Utama Bilik (09) Ulum Al-Quran 06.07.01 RIWAYAT YANG PELBAGAI PADA SATU SEBAB NUZUL

06.07.01 RIWAYAT YANG PELBAGAI PADA SATU SEBAB NUZUL

491
0
Iklan

Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)

Panel: BroSyarief

AsSalaamu ‘alaikum, saya kongsikan nota terbaru. Kita masih lagi dalam bab berkaitan Sebab Nuzul atau Sebab Penurunan al-Quran.

 

Riwayat yang Pelbagai pada Satu Sebab Nuzul – تَعَدُّدُ الرِّوَايَاتِ فِي سَبَبِ النُّزُولِ

Terdapat keadaan di mana sebab nuzul bagi satu ayat, mempunyai berbilang atau pelbagai riwayat yang berbeza-beza yang menyebut mengenainya. Para ulama dalam hal ini terbahagi kepada beberapa keadaan seperti berikut:

1. Sekiranya bentuk yang disebutkan pada kesemua riwayat-riwayat tersebut tidak jelas seperti menggunakan lafaz:

نزلت هذه الآية في كذا

‘Ayat ini turun pada/kerana (peristiwa/orang) sekian..’

Atau lafaz:

أحسبها نزلت في كذا

‘Aku mengagak bahawa ayat sekian turun pada/kerana (peristiwa/orang) sekian..’

Maka ia menunjukkan bahawa tiada percanggahan di antara riwayat-riwayat tersebut, malah ia adalah bentuk pentafsiran bagi kefahaman maksud ayat tersebut, bukan sebab nuzul bagi ayat tersebut.

2. Sekiranya pada salah satu riwayat menyebutkan lafaz yang tidak jelas menunjukkan ianya sebab nuzul, sedangkan pada riwayat yang lain jelas menyebutkan lafaz sebab nuzul, maka yang dipegang adalah riwayat yang jelas.

Contohnya pada riwayat sebab nuzul bagi ayat berikut:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

“Isteri-isteri kalian adalah (bagaikan) ladang kalian, maka datangilah ladang kalian sebagaimana yang kalian mahu..” [al-Baqarah(2):223]

Sebuah riwayat dari Nafi’ menyebutkan,

قَرَأْتِ ذَاتَ يَوْمٍ: “نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ” فَقَالَ ابْنُ عُمَرَ: أَتَدْرِي فِيمَ أُنْزِلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ؟ قُلْتُ: لَا، قَالَ: نَزَلَتْ فِي إِتْيَانِ النِّسَاءِ فِي أَدْبَارِهِنَّ “

Aku membacakan ayat (seperti di atas), lalu Ibn ‘Umar bertanya:

‘Adakah engkau tahu ayat ini turun kerana tentang apa?’

Aku mengatakan: ‘Aku tidak tahu.’

Katanya: ‘Ia turun berkaitan isu berhubungan dengan isteri melalui dubur mereka.’

[Fathul Bari]

Riwayat yang menyebutkan kata-kata Ibn ‘Umar tidak menyebutkan dengan lafaz yang jelas bahawa ia sebab nuzul.

Namun, terdapat riwayat yang lebih jelas menyebutkan sebab nuzul dari Jabir, katanya:

كَانَتْ الْيَهُودُ تَقُولُ إِذَا جَامَعَهَا مِنْ وَرَائِهَا جَاءَ الْوَلَدُ أَحْوَلَ، فَنَزَلَتْ : نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ

‘Orang Yahudi dahulu mengatakan: ‘Sekiranya seorang suami mendatangi isterinya dari belakangnya, anaknya akan lahir dalam keadaan juling’; lalu turunlah ayat (seperti di atas..)’

[HR al-Bukhari]

Maka, riwayat Jabir inilah yang menjadi pegangan kerana kata-katanya jelas menunjukkan bahawa peristiwa ini sebagai sebab nuzul bagi ayat tersebut.

Adapun riwayat Ibn ‘Umar bukanlah bukti sebab nuzul, tetapi ia boleh difahami sebagai penetapan hukum atau pentafsiran.

(Bersambung..)

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan, m/s 83.

Komen dan Soalan