Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-49 dan Ke-50

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-49 dan Ke-50

1004
0
Iklan

 

Tafsir Ayat Ke-49

Ini adalah ayat Syikayah (rungutan). Sekarang Allah SWT menceritakan sifat-sifat orang-orang yang kufur itu. Bagaimanakah psikologi mereka dalam menghadapi masalah dan dugaan dalam hidup?

لا يَسأَمُ الإِنسانُ مِن دُعاءِ الخَيرِ وَإِن مَسَّهُ الشَّرُّ فَيَئوسٌ قَنوطٌ

Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau dia ditimpa kesusahan maka menjadilah dia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya.

لَا يَسْأَمُ الْإِنْسَانُ مِنْ دُعَاءِ الْخَيْرِ

Tidak jemu-jemu insan itu berdoa untuk kebaikan;

Mereka sentiasa mahukan kebaikan datang kepada mereka. Mereka mahu rumah cantik, duit banyak, kesihatan yang baik dan sebagainya. Mereka tidak jemu-jemu mengharap semua itu. Tidak jemu-jemu mereka berdoa. Mereka tidak jemu hendak mendapatkan harta dan kesenangan di dunia. Kalau mereka yang kafir, mereka akan tetap rajin berdoa kepada tuhan sembahan mereka seperti berhala, dewa, dan sebagainya.

Dan banyak yang Allah SWT telah berikan kepada mereka kerana Allah SWT Maha Pemurah. Dan apabila diberikan kebaikan kepada mereka, mereka tidak bersyukur pun. Mereka perasan mereka layak dapat nikmat itu, maka mereka tidak bersyukur.

Ini dinamakan ‘kufur nikmat’. Iaitu pakai nikmat Allah SWT tetapi tidak bersyukur kepada Allah SWT. Ini adalah perangai orang kafir. Maka, kita sebagai orang Islam, jangan jadi begini. Apabila Allah SWT telah berikan nikmat kepada kita, jangan kita lupa bahawa itu adalah pemberian dari Allah SWT.

Mereka yang tidak beriman itu hanya doa tentang hal dunia sahaja. Ini mengajar kita supaya kita jangan doa untuk kebaikan dunia sahaja. Orang kafir itu hanya minta panjang umur, sihat tubuh badan dan rezeki sahaja tetapi mereka tidak minta kebaikan di akhirat. Memang boleh minta kebaikan dunia, tetapi jangan minta itu sahaja. Kerana kebaikan akhirat lebih penting dari kebaikan dunia.

وَإِنْ مَسَّهُ الشَّرُّ

Dan apabila dirasakan kepada mereka bala,

Apabila perkataan إِنْ digunakan, itu menunjukkan perkara itu jarang-jarang berlaku. Selalunya mereka akan dapat kebaikan, tetapi sekali-sekala mereka akan diberikan dengan kesusahan. Itu pun sebagai ujian sahaja. Allah SWT memang akan mengenakan ujian kepada makhluk-Nya. Dan dunia ini memang tempat ujian pun.

Tambahan pula, perkataan yang digunakan adalah مَسَّ (dirasakan), iaitu bermaksud ‘rasa sedikit’. Bukanlah masalah yang diberikan kepada mereka itu masalah yang besar sangat pun.

فَيَئُوسٌ

mereka putus asa

Mereka rasa nasib mereka akan terus malang. Mereka tidak nampak kebaikan akan datang kepada mereka di masa hadapan hanya kerana waktu itu mereka bernasib malang.

Padahal, nasib masih boleh berubah lagi. Namun, Allah SWT menceritakan sifat mereka yang tidak beriman. Apabila mereka dapat nasib yang teruk, mereka terus ingat sampai bila-bila mereka akan jadi begitu. Mereka tidak mengharap kepada Allah SWT.

قَنُوطٌ

hilang daya usaha;

Mereka putus asa sampai tidak boleh buat kerja. Tidak boleh berusaha lagi. Mereka bersifat pesimistik sungguh. Mereka akan baring sahaja di rumah, menangisi nasib mereka.

Mereka akan kata: “kenapalah nasib aku ini malang sangat?”, “Kenapalah Tuhan buat aku jadi begini?”. Mereka hanya menangisi nasib sahaja, tidak buat apa-apa. Mereka tidak buat apa-apa usaha untuk mengubah kedudukan mereka. Mereka hanya menyerah kepada takdir sahaja.

Jadi, ini adalah perangai orang kufur, maka kita jangan buat perangai seperti ini.

Mereka lupa kepada Allah SWT, mereka tidak berpaling kepada Allah SWT. Sepatutnya, apabila masalah menimpa, waktu itulah kita kembali buat baik, kembali buat amal ibadat yang baik, berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah SWT supaya Allah SWT berikan kebaikan kembali kepada kita. Tetapi mereka tidak begitu. Mereka jadi murung, hanya menangisi masalah yang mereka hadapi itu.

Kita kena ada usaha dalam hidup kita. Kalau kita kena buang kerja, kita kena usaha untuk mendapatkan pekerjaan baru. Kalau kita ditinggalkan kekasih, isteri, suami dan sebagainya, itu bukan penghujung hidup. Kita masih boleh lagi dapat pengganti mereka. Boleh lagi kita usaha untuk dapat pasangan hidup yang baru. Seperti kata pepatah Melayu: bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor.

Tetapi, orang yang tidak beriman, mereka terus sangka mereka tidak akan dapat pasangan lain. Mereka ingat hendak mati sahaja, mereka rasa lebih baik mereka mati sahaja. Sampai ada juga yang bunuh diri.

Sepatutnya kita usaha seboleh mungkin dan serahkan nasib kita kepada Allah SWT. Dan jangan lupa berdoa kepada Allah SWT. Berdoa terus kepada Allah SWT, jangan minta orang lain doakan untuk kita. Itu juga adalah tawassul yang tidak patut dilakukan. Jangan minta tok imam doakan, guru doakan atau sesiapa sahaja, doa terus sahaja kepada Allah SWT. Jangan bertawassul kepada Nabi, wali atau malaikat dalam doa kita. Jangan lupa yang surah-surah Hamim Tujuh ini adalah tentang berdoa dan seru terus kepada Allah SWT sahaja tanpa melalui perantara.

Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah dalam berdoa. Musyrikin Mekah dulu, mereka seru kepada roh-roh wali, Nabi dan malaikat untuk minta diselesaikan masalah mereka. Apabila masalah tidak selesai, mereka akan putus asa dengan roh-roh pujaan itu dan kembali berdoa kepada Allah SWT.

Mereka memang ada berdoa kepada Allah SWT dalam hal yang besar tetapi dalam hal-hal kecil, mereka akan berdoa kepada roh-roh pujaan mereka yang selain dari Allah SWT. Sebab pada mereka, Allah SWT telah beri sebahagian dari kuasa mengurus kepada makhluk-Nya yang terpilih.

Tetapi dalam mereka minta kepada roh-roh pujaan itu, kadangkala tidak selesai pun masalah mereka dan tidak menjadi perkara yang mereka minta. Maka mereka pun doa terus kepada Allah SWT dan ada yang Allah SWT makbulkan. Namun, apabila selesai masalah mereka itu, atau mereka dapat yang mereka kehendaki, mereka tidak kata perkara itu selesai kerana Allah SWT tetapi mereka kata ia dari sebab lain.

Puak musyrikin memang tidak jemu meminta kepada sembahan-sembahan mereka untuk kebaikan dunia. Macam-macam cara mereka akan lakukan untuk mendapatkannya. Tapi bila masalah tak selesai, mereka jadi putus asa dan putus harap.

 

Tafsir Ayat Ke-50

Ini sambungan sikap mereka dari ayat sebelum ini:

وَلَئِن أَذَقناهُ رَحمَةً مِنّا مِن بَعدِ ضَرّاءَ مَسَّتهُ لَيَقولَنَّ هٰذا لي وَما أَظُنُّ السّاعَةَ قائِمَةً وَلَئِن رُجِعتُ إِلىٰ رَبّي إِنَّ لي عِندَهُ لَلحُسنىٰ ۚ فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذينَ كَفَروا بِما عَمِلوا وَلَنُذيقَنَّهُم مِن عَذابٍ غَليظٍ

Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah dia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah dia (dengan sikap tidak bersyukur): “Ini ialah hak ku (hasil usaha ku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhan ku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisi-Nya (seperti kesenangan ku sekarang ini)!” Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.

Salah satu fahaman al-Jabariah adalah Allah SWT tidak mengiktiraf usaha manusia. Jadi, seseorang yang berfahaman al-Jabariah mereka tidak perlu berusaha. Pada mereka, usaha mereka tidak ada nilai langsung. Semua mereka letak kepada Allah SWT. kalau sakit, salahkan Allah SWT, kalau gagal ‘exam’, mereka kata Allah SWT yang bagi gagal. Padahal, mereka tidak jaga kesihatan, tidak belajar.

وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ رَحْمَةً مِنَّا

Dan sekiranya Kami beri dia suatu rahmat dari Kami

Rahmat yang dimaksudkan adalah rahmat am, iaitu rahmat yang semua orang boleh dapat. Tidak kira sama ada mereka itu beriman atau tidak.

Allah SWT ingatkan kita dalam ayat ini bahawa nikmat itu sebenarnya dari Allah SWT. Tidaklah lama Allah SWT berikan kesusahan kepada manusia. Sekejap sahaja sebenarnya, maka kita hanya perlu bersabar dan berusaha sahaja. Selepas sekian lama, Allah SWT akan berikan kebaikan kepadanya balik.

مِنْ بَعْدِ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُ

selepas kesusahan dirasakan kepadanya

Selepas mereka ditimpa malang, Allah SWT akan beri mereka keluar dari masalah itu. Perniagaan mereka yang jatuh, dapat naik balik. Kesihatan mereka dulu teruk, mereka sekarang telah sihat balik, dan sebagainya.

لَيَقُولَنَّ هَٰذَا لِي

maka si kufur itu akan berkata: ini adalah hasil dari usaha aku;

Orang kufur itu tidak bersyukur kepada Allah SWT, padahal sebelum itu dia yang berdoa kepada Tuhan, namun, bila dah dapat dia kata hasil usaha dia pula. Dia lupa yang masalahnya itu telah diselesaikan oleh Allah SWT.

Dia anggap memang dia layak dapat kebaikan itu, jadi dia tidak bersyukur kepada Allah SWT yang sebenarnya telah memberi kepadanya nikmat itu. Ramai orang yang lupa bahawa segala kebaikan yang mereka dapat itu sebenarnya kurniaan dari Allah SWT. Bukan Allah SWT kena beri, tetapi Allah SWT hendak beri kerana kemurahan-Nya.

Begitulah masalah dengan manusia. Bila waktu susah, senang hendak ingat Allah SWT, tetapi kadang-kadang bila dapat kesenangan, amat susah hendak ingat kepada Allah SWT.

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً

Dan aku tidak yakin hari kiamat itu akan berlaku.

Mereka sangka mereka akan hidup berterusan. Mereka sangka mereka tidak akan ditimpa malang lagi. Mereka sangka mereka tidak akan mati. Mereka lupa yang mereka tunggu masa sahaja hendak mati. Tetapi kerana sibuk dengan kesenangan keduniaan, mereka lupa tentang kematian, tentang hari Kiamat dan tentang akhirat.

وَلَئِنْ رُجِعْتُ إِلَىٰ رَبِّ

Dan sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku,

Mereka tidak yakin hari Kiamat itu akan berlaku. Tetapi mereka kata, kalau-kalaulah memang hari kiamat itu akan terjadi…. kalau-kalau…..

إِنَّ لِي عِنْدَهُ لَلْحُسْنَىٰ

maka tentu aku akan dapat kebaikan dari sisi Tuhan.

Kerana dia dapat kebaikan di dunia, dia rasa dia adalah ‘orang yang terpilih’. Mereka sangka, kalau terpilih di dunia, tentunya mereka pun terpilih di akhirat kelak.

Padahal, tidak begitu sebenarnya. Kejayaan dan kedudukan di dunia, bukanlah tanda kejayaan di akhirat. Bukanlah kesenangan dan kejayaan di dunia itu sebagai tanda yang Allah SWT sayang kepada kita. Ramai yang salah faham tentang perkara ini, termasuklah orang Islam sekali pun.

Ramai juga yang sedap hati, sangka mereka akan dapat kebaikan di akhirat kelak. Antara sebab mereka fikir begitu adalah sebab dulu dia banyak derma. Tetapi dia derma itu bukan kerana Allah SWT. Dia tidak akan derma kalau tidak dapat projek. Ada kepentingan yang dia mahukan dengan derma itu.

Semasa derma pun panggil orang media ramai-ramai datang untuk rakam pemberiannya itu supaya dia boleh berbangga dan menunjuk kepada orang lain – ini adalah riak. Sebenarnya, telah batal ibadat derma itu kerana dia buat bukan kerana Allah SWT tetapi kerana hendak tunjuk kepada manusia lain.

Bukan ibadat derma sahaja, tetapi ibadat-ibadat lain pun kalau kita buat tidak ikhlas dan mengharapkan pujian dari orang lain, maka akan terbatal ibadat itu.

فَلَنُنَبِّئَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِمَا عَمِلُوا

Kemudian Kami akan cerita balik kepada mereka terhadap apa yang mereka telah lakukan.

Begitulah sifat mereka yang kufur ingkar kepada Allah SWT dan mereka yang ada fahaman yang salah tentang dunia. Allah SWT ceritakan dalam ayat ini sebagai peringatan kepada pembaca Al-Quran, supaya jangan jadi begitu.

Allah SWT juga ingatkan berkali-kali dalam Al-Quran yang manusia akan dimatikan dan akan dibawa menghadap Allah SWT. Dan apabila sampai kepada-Nya, segala perbuatan kita semasa di dunia dulu akan diceritakan balik iaitu dengan dibuka Kitab Amalan kita.

Tujuan Allah SWT cerita balik itu bukan sebab hendak buat wayang, tetapi kerana hendak balas balik perbuatan mereka itu.

وَلَنُذِيقَنَّهُمْ مِنْ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Dan Kami akan beri mereka azab yang berat.

Orang yang selalu dapat benda yang bagus, mereka sudah tidak boleh hendak susah sikit pun. Kalau susah sikit pun, mereka rasa rimas dan mula hendak memberontak, hendak komen sana sini. Biasalah, orang besar memang selalu begitu.

Namun, di akhirat nanti, mereka itu akan diberikan dengan azab yang berat. Bayangkan mereka itu kalau susah sedikit di dunia pun sudah tidak boleh terima, bayangkan mereka akan dapat azab yang teruk sekali di akhirat nanti. Agaknya, mereka boleh tahan kah? Tentu tidak boleh. Mereka akan tetap merasainya sendiri nanti.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan