Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah – Tafsir Ayat Ke-174 dan Ke-175

Tafsir Surah Al- Baqarah – Tafsir Ayat Ke-174 dan Ke-175

1383
0
Iklan

Tafsir Surah Al- Baqarah

Tafsir Ayat Ke-174

Ini adalah satu lagi ayat amaran daripada Allah ‎ﷻ iaitu kepada orang yang menyembunyikan ilmu daripada manusia. Mereka yang berilmu kena sampaikan hukum halal haram kepada manusia hingga mereka faham.

Jangan sembunyikan ilmu daripada manusia. Kena sampaikan dan sama ada mereka hendak terima atau tidak, jangan hirau, janji kita sudah sampaikan.

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلڪِتَـٰبِ وَيَشتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنًا قَلِيلاً‌ۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَا يَأكُلُونَ فِى بُطُونِهِم إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِم وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ ٱلڪِتَـٰبِ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang Allah telah turunkan dari Kitab;

Ayat ini merujuk kepada ‘orang agama’ yang menyembunyikan ilmu agama kepada pengikut mereka. Mereka tidak menceritakan kebenaran kepada masyarakat bahawa ada perbuatan masyarakat itu yang salah di sisi agama. Mereka tidak memberitahu, kerana mereka takut hendak beritahu.

Mereka takut hendak beritahu kerana takut masyarakat tidak dapat terima. Masyarakat pula memang senang terkejut kalau diberitahu benda-benda baru yang mereka tidak pernah dengar (kerana tidak pernah belajar wahyu). Apabila masyarakat tidak dapat terima, guru-guru agama itu takut masyarakat sudah tidak panggil mereka datang mengajar.

Apabila mereka tidak dipanggil mengajar, mereka takut mereka tidak dapat upah mengajar lagi. Atau kedudukan mereka dalam masyarakat akan jatuh. Maknanya mereka takut punca pendapatan mereka akan hilang. Maka mereka buat keputusan untuk membisukan sahaja tentang kesalah fahaman dan amalan dalam masyarakat. Agaknya mereka harap orang lainlah yang beritahu.

Antaranya yang mereka tidak beritahu adalah tentang apakah makanan yang tidak boleh dimakan, juga tentang kesalahan pengharaman makan dalam amalan pantang. Sebab apa mereka takut hendak beritahu?

وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلً

dan menjualnya untuk mendapat upah yang sedikit;

Mereka tidak memberitahu kerana mereka takut anak murid akan lari. Nanti takut tidak dapat duit lagi daripada anak murid-anak murid mereka yang selalu beri imbuhan kepada mereka selepas mereka mengajar. Sekarang agama sudah menjadi satu cara untuk mencari wang. Memang untung kalau jual agama.

Banyak ustaz-ustaz yang mengambil upah mengajar di masjid-masjid sampai mereka boleh pakai kereta besar-besar. Mereka ramai yang hidup dengan mewah. Itu belum lagi dikira mereka mengambil upah menjadi kepala tekong majlis tahlil atau Salat Hajat.

Kalau mereka tidak mengharap upah dalam bentuk kewangan, ada juga mereka yang mengharap kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Ini kerana ramai dalam kalangan orang agamawan yang menjadi tempat rujukan mereka dan dipandang tinggi dalam masyarakat. Mereka telah mendapat kedudukan yang selesa dalam masyarakat.

Kita takut nanti terjadi seperti yang terjadi kepada Bani Israil. Pendeta-pendeta mereka menjadi rujukan orang bawahan mereka. Orang bawahan akan datang kepada mereka untuk mendapatkan fatwa tentang sesuatu perkara. Kadang-kadang fatwa yang diberikan tidak seperti yang mereka ingini.

Jadi, mereka akan pergi kepada pendeta yang lain pula sampai mereka dapat fatwa yang sesuai dengan kehendak mereka. Jadi, pendeta yang boleh beri fatwa yang mereka kehendaki itulah yang akan mendapat upah.

Begitulah yang terjadi dengan agama Islam sekarang. Masyarakat mahukan pendapat agama yang kena dengan selera mereka yang telah biasa mereka lakukan. Jadi ada guru-guru agama yang tidak berani memberitahu kebenaran, takut anak-anak murid mereka akan lari kepada guru yang membenarkan apa yang mereka buat.

Sebagai contoh, kalau kita beritahu Majlis Tahlil tidak boleh diadakan, mereka akan mencari guru agama yang kata boleh buat. Banyak jenis guru agama sekarang, ada yang sampai sanggup mengatakan tidak salah malahan baik untuk mengadakan majlis Tahlil dan Salat Hajat. Asalkan mereka mendapat ramai pengikut. Mereka dapat banyak pengikut dengan kata perkara yang sesuai dengan selera masyarakat.

Apabila banyak pengikut, bermakna mereka akan dapat lagi banyak duit upah. Itu juga dikira sebagai menjual agama untuk mendapat upah yang sedikit. Kenapa dikata upah yang mereka dapat itu sedikit? Kerana banyak mana pun upah yang mereka dapat itu tidak dapat hendak dibandingkan dengan hukuman yang mereka akan terima.

Selalu hujah yang mereka gunakan adalah: “Ini adalah perkara khilafiah. Ada pendapat yang mengatakan boleh.” Mereka kata itu adalah perbezaan pendapat antara ulama’. Ada kata boleh, dan ada yang kata tidak boleh. Ingatlah bahawa akan ada sahaja orang yang mengaku ahli agama yang akan mengatakan boleh melakukan sesuatu itu.

Kalau kita hendak mencari ustaz yang mengatakan boleh buat apa-apa, kita akan berjumpa dengan ustaz yang kata boleh. Namun adakah benar hujah mereka itu? Kita kenalah jujur dengan agama. Janganlah hanya mengikut pendapat ustaz sahaja. Kena dapatkan apakah dalil mereka. Kalau pendapat yang diberikan tidak ada dalil, tidak boleh dipakai. Memanglah khilafiah, tetapi antara yang ‘ada dalil’ dan ‘tidak ada dalil’. Maka kita tidak boleh pakai pendapat kosong sahaja.

Kalau dalil yang diberikan bukan daripada Al-Qur’an dan Sunnah, maka tolaklah hujah mereka itu. Ada kemungkinan mereka pun tidak tahu apa yang mereka cakapkan. Janganlah kita bodoh sangat sampai kita sangka kalau seseorang itu dipanggil ‘ustaz’, dia sudah tahu semua tentang agama. Ramai yang ikut sahaja kata masyarakat awam kerana takut hendak tegur.

أُولَٰئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلَّا النَّارَ

Tidaklah mereka makan dalam perut-perut mereka melainkan api neraka

Apabila ustaz-ustaz, guru-guru agama menggunakan kedudukan mereka dalam masyarakat untuk memberikan pandangan agama hanya untuk memuaskan hati pengikut-pengikut mereka, dan dapat rezeki dengan cara itu, Allah ‎ﷻ kata Dia akan memasukkan api neraka ke dalam perut mereka.

Maknanya, rezeki yang mereka makan hasil daripada apa yang mereka ajar kepada masyarakat itu adalah api neraka sebenarnya. Mereka sangkakan yang itu adalah rezeki, tetapi rupanya ia adalah api neraka.

وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ ٱلقِيَـٰمَةِ

Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari Kiamat;

Ini adalah satu penghinaan apabila Allah ‎ﷻ tidak berkata-kata dengan mereka. Allah ‎ﷻ tidak akan berkata dengan mereka kecuali dengan kata-kata yang tidak baik – dalam keadaan marah. Tidak ada kata-kata yang baik dan mesra untuk mereka jenis ini kerana amat berat kesalahan yang mereka lakukan.

Mereka sepatutnya orang yang banyak belajar agama, sepatutnya tahu mana yang haram dan mana yang halal. Merekalah yang sepatutnya menyelamatkan masyarakat dari neraka, tetapi mereka tidak beritahu kepada masyarakat.

Allah ‎ﷻ tidak akan berkata-kata dengan mereka dengan lembut. Tidak seperti Allah ‎ﷻ berkata dengan hamba-Nya yang mukmin. Allah ‎ﷻ menzahirkan keredhaan Allah ‎ﷻ kepada mereka yang mukmin dengan pemberian yang lebih lagi daripada syurga.

Namun kepada mereka yang menyembunyikan ilmu yang benar, Allah ‎ﷻ amat murka dengan mereka. Allah ‎ﷻ cakap kasar dan kesat dengan mereka. Macam manusia halau dan hambat anjing.

وَلَا يُزَكِّيهِمْ

dan tidaklah Tuhan akan menyucikan mereka;

Bermakna Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan dosa-dosa mereka. Kita sebagai manusia tentu banyak dosa yang kita lakukan. Kita mengharapkan semoga Allah ‎ﷻ akan mengampunkan segala dosa-dosa kita itu. Namun kalau Allah ‎ﷻ kata Dia tidak akan menyucikan dosa kita, maka amat malanglah nasib kita nanti.

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan bagi mereka azab yang pedih;

Inilah yang diberikan kepada mereka yang tidak mahu menceritakan halal haram yang telah Allah ‎ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an. Azab yang pedih bermakna azab yang tidak akan berkurangan langsung dari mula-mula masuk neraka sampai bila-bila.

Tafsir Ayat Ke-175

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ ٱشتَرَوُاْ ٱلضَّلَـٰلَةَ بِٱلهُدَىٰ وَٱلعَذَابَ بِٱلمَغفِرَةِ‌ۚ فَمَآ أَصبَرَهُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.

أُولَٰئِكَ

Mereka yang bersifat seperti ini,

Iaitu mereka yang menyembunyikan ilmu yang benar kerana mereka mahukan kedudukan dan imbuhan daripada masyarakat.

الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِٱلهُدَىٰ

adalah orang-orang yang membeli kesesatan dengan menjual petunjuk

Allah‎ ﷻ kata mereka jual hidayah dengan beli neraka. Mereka sudah dapat hidayah, tetapi mereka tukar dengan kesesatan.

وَالْعَذَابَ بِالْمَغْفِرَةِ

dan membeli azab dengan menjual keampunan

Mereka ambil azab dengan jual keampunan. Ini adalah sesuatu yang amat bodoh sekali. Ini adalah perniagaan yang amat merugikan sekali. Dapat kebaikan di dunia, tetapi menerima nasib yang teruk di akhirat kelak.

فَمَا أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ

Maka alangkah sabarnya mereka menanggung azab neraka

Ini adalah kata-kata ejekan daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak kata lihatlah betapa tololnya mereka. Mereka boleh sabar dalam neraka? Mereka hendak bersabar dalam neraka? Mereka rasa mereka boleh bersabar duduk dalam neraka?

Walaupun mereka sabar dalam neraka, mereka akan duduk dalam neraka juga. Tidak tahu entah berapa lama (terpulang kepada Allah ‎ﷻ). Orang yang duduk dalam penjara dalam dunia ini, kalau mereka sabar, akhirnya mereka akan keluar juga. Ataupun mereka akan mati juga akhirnya. Namun kalau duduk di neraka, mungkin tidak akan keluar-keluar dan tidak akan mati-mati. Berapa lama duduk dalam neraka pun tidak akan tahan. Duduk sesaat pun sudah azab yang amat.

Selalunya kalau kita sabar, kita akan dibalas dengan sebab kesabaran kita itu tetapi tidak dalam kes ini. Tidak ada apa-apa kebaikan yang mereka akan dapat kalau mereka bersabar selama mana pun dalam neraka kerana neraka bukan tempat untuk sabar. Tempat sabar adalah di dunia.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan