Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-15 hingga Ke-18

Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-15 hingga Ke-18

536
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat ke-15

Sebelum ini telah disebut bagaimana mereka yang musyrik telah minta kepada Allah ﷻ supaya diangkat azab asap itu. Allah ﷻ sebut tentang doa itu kembali.

إِنّا كاشِفُو العَذابِ قَليلًا ۚ إِنَّكُم عائِدونَ

Sesungguhnya kami hapuskan azab itu sedikit, kamu akan kembali (kufur ingkar).

إِنَّا كَاشِفُو الْعَذَابِ قَلِيلًا

Sesungguhnya Kami akan melenyapkan seksaan itu agak sedikit

Setelah sekian lama, bala asap itu diangkat kerana mereka telah berdoa (atau minta Nabi Muhammad ﷺ doakan) supaya azab itu diangkat. Mungkin juga azab itu diangkat kerana masih ada lagi sebahagian golongan yang beriman di Mekah. Namun yang pasti, Allah ﷻ beritahu bahawa azab itu diangkat dari mereka. Namun, azab itu diangkat sekejap semasa di dunia ini sahaja. Mereka akan menerima azab yang lebih teruk lagi, apabila mereka dimasukkan ke neraka nanti.

Memang azab di dunia akan diangkat, tetapi yang lebih penting adalah azab di akhirat. Kalau mereka masih tidak mengubah sikap mereka, mereka akan dimasukkan ke neraka. Waktu itu mereka akan terima azab yang tidak akan diangkat-angkat lagi.

إِنَّكُمْ عَائِدُونَ

sesungguhnya kamu akan kembali.

Allah ﷻ sudah beritahu yang mereka akan kembali kepada sifat buruk dan jahat mereka yang musyrik itu. Malah mereka akan kembali kepada akidah kufur mereka sebelum mereka berdoa dan berjanji hendak beriman. Janji mereka itu bukannya ikhlas. Jadi kenapa Allah ﷻ angkat azab itu kalau Allah ﷻ sudah tahu yang mereka akan jadi begitu? Ini kerana bukan hendak azab mereka di dunia, tetapi Allah ﷻ hendak azab mereka di akhirat.

Azab di akhirat nanti lebih teruk yang mereka akan terima. Mereka akan ditanya dengan tanda-tanda yang telah diberi kepada mereka. Termasuk tanda yang mereka telah terima adalah azab asap itu. Sepatutnya dengan ada tanda itu mereka sudah berubah dan ambil pengajaran. Oleh kerana mereka tidak ambil pengajaran, maka semua itu akan dijadikan hujah kepada mereka di akhirat nanti.

Sebenarnya, ada dua pendapat untuk mentafsirkan maksud ‘kembali’ itu.

1.  Kembali kepada sifat mereka yang menentang Nabi ﷺ dan terus melakukan kejahatan dan kemusyrikan.

2.  Mereka juga akan kembali kepada Allah ﷻ (mati) dan mereka akan menerima azab yang lebih teruk lagi.

Tafsir Ayat ke-16

Ini adalah Takhwif Duniawi. Mereka diberikan satu lagi ancaman.

يَومَ نَبطِشُ البَطشَةَ الكُبرىٰ إِنّا مُنتَقِمونَ

(Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya)

يَوْمَ نَبْطِشُ الْبَطْشَةَ الْكُبْرَىٰ

(Ingatlah) hari (ketika) Kami menghentam mereka dengan hentaman yang keras.

Ulama tafsir memberikan dua macam tafsir untuk menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan ‘hari’ itu.

1. Ayat ini memberi isyarat tentang Perang Badr yang akan berlaku di mana musyrikin Mekah akan dikalahkan.

Ayat ini adalah ayat Makkiah, tetapi kejadian itu akan berlaku di Madinah nanti. Walaupun belum berlaku lagi, tetapi Allah ﷻ telah memberi isyarat kemenangan kaum muslimin. Jadi, ini adalah ayat ramalan. Waktu itu mereka tentu tidak sangka akan dapat berperang dengan musyrikin Mekah dan akan memenangi peperangan. Ketika itu nanti, ketua-ketua penjahat musyrikin Mekah akan dimatikan.

2.  Juga merujuk kepada Hari Akhirat nanti yang mereka akan menerima hukuman yang amat keras. Kalau mereka tidak mahu menerima dakwah Nabi Muhammad ﷺ, maka tunggulah azab yang akan dikenakan kepada mereka.

3.  Ia merujuk kepada musim kemarau yang menimpa Mekah pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana kedegilan mereka telah menyebabkan Nabi ﷺ berdoa supaya mereka dikenakan dengan azab seperti yang dikenakan ke atas Mesir pada zaman Nabi Yusuf عليه السلام.

Ini adalah pendapat Ibn Mas’ud. Ia dikenakan kepada mereka untuk merendahkan ego mereka seperti yang disebut juga dalam [ Al-An’am: 43 ],[ Al-A’raf: 94-95 ], [ Yunus: 21 ] dan [ Al-Mu’minun: 75-77 ].

إِنَّا مُنتَقِمُونَ

Sesungguhnya Kami adalah Pemberi balasan.

Segala kedegilan mereka akan dibalas di Madinah nanti apabila mereka dikalahkan dengan teruk sekali. Terdapat satu pendapat lagi mengatakan yang ‘hari’ yang dimaksudkan adalah di Akhirat kelak.

📍Memang Allah ﷻ bersifat pengasih dan penyayang tetapi apabila di Hari Akhirat kelak, Allah ﷻ akan bersikap adil di mana mereka yang telah berbuat kesalahan, kekejaman dan kezaliman akan dibalas dengan apa yang layak bagi mereka.

Tafsir Ayat ke-17

Takhwif Duniawi. Allah ﷻ memberi contoh kisah Nabi Musa عليه السلام dan Firaun kepada musyrikin Mekah.

Selepas Allah ﷻ memberi ancaman kepada musyrikin Mekah, Allah ﷻ memberi perumpamaan tentang apa yang terjadi kepada Firaun. Ini kerana Firaun juga telah melakukan kesyirikan dan telah dikenakan dengan bala semasa di dunia lagi.

Musyrikin Mekah juga telah diberikan dengan bala. Kesemua bala itu adalah untuk menundukkan dan merendahkan ego mereka, supaya kembali kepada Allah ﷻ. Apabila Mesir ditimpa bala waktu itu, Firaun meminta Nabi Musa عليه السلام berdoa supaya diangkat bala-bala dan berjanji untuk beriman kalau diangkat.

Namun, selepas bala itu diangkat Firaun tidak mengaku yang dia pernah berjanji untuk beriman. Keadaan ini ada persamaan dengan apa yang telah dilakukan oleh Musyrikin Mekah. Berkali-kali bala diberikan dan diangkat. Setiap kali berlaku Firaun akan meminta Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ untuk mengangkat bala-bala itu dan berjanji akan beriman kalau bala itu diangkat.

Namun setiap kali juga dia memungkiri janjinya itu. Bukan sahaja dia diuji dengan bala, tetapi Firaun juga telah diuji dengan kekayaan dan kemewahan hidup.

وَلَقَد فَتَنّا قَبلَهُم قَومَ فِرعَونَ وَجاءَهُم رَسولٌ كَريمٌ

Dan demi Sesungguhnya! Sebelum mereka, Kami telah menguji kaum Firaun, dan mereka pun telah didatangi oleh seorang Rasul (Nabi Musa) Yang mulia,

وَلَقَدْ فَتَنَّا قَبْلَهُمْ قَوْمَ فِرْعَوْنَ

Sesungguhnya sebelum mereka, Kami telah uji kaum Fir’aun

Sebelum kaum musyrikin Mekah diuji, telah diberikan juga ujian kepada kaum Firaun. Ini bertujuan untuk mengingatkan kepada musyrikin Mekah dan musyrikin lain, mereka juga boleh dikenakan dengan perkara yang sama. Maka orang Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ dan menentang dakwah tauhid, kenalah ambil pengajaran dari kisah ini.

Berbagai-bagai azab dunia telah diberikan kepada Kaum Firaun. Kisah ini ada disebut dalam surah

[ al-A’raf: 130 ]:

  1. Musim kemarau
  2. Kekurangan buah-buahan

dan ayat [ al-A’raf: 133 ]:

  1. Taufan
  2. Belalang
  3. Kutu
  4. Katak
  5. Darah

وَجَاءَهُمْ رَسُولٌ كَرِيمٌ

dan telah datang kepada mereka seorang Rasul yang mulia,

Rasul yang dimaksudkan adalah Nabi Musa عليه السلام. Tidak disebutkan nama Nabi Musa عليه السلام dalam ayat ini kerana telah ada ayat-ayat tentang baginda sebelum ini. Memang ayat Al-Quran banyak menyebut tentang Nabi Musa عليه السلام sampaikan ada ulama’ yang kata: hampir-hampir Al-Quran ini berkenaan Nabi Musa عليه السلام sahaja.

Begitu juga musyrikin Mekah, mereka telah biasa dengan ayat-ayat Al-Quran kerana telah beberapa tahun ayat-ayat Al-Quran dibacakan kepada mereka. Jadi Allah ﷻ hanya memberi isyarat kepada Nabi Musa عليه السلام sahaja dengan tidak disebutkan nama baginda dalam ayat ini.

📍Salah satu kelebihan Nabi Musa عليه السلام yang lain dari Nabi-nabi adalah baginda عليه السلام dapat berkata-kata terus dengan Allah ﷻ. Itulah sebabnya baginda عليه السلام dikatakan رَسُولٌ كَرِيمٌ. Banyak ayat-ayat dalam Al-Quran dan hadis Nabi yang menceritakan tentang kelebihan yang ada pada Nabi Musa عليه السلام.

Tafsir Ayat Ke-18

Nabi Musa عليه السلام telah ditugaskan untuk berdakwah kepada Firaun dan kaumnya. Waktu itu Firaun telah melakukan dua kesalahan besar:

  1. Zalim kepada Allah ﷻ – dengan melakukan syirik
  2. Zalim kepada Bani Israil dengan menjadikan mereka sebagai hamba abdi.

Maka ada dua dakwah utama Nabi Musa عليه السلام kepada Firaun dan kaum Qibti. Dalam surah ini disebut tentang zalim jenis yang kedua. Maka kena rujuk juga ayat-ayat yang lain untuk mengetahui kesalahan-kesalahan mereka yang lain.

Perbuatan zalim akan membuatkan pelakunya tidak akan masuk syurga. Maka kerana itulah kalau kita berdoa, kita diajar untuk minta ampun dari mana-mana kesalahan zalim kita. Kita diingatkan jangan buat zalim sama ada zalim kepada Allah ﷻ atau kepada makhluk. Ingatlah yang kalau kita buat bidaah, itu juga dikira zalim di sisi Allah ﷻ

Apakah yang dikatakan kepada Firaun?

أَن أَدّوا إِلَيَّ عِبادَ اللهِ ۖ إِنّي لَكُم رَسولٌ أَمينٌ

(Yang memberitahu kepada mereka dengan katanya): Berikanlah kepadaku wahai hamba-hamba Allah; sesungguhnya aku ini seorang Rasul yang amanah, yang diutuskan kepada kamu.

أَنْ أَدُّوا إِلَيَّ عِبَادَ اللهِ

Serahkanlah kepadaku hamba-hamba Allah (Bani Israil yang kamu perbudak).

Kalimah أَدُّوا dari kata dasar أ د ي yang bermaksud ‘menyerahkan hak seseorang dengan lengkap dan serta merta’.

Sebagai contoh, ada seseorang yang amanahkan hartanya kepada kita. Apabila dia datang dan meminta haknya, kita kena berikan terus dan dengan lengkap. Bukan kita lengahkan, bayar sikit-sikit dan sebagainya. Tidak boleh buat begitu kerana kita kena pulangkan terus dengan kadar yang asalnya.

Dalam ayat ini, Nabi Musa عليه السلام meminta Firaun menyerahkan kepada baginda Bani Israil yang telah diperhambakan oleh kaum Firaun. Nabi Musa عليه السلام minta Firaun jangan lagi buat zalim kepada Bani Israil. Biarlah baginda didik mereka kerana Bani Israil itu adalah umat baginda.

Jangan jadikan mereka sebagai hamba abdi lagi, kerana mereka bukan hamba abdi tetapi adalah golongan bangsawan kerana ada ramai Nabi dari kalangan mereka. Selain itu mereka juga adalah orang yang kenal Allah ﷻ dan ada agama.

Mereka telah hijrah dari Palestin ke Mesir zaman Nabi Yusuf عليه السلام dulu. Lama kelamaan mereka telah menetap di Mesir dan menduduki kedudukan yang tinggi di Mesir. Sehinggalah apabila puak Qibti telah menjajah Mesir dan menjadikan Bani Israil sebagai hamba.

Ada juga tafsir yang mengatakan arahan Nabi Musa عليه السلام kepada Firaun dan kaumnya dan juga Bani Israil adalah untuk taat kepada baginda عليه السلام iaitu mengikut segala arahan dan ajakan dari Nabi Musa عليه السلام. Oleh itu, ayat di atas berbunyi begini: “pulanglah kembali dengan taat kepadaku, wahai hamba Allah ﷻ.”

إِنِّي لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ

Sesungguhnya aku adalah utusan (Allah) yang amanah kepadamu,

Kenapa Firaun kena ikut dan taat kepada baginda عليه السلام?. Ini kerana baginda عليه السلام adalah rasul yang perlu ditaati. Bukan orang biasa yang boleh Firaun tolak seperti rakyatnya yang biasa. Baginda عليه السلام adalah seorang yang amanah kerana baginda seorang Rasul.

Baginda عليه السلام akan menjalankan tugas untuk mendidik Bani Israil kepada agama. Baginda عليه السلام juga diamanahkan untuk mengajar Firaun dan pengikutnya untuk bebaskan diri mereka dari zalim kepada Allah ﷻ dan zalim kepada manusia. Baginda عليه السلام datang membawa dalil dan bukti dari wahyu Allah ﷻ dan tidaklah reka ajaran-ajaran yang dibawa itu.

Bukanlah baginda عليه السلام datang dengan ajaran tauhid kerana hendakkan kedudukan dan sanjungan dari manusia tetapi baginda datang atas arahan Allah ﷻ. Kalimah أَمِينٌ juga bermaksud ‘selamat’ iaitu bermaksud Firaun dan kaumnya adalah selamat dari baginda عليه السلام .

Bukanlah baginda عليه السلام datang untuk menyusahkan mereka, menindas mereka, atau mengambil alih kerajaan Mesir. Kalau mereka terima iman, negara Mesir masih tetap dalam pemerintahan mereka.

Nabi dan Rasul dihantar kepada mereka sebagai kelebihan kepada mereka. Kalau ada Nabi atau Rasul di kalangan manusia, manusia yang menerima Nabi itu patut berbangga dan bersyukur sangat-sangat. Rasul bukan sahaja dihantar ‘kepada’ manusia, tetapi ‘untuk’ manusia. Jadi ada dua makna untuk huruf ل dalam perkataan لَكُمْ itu.

Inilah mesej pertama yang diberikan kepada Firaun oleh Nabi Musa عليه السلام. Banyak ayat-ayat dalam Al-Quran yang menyebut perkara ini.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 15-18)

📍Bolehkah ustaz jelaskan senarai azab dalam ayat [ al-A’raf: 133 ] mengenai azab belalang, kutu, katak serta darah? Adakah darah itu bererti banyak kes pembunuhan?

🔵Belalang serang tanaman dan kutu terdapat di merata tempat antaranya di dalam makanan dan atas katil. Manakala katak penuh satu negara dan darah di dalam perigi, pili, gelas, longkang dan merata rata lagi.

📍Adakah di sini kejadian Nabi Musa عليه السلام pengsan di bukit? Adakah baginda bercakap secara langsung dengan Allah ﷻ atau melalui Jibrail?

“Salah satu kelebihan Nabi Musa عليه السلام yang lain dari Nabi-nabi adalah baginda عليه السلام dapat berkata-kata terus dengan Allah ﷻ.”

🔵Itu satu kes sahaja. Banyak kali baginda عليه السلام bercakap dengan Allah ﷻ. Pertama kali baginda عليه السلام bercakap secara langsung dengan Allah ﷻ disebut dalam surah Toha. Namun, tidak semua wahyu diterima secara langsung. Jika baginda عليه السلام hendak secara langsung kena naik Bukit Thur (Mount Sinai)

📍Adakah kaum asal Nabi Musa عليه السلام telah beriman dengan Allah ﷻ?

Apakah kitab yang digunakan oleh mereka yang beriman sebelum puak Firaun itu memerintah Mesir?

🔵Ajaran Nabi Yusuf عليه السلام dan Nabi yang lain, ajaran dari Nabi Ibrahim عليه السلام.

📍Setelah turunnya ayat ini, adakah ia bermaksud Nabi ﷺ sudah tahu akan berlaku perang di Madinah dan akan di menangi oleh kaum muslimin?

🔵Ya

📍Ia dikenakan kepada mereka untuk merendahkan ego mereka seperti yang disebut juga dalam [ Al-An’am: 43 ], [ Al-A’raf: 94-95 ], [ Yunus: 21 ] dan [ Al-Mu’minun: 75-77 ]. Maksud ego di sini, telah sampai suatu kebenaran yang dibawa Nabi tetapi mereka ego untuk menerimanya?

🔵Ya, benar.

📍Kalau telah sampai suatu kebenaran kepada seseorang lalu orang itu menolak berkata ” saya buat itu sebab ustaz itu buat dan kalau saya berdosa tentu ustaz itu lagi banyak dosa. Apakah boleh dikatakan ego?

🔵Ya dan tambah satu lagi iaitu tidak guna akal yang sihat.

 Allahu a’lam.

Komen dan Soalan