Utama Bilik (06) Ulat Buku Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran: Tip 10 Cemerlang dengan Ibadah

Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran: Tip 10 Cemerlang dengan Ibadah

165
0
Iklan

Tip 10

Cemerlang dengan Menegakkan Ibadah

“Wahai mereka yang beriman sujud dan rukuklah serta beribadahlah kepada Tuhanmu dan buatlah kebaikan semoga kamu beroleh kejayaan.” [ Al-Haj: 77 ].

Dalam perancangan hidup, ibadah perlu diberi keutamaan.

Ciri penting yang perlu ada pada semua ibadah adalah niat yang ikhlas dan melaksanakan mengikut landasan syariat.

Lakukan ibadah mengikut keutamaan yang ditetapkan syariat iaitu yang wajib dan fardu adalah lebih utama daripada sunat dan harus.

“Harta benda dan anak pinak adalah perhiasan kehidupan di dunia. Amalan yang kekal lagi salih (al-baqiah as-solihat) adalah lebih baik ganjarannya di sisi Tuhan-Mu dan lebih baik untuk dijadikan harapan.” [ Al-Haj: 46 ].

Mereka yang sentiasa melakukan al-baqiah as-solihat sebenarnya sedang melatih minda, roh dan jasad untuk tunduk kepada kebaikan. Orang seperti ini mudah mencapai kejayaan dalam setiap bidang yang diceburi.

Ibadah yang lebih Utama

“Kamu melupakan satu ibadah yang utama iaitu warak.” [ Ummum Mukminin, Aisyah – Ihya Ulumuddin].

Ibadah yang paling penting yang sering diabaikan adalah meninggalkan perkara haram terutama yang berkait dgn sumber rezeki, makan dan minum.

Mengambil benda yang syubhah atau pun haram akan merosakkan ibadah.

“Sesiapa yang membelanjakan sesuatu yang haram, dia diumpamakan seperti seorang yang cuba membersihkan sehelai kain berlumuran najis dengan air kencing. Dosa tidak dapat dibersihkan melainkan dengan yang halal.” [ Imam Sufyan at-Thauri ].

Ibadah dan warak berkait rapat dengan tahap iman individu.

“Seseorang tidak akan sampai ke hakikat iman sehingga ada padanya empat perkara iaitu mengerjakan ibadah yang fardu dan yang sunat, memakan benda yang halal dengan warak, menjauhi perkara yang dilarang sama ada zahir atau batin dan bersabar di atas yang demikian itu sehingga mati.” [ Sahl at-Tusturi ].

Individu yang melakukan solat dengan zikir dan khusyuk akan dianugerahkan dengan kedamaian hati di samping kesihatan badan.

Solat berserta zikir dan khusyuk adalah seperti meditasi yang melebihi meditasi biasa. Berbeza dengan meditasi biasa kerana solat adalah ibadah. Kalimat zikir yang disebut di dalamnya adalah pilihan Allah dan Rasul. Ketenangan yang bakal diperolehi adalah ketenangan kurniaan Allah.

Ledakan Kecemerlangan

Ibadah adalah latihan yang merangkumi minda, hati dan jasad manusia.

Disiplin yang terdapat di dalamnya menjadikan individu itu unggul dalam bidangnya.

Matlamat ibadah adalah mencari keredhaan Allah.

Manusia yang mementingkan keredhaan Allah tidak dapat dibeli oleh manusia. Hanya manusia seperti ini sahaja yang layak menjadi pemimpin dalam masyarakat.

Masukkan ibadah dalam setiap perancangan hidup dan berikan keutamaan pada ibadah fardu.

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah (mengabadikan diri) kepadaku.” [ az-Zariyat: 53 ].

 

Komen dan Soalan