Tafsir Surah Az-Zumar
Sambungan Tafsir Ayat ke-2
Kita disuruh untuk mengikhlaskan ibadat kita kepada Allah ﷻ . Apakah yang dimaksudkan dengan ‘ikhlas’? Kita dikatakan ikhlas jikalau kita buat sesuatu ibadat itu atas kehendak sendiri tanpa perlu ada orang suruh. Kita buat ibadat itu kerana Allah ﷻ semata-mata, bukan kerana orang lain suruh.
Bukan kerana kita mengharapkan bayaran dari orang lain atau bukan kerana kita buat ibadat itu kerana kita malu kepada orang lain yang tengok kita. Itulah makna ikhlas yang kita selalu faham.
Kalau buat juga, itu adalah syirik khafi (syirik tersembunyi). Ini bahaya kerana itu maksudnya buat ibadat, tetapi terkesan dengan orang. Iaitu kalau dia solat sendiri, solat dia biasa sahaja, tetapi kalau ada orang yang tengok, solat dia lebih baik.
Maknanya, dia terkesan dengan orang, dia hendak menunjuk solat dia bagus. Dia mengharap dipuji atau dia takut dia dikeji kalau dia buat sambil lewa sahaja. Kalau suka dipuji, ini digelar: sum’ah. Ini boleh menyebabkan amal ibadatnya tidak diterima oleh Allah ﷻ.
Namun, adakah itu sahaja maksud ‘ikhlas’? Adakah sama ikhlas kita dengan ikhlas agama lain? Mari kita bincangkan. Ikhlas yang selalu difahami oleh masyarakat kita adalah ikhlas dalam hati tetapi bagaimana pula dengan ikhlas dalam perbuatan?
Satu lagi konsep ikhlas adalah: melakukan sesuatu ibadat mengikut cara yang Allah ﷻ mahukan, iaitu melalui apa yang Dia ajar melalui Al-Quran dan Hadith. Kita ambil contoh penyembelihan binatang. Ia adalah satu ibadat. Contohnya, kita sembelih binatang korban pada perayaan Hari Raya Haji.
Namun, ada juga golongan masyarakat kita yang sembelih binatang atas suruhan tok bomoh sebab hendak memberi makan kepada jin. Ini kerana bomoh itu kata, kalau hendak sihat dari gangguan jin hantu, kena sembelih seekor kambing, contohnya.
Sembelihan itu walaupun dibaca Bismillah semasa menyembelihnya, haram dimakan dagingnya. Ia lebih haram daripada makan daging babi kerana ia tidak ikhlas. Sembelihan itu bukan kerana Allah ﷻ, tetapi kerana hendak memberi makan kepada jin, dan kerana atas suruhan bomoh.
Satu lagi contoh adalah puasa. Bukan agama Islam sahaja yang ada ibadat berpuasa, tetapi agama lain juga ada ibadat puasa. Cuma cara agama lain berpuasa berbeza daripada cara yang disyariatkan dalam Islam.
Persoalannya, adakah ibadah puasa mereka diterima? Tentu tidak, kerana ikhlas mereka itu tidak mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh agama. Selain itu, iktikaf juga adalah satu bentuk ibadat. Agama lain pun ada iktikaf juga di rumah ibadat mereka – di gereja, sinagog, kuil dan sebagainya.
Adakah semua iktikaf itu diterima oleh Allah ﷻ? Tidak sekali-kali. Hanya iktikaf yang mengikut cara yang Allah ﷻ syariatkan sahaja akan diterima. Begitu juga dengan ibadat-ibadat di atas tadi. Walau bagaimana ikhlas pun mereka buat ibadat mereka, tetapi kalau mereka buat tanpa mengikut syariat Islam, maka ibadat itu tidak diterima. Kita pun selalu sebut yang Nabi itu adalah contoh tauladan yang patut diiikuti.
Amal ibadat yang kita buat mesti ikut sunnah Nabi, baru boleh ia dipanggil ‘amal soleh’. Kalau ibadat selain dari itu, tidak diterima. Jangan buat sesuatu amal ibadat kalau tiada dalil. Perbuatan yang ikhlas bukanlah satu dalil yang boleh dipakai kerana ada juga yang beri hujah: “kalau kita buat ikhlas, tentu Allah ﷻ akan terima.”
Ini tidak benar, kerana Allah ﷻ bukan sahaja menetapkan kita buat kerana kita ikhlas dalam hati, tetapi kita kena ikhlas dalam perbuatan juga. Contoh: Katakanlah kita iktikaf di masjid. Orang Kristian pun iktikaf juga, tetapi di gereja. Orang Hindu pula iktikaf di kuil dia. Agaknya ikhlas tidak perbuatan mereka itu?
Tentulah mereka ikhlas melakukan ibadat mereka itu. Kalau tidak ikhlas, tentu mereka tidak akan buat. Bukan ada sesiapa upah mereka untuk buat ibadat mereka itu. Tiada siapa yang bayar. Macam kita juga, kalau iktikaf, tidak ada siapa yang bayar. Bayangkan paderi, rela mereka tidak kahwin sampai bila-bila, sampai tiada zuriat dan tiada rumah, hanya tinggal di gereja itu sahaja.
Kalau kita bandingkan dengan imam kita yang tinggal berdekatan masjid, mereka boleh lagi kahwin. Boleh menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Jadi kalau hendak dibandingkan tahap ikhlas, mungkin orang kafir itu lebih ikhlas daripada kita. Sami Buddha itu pula, sanggup pakai kain dua lapis itu sahaja, jalan pula tidak pakai kasut dan duduk sampai mati di tempat ibadat mereka.
Adakah iktikaf mereka diterima oleh Allah ﷻ ? Tentu sekali tidak diterima ibadat mereka itu disebab ibadat tersebut tidak mengikut sunnah yang dibawa Nabi atau tidak ikut undang-undang Islam seperti apa yang Allah ﷻ mahu.
Jadi ‘ikhlas’ itu mesti mengikut sunnah. Mesti ikhlas sepertimana yang Allah ﷻ hendak. Kalau buat ibadat, tetapi tidak ikut seperti yang Nabi suruh, maka tidak diterima. Saidina Umar رضي الله عنه pernah berkata yang mafhumnya: “kalau tidak tahu apa perbuatan Arab Jahiliyyah, belum tentu iman seseorang itu betul.” Agaknya agama apa sebenarnya Orang Arab Musyirikin itu?
Memang kita tahu mereka sembah berhala dan ilah-ilah yang lain tetapi mereka juga buat ibadat Haji kerana mereka duduk dekat dengan Kaabah. Sahabat pernah kata yang pada zaman Jahiliah, mereka wukuf juga di Muzdalifah pada musim Haji. Mereka lakukan itu pun pada 9 Zulhijah juga.
Mereka juga melontar di tiga-tiga Jamrah. Tawaf pun sama sahaja dengan tawaf yang kita lakukan. Cuma mereka buat dalam keadaan bertelanjang. Mereka ada ubah dari ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام yang asal. Sahabat juga kata mereka ambil wuduk dulu sebelum sembahyang. Maknanya, mereka pun sembahyang juga, cuma mereka sembahyang dua rakaat sahaja. Lain sikit cara sembahyang mereka.
Nabi pernah melakukan solat waktu pagi iaitu waktu Dhuha. Ini sebelum baginda menjadi Nabi. Sahabat kata mereka dulu pun sudah buat solat sunat Dhuha itu. Mereka juga dibenarkan untuk tunaikan nazar yang mereka buat semasa zaman Jahiliyyah iaitu pernah Umar bernazar untuk melakukan iktikaf di Masjidil Haram.
Maka, apabila dia dah masuk Islam, dia tanya Nabi adakah dia kena penuhi nazarnya itu? Nabi kata dia kena tunaikan. Maknanya, amalan bernazar itu sendiri sudah ada. Hukum kahwin cerai dulu pun ada juga. Cuma boleh rujuk walaupun selepas tiga kali cerai.
Jadi terdapat persamaan antara ibadat mereka dan kita. Jadi apa agama mereka? Dalam Al-Quran, apabila ditanyakan kepada mereka, siapakah pencipta langit dan bumi? Mereka akan jawab: Allah! Mereka juga tahu siapa yang beri rezeki iaitu Allah ﷻ yang berikan rezeki kepada mereka.
Dan rasul mereka adalah Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام tetapi mereka dipanggil kaum Musyrik sebab mereka juga sembah berhala. Mereka mempunyai ilah selain dari Allah ﷻ. Untuk memahami perkara ini, kita kena faham apakah akidah mereka sampai mereka dipanggil ‘Musyrikin Mekah’.
Selain dari itu, lafaz فَاعْبُدِ juga menyuruh kita untuk ‘menghambakan’ diri hanya kepada Allah ﷻ. Selalunya disebut ‘ubudiyyah’. Kehidupan kita mestilah untuk Allah ﷻ sahaja. Jangan kita buat tidak tinggal ibadat kepada Allah ﷻ, tetapi dalam perkara lain kita tidak ikut – sebagai contoh, berbuat zalim kepada orang lain, bercakap baik kepada orang lain dan sebagainya.
Perkataan الدِّينَ itu juga bermaksud ‘cara hidup’. Allah ﷻ telah memberi banyak suruhan dalam Al-Quran dan melalui ajaran Nabi-Nya Muhammad ﷺ tetapi pengajaran itu bukan hanya dalam ibadat seperti Solat, Puasa dan Haji sahaja, tetapi dalam segenap kehidupan kita.
Adakah kita hanya ikut suruhan Allah ﷻ dalam ibadat khusus sahaja, tetapi tidak ikut Allah ﷻ dalam perkara lain? Oleh kerana tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ada orang yang tidak tinggal sembahyang, tetapi mereka tidak ada masalah untuk memakan harta riba.
Tafsir Ayat ke-3
Ayat Zajrun.
Ayat ini juga dinamakan ayat mufassal: memberi penerangan intisari surah ini. Penerangan ini adalah sampai akhir surah. Ayat ini dan seterusnya adalah untuk menjelaskan maksud ayat ke-2 tadi. Oleh itu, perlu diingat supaya jangan lari daripada intisari surah ini yang diterangkan tadi iaitu mentauhidkan Allah ﷻ dalam ibadah dan doa.
Ayat ini adalah Zajrun kepada mereka yang jahil. Mereka berhujah bahawa yang mereka seru selain Allah ﷻ itu adalah kerana atas tujuan baik – untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ, bukannya mereka hendak berbuat syirik kepada Allah ﷻ. Ini adalah salah faham tentang agama, dan Allah ﷻ menjelaskan perkara ini. Ayat ini adalah penukilan semula kata-kata Musyrikin Mekah, tetapi ia tidak lari dari kata-kata masyarakat kita:
أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ ۚ وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ إِنَّ اللهَ يَحكُمُ بَينَهُم في ما هُم فيهِ يَختَلِفونَ ۗ إِنَّ اللَّهَ لا يَهدي مَن هُوَ كٰذِبٌ كَفّارٌ
Ingatlah semua! Milik Allah mutlak agama yang tulus. Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah pelindung dan penolong (wali-wali): “Kami tidak menyembah (atau memujanya) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).
أَلَا
Ingatlah!
Ambillah perhatian! Ini adalah satu panggilan kepada kita tentang pentingnya apa yang hendak disebutkan. Dalam ayat ini, Allah ﷻ menyuruh kita ambil perhatian tentang apa yang Dia hendak sebut selepas ini.
Terutama mereka yang ahli ibadat, yang banyak buat amal ibadat dalam doa dan amalan, sesiapa sahaja yang hendak menghampirkan diri kepada Allah ﷻ. Tidak kiralah orang biasa, ahli sufi atau ahli ilmu. Dengar baik-baik apa yang Allah ﷻ firmankan kepada kita.
أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ
Milik Allahlah agama yang tulus ikhlas – yang tulen.
Kepunyaan Allah ﷻ lah agama yang tulen. Agama yang tulen itu maksudnya agama yang Allah ﷻ ajar kita, bukan ditambah dengan amalan-amalan dan fahaman-fahaman yang lain. Juga bermaksud bersih dari syirik. Kepada Allah ﷻ sahaja tempat tujuan ibadah dan tempat doa. Jangan buat ibadat kepada ilah-ilah yang lain, jangan doa kepada ilah yang lain.
Agama yang tidak tulen yang diamalkan kebanyakan manusia itu, bukan kepunyaan Allah ﷻ , ada ditambah sana dan sini, Allah ﷻ tidak mahu dan tidak suka. Seperti yang telah kita sebut dalam ayat di atas, ‘ikhlas’ itu bukanlah bermaksud ikhlas dalam bentuk ikhlas dalam hati sahaja seperti yang kita selalu faham, tetapi ikhlas dalam bentuk tidak dicampur amalan itu dengan amalan selain dari syariat.
Tidak layak kita beribadat mengikut cara selain daripada yang Allah ﷻ syariatkan, selain dari yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Fahaman berkenaan agama hanya daripada Allah ﷻ sahaja, disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kita kena rujuk Al-Quran dan Sunnah sahaja.
Bukannya hanya merujuk ulama-ulama, ustaz-ustaz atau tok-tok guru yang tidak bersumberkan dalil sahih daripada Al-Quran dan Sunnah. Ibadat tidak boleh campur aduk dengan mana-mana selain daripada apa yang diajar oleh Allah ﷻ melalui Nabi ﷺ kerana agama Islam ini adalah milik mutlak Allah ﷻ.
Allahu a’lam.