Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Ahqaf – Tafsir Ayat Ke-13 dan Ke-14

Tafsir Surah Al- Ahqaf – Tafsir Ayat Ke-13 dan Ke-14

1184
0
Iklan

Tafsir Surah Al- Ahqaf

Tafsir Ayat Ke-13:

Ayat Tabshir Ukhrawi. Ia adalah sebagai badal (penjelasan tambahan) kepada mereka yang dikatakan ‘muhsinin’ yang disebut dalam ayat sebelum ini.

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ استَقٰموا فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

إِنَّ الَّذينَ قالوا رَبُّنَا اللَّهُ

Sesungguhnya orang-orang yang berkata: “Tuhan kami ialah Allah”,

Mereka yang muhsinin akan berkata dengan iktikad hati mereka yang Allah ﷻ lah Tuhan mereka. Mereka terima bahawa Allah ﷻ yang mencipta mereka dan mengurus alam ini.

Mereka tidak berkata dengan mulut sahaja tetapi diimani dengan hati mereka juga. Ini kerana kalau setakat kata sahaja, orang munafik juga boleh berkata begitu.

ثُمَّ استَقٰموا

kemudian mereka tetap teguh

Selepas mereka berkata dengan mulut, mereka ikuti pula dengan amalan perbuatan dan tetap istiqamah dengan iman itu sampai mereka mati. Bukan cakap sehari dua sahaja, tetapi mereka akan tetap pegang sampai mati. Tidaklah mereka terkesan dengan amalan masyarakat luar yang mengamalkan amalan yang salah.

Kelebihan istiqamah dalam iman ini telah disebut dalam [ Fussilat: 30 ]. Ini memang dugaan yang besar sebenarnya. Macam sekarang, susah untuk kita melihat golongan muslim sendiri yang mengamalkan tauhid dalam berdoa. Ramai yang mengamalkan tawassul dalam doa. Mereka akan meminta-minta dan berdoa kepada Nabi, wali dan malaikat untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ.

Kita mungkin tidak mahu buat perkara itu, tetapi kalau kita ada masalah, selalunya kita akan digesa untuk buat perkara yang sama. Ada yang berkata: “kenapa tidak minta pertolongan kepada wali sekian dan sekian, supaya masalah kita dapat selesai dengan segera?” Mereka pula ajar kita buat perkara yang syirik.

Orang yang istiqamah, akan tetap tidak berganjak dari iman mereka. Mana yang salah, mereka tidak akan lakukan walaupun ahli keluarga sendiri yang mendesak mereka.

فَلا خَوفٌ عَلَيهِم

maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Ini adalah Tabshir (berita gembira) sebagai balasan bagi mereka yang istiqamah dalam tauhid: Mereka yang bersifat seperti itu, tidak perlu takut apa yang akan jadi, kerana mereka akan menuju kepada balasan yang baik – syurga.

Jadi kalimah خوف ini digunakan untuk perkara masa hadapan.

وَلا هُم يَحزَنونَ

dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Dan kalimah حزن digunakan untuk perkara yang telah lalu. Maknanya, mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.

Ini adalah kerana tentu ada kesedihan untuk kita meninggalkan dunia ini dengan segala harta dan anak pinak kita. Namun, kalau kita pergi ke tempat yang lebih baik dari segala hal, maka tidaklah perlu kita bersedih. Dunia yang fana ini, tinggalkanlah sahaja.

Tafsir Ayat Ke-14

Tabshir lagi.

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ خٰلِدينَ فيها جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ

Merekalah ahli Syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ الجَنَّةِ

Merekalah ahli Syurga,

Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga – tempat untuk menikmati segala kenikmatan yang tidak terbayang oleh akal fikiran. Jika hendak mengetahui bagaimana keadaan dalam syurga itu, kena masuk dahulu baru dapat tahu.

Ini kerana tidak dapat digambarkan keindahan dan kehebatannya dengan kata-kata. Cuma diberi isyaratnya di dalam banyak ayat Al-Quran dan hadis.

Maka inilah balasan yang setimpal bagi mereka yang baik. Oleh kerana itu, tidaklah perlu takut dan bersedih meninggalkan dunia itu. Ini kerana yang menanti itu adalah syurga, tempat untuk bersenang lenang sahaja, tidak ada ketakutan dan kesusahan di dalamnya.

خٰلِدينَ فيها

tetap kekallah mereka di dalamnya

Mereka akan kekal abadi di sana. Ini adalah nikmat yang amat besar kerana kalau kita tahu kita akan duduk sekejap sahaja, tentu nikmat itu akan berkurangan. Macam kita duduk hotel yang mahal dan selesa, tetapi kita tahu kita tidak akan duduk lama di situ, untuk beberapa hari sahaja.

Maka kalau kita tahu kita tidak lama, tentu akan mengurangkan kesenangan hati di dalam hotel itu. Maka kepada ahli syurga, mereka diberitahu yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Maka ini menambah kenikmatan dalam syurga itu.

جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ

sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

Allah ﷻ memberitahu kita akan dibalas dengan syurga atas amalan kebaikan yang kita lakukan semasa di dunia. Ini adalah balasan dari rahmat dari Allah ﷻ. Namun, bukankah kita pernah mendengar: kita tidak masuk syurga dengan amalan kita? Bagaimana pula hendak difahamkan dengan ayat sebegini?

Kita tidak boleh mengatakan bahawa amalan kita layak untuk memasuki ke dalam syurga kerana amalan kita itu, jika dikira-kira, tidaklah melayakkan kita masuk ke dalam syurga kerana amalan kita itu tidaklah bernilai sama dengan syurga yang amat hebat itu.

Bayangkan kita beberapa tahun sahaja buat amal kebaikan tetapi akan tinggal di syurga selama-lamanya. Jadi, kita tidak masuk syurga kerana amalan kita, tetapi kerana pemberian rahmat dari Allah ﷻ. Ini mafhum dari hadis-hadis yang ada.

Namun, Allah ﷻ sebagai tuanpunya syurga, dan juga tuan kita, Dia boleh berikan ketetapan atau syarat untuk memasukkan kita ke dalam syurga. Kalau Dia kata dengan amal kita semasa di dunia itu membolehkan kita dimasukkan ke dalam syurga, itu adalah hak Dia untuk berkata begitu, kerana Dia yang tetapkan syarat.

✍🏻SESI MUZAKARAH
Tafsir surah Al-Ahqaf ( Ayat 13 -14 )

📍Puak Syiah kata imam-imam mereka tahu perkara ghaib secara mutlak. Maka mereka itu telah sesat dan syirik. Diayah mereka ini secara tidak langsung dan melalui pusat-pusat pendidikan kanak-kanak seperti tadika. Ini kerana yang menerima ini adalah peringkat umur yang masih kecil lagi.Mohon pencerahan dan pandangan kerana perkara ini tidak diketahui oleh pihak keluarga sendiri

🔵 Ya, golongan mereka semakin banyak sekarang dan semakin berani. Jangan kata di tadika, di universiti pun ada! Fakulti akidah pulak tu! Memang apa yang berlaku sekarang amat menyesakkan hati. Apa yang kita boleh buat adalah memberi penerangan supaya tidak bertambah yang ditipu oleh mereka. Mereka amat bahaya kerana amat licik sekali percaturan dan hujah-hujah mereka. Kalau jahil agama, memang akan mudah terpengaruh dengan diayah mereka.

📍Hujjah mereka hebat hingga di universiti sudah ada kitab versi bahasa Arab dan Melayu. Adakah ini benar?

🔵 Saya tidak tahu. Mereka memang sangat licik. Maka, berhati-hatilah dan kena kenalkan kepada semua tentang kesesatan mereka supaya tidak terpengaruh.

📍Apakah yang dimaksudkan dengan muhsinin?

🔵 Orang yang melakukan ihsan. Ihsan adalah perbaikan, perkara baik yang berterusan. Antaranya mereka ini kalau orang buat jahat kepada dia pun, dia akan buat baik kepada orang itu dan ini peringkat tinggi.

📍Adakah kalau kita selalu baca Al-Quran akan dilindungi dari penyakit nyanyuk dan lupa?

🔵Jika ‘baca’ saya tidak pasti tetapi kalau ‘hafal’, ya. Sebab hafal itu Al-Quran sudah ada dalam dada. Kemudian hendak hafal itu pun, otak sudah menjadi kuat daya ingatan. Otak juga sudah kembang dan otak yang kembang tidak kembali ke asal.

Nyanyuk ini memang satu fenomena biasa. Umur sudah 40 memang ada ‘chemical’ yang akan memecahkan neurons dalam otak dan saintis tengah cari ubat, cuma belum dapat buat ujian lagi. Oleh itu jika hendak elak nyanyuk kena buat neurons baru.

Teruskan belajar, rajin guna otak. Kalau baca Al-Quran dan memikirkan tentang ayat-ayat Quran, itu ‘make sense’ juga untuk kurangkan nyanyuk kerana menggunakan otak untuk berfikir. Kemuliaan orang yang menjaga (hafaz maksudnya ‘jaga’) Quran ada dalam dada dia.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan