Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-114 hingga Ke-117

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-114 hingga Ke-117

1212
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-114

Ini adalah rungutan Allah ‎ﷻ yang ketiga. Ini adalah tentang mereka yang menghalang golongan Islam untuk menggunakan tempat ibadat untuk agama. Mereka yang dimaksudkan itu mungkin Yahudi ataupun Musyrikin Mekah sebab kedua-duanya boleh dipakai dalam konteks ayat ini.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن مَنَعَ مَساجِدَ اللَّهِ أَن يُذكَرَ فيهَا اسمُهُ وَسَعىٰ في خَرابِها ۚ أُولٰئِكَ ما كانَ لَهُم أَن يَدخُلوها إِلّا خائِفينَ ۚ لَهُم فِي الدُّنيا خِزيٌ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

وَمَنْ أَظْلَمُ

Dan siapakah yang lebih zalim,

Apabila Allah ‎ﷻ sebut: “Siapakah yang lebih zalim?”, bermaksud tidak ada lagi yang lebih zalim daripada golongan yang akan disebutkan ini.

مِمَّنْ مَنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ

daripada orang yang melarang masjid-masjid Allah;

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang Musyrikin Mekah yang menghalang orang-orang Islam untuk menggunakan Masjidil Haram. Mereka telah melarang orang Islam daripada datang dan mengerjakan Umrah dan Haji. Mereka melarang para sahabat رضي الله عنهم daripada mendirikan salat di Kaabah.

Tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan مَسَاجِدَ dalam ayat ini, yang bermaksud ‘masjid-masjid’ (plural), menunjukkan ia bukan hanya digunakan untuk Masjidil Haram sahaja tetapi untuk masjid-masjid lain juga. Jadi, jikalau ada yang melarang masjid digunakan sebagai tempat yang sepatutnya ia digunakan, mereka juga adalah orang yang zalim.

Ia juga boleh digunakan untuk menyebut tentang rumah-rumah ibadat ahli Kitab juga kerana tempat ibadat mereka juga sepatutnya dinamakan masjid juga – tempat sujud – kerana mereka juga sepatutnya ada ibadat sujud juga. Cuma mereka sahaja yang meninggalkannya. Jangan lupa, kita masih lagi dalam bahagian dalam Surah Baqarah yang menyentuh juga perbuatan ahli-ahli Kitab terutama sekali Bani Israil. Jadi ayat ini ada juga bersangkutan dengan mereka.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan مَسَاجِدَ (masjid-masjid) di dalam ayat ini. Pada hal masjid bukanlah sesuatu yang bernyawa. Ini bermaksud, masjid-masjid itu dihalang daripada menjalankan apa yang sepatutnya dijalankan – iaitu mengingatkan manusia kembali kepada Allah ‎ﷻ.

Memang masjid-masjid kita sekarang ini ada yang memang menghalang guru-guru agama yang membawa ajaran sunnah daripada mengajar. Alasan mereka adalah ditakuti masyarakat akan berpecah belah setelah guru-guru agama sunnah itu mengajar.

Pada hal, apa yang hendak diajar oleh guru-guru itu adalah kebenaran. Kejadian zaman dahulu telah berulang kembali dalam masyarakat kita. Perbuatan yang sama dilakukan oleh Musyrikin Mekah dilakukan oleh AJK-AJK masjid juga rupanya.

أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ

untuk disebut nama Allah sahaja?;

Menyebut Nama Allah ‎ﷻ bermaksud menyebut tentang tauhid. Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang melarang manusia daripada memasuki masjid untuk menyebut nama Allah ‎ﷻ sahaja? Iaitu mengesakan nama Allah ‎ﷻ. Iaitu mengajar tauhid. Kenapa dilarang ajaran tauhid yang sebenar daripada diajar kepada masyarakat?

Oleh kerana ajaran tauhid telah jauh daripada masyarakat sekarang, maka apabila ada guru yang mengajar tentang tauhid – hanya menyembah Allah ‎ﷻ sahaja; hanya berzikir menyebut nama Allah ‎ﷻ sahaja – bukan nama ilah-ilah yang lain, masyarakat melihat guru itu mengajar perkara yang asing.

Maka akan ada orang yang tidak suka kerana teguran guru itu akan terkena kepada mereka yang mengamalkan ajaran yang sesat – yang bukan tauhid.

Jadi mereka akan berusaha supaya guru itu tidak mengajar lagi di situ. Ini memang ada terjadi. Sudah berapa ramai guru agama yang tidak lagi dibenarkan mengajar di masjid-masjid kerana mereka mengajar tentang tauhid?

Kalau mengajar feqah seperti solat dan wudhu’, tidak ada masalah; tetapi kalau ajar ajaran tauhid kepada masyarakat awam, tentu akan ada masalah.

Ada mufassir yang menafsir ayat ini sebagai mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan menyebut nama Allah ‎ﷻ adalah: membaca Al-Qur’an.

Ini pun ada kebenarannya juga kerana pernah ada kejadian yang menghalang kelas tafsir daripada diajar kepada masyarakat dengan alasan bahawa pengajaran tafsir Al-Qur’an akan menyebabkan manusia berpecah belah.

Kita tidak tahulah apakah yang dimaksudkan dengan tafsir Al-Qur’an boleh memecah belahkan masyarakat. Mereka yang mengatakan seperti itu kena menjawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti oleh kerana halangan mereka itu. Mereka itu memang jelas termasuk dalam mereka yang dikatakan dalam ayat ini.

Ada mufassir yang mengatakan yang dimaksudkan adalah Bani Israil telah dilarang daripada menyebut nama Allah ‎ﷻ. Syaitan telah berjaya menghasut ahli agama mereka untuk melarang pengikut-pengikut mereka daripada menyebut nama Allah ‎ﷻ.

Syaitan mengatakan bahawa nama Allah ‎ﷻ itu adalah terlalu suci untuk disebut secara terang. Maka pengikut-pengikut agama mereka tidak dibenarkan menyebutnya langsung.

Sampai sekarang, mereka sampai tidak tahu dengan tepat apakah nama Tuhan mereka sendiri. Sampaikan mereka terpaksa meminjam nama tuhan penduduk setempat. Begitulah yang terjadi apabila mereka di Malaysia. Telah kecoh bagaimana mereka memohon untuk menggunakan nama Allah ‎ﷻ sebagai nama Tuhan mereka.

Ini amat memalukan. Pada hal kita boleh tanya mereka: “Kenapa nak pakai nama Tuhan kami? Kenapa kamu tak pakai nama tuhan kamu sendiri?” Sebenarnya, mereka sendiri sudah tidak tahu nama Tuhan mereka. Mereka tidak tahu hendak sebut bagaimana nama Tuhan mereka. Ini kerana telah lama dahulu, mereka telah dihasut oleh Syaitan untuk tidak menyebut nama Tuhan. Maka, sampai sekarang, mereka sendiri tidak tahu nama Tuhan mereka.

Negara kita kecoh suatu waktu dahulu tentang hal ini. Ada golongan Kristian meminta supaya diberikan kebenaran untuk menggunakan nama Allah ‎ﷻ. Ini sebenarnya memalukan mereka dan membuka kelemahan agama mereka.

Kita sepatutnya tanya mereka balik: “Kau tak tahu nama Tuhan kamu sendiri? Agama apakah kamu anut ini, nama Tuhan pun tidak tahu? Kucing di rumah kami pun ada nama, tapi nama Tuhan kamu, kamu tak tahu?”

Jadi ada banyak pendapat tentang apakah yang dimaksudkan dengan ayat ini. Sebenarnya, semua pendapat ini boleh dipakai. Kehebatan Al-Qur’an adalah ia boleh digunakan dalam banyak keadaan.

وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَا

Dan dia berusaha untuk merobohkan masjid itu?
Mereka berusaha untuk merosakkan amalan-amalan dalam masjid Allah ‎ﷻ. Mereka adalah orang yang berkuasa dalam mentadbir masjid. Jadi mereka mengawal aktiviti masjid.

Mereka tidak membenarkan masjid digunakan untuk perkara-perkara yang sepatutnya dan mereka telah merosakkan aktiviti-aktiviti di dalam masjid.

Ini juga kutukan kepada golongan Yahudi yang hendak merobohkan Baitul Maqdis.

Sekarang masjid pula digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Sampaikan pernah berlaku di Putrajaya, ahli masjid membenarkan majlis persandingan besar-besaran yang syirik itu dilakukan di dalam masjid! Kalau bersanding di luar pun sudah ada masalah tetapi dibenarkan masuk dalam masjid! Memang sudah teruk akidah masyarakat kita.

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang bersifat seperti ini,

Mereka yang bersifat seperti yang telah disebut sebelum ini.

مَا كَانَ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوهَا

tidaklah ada bagi mereka itu berpeluang untuk masuk ke dalam masjid

Mereka itu tidak sepatutnya dibenarkan masuk Masjidil Haram; mereka itu tidak sepatutnya senang hati sahaja masuk ke dalam masjid Allah ‎ﷻ dan melakukan perkara yang jauh daripada amalan agama Islam yang benar.

إِلَّا خَائِفِينَ

melainkan dalam keadaan takut sahaja;

Orang-orang yang menghalang itu sepatutnya tidak layak untuk memasuki masjid Allah ‎ﷻ. Mereka sepatutnya tidak layak memasuki masjid-masjid Allah ‎ﷻ melainkan dengan rasa takut kepada azab Allah ‎ﷻ. Ayat ini akan dihuraikan dengan panjang lebar lagi dalam Surah Taubah.

Semasa Musyrikin Mekah mengawal Kaabah dan Masjidil Haram, mereka tidak membenarkan orang-orang Islam untuk datang beribadat. Allah ‎ﷻ hendak kata di dalam ayat ini bahawa akan datang di masa hadapan nanti, mereka pula yang akan datang ke Masjidil Haram dalam ketakutan.

Ayat ini turun sebelum Pembukaan Mekah. Mereka menakutkan orang Islam untuk datang. Tetapi Allah ‎ﷻ menjanjikan di dalam ayat ini bahawa nanti keadaan akan jadi terbalik. Ini adalah salah satu ayat yang menyatakan tentang kemenangan yang akan diperolehi oleh orang Islam nanti.

Yang menarik juga adalah penggunaan kata خَائِفِينَ dalam ayat ini. Ada mufassir yang membandingkan rumah-rumah ibadat ahli Kitab sekarang. Rumah-rumah ibadat mereka kalau kita lihat sekarang adalah dalam suasana yang mengerikan. Ada patung binatang, patung makhluk yang bukan manusia atau binatang, tidak pasti apakah ia. Bukankah keadaan itu menakutkan? Padahal sepatutnya rumah ibadat kenalah dalam keadaan yang menenangkan, bukan menakutkan.

لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ

Bagi mereka di dunia ini satu kehinaan

Allah ‎ﷻ boleh berikan hukuman azab kepada mereka semasa di dunia lagi iaitu mereka mendapat kehinaan. Begitulah yang terjadi kepada para penentang Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah dihinakan dengan diberi kekalahan demi kekalahan di tangan umat Islam.

وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

dan bagi mereka di akhirat kelak azab yang amat besar;

Mereka bukan sahaja mendapat balasan di dunia tetapi di akhirat nanti mereka akan mendapat balasan yang lebih teruk lagi. Mereka akan kekal dalam neraka dan akan diberikan dengan azab yang menghinakan.

Tafsir Ayat Ke-115

Ini adalah kesinambungan daripada ayat sebelum ini. Sememangnya tempat yang paling sesuai untuk agama adalah masjid. Tetapi kalau masjid yang sesuai tidak boleh dimasuki, Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang boleh gunakan mana-mana tempat untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ. Boleh duduk di mana sahaja untuk beramal dan mengajar agama.

usyz azlizan, [22.07.19 13:37]
وَلِلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ فَأَينَما تُوَلّوا فَثَمَّ وَجهُ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ واسِعٌ عَليمٌ

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.

وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Milik Allah lah timur dan barat;

Maknanya, milik Allah ‎ﷻlah semua sekali alam ini. Bukan hanya timur dan barat sahaja.

Umat Islam yang ditindas di Mekah, mereka telah pergi meninggalkan Mekah dan Kaabah dan berhijrah ke Madinah. Tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa kepunyaan-Nya seluruh alam ini. Maka walaupun mereka telah meninggalkan Rumah Allah ‎ﷻ (Kaabah), mereka kena ingat bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan seluruh alam.

Mereka masih lagi kena menyembah Allah ‎ﷻ dan mendirikan masjid di tempat-tempat lain juga. Allah ‎ﷻ bukannya berada di Mekah/Kaabah itu. Jadi boleh sahaja menyembah Allah ‎ﷻ di tempat lain, di mana-mana sahaja.

فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

Maka di mana sahaja kamu hadap, di situlah wajah Allah;

Ada keadaan, kita tidak dapat hendak menentukan arah kiblat dengan tepat. Contohnya, kita pergi ke satu tempat yang gelap, tidak tahu di mana arah kiblat, maka kita pilih sahaja satu arah untuk dihadapi dalam salat, kerana di mana sahaja kita hadap, kita sebenarnya menghadap Allah ‎ﷻ. Asalkan kita telah berusaha untuk mencari arah kiblat.

Kerana itulah ada di dalam hadith disebut yang Nabi Muhammad ﷺ mengerjakan salat sunat di atas kenderaan sahaja (unta). Hanya apabila waktu Salat Fardhu barulah baginda berhenti dan salat di atas tanah.

Kalimah وَجْهُ اللَّهِ bermaksud ‘wajah Allah ‎ﷻ’ – boleh juga ditafsirkan ‘keredhaan Allah ‎ﷻ’. Kita mencari keredhaan Allah ‎ﷻ di mana sahaja kita berada. Arah mana kita menghadap tidak penting. Yang penting adalah niat kita.

Ada hujah dari golongan Hindu terutamanya yang mengatakan kita umat Islam pun menyembah batu (Hajarul Aswad). Mereka kata kita menyembah berhala juga macam mereka, jadi tidak perlulah hendak kutuk mereka. Kita kena sedar bahawa kita tidak menyembah Hajarul Aswad itu. Pernah Hajarul Aswad dicuri selama beberapa tahun, namun umat Islam tetap salat menghadap arah Kaabah juga.

Ini adalah kerana bukan Kaabah itu yang utama dalam salat. Kalaulah Kaabah itu dibom, kita masih mengadap arah itu juga. Ini adalah kerana untuk salat, mesti ada satu arah dan Allah ‎ﷻ telah tentukan yang arah yang dihadap adalah Kaabah. Kalau tidak ada satu arah, bagaimana hendak salat berjemaah? Tentu ada yang menghadap ke kiri dan ada yang menghadap ke kanan pula.

Ini adalah ayat permulaan kepada penukaran arah kiblat, kerana selepas ini akan ada ayat tentang penukaran arah kiblat ke Kaabah dari Baitul Maqdis. Waktu ayat ini diturunkan, umat Islam salat mengadap ke Baitul Maqdis. Tetapi Allah ‎ﷻ sudah mula berikan isyarat yang arah itu tidak penting sangat.

إِنَّ اللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Bahawasanya Allah taala itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui.

Amat luas pemilikan Allah ‎ﷻ. Ilmu Allah ‎ﷻ amat luas. Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang berlaku.

Allah ‎ﷻ juga maha mengetahui luar dan dalam. Allah ‎ﷻ mengetahui apa niat dalam hati kita.

Tafsir Ayat Ke-116

Ini adalah rungutan keempat Allah ‎ﷻ ke atas sifat degil manusia. Sudahlah tidak mengamalkan tauhid, kemudian melarang tauhid daripada diamalkan dan melawan penyebar tauhid, sekarang mereka kata Allah‎ ﷻ pula ada wakil.

Ini adalah kata-kata yang amat berat. Mereka kata Allah ‎ﷻ ada anak. Ini kerana mereka hendak seru anak Allah ‎ﷻ yang dijadikan wakil itu. ‘Anak’ dalam ayat ini maksudnya ‘wakil’ atau naib.

وَقالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا ۗ سُبحانَهُ ۖ بَل لَهُ ما فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ ۖ كُلٌّ لَهُ قانِتونَ

Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya.

وَقَالُوا

Dan mereka kata;

Yang berkata itu adalah orang Yahudi, Nasrani dan juga puak Musyrikin Mekah. Mereka berkata itu dalam keadaan menghina Allah ‎ﷻ.

اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا

Allah mengambil anak;

Lafaz ‘anak’ di sini maksudnya adalah ‘anak angkat’. Maksudnya mereka bertawassul kepada sesiapa yang mereka anggap sebagai ‘anak angkat Allah ‎ﷻ’. Iaitu mereka bertawassul kepada Nabi-Nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat. Mereka hendak kata bahawa apabila kita berdoa, nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat itu yang akan menyampaikan doa itu kepada Allah ‎ﷻ.

Yahudi kata Nabi Uzair عليه السلام adalah anak Allah ‎ﷻ.

Nasrani kata Nabi Isa عليه السلام adalah anak Allah ‎ﷻ.

Orang Musyrikin kata malaikat-malaikat adalah anak perempuan Allah ‎ﷻ.

سُبْحَانَهُ

Maha suci Allah;

Allah ‎ﷻ suci daripada memiliki persamaan atau memerlukan wakil dalam penyembahan. Allah ‎ﷻ tidak layak mempunyai anak.

Perkataan سُبْحَانَ berasal dari perkataan ‘berenang’. Iaitu berenang dengan kepala di atas air, kepala tidak tenggelam ke dalam. Bermaksud kita meninggikan Allah ‎ﷻ daripada kata-kata manusia yang mengatakan tentang Allah ‎ﷻ dengan kata-kata yang tidak benar. Oleh itu, apabila orang berkata yang salah tentang Allah ‎ﷻ, kita kena kata Subhanallah. Kita menidakkan kata-kata mereka itu. Maksudnya, kita kata Allah‎ﷻ tidak begitu.

Bukankah kalau berenang, kita berseorangan sahaja? Ini juga isyarat bahawa kadang-kadang kita sahaja yang terima Islam yang benar. Nabi-nabi selalunya berseorangan dalam menyampaikan dakwah mereka. Macam Nabi Ibrahim عليه السلام, baginda seorang sahaja yang beriman asalnya.

Ini seperti juga para sahabat Nabi di Mekah, selalunya mereka seorang sahaja yang menerima Islam dalam keluarga mereka. Berapa ramai juga orang yang lahir dalam keluarga kafir, tetapi dia seorang sahaja yang masuk Islam. Kalau dalam zaman sekarang, mungkin kita seorang sahaja dalam keluarga kita yang mengamalkan Sunnah.

Begitulah lumrah alam. Kadang-kadang kita berseorangan sahaja mengamalkan Islam yang sunnah. Ini tidak menjadi masalah kerana ini adalah sunnatullah. Ia berlaku semenjak zaman berzaman.

بَلْ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Bahkan sebenarnya milik-Nya sahaja apa sahaja yang di langit dan bumi;

Segala ada dalam alam ini adalah dimiliki oleh Allah ‎ﷻ. Ini kerana Dia yang mencipta alam ini, maka Dia sahajalah yang layak menguasainya. Maka tidak ada ilah selain daripada Allah ‎ﷻ, tidak ada tuhan selain daripada Allah ‎ﷻ. Bayangkan, kalau Allah ‎ﷻ mempunyai anak, tentulah anak itu ada kawasannya pula.

Maksudnya, kalau Allah ‎ﷻ ada anak, maka Allah ‎ﷻ berkongsi pula dengan anak-Nya dalam memerintah alam ini (ada kawasan ayah dan ada kawasan anak-anak pula). Tentulah tidak begitu. Semua alam ini milik Allah ‎ﷻ sahaja.

كُلٌّ لَهُ قَانِتُونَ

Semua sekali makhluk-makhluk ini kepada Allah jua mereka tunduk patuh.

Semua makhluk tunduk patuh kepada Allah ‎ﷻ belaka. Oleh itu, tidak ada yang menjadi wakil Allah ‎ﷻ. Tidak ada yang berkongsi pemilikan dan pentadbiran alam ini dengan Allah ‎ﷻ.

Selain Allah ‎ﷻ semuanya adalah makhluk belaka dan semuanya tunduk kepada Allah ‎ﷻ dan menyahut arahan daripada Allah ‎ﷻ dengan taat. Maka kenapa kita tidak tunduk hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja sedangkan semua yang lain tunduk patuh hanya kepada Allah ‎ﷻ? Kenapa kita tidak terima ayat-ayat Allah ‎ﷻ kepada kita?

Bagaimana hendak kata semua sekali patuh kepada Allah ‎ﷻ? Bagaimana pula dengan orang kafir yang tidak menurut perintah Allah ‎ﷻ? Walaupun orang kafir tidak menurut perintah Allah ‎ﷻ tetapi tubuh badannya tetap menurut perintah Allah ‎ﷻ. Bernafas, bergerak dan sebagainya.

Tafsir Ayat Ke-117

Allah ‎ﷻ terus menerangkan tentang Diri-Nya.

بَديعُ السَّماواتِ وَالأَرضِ ۖ وَإِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.

بَدِيعُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Dialah yang mencipta langit dan bumi;

Kalimah بَدِيعُ itu bermaksud mencipta sesuatu daripada tiada kepada ada. Allah ‎ﷻ mencipta alam ini tanpa ada contoh daripada alam lain. Maksudnya Allah ‎ﷻ tidak tiru daripada mana-mana alam lain. Dari kata dasar yang sama juga menjadi kalimah ‘bid’ah’ yang kita selalu dengar itu. Ini kerana bid’ah bermaksud mencipta amalan yang tidak ada contoh daripada Nabi.

Maka Allah ‎ﷻ mencipta alam ini dengan tidak ada contoh. Tidaklah Allah ‎ﷻ meniru alam ini daripada alam-alam yang lain. Kadang-kadang kita pun ada mencipta juga. Tetapi ciptaan kita adalah daripada bahan-bahan yang sudah ada dan kita bukannya mencipta benda yang baru. Ini kerana kita hanya mengubah atau menambahbaik daripada sesuatu yang sudah ada. Kalau kita cipta kapal terbang, kita hanya mengikut contoh burung yang Allah ‎ﷻ ciptakan.

Tetapi Allah ‎ﷻ mencipta alam ini daripada tiada kepada ada, dan tidak ada contoh pun sebelumnya. Allah ‎ﷻ beritahu perkara ini kerana hendak memberitahu kita tentang kehebatan-Nya.

وَإِذَا قَضَىٰ أَمْرًا

Dan apabila Allah membuat keputusan untuk membuat sesuatu;

Allah ‎ﷻ juga ada kehendak. Salah satu kehendak Allah ‎ﷻ adalah untuk menjadikan sesuatu. Iaitu kehendak mencipta. Tetapi cara Allah ‎ﷻ mencipta, tidaklah sama dengan kita. Kalau kita hendak buat sesuatu, banyak perkara yang kita kena lakukan.

فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

maka dia hanya perlu kata ‘jadi’, maka jadilah;

Apabila Allah ‎ﷻ berkehendak untuk membuat sesuatu, maka sudah terjadi. Tidak perlu kata ‘kun’ pun sebenarnya. Allah ‎ﷻ sebut tentang kalimah كن itu kerana hendak menunjukkan cepatnya qudrat Allah ‎ﷻ.

Pemahaman كُنْ فَيَكُونُ sepatutnya difahami oleh orang Nasrani. Ini kerana Nabi Isa عليه السلام dijadikan begitu juga. Mereka pun tahu yang Nabi Isa عليه السلام dijadikan tanpa ayah. Kalau Nabi Adam عليه السلام, semua tahu baginda dijadikan tanpa ibu dan ayah. Maka tentulah kejadian baginda seperti كُنْ فَيَكُونُ ini juga.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan