Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-51 hingga Ke-55

Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-51 hingga Ke-55

401
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat ke-51

Selepas Allah ﷻ ceritakan tentang azab yang akan dikenakan kepada golongan penentang kebenaran, maka ini pula adalah balasan kepada orang mukmin. Jadi ayat ini adalah ayat Tabshir Ukhrawi. Amat berbeza nasib mereka dengan orang yang berdosa. Maka kena baca dan fikirlah mana satu yang kita hendak pilih.

Allah ﷻ menyebut perkara-perkara yang manusia memang suka dan dambakan. Ada 6 perkara semua sekali:

  1. Rumah yang selesa
  2. Pakaian yang selesa
  3. Pasangan hidup
  4. Makanan yang baik-baik
  5. Tempat kediaman yang kekal
  6. Bebas dari kesusahan dan malapetaka

Semua ini disenaraikan satu persatu dalam ayat-ayat yang mendatang ini.

إِنَّ المُتَّقينَ في مَقامٍ أَمينٍ

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa.

إِنَّ الْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang menjaga hukum yang telah diberikan oleh Allah ﷻ . Dalam setiap perbuatan, mereka akan memikirkan apakah kemahuan Allah ﷻ dalam perkara itu. Ini adalah kerana mereka takut dengan Allah ﷻ.

Mereka itulah yang akan menjaga hatinya dari fahaman syirik dan akhirnya akan mati dalam tauhid. Semasa hidup, mereka menjaga anggota dari menderhaka. Ini tentunya memerlukan pengetahuan dan disiplin diri yang kuat yang hanya akan diberikan kepada mereka yang beriman dan berilmu sahaja.

فِي مَقَامٍ أَمِينٍ

di tempat tinggal yang aman.

Kepada mereka akan diberikan tempat tinggal yang aman sentosa. Mereka selamat dari kesusahan, ketidakselesaan, kerisauan dan sebagainya. Mereka tidak akan ada rasa takut dan tidak akan ada lagi perkara buruk bagi mereka.

Apakah maksud أَمِينٍ? Mulai semasa mati dan di dalam kubur lagi mereka akan ditunjukkan dengan tempat mereka di syurga. Kemudian mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan akan kekal di dalamnya. Mereka tidak takut ia akan ditarik darinya kerana tahu akan kekal berada di dalamnya.

Kalau kita ada harta di dunia, kita sentiasa ada rasa takut sama ada mungkin akan kehilangan, diambil atau rosak. Jadi, kita tidak ada rasa aman yang sepenuhnya tetapi di syurga, ia akan kekal bersama kita.

Ahli syurga akan tenteram dan selamat dari kebimbangan apa sahaja. Semasa di dunia kita sudah memilih tempat tinggal yang selamat dan aman untuk didiami kerana memang kehendak manusia macam itu. Allah ﷻ sediakan tempat untuk orang mukmin tempat yang tenteram.

Tafsir Ayat ke-52

Semua ini dibandingkan dengan kemewahan yang ada pada Firaun dulu tetapi semua itu ditinggalkan. Kepada ahli syurga, mereka tidak akan meninggalkannya. Segala kemewahan itu tidak akan diambil dari mereka.

في جَنّٰتٍ وَعُيونٍ

Iaitu di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya,

فِي جَنّٰتٍ

Di dalam beberapa taman Syurga,

Firaun ada banyak taman-taman, tetapi menjadi tidak bermakna kepadanya apabila ia ditinggalkan terus. Namun bagi orang mukmin akan dapat kebun-kebun/taman-taman syurga yang banyak (bukan satu) dan itu lebih hebat lagi dari kebun/taman yang Firaun ada dulu.

وَعُيُونٍ

dengan mata air-mata air terpancar padanya,

Ini adalah keterbalikan dari ahli neraka. Mereka dalam keadaan panas dan membara, tetapi ahli syurga dalam keadaan aman dan dingin. Maka manakah satu pilihan anda?

Dalam ayat lain disebut bagaimana mata air itu dari berbagai jenis. Ada air dari air tawar, air madu, air susu dan air arak. Apabila hendak minum cuma perlu ambil sahaja dari sungai itu. Air itu tidak memabukkan penghuni syurga dan tidak memudharatkan langsung.

Ini tidak sama dengan arak di dunia kerana semasa kita di dunia, kalau minum arak memang akan memudharatkan kita. Namun ini tidak dialami apabila di syurga nanti.

Tafsir Ayat ke-53:

Pakaian apakah yang mereka akan pakai di sana?

يَلبَسونَ مِن سُندُسٍ وَإِستَبرَقٍ مُّتَقٰبِلينَ

Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).

يَلْبَسُونَ مِن سُندُسٍ

Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus

Semasa di dunia, pakaian sutera adalah pakaian yang mewah. Tidak ramai yang boleh memakai sutera kerana ia mahal dan susah untuk ditenun. Namun, semua ahli syurga akan pakai 70 lapis pakaian sutera. Kenapa banyak sangat? Ini kerana suasana di syurga adalah dingin iaitu dingin yang menyenangkan. Jadi, kena pakai pakaian yang tebal sikit baru rasa sedap lagi.

Terdapat sutera lembut dan sutera tebal yang disebut dalam Al-Quran. Sutera lembut itu adalah yang digunakan pada badan kerana untuk badan, memang kain yang lembut sikit digunakan.

Di dunia, orang lelaki tidak dibenarkan memakai sutera. Ia adalah hukum yang telah ditetapkan tetapi dibenarkan memakainya di syurga. Jadi, kalau kita jaga hukum di dunia dengan tidak memakainya, kita akan memakainya di syurga kelak.

وَإِسْتَبْرَقٍ

dan kain sutera tebal yang bersulam;

Sebelum ini disebut sutera halus. Ia digunakan untuk baju, manakala sutera kasar pula untuk seluar. Macam kita di dunialah juga, kalau untuk seluar, kain yang lebih tebal digunakan.

Pakaian sutera dipakai jika seseorang itu kaya dan tidak ada kerja berat yang perlu dilakukan. Tidak mungkin seseorang hendak memakai sutera semasa membuat kerja. Ini bermaksud, ia menunjukkan isyarat kemewahan, duduk bersenang lenang dan menikmati masa lapang. Ahli syurga tidak ada apa-apa kerja lagi yang mereka perlu lakukan.

مُّتَقٰبِلِينَ

Duduk berhadap-hadapan.

Duduk dengan mesra bersama-sama ahli syurga yang lain dan tidak ada perasaan marah dan tidak selesa. Oleh kerana itu mereka boleh duduk berhadap-hadapan tanpa rasa kekok. Bilakah kita boleh begini?

Bagi kita kalau ada rasa kekok sikit pun, akan susah hendak duduk berhadapan dengan orang lain. Namun, dalam syurga tidak ada rasa langsung perasaan tidak selesa sebegitu.

Juga bermaksud semua menghadap di hadapan. Ini terutamanya semasa di majlis bersama dengan Allah ﷻ. Mereka tidak ada yang duduk di belakang orang macam dalam dunia. Maknanya, tidak ada darjat rendah sebab duduk belakang orang lain tidak bagus.

Kalau di dunia, macam dalam stadium yang ada duduk depan dan belakang ikut tiket. Kalau tiket murah, duduk di belakang lah. Namun di syurga, tidak ada tiket duduk belakang, semua duduk depan. Macam mana Allah ﷻ buat sampai boleh jadi begitu, Allahu a’lam. Kita kena tunggu masuk syurga baru akan dapat tahu.

Tafsir Ayat ke-54

Tidaklah ahli syurga duduk berseorangan tanpa pasangan. Maka Allah ﷻ berikan pasangan untuk mereka.

كَذٰلِكَ وَزَوَّجنٰهُم بِحورٍ عينٍ

Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.

كَذَٰلِكَ

Demikianlah balasannya;

Begitulah telah disebutkan dalam ayat-ayat yang lepas tentang balasan-balasan yang akan diberikan kepada mereka yang beriman dan beramal soleh semasa di dunia. Bukan itu sahaja, ada lagi yang akan diberi:

وَزَوَّجْنٰهُم

dan Kami jodohkan mereka

Mereka akan diberi pasangan. Ini kerana kita sebagai manusia memang suka kepada pasangan hidup kerana tidak suka jika hidup berseorangan. Kalau ada sesuatu kenikmatan, tentu kita hendak berkongsi dengan pasangan kita, bukan? Namun, siapakah pasangan mereka?

بِحُورٍ عِينٍ

dengan bidadari-bidadari cantik matanya.

Perkataan حُورٍ digunakan untuk ‘perempuan yang bermata cantik’. Mata putih yang amat putih dan mata hitam yang amat hitam – ini adalah kontras yang cantik. Kita sebagai manusia juga suka tengok mata orang lain, bukan?

Perkataan عِينٍ pula digunakan untuk mengisyaratkan kepada perempuan yang mempunyai ‘mata besar yang cantik’. Terpesona kita melihatnya. Allah ﷻ menyebut ‘mata’ untuk membayangkan kepada kita kecantikan pasangan hidup di syurga itu.

Ada juga yang membezakan: حُورٍ nisbah kepada warna kulit yang cantik dan عِينٍ pula nisbah kepada kecantikan mereka. Sudahlah kulit cantik, mereka juga memang cantik.

Ketua bidadari dalam syurga kita adalah isteri kita sendiri. Maknanya pasangan hidup kita semasa di dunia lagi (jikalau isteri turut masuk sekali ke dalam syurga). Sebenarnya, isteri kita lebih cantik dari bidadari-bidadari itu iaitu mereka akan dicantikkan apabila dimasukkan ke dalam syurga nanti. Bukanlah kita masuk dengan rupa kita semasa di dunia. Umur lelaki akan tetap 31 tahun dan perempuan berumur 29 tahun.

Walau bagaimana cantik sekalipun bidadari-bidadari itu, isteri kita lebih cantik dari mereka. Ini kerana isteri yang di dunia telah melalui banyak rintangan dan dugaan dan mereka ada melakukan amal ibadat. Walhal, bidadari dijadikan terus oleh Allah ﷻ. Maka kerana itu tidaklah mereka lebih hebat dari pasangan yang berasal dari dunia.

Jadi, jangan kita sangka bidadari sahaja pasangan kita. Isteri kita pun akan bersama dengan kita kalau dia adalah ahli syurga. Kalau isteri kita tidak masuk syurga, kita akan dipasangkan dengan wanita dunia yang tidak ada suami atau suami mereka tidak masuk syurga. Inilah salah satu pendapat.

Banyak persoalan diberikan terutama dari pihak wanita: “Kenapa hanya disebut bidadari sahaja? Kenapa tidak disebut pasangan untuk wanita pula?”. Ini wanita-wanita jangan risau. Wanita-wanita dunia akan dapat pasangan mereka juga. Malah, mereka akan dapat apa sahaja yang mereka mahu.

Namun, Al-Quran hanya menyebut pasangan untuk lelaki sahaja, kerana memang perangai lelaki macam itu iaitu berkehendak kepada wanita. Dari dulu sampai sekarang semua orang lelaki begitu. Namun orang perempuan lain sikit emosi mereka dan tidak sama seorang wanita dengan wanita yang lain.

Tidak sama keinginan pada satu masa dan masa yang lain. Hari ini hendak itu, esok hendak benda lain pula. Jadi, tidak dapat disebut satu benda yang wanita berkeinginan secara penuh. Jadi, Al-Quran hanya menyebut secara umum sahaja. Mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka hendak. Jadi jangan takutlah kalau mereka tidak mendapat nikmat macam yang lelaki dapat.

Tidak ada kekurangan kerana mereka akan dapat semuanya, tetapi tidak dapat disebut apakah perkara itu.

Tafsir Ayat ke-55

يَدعونَ فيها بِكُلِّ فٰكِهَةٍ ءآمِنينَ

Mereka meminta – di dalam Syurga itu – tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa.

يَدْعُونَ فِيهَا

Mereka meminta di dalam Syurga itu –

Allah ﷻ memberi motivasi lagi untuk manusia. Ketika di dunia, kita hendak makan macam-macam. Hari-hari kita hendak makan benda-benda yang sedap tetapi tidak semua yang kita mahu, kita akan dapat. Ini kerana mungkin kita tidak mampu, atau benda itu memang tidak ada. Maka, Allah ﷻ berkata, hendak makan apa sahaja di syurga, mereka akan dapat.

بِكُلِّ فٰكِهَةٍ

tiap-tiap jenis buah-buahan,

Allah ﷻ sebut buah-buahan kerana masyarakat Arab memang suka kepada buah-buahan. Namun tentulah bukan buah sahaja yang akan diberi sebagai makanan di sana. Ada berbagai-bagai jenis makanan akan diberikan nanti.

ءآمِنِينَ

dalam keadaan aman.

Kenapa perkataan آمِنِينَ digunakan sekali lagi? Mereka dikatakan akan makan buah-buahan itu dalam keadaan aman kerana tidak akan habis, rosak, atau ia akan menyebabkan kita sakit.

Kadang-kadang kalau kita makan sesuatu makanan di dunia, ada sahaja rasa takut dengan sebab-sebab lain. Mungkin buah itu sudah hendak habis jadi kita berdikit untuk makan; mungkin buah itu sudah hendak busuk; mungkin buah itu orang lain makan sedap tetapi kita makan tidak sedap pula sebab tidak kena dengan tekak kita; atau kalau makan banyak sangat, akan menyebabkan kita sakit perut dan sebagainya.

Sebagai contoh, ada orang tidak boleh makan durian semasa di dunia disebabkan ada kesan-kesan tidak elok. Namun, kalau makan buah-buah di syurga, tidak akan ada kesan itu. Semuanya sedap-sedap belaka dan selamat untuk kita makan, tidak kira berapa banyak pun.

Kalau di dunia kita hendak makan susah juga kerana kalau hendak minta makanan di hotel mahal, tentu harganya turut mahal juga. Namun, nanti di syurga hendak minta makanan apa sahaja, tidak ada bayaran lagi yang hendak dibayar kerana kita sudah ‘bayar’ dengan amalan kita semasa di dunia dulu.

Perkataan ‘aman’ selalu diulang-ulang kerana ini adalah satu kriteria penting dalam syurga. Tidak ada rasa takut apa-apa dalam syurga nanti. Kalau harta dunia, ada sahaja rasa risau kita dengan harta itu hilang, kena curi, rosak, sudah tidak cantik dan sebagainya tetapi di syurga, kita akan rasa aman sahaja.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 51-55)

📍Adakah مقام امين itu salah satu nama syurga?

🔵 Bukan. Ia salah satu sifat syurga. Syurga satu sahaja, cuma tingkatan yang berlainan. Terdapat 100 tingkatan dan Firdaus adalah paling tinggi.

📍Adakah tingkatan yang berbeza itu untuk mukmin yang berbeza amalannya? Contoh bagi yang rajin qiam malam akan mendapat tingkat yang lain daripada yang suka sadaqah?

🔵 Benar. Beza tingkatan adalah dengan bezanya amal. Jika amal lagi banyak, maka duduk lagi tinggi dan jika iman lagi tinggi, duduk lagi tinggi dan seterusnya.

📍Kalau begitu, adakah orang yang telah minum arak di dunia, tidak dapat minum arak dari sungai arak di Syurga sebab tidak mengikut hukum semasa di dunia?

🔵 Ya kalau sudah minum arak, entah apa lagi dia lakukan. Minum arak bukan setakat minum arak sahaja, banyak kesalahan lain akan dilakukan. Segala dosa dan pahala akan dikira dan akan dinilai dan Allah ﷻ akan buat keputusan untuk dia sama ada syurga atau neraka.

📍Nikmat paling besar dalam syurga adalah dapat melihat wajah Allah ﷻ. Adakah orang yang di tingkat syurga yang rendah lewat dapat nikmat ini?

🔵 Semua akan dapat lihat tetapi kalau tingkatan tinggi akan dapat paling dekat dan selalu lihat. Macam tiket bola, tiket murah tengok dari jauh sahaja lah.

 📍Benarkah wanita yang tiada pasangan di dunia akan di kurniakan wildan dalam syurga?

🔵 Wildan itu budak, hendak buat apa dengan budak? Budak itu pelayan sahaja. Wanita tidak ada pasangan akan diberi dengan pasangan dan ada juga lelaki tidak ada pasangan di dunia.

📍Nabi ajar kita jika berdoa mohon syurga, pohonlah syurga Firdaus. Adakalanya kita rasa macam tidak layak hendak masuk syurga Firdaus.

🔵 Tiada siapa yang layak masuk mana-mana syurga pun. Kita semua tambang tidak cukup hendak masuk syurga paling bawah pun. Kita semua masuk syurga atas rahmat Allah ﷻ. Nabi sudah ajar, maka itulah yang kita buat. Maksudnya, kita minta Allah ﷻ masukkan juga ke dalam syurga walaupun kita tidak layak, bagilah kita layak.

Kalau kita banyak dosa, bimbing kita ke arah kebaikan supaya Allah ﷻ beri taufik tidak buat dosa. Kalau kurang amal, supaya Allah ﷻ bagi kita kuat buat amal. Begitu fahamannya. Nabi ajar supaya ada keinginan yang tinggi. Macam kita hendak masuk universiti, usaha untuk masuk universiti luar negara tetapi kalau tidak dapat, sekurangnya dapat dalam negara pun jadilah. Jika kita sekadar impikan yang rendah, mungkin dapat rendah lagi agaknya.

📍Bolehkah jika tidak mahu pasangan dari bidadari?

🔵 Perempuan hendak buat apa dengan bidadari kerana akan dapat pasangan dari lelaki. Tidak kisah apa kehendak anda semua, anda akan dapat nanti dan anda akan puas hati dengan apa yang diberi nanti. Jangan takut, jangan gundah gelana. Lagipun tidak ada apa-apa yang anda tidak suka akan diberi.

📍Ketika di dunia kita tidak boleh sanding atas pelamin, kerana menyerupai agama lain. Adakah di dalam syurga Allah ﷻ adakan pelamin bagi setiap ahli syurga?

🔵 Ia tempat duduk yang hebat, tempat bersenggeng dan duduk lepak tengok kerajaan. Kalimah ‘pelamin’ digunakan kerana bahasa kita tidak cukup hendak terjemah tempat duduk itu. Jangan samakan dengan pelamin kahwin itu.

📍Adakah sama juga kalau sebut dipan? Dalam Al-Quran lama ada sebut dipan atau ada sebut paterakna macam singgahsana?

🔵 Ya, macam singgahsana, dipan dan lain-lain.

📍Mereka tidak duduk bersanding macam orang menikah tetapi mereka duduk bertelekan/ berteleku ( muttaki’in) di atas dipan-dipan atau singgahsana sambil menyandar lengan dan makan-makan santai. Benarkah begitu?

🔵 Ya.

📍Adakah pakaian ahli syurga ini menutup aurat? Semasa majlis bersama Allah ﷻ tentu kita dapat melihat wajah Allah ﷻ. Apakah sekiranya mendapat syurga tingkatan rendah hanya dapat melihat dari jauh? Semasa majlis ahli syurga diasingkan antara syurga tingkatan rendah dan tinggi.

🔵Ya. Majlis sama tetapi kedudukan tidak sama. Macam konsert tiket mahal dan murah. Bagi yang tiket murah itu akan duduk jauh lah.

📍Apakah jenis bidadari itu?

🔵Allah jadikan terus. Ia bukan malaikat jin atau manusia.

📍Bagi yang tiada pasangan di syurga adakah Allah ﷻ yang pasangkan atau pilih sendiri?

🔵Tidak tahu.

📍Adakah selepas dimatikan semua makhluk, nanti Allah ﷻ hidupkan semula malaikat untuk bertugas?

🔵Ya

📍Adakah Al-Quran Majid boleh digunakan? Beza antara Al-Quran majid dan rasm Uthmani terdapat hamzah wasol pada Al-Quran rasm Utsmani.

🔵Quran Majid tidak boleh pakai. Mushaf imla’i.

Banyak beza. Bukan Hamzah wasal sahaja. Terutama dari segi rasm dan dabt. Ia seolah-olah macam Al-Quran lain. Merbahaya kerana penentang Islam boleh kata: umat Islam pun ada dua versi Al-Quran. Di Malaysia pun tidak boleh pakai Al-Quran Majid. Di bawah akta percetakan teks Al-Quran. Oleh itu tidak boleh guna dan kena bakar. Pakai rasm Uthmani sahaja. Standardize satu dunia.

📍Dalam syurga ada suami dan isteri. Bagaimana pula dengan anak kita? Adakah lagi hubungan ibu anak atau hanya suami isteri saja?

🔵Kalau anak masuk syurga akan duduk sekali. Orang kafir, bila mati tidak dapat jumpa anak sampai bila-bila. Orang mukmin, ada kemungkinan jumpa anak balik dan duduk bersama sampai bila-bila.

 Allahu a’lam.

Komen dan Soalan