Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-126 hingga Ayat Ke-128

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-126 hingga Ayat Ke-128

3206
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-126

Selepas Nabi Ibrahim عليه السلام diperintahkan untuk mendirikan semula Kaabah, maka baginda telah mengambil kesempatan itu untuk berdoa.

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ

Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahim berdoa

Lihatlah sunnah berdoa yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام. Selepas sahaja baginda selesai melakukan ibadat kepada Allah ‎ﷻ, baginda mengambil peluang untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Doa ini baginda baca selepas baginda dan anaknya Nabi Ismail عليه السلام selesai membangunkan kembali Kaabah.

Maka, kita pun kenalah ambil peluang berdoa selepas kita selesai mengerjakan satu-satu ibadat. Tidak kira ibadah mana, sama ada salat, baca Al-Qur’an, malah perkara yang baik seperti baru selepas menolong orang atau kelas pengajian.

رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا

Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman

Doa baginda ini telah dikabulkan oleh Allah ‎ﷻ. Sampaikan negeri Mekah dijadikan sebagai suatu negeri yang suci, darah manusia tidak boleh ditumpahkan, seorang pun tidak boleh dianiaya, tidak boleh juga diburu binatang buruan di situ dan tidak boleh dicabut tanaman-tanaman di situ walaupun rumputnya.

Perkataan بَلَدًا bermaksud tempat yang dihuni. Maknanya, dalam doa ini sendiri sudah ada doa baginda supaya Mekah itu dihuni orang. Bayangkan, tempat yang tandus tanaman tidak boleh hidup tetapi ada ramai orang duduk di situ.

Aman juga bermaksud selamat dari segi agama. Kalau hendak selamat agama, kena duduk di sana. Ini kerana Allah ‎ﷻ jaga tempat itu supaya menjadi rujukan bagi amalan manusia seluruh dunia. Di situlah agama terpelihara. Malangnya, ramai pula orang kata ini ‘tempat Wahabi’. Ini memang tidak kena langsung dan disebut oleh orang yang jahil sahaja.

وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ

dan berilah rezeki kepada ahlinya dari buah-buahan

Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya negeri Mekah itu diberikan dengan makanan. Ini kerana tempat itu gersang. Namun walaupun gersang, Nabi Ibrahim عليه السلام minta supaya makanan akan ada sahaja di situ.

Jadi, baginda telah meminta dua perkara yang penting: Keamanan dan sumber kehidupan. (“Peace and Prosperity”). Dua perkara ini amat penting untuk sesuatu tamadun berkembang baik. Kalau sesuatu tempat itu aman, tetapi tidak ada sumber makanan pun, tidak akan ada manusia yang akan tinggal lama di situ.

Begitu juga kalau ada sumber kehidupan, tetapi tidak aman – katakanlah kalau kecurian selalu berlaku, pembunuhan bermaharajalela, pemerintah yang zalim, maka tidak akan lama manusia tinggal di situ.

Allah ‎ﷻ telah memberikan banyak rezeki kepada tanah Mekah. Pada zaman dahulu, buah-buahan banyak diambil dari Syam. Kalau zaman sekarang, entah dari mana buah-buahan itu diambil sampaikan segala jenis buah-buahan ada di tanah Mekah itu.

Oleh kerana Mekah itu satu tempat yang tidak ada tanah dan pokok, maka Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya negeri Mekah itu diberikan buah-buahan walaupun tidak ada pokok yang tumbuh dengan subur. Baginda berdoa semoga Mekah itu dijadikan aman supaya tidak ada pembunuhan di situ.

Sampai sekarang, banyak jenis buah ada di Mekah dijual di pasar-pasar, buah durian pun ada. Semua jenis buah ada di Mekah. Semua buah yang ada di tempat lain, sampai juga ke Mekah.

مَنْ آمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ

kepada orang yang beriman di antara mereka kepada Allah

Namun begitu Nabi Ibrahim عليه السلام meletakkan had atau syarat di dalam doa baginda. Baginda minta supaya rezeki dan keamanan itu diberikan kepada mereka yang beriman sahaja iaitu yang beriman kepada Allah ‎ﷻ serta mengamalkan ajaran tauhid.

وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

dan beriman kepada hari akhirat;

Baginda minta dihadkan rezeki dan keamanan itu diberikan kepada mereka yang percaya kepada Hari Akhirat sahaja.

Jadi dalam doa Nabi Ibrahim عليه السلام kali ini, baginda ubah sikit doa baginda. Sebelum ini dalam ayat yang lain, baginda berdoa supaya kedudukan imam juga diberikan kepada anak cucu baginda. Allah ‎ﷻ mengatakan janji itu tidak akan diberikan kepada orang yang zalim, hanya kepada orang beriman sahaja.

Maknanya, Allah ‎ﷻ tidak berkenan dengan doa baginda sebegitu. Maka, dalam doa kali ini, baginda ubah sikit – baginda berdoa semoga rezeki di Mekah itu diberikan kepada orang yang beriman sahaja. Nabi Ibrahim عليه السلام seorang yang bijak. Baginda belajar daripada kesilapan. Begitulah kita sepatutnya ambil pengajaran dari perkara itu. Kalau doa kita tidak menjadi, tentu ada kesilapan dalam doa itu. Maka kita kena ubah doa kita.

Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa macam itu pun supaya kejayaan dan kekayaan diberikan kepada orang yang beriman sahaja. Ini kerana baginda mahu supaya pemerintahan itu terus berada di atas tangan orang yang beriman. Kalau mereka yang mendapat rezeki daripada Allah ‎ﷻ, bermakna pemerintahan akan berada dalam tangan orang beriman sahaja. Kalau rezeki dan keamanan diberikan kepada orang yang zalim, nanti kezaliman pula yang bermahajalela.

Lihatlah juga bagaimana doa Nabi Ibrahim عليه السلام. Baginda meminta untuk orang lain sahaja. Sebelum ini, baginda minta supaya keturunannya yang kemudian diberikan juga pangkat imam. Sekarang doa dalam ayat ini meminta supaya diberikan makanan dan keamanan kepada mereka yang tinggal di Mekah.

Baginda hanya minta diberikan kepada orang beriman sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ berkata seterusnya:

قَالَ وَمَنْ كَفَرَ

Allah berfirman: dan kepada orang kafir juga;

Walaupun Nabi Ibrahim عليه السلام hanya doakan untuk orang beriman sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ hendak berikan juga kepada orang kafir yang ada di Mekah. Ini adalah daripada Sifat Rahman (Maha Pemurah) Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ sanggup berikan rezeki kepada mereka yang kufur dan engkar kepada-Nya pun.

Ini adalah isyarat bahawa akan ada sahaja orang yang jahat dalam dunia ini, walaupun di Mekah. Kita tidak dapat elak. Mereka juga akan mendapat rezeki yang Allah ‎ﷻ akan berikan kepada mereka.

Selalunya mereka lebih kaya daripada orang Islam. Dari dahulu sampai sekarang, orang kafir selalunya lebih kaya daripada orang Islam. Dalam surah Quraish, ada diceritakan tentang kemewahan yang didapati oleh orang-orang Arab di Mekah yang musyrik itu.

Walau bagaimana pun, Allah ‎ﷻ sambung lagi:

فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا

Aku akan beri sedikit kesenangan

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia akan memberi sedikit kesenangan kepada mereka semasa mereka hidup di dunia. Semasa mereka di dunia, memang mereka akan mendapat rezeki, kesenangan dan sebagainya.

Kesenangan itu sama ada sedikit atau sementara sahaja kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan terima di akhirat kelak.

ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ

kemudian Aku akan paksa dia kepada azab neraka;

Akhirnya, selepas mereka mati, mereka akan kembali kepada-Nya juga. Mereka akan mendapat balasan yang setimpal di atas perbuatan mereka di dunia. Maknanya, mereka hanya senang di dunia sahaja. Bukanlah kesenangan yang mereka nikmati di dunia itu sebagai tanda Allah ‎ﷻ sayangkan mereka.

Ini menolak salah faham Musyrikin Mekah. Mereka sangka mereka diberi dengan segala nikmat itu kerana Allah ‎ﷻ sayangkan mereka dan mereka telah melakukan perkara yang benar. Allah ‎ﷻ tolak fahaman mereka. Kesenangan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada makhluk bukan tanda Allah ‎ﷻ sayang. Allah ‎ﷻ boleh sahaja beri kesenangan kepada orang yang engkar pun. Maka jangan perasan.

وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

Ianya adalah seburuk-buruk tempat kembali;

Neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Berdoalah supaya kita selamat dari Neraka. Yang tidak takut neraka itu hanyalah mereka yang tidak belajar sahaja bagaimana keadaan neraka itu. Sampaikan ada dalam kalangan umat Islam yang sangka mereka akan duduk di Neraka sekejap sahaja dan akhirnya akan masuk ke syurga juga akhirnya nanti.

Alangkah bodohnya mereka. Mereka seperti tidak tahu betapa hebatnya azab di neraka itu. Kalau duduk sekejap, sesaat pun mereka tidak akan tahan. Itu adalah kerana mereka tidak belajar.

Tafsir Ayat Ke-127

وَإِذ يَرفَعُ إِبراهيمُ القَواعِدَ مِنَ البَيتِ وَإِسماعيلُ رَبَّنا تَقَبَّل مِنّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّميعُ العَليمُ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ

Dan ketika Nabi Ibrahim mendirikan asas-asas binaan Kaabah dengan Nabi Ismail;

Dalam ayat ini, kita dapat tahu yang bukan Nabi Ibrahim عليه السلام seorang sahaja yang mendirikan binaan Kaabah tetapi baginda membinanya bersama Nabi Ismail عليه السلام. Namun begitu, oleh kerana Nabi Ibrahim عليه السلام adalah “Chief Architect” (Ketua Arkitek), maka nama Nabi Ismail عليه السلام disebut di hujungnya sahaja.

Ini juga memberitahu kita yang Nabi Ibrahim عليه السلام bukan sahaja mengajar agama, tetapi baginda juga mendirikan masjid. Maka, mendirikan masjid adalah sunnah para Nabi juga termasuk Nabi Ibrahim عليه السلام.

Ketika mendirikan Kaabah itu, Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا

Wahai Tuhan kami, terimalah dari kami ibadat kami;

Lihatlah bagaimana doa Nabi Ibrahim عليه السلام. Selepas baginda membuat amal, baginda berdoa supaya amal baginda itu diterima. Maka, setiap hari kita kena doa sebegini. Kena minta supaya Tuhan terima ibadat kita. Ini kerana belum tentu Allah ‎ﷻ terima lagi ibadat kita kerana kekurangan yang banyak di dalamnya.

Mereka berdua telah berdoa begitu sambil membuat kerja membangunkan binaan Kaabah. Nabi Ibrahim عليه السلام menggunakan perkataan ‘Wahai Tuhan kami’ – mewakili baginda dan Nabi Ismail عليه السلام. Bijak Nabi Ibrahim عليه السلام, baginda memasukkan Nabi Ismail عليه السلام sekali ke dalam doanya.

Dalam ayat sebelumnya, Allah ‎ﷻ mengatakan bahawa janji-Nya tidak termasuk kepada orang yang zalim. Nabi Ibrahim عليه السلام telah menerima firman Allah ‎ﷻ itu. Tetapi dalam ayat ini, Nabi Ibrahim عليه السلام sekali lagi berdoa dan baginda memasukkan Nabi Ismail عليه السلام di dalam doa baginda. Seolah-olah baginda berdoa: “walaupun Engkau tidak berjanji memasukkan semua keturunanku yang lain, sekurang-kurangnya masukkan anakku ini, Ismail.”

Walaupun baginda seorang Nabi lagi Rasul dan baginda sedang melakukan kerja yang amat besar iaitu mendirikan Rumah Allah ‎ﷻ, atas arahan Allah ‎ﷻ pula, tetapi baginda masih lagi berdoa supaya diterima amalan baginda itu. Begitulah sunnah yang kita kena ikuti. Jangan terus sangka segala amal ibadat kita akan tentunya diterima.

Kita jangan rasa selamat. Kita kena doa dan berharap semoga Allah ‎ﷻ menerima ibadat kita. Berapa banyak ibadat yang manusia lakukan tetapi nanti akhirnya Allah ‎ﷻ tidak terima dan campak ke muka kita. Antaranya kerana kita tidak ikhlas dalam ibadat kita itu.

Ini adalah ubat bagi sifat ujub. Ujub adalah perasaan yang rasa hebat dengan amal ibadat yang telah dilakukan. Perasaan ini timbul kalau rasa yang Allah ‎ﷻ terus terima amal ibadat kita. Kalau begitu, kita akan rasa banyak amal kita dan akan menjadikan kita ujub. Ini adalah salah satu daripada Talbis Iblis iaitu menjadikan kita ujub. Syaitan akan bisikkan supaya kita rasa amal kita sudah banyak.

Maka kena sedar yang tidak semestinya semua amal kita Allah ‎ﷻ akan terima. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام pun doa supaya Allah ‎ﷻ terima amalnya. Padahal dia adalah Nabi dan amalnya adalah membina Kaabah! Tentu hati baginda dan amal baginda lebih baik daripada kita. Namun baginda tetap berdoa supaya Allah ‎ﷻ terima amalnya. Baginda tidak terus sangka Allah ‎ﷻ pasti terima. Maka kita pun kena ada perasaan begitu.

إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ

bahawasanya Kamu yang Maha Mendengar rayuan hati kami;

Allah ‎ﷻ Maha Mendengar doa kita. Maka Nabi Ibrahim عليه السلام telah memuji Allah ‎ﷻ. Begitulah dalam berdoa hendaklah kita memuji-Nya.

الْعَلِيمُ

Maha Mengetahui

Allah ‎ﷻ mengetahui segala perkara. Tidak ada perkara yang tersembunyi daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ maha mengetahui selok belok kedudukan segala perkara; Allah ‎ﷻ juga Maha Tahu doa dalam hati kita yang kita tidak sebutkan di mulut, tetapi kita simpan di hati. Itu pun Allah ‎ﷻ tahu juga.

Tafsir Ayat Ke-128

Bukan itu sahaja doa mereka. Mereka berdua menyambung lagi doa mereka. Doa inilah yang Allah ‎ﷻ makbulkan sampai terdirinya umat Nabi Muhammad ﷺ.

رَبَّنا وَاجعَلنا مُسلِمَينِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنا أُمَّةً مُسلِمَةً لَكَ وَأَرِنا مَناسِكَنا وَتُب عَلَينا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani”

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ

Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami ini dua orang yang berserah diri kepada Kamu sahaja;

Iaitu menjadi orang yang menerima ajaran tauhid dan mengesakan Allah ‎ﷻ sahaja.

Kalimah Muslim bermakna orang yang berserah kepada Allah ‎ﷻ, sentiasa melakukan apa yang Allah ‎ﷻ suruh. Taat setia kepada Allah ‎ﷻ seratus peratus.

وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ

Dan juga dari zuriat-zuriat kami satu umat yang berserah diri bulat-bulat kepada Kamu sahaja;

Dari doa inilah lahirnya umat Nabi Muhammad ﷺ. Allah ‎ﷻ memakbulkan doa baginda ini.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام menyusun doa baginda. Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memberitahu baginda bahawa janji Allah ‎ﷻ tidak akan sampai kepada mereka yang zalim. Jadi, dalam doa baginda kali ini, Nabi Ibrahim عليه السلام memohon supaya ada dalam kalangan zuriatnya yang akan menjadi mereka yang berserah kepada Allah ‎ﷻ. Kalau tidak semua pun, sekurang-kurangnya ada. Begitulah doa Nabi Ibrahim عليه السلام kerana itu digunakan kalimah من dalam ayat ini yang bermaksud ‘sebahagian’.

Dalam ayat yang lain, ada ayat yang mengatakan bahawa hendaklah ada di antara kamu satu umat yang menyeru manusia kepada kebaikan – kembali kepada Islam. Dan menyuruh mereka kepada kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah. Dan mencegah manusia daripada mungkar dan bidaah dalam agama.

Tetapi malangnya kita banyak hanya menyuruh manusia melakukan kebaikan dalam agama dan hanya menegah manusia daripada membuat dosa-dosa yang jelas sahaja macam minum arak. Itu tidak cukup sebenarnya. Kita kena seru orang supaya kembali kepada agama secara keseluruhan – bukan hanya dosa-dosa yang jelas sahaja.

Itulah yang dinamakan jihad fi lisan. Iaitu jihad dengan lidah. Menyuruh mereka kembali kepada Al-Qur’an dan sunnah dan melarang mereka daripada melakukan bid’ah.

Tetapi guru-guru agama kebanyakannya takut hendak menegur manusia daripada melakukan bid’ah kerana telah banyak sangat bid’ah yang diamalkan masyarakat sampai sudah sebati dalam masyarakat. Jadi apabila ditegur nanti, takut masyarakat tidak dapat terima dan guru-guru itu pula disisih.

Apabila disisih, maka mereka sudah tidak dipanggil lagi untuk mengajar, dan kalau itu terjadi, sudah hilang pengaruh mereka, sudah hilang punca pendapatan mereka mengajar (kerana kalau mengajar, mereka ambil upah). Itu semua adalah bisikan syaitan sahaja yang menakutkan kita untuk menyebut kebenaran.

Akhirnya, masyarakat rasa tidak salah buat bid’ah, kerana guru yang mengajar agama kepada mereka pun tidak menegur. Apabila tidak ditegur, mereka rasa betullah apa yang mereka lakukan itu.

وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا

Dan ajarlah kepada kami cara-cara nak buat haji;

Di sini, disebutkan baginda minta diajar cara mengerjakan ibadah Haji sahaja. Ini adalah kerana baginda sedang membina Kaabah, dan sedang berada di Mekah, maka doa baginda kena dengan keadaan. Haji hanya boleh dilakukan di Mekah sahaja, maka doa ini khusus kepada keadaan waktu itu.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام me‎minta supaya ditunjukkan cara-cara untuk menjalankan ibadah Haji – maknanya cara-cara manasik Haji itu ini menunjukkan yang amalan Haji itu bukan ibadat rekaan Nabi Ibrahim عليه السلام. Nabi Ibrahim عليه السلام meminta ajaran daripada Allah ‎ﷻ. Maknanya amalan sesuatu ibadah itu mesti bersumber daripada Allah ‎ﷻ juga.

Cara melakukan ibadah juga daripada Allah ‎ﷻ. Maka benarlah tidak ada rekaan dalam amalan agama. Malangnya dalam masyarakat kita, ada amalan yang tidak diajar dalam agama pun, tetapi mereka selamba sahaja melakukannya. Sebagai contoh, Majlis Tahlil tidak diajar caranya dalam agama tetapi selalu sangat diamalkan dengan berleluasa dalam masyarakat kita.

Ingatlah, tidak ada amalan bid’ah dalam agama yang diterima walaupun yang dinamakan ‘bid’ah hasanah’ dalam Islam. Sesuatu ibadat itu mesti ada dalil Al-Qur’an atau dalil hadith. Kalau tiada, tidak boleh buat, tidak perlu buat. Tetapi kalau benda baharu tentang kehidupan, tidak mengapa, kita boleh buat apa yang kita rasakan perlu. Selagi tidak dilarang dalam agama.

Contohnya, kita ingin makan apa sahaja, makanlah selagi tidak haram. Hendak menggunakan kereta apa jenis pun sebagai kenderaan pun boleh juga. Janganlah sampai ada yang kata: “Kalau tak boleh buat bid’ah, jangan pakai keretalah sebab Nabi pakai unta dulu”. Kalau hendak bodoh sikit-sikit tidak mengapa, tetapi janganlah bodoh teruk sangat. Perkara bid’ah yang dilarang dalam Islam adalah dalam perkara agama sahaja, bukannya dalam segenap kehidupan kita.

Bid’ah yang tidak boleh dilakukan adalah tentang ibadat dan tentang agama. Contohnya, dahulu Nabi ﷺ naik unta atau kuda untuk bergerak daripada satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi kita sekarang naik kereta. Itu tidak mengapa kerana zaman kemajuan telah memperkenalkan kita kepada kereta. Naik kenderaan bukannya hal ibadah, jadi terpulang kepada kita.

Ayat ini juga menunjukkan tidak cukup dengan beriman sahaja dengan Allah ‎ﷻ. Ibadat pun kena buat juga. Kita kena tunjukkan iman kita dengan melakukan ibadat. Ibadat itu tanda adanya iman kita. Kita kena ikut apa yang Allah ‎ﷻ perintahkan kita buat. Kita tidak akan tahu cara beribadat kalau Allah ‎ﷻ tidak tunjukkan kepada kita. Ini kerana akal kita tidak akan sampai bagaimana cara untuk melakukannya. Kerana itulah Allah ‎ﷻ bangkitkan para Nabi dan Rasul untuk mengajar kita.

Walaupun kita cinta dan bersyukur kepada Allah ‎ﷻ, kita tidak akan tahu bagaimana hendak beribadat kepada Allah ‎ﷻ sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sebagai contoh, katakanlah kita hendak memberi hadiah kepada seseorang. Kalau dia adalah orang yang istimewa, tentulah kita hendak memberikan benda yang dia suka, bukan? Siapakah yang lebih tahu tentang benda apa yang dia suka, melainkan dirinya sendiri?

Maka, untuk tahu apakah yang perlu dilakukan untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ, hanya Allah ‎ﷻsahaja yang tahu. Allah ‎ﷻ memang telah ajar satu persatu di dalam Al-Qur’an dan juga dalam Sunnah yang disampaikan oleh Nabi ﷺ.

Lihatlah orang Arab Jahiliah. Mereka tidak tahu apakah yang Allah ‎ﷻ hendak sebenarnya. Maka mereka mereka-reka amalan mereka sendiri. Antaranya, mereka telah tawaf bertelanjang kerana mereka sangka itulah yang Allah ‎ﷻ suka. Ini kerana ada di antara pemimpin agama mereka yang berkata, lebih baik kalau mereka tawaf dalam keadaan telanjang kerana mereka akan mengadap Tuhan nanti pun dalam keadaan telanjang juga. Ini adalah satu contoh bid’ah dalam ajaran.

Dalam Islam, tidak ada ibadat yang boleh direka. Tidak ada ‘agak-agak’ dalam perkara ibadat. Semua ibadat perlu melalui ajaran Nabi yang datang daripada Allah ‎ﷻ. Kita sebagai manusia, tidak akan dapat tahu caranya kalau tidak diajar. Jadi bagaimana mereka yang melakukan ibadat bid’ah akan jawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti apabila mereka ditanya kenapa mereka melakukan sesuatu ibadat yang tidak diajar Nabi ﷺ? Adakah kita memandai-mandai dalam hal agama?

وَتُبْ عَلَيْنَا

dan terimalah taubat kami;

Perkara yang kita amat-amat perlukan adalah keampunan daripada Allah ‎ﷻ. Salah satu cara untuk mendapat pengampunan adalah dengan mengerjakan ibadat haji. Dalam hadith telah dikatakan bahawa jikalau ibadat Haji kita diterima, dosa-dosa kita akan dibersihkan semua sekali.

Selain daripada mengerjakan haji, kita pun kenalah selalu minta ampun kepada Allah ‎ﷻ kerana kita tentunya banyak dosa.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام memohon supaya mereka diampunkan. Padahal, bukannya baginda sedang berbuat dosa. Baginda sedang melakukan ketaatan kepada Allah ‎ﷻ dengan mendirikan Rumah Allah ‎ﷻ. Namun baginda tetap meminta ampun lagi, kenapa begitu?

Inilah ubat kepada ujub. Kita kena rasa ada kurang dengan ibadah kita. Kita tidak boleh yakin yang pahala sudah tentu dapat kerana walaupun kita sedang melakukan ketaatan, kita tidak pasti ia adalah seperti yang Allah ‎ﷻ kehendaki ataupun tidak. Entah ada kurang di mana-mana, kita pun tidak tahu.

Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ telah mengajar kita untuk terus istighfar tiga kali selepas sahaja salam dalam salat. Ini adalah kerana kita tidak tahu sama ada salat kita itu cukup ataupun tidak, kita khusyuk ataupun tidak, kita baca betul ataupun tidak dan macam-macam lagi kekurangan yang ada.

إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Sesungguhnya Engkau Maha Menerima taubat dan amat belas kasihan kepada makhluk.

Perkataan التَّوَّابُ bermakna Allah ‎ﷻ adalah Dzat yang sentiasa menerima taubat kita. Walaupun berkali-kali kita telah melakukan kesalahan, dan setiap kali kita akan memohon ampun kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ tidak jemu untuk mengampunkan kita. Kalau kena dengan syarat-syaratnya (kena rujuk syarat taubat). Jadi, jangan jemu untuk minta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Walaupun atas kesalahan yang sama.

Jangan terpedaya dengan syaitan yang membisikkan kepada kita: “Tak payahlah kau minta ampun sekarang… nanti kau akan buat dosa yang sama juga.” Jangan, jangan terpedaya dengan bisikan itu. Walaupun dosa yang sama kita lakukan berkali-kali, hendaklah kita minta ampun juga. Maka, kerana itu, Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya Allah ‎ﷻ sentiasa menerima taubat mereka, bukan hari itu sahaja.

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim عليه السلام pun memohon keampunan daripada Allahﷻ . Tambahan pula kita? Kenapa pula seorang Nabi yang maksum meminta ampun daripada Allah ‎ﷻ? Kita tahu yang Nabi Ibrahim عليه السلام telah melakukan segala apa yang disuruh Allah ‎ﷻ, bukan? Tetapi baginda memohon keampunan daripada Allah ‎ﷻ jikalau apa yang baginda lakukan itu tidak mencukupi lagi, atau tidak lengkap seperti yang Allah ‎ﷻ hendak. Begitulah murninya hati baginda.

Walaupun mereka itu Nabi dan mereka maksum, maka ini menunjukkan kerendahan hati mereka; dan juga menjadi pengajaran bagi kita yang datang kemudian. Mengajar kita untuk berdoa meminta ampun walaupun selepas melakukan ketaatan kepada Allah ﷻ.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan