Utama Bilik Motivasi Presuposisi 1: Map Is Not the Territory

Presuposisi 1: Map Is Not the Territory

302
0
Iklan

Siri Pengenalan NLP Oleh Azlizan Nueq

Presuposisi Yang Pertama:

1.THE MAP IS NOT THE TERRITORY

Peta Tidak Mewakili Daerah Yang Sebenarnya”.

Untuk memudahkan kita mencari jalan ke sesuatu tempat, tentu ada petanya. Tetapi peta ini adalah cerminan sahaja kepada realiti yang sebenar. Sesuatu peta biasanya berbeza di antara satu sama lain kerana tidaklah sama seorang membuat peta dengan orang yang lain. Ini perkara biasa kerana bila membuat peta, bukan semua maklumat kita boleh masukkan ke dalam peta itu. Kita hanya pilih tanda aras yang penting sahaja.

Tetapi mana yang penting tidak sama bagi seseorang dengan seorang yang lain, bukan? Ada orang membuat peta berdasarkan jalan dan ada pula yang membuat peta berdasarkan bangunan.

Yang membuat peta berdasarkan jalan, akan berkata: “Apabila bertemu simpang, sila masuk kiri”. Yang membuat peta berdasarkan bangunan pula akan berkata: “Apabila sampai ke bangunan empat tingkat berwarna kelabu, sila masuk kiri.” Padahal kedua-duanya membuat peta untuk tempat yang sama.

Ini adalah kerana cara setiap individu melihat sesuatu keadaan mengikut pandangan matanya adalah tidak sama. Antara orang yang membuat peta berdasarkan jalan dan membuat peta berdasarkan bangunan, yang manakah salah? Tidak ada yang benar dan tidak ada yang salah kerana mereka hanya membuat peta mengikut pemahaman mereka sahaja.

Adakah apabila membuat peta, maka, tanah dan jalan itu berubah? Tentulah tidak. Tanah dan ruang tetap sama, cuma cerminan pada peta sahaja yang berbeza.

Jadi, realiti yang di luar ada kemungkinan tidak sama dengan peta. Ini kerana ada peta yang tidak tepat, ada peta yang ringkas sahaja dan ada peta yang kurang kemas. Maka peta boleh menjadi berbeza di antara satu sama lain.

Oleh itu, kita haruslah menghormati peta yang orang lain buat kerana itu adalah petanya. Kalau tidak mahu menggunakan petanya pun, tidak mengapa, cari sahaja peta yang lain.

Manakala yang membuat peta pula, kenalah bersedia untuk ditegur kalau ada orang berkata: “Peta kau ini salah. Bangunan itu bukannya di situ tetapi di sini.”

PETA ini adalah analogi sahaja. Analogi kepada cara kita berfikir, cara kita melihat dunia luar dan kita hanya membuat andaian kita sahaja. Sebagaimana peta itu berbeza kalau dilukis oleh orang lain, begitu juga andaian tentang sesuatu perkara. Ini kerana kita semua berbeza.

 

Maka ‘peta’ yang kita maksudkan adalah peta di dalam minda kita. Sesuatu perkara berlaku di hadapan mata kita, dan kita membuat petanya di dalam minda kita. Kalau kita ceritakan kembali kepada orang lain apa yang berlaku, ia bergantung kepada apa yang kita simpan di dalam otak kita, mengikut cara kita menilai sesuatu perkara itu terjadi.

Adakah kita cuba untuk memahami peta minda orang lain? Atau kita hanya ingin mempertahankan peta kita sahaja?

Kalaulah ramai orang mengetahui tentang presuposisi ini, tentu dunia akan menjadi lebih aman. Ahli politik tidaklah berkelahi sesama sendiri, para ustaz pula menghormati pandangan orang lain, ahli keluarga pun boleh duduk bersama walaupun berlainan pandangan, penduduk taman pun tidaklah sibuk marah sesama jiran sahaja.

Adakah kita bersedia untuk mengubah peta kita? Ini kerana kalau peta kita membuat jalan di KL 10 tahun yang dahulu sudah tentu tidak sama dengan sekarang, bukan? Maka sepertimana peta jalanan perlu dikemaskini, peta dalam minda kita pun hendaklah dikemaskini juga dari masa ke semasa.

Kerana itulah ada banyak sekali perbezaan pendapat tentang sesuatu fakta. Ada orang melihat fakta dari sudut geologi, ada yang melihat dari sudut psikologi, dari sudut budaya, dari sudut agama dan lain-lain lagi.

Tidak ada yang boleh menceritakan sesuatu fakta yang tepat dalam semua sudut. Sedangkan sesama adik beradik kembar pun boleh berbeza pandangan, apatah lagi dengan orang lain.

Maka kita haruslah menghormati pandangan seseorang tentang sesuatu fakta kerana begitulah cara dia berfikir. Andaian itu berlainan kerana ilmu tidak sama, budaya tidak sama, cara pendidikan tidak sama, buku yang dibaca tidak sama, IQ tidak sama dan banyak lagi perkara yang tidak sama.

Manakala orang yang membuat andaian kepada sesuatu fakta itu kenalah bersedia untuk mengubah andaiannya sekiranya ada yang menegur. Yang menjadi masalah di dalam dunia sekarang adalah apabila ada yang berkata: “Peta aku lah yang betul, peta kau tak betul.” Kalau ada sikap begitu, tentu susah untuk bertukar-tukar pandangan.

Janganlah marah kalau ada orang tidak bersetuju dengan pandangan kita kerana belum tentu ‘peta’ kita itu benar. Dia cuma hendak menyampaikan pandangannya sahaja. Dengan membuka minda kita kepada pembaharuan dan pembetulan, ini lebih baik bagi kita.

Ini kerana kita mungkin nampak sesuatu perkara itu dari satu sudut sahaja, tetapi orang lain mungkin nampak lebih lagi. Tentu kita masih ingat kisah orang buta memegang gajah, bukan?

☝️ Dari gambar ini, ia mengingatkan kita, kalau kita ingin mempertahankan apa yang kita tahu sahaja, maka tentulah kita yang silap.

Tetapi ramai yang tidak boleh menerima apabila orang lain berlainan pendapat dengannya. Seolah-olah orang lain mesti mengikut pendapatnya juga. Ini boleh menimbulkan masalah dan akan menyebabkan konflik dalaman.

Hati kita tidak akan tenang, otak berpusing untuk melawan pendapat orang, masa terbuang untuk mencari jalan menjatuhkan pendapat orang lain. Jadi presuposisi ‘Peta Tidak Mewakili Derah Yang Sebenarnya’ memerlukan latihan untuk menenangkan hati dan redha dengan perbezaan pendapat dengan orang lain.

 

Komen dan Soalan