Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Quraisy – Pengenalan dan Tafsir Ayat Pertama

Tafsir Surah Quraisy – Pengenalan dan Tafsir Ayat Pertama

5490
0
Iklan

 

Tafsir Surah Quraisy

 

 

Maksud: Kaum Quraisy

 

 

Surah ke: 106 ( akan tetapi kronologi penurunan ialah ke-29 )

 

Bilangan ayat: 4


Kategori: Makkiyyah

 

 

17 kalimat, 76 huruf.

 

Kaitan antara surah ini dengan surah Al-Fiil :

 

1. Keselamatan dari ketakutan yang telah disentuh dalam Surah Al-Fiil (terselamat dari serangan Abrahah dan tenteranya). Dan ia terdapat juga dalam surah ini.

 


2.  Terdapat riwayat yang mengatakan bagaimana Saidina Umar membaca Surah Al-Fiil dan Quraish di dalam satu rakaat tanpa meletakkan bismillah antara keduanya. Menunjukkan surah yang berlainan, tetapi berdekatan perbahasannya.

 

 

3.  Dua jenis pemberian utama Allah SWT:

 

 

a)  Al-Fiil : Menjauhkan dari bahaya, menyelesaikan masalah.

b)  Quraisy : Memberi pemberian yang diperlukan oleh manusia.

 

Salah satu tempat yang kaum Quraisy pergi untuk berniaga adalah di Yaman. Kalaulah Abrahah berjaya menghancurkan Ka’bah, tentulah Quraisy sudah tidak dapat pergi ke sana lagi.

 

 

Pertama kerana Ka’bah telah dimusnahkan serta kedua, tentu Abrahah tidak membenarkan mereka pergi ke sana lagi kerana dia tidak suka kepada Quraisy Mekah.

 


Pengenalan :

 

 

Kita telah bincangkan perkara ini di dalam Surah Al-Fiil, keselamatan dan nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kaum Quraisy ini adalah kerana doa Nabi Ibrahim a.s. seperti yang disebut dalam surah [ Al-Baqarah: 126 ].

 

وَإِذ قالَ إِبراهيمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا آمِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَراتِ مَن آمَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ

 

 

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berdoa: “Ya Tuhan ku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah dan hari kemudian. Allah berfirman: “Dan kepada orang yang kafir pun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”.

 

 

Dalam ayat ini, kedua-dua perkara utama itu telah diminta oleh Nabi Ibrahim a.s.

 

 

Pertama :

 

بَلَدًا آمِنًا

(negeri yang aman)

 

Kedua

 

وَارزُق أَهلَهُ

 

 

(berilah rezeki kepada ahlinya / penduduk Makkah)

 


Maka dengan berpandukan kepada asas, yakni doa Nabi Ibrahim tersebut, kita meneruskan perbahasan mengenai surah Quraisy ini pula.

 

 

Dalil dari surah Al-Baqarah tadi, Allah SWT tetap beri nikmat tidak kira sama ada orang beriman atau tidak.  Jadi, jika kita lihat keadaan di Mekah, tetap ramai orang yang tidak beriman dan masih kaya. Sebenarnya sengaja Allah SWT biarkan namun di akhirat nanti mereka terima balasan. Itulah sifat Rahman Allah SWT, kucing dapat hujan orang beriman pun dapat hujan.

 

Betapa mustajabnya doa Nabi Ibrahim a.s.  Baginda dapat merasai bahawa kota Mekah ini akan menjadi tumpuan penting maka, doa baginda menjadi asbab kota ini tetap selamat dan maju. Doa baginda juga merujuk kepada kisah isteri dan anaknya Nabi Ismail a.s.

 

 

Secara tidak langsung kita boleh lihat bahawa Nabi Ibrahim a.s. tidak tahu tentang masa depan melainkan apa yang diwahyukan. Jika baginda tahu tentulah baginda berdoa lebih dari itu. Walaupun baginda tahu nikmat itu bukan untuk baginda kerana mukjizat Nabi-Nabi adalah atas urusan dakwah, bukan sebagai alat untuk diri sendiri semata. 

 

 

Tafsir Ayat Pertama

 

 

لِإيلافِ قُرَيشٍ

 

Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy,

 

 

Kalimah :

 

ل

 

Untuk

 

 

Mufassir telah berbincang panjang mengenai perkara ini. Ada perbezaan pendapat tentang apakah maksudnya kalimah ini.

 

 

Pendapat pertama :

 

Mengaitkan ل ini terus dengan kisah dari surah Al-Fiil. Kejadian itu sepatutnya menyebabkan mereka berusaha untuk mencari kebenaran, supaya mereka kembali kepada ajaran Nabi Ibrahim a.s.

 

 

Pendapat yang kedua :

 

 

Mengatakan bahawa Allah SWT hendak melahirkan rasa takjub Rasulullah SAW. Oleh itu ل dalam ayat ini adalah ‘lam takjub’ (terhadap kisah kelebihan Allah terhadap kaum Quraisy).

 

Pendapat yang ketiga :

 

 

Ada pula yang mengatakan, ayat ini tidak ada kaitan dengan surah sebelum ini.

 

Kalimah:

 

 

إيلافِ

 

 

Bermaksud mempunyai hati yang lembut terhadap seseorang.

 

Dari kata dasar yang sama, ada digunakan dalam surah [ Ali-Imran: 103 ]

 

 

وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم إِذ كُنتُم أَعداءً فَأَلَّفَ بَينَ قُلوبِكُم فَأَصبَحتُم بِنِعمَتِهِ إِخوانًا

 

Dan ingatlah akan nikmat Allah kepada mu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hati mu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara;

 

 

Kalimah:

 

قُرَيشٍ

 

 

Beberapa pandangan maksud “Quraisy” :

 

1) Bermaksud mengumpulkan orang dari pelbagai tempat.  

 

2) Bermaksud binatang besar di laut seperti ikan paus atau sotong besar yang boleh merosakkan kapal di lautan (memberi isyarat kepada kedudukan puak Quraisy yang kuat.) 

 

Ibrah dan kesimpulan

 

Pertama : 

 

Kaum Quraisy memberikan kita gambaran bahawa tatkala Allah SWT mengatur hamba-Nya (manusia) di atas dunia untuk mentadbir (antaranya menjaga Ka’bah), Dia juga telah menyiapkan rezeki yang baik bersama.  

 

Hanya manusia lalai sahaja yang akan tersasar dan tidak kembali fokus menjadi hamba Allah. Kemudian memilih untuk bersusah payah mencari rezeki lain dengan cara yang haram.

 

Kedua

 

Kita hendaklah yakin bahawa tiada yang mustahil jika Allah SWT memberkati lalu memberi jalan membangunkan sesuatu wilayah.

 

Ini kerana faktor muka bumi Mekah tiada hasil bumi melainkan zam-zam dan Ka’bah, Mekah tetap maju dengan izin Allah SWT.

 

Ketiga  

 

Setiap makhluk Allah SWT diberikan kelebihan dan kekurangan. Melihat kelebihan yang Allah berikan kepada kaum Quraisy, sebenarnya secara tidak langsung menzahirkan pula apakah nikmat bagi diri kita sendiri pula.

 

Natijahnya, mengajar kita bahawa masih banyak perkara yang perlu kita syukuri bukan hanya merungut atau mengeluh terhadap kekurangan.

 

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan