Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-41 hingga Ke-43

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-41 hingga Ke-43

255
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Dalam ayat ke-40, kita telah belajar bagaimana sesiapa yang telah dizalimi boleh meminta supaya dijalankan hukum qisas kepada orang yang menzaliminya.

Tafsir Ayat Ke-41:

وَلَمَنِ انتَصَرَ بَعدَ ظُلمِهِ فَأُولٰئِكَ ما عَلَيهِم مِّن سَبيلٍ

 Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka.

وَلَمَنِ انتَصَرَ بَعْدَ ظُلْمِهِ

Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi,

Iaitu mereka yang mengambil tindakan dengan melaporkan kepada pihak yang berwajib tentang kesalahan yang dilakukan ke atas dirinya – supaya dia boleh balas balik kesalahan yang telah dilakukan.

فَأُولَٰئِكَ مَا عَلَيْهِم مِّن سَبِيلٍ

maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka.

Mereka tidak bersalah kalau mereka hendak mengambil tindakan balas. Mereka tidak ada dosa.

Tidak ada jalan atau hujah untuk kita menyalahkan mereka. Memang ada anjuran untuk memaafkan, tetapi itu hanya anjuran.

Dan ianya adalah anjuran yang berat, sampaikan Allah SWT kata balasan yang akan diberikan adalah ‘atas Diri-Nya’ untuk membalas kebaikan memaafkan itu. Kalau mereka dapat tahan sabar dan tidak balas, mereka akan dapat pahala yang amat besar.

Tetapi, dalam masa yang sama, orang yang dizalimi ada hak untuk membalas dendam.

Jangan pula kita paksa atau pujuk mereka untuk maafkan. Jangan kata mereka teruk kalau mereka hendak balas juga.

Mereka ada hak yang telah diberikan dalam Islam. Jangan kita cakap kepada mereka: “Kenapa kau nak balas juga, bukankah sesama Islam itu baik untuk memaafkan? Teruklah kau ini”.

Hati manusia kita tidak tahu. Ada orang yang tidak selesai dalam dirinya sehinggalah dia melihat orang yang menzaliminya dibalas. Allah SWT tahu isi hati manusia.

Kerana itulah Allah telah berikan mereka ruang untuk membalas balik. Jadi kalau dia hendak balas juga, maka jangan salahkan dia.

Tafsir Ayat Ke-42: Takhwif Ukhrawi

إِنَّمَا السَّبيلُ عَلَى الَّذينَ يَظلِمونَ النّاسَ وَيَبغونَ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.

إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ

Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia

Mereka yang mula-mula melakukan kezaliman dan gangguanlah yang patut disalahkan dan dihukum.

Apa yang mereka lakukan itu memang satu kesalahan dan dosa yang berat. Bukannya orang yang hendak membalas balik yang bersalah.

وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

dan menindas di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar.

Iaitu orang yang besar, yang berkuasa, yang bermaharajalela di atas muka bumi ini. Mereka melakukan perkara yang tidak ada alasan yang haq dan benar.

Mereka buat hal mereka sendiri sahaja. Orang-orang seperti ini tidak patut dibiarkan sahaja.

أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.

Di dunia lagi mereka boleh dikenakan dengan hukuman – hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir.

Dan di akhirat nanti, mereka juga akan dikenakan dengan azab Allah.

Tafsir Ayat Ke-43

Allah menganjurkan sekali lagi untuk memaafkan. Allah puji mereka yang berbuat begitu.

وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذٰلِكَ لَمِن عَزمِ الأُمورِ

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang memerlukan keazaman.

وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ

Dan orang yang bersabar dan menutup kesalahan

Iaitu mereka yang memaafkan kesalahan orang terhadapnya.

Tetapi, selepas dia memaafkan kesalahan itu, dia tidak menceritakan kesalahan orang yang telah melakukannya. Itulah maksud غَفَرَ – menutupi kesalahan itu. Tutup kes.

Kerana manusia ada yang suka memberitahu semua orang tentang kejahatan yang telah dilakukan oleh orang lain.

Sebagai contoh, katakanlah ada pencuri yang masuk rumah kita. Kita pun tangkap. Tengok-tengok, rupanya dia adalah anak kawan sekampung dengan kita.

Kita pun tidak mahu panjangkan, maka kita suruh dia balik rumah dan pesan supaya dia jangan buat lagi kerja macam itu.

Maknanya, kita telah maafkan dia. Tetapi esok, janganlah pula cerita kisah itu di kedai kopi kampung – sebab semalam telah maafkan, bukan?

Apabila kita telah maafkan, kita tidak boleh hendak pukul canang keliling kampung yang budak itu masuk rumah kita malam semalam hendak mencuri.

Itu adalah satu kesalahan. Kerana kita telah maafkan, tetapi ada pula usaha kita untuk memalukannya.

إِنَّ ذَٰلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

sesungguhnya yang demikian itu memerlukan keazaman.

Ia adalah satu perbuatan yang mulia. Ia memerlukan kekuatan hati – keazaman yang kuat.

Allah SWT puji mereka yang boleh buat begitu. Bukan senang hendak buat. Allah SWT tambah huruf ل dalam لَمِنْ sebagai penegasan. Kenapa?

Kerana bukan senang hendak maafkan dan sembunyikan dan buat senyap dengan apa yang telah dilakukan oleh pesalah itu.

Kalau tidak ada azam, kita tidak mampu hendak melakukannya. Tetapi lihatlah bagaimana balasan yang Allah SWT telah janjikan – ia ‘ke atas Allah’.

Kita memang disuruh bersabar dalam banyak keadaan. Apabila kita ditimpa musibah, kita memang disuruh sabar. Sebagai contoh, anak sakit, kereta rosak, rumah kena banjir dan sebagainya.

Dan memang sabar adalah satu-satunya pengubat jiwa waktu itu. Sebab tidak ada jalan lain.

Tetapi apabila kita dizalimi dan kita ada peluang untuk membalasnya, tetapi kita sabar, itu memang satu perbuatan yang amat besar. Sebab kita ada pilihan.

Dan tidak salah pun kalau kita ambil tindakan. Sebab itulah Allah SWT beri penekanan huruf ل dalam لَمِنْ.

Dalam undang-undang Islam, kuasa pemaafan di tangan orang yang dizalimi, bukan mahkamah.

Terbalik dengan undang-undang buatan manusia. Mahkamah atau pemimpin yang bagi pemaafan (dipanggil clemency). Ini tidak patut, ahli keluarga tidak redha.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan