Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-44

Tafsir Surah Fussilat – Tafsir Ayat Ke-44

4136
0
Iklan

Tafsir Surah Fussilat

Tafsir Ayat Ke-44

Ada Jumlah Muqaddar (penambahan) dalam ayat ini: Musyrikin Mekah telah berkata kepada Nabi, kalau Al-Quran itu betul, mestilah ia turun dalam bahasa lain kerana Nabi Muhammad SAW itu memang orang Arab, kalau bawa kitab yang dari bahasa Arab juga, tidak ada apa yang menarik – biasa sahaja nampaknya kepada mereka.

Mereka juga kata, kalau dalam bahasa Arab, entah-entah Nabi Muhammad SAW buat sendiri ayat-ayat Al-Quran itu. Sepatutnya bawalah kitab dalam bahasa lain.

Itulah kata mereka. Itu sebenarnya adalah alasan sahaja daripada mereka untuk tidak ikut. Seperti kalau ada orang yang kutuk kalau kita mengajar dalam bahasa Melayu. Mereka kata ajar dalam bahasa Inggeris barulah ada standard sikit. Atau apa-apa sahaja komen dari mereka (diri sendiri tidak mengajar, tetapi pandai komen orang yang mengajar sahaja).

Oleh kerana soalan mereka itu ada sedikit bernas, maka Allah SWT jawab apa yang dikatakan mereka:

وَلَو جَعَلنٰهُ قُرآنًا أَعجَمِيًّا لَّقالوا لَولا فُصِّلَت ءآيٰتُهُ ۖ ءاْعجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ ۗ قُل هُوَ لِلَّذينَ ءآمَنوا هُدًى وَشِفاءٌ ۖ وَالَّذينَ لا يُؤمِنونَ في ءآذانِهِم وَقرٌ وَهُوَ عَلَيهِم عَمًى ۚ أُولٰئِكَ يُنادَونَ مِن مَّكانٍ بَعيدٍ

 Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: “Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patut kah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu – (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)”.

وَلَوْ جَعَلْنٰهُ قُرْءآنًا أَعْجَمِيًّا

Kalau sekiranya Kami jadikan Al-Quran ini dalam bahasa bukan Arab,

Kalimah أَعْجَمِيًّا bermaksud ‘bahasa yang selain dari bahasa Arab’. Orang bukan Arab pun dipanggil A’jami.

Dari segi bahasa asal, ia bermaksud ‘seseorang yang cakap gagap’. Ia juga bermaksud ‘seseorang yang bodoh – tidak tahu bercakap’. Kepada orang Arab, sesiapa yang tidak tahu bercakap bahasa Arab, mereka itu orang yang bodoh – tidak tahu bercakap.

Ini adalah kerana mereka bangga sungguh dengan keindahan bahasa Arab mereka. Waktu itu mereka bangsa yang pandai dalam bahasa, pandai buat puisi. Sampaikan, kalau kita suruh mereka buat puisi, mereka terus boleh buat waktu itu juga, tidak perlu fikir panjang.

لَّقَالُوا لَوْلَا فُصِّلَتْ ءآيٰتُهُ

nescaya mereka akan kata: “kenapa ayat ini tidak dijelaskan sejelas-jelasnya?”;

Kalaulah Allah SWT ikut kata mereka, turunkan Al-Quran dalam bahasa selain dari bahasa Arab, mereka akan kata lain pula. Mereka akan kata, kenapa tidak turunkan dalam bahasa Arab pula. Kenapa diturunkan dalam bahasa yang mereka tidak faham?

Maknanya, semuanya salah pada mata mereka. Serba tidak kena kepada mereka kerana mereka memang tidak suka.

Itu semua adalah alasan mereka sahaja. Apabila manusia itu tidak suka, tidak mahu terima, mereka akan memberi berbagai-bagai alasan. Kadang-kadang alasan yang kita tidak pernah dengar pun ada. Kadang-kadang alasan yang kita tidak sangka pun mereka boleh terfikir dalam kepala otak mereka.

Kalimah فُصِّلَتْ iaitu nama surah ini bermaksud ‘diterangkan sejelas-jelasnya’. Tujuan diturunkan dalam bahasa Arab adalah supaya mereka mudah faham kerana dalam bahasa mereka. Oleh itu, ini juga mengajar kita supaya dalam kita berdakwah, hendaklah kita menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh orang yang kita dakwah.

Sebagai contoh, kalau kita berdakwah kepada bangsa Melayu, kita pakailah bahasa Melayu, kalau kepada bangsa Cina, kita pakailah bahasa Cina.

Bukan itu sahaja, kita hendaklah menggunakan lenggok bahasa yang mereka mudah faham. Kalau mereka orang kampung, kita gunakan bahasa kampung juga. Jangan kita gunakan bahasa Universiti pula dengan mereka. Yang penting, maklumat sampai kepada mereka.

ءاْعجَمِيٌّ وَعَرَبِيٌّ

Patut kah Al-Quran dalam bahasa A’jam sedangkan Nabi itu orang Arab?

Patut kah Al-Quran itu diberikan dalam bahasa selain Arab kepada seorang Nabi yang berbangsa Arab dan bercakap Arab? Dan umat pertama baginda pula adalah bangsa Arab? Tentulah tidak patut.

Itulah sebabnya Al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab yang jelas. Dan memang bahasa Arab itu adalah bahasa yang hebat. Sesuatu makna boleh disampaikan dalam perkataan yang sedikit yang tidak ada dalam bahasa selain dari bahasa Arab.

Kalau kita tahu sedikit tentang bahasa Arab, kita akan faham apakah yang dimaksudkan dengan keindahan dan kehebatan bahasa Arab itu. Ia tidak sama dengan bahasa lain.

Maka, elok sangatlah kalau kita dapat meluangkan masa untuk mendalami sedikit bahasa Arab itu supaya kita dapat memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Allah SWT kepada kita.

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ ءآمَنُوا

Katakanlah: bahawasanya Al-Quran itu untuk orang yang beriman sempurna.

Al-Quran itu diturunkan untuk seluruh manusia, tetapi yang boleh terima adalah mereka yang beriman sempurna sahaja.

Iaitu mereka yang hendak cari jalan kebenaran. Mungkin mereka tidak beriman lagi, tetapi mereka ada keinginan untuk tahu kebenaran. Kalau kita ada iman, Al-Quran itu akan menjadi petunjuk kepada hidayah.

Tetapi kalau tidak beriman, kita tidak ambil peduli pun dengan Al-Quran ini atau kita ubah-ubah makna ayat Al-Quran itu. Kita pandai-pandai sendiri kata ayat Al-Quran ini bermakna ini, makna itu, padahal bukan belajar pun, cuma memandai-mandai sahaja.

Itu adalah jenis orang yang hendak mencari-cari dalil untuk membenarkan perbuatan mereka. Dalil yang sah tidak ada, tetapi mereka akan korek sampaikan kalau yang ada kena sikit-sikit pun, mereka guna juga. Kalau tidak jumpa juga, mereka akan pakai hadis yang dhaif atau maudhu’. Kalau tidak ada, mereka akan reka guna akal mereka.

Sebagai contoh, ada sahaja orang-orang yang tidak tahu Al-Quran, menggunakan juga ayat-ayat Al-Quran sebagai hujah mereka. Sebagai contoh, mereka akan menggunakan ayat Al-Quran untuk mengatakan memang dalam Al-Quran ada suruhan supaya zikir dilakukan beramai-ramai. Namun, itu sebenarnya salah kerana mereka tidak faham apakah maksud dan bahasa Arab.

هُدًى

sumber petunjuk.

Banyak sumber petunjuk terdapat dalam Al-Quran. Asalkan kita mahu mempelajarinya. Ia akan menjadi petunjuk kepada kita untuk kehidupan dunia dan akhirat. Cara bagaimana menjalani kehidupan di dunia supaya kita akan selamat di akhirat.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa kita orang Melayu tetapi Al-Quran dalam bahasa Arab? Jawabnya adalah kerana Al-Quran ini bahasanya mudah. Kalau terjemah boleh difahami dengan mudah.

Allah SWT pilih bahasa Arab kerana ianya adalah bahasa terkaya dan terbaik. Ia terbaik sampai boleh dilagukan kerana memang ia adalah bahasa yang sedap didengari.

Ini kelebihan bahasa Arab yang tidak ada dalam bahasa lain. Jadi, Allah SWT pilih satu bahasa sahaja kerana takkan hendak turun Al-Quran dalam 200 bahasa? Maka, kita terima Al-Quran ini dari segi tulisan dan bacaan sekali termasuklah cara untuk belajar.

وَشِفَاءٌ

dan ubat bagi segala penyakit;

Ada banyak jenis penyakit dan syirik adalah satu dari penyakit itu. Inilah penyakit yang paling bahaya. Dengan kita belajar tafsir Al-Quran, kita akan faham tentang masalah syirik dan apakah yang dimaksudkan syirik itu.

Ayat-ayat Al-Quran membuka pintu ilmu dan memberitahu kepada kita manakah fahaman-fahaman yang syirik yang dilakukan oleh manusia.

Ia juga akan mengajar kita tentang Allah SWT dan fahaman-fahaman yang betul. Penyakit syirik dapat disembuhkan dengan belajar tafsir Al-Quran. Orang yang masih melakukan syirik walaupun mereka mengaku beragama Islam adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Quran.

Selain dari penyakit syirik, ada juga jenis penyakit yang dalam bentuk hati seperti riak, ujub, takabbur, angkuh, cemburu buta, busuk hati dan lain-lain lagi.

Sesiapa yang belajar tafsir Al-Quran, penyakit hatinya akan terubat. Bukannya dengan mengamalkan selawat syifa’ yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita kerana dalam selawat itu dikatakan bahawa Nabi akan menyembuhkan penyakit hati. Bolehkah begitu?

Adakah Nabi mempunyai kelebihan itu? Tentulah tidak, kerana Nabi SAW pun manusia. Hanya Allah SWT SWT sahaja yang boleh mengubati penyakit hati kita.

Maka, kalau amalkan selawat itu adalah syirik kerana meminta berkat daripada Nabi SAW. Mereka berharap semoga mereka mendapat keberkatan dari Nabi SAW.

Ini adalah satu fahaman yang salah kerana Nabi SAW tidak boleh beri berkat kepada kita. Memang Nabi SAW ada berkat, tetapi Nabi SAW tidak boleh beri berkat kepada kita.

Sebagai contoh, kalau bapa kita dapat pangkat Dato’ dari dua negeri, adakah boleh dia beri satu Dato’ kepada kita? Tentulah tidak boleh kerana pangkat Dato’ itu diberikan kepada bapa kita sahaja.

Begitulah juga dengan Nabi SAW. Walaupun Nabi SAW itu ada keberkatan, tetapi Nabi SAW tidak boleh beri keberkatan itu kepada umatnya. Ini adalah masalah salah faham dengan ‘tabarruk’ (mengambil berkat).

Tabarruk memang ada dalam Islam, tetapi bukanlah seperti faham masyarakat kita. Dan masalah syirik dalam berkat ini memang ada masalah dalam masyarakat kita dan banyak disentuh dalam Al-Quran. Jadi kalau sampai tabarruk dengan capal, lebih-lebih lagi dengan replika capal, itu memang sudah teruk sangat fahamannya.

Lafaz selawat-selawat yang direka itu tidak ada dalam hadis mana-mana pun. Yang mencipta selawat itu adalah manusia, bukan lafaz dari Nabi SAW. Sedangkan Nabi SAW sendiri sudah ajar kepada umatnya lafaz-lafaz selawat yang betul. Tidak perlu kita hendak mencipta dan amalkan selawat yang selain darinya. Takkan ada pula cara selawat yang lebih hebat dari selawat yang Nabi SAW ajar, bukan?

Sebetulnya, untuk menghilangkan penyakit hati adalah dengan belajar tafsir Al-Quran. Maka kalau dulu ada amalkan selawat itu, bertaubatlah kepada Allah SWT. Jangan degil pula. Janganlah kerana ramai orang amalkan, ramai yang berkesan apabila mengamalkannya, kita sangka ia adalah benar. Jangan kerana ada yang kata ia ‘berkesan’, maka anda rasa ia benar pula.

Selain daripada selawat Syifa’, satu lagi selawat yang ada unsur Syirik adalah Selawat Tafrijiyyah. Dalam selawat Tafrijiyyah, mengatakan yang Nabi Muhammad SAW boleh menyelesaikan dan merungkaikan segala masalah.

Mungkin mereka yang membaca dan mengamalkan bacaan selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah itu tidak tahu bahasa Arab agaknya. Mereka cuma mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh orang lain. Mereka sendiri tidak belajar. Kalau ada orang yang nampak alim sahaja, mereka terus terima tanpa usul periksa.

Contoh tabaruk yang dibenarkan di dalam Islam adalah tabaruk dengan amalan soleh; tabaruk dengan majlis ilmu; tabaruk dengan Tanah Haram dan mana-mana lagi yang ada dalil.

Tentang tabaruk dengan Nabi SAW, boleh tabaruk dengan tubuh baginda dan peninggalan baginda. Cuma sekarang masa telah lama sangat berlalu, sampai tidak tahu mana yang sahih dan tidak. Ramai yang ambil kesempatan. Tabaruk itu ambil berkat supaya Allah SWT SWT beri kelebihan kepada diri kita, amalan kita dan sebagainya.

Tawassul pula adalah jadikan Nabi SAW sebagai ‘penyampai’ kepada doa kita. Jadi tabaruk dalam bentuk ‘ambil’ dan tawassul dalam bentuk ‘bawa’.

Satu lagi, ulama juga mengambil dalil dari ayat ini bahawa ayat-ayat Al-Quran juga boleh digunakan sebagai ruqyah sebagai usaha untuk menyembuhkan penyakit fizikal manusia.

Namun, kena berhati-hati dalam perkara ini jangan sampai kita tersalah langkah. Sebagai contoh, kita ambil perumpamaan satu pistol. Pistol itu adalah satu alat yang merbahaya dan boleh jadi bermanfaat. Kalau seseorang pandai menggunanya, maka ia boleh jadi sesuatu yang bermanfaat. Boleh digunakan untuk menjaga keselamatan, bunuh musuh dan sebagainya. Namun, seseorang yang tidak pandai menggunakannya, ia boleh mengambil nyawa orang yang tidak bersalah.

Begitu juga dengan ayat-ayat Al-Quran. Ia adalah sesuatu yang mempunyai hikmat. Jika orang yang tidak tahu menggunakannya, tetapi dia mengamalkannya juga, dia mungkin boleh tersalah guna. Ia juga boleh menyebabkan dia jatuh berdosa kalau dia tidak faham apa yang dia lakukan.

Sebagai contoh, kalau dia gunakan ayat Al-Quran dan orang yang diruqyah itu sembuh, mungkin dia terfikir dalam hatinya bahawa ayat Al-Quran itulah yang menyembuhkan orang itu. Maka, itu adalah satu fahaman yang salah dan syirik kerana yang menyembuhkan itu adalah Allah SWT.

Kita lihat banyak manusia yang menjalankan kerja-kerja penyembuhan ini, menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebagai ‘tangkal’ dan ‘azimat’. Mereka akan baca dan tiup kepada pesakit dengan niat untuk menyembuhkan penyakit itu.

Mereka tidak faham pun apa yang mereka baca itu. Ini telah jadi macam “Harry Porter” yang menggunakan bacaan ayat-ayat tertentu untuk buat sihir sahaja. Ingatlah bahawa ayat Al-Quran itu dijadikan sebagai pedoman untuk kita, bukan sebagai ‘azimat’ untuk kita.

Bagaimana dengan hadis-hadis yang menunjukkan sahabat menggunakan Al-Fatihah sebagai ruqyah? Kalau sudah ada dalil yang sahih yang mengatakan Al-Fatihah itu sebagai ruqyah, maka ia boleh diterima kerana Nabi SAW sendiri telah mengiyakannya. Tetapi tidaklah kita boleh kata ayat-ayat yang lain pun begitu juga.

Ruqyah menggunakan Surah Al-fatihah dan baca Bismillah tabarruk dengan nama Allah SWT. Inilah cara dan usaha yang benar. Bukannya suruh baca selawat tiga kali baru makan ubat. Ini tidak ada ajaran dalam Islam dan bahawa seolah-olah Nabi Muhammad SAW terlibat dalam penyembuhan kita pula. Mana lagi hebat, nama Allah SWT atau nama Nabi SAW?

Cara yang selamat adalah: kita baca ayat Al-Quran sebagai satu amalan ibadat. Kemudian kita baca doa kerana doa lebih makbul selepas kita melakukan satu-satu ibadat.

Maka, baca Al-Quran sebagai ibadat dan selepas itu kita doa semoga Allah SWT sembuhkan orang yang sakit itu. Ini lebih selamat dari kita melakukan perkara yang tidak pasti.

Oleh itu, kita tidak bersetuju dengan sesetengah individu yang mengeluarkan senarai ayat-ayat tertentu boleh menyembuhkan penyakit ini dan itu. Atau sesuatu ayat digunakan untuk tujuan mendapatkan sesuatu. Dari mana mereka dapat senarai itu? Adakah mereka lebih hebat dari sahabat yang menerima ayat Al-Quran terus dari Nabi SAW, tetapi tidak tahu tentang ‘guna’ ayat-ayat itu?

Surah Yaasin bukanlah ayat-ayat syifa’, manakala ayat Kursi, Al-Falaq dan An-Nas adalah ayat-ayat syifa’.

Surah Al-Ikhlas bukan surah syifa’. Ia adalah surah akidah, memperbetulkan akidah kita semula. Juga mengingatkan kita bahawa Allah SWT adalah as-Somad, tempat kita minta pertolongan.

وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

dan orang-orang yang tidak beriman,

Sebelum ini telah disebut tentang orang-orang yang beriman dan bagaimana mereka boleh mendapat manfaat dengan belajar tafsir Al-Quran dan mengamalkannya. Mereka akan mendapat banyak kebaikan dan dapat menyembuhkan segala jenis penyakit.

Sekarang dikatakan pula tentang orang-orang yang tidak beriman dengan akidah tauhid. Mereka tidak mahu menerima ajaran Al-Quran.

Mereka tidak mahu pun belajar tafsir untuk mengetahui apakah maksud ayat-ayat Al-Quran itu. Mereka langsung tidak mendapat manfaat dari pembacaan ayat-ayat Al-Quran itu.

Walaupun mungkin mereka sendiri selalu membaca Al-Quran – tetapi jikalau mereka tidak faham, mereka tidak akan tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah SWT.

فِي ءآذَانِهِمْ وَقْرٌ

dalam telinga mereka ada sumbatan.

Mereka tidak dapat mendengar penjelasan yang banyak sekali ada dalam Al-Quran itu. Mereka mungkin baca sendiri ayat-ayat Al-Quran itu hari-hari, tetapi mereka tidak faham apakah yang mereka baca kerana mereka tidak belajar.

Oleh itu, mereka ada buat kesilapan yang mereka sendiri tidak sangka mereka sedang lakukan.

Kalau diberikan nasihat kepada mereka, mereka pun tidak dapat mendengar kerana mereka seperti pekak. Ada telinga, tetapi tidak digunakan. Macam kita bercakap dengan orang, tetapi kita boleh lihat pada mukanya, dia tidak faham apa yang kita katakan. Macam dia tidak dengar apa kita kata.

Itulah perumpamaan yang Allah SWT berikan, seperti mereka ada ‘sumbatan’ dalam telinga mereka yang menghalang mereka dari mendengar.

Ini bukan sumbatan fizikal, kalau korek telinga mereka, tidak boleh hendak keluarkan sumbatan itu. Ini adalah pemahaman mereka yang kurang ilmu kerana dalam hati mereka, mereka memang tidak mahu terima.

وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى

dan mereka buta terhadap Al-Quran itu.

Mereka tidak faham langsung apabila dibacakan ayat Al-Quran kepada mereka. Mereka tidak nampak kebenaran yang ditunjukkan oleh Allah SWT dalam kalam-Nya itu.

Walaupun berkali-kali mereka diberitahu tentang ayat Al-Quran itu tetapi kalau hati menolak, mereka tidak nampak. Allah SWT sudah tarik kebolehan mereka untuk menerima hidayah kerana mereka sudah sampai kepada tahap kufur peringkat keempat.

أُولَٰئِكَ يُنَادَوْنَ مِنْ مَّكَانٍ بَعِيدٍ

 Orang-orang yang bersifat seperti ini seperti seorang yang diseru dari tempat yang jauh sekali.

Macam kita panggil orang yang jauh. Dia dengar namun tidak dengar dengan jelas dan tidak tahu apakah yang disebut. Dia tidak perasan yang kita sedang panggil dia. Dia dengar sayup-sayup sahaja suara kita.

Sudahlah telinga mereka ada sumbatan, tidak nampak dengan jelas pula. Maka, kalau kita panggil orang yang macam itu, mereka tidak tahu kita panggil mereka. Walaupun mereka di hadapan kita, mereka tidak mendengar dan melihat. Mereka tidak dapat faham.

Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa mereka itu telah jauh tersasar dari agama. Jauh sangat sampai susah untuk kembali. Orang yang seperti ini, bukan tidak boleh kembali, tetapi kena usaha lebih sikit dengan mereka. Kena berusaha bersungguh-sungguh dan berkali-kali kena dakwah kepada mereka, baru mereka boleh terima – itu pun kalau Allah SWT izinkan.

Kata-kata yang lebih kurang sama telah Allah SWT sebutkan dalam surah [ 2:171 ].

Maka ia selalu ditambah dalam mana-mana amalan. Untuk mengingatkan balik kepada tujuan kenapa kita berdoa kepada Allah SWT kerana kita memang berharap kepada Allah SWT.

Begitulah tujuan ayat-ayat Al-Quran itu sebenarnya. Hendak ingatkan balik kepada fahaman yang benar. Betulkan balik mana-mana yang salah.

Jadi kalau tidak belajar tafsir, macam mana hendak ambil manfaat dari ayat-ayat Quran itu? Setakat baca sahaja tidak memberi kesan.

Ayat-ayat Al-Quran seperti [ Al-A’raaf: 117-122, Taha: 63-69, Yunus: 81-82, Al-Baqarah: 5, Al-Baqarah: 102, Al-Hasyr: 21, Al-Jin: 1-2, Al-Jin: 4-9, Yasin: 9, Ar-Rahmaan: 33-36, Fussilat: 19-36, An- Nisa: 167-173, Al-Mulk: 1-11, Al-Fajr: 1-30, Asy-Syam, Ad-Dukhan ] dan lain-lain seperti yang di ajar untuk tujuan tertentu adalah TIADA DALIL dan tidak disarankan untuk diamalkan.

Allah a’lam.

 

Komen dan Soalan