mereka ada berkata yang ada makanan lain yang haram, jadi Allah ‎ﷻ hendak beritahu, yang haramnya adalah perkara-perkara yang disebut ini. Yang mereka haramkan itu tidak haram sebenarnya. Jadi, bukanlah senarai ini sahaja makanan yang haram. Kena rujuk ilmu feqah untuk mengetahui makanan-makanan lain lagi yang haram. Ia diperincikan lagi dalam ilmu feqah.


الْمَيْتَةَ

(adalah dari jenis) bangkai,

Bangkai adalah binatang yang mati bukan dengan cara sembelihan. Mungkin ada yang mati sendiri sebab sakit dan sebagainya, atau dibunuh dengan cara yang selain daripada sembelihan cara Islam. Atau, mungkin dilanggar, ditanduk, terjatuh dari bukit dan sebagainya lagi.


Pada Musyrikin Mekah, bangkai binatang boleh dimakan dan ia adalah salah satu daripada sumber makanan mereka. Sedangkan dalam Islam, hanya boleh dimakan binatang yang disembelih cara Islam sahaja. Maknanya, kena ada ikhtiar manusia dalam kematian binatang itu.

Puak Musyrikin kata ini adalah satu pendapat yang pelik kalau hanya boleh makan makanan yang dimatikan oleh manusia, sedangkan yang Allah ‎ﷻ ‘matikan’ (dengan banyak cara lain), tidak boleh dimakan pula. Namun beginilah cara yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Kena melalui proses yang betul sebelum boleh dimakan binatang itu.


وَالدَّمَ

dan darah,

Dalam ayat lain, ada disebut bahawa darah yang tidak dibolehkan makan adalah ‘darah yang mengalir’. Bukannya darah yang melekat pada daging dan tulang pada binatang. Oleh itu, tidak perlu dibasuh bersih sangat daging ayam atau daging binatang yang kita makan.

Ada yang salah faham, sampai basuh berkali-kali daging ayam kerana hendak menghilangkan darah pada daging itu. Sampaikan putih langsung daging itu dan tidak ada rasa manis pada daging itu lagi.


Jadi, darah yang dilarang adalah darah yang banyak. Darah yang mengalir adalah sumber makanan kepada Musyrikin Mekah. Mereka akan cucuk binatang ternak mereka sampai mengeluarkan darah dan mereka akan kumpulkan darah itu dan simpan sampai darah itu sampai pejal dan mereka akan makan. Darah yang disimpan untuk sekian waktu akan menjadi pejal.

Sampai sekarang pun ada lagi manusia barat yang makan darah sebegini. Musyrikin Jahiliah juga akan menggunakan darah itu sebagai sejenis kuah, di mana mereka akan menggunakan darah itu untuk dimasak sekali dengan makanan mereka.


Menggunakan darah sebagai sumber makanan adalah satu cara yang ‘ekonomi’ kepada mereka kerana kalau mereka ambil darah itu sedikit-sedikit daripada binatang ternak mereka, tidaklah binatang itu mati dan mereka boleh ambil banyak kali. Maka, marahlah mereka apabila dikatakan tidak boleh makan darah.

Sampai sekarang, ada orang yang makan darah lagi sebagai makanan. Macam orang Barat, mereka akan tadah darah dan mereka jadikan macam puding. Ini adalah salah dan kita tidak boleh makan sebegini.


وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ

dan daging babi;

Yang haram kita lakukan dengan babi itu adalah memakan dagingnya. Ayat ini menyebut ‘daging’ babi tetapi ia meliputi semua bahagian badan – kulit, tulang dan sebagainya. Maka jangan buat sup tulang babi dan kata: “Allah haramkan dagingnya sahaja!”

Babi juga adalah sumber makanan Musyrikin Mekah dan mereka tidak dapat terima larangan memakan babi ini kerana pada mereka, ia adalah makanan yang sedap. Takkan benda sedap pun tidak boleh dimakan? Begitulah kata mereka. Ini adalah kerana mereka pakai akal.


Ada khilafiah tentang hukum memegang babi. Ramai yang kata kalau terpegang babi, kulit babi, tulang babi dan sebagainya, kena sertu. Sedangkan tidak ada hadith yang mengatakan kalau pegang babi kena sertu. Yang ada itu adalah hanya qiyas dengan pegang anjing. Iaitu memang ada hadith yang mengatakan kena sertu guna tanah kalau kena air liur anjing pada bekas makanan kita.


Namun tidak ada hadith yang mengatakan tentang samak kalau pegang babi. Sedangkan zaman Nabi ﷺ sudah ada babi dan memang bangsa Quraish tidak memakan babi. Sampaikan ada pendapat yang kata boleh pakai dompet, kasut dan barangan dari kulit babi yang lain. Cuma, lebih selesa di hati kita sepatutnya kalau kita tinggalkan terus segala perkara yang berkenaan babi ini.


وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ

dan apa sahaja yang disembelih untuk selain Allah;

Ini adalah larangan seterusnya. Musyrikin Mekah ada yang sembelih binatang ternak atas nama berhala. Iaitu semasa menyembelih binatang itu, mereka menyebut nama selain Allah ‎ﷻ, seperti Nabi atau wali pujaan mereka. Mereka sembelih binatang itu untuk didedikasikan kepada selain daripada Allah ‎ﷻ.


Dalam ayat ini, diletakkan perkataan بِهِ dekat dengan kalimah أُهِلَّ. Ini bermaksud, menyebut nama sembahan lain selain Allah ‎ﷻ semasa menyembelih binatang itu. Terdapat juga ayat-ayat lain yang lebih kurang sama seperti dalam [ Maidah: 3 ], [ An’am: 145 ] dan [ Nahl: 115 ] di mana perkataan بِهِ jauh daripada perkataan أُهِلَّ.

Dalam ayat-ayat itu, ia adalah apabila nama Allah ‎ﷻ disebut semasa menyembelih binatang sembelihan, tetapi sebenarnya bukan kerana Allah ‎ﷻ. Maknanya, tidak sebut untuk siapa, tetapi bukan kerana Allah ﷻ. Ini pun tidak boleh.


Sebagai contoh kalau sembelih kerana wali. Ini adalah dosa besar atau rosak akidah. Ada kalangan masyarakat kita yang sembelih binatang, tetapi bukan kerana Allah ‎ﷻ. Contohnya, sembelih kambing sebab hendak menghalau hantu. Ramai yang kita dengar bomoh-bomoh yang apabila berubat, mereka akan kata kalau hendak sembuh, kena sembelih ayamlah, kambinglah dan sebagainya. Memang masa pesakit sembelih binatang itu, mereka baca bismillah tetapi sembelihan itu tidak sah dan haram memakan daging sebegitu.


Kalau hendak sembelih kerana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak boleh. Atau kerana kedatangan orang besar. Haram jadinya daging itu. Sama macam agama lain sembelih binatang untuk tuhan-tuhan mereka. Kalau datang seseorang itu, dan kita hendak meraikan dengan sembelih lembu, tidak mengapa. Cuma jangan khaskan lembu untuk seseorang.


Semua pengharaman ini nampak senang sahaja kepada kita kerana kita tidak makan bangkai, darah dan kita ada banyak daging lagi boleh dimakan selain daripada daging babi. Namun bayangkan apabila ayat ini diturunkan kepada para sahabat. Mereka bukan ada supermarket zaman itu. Bukan senang untuk mendapat daging apa-apa pun.


Mereka kena ternak atau berburu untuk mendapatkan daging. Jadi, apabila ayat ini diturunkan, ia telah mengurangkan pilihan makanan kepada mereka. Kita juga kena ingat bahawa mereka kadang-kadang tinggal bersama dengan ahli keluarga mereka yang bukan beragama Islam. Dulu senang sahaja mereka makan dengan keluarga mereka yang makan semua itu.


Namun selepas ayat ini, ada bahan makanan yang sebelum itu mereka boleh kongsi makan dengan ahli keluarga mereka yang bukan Islam, tetapi tidak boleh dimakan lagi. Contohnya, jikalau binatang itu disembelih atas nama Latta atau Uzza, mereka sudah tidak boleh makan lagi.


Atau mungkin ada binatang yang mati disebabkan panas terik dan tidak sempat disembelih – dahulu mereka boleh sahaja makan tetapi sekarang sudah tidak boleh. Atau mereka dahulu makan darah yang dibekukan dan darah itu ada yang dijadikan sebagai kuah. Sekarang mereka tidak boleh makan. Tentu keadaan susah untuk mereka. Namun bagi yang beriman kuat, mereka sanggup ikut.


فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ

Sesiapa yang terpaksa, tanpa sengaja;

Iaitu, dia terpaksa makan sebab tidak ada makanan lain. Contohnya seseorang itu dalam musafir dan sesat dalam hutan dan tidak ada makanan. Yang ada hanyalah makanan yang haram dimakan. Kalau dia tidak makan, dia akan mati.

Kalau dalam keadaan macam itu, dia dibenarkan makan apa yang diharamkan dalam ayat ini. Boleh makan, termasuk makan daging mayat manusia pun dibenarkan.


Perkataan بَاغٍ bermaksud memberontak.

Kadang-kadang kita tidak benarkan seseorang buat sesuatu, tetapi mereka melawan, maka mereka buat juga. Maksud ayat ini, orang itu terpaksa makan, bukan sengaja hendak makan, bukan teringin hendak rasa macam mana rasa daging babi.


وَلَا عَادٍ

dan tidak melampaui batas;

Walaupun sudah dibolehkan makan, tetapi tidaklah boleh makan sampai kenyang. Setakat untuk hidup untuk hari itu sahaja. Tetapi boleh simpan sedikit sebagai bekal untuk esok kalau-kalau tidak ada makanan lain.


فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

tidak ada dosa ke atasnya;

Sebagai contoh, seseorang terpaksa makan daging babi. Ataupun dia tidak tahu bahawa dia sebenarnya makan daging babi semasa dia makan itu, tidaklah ada dosa baginya. Ini adalah rukhsah daripada  Allah ﷻ untuk keadaan yang terdesak. Ini kerana agama Islam ini adalah agama yang praktikal.


إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun

Allah ‎ﷻ akan beri pengampunan bagi orang yang terpaksa makan tanpa sengaja dan tidak makan berlebihan.

Allah ‎ﷻ amat pengampun. Perkataan غَفُورٌ itu dalam bentuk isim mubalaghah – ekstrim/bersangatan. Maknanya, Allah ‎ﷻ amat pengampun. Allah ﷻ boleh ampunkan dosa besar mana pun dan berapa banyak pun kalau Dia mahu.


Namun Allah ﷻ tidak sentiasa mengampun. Ada beza antara dua makna itu kerana kalau kita tahu Allah ‎ﷻ sentiasa mengampuni, kita akan ambil peluang dan buat kesalahan yang banyak. Maknanya, ada masanya Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita dan ada yang tidak Dia ampunkan. Semuanya terpulang kepada kehendak Allah ﷻ.


Jangan kita ada fahaman orang Kristian. Kepada mereka, semua dosa mereka telah diampunkan selepas mereka mengaku yang Nabi Isa عليه السلام adalah tuhan. Maka pada mereka dosa itu tidak ada masalah sangat. Maka apabila mereka rasa mereka sudah selamat daripada dosa, maka mereka telah mendapat tiket untuk melakukan apa sahaja dosa yang mereka mahu. Maka senanglah mereka hendak berbuat dosa.

رَحِيمٌ

dan Maha Pengasih.

Sentiasa mengasihani hamba-Nya. Kerana itu Allah ﷻ sanggup untuk mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya.

Kalau kita sayang kepada seseorang, bukankah senang kita hendak memaafkan kesalahan dia?

Allahu a’lam

Komen dan Soalan