Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Makan Di dalam Talam Sunnah Nabi?

Makan Di dalam Talam Sunnah Nabi?

9727
0
Iklan

Apakah makan nasi/makanan di dalam sebuah Talam merupakan suatu Sunnah Nabi ?

 

Diriwayatkan hadith dari ‘Ato’ b Saib, hadith dari Saib, hadith dari Said b Jubairin, hadith dari ibnu Abbas bahawasanya Nabi (SAW) bersabda:

‘Al-barakatu tanzilu wa-sato to’ami fakulu min hafataihi wa-la takkulu min wa-satohi.’

(Yang bermaksud: Adapun keberkatan (dalam makan itu) turun (yakni, bertempat) di tengah-tengah makanan (bekas yang digunakan untuk makanan/makan), maka makanlah (dengan memulakan) dari arah kiri dan kanan makanan (bekas makanan) dan janganlah makan (dengan memulakan) dari tengah makanan (bekas makanan). [ Hadith at-Termidzi, Kitab Makanan ].

 

Hadith ini menyebutkan bahawa keberkatan dalam makanan itu berada di tengah-tengah makanan atau di tengah bekas makanan itu dihidangkan. Maka disuruh kita ambi dari sekeliling kawasan tengah, bukan disuruh kita ambil yang tengah.

Keberkatan itu melibatkan peradaban makan secara berjama’ah – beramai-ramai atau berkumpulan – keberkatan berada dalam masyarakat Islam yang bersatu padu, saling bermesra antara satu sama lain, termasuklah dalam perkara makan.

Melihat upacara atau majlis makan minum generasi lama dalam kenduri kendara dan seumpamanya. Ketika itu makanan dihidangkan di dalam dulang (besi atau tembaga). Di tengah-tengah dulang itu diletakkan lauk pauk, manakala di tepi-tepi lauk pauk itu diletakkan sayur-sayuran atau lain-lain juadah, di keliling lauk itu dibubuh nasi (atau di negara Arab, roti). Setiap dulang itu dikhususkan untuk seberapa ramai orang makan dengan menggunakan tangan.

Ketika makan kesemua yang dikhususkan untuk dulang tersebut, katalah 4 atau 5 orang, mereka akan duduk mengelilingi dulang dan makan nasi di hadapan masing-masing dan mengambil sedikit demi sedikit lauk dan perencah lain yang letaknya di tengah dulang.

Mereka pun makanlah dengan berkongsi lauk pauk dan perencah lain sehinggalah habis nasi yang terhidang dimakan. Sistem dan cara makan ini menggalakkan semangat kekitaan sesama umat Islam, kerana tidak dibezakan pangkat dan darjat dan dipastikan bahawa kesemua yg terhidang itu dihabiskan kerana keberkatan itu adalah makanan yang dihabiskan.

Mungkin dalam kumpulan 4 atau 5 orang itu tidak sama kadar kelaparan atau kemampuan makan, maka yang makan banyak boleh makan banyak kerana nasi yang terhidang itu dikongsi bersama dan lauk pauknya juga dikongsi bersama.

Sesiapa yang biasa ke Saudi Arabia untuk umrah atau haji, sering kali singgah di pertengahan jalan dan dihidangkan makanan dalam bentuk ‘jema’ah’ sedemikian itu.

Diriwayatkan hadith dari Amru b Dinar, penyimpan harta sabilillah milik keluarga Zubir berkata:’Aku mendengar Salim b Abdillah b Omar berkata: ‘Aku mendengar bapaku (yakni, Abdullah b Omar) berkata dia: ‘Aku mendengar Omar b Khattab (r.a) berkata: Rasulallah (SAW) bersabda: ‘Kulu jami’an wa-la tafarraqu fa-inna barakata ma’al jama’ata.’

(Yang bermaksud: Makanlah dengan berjema’ah (ie. bersama-sama) dan janganlah (makan) berfirqah-firqah (yakni, berpisah-pisah atau berasingan), maka sesungguhnya keberkatan (ketika makan) itu (adalah makan) berserta jema’ah (yakni, bersama-sama).) [Hadith ibnu Majah, Kitab Makanan]

 

Hadith ini diriwayatkan oleh tiga generasi orang beriman yang kesemuanya alim, iaitu cucu Omar b Khattab, anak kepada anak Omar, Abdullah b Omar atau dikenal dalam as-Sunnah sebagai ibnu Omar, sahabat Rasulullah (SAW), dan Salim anaknya.

Kalau kita lihat kalimah dalam hadith itu disebutkan kalimah ‘jami’an’ (= secara berjema’ah) dan kalimah (wa-la tafarraqu’ (= jangan berfirqah-firqah atau berpecah-pecah atau terasing). Dua kalimah ini disebutkan oleh Allah (SWT) dalam firman-Nya, khususnya [ ali-Imran: 103 ]:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. [ Ali ‘Imran: 103 ].

 

Jelas Islam itu dalam semua perkara menggalakkan berjema’ah dan bermusyawarah dan jangan berpecah-pecah atau mengadakan perkumpulan secara eksklusif atau terasing atau berasingan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan