Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-8 dan Ke-9

Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-8 dan Ke-9

263
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat Ke-8

Allah SWT sambung lagi penerangan tentang Diri-Nya. Kalau Allah SWT tidak memberitahu kepada kita, tentu kita tidak tahu dan tidak akan kenal Dia.

لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ يُحيي وَيُميتُ ۖ رَبُّكُم وَرَبُّ ءآبائِكُمُ الأَوَّلينَ

Tiada ilah melainkan Dia; Dia lah Yang menghidupkan dan Yang mematikan; (Dia lah jua) Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu.

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

Tiada ilah melainkan Dia;

Tiada ilah lain yang berhak untuk kita buat ibadat dan yang perlu kita hinakan diri kita di depannya melainkan hanya kepada Allah SWT sahaja. Begitu juga tiada ilah yang menjadi tempat sandaran hati kita serta pengharapan kita melainkan kepada Allah SWT.

Oleh itu, jangan kita buat ibadat kepada ilah-ilah yang lain. Ilah adalah entiti yang kita buatkan ibadat kepada mereka. Sebagai contoh, kita hanya lakukan ibadat solat kepada Allah SWT sahaja termasuk ibadah lain iaitu doa, puja, zikir dan lain-lain lagi.

Jadi, jangan kita berdoa dan zikir kepada selain Allah SWT. Namun masyarakat kita melanggar kedua-dua perkara ini kerana mereka telah berdoa dan berzikir kepada selain daripada Allah SWT.

Mereka melakukan ibadat-ibadat lain lagi kepada entiti selain Allah SWT. Sebagai contoh, mereka akan memberi salam kepada Nabi, wali, malaikat pada malam hari sebagai amalan sesat mereka.

Mereka juga sedekah Al-Fatihah kepada Nabi ﷺ dan wali-wali itu padahal amalan itu tidak ada dalil langsung. Kenapa mereka buat? Ini disebabkan mereka telah diajar oleh guru yang salah faham, ramai dalam masyarakat sudah lakukan dan sebagainya.

Ingatlah bahawa agama ini kena ada dalil dan bukan seperti agama lain. Mereka ada ketua agama yang boleh mencipta sesuatu amalan baru dalam agama mengikut kehendak dan kesesuaian semasa, kata mereka.

📍Dalam agama kita, semuanya sudah diberitahu oleh Allah SWT dan Nabi ﷺ kepada kita. Adakah kita rasa agama kita tidak lengkap sampaikan kena ada penambahan baru?

يُحْيِي وَيُمِيتُ

Dia lah Yang menghidupkan dan Yang mematikan;

Ini adalah kuasa yang tidak ada pada mana-mana makhluk lain. Oleh itu, kepada-Nya sahaja kita sembah. Adakah makhluk lain yang boleh menghidup dan mematikan kita?

Tentu tidak ada. Kalau ada yang kata Malaikat Maut boleh mematikan kita, itu juga adalah syirik kerana Malaikat Maut mematikan kita dengan izin Allah SWT, bukan dengan kuasanya sendiri.

رَبُّكُمْ

(Dia lah) Rabb kamu

Dia lah sahaja Tuhan yang telah mencipta dan sedang memelihara kamu dan mentadbir alam ini. Itulah maksud Rabb. Maksud Rabb bukan ‘Tuhan’ sahaja. Allah SWT hendak memberitahu kita yang Dia lah yang mengurus dan menjaga kita. Memang selalunya diterjemah sebagai ‘Tuhan’ sahaja.

وَرَبُّ ءآبَائِكُمُ الْأَوَّلِينَ

dan Rabb datuk nenek kamu yang telah lalu.

Bukan sahaja Dia Tuhan kamu, tetapi Dia juga Tuhan kepada umat-umat terdahulu. Tok nenek kamu yang mengamalkan amalan dan ajaran yang salah itu juga Tuhan mereka iaitu Allah SWT. Mereka telah melakukan kesalahan, maka janganlah jadi seperti mereka.

📍Dari ayat pertama sampai ayat ini, Allah SWT memperkatakan tentang Diri-Nya. Banyak ayat-ayat dalam Al-Quran di mana Allah SWT memperkenalkan Diri-Nya berkali-kali supaya kita faham siapakah Dia.

Maka, untuk kenal Allah SWT kita kena membaca Al-Quran dan fahami Al-Quran, dengan cara belajar tafsir Al-Quran. Siapakah yang lebih layak lagi dari Allah SWT untuk memperkenalkan Diri-Nya? Oleh itu, tidak cukup kalau hanya belajar Sifat 20 untuk kenal Allah SWT. Sepatutnya kena belajar tentang Allah SWT dari Al-Quran dahulu.

Ada kemungkinan, Sifat 20 bukan memahamkan kita tentang Allah SWT, tetapi mengelirukan kerana ia ditulis dalam bentuk ilmu falsafah dan memang sifat falsafah ini berpusing-pusing ajarannya.

Ilmu falsafah adalah ilmu pemikiran yang berbelit-belit. Pusing sana dan sini sampai sudah tidak faham apa yang hendak disampaikan sebenarnya. Padahal cara Allah SWT memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Quran adalah dengan cara yang mudah. Kita sebagai manusia kena mengenali Allah SWT.

Jika hendak kenal Allah SWT perlu belajar menggunakan ajaran Sifat 20 yang berbelit-belit itu, adakah semua orang mampu? Maka tidak patut sekali belajar Sifat 20 itu.

Tafsir Ayat ke-9

Ayat ini adalah rungutan Allah SWT. Setelah Allah SWT beri segala hidayah, apakah yang manusia lakukan? Sepatutnya sudah jelas tentang tauhid kerana sudah banyak ayat yang memberitahu perkara ini. Namun, ada juga yang masih degil kerana syirik telah tebal dalam hati mereka.

بَل هُم في شَكٍّ يَلعَبونَ

(Mereka tidak meyakini kebenaran yang dijelaskan kepada mereka), bahkan mereka masih tenggelam dalam keraguan sambil bermain-main dengan perkara ugama.

بَلْ هُمْ فِي شَكٍّ

Bahkan mereka tenggelam dalam keraguan

Ini adalah rungutan Allah SWT. Sepatutnya mereka sembah dan ikut arahan Allah SWT, namun mereka tidak mahu ikuti sebaliknya buat tindakan yang lain.

📍Mereka juga seharusnya yakin dengan Allah SWT, tetapi mereka tidak begitu. Apa yang mereka buat? Kebanyakan manusia ragu-ragu tentang hal agama. Pertamanya, mereka ragu tentang Allah SWT kerana mereka tidak kenal Allah SWT dan tidak belajar agama dengan benar.

Mereka hanya tahu apa yang mereka dengar-dengar sahaja di antaranya, mereka buruk sangka dengan Allah SWT. Mereka sangka, kalau meminta doa sendiri kepada Allah SWT, doa itu tidak akan didengar dan diperkenankan oleh Allah SWT.

Berbagai alasan mereka berikan di antaranya kerana mereka banyak lakukan dosa, tidak pandai dalam agama dan berdoa. Alasan lain yang diberikan adalah tidak pandai bahasa Arab jadi tidak boleh berdoa dalam Arab. Ini kerana mereka hanya golongan biasa, bukan golongan keturunan Nabi, golongan Habib dan sebagainya.

Oleh itu, mereka minta melalui perantaraan seperti ustaz, guru dan tok wali. Mereka juga akan gunakan perantaraan tawassul seperti para Nabi dan para malaikat. Padahal, Allah SWT tidak pernah kata Dia tidak mendengar doa mereka. Sebaliknya, di dalam Al-Quran jelas ada disebutkan Allah SWT mendengar semua permintaan hamba-Nya.

Jadi, mereka sendiri yang pandai-pandai buat sangkaan bahawa Allah SWT pernah cakap begitu. Itu namanya ‘buruk sangka’. Kemungkinan juga mereka rasa, doa itu lebih makbul kalau didoakan beramai-ramai, maka dianjurkan solat Hajat berjemaah.

Kalau mendesak Allah SWT ramai-ramai, tentu akan dimakbulkan permintaan mereka. Tambahan pula buat solat itu sampai di padang, pantai, tapak pembinaan dan macam-macam lagi.

Konon hendak beritahu kepada Allah SWT: “Ya Allah, kami hendak buat binaan di sini lah”. Macamlah Allah SWT tidak tahu apa yang mereka hendak buat, itu sudah menghina Allah SWT. Padahal, itu semua tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ dan tidak pernah kita dengar diamalkan oleh para sahabat.

Maka, mereka yang menganjurkan solat Hajat dan terlibat sama dalam Majlis Solat Hajat adalah mereka yang jahil. Hanya membuat amalan ibadat ikut-ikut sahaja tanpa periksa.

Mereka yang jahil itu juga meragui tentang Al-Quran. Mereka menerima Al-Quran itu sebagai Kalam dari Allah SWT, namun mereka hanya membaca sekali sekala. Apabila di dalam majlis-majlis mereka, baru Al-Quran itu dibaca, walaupun mereka tidak percaya sebenarnya dengan ayat Al-Quran.

Dalam hati mereka, hukum-hukum dalam Al-Quran itu adalah hukum-hukum lapuk yang tidak sesuai pada zaman sekarang yang moden. Mereka anggap ajaran yang disampaikan adalah kisah-kisah zaman dulu yang tidak ada relevannya dengan zaman sekarang.

Maka undang-undang dan amalan-amalan baru direka kerana di dalam hati mereka berasa tidak cukup dengan Al-Quran dan agama yang telah dibawa oleh Nabi ﷺ.

Memang mereka tidak bercakap dengan mulut dan mungkin juga tidak terlintas di hati perkara ini. Namun dengan perbuatan mereka secara tidak langsung jelas menyatakan bahawa agama yang ada dalam Al-Quran ini masih tidak cukup lagi. Itulah maksudnya mereka ‘ragu dengan Al-Quran’.

Itu adalah contoh-contoh keraguan yang ada dalam diri manusia yang jahil tentang Al-Quran. Apabila kita ragu-ragu tentang sesuatu, kita tidak akan serius mengenainya.

Bayangkan kalau kita ragu-ragu sama ada tetamu kita akan datang atau tidak, tentunya kita tidak bersedia dengan persiapan makanannya. Sebaliknya kalau kita sudah pasti dia datang, sudah tentu akan buat segala persediaan.

Oleh itu, apabila ragu tentang Al-Quran, mereka tidak ambil pusing dengan Al-Quran. Mereka tidak berusaha hendak mencari tempat belajar tafsir. Mereka sudah rasa cukup walaupun mereka tidak tahu apa yang disampaikan dalam Al-Quran itu.

Orang yang kafir juga tidak tetap fikiran mereka. Kalau orang atheist itu, mereka tidak tetap dalam penolakan terhadap Tuhan. Walaupun tidak dinyatakan mereka tidak menerima kewujudan Tuhan, tetapi sekali sekala mereka tentu terfikir yang takkan dunia yang sebegini indah tidak ada penciptanya?

Begitu juga dengan golongan musyrikin. Mereka ada banyak ilah yang mereka sembah, tetapi dalam hati mereka tetap mereka terima yang hanya ada satu Tuhan sahaja.

يَلْعَبُونَ

sambil bermain-main

Kalau orang kafir itu ada terfikir tentang Tuhan, kenapa mereka tidak terus menerima Allah SWT? Ini adalah kerana mereka bermain-main di atas dunia ini. Mereka tidak serius mencari kebenaran, yang mereka mahu adalah kegembiraan dan kesenangan di dunia sahaja.

📍Begitu juga mereka yang tidak faham agama tetap bermain-main dengan perkara ugama. Kalimah ‘bermain’ digunakan dalam Al-Quran bagi bentuk ‘tidak bersungguh’ iaitu melakukan sesuatu sebagai hiburan sahaja.

Inilah yang banyak dilakukan oleh orang yang jahil agama ekoran kerana tidak mengetahui dalil dan bukti. Jadi, bila main-main itu menunjukkan mereka tidak yakin dengan agama. Menyebabkan mereka tidak berfikir tentang akhirat dan keesaan Allah SWT kerana, pada mereka itu bukan benda yang pasti.

Apabila main-main kita akan leka, macam budak main permainan mereka. Maka, manusia leka dengan kehidupan sampai tidak belajar agama. Sibuk main golf, jalan keliling dunia, main dengan anak-anak, membeli belah dan macam-macam lagi. Padahal belajar agama adalah fardu, wajib tetapi mereka buat tidak endah sahaja.

Mereka tidak ambil pusing tentang Al-Quran dan tentang agama. Macam tiada apa-apa sahaja kalau jahil tentang agama. Macam tidak ada salah kalau tidak belajar agama. Macam agama ini hanya perlu dipelajari oleh budak sekolah pondok, sekolah agama, ustaz dan golongan tertentu sahaja.

📍Padahal, agama ini wajib dipelajari oleh semua orang – lelaki mahupun perempuan. Maka, kalau kita tidak belajar agama, kita telah berdosa secara automatik. Tidak ada dalil yang orang jahil akan masuk ke syurga, tetapi yang masuk ke syurga adalah orang yang tahu tentang agama sahaja.

Bukan hendak salahkan orang yang jahil, tetapi kalau jahil agama, syaitan akan ambil peluang untuk menyesatkan orang itu sampai dia melakukan kesalahan yang menyebabkan dia masuk neraka.

Syaitan tidak akan biarkan manusia begitu sahaja. Mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyesatkan manusia dan kalau orang yang jahil, mereka akan tertipu. Mereka juga bermain-main dengan kata-kata dengan mengejek-ejek orang yang berdakwah kepada mereka, yang hendak mengamalkan agama dengan benar.

Apabila ada yang datang mengajar tentang tauhid, mereka ejek. Apabila ada yang datang memberitahu kesalahan bidaah yang mereka buat, mereka akan kata: ‘ini golongan Wahabi’.

Inilah dua perkara yang selalu terjadi dalam masyarakat kita tentang agama: syak dan bermain-main. Apabila kita ada syak tentang sesuatu, maka kita akan main-main tentangnya.

Perkara yang dikatakan dalam Al-Quran adalah perkara-perkara besar, tetapi kalau kita tidak percaya dengan bersungguh-sungguh, kita akan buat main sahaja.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 8-9)

📍Boleh jelaskan kedudukan orang seperti ini di akhirat di mana mereka diajar oleh guru yang salah. Adakah neraka tempatnya? Bagaimana kalau mereka buat sebab tidak mendapat ilmu yang betul? Adakah salah mereka juga kalau begitu? Adakah berdosa kita membiarkan mereka, kalau kita pula tidak ada kekuatan untuk menegur?

🔵Neraka adalah tempat mereka kalau tidak sempat taubat. Kewajipan manusia mencari ilmu yang benar. Kena belajar tafsir Al-Quran. Kalau tidak tegur, maka tidak menjalankan amar makruf nahi mungkar. Maka, berdosa juga kerana tidak jalankan tanggungjawab.

📍Ketika di sekolah saya terpaksa mengajar ikut silibus pendidikan Islam yang ada sifat 20. Adakah saya berdosa sekiranya saya tidak mengajar langsung sifat 20 ini kepada murid-murid dalam mengenal Allah SWT tetapi saya guna kaedah lain seperti yang ustaz terangkan dalam tafsir di atas.

🔵Apa hendak buat, sudah silibus sekolah. Harap akan ditukar kerana tidak cukup dengan belajar sifat 20. Hanya belajar sifat 20 nampak pelik akidah mereka: tuhan di mana-mana atau tuhan wujud tanpa tempat. Maka kena belajar juga akidah tauhid 3 dan kena belajar tafsir Al-Quran.

📍Banyak perkara bid’ah seperti solat hajat perdana, majlis selawat perdana semua masih dilakukan di sekolah.

🔵Itulah dia. Sekolah lagi sudah diajar bidaah. Sebab itu bila kita tegur, ramai melenting kerana benda sudah lama buat. Dari sekolah lagi sudah amalkan. Mereka akan kata: dari waktu sekolah aku dah buat, takkan salah?

📍Bagaimana hendak menegur walaupun sudah tahu sedikit apa yang betul apa yang salah. Bolehkah kalau menolak atau tidak setuju di dalam hati sahaja? Jika hendak tegur mesti mereka katakan bab benda baik apa salahnya?

🔵Itu iman paling lemah.

. ولو كان خيرا لسبقونا إليه

Sekiranya hal itu merupakan suatu hal yang baik, nescaya mereka akan mendahului kita semua dalam mengamalkannya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan