Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-55 & Ke-56

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-55 & Ke-56

746
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-55

Dalil Wahyi. Ini ada syarat lagi yang perlu dipenuhi:

وَاتَّبِعوا أَحسَنَ ما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ بَغتَةً وَأَنتُم لا تَشعُرونَ

“Dan turutlah – Al-Qur’an – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya”.

وَاتَّبِعُوا أَحْسَنَ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ

Dan kamu ikuti sahajalah yang terbaik dari apa yang diwahyukan kepada kamu

Yang dimaksudkan yang terbaik adalah: al-Qur’an dan Sunnah iaitu mengikut wahyu. Sama ada wahyu itu dari al-Qur’an atau dari hadith Nabi ﷺ yang sahih. Iaitu kita ikut yang wajib dan yang sunat. Selain dari itu tidak perlu ikut iaitu ibadat yang tidak ada dalil.

Dan yang terbaik dari wahyu itu semua adalah tentang Tauhid. Tauhid itu yang perlu dikemasi dahulu. Kena faham apakah tauhid dan apakah syirik. Oleh itu, kena belajar tafsir 30 juzuk al-Qur’an ini supaya faham apakah yang dimaksudkan dengan tauhid dan apakah syirik.

مِّنْ رَّبِّكُمْ

daripada Tuhan kamu

Dan kena pastikan bahawa dalil yang digunakan adalah daripada Allah ‎ﷻ – sama ada dalam bentuk ayat al-Qur’an atau dalam bentuk hadis Nabi ﷺ – wahyu yang disampaikan melalui lafaz Nabi Muhammad ﷺ.

Al-Qur’an dan hadith telah diberikan kepada kita untuk beramal. Paling terbaik dari al-Qur’an dan hadis itu adalah dua perkara. Daripada lima hukum yang ada (iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram), dua sahaja yang kita buat akan dapat pahala iaitu yang wajib dan sunat.

Perkara yang hukumnya harus tidak perlu buat pun tidak mengapa. Sebab kalau buat pun, tidak dapat pahala. Kalau tidak buat pun, tidak berdosa. Jadi habis duit dan buang masa sahaja kalau buat.

Kalau buat juga, itu untuk ihsan, iaitu kebaikan hidup di bumi. Apa yang dibuat, mestilah yang dihukumkan sunat. Yang wajib, memang kita tidak boleh tinggalkan. Tiga lagi hukum, kita tolak. Apa yang tidak sunat, tidak perlu buat.

Maka, janganlah kita mengikut pendapat guru-guru, ustaz-ustaz yang menggunakan akal sebagai hujjah untuk membenarkan amalan bid’ah mereka. Contohnya, mereka yang mengatakan kebaikan dalam menyambut Majlis Maulid Nabi ﷺ, tetapi mereka tidak memberikan hujah dalil yang sahih, mereka menggunakan hujah akal sahaja.

Ambillah apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan dan amalkannya dalam kehidupan kita.

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً

sebelum datang kepada kamu azab yang datang tiba-tiba (iaitu mati)

Ingatlah bahawa kita boleh mati pada bila-bila masa sahaja. Kita tidak tahu bilakah kita akan mati. Waktu itu semuanya sudah terlambat.

وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ

yang masa itu kamu tidak sedar.

Celik-celik mata tengok-tengok sudah berada di dalam kubur. Maknanya, dia pun tidak sedar dia sudah mati.

Seperti orang yang kemalangan yang menyebabkan dia pengsan atau koma. Celik-celik mata tengok kipas sedang berpusing dalam hospital. Dia pun tidak sedar bilakah masanya dia telah dibawa ke hospital.

Maknanya, hendak mengikut al-Qur’an ini hendaklah dilakukan sebelum kita mati. Kalau sudah mati, maka tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Jadi, kenalah belajar dari sekarang. Jangan ditangguh-tangguh lagi.

Walaupun begitu, telah diberitahu kepada kita bahawa ada perkara-perkara yang walaupun kita sudah mati, masih boleh mendapat pahala. Iaitu tiga perkara: Sedekah, ilmu berguna yang diajar kepada orang yang lain dan doa anak yang soleh.

Apakah itu sedekah jariah? Ia adalah sedekah dan infaq yang kita berikan pada jalan agama. Sedekah jariah itu adalah apabila kita memberikan harta kita kepada agama. Dan ia berterusan.

Sebagai contoh, kita sedekahkan duit untuk membina masjid dan masjid itu berterusan digunakan oleh manusia. Setiap kali ada orang yang menggunakan masjid itu, kita akan mendapat pahala.

Oleh kerana kita boleh berwasiat kepada selain dari keluarga kita, maka wasiatlah untuk infaq sebahagian dari harta kita kepada agama. Iaitu sebanyak-banyaknya satu pertiga dari harta kita.

Bukanlah kena bagi keseluruhan satu pertiga. Setakat mana kita hendak beri sahaja. Supaya pahala kita berterusan memberi saham pahala kepada kita.

Itu sahajalah harta yang kita boleh bawa balik ke akhirat. Sanak saudara kita yang telah kita berikan harta pesaka itu, belum tentu dia akan menderma harta yang kita pesakakan kepada mereka.

Ketahuilah bahawa sedekah itu adalah pencegahan dari api neraka. Manusia yang tidak mahu infaq kepada agama ini adalah kerana bersifat munafik seperti yang telah diberitahu dalam al-Qur’an dan hadith.

Tafsir Ayat Ke-56:

Takhwif Ukhrawi. Ini adalah kata-kata orang yang sudah mati. Ini adalah contoh orang yang menyesal dengan apa yang dia telah lakukan semasa dia di dunia. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang sebegini.

أَن تَقولَ نَفسٌ يٰحَسرَتا عَلىٰ ما فَرَّطتُ في جَنبِ اللهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ السّٰخِرينَ

“(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)!”

أَنْ تَقُولَ نَفْسٌ

Supaya jangan seseorang berkata:

Ini adalah kata-kata penyesalan dari manusia yang cuai dalam amalan semasa di dunia. Ini orang yang mati mengejut dan tidak sempat untuk membuat persiapan.

Ada muqaddar dalam ayat ini: Allah ‎ﷻ memberikan banyak peringatan kepada kita, supaya kita tidak cakap begini nanti.

يٰحَسْرَتَا

Alangkah besarnya penyesalanku,

Sekarang dia sedang menyesal sangat. Dia tahu yang dia telah membuat kesalahan yang besar.

عَلَىٰ مَا فَرَّطْتُ فِي جَنْبِ اللهِ

atas kecuaian aku tentang Allah.

Iaitu dia telah cuai dalam perkara ibadah. Iaitu cuai dalam belajar, cuai melakukan ibadat solat, puasa, haji, sedekah, walaupun dia memang ada niat untuk taat kepada Allah ‎ﷻ.

Cuai itu kerana tidak belajar cara sembahyang yang betul dan cara-cara melakukan ibadah-ibadah yang lain.

Dalam perkara lain, dalam perkara dunia, dia tidak cuai – dia belajar dari sekolah rendah, masuk sekolah menengah, masuk kolej dan universiti sampai ada yang ambil master dan PHD.

Namun semua itu adalah untuk perkara dunia, untuk hidup sementara sahaja di dunia. Sanggup dia mengeluarkan duit entah berapa banyak untuk mendapatkan ilmu dunia.

Tetapi tentang hal akhirat, dia cuai untuk belajar. Padahal, bukan susah pun unuk belajar tafsir al-Qur’an ini.

Malangnya, ada guru-guru yang telah belajar agama di universiti sama ada di Malaysia ataupun di luar negara, sama ada di madrasah ataupun di pondok, lama mereka belajar, tetapi mereka tidak belajar lagi tafsir al-Qur’an.

Mereka sangka mereka telah tahu tentang agama, tetapi sebenarnya mereka tidak terpimpin lagi.

Tanyalah kepada ustaz-ustaz yang mengajar mereka agama, adakah mereka telah belajar tafsir al-Qur’an dengan lengkap 30 juzuk? Ada kemungkinan besar mereka belum belajar lagi. Kita sahaja sangka mereka telah tahu tentang al-Qur’an, tetapi sebenarnya tidak.

Maksud فِي جَنْبِ اللَّهِ: seperti Allah ‎ﷻ ada di sebelahnya, tetapi dia buat tidak endah sahaja. Dia tidak belajar agama sampai dia kenal Allah ‎ﷻ dengan sepatutnya.

Dan untuk mengenali Allah ‎ﷻ, hendaklah belajar tafsir al-Qur’an kerana dalam al-Qur’anlah Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya.

وَإِنْ كُنْتُ لَمِنَ السّٰخِرِينَ

dan sesungguhnya aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh mempersenda-sendakan

Dia telah mempersendakan perkara agama dan ayat-ayat al-Qur’an dan kerana itu dia telah masuk neraka dan menjadi seorang yang sangat rugi. السَّاخِرِ adalah orang yang tidak mengambil berat tentang tuntutan agama. Dia rugi kerana dia dahulu cuai semasa di dunia. Dia mengambil hal agama itu sebagai bahan jenaka sahaja.

Kita pun selalu lihat manusia seperti itu. Semua perkara adalah perkara lawak sahaja padanya. Dia tidak ambil peduli semua perkara.

Sebagai contoh, apabila kita kata jangan buat perkara bid’ah kerana Nabi ﷺ tidak pernah buat, mereka buat lawak: “Kalau macam itu, jangan pakai keretalah sebab Nabi tak pernah pakai kereta!”. Dan kata-kata lain yang mengejek-ngejek amalan sunnah.

Jangan kita menjadi manusia-manusia yang akan melahirkan penyesalan seperti itu di akhirat kelak. Hendaklah kita belajar tentang hal agama ini supaya kita tidak menyesal nanti. Dan hendaklah kita memastikan bahawa apa yang kita belajar itu adalah al-Qur’an dan juga dari Hadith Nabi ﷺ yang sahih.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan