Utama Bilik (06) Ulat Buku Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran – Tip 19: Cemerlang dengan Sikap Sabar dan...

Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran – Tip 19: Cemerlang dengan Sikap Sabar dan Positif

225
0
Iklan

TIP 19
CEMERLANG DENGAN SABAR DAN SIKAP POSITIF

“Sesungguhnya Tuhan mengganjar mereka yang bersabar dengan ganjaran yang banyak yang tidak dapat dihitung.” [ Az-Zumar: 10 ].

Akhlak yang mulia melahirkan sikap positif.

Antara sikap yang perlu dimiliki dalam kehidupan hari ini adalah sabar dan cekal.

Kesabaran dalam Islam mempunyai hubungkait dengan Tuhan. Kesabaran mempunyai keuntungan dan kebaikannya di sisi Tuhan. Bersabar menerima ujian kerana itu adalah jambatan bagi mendapat pertolongan Ilahi.

“Berilah khabar gembira kepada mereka yang sabar.” [ Al-Baqarah: 155 ].

Jaminan seperti ini pasti melahirkan optimism di hati orang yang diuji yang akan melahirkan usaha dan amal. Semuanya dilakukan dengan ketabahan dan kecekalan kerana adanya keimanan dan keyakinan kepada Tuhan.

Tiga Bahagian Sabar

Sabar bukan bermaksud terima sahaja keadaan serta menanti perubahan tanpa usaha. Sebaliknya disuruh bersabar dan serentak dengan itu melakukan amal dan usaha.

“Bersabarlah sebagaimana bersabarnya rasul-rasul ulul azmi.” [ al-Ahqaf: 35 ].

Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad SAW beramal serta berusaha bersungguh-sungguh di samping bersabar.

Sabar mempunyai tiga bahagian – Said Hawa [ al-Asas fit Tafsir ]
1. Sabar dalam meninggal maksiat
2. Sabar dalam melakukan ibadah
3. Sabar apabila ditimpa ujian dan musibah.

Dalam konteks ibadah, sahabat-sahabat Nabi SAW adalah golongan yang tinggi kesabarannya demi melakukan ibadah. Semasa sedang berperang mereka tetap disuruh salat fardhu tanpa pengeculian.

Musibah dan Sikap yang Betul

Dunia adalah tempat ujian dan tribulasi. Syurga tempat kesenangan yang abadi. Justeru, umat Islam bersedia untuk bersabar dengan segala ujian di dunia. Pada masa yang sama mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat. “Sesunggunya Kami pasti akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada mereka yang sabar” [ al-Baqarah: 155 ].

Ujian yang menimpa tidak berterusan selama-lamanya. Ia hanya satu proses pendidikan dan pembangunan diri yang diperlukan sebelum kejayaan dan kemenangan dicapai. “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan.” [ as-Syarh: 5 ]. “Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesabaran, kelapangan. Bersama-sama dengan kesusahan dan sesungguhnya berserta dengan kepayahan adalahlah kesenangan.” [ Imam at-Tirmizi ].

Ujian menggugurkan dosa.

“Tidak ada satu pun musiah yang menimpa ke atas Muslim, sama ada kepenatan, sakit yang kronik, kerisauan, kesedihan, sebarang kesakitan dan kemurungan, sehingga duri yang terkena di badannya, melainkan ia akan menjadi kifarat baginya dari dosa.” [ HR Bukhari Muslim ].

“Apabila aku mendapat ujian duniawi, aku bersyukur kerana terdapat padanya empat nikmat. Pertama, ujian itu tidak berkaitan dengan agama. Kedua, ia tidak begitu besar berbanding ujian agama. Ketiga, aku akan mendapat keredhaannya dengan ujian itu dan keempat aku mengharapkan pahala daripadanya.” [ Omar al-Khattab ].

Golongan yang Menakjubkan

“Keadaan orang mukim amat menakjubkan kerana segala keadaan yang dihadapinya menjadi baik baginya. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur dan itu adalah baik baginya. Sebaliknya, jika dia menghadapi kesulitan dia bersabar dan itu adalah baik baginya.” [ Imam Muslim ].

Contoh terbaik adalah Nabi SAW dan para sahabat semasa mereka berjuang menyebarkan dakwah di Mekah. Pelbagai ujian dan cabaran di hadapi oleh sahabat-sahabat Muhajirin, ditindas dan diseksa selama 13 tahun di Mekah.

Walau berdepan dengan pelbagai rintangan, umat Islam terus bersbar dan beramal dengan keyakinan bahawa Tuhan akan memberikan pertolongan kepada mereka.

Fisiologi Sabar dan Fikiran Positif

Kajian Havard School of Public Health and the Department of Veterans Affairs menunjukkan golongan tua yang optimis mempunyai risiko rendah menghidap sakit jantung koronari.

Kajian Bringham and Women’s Hospital dan Harvard Medical School mendapati mereka yang optimis mempunyai kehidupan yang lebih sihat lagi ceria. Sistem pertahanan badan menjadi semakin baik yang dirangsang oleh fikiran positif.

Mereka yang berfikiran negatif sering dihinggapi tekanan. Pengeluaran hormone kortisol meningkat pada waktu stres yang boleh menyebabkan penyakit darah tinggi.

Nabi Yusuf yang Cekal

Nabi Yusuf a.s adalah contoh yang baik bagi semua manusia. Semasa kecil dibuang ke dalam telaga buruk oleh saudara-saudaranya, dipungut oleh ahli perniagaan dan kemudiannya dijual kepada Raja Mesir dengan harga yang murah. “Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah iaitu beberapa dirham sahaja dan mereka tidak tertarik hati kepadanya.” [Yusuf: 20 ].

Beliau difitnah semasa hidup di istana dan dipenjarakan. “Kemudian timbul dalam fikiran mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka sepatutnya memenjarakannya hingga ke satu waktu tertentu.” [ Yusuf: 35 ].

Ujian bertubi-tubi yang datang dihadapi dengan sabar tanpa keluh kesah. Berkat kesabaran dan kecekalan akhirnya dibebaskan dan menjadi Raja Mesir. “Dan demikianlah Kami memberikan kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir. (Dia berkuasa penuh) untuk pergi ke mana yang dia kehendaki di bumi Mesir itu. Kami limpahkan rahmat kepada sesiapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang melakukan kebaikan.” [ Yusuf: 56 ].

Kajian ke atas 10,000 orang yang dilakukan oleh Carnegie Institut mendapati 15% kejayaan adalah berpunca daripada latihan teknikal, 85% berpunca daripada personaliti. Aspek personaliti yang paling penting untuk kejayaan adalah sikap.

Ledakan Kecemerlangan

Sikap kita ditentukan oleh cara kita melihat masalah.

Apabila melihat masalah sebagai kesempatan untuk membangunkan diri, kita berfikiran positif.

Sebaliknya, apabila melihat masalah sebagai perkara yang bakal memusnahkan diri, kita berfikiran negatif.

Semasa berdepan dengan masalah senyumlah dan berkata “Alhamdulillah, aku diberi kesempatan untuk menjadi lebih berjaya.”

Lakukan analisis ke atas masalah itu satu persatu.

Komen dan Soalan