Utama UiTO: Soal-Jawab agama bersama ustaz Abu Basyer Sah kah Solat Jumaat tanpa Mendengar Khutbah?

Sah kah Solat Jumaat tanpa Mendengar Khutbah?

599
0
Iklan

Sah kah solat Jumaat tanpa mendengar Khutbah?

Soalan

Tadi saya ada menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di kawasan Cyberjaya.

Masalahnya, saya langsung tidak dapat mendengar khutbah. Setelah beberapa lama, saya lihat, telah sampai waktu untuk mendirikan solat. Soalan saya, sah kah solat Jumaat saya tadi ustaz? Saya tidak dapat mendengar khutbah kerana sistem ‘speaker’ masjid tidak jelas, dan tiada paparan pada TV. Saya maklum bahawa syarat sah solat Jumaat perlu mendengar 2 khutbah.

Jawapan:

Di dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan orang beriman (khususkan kepada kaum lelaki) agar segera menuju ke masjid untuk mendengar khutbah apabila sahaja mendengar seruan azan untuk solat Jumaat. Mereka dikehendaki meninggalkan segala urusan mereka (jual-beli dan sebagainya).

Setelah selesai solat Jumaat, mereka boleh kembali kepada urusan mereka. Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari jumaat, hendaklah kamu segera untuk mengingati Allah dan tinggalkanllah jual-beli. Itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Kemudian apabila selesai solat, bolehlah kamu bertebaran di muka bumi…” [ Surah al-Jumu’ah: 9 dan 10 ].

Menurut  ulama’; maksud segera untuk mengingati Allah dalam ayat di atas ialah; segera untuk mendengar khutbah Jumaat dan melakukan solat Jumaat selepasnya.(1)

Arahan Allah SWT “dan tinggalkanlah jual-beli” menunjukkan bahawa segala jenis akad dan mu’amalah wajib ditinggalkan apabila mendengar azan Jumaat. Masih menyibukkan diri dengannya pada ketika itu adalah haram di sisi Syariat.(3).

Menurut mazhab Syafiie; orang yang wajib menghadiri solat Jumaat, apabila matahari telah tergelincir dari tengah langit, makruh dia masih berjual-beli atau melakukan sebarang urusan yang menyibukkannya dari segera hadir mendengar khutbah Jumaat. Namun apabila imam sudah berada di atas mimbar dan muazzin mula melaungkan azan, segala urusan tersebut menjadi haram (berdosa).(4)

Menurut Imam Malik dan Imam Ahmad; jual-beli yang dilakukan setelah azan Jumaat bukan sahaja haram, akan tetapi fasad (tidak sah).

Menurut mazhab Syafiie; sekalipun haram, namun akad masih sah.(5)

Kesimpulannya, hadir lewat ke majlis solat Jumaat hingga ketinggalan dari khutbah Jumaat, perbuatan itu adalah dilarang kerana ia menyalahi arahan Allah SWT dalam al-Quran. Adapun solat Jumaat, menurut ulama’; seseorang itu dikira solat Jumaatnya jika dia sempat mendapat satu rakaat bersama imam. Jika dia datang lewat hingga tidak mendapat satu rakaat bersama imam, solat Jumaat tidak dikira baginya dan dia wajib menyambung solatnya menjadi solat zohor (yakni mencukupkan solat hingga 4 rakaat).(6)

Menurut fatwa Syeikh Dr. Muhammad Bakar Ismail; orang yang mengerjakan solat Jumaat tanpa mendengar khutbah sedikit pun; solat Jumaatnya sah, namun tidak berpahala kerana pahala solat Jumaat dikira bersekali dengan mendengar khutbah.

Tetapi jika makmum tidak dapat mendengar khutbah disebabkan “sound” sistem masjid rosak tetap sah solat Jumaatnya dan mendapat pahala kerana bukan dia sengaja tidak mahu mendengar khutbah.

Wallahu a’lam.

 

Nota:

(1) Lihat; Tafsir an-Nasafi, tafsir al-Qurtubi (pandangan Imam Ibnu al-‘Arabi), Ahkam al-Quran (al-Kiya al-Harrasi), Tafsir Ayatil Ahkam (Syeikh ‘Ali as-Sayis) (1/768) dan Tafsir Ayaatil Ahkam (Syeikh ‘Ali as-Sobuni) (2/632).

(2) Ahkam al-Quran, al-Kiya al-Harasi (surah al-Jumu’ah, ayat 9).

(3) Tafsir Ayatil Ahkam (Syeikh ‘Ali as-Sayis) (1/768).

(4) al-Majmuk, Imam an-Nawawi (4/500).

(5) Ahkam al-Quran, al-Kiya al-Harasi (surah al-Jumu’ah, ayat 9), al-Majmuk, Imam an-Nawawi (4/500-501) dan Tafsir Ayaatil Ahkam (Syeikh ‘Ali as-Sobuni) (2/643).

(6) at-Taqriraat as-Sadidah (Syeikh ‘Ali al-Kaf), hlm. 339.

Komen dan Soalan