Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-43 hingga Ke-50

Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-43 hingga Ke-50

1423
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat ke-43

Ayat sebelum ini Allah ﷻ sebut rahmah-Nya. Sekarang Allah ﷻ menceritakan tentang akhirat pula. Ia dimulakan dengan tentang neraka. Apakah kaitan penceritaan neraka dan sifat rahmah-Nya? Ini kerana dari sifat rahmah Allah ﷻ lah Dia menerangkan tentang neraka dan balasan akhirat kepada kita.

Jangan kita lupa bahawa penerangan tentang neraka adalah salah satu dari sifat rahmah Allah ﷻ. Maklumat itu diberikan untuk menakutkan kita supaya dapat memperbetulkan diri kita. Allah ﷻ menjelaskan neraka dalam bentuk grafik supaya kita dapat bayangkan. Supaya kita mendapat pengajaran dan takut dengan akhirat. Apabila kita takut, kita akan berbuat baik di dunia.

Agama lain tidak ada elemen ini. Agama lain tidak menceritakan neraka dan syurga dengan panjang lebar. Maka, mereka tidak tahu bagaimanakah keadaan neraka dan syurga. Sampaikan mereka mempermainkan keadaan neraka. Mereka agak-agak sahaja apa yang ada di neraka dan syurga.

Banyak kartun-kartun yang mempermainkan keadaan di sana. Banyak lelucon yang difikirkan oleh mereka. Begitulah yang kita boleh lihat dalam filem-filem barat. Jadi, marilah kita belajar dan tahu tentang apakah yang ada di neraka itu.

📍Apakah balasan kepada orang yang berdosa? Bagaimanakah keadaan dalam neraka itu? Pertamanya, apa mereka akan makan?

إِنَّ شَجَرَتَ الزَّقّومِ

(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum,

Inilah makanan yang paling buruk sekali. Tidak ada makanan yang baik-baik untuk penghuni neraka. Apabila mereka minta makanan, mereka akan diberikan dengan buah dari pokok Zaqqum. Inilah satu-satunya pokok yang dapat hidup dalam neraka.

Bayangkan betapa buruknya satu pokok yang boleh hidup dalam api? Kalau boleh hidup dalam api, maka itu tentu bermakna ia pun ada sifat-sifat api juga.

Tidak ada pokok lain lagi. Kalau di dalam syurga, sentiasa Allah ﷻ menceritakan berbagai jenis pokok dan buah-buahan. Namun, dalam neraka, hanya ada pohon Zaqqum sahaja yang disebut. Penerangan tentang Zaqqum ini boleh dilihat dalam [ Saffat: 64-65 ].

Mujahid mengatakan, “Seandainya dijatuhkan satu titis dari Zaqqum itu ke bumi ini, nescaya semua penghidupan penduduk bumi menjadi rosak (tercemar) kerananya.” Hal yang semisal telah disebutkan secara marfu’.

Orang kafir Mekah mengejek-ngejek tentang pokok Zaqqum ini. Mereka kata mereka suka Zaqqum itu. Mereka kata, itu adalah makanan untuk mereka nanti kalau mereka masuk neraka. Mereka bermain-main dengan maklumat dari Nabi Muhammad SAW itu.

Tafsir Ayat ke-44

📍Untuk siapakah buah Zaqqum itu?

طَعامُ الأَثيمِ

(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).

Buah Zaqqum itu diberikan kepada mereka yang banyak buat dosa. Dosa pula jenis dosa yang besar tetapi bukan itu sahaja makna الْأَثِيمِ ini. Ia juga bermaksud ‘mereka yang condong ke arah dosa dan tidak mahu berbuat baik’.

Mungkin mereka tidak buat lagi dosa tetapi mereka sudah condong kepada keburukan. Hati mereka sentiasa ke arah berbuat dosa. Perkataan الْأَثِيمِ ini asalnya digunakan untuk unta yang boleh bergerak pantas, tetapi hendak jalan perlahan juga. Sama seperti juga manusia yang boleh sebenarnya hendak buat kebaikan, tetapi mereka tidak mahu.

Ini kerana hati mereka telah condong kepada berbuat dosa. Peluang hendak berbuat baik ada, tetapi mereka tidak meraih peluang itu. Maka, untuk mereka itu, mereka akan diberi makanan buah Zaqqum!

Tafsir Ayat ke-45

Apakah sifat buah Zaqqum ini? Dalam sirah, ada diceritakan bagaimana orang-orang musyrikin Mekah bermain-main dengan cerita Nabi tentang buah Zaqqum ini. Mereka telah diberitahu oleh Nabi bahawa penghuni Neraka akan makan buah Zaqqum.

Jadi, mereka memperolokkan baginda dengan berkata: “Wahai kawan-kawan, mari kita makan buah Zaqqum!”. Alangkah kurang ajar mereka ! Mereka tidak tahu bagaimana keadaan buah Zaqqum itu.

كَالمُهلِ يَغلي فِي البُطونِ

(Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut,

كَالْمُهْلِ

seperti kerak minyak,

Ia seperti minyak masak yang telah banyak kali digunakan untuk memasak. Lama-kelamaan ia akan melikat dan pekat berwarna kegelapan. Tembaga juga apabila telah dipanaskan sampai menjadi cair dan sangat-sangat panas akan melekat kepada tubuh kita kerana pekat dan likat.

Maka, kehangatannya bertambah lagi. Bayangkan kalau kita menyentuh lilin yang cair kepanasan. Ia memang sudah panas, tetapi menjadi lebih panas kerana apabila cair, ia melekat kepada tubuh kita, kan?

Itulah buah Zaqqum nanti dan dibayangkan seksanya dalam ayat ini. Na’uzubillah min zalik! Semoga kita terselamat dari memakan buah ini.

يَغْلِي فِي الْبُطُونِ

yang mendidih dalam perut,

Bila makan sahaja buah Zaqqum itu, ia akan bertukar menjadi minyak yang mendidih. Bayangkan apabila sesuatu itu mendidih, ia akan berbunyi ‘cissss’. Mendidihnya seperti tembaga yang cair. Bayangkan bagaimana kerak minyak atau tembaga boleh mendidih dalam perut!

Tafsir Ayat ke-46

Bagaimana keadaan ia mendidih itu?

كَغَليِ الحَميمِ

Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya

Bayangkan kalau kita memasak kerak minyak. Kerak minyak adalah sesuatu yang pekat, bukan macam air. Kalau air, kita boleh masak dan senang sahaja hendak mendidih. Membuak-buak kalau air telah mendidih. Namun kalau kita hendak masak kerak minyak di dalam dunia, ia tidak akan mendidih kerana pekat.

Bayangkan bagaimana di neraka nanti, sesuatu yang pekat itu boleh sampai jadi mendidih! Ini kerana api yang digunakan bukan api jenis yang digunakan di dunia, tetapi api neraka! Maknanya, ia panas sangat, sampai ribu juta darjah. Sampaikan kerak minyak atau tembaga boleh mendidih seperti mendidihnya air!

📍Ia akan mendidih dalam perut ahli neraka pula! Boleh bayangkan?

Tafsir Ayat ke-47

Bukan itu sahaja seksaan yang dikenakan kepada mereka. Ada lagi yang diterangkan dalam ayat ini. Ini adalah tentang azab rohani pula.

خُذوهُ فَاعتِلوهُ إِلىٰ سَواءِ الجَحيمِ

(Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): “Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka.

خُذُوهُ

Tangkaplah orang yang berdosa itu

Allah ﷻ suruh malaikat tangkap ahli neraka atau penjaga neraka bercakap sesama mereka. Sebenarnya ahli neraka bukan boleh lari mana pun, ada di situ sahaja tetapi mereka dihina dengan disuruh mereka itu ditangkap. Macam tangkap binatang.

Ini adalah azab emosi, diberi penghinaan dengan disuruh tangkap. Kalimah tangkap ini adalah menakutkan dan menghinakan, sampaikan kalau zaman sekarang, pendatang tanpa izin dengan kalimah ‘tangkap’ sudah takut dan ada yang terus terjun tingkap. Ini kerana perkataan ‘tangkap’ adalah menghinakan.

Ada pendapat yang mengatakan, kerana sekarang baru disebut ditangkap ahli neraka itu, maka buah zaqqum itu telah diberikan kepada ahli neraka sebelum mereka dimasukkan ke dalam neraka lagi.

✍🏻Mereka kata inilah yang dimaksudkan dengan [ Waqiah: 56 ]:

هٰذا نُزُلُهُم يَومَ الدّينِ

Itulah hidangan untuk mereka pada hari Pembalasan”.

فَاعْتِلُوهُ

dan seretlah dia

Diseret dengan cara diikat dengan besi. Bayangkan keadaan seorang penjenayah yang tidak mahu bergerak. Polis akan pegang dia beramai-ramai, kemudian diseret dengan ganas dalam keadaan dia meronta-ronta.

إِلَىٰ سَوَاءِ الْجَحِيمِ

ke tengah-tengah neraka.

Diseret ke tengah neraka kerana mereka akan dikenakan seksaan di tengah-tengah neraka itu. Semua kena duduk di tengah neraka, tidak boleh lari ke tepian. Kenapa di tengah pula? Ini kerana di tengah neraka itu adalah tempat paling panas. Allah ﷻ hendak bagi mereka rasa kepanasan yang maksima.

Tafsir Ayat ke-48

Selepas diseret ke tengah Neraka, apakah yang akan dilakukan kepada mereka?

ثُمَّ صُبّوا فَوقَ رَأسِهِ مِن عَذابِ الحَميمِ

Kemudian curahkanlah di atas kepalanya – azab seksa – dari air panas yang menggelegak”.

ثُمَّ صُبُّوا

Kemudian curahkanlah

Kalimah صُبُّوا bermaksud dicurahkan dengan banyak macam air terjun. Bukan curah sikit-sikit.

فَوْقَ رَأْسِهِ

di atas kepalanya

Sudahlah dalam perut mereka telah mendidih buah dari pokok Zaqqum, sekarang dicurahkan lagi satu jenis azab ke atas kepala mereka iaitu air panas yang menggelegak. Maknanya, ada azab dari dalaman dan luaran. Apakah yang dicurahkan ke atas kepada mereka itu?

مِنْ عَذَابِ الْحَمِيمِ

dari azab air panas yang menggelegak”.

Ini adalah azab jenis air panas pula. Memang berbagai jenis azab akan dikenakan kepada penghuni neraka. Air panas di neraka bukanlah seperti air panas menggelegak di dunia. Kalau air panas di dunia kena kepada kulit kita pun sudah melecur, bukan? Apatah lagi kalau di neraka kelak?

✍🏻Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

يُصَبُّ مِنْ فَوْقِ رُءُوسِهِمُ الْحَمِيمُ. يُصْهَرُ بِهِ مَا فِي بُطُونِهِمْ وَالْجُلُودُ

Disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala mereka, dengan air itu dihancur luluhkan segala apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit mereka. [ Al-Hajj: 19-20 ].

Tafsir Ayat ke-49

Kemudian dikatakan kepada mereka:

ذُق إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الكَريمُ

(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): “Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)”

ذُقْ

Rasalah,

Rasalah azab seksa itu. Sudahlah kena seksa, kena perli lagi. Ini adalah azab emosi. Sengaja ahli neraka itu diperli supaya mereka lebih sakit hati dan bertambah lagi menyesal.

إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْكَرِيمُ

Sesungguhnya engkau dulu adalah orang yang gagah perkasa dan terhormat

Allah ﷻ mengejek mereka dalam ayat ini. Mereka inilah orang-orang kaya dan orang-orang besar yang mempunyai kedudukan dulu semasa mereka di dunia. Ini kerana kedudukan itu telah membuatkan mereka sombong dan telah menjadi sesat.

Termasuk dalam golongan ini adalah guru-guru agama yang mengajar ajaran salah dan sesat. Inilah juga mereka yang ambil upah dalam amalan dan apabila mengajar. Kita semasa di dunia hendakkan kedudukan yang tinggi. Jangan sampai ia menjauhkan kita dari agama dan sampai ia menjatuhkan kita nanti.

Tafsir Ayat ke-50

Ini lagi satu dikatakan kepada mereka.

إِنَّ هٰذا ما كُنتُم بِهِ تَمتَرونَ

(Kemudian dikatakan kepada ahli neraka umumnya): “Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!”

إِنَّ هَٰذَا مَا كُنتُم بِهِ

Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu

Waktu itu ditunjukkan neraka di hadapan mereka. Allah ﷻ gunakan perkataan itu dalam bahasa ‘present tense’, padahal ia belum berlaku lagi, supaya kita dapat membayangkan kalau kita ada di sana. Efek kepada emosi kita lebih tinggi lagi.

تَمْتَرُونَ

ragu-ragu terhadapnya!

Dulu kamu ragu-ragu kepadanya, tetapi sekarang, ia di depan mata kamu dah! Apa hendak buat lagi? Adakah kamu hendak tolak lagi?! Ini kerana mereka ragu-ragu tentang adanya azab itu, mereka tidak buat persiapan untuk mengelak darinya. Maka kerana itulah mereka dimasukkan ke dalamnya.

✅Habis ayat-ayat menakutkan.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 43-50)

📍Benarkan kalau kita katakan orang bukan Muslim tidak meyakini wujudnya neraka?

🔵Ya. Mereka tidak kisah. Tidak yakin dan tidak ambil peduli. Orang kita pun ramai sahaja macam itu. Hidup macam akhirat tidak ada sahaja. Contoh di Malaysia tidak lakukan zina sebab takut kena tangkap lalu pergi sahaja Thailand untuk berzina.

📍Boleh bagi contoh dosa yang condong kepada keburukan?

🔵Dia tidak mencuri sebab tidak ada peluang tetapi kalau orang tertinggal barang depan mata dia, terus lesap. Maka dia sebenarnya sudah condong kepada mencuri. Ada orang tidak buat dosa dan kesalahan sebab keadaan sahaja. Tidak ada peluang.

📍Adakah buah Zaqqum untuk pendosa walaupun ia Islam?

🔵Nama sahaja Islam tetapi perangai macam orang kafir pun akan dapat merasa juga.

📍Maksud ayat di bawah ini, dia hendak bersedekah tetapi terlalu berkira, akhirnya tidak keluarkan sedekah juga? Seperti juga manusia yang boleh sebenarnya hendak buat kebaikan, tetapi mereka tidak mahu. Ini kerana hati mereka telah condong kepada berbuat dosa. Peluang hendak berbuat baik ada, tetapi mereka tidak meraih peluang itu.

🔵Bukan. Tidak sedekah bukan menjadi dosa.

📍Bagaimana dengan orang yang pilih untuk ambil Islam sedikit sahaja? Dia tidak mahu bersungguh buat pahala dan tidak takut neraka. Macam pahala dia sudah cukup sahaja untuk masuk syurga.

🔵Nanti akan ditimbang-timbang pahala dan dosa dia. Kalau dosa lagi banyak, ke nerakalah dulu. Jika ada amalan syirik, kekal dalam neraka.

📍Apakah seksaan yang paling ringan dan berat di neraka?

🔵Azab paling ringan kasut daripada api yang dipakai dekat kaki tetapi otak menjadi cair. Paling teruk, tidak tahu kerana akal kita tidak dapat hendak terima.

📍Bahan yang mencair akan menyimpan haba pendam untuk menjadikan dia cair. Jadi dia lebih panas dari keadaan sebelum cair. Saya tidak sangka Allah ﷻ terangkan Zaqqum sebegini sekali. Ada dalam silibus subjek fizik pasal haba pendam ni. Hanya boleh bayang seksaan sikit tetapi paling teruk akibatnya.

🔵Wah! Hebat. Ya, akal kita tidak mampu hendak bayangkan sepenuhnya. Maka Allah beri gambaran sahaja. Ayat-ayat sebegini hendak bagi kita takut hendak buat. Kita duduk panas terik pun sudah merungut.

Fikir sikit: “Ish panas camni pun aku sudah tidak tahan….dalam neraka macamana la pulak?’

📍Kalau sampai tahap menggelegak atau menjadi wap, haba yang disimpan juga jauh lebih tinggi supaya ‘bonding’ tu terlerai. Dahsyatnya!!! Kenapa teruk sangat azab dan layanan kepada orang yang masuk neraka?

🔵Tidak mustahil kerana mereka tiada lubang. Maka ia jadi macam p’ressure cooker.’ Azab teruk sebab degil kerana semua nikmat sudah diberi, tetapi degil hendak ikut arahan Allah ﷻ.

📍Neraka ada berapa tingkat?

🔵Maaf. Saya tidak tahu. Tingkatan memang banyak tetapi saya tidak pasti berapa tingkatan.

📍Berapa lamakah seksaan akan diberikan dalam neraka?

🔵 Kalau orang Islam dan dia ada iman, tidak melakukan syirik, maka akan ada peluang untuk keluar nereka dan masuk syurga. Mereka dikenali sebagai golongan jahannamiyyun. Pernah masuk jahanam. Berapa lama, tidak pasti kerana ia berdasarkan dosa mereka. Kena cuci dalam neraka dulu. Macam kena penjara curi duit tidak sama dengan penjara bunuh orang.

📍Terfikir termasuk dalam golongan mana kah aku ini sebab kita berpecah menjadi 73 golongan dan hanya satu golongan yang akan selamat iaitu al-jamaah.

🔵 Ya memang kena selalu fikir-fikirkan. Kalau rasa sudah selamat, itulah yang tidak selamat sebenarnya.

📍Ejekan ini dari malaikat yang ditugaskan untuk beri azab kepada penghuni neraka? Adakah sebarang dalil penghuni neraka yang paling dibenci malaikat penjaga neraka?

🔵Ya. Tidak tahu pula tentang dalil. Malaikat bukan ikut perasaan. Mereka jalankan tugas yang Allah ﷻ.

📍Adakah ayat di bawah ini bermaksud guru agama tidak boleh ambil bayaran? Bagaimana ustaz dan ustazah di sekolah?

👉🏼Termasuk dalam golongan ini adalah guru-guru agama yang mengajar ajaran salah dan sesat. Inilah juga mereka yang ambil upah dalam amalan dan apabila mengajar.

🔵Ini bagi yang ajar ajaran salah. Ambil upah mengajar tetapi tidak tegur kesalahan anak murid sebab takut nanti tidak mendapat upah. Maka dia cerita yang baik-baik sahaja. Puji anak murid sahaja. Sebab orang tidak suka ditegur. Kalau tegur sudah tidak kena panggil lah ustaz tersebut untuk mengajar. Hilang punca pendapatan. Sebab itu ustaz sunnah tidak ambil upah kerana kami tegur selamba sahaja. Bukan ada bayar yuran pun jadi suka hati kami lah hendak tegur. Tidak rugi pun kalau sudah tidak datang kelas.

📍Saya sudah tidak hadir tahlil, solat hajat dan sebagainya tetapi hadir untuk jamuan saja. Adakah itu turut dikira syirik atau terkeluar daripada Islam?

🔵Jamuan tanpa amalan bidaah ok sahaja. Namun kalau memang itu majlis tahlilan, selamatan, tidak perlu sertai langsung. Kena tunjuk tidak suka kepada majlis bidaah. Jangan raikan walaupun makan sahaja.

📍Betulkah antara sifat buah Zaqqum ia berduri?

🔵Ya

 📍Sifat Rahman Allah ﷻ itu meliputi seluruh alam dan semua makhluk manakala sifat Raheem Allah ﷻ itu khusus untuk orang yang beriman sahaja. Walaupun agamanya Islam tetapi tidak beriman, tidaklah ia mendapat Raheem Allah ﷻ sebagaimana yang pernah ustaz jelaskan dalam surah Al-fatihah lama dulu. Betulkan begini?

🔵Ya telah berikan.

Allahu a’lam.

 

 

Komen dan Soalan