Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-43 hingga Ke-47

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-43 hingga Ke-47

694
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-43

Dalil Wahyi

فَاستَمسِك بِالَّذي أوحِيَ إِلَيكَ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.

فَاسْتَمْسِكْ بِالَّذِي أُوحِيَ إِلَيْكَ

Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu;

Kalimah اسْتَمْسِ bermaksud ‘berpegang dengan kuat sungguh’. Tidak lepaskan langsung. Pegang dengan kemas. Kita dapat tahu kerana kalimah اسْتَمْسِ adalah dalam wazan yang banyak huruf, maka ini menunjukkan peningkatan dari kalimah yang biasa.

Maknanya, bukan pegang biasa, tetapi pegang sungguh. Oleh itu jangan putus semangat berpegang dengan al-Quran, walau ramai yang menolak. Seramai mana jua yang menentang, tetap kena sampaikan juga kepada manusia. Walau apa pun terjadi, maka tetapkan pendirian kita dengan al-Quran ini.

Teruskan belajar tafsir untuk memahami ayat-ayat al-Quran. Maka akan bertambah keyakinan kita kepada al-Quran. Maknanya kita kena belajar Tafsir al-Quran, kena faham, selalu membaca, amalkan dan akhir sekali kena sebarkan serta ajar kepada orang lain.

Kalau setakat kita sahaja yang faham, masih tidak cukup lagi. Kena melakukan keseluruhan perkara itu barulah dikatakan berpegang sungguh dengan al-Quran itu. Kepada yang sudah belajar, kena selalu baca dan menelaah pelajaran tafsir yang mereka sudah pelajari kerana al-Quran ini perlu diulang-ulang dalam bentuk bacaan dan juga tadabbur.

Semakin banyak kita ulang, semakin banyak kita akan faham. Kita kena pastikan yang kehidupan kita mengikut aliran yang dikehendaki oleh Allah SWT. Maka hendaklah kita selalu periksa cara kehidupan dengan landasan al-Quran.

Untuk melakukannya, kita kena selalu baca al-Quran. Mungkin kita terjumpa perkara yang kita tidak lakukan lagi, atau kita jumpa kesalahan diri kita yang dilakukan kerana kita lupa kepada mana-mana ayat. Bila baca balik, baru teringat dan baru betulkan diri balik.

إِنَّكَ عَلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus

Selagi berpegang dengan al-Quran, kita akan berada atas jalan yang lurus. Maka, kalau orang kita yang buat tidak kisah dengan al-Quran, bagaimana? Adakah cukup dengan membaca sahaja, tetapi tidak faham? Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda kena sampaikan wahyu kepada manusia kerana baginda telah berada di atas jalan yang benar tetapi kita kena baca ianya ditujukan kepada kita juga.

Kalau kehidupan kita sama seperti yang dilandaskan dengan al-Quran, maka kehidupan kita di atas jalan yang lurus. Itu kalau kehidupan kita adalah selari dengan al-Quran. Jika Nabi Muhammad SAW, memang sudah selari. Kita selalu meminta jalan yang lurus di dalam surah al-Fatihah, dan kita baca setiap hari doa permintaan kepada jalan yang lurus itu dalam solat kita.

Ketahuilah, hanya dengan al-Quran ini sahajalah yang dapat membawa kita di atas jalan yang lurus itu. Al-Quran inilah yang boleh memandu kita ke jalan yang lurus. Masalahnya, ada yang rasa mereka berpegang dengan al-Quran berdasarkan apa yang disebut oleh guru dan ustaz mereka.

Mereka sendiri tidak belajar tafsir kerana mereka kata mereka ‘tidak layak’ hendak belajar Tafsir al-Quran. Al-Quran itu mereka kata, memerlukan ilmu yang tinggi untuk mula belajar. Mereka kata, orang yang tahap ustaz sahaja yang boleh faham. Malah, mereka kata ustaz juga belum tentu boleh faham al-Quran.

Jadi mereka sangka apa yang diajar oleh guru dan ustaz mereka itu sudah sama dengan kehendak al-Quran. Itu adalah sangkaan mereka sahaja. Mereka tidak tahu yang ustaz mereka sendiri juga tidak belajar dan tidak pegang ajaran dalam al-Quran sebab ustaz itu sendiri tidak belajar al-Quran.

Ustaz mereka itu pula sangka guru kepada guru mereka ikut al-Quran juga. Semuanya atas sangkaan. Mereka sangka, kerana status seseorang itu ‘ustaz’, tentunya dia sudah belajar dan faham al-Quran atau mereka sangka sudah tentu amalan dan aqidah ustaz mereka itu bertepatan dengan al-Quran.

Belum tentu lagi sebenarnya sebab kena periksa betul-betul dan tanya dia sendiri, sudah belajar tafsir al-Quran ke belum? Kalau dia sendiri tidak belajar tafsir al-Quran, maka dia sendiri sudah ada masalah.

Tafsir Ayat ke-44

Manusia akan ditanya tentang al-Quran nanti di akhirat. Apakah yang hendak dijawab kalau tidak belajar tafsir al-Quran?

وَإِنَّهُ لَذِكرٌ لَّكَ وَلِقَومِكَ ۖ وَسَوفَ تُسئلونَ

Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan).

وَإِنَّهُ لَذِكْرٌ لَّكَ وَلِقَوْمِكَ

Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan peringatan kepadamu dan kepada kaummu;

Peringatan dalam al-Quran diberikan kepada manusia kerana manusia selalu lupa. Oleh itu, mereka akan diingatkan berkali-kali di dalam al-Quran. Sebab itulah kita kena selalu membaca al-Quran supaya kita sentiasa diingatkan. Jangan bila sudah habis belajar kita sudah sangka yang kita sudah faham semuanya.

Ini juga bermaksud ‘arahan’ kepada kita. al-Quran itu mengandungi hukum dan arahan yang perlu kita ikuti. Maka untuk ikuti arahan dalam al-Quran, kenalah faham dulu, bukan? Ramai orang kata mereka taat dengan agama, mahu taat kepada al-Quran tetapi kalau tidak belajar lagi, macam mana mereka hendak tahu apakah yang perlu ditaati?

Ini juga bermaksud kita perlulah menggunakan al-Quran itu untuk mengingati Allah SWT. Ini kerana dalam ayat-ayat al-Quran, banyak disebutkan tentang Allah SWT. Dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang. Setiap ayat Al-Quran akan mengingatkan kita kepada Allah SWT dan juga memberi isyarat kepada kita bahawa al-Quran ini perlulah menjadi zikir kita. Sebaik-baik zikir adalah dengan menggunakan ayat al-Quran.

Zikir Nabi selalunya adalah ayat-ayat al-Quran. Malangnya, masyarakat kita ramai yang menggunakan zikir-zikir lain dan kurang menggunakan al-Quran. Zikir-zikir lain itu, mereka sanggup baca beratus dan beribu kali, tetapi al-Quran mereka tidak gunakan sebagai zikir mereka.

Tambah malang lagi, ramai yang menggunakan zikir yang tidak diajar oleh Nabi SAW. Itu sudah jadi bidaah. Mereka tinggalkan yang lebih baik dan buat pula benda yang patut mereka lakukan.

Untuk menjadikan al-Quran itu sebagai zikir, kita sepatutnya menghafal al-Quran itu. Supaya di mana-mana sahaja, kita boleh terus membaca ayat al-Quran, jadi tidak perlu ada mushaf al-Quran tetapi berapa banyak ayat yang kita hafal. Semoga ini menjadi motivasi kepada kita untuk menghafal al-Quran sebanyak mungkin.

Mungkin bukanlah jadi hafiz, tetapi sekurangnya adalah surah-surah yang kita boleh jadikan bacaan harian kita semasa sedang memandu, sedang berjalan dan sebagainya. Ayat ini juga memberi isyarat bahawa dengan al-Quran, ia akan memuliakan kita kerana kita akan diingati.

Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad SAW itu diingati dan disebut-sebut sampai ke hari ini kerana al-Quran. Al-Quran itu telah menjadi penghormatan kepada Nabi SAW dan juga kepada sahabat baginda. Oleh kerana mereka telah memegang Al-Quran itu dengan kemas, mereka telah dapat memerintah dunia satu masa dahulu. Mereka telah sebarkan al-Quran ini ke merata tempat sampai ia telah sampai kepada kita dan kerana itulah, kita berterusan menyebut nama mereka.

Ya, Islam suatu waktu dulu memang kuat dan terkenal kerana mereka rapat dan mengamalkan ajaran al-Quran tetapi lihatlah apabila muslim sudah meninggalkan ajaran al-Quran, kita tidak ada nilai lagi di mata dunia. Kita diperlekehkan, tidak dipandang tinggi. Memang benarlah al-Quran itu telah meninggikan nama baginda.

Nampak sekali pandang macam wahyu al-Quran itu telah menyusahkan Nabi SAW tetapi sebenarnya ia menaikkan nama baginda dan nama orang Arab juga turut naik. Orang sanjung para sahabat Nabi SAW itu sampai sekarang dan orang Arab itu juga terkenal di dunia sampai sekarang.

Sedangkan waktu Nabi SAW dulu dunia tidak kisah jua tentang mereka. Semua itu dengan berkat al-Quran. Al-Quran itu bukan untuk Nabi SAW sahaja tetapi untuk umatnya juga. Maka kalau kita mengaku yang kita ini adalah umat Nabi Muhammad SAW, maka kita hendaklah menjadikan al-Quran itu sebagai peringatan untuk kita.

وَسَوْفَ تُسْئلُونَ

dan kamu akan ditanya kelak

Ini adalah ayat amaran kepada kita. Kita akan ditanya tentang apa yang kita buat dengan al-Quran ini? Adakah kita telah belajar tentang isi kandungannya dan telah amalkan? Kita akan ditanya di akhirat kelak sama ada kita telah menunaikan hak yang dituntut atas kita seperti yang tertulis dalam al-Quran ini.

Kalau tidak belajar, bagaimana hendak tahu? Bukan itu sahaja, kita juga akan ditanya sama ada kita sudah sampaikan ajaran al-Quran ini kepada orang lain atau tidak?

Ini adalah soalan yang berat sekali kerana ramai yang tidak berdakwah. Mereka kalau belajar , mereka akan belajar sendiri sahaja. Mereka tidak ajak orang lain belajar sekali kerana mereka rasa malu. Takut orang kata mereka ‘pelik’ pula kerana belajar tafsir al-Quran.

Mereka tidak berani hendak tegur kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Orang lain buat salah yang bertentangan dengan al-Quran, mereka lihat sahaja dan tidak tegur. Nanti kita akan ditanya nanti: kenapa kamu tidak tegur? Kenapa kamu biarkan sahaja dia buat benda yang salah? Apa yang kita hendak jawab di hadapan Allah SWT nanti apabila Allah SWT tanya kita tentang semua soalan-soalan itu?

Tafsir Ayat ke-45

Dalil Naqli Ijmali (kerana tidak disebut nama Rasul)

وَاسئل مَن أَرسَلنا مِن قَبلِكَ مِن رُّسُلِنا أَجَعَلنا مِن دونِ الرَّحمٰنِ ءآلِهَةً يُعبَدونَ

Dan bertanyalah kepada mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu; pernahkah Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain dari Allah Yang Maha Pemurah.

وَاسْئلْ مَنْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رُّسُلِنَا

Dan tanyalah kepada mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu;

Macam mana hendak tanya kepada Rasul-rasul itu, sedangkan para Rasul yang terdahulu itu semuanya sudah wafat? Maknanya, Nabi Muhammad SAW disuruh tanya kepada pengikut-pengikut mereka kerana ada orang Yahudi dan Nasrani di kalangan mereka.

Tanya kepada mereka, adakah Rasul-rasul mereka dulu pernah suruh kaumnya menyembah ilah selain Allah SWT? Tentu tidak pernah. Mereka tidak dapat menipu kerana kitab-kitab yang diutuskan kepada Rasul-rasul itu masih ada lagi. Boleh diperiksa jikalau mereka menipu.

Satu lagi pendapat mengatakan yang Nabi SAW disuruh tanya terus kepada Rasul-Rasul itu semasa baginda mi’raj ke langit. Bukankah Nabi Muhammad SAW telah dapat bertemu dengan Rasul-Rasul yang dahulu semasa baginda mi’raj atau, ia sebagai isyarat bahawa, kalaulah Nabi Muhammad SAW tanya mereka juga, jawapan yang sama akan diberikan – tidak langsung ada ilah lain untuk disembah. Maknanya, tidak perlu tanya sudah tahu.

أَجَعَلْنَا مِن دُونِ الرَّحْمَٰنِ ءآلِهَةً يُعْبَدُونَ

pernahkah Kami menjadikan selain dari Allah Yang Maha Pemurah, sebarang ilah untuk disembah?

Pernahkah Nabi-nabi dahulu suruh umat mereka menyembah ilah yang lain? Adakah di dalam Injil dan Taurat ada suruh? Tentu mereka menidakkannya kerana semua Rasul membawa ajaran tauhid yang sama.

Tafsir Ayat ke-46

Ini adalah jenis Dalil Naqli Tafsili kerana ada disebut nama Nabi Musa a.s. Walaupun surah ini adalah surah Makkiyyah tetapi mungkin masyarakat Mekah sudah tahu serba sedikit tentang Nabi Musa kerana mereka dulu juga ada agama. Ini kerana mereka kata mereka ikut Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tetapi mereka tidak tahu kisah baginda secara terperinci kerana mereka cetek agama.

وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِئآيٰتِنا إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيهِ فَقالَ إِنّي رَسولُ رَبِّ العٰلَمينَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami, kepada Firaun dan kaumnya, lalu dia berkata: “Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam”.

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِئآيٰتِنَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإيهِ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa tanda-tanda (mukjizat-mukjizat) Kami, kepada Firaun dan kaumnya,

Tanda yang dimaksudkan adalah mukjizat-mukjizat. Nabi Musa telah menunjukkan mukjizat baginda bagaimana tongkat baginda menjadi ular dan apabila baginda memasukkan tangan ke ketiak baginda, tangannya itu bercahaya.

‘Firaun’ adalah nama gelaran yang diberikan kepada pemerintah Mesir sahaja, dan dikatakan yang nama Firaun semasa zaman Nabi Musa yang sebenar adalah al-Walid. Nabi Musa telah menunjukkan mukjizat-mukjizat itu kepada Firaun tersebut dan pembesar-pembesarnya, iaitu ahli kabinet beliau yang terdiri dari ahli keluarganya juga.

Walaupun disebut Musa diutuskan kepada ‘Firaun dan pembesar-pembesarnya’, ia merangkumi semua rakyat sekali kerana pengikut akan mengikut pemimpin. Pengikutnya itu semuanya taat kepada agama Firaun kerana manusia mengikut agama ketua mereka.

فَقَالَ إِنِّي رَسُولُ رَبِّ الْعٰلَمِينَ

lalu baginda berkata: “Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam”.

Nabi Musa disuruh untuk memperkenalkan diri baginda kepada Firaun. Memang kena kenalkan kedudukan baginda. Memang dulu baginda adalah anak angkat Firaun dan duduk di istana tetapi sekarang, baginda sudah diutuskan sebagai Rasul. Status sudah berlainan maka kena kenalkan diri balik kerana sekarang Nabi Musa datang sebagai Nabi dan Rasul.

Tafsir Ayat ke-47

Selepas Nabi Musa menyampaikan dakwah kepada mereka, apa tindakan mereka?

فَلَمّا جاءَهُم بِئآيٰتِنا إِذا هُم مِّنها يَضحَكونَ

Maka apabila ia datang kepada mereka dengan membawa tanda-tanda kekuasaan Kami, mereka dengan serta-merta mencemuh dan menggelakkan (apa yang dibawanya) itu.

فَلَمَّا جَاءَهُم بِئآيٰتِنَا

Maka apabila dia datang kepada mereka dengan membawa tanda-tanda kekuasaan Kami,

Nabi Musa telah datang dengan membawa mukjizat-mukjizat kepada mereka; baginda juga telah menyampaikan ajaran wahyu yang telah dipelajarinya dari bapa mertuanya, Nabi Syuaib a.s. (mengikut satu pendapat) dan wahyu yang baginda dapat terus dari Allah SWT.

Wahyu itu belum lagi Taurat kerana baginda hanya dapat Taurat apabila baginda telah menyeberang lautan selepas melarikan diri dari Firaun. Jadi ini adalah wahyu yang baginda dapat terus dari Allah.

إِذَا هُم مِّنْهَا يَضْحَكُونَ

mereka dengan serta-merta menggelakkan (apa yang dibawanya) itu.

Mereka ketawa kerana mengejek-ngejek dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa. Mereka turut mempersendakan kerana mereka degil, memperlekehkan apa yang dibawa oleh baginda, memandang rendah dan anggap remeh semua tanda-tanda itu dan wahyu-wahyu Nabi Musa.

Samalah juga seperti yang dilakukan kepada Nabi Muhammad SAW oleh Musyrikin Mekah. Perkara yang sama juga turut dilakukan kepada penyebar tauhid zaman sekarang. Mereka yang degil akan tetap tolak ajaran tauhid dan mempersendakan mereka yang membawanya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan